30 Nov 2009

UMNO Mengganas di Sidang DUN Pulau Pinang

Kurang dari 100 orang menyertai tunjuk perasaan mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meletakkan jawatan di luar bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.

Tunjuk perasaan ini terdiri dari gerombolan Pemuda Umno, Gerakan, MCA dan MIC menggesa Guan menyerahkan jawatannya itu kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman.

Perhimpunan ini ternyata mencemarkan sidang dewan sempena 50 tahun Jubli Emas Dewan Dun Pulau Pinang. Ketika kekecohan berlaku, Guan Eng sedang merasmikan Pameran Maklumat Sivil 2009 DUN-Menghubungkan NGO dan Penggubal Dasar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di perkarangan dewan.

Guan Eng dalam satu sidang akhbar selepas itu mengkritik perbuatan demonstrasi tersebut yang dianggap mencemarkan imej Pulau Pinang, dan hanya memburukkan imej parti itu sendiri dengan kekasaran dan kelakuan yang tak ubah seperti sebuah parti samseng.




BTN Diperalat BN, Racun Pemikiran Pemimpin Melayu

Keputusan kabinet merombak kurikulum BTN dibuat setelah Pulau Pinang menyusuli tindakan Selangor memulau kursus BTN berkuat kuasa serta merta.

Ini berikutan semakin ramai peserta kursus itu tampil mengecam kursus-kursus itu sebagai helah untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada UMNO.

Menurut beberapa peserta, modul-modul kursus BTN secara halus, turut menjurus kepada menyemarakkan rasa benci terhadap kaum Cina, dan parti Pembangkang.
Bekas pengarah Biro Tata Negara (BTN), Johari Abdul menyelar kerajaan Malaysia terhadap pemesongan agenda asal BTN.

“Ia (BTN) amat terpesong. BTN diwujudkan sekitar tahun 80-an. Bermula dengan Datuk Seri Abdullah Badawi yang menjadi pengarah belia di Kementerian Belia dan Sukan. Kemudian, dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri baru dipanggil Biro Tata Negara. Tujuan utama, tujuan asas BTN diwujudkan adalah untuk membakar semangat anak-anak Melayu dan Bumiputera” ujar Johari.

Ujar Johari, BTN pada asasnya mempunyai garis panduan yang jelas iaitu untuk menaikkan semangat anak muda bumiputera untuk bersaing dalam bidang akademik namun dasar itu mulai kendur dari semasa ke semasa.

“Tapi kita tidak pernah menggunakan BTN ini sebagai tempat untuk mencerca pemimpin-pemimpin. Amat berbeza sekarang, BTN digunakan sebagai agensi, saya tidak kata semua tetapi ada dalam program-programnya mencerca pemimpin-pemimpin" katanya.

Menurut Johari, BTN pada masa kini bukan sahaja bersifat perkauman, malah turut menghina pemimpin negara seperti mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ada pensyarah-pensyarah dalam program BTN ini Anwar mempunyai 3 bilion, dan ini disahkan oleh bekas governor, Datuk Murad dahulu, ini cerita tahun 1999 sedangkan bekas pengarah penyiasat BPR mengesahkan setelah siasatan dibuat, tuduhan 3 bilion itu tidak betul” katanya lagi.



Selangor Anjurkan Forum Awam Pertahan Keputusan Haramkan BTN

Selangor akan menganjurkan forum khas mengenai Biro Tata Negara (BTN) supaya masyarakat umum menilai kewajaran langkah kerajaan negeri melarang penyertaan dalam program anjuran biro itu.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau mengambil langkah itu susulan kritikan daripada menteri Barisan Nasional yang masih mempertahankan kursus BTN.

Forum ini dijangka melibatkan bekas-bekas pegawai dan pensyarah BTN, serta saksi-saksi yang pernah terbabit dalam kursus BTN.

“Bekas peserta, pensyarah dan pihak lain (yang berkaitan) akan dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka,” katanya.

