25 Nov 2009

Akhbar Yang Mana Lagi Mahu Sebar Fitnah? Teruskan..

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan New Straits Times Press (NSTP) membayar RM100,000 kepada Anwar Ibrahim kerana memfintah mantan timbalan perdana menteri itu.

NSTP juga diarah membayar RM20,000 bagi menampung kos mahkamah dan tambahan faedah 8 peratus selagi pampasan itu tidak dibayar.

NST diheret ke mahkamah selepas akhbar itu menyiarkan rencana pada 2 Mac 2002, mendakwa Anwar kononnya menyorokkan RM3 billion di akaun-akaun bank luar negara.

Akhbar itu turut menfitnah Anwar dengan melaporkan Anwar kononnya menggunakan pertubuhan tertentu di Amerika Syarikat untuk mempromosi dirinya.

Pesuruhjaya kehakiman Datuk Harminder Singh berkata akhbar itu gagal membuktikan kesahihan laporan yang disiarkannya.

Peguam Anwar, Sankara Nair menyambut baik keputusan penghakiman berkenaan yang disifatkannya sebagai adil.

“Datuk Seri Anwar Tidak dapat hadir hari ini. Kami Sangat gembira dan berpuas hati dengan keputusan hakim Harmindar Singh, beliau telah melakukan yang terbaik dengan menilai semua aspek dalam kes ini dan analisa semua isu perundangan dari kedua-dua pihak secara rapi,” katanya.

Harmindar berkata rencana tersebut berunsur fitnah kerana ia menggambarkan Anwar sebagai seorang yang tidak ada integriti, dan ahli politik yang tidak boleh dipercayai.

Beliau berkata New Straits Times dan ketua pengarangnya ketika s itu Datuk Abdullah Ahmad gagal membuktikan kesahihan tuduhan-tuduhan yang disiarkan akhbar berkenaan.

Mahkamah mendapati rencana NST ini turut berniat jahat dan lebih dari sekadar menerbitkan semula rencana New Republic.

Pampasan yang diberikan oleh mahkamah kepada Anwar jauh lebih rendah daripada 100 juta ringgit yang dituntut oleh peguam Ketua pembangkang itu.

Namun Sankara berkata Anwar berpuashati dengan keputusan mahkamah membela kredibilitinya.

“Seperti saya katakana, bukan duit sebab utamanya. Disebabkan marah anda akan letak jumlah untuk menunjukkan kemarahan dan kekecewaan, tetapi akhirnya duit tidak bernilai berbanding petunjuk,” katanya.

Beliau berkata, Anwar mahu kes ini menjadi pengajaran kepada mana-mana media supaya lebih berhati-hati dalam menyiarkan sebarang laporan.

Ulasan GB

Akhbar mana lagi mahu sebar fitnah. Boleh teruskan. Precedent sudah ada.

Jangan nanti sampai bankrap kerana terpaksa membayar saman sedangkan wang itu boleh digunakan untuk bayar gaji dan bonus kakitangan .. bukankah itu lebih mulia dan berfaedah?




Selangor Lindungi Penjawat Awam Dari Brainwash BTN

Dalam usaha melindungi penjawat awam Selangor dari tarbiyah ekstrem Biro Tata Negara, kerajaan negeri menghentikan penyertaan pegawai agensi kerajaan negeri dan penuntut di institusi pendidikan milik kerajaan negeri dari menyertai kursus biro itu.

Exco Pendidikan Dr Halimah Ali berkata keputusan ini berkuatkuasa serta merta hari ini selepas siasatan mendapati tarbiyah yang diterapkan BTN mengajak kepada perpecahan dan ketegangan kaum.

“Mereka yang telah melalui kursus Biro Tata Negara ini kebanyakannya adalah satu proses indoktrinasi oleh Kerajaan Barisan Nasional dan ia menimbulkan satu fenomenan yang agak perkauman, di mana ia seolah-olah ingin memecahbelahkan di antara penduduk-penduduk yang pelbagai bangsa dan agama di Malaysia ini”, jelas Dr Halimah.

Terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, BTN menawarkan kursus bina jati diri kepada penuntut universiti dan penjawat awam.

BTN diwujudkan bagi menanam semangat cintakan negara, namun umum kini melihat biro itu tidak lebih dari unit propaganda BN.

