26 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Jawab Dulu Bagaimana Peruntukan Habis Dalamasa 3 Bulan

Bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak perlu terlalu ghairah memecah-belahkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, sebaliknya perlu terlebih dahulu memberi penjelasan berkenaan salah guna peruntukan DUN yang dihabiskan dalam masa kurang daripada tiga bulan semasa Selangor di bawah pemerintahan Barisan Nasional, kata ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Katanya, Mantan Menteri Besar itu turut menuduh DAP memanipulasikan SELCAT bagi menunjukkan mereka lebih berkuasa berbanding parti-parti lain di Pakatan Rakyat.

Menurutnya, Khir Toyo dalam satu kenyataan yang diterbitkan akhbar tempatan Rabu lalu membidas DAP sebagai 'menggunakan SELCAT sebagai platform untuk menunjukkan kekuasaan mereka di negeri Selangor'.

"Sebenarnya, apa yang dituduhkan oleh Khir adalah bersifat spekulasi semata-mata dengan tujuan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,"demikian kata Lau dalam kenyataannya semalam.

Katanya, Selcat yang ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor pada tahun 2008 untuk menegakkan prinsip-prinsip keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan di Selangor.
Katanya, selama 50 tahun BN dan UMNO mentadbir Selangor, prinsip-prinsip yang penting ini semakin terhakis, khususnya semasa Selangor ditadbir di bawah Khir Toyo.

"Bagi memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap kewibawaan kerajaan Selangor, Dewan Negeri Selangor telah menubuhkan SELCAT yang ditugaskan khas untuk menegakkan prinsip-prinsip ini dalam pentadbiran kerajaan negeri melalui satu proses pemantauan yang belum pernah dilaksana di Selangor dan Malaysia tetapi sudah menjadi satu kebiasaan bagi sistem pentadbiran Demokrasi Berparlimen di negara-negara maju yang lain, khususnya negara-negara Komanwel, iaitu melalui pendengaran terbuka," katanya.

Lau yang juga Setiausaha DAP Selangor berkata, daripada terus mengaut di dalam air keruh, adalah lebih baik untuk Khir menjelaskan bagaimana beliau sebagai Menteri Besar pada masa itu membenarkan perkara itu terus berlaku.

"Kalaulah beliau yang benar-benar ikhlas dalam mempertahankan pegawai-pegawai kerajaan, maka saya menyeru kepada beliau agar tampil ke hadapan dan menjawab segala persoalan yang timbul", katanya. -TVS

Era Najib Altantuya : Anggota MIC Dakwa Perhimpunan MIC 12 Sep Tidak Sah

Setelah dikejutkan dengan penubuhan Parti makkal Sakti, kini MIC menerima tamparan lagi bila tujuh anggotanya menubuhkan jawatankuasa penaja yang dikenali sebagai "Pro-Tem MIC 2009 Election Irregularity Committee', mahu pemilihan parti diadakan semula kerana mendakwa terdapat penyelewengan pada pemilihan MIC 12 Sept lepas.

Setiausaha jawatankuasa penaja itu N. Saaran berkata pihaknya telah membangkitkan beberapa isu dalam surat aduan yang telah dihantar kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC Datuk K. Vijayanathan termasuk salah guna kuasa Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu ketika pemilihan itu berlangsung.

"Kami merumuskan bahawa Jawatankuasa Pemilihan yang mengendalikan pemilihan MIC adalan tidak bebas dan tidak telus. Kami dapati berlaku beberapa penyelewengan.

"Kami sebenarnya telah menghantar notis kepada pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, kami memohon penjelasan mengenai kenapa penyelewengan berkenaan berlaku," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Turut hadir pada sidang media itu ialah barisan jawatankuasa penaja tersebut termasuk Pengerusinya, P. Subramaniam yang tewas pada pemilihan lepas bagi merebut jawatan naib presiden.

Saaran mendakwa antara penyelewengan yang berlaku pada pemilihan itu ialah tindakan Samy Vellu membatalkan larangan penggunaan telefon bimbit sedangkan Vijayanathan telah mengeluarkan peringatan kepada semua perwakilan sebelum pengundian berlangsung.

"Seorang daripada perwakilan didapati menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar kertas undi, perkara ini telah dibangkitkan oleh seorang calon kepada jawatankuasa pemilihan, bagaimanapun tiada tindakan diambil," dakwanya.