Ia akan membedah-siasat modul tarbiyah BTN, dan mengapa kerajaan negeri mengambil langkah drastik melarang penyertaan penjawat awam negeri dan penuntut universiti kerajaan negeri ke program itu.

“Apa yang kami pertikaikan ialah kandungan serta penyampaian program BTN ini, dan sejak akhir-akhir ini kandungannya dikatakan mulai berat sebelah, di samping tidak mencapai objektif untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Tan Sri Khalid berkata kerajaan negeri Selangor dan Pakatan Rakyat menyedari ketidaksempuraan program BTN dan potensi keganasan yang lahir dari kursus seperti ini.

"Langkah itu diambil selepas kerajaan negeri melihat kursus berkenaan sebagai satu proses doktrinisasi oleh kerajaan Barisan Nasional bagi mewujudkan rasa benci terhadap pembangkang,"katanya lagi.

"Saya tidak pernah membantah sebarang program yang bertujuan menyemai semangat nasionalis dan patriotik di kalangan rakyat,namun sebaliknya pula yang terjadi.jelasnya.

Walaubagaimanapun, beliau melahirkan sukacita kerana tindakan kerajaan negeri mengharamkan program tersebut adalah tepat dan disambut baik oleh rakyat Selangor.

"Saya juga berpuas hati kerana ketika ini rata-rata kalangan orang ramai mulai membincangkan mengenai kualiti dan nilai kursus-kursus BTN,"ujarnya. -TVS



Ibrahim Ali Dalang Demo Esok Di Kelantan

Esok ada demontrasi di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Katanya NGOs akan buat.

Siapa NGOs itu? Katanya dari kalangan puak Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas yang betanding atas tiket PAS. Kenapa beliau nak berdemo? Katanya mahu mendesak Tok Guru Nik Abdul Aziz meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

ITU lah si Ibrahim Ali. Orang yang ingin didesaknya itu adalah orang yang memberi keizinan kepada beliau bertanding di kerusi PAS atas nama tiket PAS. Orang yang menyuap nasi ke mulut beliau sendiri yang nak digigit jari. Inilah perangai Ibrahim Ali.

Sekarang beliau sedang mengerah di seluruh negeri termasuk ketua-ketua Umno Bahagian juga supaya rakyat keluar beramai-ramai untuk berdemontrasi. Apakah Ibrahim Ali mahu magerankan Kelantan sekali lagi?

Kita tengok apakah tindakan pihak keselamatan besok. Kita percaya mereka mampu mengawal keadaan. Kalau bola sepakpun boleh takkan demo tak boleh. Jangan risau polis ada.

Kenapa Brahem Ali mahu berdemo? Apakah sebenarnya disebalik gerakkerja beliau ini? Di rasakan ada sesuatu yang cuba dimainkan oleh beliau. Atau beliau sedang “Menawan Hati” Perdana Menteri untuk diterima masuk Umno semula. Kalau jadi… beliau mahu jadikan macam Perak.

Brahim tetap Brahim… -manjanik

Ulasan GB

Ada pihak di dalam PAS sendiri menyalahkan TG Nik Aziz kerana membenarkan Ibrahim Ali bertanding di atas tiket PAS untuk kerusi Pasir Mas.

GB menyatakan bahawa itu menunjukkan bahawa TG Nik Aziz berhati mulia. Sentiasa terbuka untuk menerima "sesiapa saja" yang ingin bekerjasama dengan PAS Kelantan.

Seandainya "sesiapa saja" itu menipu dan mengkhianati PAS, maka TG Nik Aziz dan PAS tidak rugi apa-apa kerana TG Nik Aziz adalah orang yang yakin bahawa Allah itu Maha Berkuasa. Allah akan tetap membalas perbuatan durjana si penipu dan si pengkhianat tersebut.

Nak ke mana kamu Ibrahim? Setelah UMNO sendiri enggan menerima kamu semula walau dah berkali-kali kamu mengampu dan membodek untuk menyertai UMNO semula?