Minggu lalu, tujuh wakil rakyat Pakatan menggesa kerajaan Selangor menghalang kerahan anak-anak murid ke program tarbiyah BTN.

Bercakap dari pengalamannya sendiri, Adun Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata peserta kursus diajar mengenai Ketuanan Melayu, PKR ejen Yahudi, DAP proksi Singapura dan Pas gerakan ajaran sesat.

Antara institusi pengajian tinggi milikan kerajaan negeri ialah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Industri Selangor (Unisel), Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Antarabangsa INPENS.

“Kita akan memberikan satu surat arahan formaliti kepada institusi-institusi yang telah saya sebutkan jabatan dan agensi kerajaan negeri Selangor bersama dengan IPT tentang perkara yang saya sebutkan tadi”, tegasnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Ahli Hindraf Sertai Mogok Lapar Di KLCC

Seramai 18 orang ahli Hindraf hari ini mengadakan mogok lapar tepat jam 9.15 pagi di hadapan pintu masuk Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan, S.Jayathas berkata, 18 individu berkenaan mewakili 18 permintaan masyarakat India kepada kerajaan yang dibuat pada dua tahun lalu namun masih belum mendapat sebarang jawapan.

Mereka berhimpun seawal jam 9 pagi di perkarangan menara KLCC. Bagaimanapun, pada jam 10.15 pagi berlaku kekecohan apabila polis cuba menghalang tiga orang peserta mogok lapar dari menghampiri pintu masuk mercu Negara itu.

Bagi mengelakkan polis menahan mereka dibawah Akta Polis yang melarang perhimpunan lima orang dan lebih, kumpulan Hindraf ini berpecah kepada beberapa kumpulan kecil tidak melebihi empat orang di serata KLCC.

Tepat jam 1.20 petang, Pemimpin Hindraf, P Utayakumar dan Pengerusinya M. Manoharan datang bersama 10 kanak-kanak untuk menyampaikan bunga kepada 18 peserta mogok berkenaan.

Pemogok-pemogok ini disuraikan secara aman pada 1.45 petang.

Uthayakumar berkata perhimpunan ini adalah bagi memperingati 18 tuntutan yang dikemukakan Hindraf kepada kerajaan Malaysia.

Tuntutan itu menuntut pemerintah untuk tidak menindas masyarakat India kelas bawahan.

Menurut Uthayakumar, Hindraf akan menyampaikan memorandum kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak di Putrajaya menggesa kerajaan duduk semeja dan berdialog bersama mereka.

“Saya minta Najib untuk memanggil kami bagi mengadakan dialog. Kami tiada memorandum lagi kepadanya dan kami minta dia mengadakan sesi dialog. Kami hendak tahu apa tindakannya terhadap 18 permintaan kami,” katanya.

M Manoharan, yang juga Adun Kota Alam Shah berkata masyarakat India juga berhak kepada hak-hak kewarganegaraan sepertimana yang kaum lain di Negara ini.

Beliau meminta kerajaan sedia ada memberi perhatian khusus kepada kesan kegagalan pemerintah sebelum ini memberi perhatian kepada maslahat masyarakat tertindas.

“Kami hendak tahu kenapa masyarakat India dilayan dengan teruk oleh kerajaan. Itu tujuannya, perit untuk melihat masyarakat India menderita,” katanya. -TVS



Husam Tolak Untuk Jadi Pengganti Nik Aziz Sebagai MB

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi Menteri Besar Kelantan kerana senioriti serta hiraki di dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan.

"Semua calon layak, Timbalan Menteri Besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.

"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap down sindrom di Kampung Becah Keranji, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri di mana wujudnya Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya Satu hingga Tiga.

Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.

Sehingga kini Ahmad yang disebut-sebut di kalangan pemimpin dan penyokong PAS Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontraversi.

Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.

Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.

Husam berkata beliau akan mengkaji dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan akhbar New Straits Times Press (NSTP) dan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita berbau fitnah terhadapnya.

Katanya, beliau memberi tempoh seminggu ke atas keduadua akhbar itu untuk menyiarkan kenyataan permohonan maaf terhadapnya sebelum beliau mengemukakan saman di mahkamah.