Subramaniam pula berkata antara aduan lain yang telah dikemukakan kepada pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC dalam surat yang dihantar pada 18, 23 dan 25 Sept lepas adalah tindakan barisan calon pilihan Samy Vellu yang didakwa melanggar peraturan berkempen.

"Calon-calon dilarang berkempen selepas 12 tengah hari 11 Sept, tetapi peraturan ini tidak dipatuhi, masih terdapat mereka yang berkempen selepas 12 tengah hari di mana kempen berlangsung di Sentul Curry House oleh Pemuda, Wanita dan Puteri, di mana mereka berkumpul untuk berkempen".

"Dan bukan itu sahaja, pada hari pemilihan, akhbar Tamil Nesan, diedarkan kepada semua 1,400 perwakilan dalam dewan, dalam akhbar itu dilampirkan bahan kempen oleh barisan (pilihan Samy Vellu) yang jelas melanggar peraturan kempen," dakwanya.

Subramaniam mempersoalkan kenapa tidak ada tindakan dikenakan sedangkan pengerusi Pemilihan MIC sebelum itu telah mengeluarkan amaran bahawa mana-mana calon yang ditangkap berkempen selepas waktu yang ditetapkan, secara automatik tidak layak bertanding.

Beliau berkata pihaknya menunggu penjelasan daripada Vijayanathan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Ditanya apakah tindakan mereka jika keputusan tetap tidak berubah, beliau berkata mereka mungkin mempertimbangkan untuk menyertai parti lain.

Era Najib Altantuya : PR Sedia hadapi UMNO BN Di Bagan Pinang

Pakatan Rakyat bersedia menghadapi apa jua taktik politik yang dimainkan Umno Barisan Nasional dalam kempen Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang yang bakal bermula pada 3 Oktober depan.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar berkata Pas mengembleng segenap sumber dari peringkat akar umbi sehingga ke pucuk pimpinan negeri, dengan sokongan Kelab Penyokong Pas dan badan-badan bukan kerajaan.

“Kita mempersiapkan jentera dari peringkat akar umbi sampai ke peringkat negeri bersama dengan rakan PKR, DAP, Kelab Penyokong Kaum India dan NGO bersama untuk membantu kempen kita bagi memastikan kemenangan calon PR kali ini,” katanya.

Menurut Zulkefly, PKR Bagan Pinang akan menyaksikan pendekatan mendidik rakyat mengenai hak dan kuasa mereka memilih pemimpin yang berwibawa, bebas rasuah dan bertanggungjawab.

Pendidikan politik ini penting bagi menghadapi permainan retorik pembangunan Umno dalam setiap pilihanraya.

Zulkefly menambah pemberdayaan pengundi membuka mata masyarakat kepada manfaat sekiranya orang-ramai melantik pemimpin yang bersih, amanah dan bertanggungjawab.

“Kita tahu Umno penuh tipu muslihat. Masa pilihanraya mereka cuba buat baik, cuba hendak mengambil hati semua rakyat. Masa inilah dia nak bagi macam-macam kepada rakyat tetapi mereka tidak peduli langsung kehidupan rakyat sama ada orang Melayu, Cina atau India,” katanya.

DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya, Azman Mohammad Noor yang mewakili Barisan Nasional meninggal dunia pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Sementara itu Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata Umno Barisan Nasional akan membangkitkan isu pembangunan dalam usaha menarik sokongan rakyat.

Sehubungan itu katanya, PR akan mendedahkan kegagalan Umno-BN menjaga kedudukan Bagan Pinang dari destinasi ulung di Selatan Tanahair kepada pekan koboi yang tidak lagi dikenali.

“Ini akan memberi gambaran Bagan Pinang sendiri di bawah Barisan Nasional dan Umno tidak membawa pembangunan yang disebutkan, jadi apakah perubahan yang akan dibawa di sini? Saya fikir rakyat tidak akan lagi memberi kepercayaan,” katanya.

Dari segi persiapan awal, Kamarul berkata Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah menghadapi PRK pada kali ini kerana terdapatnya jentera yang mantap disamping kerjasama erat antara parti komponen Pakatan Rakyat

“Persiapan awal lancar kita hanya tunggu hari penamaan calon, organisasi jentera bergerak persiapan awal dari segi pentadbiran, kerjasama dengan Pas dan DAP bagus bersepakat dan sekarang kita bersedia dengan semangat,” katanya

Menurut Kamarul, PKR meletakkan sasaran mengurangkan majoriti Umno di peringkat Dewan Undangan Negeri. Beliau menambah Bagan Pinang adalah batu loncatan kepada operasi merampas Negeri Sembilan dari BN.