Setiausaha Pemuda UMNO Kelantan, Bazlan Baharuddin pernah meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu membuat penilaian terperinci sebelum menerima semula kemasukan beliau ke dalam UMNO bagi mengelak 'pisang berbuat dua kali.'

Akhirnya Ibrahim Ali yang terasa malu, membuat kenyataan balas, "saya kena fikir bukan setakat pisang berbuah dua kali, tapi lima kali atau 100 kali", nak tunjukkan kononnya beliau tak kepingin sangat nak sertai UMNO walaupun itulah hajatnya yang sebenar.

Dan GB terfikir, apakah dia ini Kolonel Mat yang dimaksudkan oleh TG Nik Aziz?


Ahli Qariah Shah Alam Serah Memo Bantah JAIS Batal Tauliah Khalid Samad

Satu memorandum mengandungi 1013 tandatangan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantah penarikan semula tauliah semetara Ahli PAtlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Memorandum berkenaan yang diserahkan oleh Ahli-ahli Qariah Masjid dan Surau Shah Alam turut menggesa JAIS mempertimbangkan semula tindakan berkenaan.

Wakilnya, Ismahali Ismail berkata, tindakan bantahan berkenaan dibuat berikutan Khalid Samad merupakan seorang yang berkaliber dalam menyampaikan khutbah mahupun ceramah.

"Jadi tujuan memorandum ini kami membantah apa yang telah dikatakan oleh JAIS dan kami minta pada pihak Datuk Khusrin dan jugak JAIS untuk melihat semula, mempertimbangkan semula berkenaan tauliah yang berhormat," katanya

"Dan kami mengharapkan semoga mungkin ada kesilapan teknikal di mana-mana dapat diperbetulkan dan beliau mendapat semula pertauliahan dan biarlah pertauliahan itu pertauliahan tetap, insyallah."

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIS, Ahmad Zaki Arshad.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi sebarang komen berhubung penyerahan memorandum berkenaan.

Terdahulu, JAIS telah menarik balik tauliah Khalid Samad dengan alasan ceramah yang disampaikan beliau tidak mantap walhal umum mengetahui kredibiliti tokoh penceramah itu. –Hadri Yaziz (TVS)



Nik Aziz Tidak Akan Akur Dengan Desakan Musuh

Saya tidak akan lepaskan jawatan... kecuali disebabkan keuzuran sangat.” Demikian tegas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) meskipun bertubi-tubi diasak agar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar ekoran siri krisis yang melanda kerajaan negeri kebelakangan ini.

Beliau yang menyandang jawatan tersebut hampir 20 tahun tidak akan bertindak untuk mengambil jalan pintas lebih-lebih lagi ketika kemelut sedang melanda pentadbiran kerajaannya.

Malah beliau sama sekali tidak akan akur pada desakan pelbagai pihak terutama pihak musuh sendiri biarpun pelbagai alasan diberi termasuk perkhidmatannya yang sudah begitu lama.

Bagi Nik Aziz, soal lama ataupun baru tempoh kepimpinannya beliau tidak wajar untuk dijadikan isu memandangkan masih ramai pemimpin politik ataupun kerajaan yang lebih lama berkhidmat berbanding beliau.

Mahathir jadi Perdana Menteri 22 tahun, Taib Mahmud, Ketua Menteri Sabah lebih lama dari Mahathir. Malah Rasulullah dulu meneruskan perjuangannya hingga ke akhir hayat.

“Inikan saya belum sampai 20 tahun, masih terlalu kecil,”
tegas beliau di samping turut mengakui Kelantan tidak ketandusan tokoh daripada golongan pelapis bakal menggantinya apabila beliau mengundur diri.

Kontroversi personaliti Nik Aziz masih hangat dibicarakan sehingga kini ekoran beberapa isu yang timbul dalam pentadbirannya sejak kebelakangan ini telah melatahkan segelintir kepimpinan Umno negeri berterusan menyerang batang tubuhnya.