Husam sebelum ini "diserang" oleh media tempatan dengan dakwaan beliau telah meletak jawatan dalam kerajaan dan politik berikutan konon beliau memberikan kata dua kepada Nik Abdul Aziz berhubung pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda PAS yang berkaliber, Husam berkata beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk menanyakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam -BERNAMA

Ulasan GB

Itulah sifat kerendahan hati seorang pemimpin jemaah Islam sekalipun tidak mempunyai latarbelakang akademik ugama formal yang telah dididik oleh TG Nik Aziz sendiri.

Sifat mulia itu pernah ditunjukkan sewaktu Umar Al-Khattab dilantik sebagai khalifah pertama oleh Saidina Abu Bakar yang kemudiannya, Saidina Umar menyerahkan semula kepada Abu Bakar jawatan khalifah itu. Umar menyatakan Abu Bakar lebih kanan dan lebih tua darinya.

Seorang pemimpin Islam tidak mengatur langkah untuk merebut jawatan MB secara jijik dan kotor sehingga sanggup menemui dan berkompromi dengan musuh sepertimana yang dilakukan oleh seorang pemimpin sekalipun berbelatarbelakang pendidikan ugama di sebuah negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Juga bukan seperti pemimpin parti yang bercita-cita untuk menjadi pemerintah tertinggi negara dan kemudian menimbulkan gagasan yang memporak-perandakan jemaah parti akhirnya.

Mujur di kedua-dua kes terakhir ini, Allah tidak merstuinya.

Allah masih sayang dan tetap menjaga jemaah milikNya.

NST Diperintah Bayar RM100K Kepada Anwar

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memenango kes saman fitnah terhadap New Straits Times dan its bekas Ketua Pengarang akhbar berkenaan Tan Sri Abdullah Ahmad.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang telah mengemukakan saman RM100 juta tetapi Mahkamah Tinggi hanya memutuskan ganti rugi RM100,000.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwall menyifatkan tuntutan RM100 juta terlalu tinggi, jadi mahkamah “menghadiahkan” RM100,000 dan RM20,000 sebagai kos.

Kadar faedah lapan peratus juga dibenarkan oleh mahkamah.

Hakim Harmindar menyatakan rencana berkenaan dipertikaikan kebenarannya dan bukan "satu jurnalism yang bertanggungjwab" dan tidak dilaporkan di dalam bentuk yang adil, tidak berpihak dan tanpa berkepentingan.

Anwar telah menyaman NST berhubung satu rencana disiarkan tujuh tahun lalu, yang mengaitkannya dengan pelobi berpengaruh Amerika Syarikat Douglas H Paal.

Artikel itu diterbitkan di dalam akhbar New Straits Times pada March 2, 2002, dengan tajuk "Anwar’s link to US lobbyist".

Muhyiddin Nak Tunjuk Hero Kat Tg Razaleigh

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Tengku Razaliegh Hamzah berfikir dahulu menyertai Kaukus khas parlimen berhubung royalti petroleum sebagai primitif dan masih megamalkan politik zaman batu.

Sikap Muhyidin tidak memperlihatkan mahu memperjuang hak dan kepentingan rakyat sebaliknya masih terikat dengan stigma sempit kepartian.

"Muhyidin ini bagi saya seorang TPM primitif yang amalkan politik zaman batu, di mana tidak boleh menerima pandangan orang lain untuk kepentingan rakyat dan negara," tegas Mahfuz.

Muhyidin hari ini membuat gesaan kepada Ku Li, iaitu Ahli Parlimen BN Gua Musang supaya berfikir dan menjaga kepentingan parti sebelum menyertai kaukus tajaan pakatan rakyat itu.

Gesaan itu dibuat setelah Ketua Pembangkang semalam mengumumkan Ku Li bersedia untuk bersama dalam kaukus tersebut.

Saya menasihatkan Muhyiddin agar meninggalkan amalan politik secara primitif itu.

"Dia (Muhyiddin) patut tinggallah politik primitif itu sebab negara sekarang sedang menuju pada suatu yang disebut politik baru, berasaskan maklumat, keadilan perlembagaan serta meletakkan kepentingan rakyat adalah segala-galanya."

Tindakan Muhyiddin itu menggambarkan bahawa beliau lebih pentingkan Umno dari rakyat.