“Akan mengurangakan majoriti Barisan Nasional dan perbezaan hanya 2 atau 3 kerusi termasuk Speaker yang boleh menggugat kerajaan Barisan Nasional.

“Pertama kita mendekatkan jurang kurangkan majoriti Barisan Nasional Negeri Sembilan. Keduanya membuktikan pada rakyat Malaysia bahawa sokongan padu yang diberi rakyat kepada PR berterusan dan belum lagi luntur menunjukkan peningkatan memberi semangat kepada kita,” katanya.

Jentara parti DAP turut turun bagi memperkemas persiapan Pakatan Rakyat menghadapi PRK Bagan Pinang.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook berkata tinjauan awal mendapati Umno Barisan Nasional berada dalam keadaan yang amat tertekan.

“Saya rasa Umno lebih tertekan dari kita kerana mereka perlu menang di kawasan ini.Ini merupakan kubu kuat kepada mereka sekiranya mereka kalah ia bukan sahaja memberikan satu implikasi yang besar kepada Umno Negeri Sembilan tetapi Umno Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Siew Fook berkata undi pos merupakan cabaran hebat kepada Pakatan Rakyat memandangkan proses kawalan ketat undi berkenaan memaksa pengundi pos tidak dapat membuat pilihan secara bebas.

“Sama ada mereka boleh membuat satu pilihan secara bebas. Saya yakin kalau undi pos ini diberikan satu kebebasan kepada mereka untuk memilih saya yakin bahawa tentera pun ada ramai yang akan menyokong kita,” katanya. -TVA



Era Najib Altantuya :Ekspedisi Misi Royalti, Kerajaan Kelantan Jawab Tuduhan Media

Selepas jenuh mendengar tuduhan beberapa media yang cuba mempersalahkan kerajaan negeri ketika menganjur Ekspedisi Misi Royalti ke pelantar Cakerawala berhubung isu tuntutan royalti minyak baru-baru ini sebagai misi maut, akhirnya wakil kerajaan negeri menjawabnya.

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, menjelaskan bahawa ekspedisi tersebut sebenarnya bukan anjuran kerajaan negeri sebaliknya anjuran sekumpulan rakyat Kelantan yang diantaranya melibatkan golongan nelayan sebagai tanda sokongan usaha kerajaan selain daripada ingin memastikan sendiri hak mereka.

Husam memberitahu, cadangan ekspedisi berkenaan ditawarkan oleh nelayan yang mempunyai kapal sendiri serta peka terhadap usaha kerajaan yang memperjuangkan hak rakyat kepadanya dan beliau menyambut cadangan itu demi rakyat.

Maka perancangan itu dibuat secara terbuka (bukan dalam bentuk paksaan) kepada sesiapa sahaja berminat untuk mengikuti ekspedisi tersebut dengan menggunakan bot nelayan.

“Ekoran itu kita tidak paksa, cuma kita buka peluang, sukarela kepada sesiapa yang hendak naik kapal itu asal tidak melebihi muatan,” jelasnya dalam ceramah idilfitri di Rantau Panjang malam tadi.

Ekspedisi Misi Royalti telah diadakan pada 4 Ogos lalu melibatkan 60 peserta termasuk ahli Parlimen, ADUN dan wartawan. Malangnya ia dimanipulasikan sesetengah media sebagai misi maut lantaran beberapa peserta mengalami kemabukan dalam perjalanan meredah Lautan Cina Selatan hampir 30 jam pergi balik sejauh 150 kilometer.

Ekoran itu, ada sekumpulan wartawan di Kelantan secara senyap-senyap menyisihkan Husam yang dianggap bertanggungjawab menganjurkan ekspedisi itu yang mereka anggap tidak menjaga keselamatan wartawan.

Padahal ia berlaku kerana mereka tidak biasa dengan suasana meredah lautan bergelora sebagaimana yang dilalui oleh para nelayan saban hari.

Dalam pada itu Husam menggesa kerajaan Malaysia melihat inisiatif rakyat Kelantan itu dari sudut positif di samping menghargai serta menghormati kesungguhan rakyat Kelantan di mana orang kampung biasa sanggup menawarkan kapal sendiri bagi menyampaikan mesej kepada kerajaan pusat dalam menuntut haknya.

Justeru kerajaan pusat perlu berlaku adil dan tidak ada sebab untuk terus menafikan hak rakyat Kelantan apatah lagi pengeluaran Kelantan adalah yang tertinggi berbanding dengan negeri-negeri pengeluar minyak lain dalam Malaysia.