Pun begitu, pendirian Nik Aziz itu disambut baik Dewan Pemuda PAS Kelantan dan berharap keputusan Nik Aziz itu sekali gus dapat memadamkan segala kontroversi.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Baihaqi Atiqullah memberitahu Dewan Pemuda PAS Kelantan kesal dengan sesetengah media massa dengan lantang menyerang kepimpinan PAS negeri menerusi berita berunsur provokasi di mana sumbernya tidak spesifik dan tidak pernah terkandung dalam laporan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri.

Serentak dengan itu juga, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Zaki Ibrahim semasa ditemui pada majlis korban Aidiladha memaklumkan PAS Kelantan akan terus mempertahankan jawatan Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan selain sebagai Mursyidul Am dan Pesuruhjaya PAS Negeri walaupun pelbagai tekanan dihadapinya susulan kemelut yang melanda pentadbiran kerajaan negeri.

Zaki yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata tiada alasan untuk Nik Aziz melepaskan jawatannya memandangkan rakyat negeri ini sentiasa memerlukan kepada kepimpinan tokoh ulama disegani di peringkat dunia itu.

“Lagipun mereka yakin kekuatan mental dan fizikal Tok Guru sentiasa berupaya menerajui perubahan dalam kepimpinannya demi rakyat khasnya di Kelantan,” katanya yang turut percaya kemelut yang melanda pentadbiran negeri itu juga dapat diselesaikan dengan baik oleh Nik Aziz. -Mohd Zuharman

Ulasan GB

Kebanyakan blogger berdiri teguh di belakang dengan keputusan TG Nik Aziz Nik Mat kecuali blogger UMNO dan mereka yang selama ini dikenalpasti mengagungkan gagasan Kerajaan Perpaduan.

Keputusan TG Nik Aziz menjadikan UMNO Kelantan terkedu. Begitu juga dengan mereka yang ada penyakit di dalam hati yang ada di dalam parti.

Semuga Allah terus mengurniakan kekuatan dan kesihatan kepada TG Nik Aziz untuk mengemudi Kelantan dan terus memimpin parti selaku Mursyidul Am PAS.

Gempa Di Kuala Pilah, MB NS Terlibat Dalam Pengurupan Wang RM10 juta

SATU : Gempa Bumi Di Kuala Pilah

Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan awal pagi ini,

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini hari ini, gempa bumi itu berlaku pada pukul 12.15 pagi dan berpusat di 22 kilometer timur Seremban.
Bagaimanapun tiada gegaran dirasai akibat gempa bumi itu, menurut kenyataan itu, Bernama dipetik.

DUA : MB NS Terlibat Dalam Pengurupan Wang RM10 juta

Ketua Keadilan Rembau, Badrul Hisham Shaharin, mengemukakan surat terbuka memohon penjelasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kes pengurupan wang sejumlah 10 juta ringgit.

Menurutnya, Mohamad tidak mengendahkan permohonan beliau dan hanya menafikan perkara tersebut melalui media.

“Seharusya menjadi adat penting, profesionalisme penjawat awam, khususnya dia selaku Menteri Besar, memberi jawapan dan menjelaskan isu isu yang dibangkitkan melalui siri siri surat saya kepada dia. Malah surat saya tidak pernah mendapat balasan,hanya penafian secara dangkal kepada media”.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Keadilan Negeri, Seremban pagi tadi.

Terdahulu, ahli Parlimen Batu Tian Chua, mendedahkan penglibatan Menteri Besar negeri itu dan sebuah syarikat pengurup wang dalam kenyataan medianya bertarikh 13 November 2009.

Mohamad dikatakan melakukan transaksi haram itu pada tahun 2008 dengan mengirimkan sejumlah besar wang ke London.

Perbuatan ini menyalahi Undang undang Akta Pengurupan Wang 1998.

Badrul menegaskan, PKR memberi tempoh 14 hari kepada Mohamad Hasan untuk menjelaskan perkara terbabit beserta dokumen yang sah membuktikan beliau bebas daripada pertuduhan itu.

