10 Jan 2010

UMNO BN Johor Pinda Undang-undang Kerana Takut Johor Jatuh Ke Tangan PR

Takut negeri jatuh kepada Pakatan Rakyat (PR), Umno-Barisan Nasional (BN) Johor meminda Undang-Undang Tubuh negeri itu yang digunapakai sejak tahun 1895.

Umno-BN yang diketuai Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman meminda bahagian perlembagaan negeri itu yang berkaitan dengan kekosongan kerusi yang melibatkan pilihan raya kecil.

Percaya bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyebelahi mereka, wakil-wakil rakyat Johor menggunakan sepenuhnya kuasa majoriti mereka untuk mengubah syarat jika berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Mendedahkan perkara itu, Adun PAS – Maharani, Dr Muhammad Taslim (gambar) berkata mereka mengubah Fasal 5: Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor yang sudah termaktub dan dilaksanakan sejak tahun 1895.

Mengikut fasal itu, pilihan raya kecil boleh diadakan apabila berlaku kekosongan kerusi dalam tempoh 60 hari dan kuasa menentukan pilihan raya boleh dijalankan adalah Speaker, katanya dalam satu ceramah.

Pada sidang dewan yang terbaru September lalu, mereka membuat pindaan dan menetapkan kuasa menentukan sama ada pilihan raya boleh diadakan atau tidak, ialah SPR dan bukan lagi Speaker.

Muhammad menjelaskan,“semua itu mereka lakukan kerana melihat kekalutan apa yang berlaku kepada DUN Perak. Mereka siang- siang sudah pinda perlembagaan kerana takut kalau Speaker akan menyebelahi PR, seperti V. Sivakumar.”

"Ini terang-terang mereka mencabuli sistem demokrasi yang mendokong doktrin pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan kehakiman," terang beliau.

“Sekarang ini mereka berkuasa dan mempunyai majoriti dalam dewan, mereka boleh buat apa sahaja untuk meminda undang-undang itu demi kepentingan mereka. Itulah amalan orang Umno-BN yang kini semakin takut kehilangan kuasa mereka” katanya.

Beliau berkata, dalam isu itu, enam orang Adun PR tidak dapat berbuat apa-apa kerana Adun BN mempunyai majoriti besar dalam Dun Johor. Tetapi, kehadiran enam wakil rakyat PR sejak Mac tahun lalu, menggusar dan menakutkan mereka.

Mengulas kemegahan negeri Johor yang sering dilabel sebagai ‘kubu’ kuat Umno, Muhammad berkata, gelaran itu semakin tergugat sekarang dan PR yang diwakili oleh KEADILAN, PAS dan DAP bakal mengubah gelaran itu kepada Johor ‘kubur’ Umno pada pilhan raya umum ke-13 nanti.

Malah, susulan kejayaan menganjurkan Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama 19 Disember lalu akan diterjemahkan di negeri Johor, dan sekali gus misi menawan Kota Iskandar akan menjadi kenyataan.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika mengadakan ceramah anjuran PAS Kota Tinggi di Tadika Pasti, Taman Hijrah baru-baru ini.

Turut hadir memberi ceramah ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat, Ustaz Kamal Asha’ari.

Selain menceritakan pindaan perlembagaan negeri buat julung kali sejak tahun 1895 itu, beliau menjelaskan mengenai taktik ‘Menyekat dan Menghalang’ dilakukan oleh wakil-wakil rakyat Umno-BN terhadap wakil-wakil PR daripada banyak bersuara.

Mengenai jumlah soalan yang boleh ditanya setiap kali persidangan. Peraturan lama menetapkan setiap wakil rakyat boleh bertanya enam soalan lisan dan tiada had untuk soalan bertulis, dan soalan bertulis perlu dihantar dua minggu lebih awal.

“Apabila sidang dewan berjalan, kami daripada PR gunakan sepenuhnya peluang itu untuk tanya banyak soalan. Bukan sahaja enam soalan lisan sahaja, tetapi soalan bertulis kami ada pecahan soalan, a, b, c, d….hinggalah menjadi sampai 20 soalan”.

“Setiap soalan kami nampaknya terpaksa dijawab oleh Exco Kerajaan, ketua-ketua jabatan berkaitan dan Menteri Besar dalam sidang yang pertama. Oleh kerana bimbang dengan soalan-soalan panas dan cepumas daripada kami, mereka pun pinda peraturan dalam sidang seterusnya.”

Katanya, peraturan terbaru menetapkan lima soalan hanya untuk satu-satu tajuk sahaja, tidak boleh ada anak soalan dan tidak boleh merujuk kepada mana-mana media jika hendak bertanya satu-satu isu.