"Kalau Muhyiddin Timbalan Perdana Menteri 1Malaysia yang pentingkan rakyat, dia takkan halang Kuli... inilah wajah sebenar Muhyidiin (iaitu) lebih penting parti dari rakyat,"

Saya juga menganggap Muhyiddin cuba mengkhianati prinsip persekutuan-negeri, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beberapa hari lalu, Ku Li dicadangkan mengetuai Kaukus Parlimen demi menyiasat keputusan kerajaan untuk memberi 'wang ehsan' hasil Royalti Minyak kepada rakyat Kelantan, tanpa melalui Kerajaan Negeri.

Cadangan tersebut setelah Ahli Parlimen Pembangkan kecewa dengan keputusan kerajaan Persekutuan menafikan hak rakyat Kelantan untuk menikmati royalti minyak di negeri mereka.

Kedudukannya sebagai bekas Menteri Kewangan era 1970an dan pernah mengikuti siri perjanjian persefahaman (MoU) Akta Pembangunan Petronas meletakkan beliau layak memimpin badan bebas di bawah kuasa Parlimen.



Puncak Niaga Perdaya Pemegang Sahamnya Dengan Pengumuman Keuntungan Berlipat Kali Ganda?

Selangor tidak akan bertanggungjawab terhadap kenyataan syarikat pengurusan air Puncak Niaga yang mengumumkan keuntungan berlipat kali ganda, antaranya hasil bayaran ganti rugi kerajaan negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga berkata Selangor tidak akan membuat pembayaran ganti rugi itu kepada Syarikat Bekalasan Air Selangor (Syabas), anak syarikat Puncak Niaga, apabila enggan menerima tarif baru bekalan air.

Beliau mengulas keuntungan bersih Puncak Niaga yang diumumkan semalam sebanyak RM46.7 juta daripada dua sumber hasil utama, peningkatan pendapatan akibat kenaikan harga air dan ganti rugi daripada kerajaan Selangor.

"Kerajaan negeru berpendapat kenyataan Puncak Niaga semalam adalah satu overstatement of profit (anggaran berlebihan berhubung keuntungannya) dan syarikat itu perlulah bertanggungjawab kepada pemegang sahamnya dalam isu ini," kata Abdul Khalid di sidang media selepas mesyuarat exco negeri di Shah Alam petang ini.

"Kerajaan negeri juga tidak akab bertanggungjawab ke atas laporan yang dikeluarkan oleh Puncak Niaga mengenai peningkatan keuntungan tersebut." -malaysiakini

Ulasan GB

Dari rekod:


MUKTAMAR PAS DITAJA KRONI UMNO? SUNGGUH MEMALUKAN!

Patutlah GB rasa semacam ada sesuatu yang tak kena dengan perjalanan Muktamar Kali ke 55 yang amat diberikan pujian oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang menyokong gagasan Kerajaan Perpaduan sebagai yang terbaik pernah diadakan.

Tatkala membaca nama-nama Jawatankuasa Urusetia muktamar, saya melihat pemuka-pemuka Kerajaan Perpaduan menguasainya sehinggakan para blogger dinafikan keizinan untuk menggunakan kemudahan internet di muktamar kerana kebanyakan blogger-blogger dianggapkan oleh mereka sebagai golongan menentang idea Kerajaan Perpaduan da dicopkan sebagai kumpulan Erdogan.

Tiba-tiba Malaysiakini melaporkan satu sumber memberitahu, 12 pemimpin tertinggi parti itu telah ditaja penginapan mereka oleh individu yang tidak dikenali, diragui mempunyai kaitan dengan Umno.

Manakala satu sumber yang lain memberitahu Malaysiakini, hanya sembilan bilik pemimpin atasan parti ditaja oleh pihak luar.

Sumber-sumber berkata, pembayaran untuk sewaan bilik di sebuah hotel lima bintang di Shah Alam bagi tempoh tiga hari sejak hari pertama muktamar 5 Jun lalu dibuat atas nama seorang bekas peguam dari Perlis.

Selain dakwaan pembabitan orang Umno dalam penginapan hotel, Ahad lalu, seorang perwakilan mempersoalkan tindakan PAS menerima tajaan sebuah syarikat besar untuk menjayakan muktamar tersebut.

Dikatakan Khalid Samad, juga yang dipertua PAS Shah Alam, melontarkan tuduhannya ketika membahaskan usul menggesa penubuhan suruhanjaya diraja siasatan kes rampasan kuasa BN di Perak awal tahun ini.