Pihaknya tidak akan teragak agak untuk membongkarkan perkara ini kepada rakyat, sekiranya Menteri Besar melarikan diri dari menjelaskan tuduhan ini.

Selain itu, Badrul turut menyeru Gabenor Bank Negara, Dato Sri Dr Zetti Akhtar Aziz dan SPRM menjalankan siasatan segera ke atas transaksi haram ini.

Menurut Badrul juga, satu laporan rasmi akan dibuat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman dalam minggu ini.

“Sesuatu sedang berlaku,sabotaj terhadap kegiatan ekonomi. Dan kebanyakkannya ada kaitan dengan pemimpin politik di Malaysia”,katanya.

Pada 26 November 2008 Bank Negara telah membatalkan 20 lesen perniagaan pengurupan wang, termasuk syarikat pengurup wang yang didakwa itu tanpa sebarang sebab.

Namun begitu, tiada sebarang tindakan undang-undang diambil Bank Negara.


BTN : Kerajaan Akui Ia Alat Propaganda Perkauman.

Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan hari ini bahawa kabinet telah bersetuju untuk merombak semula Biro Tata Negara (BTN) ekoran tekanan yang meningkat supaya program itu dihentikan, yang mana ia dilihat oleh banyak pihak sebagai alat untuk menyebarkan propaganda perkauman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan bahawa Ketua Setiausaha Negara telah diarahkan untuk melakukan perubahan BTN.

Nazri, yang bercakap di lobi Parlimen hari ini, menyatakan mesyuarat kabinet yang baru lalu mengesahkan untuk menghapuskan ko-kurikulum BTN yang menurut beberapa pemimpin kerajaan, termasuk Perdana Menteri sendiri, melihat ia sebagai destruktif dan bersifat perkauman.

“Kita bersrtuju untuk merombak semula BTN kerana ko-kurikulunnya bertentangan dengan konsep 1Malaysia Datuk Seri Najib Razak,” tambahnya.

Kerajaan Selangor minggu lalu memutuskan untuk melarang kakitangannya dan pelajar di pusat pengajian tinggi miliknya daripada menyertai sebarang program anjuran biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Ia berhujah program BTN menyebarkan sentimen perkauman dan menyuntik kepentingan politik BN dalam program-programmnya.

Ulasan GB

Akhirnya tindakan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang tepat. Tahniah MB Selangor dan KM Pulaua Pinang. Dan kita hairan dengan sikap penulis-penulis pengampu dari akhbar media massa arus perdana yang begitu giat mempertahankan BTN.

Begitu juga dengan bebrapa orang kuat UMNO yang begitu mempertahankan BTN diantaranya termasuklah Timbalan perdana Menteri sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan.

Ketiga-tiga pemimpin UMNO totok dari Johor itu amat dikenali sebagai pemimpin ultra-Melayu yang terlalu rasis. Dan ketiga-tiga itu tidak diperlukan dan tidak layak untuk menjadi pemimpin negara Malaysia.

Najib Tahu Doa Nik Aziz Makbul

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf berhubung hasrat Menteri Besar Kelantan itu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan beliau dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, Bernama dipetik.

Perdana Menteri berkata Nik Abdul Aziz perlu sedar ramai umat Islam melihat kenyataannya (Nik Abdul Aziz) itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman.

"Saya tidak faham mengapa perlu berdoa sedemikian sebab memang kita bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan.

"Apa juga nama yang diberi, royalti atau wang ihsan, jumlahnya tetap sama. Dan rakyat Kelantan yang akan terima, bukan kita akan guna untuk tujuan lain," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia ketika ditanya mengenai perkara itu di sini Ahad.

Najib berkata sebelum ini pun kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk rakyat Kelantan walaupun negeri itu diterajui pihak lain.

"Jadi, macam mana pula mereka nak tuduh kita ni tidak adil dan sebagainya," kata beliau yang berada di Port of Spain untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketuaketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berakhir Ahad.