Bagi soalan bertulis juga, tidak dibenarkan lebih dari 40 perkataan untuk satu-satu soalan.

“Begitulah gayanya mereka hendak menyekat kami, tapi kami tidak akan putus asa. Peluang berada dalam dewan dan dalam sidang-sidang dewan akan datang, kami akan terus membawa suara dan isu rakyat.”

“Memang dalam media arus perdana mereka tidak laporkan langsung soalan dan isu-isu yang kita bangkitkan. Tetapi, melalui medan ceramah-ceramah umum seperti ini, kami wakil-wakil PR akan terus membuat pendedahan kepada rakyat” katanya. -FMT

Umno Kikis Sifat Hormat Ugama Punca Serangan Gereja

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa kejadian serangan membakar gereja kelmarin berlaku kerana Umno telah menghilangkan sensitiviti dosa dan pahala dalam masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu itu sendiri.

Kesan hilangnya sensitiviti itu, katanya telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

"Tiap-tiap orang nak bakar gereja kena reti (tahu) gereja ini harta kawan kita orang Kristian, bila kita bakar kita lukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak.

"Sama juga arak kepala lembu, melukakan hati orang India (Hindu), ini berdosa. Tapi perasaan dosa pahala tidak ada dalam orang Melayu sekarang kerana telah dibuang oleh Umno, ini kita dukacita," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penutup program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) petang tadi.

Selain itu, hilangnya sensitiviti tersebut juga, jelasnya telah mengakibatkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya, berlaku dalam negara kita.

Umno, jelasnya telah menghilangkan sensitiviti tersebut dari hati orang Melayu apabila membezakan ajaran agama Islam dengan politik dengan berpendirian agama lain, politik lain.

"Sebab itu lah menteri rasuah, orang kampung rasuah, parti-parti rasuah hatta enjin kapal pun boleh dijual senang-senang sahaja, mana boleh jual kalau tidak ada rasuah,"
jelasnya lagi.

Di dalam ucapan penutupnya sebelum itu, beliau mengingatkan seluruh pimpinan dan jentera PAS meneruskan usaha memberi penerangan kepada masyarakat selaras dengan tugas yang dipikul oleh Nabi-nabi.

Beliau mengakui ianya bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berdepan bermacam halangan.

Apatah lagi, ianya sesuatu yang boleh dianggap baru dan bertentangan dengan apa yang dibawa zaman penjajahan Inggeris.

"Kerja PAS hari ni memang buat kerja baru, yang (zaman) Inggeris dulu tidak buat, Umno dia (hanya) sambung kerja buat Inggeris," katanya. -harakahdaily video : TVS



Najib Gagal, Serangan Ke Atas Gereja Merebak, Terbaru Gereja Di Melaka

Tiga insiden cubaan membakar membabitkan dua buah gereja dan sebuah sekolah berlaku di Taiping awal Ahad selepas dilempar dengan bom api.

Kedua-dua buah gereja berkenaan tidak mengalami kerosakan manakala insiden di Sekolah Menengah Convent Taiping itu membabitkan kerosakan kecil apabila cermin kaca pondok pengawal pecah.

Terbaru, sebuah gereja di Durian Daun Melaka dilemparkan dengan cat hitam, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Sallehhudin Abd Rahman, lapor Malaysian Insider.

Kejadian itu disedari pihak gereja itu kira-kira pukul 9 pagi dan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah di sini, pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Kita melihat kes ini secara serius memandangkan ini adalah isu sensitif, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian di negara ini,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Sallehhudin berkata polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihati orang ramai supaya bertenang dengan tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan serta melanggar undang-undang negara.

Sambil meminta polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang cuba menggugat keharmonian kaum yang dinikmati selama ini, beliau mahu semua pemilik rumah ibadat menjaga rumah ibadat masing-masing dan dalam masa sama polis membuat pemantauan.

Pagi tadi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran cubaan membakar setakat ini.

PAS Sedia Berdialog, Tindakan Diambil Jika Ahli PAS Sertai Demo Kalimah Allah

Dalam usaha mengembalikan keharmonian, gerakan Islam terbesar tanahair bersedia berdialog dengan pihak gereja dalam mengatasi polemik penggunaan kalimah Allah.

Presiden Parti Islam Se-Malaysia Abdul Hadi Awang berkata Pas bersedia merintis jalan mewakili umat Islam Malaysia bagi membendung pertelingkahan dari membarah.