Beliau, juga ahli parlimen Shah Alam, mempertikaikan syarikat konsesi air Puncak Niaga – yang bertegang urat dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dalam isu air – yang meletakkan iklannya di bahan muktamar.

“Apalah sepanduk Puncak Niaga berbanding mashaf al-Quran di hujung lembing? Apalah iklan Puncak Niaga di hadapan majalah yang diedarkan berbanding degan mashaf al-Quran di hujung lembing?” katanya.

“Kita kenal lawan kita. Mereka sanggup membelanjai (membiayai) segala perbelanjaan kita (bermuktamar) pada hari ini dan hari-hari sebelum ini, membayar hotel-hotel kita kalau perlu.”

Beliau menyindir usaha pengendalian muktamar oleh PAS Selangor dengan mengambil iktibar sejarah perang Siffin antara puak Muawiyah Abu Sufian dengan angkatan Ali Abu Talib dalam perebutan kuasa khalifah.

Muawiyah, seorang ahli politik yang licik, mencadangkan majlis tahkim atau perundingan di tengah-tengah perang di luar Madinah dengan mengangkat kitab suci di hujung lembing sebagai lambang gencatan senjata yang akhirnya memecah-belahkan kumpulan tentera Ali.

Pada hari terakhir muktamar PAS Ahad lalu, satu risalah berukuran tabloid yang melaporkan perjalanan sepanjang persidangan tiga hari parti itu diedarkan kepada lebih kurang 1,000 perwakilan dari seluruh negara dan petugas media.

Dalam bahan edaran itu, disiarkan iklan besar Puncak Niaga di bahagian bawah muka depannya.

Sementara di luar tempat persidangan sekitar Stadium Malawati di Shah Alam, tempat muktamar itu berlangsung, syarikat konsesi itu turut menggantungkan kain rentangnya.

Puncak Niaga juga membuka pondok pameran mereka di kawasan gerai-gerai jualan bersempena muktamar itu.

Sumber-sumber bagaimanapun tidak jelas berhubung nilai tajaan yang diterima PAS bagi menganjurkan muktamar itu, termasuk bayaran iklan Puncak Niaga.

Usaha Malaysiakini mendapatkan penjelasan tuan rumah muktamar, PAS Selangor tidak berhasil setakat ini.

Difahamkan pesuruhjaya negeri itu Datuk Dr Hassan Ali sedang menghadiri sebuah program sewaktu dihubungi sebentar tadi.

Ketua Penerangan PAS Selangor yang juga setiausaha presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir enggan mengulas isu ini sewaktu dihubungi petang ini.

Ulasan Ringkas GB

Hal di atas, jika benar, amat memalukan PAS sebagai sebuah jemaah Islam yang rupa-rupanya dikotori oleh tangan-tangan bedebah pemuka-pemuka Kerajaan Perpaduan yang telah mendapat tajaan dari pihak UMNO.

Belum apa-apa pihak yang mendokong gagasan Kerajaan Perpaduan sudah berani membuat keputusan sendiri “bekerjasama” dengan kroni UMNO.

Apalah ertinya mempunyai muktamar yang terbaik pernah diadakan dengan menjual maruah parti sendiri dan kamu Roslam SMS, kenapa apabila diminta penjelasan tiba-tiba menikus?



SELPROA Tolak Kepimpinan Najib, Mohon Tarik Balik Pembatalan Pekeliling MB

Persatuan Pegawai-pegawai kepada ahli parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor mengecam tindakan Peguam Negara mencabar surat pekeliling Menteri Besar melarang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyoal siasat kakitangan kerajaan negeri selepas waktu pejabat.

Menurut persatuan itu, peguam negara seharusnya mengambil iktibar daripada tragedi mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati setelah disoal siasat sepanjang malam oleh SPRM, Julai lalu.

Presiden persatuan berkenaan, Abdul Razak Ismail membidas tindakan Peguam Negara mencabar pekeliling Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang melarang pegawai kerajaan memberi kenyataan kepada SPRM selepas waktu pejabat dan diluar bangunan SUK.

Kes itu dirujuk ke mahkamah dan menunggu keputusan.

Justeru Abdul Razak menggesa Perdana Menteri Najib Razak untuk melaksanakan amanah dalam membela hak asasi rakyat termasuk kakitangan kerajaan negeri.

Persatuan ini mendesak Najib untuk mengarahkan Peguam Negara membatalkan tindakan mencabar surat pekeliling tan sri Khalid ibrahim.