Menurut Perdana Menteri, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian, dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

"Berbalah sesama sendiri merupakan sesuatu yang tidak diterima dalam Islam, begitu juga bila kita mengutuk orang lain tanpa asas," kata Najib.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun hadapan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Menyentuh krisis dalaman MCA, Najib berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan. Saya telah pun menyerahkannya kepada timbalan saya Tan Sri Muhyiddin Yassin (untuk menyelesaikan masalah itu)," katanya.

"Jika tidak, saya mungkin perlu bercakap dengan kumpulan (yang berbalah) itu," kata Najib.

Ulasan GB

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah mengutus Mu’adz ke Yaman dan Beliau berkata kepadanya : "Takutlah kamu akan doa seorang yang terzalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah". H.R. Bukhari dan Muslim

Ketika Rasulullah SAW mengutus seorang sahabatnya yang bernama Mu’adz bin Jabal ke negeri Yaman untuk berdakwah di sana, Beliau memberikan beberapa pesan penting dalam mengajak manusia kepada kebenaran yang telah ajar olehnya SAW. Dalam hadits ini beliau berpesan kepada Mu’adz bin Jabal agar waspada dan takut akan doa orang yang terzalimi, kerana doa orang yang terzalimi tidak akan tertolak. Demikian pesan Rasulullah SAW : “ … doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) diatara dia dengan Allah”. Oleh kerananya bersikap adil sentiasa harus ada pada diri setiap individu muslim.

Banyak kita dapati dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW hancurnya umat terdahulu disebabkan perilaku zalim yang mereka lakukan.

Kata Najib "Nik Abdul Aziz perlu sedar ramai umat Islam melihat kenyataannya (Nik Abdul Aziz) itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman", tetapi Najib terlupa bahawa lebih ramai umat Islam menyedari tindakan UMNO BN merampas hak royalti rakyat Kelantan itu lebih keterlaluan dan tidak mematuhi ajaran Islam.

Kata Najib lagi, "memang kita bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan" tetapi Najib nmenutup fakta bahawa Perjanjian adalah diantara Petronas dengan Kerajaan Negeri. Allah dan sekalian malaikat mengutuk perjanjian yang tidak ditunaikan. Memberi wang ehsan kepada Jawatankuasa Pembangunan Pusat adalah langkah menafikan Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan yang telah menetapkan PAS sebagai parti yang memerintah secara sah di Kelantan.

UMNO BN sengaja tidak mengagihkan wang ehsan kepada kerajaan sah Kelantan kerana khuatir PAS bertambah kukuh kerana akan dapat melaksanakan pelan pembangunan yang lebih mantap untuk rakyat Kelantan.

Itulah niat sebenar Mahathir sewaktu tidak menyalurkan pembangunan ke Kelantan satu ketika yang kemudiannya langkah itu dituruti oleh Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Nohd Najib.

Kutukan dan kehinaan wajar didoakan ke atas pemimpin UMNO BN yang menzalimi kerajaan pilihan rakyat yang sah di negeri Kelantan.


Pesanan kita kepada Najib yang kini berada di Port Of Spain: Kedudukanmu sebagai PM takkan lama apabila kezaliman itu anda teruskan. Saksikan sendiri kalam Ilahi, apa berlaku kepada Tun Abdullah yang melarikan wang ehsan Terengganu daripada Kerajaan PAS Terengganu satu ketika yang belum berapa lama dulu.

Mengenai Tun Mahathir, ia sedang menunggu masa untuk dihempaskan ke perut bumi terhadap sekalian dosa dan kezalimannya. InsyaAllah.


Royalti : Masa Untuk Pusat Berdolak Dalik Telah Berlalu - Husam

Pelanggaran kontrak – kata YBM Tengku Razaleigh mengenai keengganan Petronas membayar 5% royalty terus kepada Kerajaan Negeri, dalam laman rasminya http://razaleigh.com/ hari ini.