“Pas sedia berdialog dan menghadiri sebarang majlis untuk memberi kefahaman ini kepada rakyat dan kita mengharapkan supaya ruang diberi kepada Pas melalui media supaya kita menjelaskan hakikat ajaran Islam yang sebenar kerana selama ini ajaran Islam sendiri telah ditutup dan dikongkong oleh undang-undang yang ada dalam negara kita," katanya.

“Kalimah Allah ini satu kalimah benar, kalimah yang betul, tetapi dihuraikan dengan cara yang mempunyai matlamat yang salah, ada kalangan yang mengambil kesempatan berkalimah yang suci ini, inilah yang silapnya tidak kira siapa, semua pihak," tambah beliau.

Bercakap kepada media di Taklimat Penerangan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam hari ini, mengulangi kecaman terhadap keganasan keatas gereja Kristian.

Dalam nada tegas, Hadi berkata Pas tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana ahli yang didapati menyertai perhimpunan membantah kalimah Allah semalam.

“Saya merasa kesal daripada apa yang berlaku itu kerana bukan sahaja boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan agama yang harmoni selama ini. Apa yang mendukacitakan sekiranya berlaku daripada orang Islam itu satu benda yang menyentuh ajaran Islam itu sendiri," katanya.

“Cuma kita memberi arahan orang kita jangan libat dalam demonstrasi bukan saya jamin kalau ada orang Pas yang terlibat dalam bakar gereja ini, kita akan ambil tindakan disiplin, dan ada undang-undang dalam Pas untuk ambil tindakan, bila ada ahli yang buat sesuatu yang bercanggah dengan konsep parti kita," tegas beliau. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Sekolah Dan Gereja Di Taiping Pula Diserang

Gereja kelima menjadi sasaran serangan malam tadi, kali ini melibatkan All-Saints’ Church, gereja yang bersejarah di Taiping, Perak.

Turut menjadi sasaran kali ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Taiping, yang beroperasi sejak 1899 tetapi kemudian berpindah ke lokasi baru di Convent Lane pada 1938.

Ia merupakan serangan pertama di luar Lembah Klang yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan “Allah”.

Polis mengesahkan kedua-dua kejadian itu.

Kedua-dua premis itu dibaling dengan koktel molotov tetapi bom petrol itu tidak meletup.

Gereja Anglikan itu yang terletak di Jalan Taming Sari dibina pada tahun 1886.

Dalam pada itu, pengurusan gereja berkata bom petrol itu yang ditemui di sekolah berkenaan kemungkinan disasarkan terhadap St Louis Church yang terletak bersebelahan.

Ketua Polis Perak Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata kedua-dua kes berkenaan merupakan tindakan pihak yang mengambil kesempatan daripada kejadian-kejadian yang berlaku di Lembah Klang.

“Kami syaki insiden-insiden ini tiada kaitan dengan serangan ke atas gereja berhubung isu Allah. Ini kemungkinan perbuatan nakal pihak-pihak yang mahu mengambil kesempatan,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau pihaknya tidak akan memandang mudah, sebaliknya akan menyiasat kedua-dua kes sebagai perbuatan khianat.

“Mereka yang melakukannya akan dikenakan tindakan,” katanya.

Laporan polis dibuat selepas pihak gereja menemui serpihan dua botol di pekarangan gereja itu.

Zulkifli berkata kesan tanda hitam juga ditemui pada premis itu, sekali gus menjurus pihaknya untuk percaya bahawa kemungkinan ia adalah kes percubaan membakar.

Dalam satu lagi kes, pengawal SMK Convent Taiping menemui kesan yang sama iaitu serpihan botol di kawasan sekolah.

Polis mengesyaki botol-botol itu dibaling kira-kira 3.30 pagi tadi.

“Dalam kedua-dua kejadian ini bagaimanapun tiada kemusnahan dilaporkan.

“Pegawai forensik kami sedang menyiasat untuk melihat sama ada kedua-dua kes ini adalah percubaan untuk membakar bangunan,” katanya.

Semalam polis menerima satu lagi laporan mengenai cubaan membakar sebuah gereja, Good Shepherd Lutheran Church di Jalan Othman, Petaling Jaya, menjadikannya empat kes setakat petang semalam.

Bagaimanapun, polis percaya insiden tersebut berlaku serentak dengan tiga insiden kelmarin masing-masing d Petaling Jaya, Desa Melawati dan Damansara dan hanya dilaporkan pada pukul 2 petang semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga megesahkan laporan terbaru itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pihak polis sudah menemui sedikit petunjuk mengenai suspek yang dipercayai membakar Gereja Metro Tabernacle, namun belum dapat mengenalpasti bangsa atau kewarganegaraannya.