"Kami amat terkejut oleh permohonan Peguam Negara kerana ini merupakan satu penafian ke atas hak-hak kami sebagai rakyat Malaysia untuk bekerja dalam satu persekitaran yang selamat dan terjamin.Tindakan ini juga menunjukkan tiadanya kebebasan dan kelihatan Peguam Negara bertindak bagi SPRM",katanya.
\
Razak berkata demikian pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam, hari ini.

Katanya, Peguam Negara sepatutnya menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Ariff Mohd Yusof pada 19 November lalu menyatakan bahawa SPRM tidak boleh menyoal saksi pada waktu malam.

"Kami menyeru kepada Peguam Negara untuk menarik balik permohonan pembatan pekeliling Menteri Besar dengan serta merta untuk menjamin keselamatan dan hak pembantu –pembantu wakil rakyat.

“Kami menyokong sepenuhnya pekeliling Menteri Besar dan menghargai usaha bersepadu oleh Pakatan Rakyat dalam memastikan keselamatan semua pembantu-pembantu politik kepada wakil rakyat pakatan rakyat Selangor",katanya.

Selproa atau persatuan pegawai-pegawai wakil rakyat pakatan rakyat Selangor ditubuhkan pada bulan ini bagi melindungi keselamatan, hak asasi kemanusiaan dan kebajikan pembantu politik di negeri ini.

Ia dianggotai oleh 85 orang ahli yang merangkumi pembantu kepada Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor. -TVS



Hassan Karim Sertai PKR

Kemasukan bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia, Hassan Abdul Karim ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi makna baru kepada perjuangan parti.

Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang politik, Hassan juga terkenal dengan semangat jitu memperjuangkan prinsip kepedulian rakyat.

“Kemasukan Hassan Karim haro ini pada pandangan saya ialah tindakan yang telah dijangka kerana Hassan Karim ialah seorang pejuang yang terkenal, pejuang tokoh sosialis yang memang terbukti dari segi ketahanan dia” ujar ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.

Mengimbas kembali bertautnya hubungan di antara PRM dan Keadilan pada suatu ketika dahulu walaupun tanpa kehadiran Ketua Pembangkang adalah bukti kekuatan Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat.

“Sebab itu ketika mana, Parti Rakyat Malaysia (PRM) bergabung dengan Keadilan ketika itu, sebenarnya pada waktu itu sudah ada kefahaman walaupun pada waktu itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada di dalam penjara. Maka kemasukan Hassan Karim membuktikan sekali lagi, ianya merupakan gabungan parti-parti yang mantap".

“Yang lain-lain itu saya rasa, kemasukan Hassan Karim sekali lagi membuka ruang kepada tapak permulaan Pakatan Rakyat terus berkembang di Johor" tambahnya lagi.

Ahli parlimen Sungai Petani, Johari Abdul juga turut mengalu-alukan kemasukan Hassan ke dalam PKR.

Beliau berkata persiapan PKR menawan Johor Darul Takzim semakin mantap dengan kehadiran tokoh rakyat ini.

“Kita mengalu-alukan kemasukan Hassan sebagai pemimpin yang telah lama berjuang. Dia seangkatan dengan syed Hussin Ali sebenarnya. Saya rasa ini akan memperkukuhkan lagi Keadilan khususnya di Johor”

Hassan sebelum ini telah meletakkan jawatannya dalam PRM apabila usulnya agar parti komponen itu menyertai Pakatan Rakyat ditolak.

Hassan telah mengemukakan usul agar PRM menyertai Pakatan Rakyat sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PRM ke-41 yang di adakan 15 November lalu. -TVS



Diancam OSA, Selangor Akan Pertahan Khalid

Peguam Yusmadi Yusof yakin rakyat Selangor akan pertahan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pendedahan punca tanah runtuh Bukit Antarabangsa.

Ketika ditemui di Parlimen hari ini, Yusmadi berkata beliau tidak terkejut sekiranya pemerintah mengambil tindakan terhadap Khalid kerana membongkar dokumen Akta Rahsia Rasmi.

“Bagi saya ini adalah satu perkara yang amat ditakuti oleh BN kerana ia akan membuka pekung di dada”, kata beliau.