Perjanjian itu dibuat dalam bahasa mudah - budak-budak sekolah juga boleh memahaminya, kata Ku Li.

Keengganan Petronas membayar bayaran langsung kepada Kerajaan Negeri boleh membawa implikasi kepada terbatalnya perjanjian: “It negates an agreement signed between the Kelantan Government and PETRONAS”


Satu dakwaan paling serius tapi credible - dari anggota Backbencher BN sendiri. Apa Najib nak kata?

Jika Najib dan Petronas gagal menyelami implikasi dakwaan ini, lebih banyak kesan buruk akan berlaku. Bukan sahaja isu hilangnya 'rule of law' yang sentiasa boleh menghakis kepercayaan masyarakat pelabur dan perdagangan terhadap negara kita, bahkan perakaunan juga.

Apa yang wajib mengikut undang-undang, jika tidak dilaksanakan adalah merupakan isu 'breach of trust' yang serius.

Lihat laporan kewangan Kerajaan Terengganu seperti dalam Laporan Jabatan Audit untuk Kerajaan Terengganu 2008 - sebagai bukti wang Negeri tak boleh dilarikan;

1. Terimaan Drp Kerajaan
Persekutuan (Dana Khas)

2004 2005 2006 2007 2008


150juta 1,015B 1,334B 1,000B 1,408B

Sumber: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu

Sekalipun Kerajaan Pusat mengumumkan bayaran royalti kepada Terengganu telah dibatalkan dan digantikan dengan wang ihsan bermula tahun 2000, namun sebahagian wang itu tetap terpaksa dibayar langsung kepada Akaun Kerajaan Ndegeri kerana itu adalah kehendak undang-undang, seperti tercatit di jadual di atas.

Perjanjian menghendaki wang itu dibayar kepada Negeri dan tidak boleh dibayar oleh Petronas kepada Kerajaan Pusat, apa yang menjadi milik negeri.

Masa untuk Kerajaan Pusat berdolak dalik sudah berlalu.

Hormati perjanjian, begitu nasihat Ku Li.


Komitmen Ku Li memulangkan hak rakyat dalam isu royalti, boleh merubah landskap politik negara ke arah pemulihan kedaulatan perundangan dan segala institusinya. -weblog Husam

Ulasan GB

Blog GB telah membuat ulasan ini di SINI

Krisis MCA Semakin Tenat : Ong Tee Kiat Tolak Deklarasi 1128

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat pada hari Ahad menolak Deklarasi 1128 yang dipersetujui kumpulan penyokong Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam yang mahu pemilihan semula parti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ong menyifatkannya tuntutan deklarasi itu semata-mata mahu pemilihan semula parti itu diadakan segera sedangkan jika ia (pemilihan semula) mahu diadakan, ia perlu mengikut perlembagaan parti dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pusat (CC).

"Adalah penting bagi semua pihak mematuhi perlembagaan parti," katanya pada sidang media selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aidiladha 2009 kawasan Pandan di sini.

"Kalau kita sayang demokrasi dalam MCA, kenalah semua pihak akur kepada amalan ataupun akur kepada keputusan yang dibuat majoriti ahli CC, takkanlah yang majoriti ini kena tunduk kepada yang segelintir. Itu bukan caranya kita menguruskan parti atau demokrasi parti," jelasnya.

Persoalan sama ada mahu ditunda Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ataupun tidak hendaklah dirujuk kepada CC dan setahunya AGM itu akan tetap diadakan pada 5 Dis ini, kata Ong.

Mengenai dakwaan golongan yang menyokong Liow yang hanya mahu pemilihan baru diadakan untuk ahli CC dan tidak perlu bagi sayap Pemuda dan Wanita, Ong berkata, pemimpin di peringkat akar umbi mahu pemilihan diadakan serentak mengikut perlembagaan parti dan seperti mana yang telah dibuat UMNO.

Ong mendakwa semasa beliau berada di London baru-baru ini banyak fitnah dilemparkan terhadapnya mungkin kerana ada pihak yang kurang senang dengan tindakannya yang mahu penyelewengan projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disiasat.