“Saksi yang juga pengawal keselamatan sedang membantu kita bagi mengenalpasti individu tersebut. Kita percaya kesemua insiden ini dilakukan oleh kumpulan berlainan berdasarkan modus operandi yang berbeza,” katanya.
Mempunyai foto percutian yang hebat? Bolehkah ia memenangi pertandingan foto ini?

Tiga premis lain yang diserang kelmarin ialah Gereja Assumption dan Gereja Life Chapel di Petaling Jaya dan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, lontaran koktel molotov ke atas Gereja Metro Tabernacle menyebakan letupan disusuli kebakaran. -MI

Protes isu "Allah" didalangi orang UMNO - Lau Weng San

MPerdana Menteri Najib Razak telah silap apabila beliau mengatakan bahawa UMNO tidak terlibat dalam protes berkenaan dengan penggunaan perkataan "Allah" kerana memang orang UMNO terlibat dalam protes-protes ini.

Saya merujuk kepada sebuah laporan media oleh Malaysiakini yang melaporkan seperti berikut:

"Memulakan perhimpunan itu sejurus selepas solat Jumaat, Ketua Wira PERKASA Selangor, Arman Azha Abu Hanifah membacakan 'Deklarasi Masjid Negara' menuntut:

* Penganut Katholik menggunakan perkataan tuhan bagi menggantikan kalimah Allah dalam penerbitannya.
* Perkara berkaitan Islam mesti dibawa ke Mahkamah Syariah, bukan mahkamah sivil.
* Majlis Raja-raja Melayu perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk mempertahankan agama dan umat Islam.


Bacaan deklarasi itu disambut teriakan takbir bertalu-talu daripada mereka yang menyertai perhimpunan tersebut. Pada masa yang sama satu bendera merah bertulis 'Melayu' dalam warna hitam, dikibarkan bersama bendera berjalur tiga - merah, kuning dan hijau - mewakili Pekida."

Arman Azha Abu Hanifah, 35 tahun merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara. Beliau juga merupakan pentadbir kumpulan (group) Facebook Pemuda UMNO PJU yang diberi tajuk "@MB Pemuda Umno PJU"

Beliau mempunyai akaun facebook dan blogspotnya sendiri di http://www.facebook.com/armandpju dan http://armandpju.blogspot.com/, dan bekerja sebagai seorang pengurus cawangan Naza Motor yang juga merupakan seorang pencinta kereta mewah.

Sama ada beliau seorang yang betul-betul memperjuangkan hak orang Islam dan Melayu, saya serah kepada kebijaksanaan semua untuk menilai daripada tulisan dan gambar-gambar foto beliau.

Ini hanya salah seorang daripada ketua-ketua yang terlibat dalam protes-protes ini dan saya percaya bahawa sebahagian besar daripada mereka merupakan pemimpin-pemimpin UMNO di pelbagai peringkat dan sayap parti itu, sama ada di Pemuda, Wanita, Puteri UMNO di peringkat cawangan, bahagian ataupun negeri.

Justeru itu, adalah silap bahawa UMNO tidak harus dipersalahkan dalam isu ini. Sebenarnya, jika UMNO tidak terlibat dalam isu ini, hakikatnya ialah ahli-ahlinya dan pemimpin-pemimpinnya selama ini telah diketahui terlibat dalam menganjurkan protes-protes yang mengugat ketenteraman dan keharmonian agama di Malaysia.

Jika UMNO tidak harus dipersalahkan, maka UMNO dan Presidennya harus mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin mereka seperti Arman Azha bin Hj Abu Hanafiah yang terlibat secara langsung dalam protes ini.

Soalannya ialah, adakah Najib sedia berbuat demikian atau tidak?


*Kenyataan media oleh Lau Weng San selaku ADUN Kampung Tunku- DAP, Selangor. - MR

Saifuddin Ganti Salehuddin Sebagai Setiausaha Agung PKR

Tahniah Saifudin, Terima Kasih Datuk Saleh

Saya mengucapkan tahniah kepada Sdr Saifudin Nasution yang baru malam tadi dipilih sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat bagi menggantikan Dato’ Saleh yang telahpun meletakkan jawatan.

Tugas yang digalas sdr Saifudin bukanlah mudah kerana beliau juga harus menumpukan perhatian serta membahagikan masa sebagai ahli parlimen. Inshaallah beliau akan melaksanakan amanah ini sebaik mungkin.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa penuh penghargaan kepada sahabat saya Dato’ Salehuddin Hashim yang telah berkhidmat cemerlang selama 6 tahun. Segala jasa dan bakti tidak akan kami lupakan.

ANWAR IBRAHIM