Laporan tersebut mendedahkan paip pecah antara punca kejadian tanah runtuh yang menelan nyawa lima penduduk Bukit Antarabangsa.

Kerajaan Persekutuan bagaimanapun bertindak pantas atas alasan dokumen itu dibawah bidang kuasa Kabinet, dan memberi amaran untuk tidak mendedahkan dokumen itu.

Yusmadi menegaskan tindakan Khalid harus disokong dan dipertahankan atas dasar ketelusan dalam pemerintahan.

“Disini kita menunjukkan kita kerajaan yang berkeyakinan tinggi maksudnya kita tidak takut kita dikritik dan kita tidak takut untuk mewar warkan salah laku kerajaan terhadahulu”. – Hadri Yaziz (TVS)


Bukit Antarabangsa: Dilema MB Selangor hadapi risiko OSA

PETALING JAYA, Nov 25 — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyuarakan pendirian untuk mempertahankan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim jika beliau berhadapan dengan tindakan perundangan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana ‘mendedahkan’ rumusan laporan tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa kepada umum minggu lalu.

Khalid berhadapan dengan dilema baru ini menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha minggu ini. Akhir tahun lalu beliau berhadapan dengan isu menyumbang korban sempena Hari Raya Haji kepada penduduk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, yang masih berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang Yusmadi Yusof, yang juga seorang peguam, yakin rakyat Selangor akan mempertahan Khalid berhubung pendedahan punca tanah runtuh Bukit Antarabangsa.

Difahamkan kerajaan negeri Selangor sudah melantik dua firma untuk mengkaji kemungkinan risiko dikenakan OSA ke atas Menteri Besar.

Yusmadi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata beliau tidak terkejut sekiranya pemerintah mengambil tindakan terhadap Khalid kerana membongkar dokumen “rahsia” kerajaan persekutuan.

“Bagi saya ini adalah satu perkara yang amat ditakuti oleh BN kerana ia akan membuka pekung di dada”, kata beliau dipetik TVSelangor.

Laporan tersebut mendedahkan paip pecah antara punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan lima nyawa.

Kerajaan persekutuan memberi amaran laporan itu tidak boleh didedahkan kepada umum.

Yusmadi menegaskan tindakan Khalid harus disokong dan dipertahankan atas dasar ketelusan dalam pemerintahan.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Selangor berhubung pendedahan kandungan laporan tersebut berkata, tindakan yang mungkin boleh dikenakan ialah di bawah OSA.

“Itu saya tak pasti. Bahagian perundangan kena tengok. Saya dah bagi tahu pegawai perundangan supaya melihat sama ada apa yang dilakukan kerajaan Selangor itu melanggar peraturan OSA atau sebaliknya.

“Sebabnya Khalid sendiri dah dedahkan banyak benda,” kata beliau yang dipetik Bernama.

Khalid sebelum ini mengumumkan bahawa laporan siasatan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa akan didedahkan kepada umum mulai kelmarin.

Khalid yang mengubah status klasifikasi dokumen itu dengan menggunakan haknya sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2c OSA berkata orang ramai boleh mendapatkan kandungan laporan berkenaan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Justeru kelmarin Khalid mendakwa kerajaan negeri tidak dapat mengedarkan salinan laporan kejadian itu kepada umum kerana belum mendapat kebenaran Kementerian Kerja Raya. Khalid menangguhkan keputusan mengedarkan salinan laporan siasatan itu.

Shaziman menegaskan, MPAJ perlu memohon kepada Kementerian Kerja Raya untuk mendedahkan kandungan laporan siasatan tanah runtuh itu kepada umum.

Katanya selagi MPAJ tidak mengemukakan permohonan, status laporan itu kekal sebagai rahsia dan kerajaan Selangor tidak boleh mendedahkannya kepada umum.

Beliau berkata kementerian tidak berniat merahsiakan laporan itu tetapi hanya mengehadkan kepada mereka yang hanya mempunyai aset dan kepentingan di Bukit Antarabangsa.

Shaziman berkata laporan itu bagaimanapun tetap boleh didedahkan kepada orang ramai jika MPAJ membuat permohonan, dan jika ada kebaikan kepada semua beliau akan membawa isu itu ke Kabinet untuk dipertimbangkan. -MI




Nik Aziz Sudah Bayangkan Penggantinya

Selepas 19 tahun mengetuai kepimpinan pentadbiran negeri, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah membayangkan barisan pelapis yang bakal menggantikan beliau.