Katanya, beliau sedar ada banyak pihak yang mahu menjejas dan menghancurkan kerjaya politiknya tetapi demi untuk kebenaran beliau tidak akan mengalah.

Krisis PPP Meruncing, Murugiah Bidas Kayveas

SSenator Datuk T. Murugiah menyerang bekas bosnya sambil mempersoalkan “siapakah dia Datuk M. Kayveas yang mahu keluarkan notis” memintanya agar mengosongkan jawatan timbalan mentri dalam 14 hari.

“Datuk M. Kayveas tidak layak untuk meminta saya meletakkan jawatan sebagai timbalan mentri,” tegas Murugiah mengulas kenyataan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) semalam yang beliau akan menyerahkan notis kepadanya agar mengosongkan jawatan sebagai Timbalan Mentri di Jabatan Perdana Mentri dalam masa 14 hari.

“Ini jawatan kerajaan yang pelantikannya dibuat oleh Perdana Mentri. Ini bukan jawatan parti. Oleh itu, nampaknya Kayveas tidak menghormati keputusan Perdana Mentri,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Dulu beliau tuduh saya gunakan politik wang dan pecat saya tanpa beri apa-apa surat tunjuk sebab sebelum ambil tindakan. Sekarang mahu berikan saya notis, siapa dia?” soal Murugiah.

Kayveas mahu memanjangkan notis itu kepada Murugiah hari ini.

Murugiah dilantik sebagai timbalan mentri atas kapasiti sebagai anggota Dewan Negara dan merupakan satu-satunya wakil PPP.

Tetapi beliau telah dipecat oleh Kayveas Mei lalu, sekali gus PPP kehilangan wakil dalam Kabinet
.

Sebaliknya tegas Murugiah, sepatutnya Kayveas yang harus meletakkan jawatan sebagai Presiden PPP selepas didapati bersalah oleh Majlis Peguam berhubung tuduhan pecah amanah oleh firma guamannya.

Oleh itu Kayveas seharusnya telah menghormati keputusan itu dan hukuman yang dikenakan oleh Majlis Peguam, tambah Murugiah.

Mahkamah juga telah menolak rayuan Kayveas.

Murugiah mendakwa, Kayveas sebenarnya telah menyembunyikan maklumat itu daripada pengetahuan kerajaan, Perdana Mentri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa bertanding pilihan raya umum 2004.

Sehubungan itu kata Murugiah, penyokong beliau akan membuat laporan polis terhadap Kayveas di seluruh negara hari ini.

“Kami mahu polis siasat Kayveas,” katanya.

Semalam Kayveas berkata Timbalan Mentri di Jabatan Perdana Mentri itu patut meletakkan jawatan kerana beliau memperoleh jawatan itu semasa beliau masih menjadi ahli PPP.

Murugiah dipecat daripada parti pada Mei 16.

Ketika itu Kayveas berkata, tindakan tegas terpaksa diambil ke atas beliau kerana didakwa mengamalkan politik wang dan mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa ketua bahagian parti dan mendesak mereka mencabar kedudukan Presiden PPP pada pemilihan bulan Jun.

Pada Ogos lalu, Timbalan Perdana Mentri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedudukan Murugiah sebagai Timbalan Mentri di Jabatan Perdana Mentri akan ditentukan oleh Perdana Mentri Datuk Seri Najib Razak. -MI

Ulasan GB

Dari rekod, T.Murugiah, Timbalan Menteri yang sibuk pada hari selepas Perhimpunan Anti-ISA yang mengumpulkan nama peniaga-peniaga di Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman kononnya untuk membuat tuntutan RM10 juta dari penganjur Anti-ISA kini beliau sendiri terumbang-ambing tanpa parti yang mana kedudukannya sebagai timbalan menteri boleh digugurkan bila-bila masa.

PPP telah tewas teruk di dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu di mana semua calon-calonnya tewas.