Dalam masa yang sama Husam turut mendedahkan laporan Petronas 2008-2009 yang berakhir pada bulan Mac 2009 baru-baru ini dalam masa setahun Petronas sudah bayar royalti hasil daripada pengeluaran petroleum kepada Terengganu sebanyak RM3,000 juta dan Sabah RM900 juta.

“Kalau kepada Terengganu dan Sabah kerajaan boleh bayar kenapa tidak kepada Kelantan?” soalnya.

Sebelum ini kerajaan negeri melalui Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sudahpun dua kali menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung perkara berkaitan.

Bagaimanapun semasa lawatan beliau ke Kelantan baru-baru ini memaklumkan isu tersebut masih dalam kajian namun hingga ke hari ini masih belum ada apa-apa tindak balas.

Sebelum itu, ketika ditanya Husam dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Najib berkata, ia sedang dikaji dan apabila selesai beberapa soal teknikal, pihaknya akan bermesyuarat dengan Kelantan. -MI

Era Najib Altantuya : Masyarakat India Sambut Dingin Makkal Sakti

Masyarakat India kebanyakannya sambut dingin penubuhan Parti Makkal Sakti Malaysia - parti terbaru kaum India negara ini yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bulan depan.

Parti Makkal Sakti ditubuhkan oleh bekas pemimpin pertubuhan Hindraf yang telah diharamkan Oktober lalu.

Parti itu yang kini sedang giat mencari sokongan dari kalangan masyarakat India sebagai satu amlternatif kepada MIC telah cuba memancing bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam yang tewas merebut jawatan Timbalan Presiden MIC minggu lalu.

"Pintu untuk Parti Makkal Sakti terbuka kepada sesiapa saja termasuk Subramaniam.

"Kami sedia untuk menerima jika mereka berminat untuk menyertai kami," kata Presiden Parti Makkal Sakti, R.S. Thanenthiran.

Parti itu akan dilancarkan dengan rasmi oleh Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 10 Oktober ini.

Thanenthiran berkata, pihaknya belum memberikan jemputan rasmi kepada Subramaniam untuk menyertai Parti Makkal Sakti.

"Bagaimanapun mereka dialu-alukan menyertai parti dan memperjuangkan matlamat penubuhan parti ini," kata beliau sambil menambah, sejak diumumkan penubuhannya tiga bulan lalu, lebih 50,000 orang telah menyertai parti itu.

Bagaimanapun Thanenthiran enggan menyatakan antara orang penting masyarakat India yang telah menyertai partinya.

"Biar tunggu parti ini dilancarkan, saya akan mengumumkannya," katanya.

Ia akan dilancarkan pada pukul 10 pagi di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang.

Pada 15 September lalu, Subramaniam yang kalah buat kali kedua tiga hari sebelum itu berkata, akan mengumumkan keputusan mengenai masa depan kerjaya politiknya menjelang awal bulan depan.

Subramaniam berkata, beliau sedang mempertimbangkan beberapa opsyen yang ada baginya buat masa sekarang.

Empat opsyen itu ialah kekal berjuang dalam MIC, menubuhkan parti baru, menyertai Pakatan Rakyat atau bersara terus daripada arena politik.

Bagaimanapun beliau enggan memberi bayangan berhubung keputusan yang bakal dibuat itu.

Subramaniam yang berada di luar negara dijangka pulang ke tanah air dalam beberapa hari lagi.

Beberapa orang India telah menolak parti baru bekenaan dn menyifatkan ia hany berjuang untuk kepentingan individu tertentu terutama pemimpin Hindraf yang hendak menonjolkan diri di kalangan masyarakat India.

Apatah lagi mereka kini dikatakan akan menyertai Barisan Nasional. Ia bakal menghancurkan MIC sendiri dan bukan Pakatan Rakyat.

"Yang bimbang dengan penubuhan Makkal Sakti ialah Samy Vellu dan MIC. UMNO BN memang gembira dengan penubuhan Makkal Sakti yang diharapkan akan mengembalikan sokongan masyarakat India kepada BN yang telah meninggalkan MIC. Tetapi kebanyakan orang Indi sudah jelek dengan parti komponen BN yang berjuang dengan dasar ras tertentu, tidak seperti parti-parti di dalam pakatan Rakyat yang boleh disertai oleh mana-mana bangsa," ujar Kalaiselvan, seorang pensyarah IPTA.