Semalam ketika ditemui di sini Nik Aziz (gambar) tidak menolak terdapat kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya jika beliau melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan.

Beliau yang enggan membayangkan nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya itu, bagaimanapun memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal menggantikan beliau ialah bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang juga Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaacob.

Dua hari lalu, leh Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa agar Nik Aziz menamakan penggantinya ketika pentadbiran kerajaan negeri pimpinan beliau yang sudah tahun ke-19, terus dibelenggu isu demi isu.

"Saya secara peribadi rasa perlu Tuan Guru Nik Aziz menamakan pengganti atau sekurangnya bagi petanda untuk mudahkan proses," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Mohd Amar menambah: "Kalau berlaku tiba-tiba (perubahan pucuk pimpinan), mungkin orang yang naik (pengganti) perlukan masa untuk stabilkan keadaan."

Kata beliau, pandangan itu bukan bertujuan memaksa Nik Aziz berundur sekarang.

Pada hari yang sama Nik Aziz, ekoran tekanan dalam parti dan luar parti, telah meminta menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Nik Aziz sebelum ini mempertahankan pelantikan Ariffahmi. Ariffahmi kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Nik Aziz, 78, juga tetap menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan semata-mata kerana kemelut yang kini melanda dalam PAS atau atas desakan mana-mana pihak.

"Saya tidak akan melepaskan jawatan kecuali kerana uzur atau tua, tetapi pada masa ini belum sampai masanya lagi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di rumahnya di sini malam tadi.

Nik Aziz dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan selepas PAS menguasai negeri itu dalam pilihan raya umum 1990. -MalaysianInsider

RON95 Rosakkan Enjin, Benar Tapi Tak Tepat

Tanggapan RON95 Merosakkan Enjin Tidak Tepat

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Tanggapan pengguna terhadap penggunaan minyak petrol RON95 yang merosakkan enjin adalah tidak tepat, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Selasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata sekiranya enjin kenderaan cukup sekadar dengan pembakaran RON95, penggunaan RON yang lebih tinggi tidak akan memberi kesan kepada keupayaan enjin secara optimum.

"Negara-negara pengeluar kenderaan utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat juga menggunakan petrol RON95. Di Eropah, penggunaan RON95 adalah lebih 84 peratus daripada keseluruhan penggunaan petrol yang merupakan bahan bakar utama kenderaan," katanya di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu sama ada minyak petrol yang dijual di stesen minyak Petronas iaitu Primax 95 tidak sesuai digunakan untuk kereta import dan kereta mewah kerana minyak itu boleh merosakkan enjin.

Tan berkata sebelum keputusan untuk memperkenalkan RON95 dilaksanakan, beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak yang terlibat telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas daripada setiap aspek penggunaan petrol RON95.

"Semua pihak tersebut bersetuju dengan pelaksanaan RON95 memandangkan kebanyakan enjin kenderaan di Malaysia menggunakan teknologi yang direka bentuk sesuai dengan penggunaan petrol RON95," katanya.

Beliau berkata dengan menggunakan petrol yang mempunyai nilai RON minimum yang bersesuaian dengan keperluan kenderaan sepertimana yang disyorkan oleh pengeluar enjin kenderaan akan memastikan pembakaran berlaku tepat pada masanya lantas mengelakkan berlakunya fenomena ketukan enjin.

Ketika menjawab soalan tambahan Johari mengenai terdapatnya notis yang diletakkan di stesen minyak bukan Petronas mengenai petrol RON95 yang boleh membahayakan enjin, Tan berkata kementerian tidak menyedari mengenai perkara itu.

"Pihak kementerian tidak sedar tentang hal ini, dan kita akan menghantar pegawai penguatkuasa kita untuk memeriksa semua stesen minyak khususnya daripada bukan Petronas," katanya.

Ulasan GB

Tidak tepat bukan bererti tidak benar. Jawapan timbalan menteri itu mengelirukan. Persepsi rakyat selepas mendengar jawapannya: RON95 boleh merosakkan enjin adalah satu hal yang benar cuma tidak didasarkan kepada hujjah yang tepat.

Mengapa timbalan menteri itu tidak berani menafikan secara tegas bahawa kenyataan "RON95 merosakkan enjin" itu tidak benar?