11 Feb 2010

Debat Royalti : Nazri Dan Mustapha Rupanya Pengecut

Pakatan Rakyat membidas keras kegagalan Kerajaan Pusat mengesahkan penyertaan menterinya dalam bahas royalti minyak.

Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar berkata keengganan Kerajaan Pusat menyertai dialog merungkai permasalahan royalti minyak menunjukkan pemerintah tidak prihatin kepada tuntutan rakyat Kelantan.

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak selaku penganjur forum tersebut menjemput individu-individu yang arif dalam permasalahan royalti minyak Kelantan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapha Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz, hanya Exco Kelantan, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dijemput untuk memberi penerangan pada Sabtu ini.

Namun hanya Husam Musa dan Salahuddin mengesahkan kehadiran mereka, manakala dua menteri BN itu gagal mengesahkan penyertaan mereka.

“Ini menunjukkan kedua-dua mereka itu tak berani berhadapan dengan masyarakat dan rakyat khususnya diKelantan apabila penampilan Tengku Razaligh dan Tun Salleh Abbas, dua orang yang terlibat dalam menggagaskan Petronas yang secara jelas menolak keputusan kerajaan yang enggan memberi royalti kepada kerajaan negeri Kelantan,” katanya kepada TVSelangor.

Mahfuz tidak menolak kemungkinan dua menteri ini juga mengelak dari mempertahankan tindakan Kerajaan Pusat menafikan rakyat Kelantan hak kepada royalti minyak.

“Apatah lagi dengan pendirian Sultan dan pemangku raja yang memperkenan usaha untuk mendapatkan royalti kepada kerajaan itu dilihat sangat ditakuti dan digeruni oleh kedua-dua menteri ini,”katanya.-YUSMAWATI MHD YUSOF (TVS)


Pembaziran Yang Tiada Tara : Kapal Selam Scorpene Rosak & Tidak Dibenarkan Menyelam

Kapal selam Scorpene binaan Perancis bernilai RM1 bilion dengan kos senggaraan hampir RM1 juta satu hari dilaporkan rosak dan tidak dibenar melakukan selaman.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman mengalami kecacatan pada komponen (Defect High Pressure Air Blowing) yang boleh menjejaskan keselamatan kapal berkenaan jika ia menyelam.

Bahagian itu menyalurkan tekanan air keluar masuk bagi membolehkan kapal selam itu menyelam.

Sehubungan itu, beliau berkata, kapal Scorpene sedang menjalani penyelenggaraan dan tidak dibenarkan beroperasi sekarang demi menjamin keselamatan anggota tentera yang mengendalikan kapal itu.

"Ia boleh selam, tapi tidak diizinkan menyelam. Memandangkan ia masih berada dalam tempoh jaminan, maka kontraktor dan pembekal akan (terlebih dahulu) memperbaiki kecacatan yang berlaku."

"Kita mengesan kecacatan pada 17 Januari lalu semasa ia timbul. Ia boleh diperbaiki sekali gus menjalani ujian air tropika pada 18 Februari ini selepas mendapat sijil kelayakan," katanya pada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar The Malay Mail semalam yang melaporkan kapal selam berkenaan gagal menyelam berikutan masalah teknikal yang dialami sejak tiga bulan lepas.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kerosakan itu dikesan ketika ia dilabuhkan di Teluk Sepanggar, Sabah.

Katanya, ia adalah kerosakan kedua selepas kerosakan komponen Forward Seawater Cooling System (bahagian sistem penyejuk air laut) pada tahun lalu selepas aset TLDM itu menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di Langkawi.

"Ia adalah kecacatan biasa dan berlaku pada sub-sistemnya, dan bukan sistem utamanya.

"Bagaimanapun, kita ingin memastikan ia benar-benar okey dan tidak membahayakan anggota TLDM yang mengendalikan kapal itu," jelasnya.

Abdul Aziz berkata, anggota-anggota TLDM beria-ia dan bersemangat tinggi untuk menjalani ujian air tropika apabila ia diperbaiki sepenuhnya.

KD Tunku Abdul Rahman atau Scorpene merupakan kapal selam jenis tempur konvensional yang berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 pemusnah periuk api.

Ia mampu beroperasi mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Antara kelengkapan Scorpene ialah enam tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak iaitu peluru berpandu anti kapal permukaan dan torpedo anti kapal selam.

RENCANA GB SEBELUM INI MENYENTUH SCORPENE



Apabila Muhyiddin Sendiri Dedahkan Sifat Hipokritnya

Pakatan pembangkang tidak sepatutnya mengenakan sebarang syarat untuk membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak melaksanakan pembangunan di negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak perlu kerana ia akan menyulitkan pentadbiran kerajaan negeri berkenaan.

Malahan, katanya, amalan mengenakan syarat itu juga adalah tidak ikhlas dan tidak baik.

"Usahlah kenakan apa-apa syarat. Bekerjasamalah sebagai petanda keikhlasan membantu memajukan negeri Perak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bersama dengan petugas kumpulan Felda di Dewan Felda di sini hari ini, Bernama dipetik.

Tetapi Muhyiddin mungkin terlupa yang ini:

Kerajaan pusat menawarkan untuk membina jambatan baru yang dianggar berharga RM7 juta hingga RM10 juta, sekiranya pengundi memilih BN dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Tawaran untuk membina jambatan baru di Manek Urai Lama itu, dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Umno sewaktu kempen pilihanraya kecil awal tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia hanya akan dibina sekiranya pengundi DUN tersebut memilih calon BN Tuan Aziz Tuan Mat.

“Kita boleh bagi (jambatan baru), insya-Allah, tetapi ada syarat. Yang itu senang saja, pangkah saja (BN). Kita nak beritahu semua, mu (kamu) nak lalu sini, mu kena pangkah BN.


Zahrain, Could U Please Stop Tonggeng, Nobody Dismiss U.

Tidak Ada Siapa Pecat Zahrain" - Guan Eng

Tidak sampai 24 jam selepas ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mendakwa yang dia telah dipecat oleh ketua menteri sebagai pengerusi Island Golf Properties Bhd (IGP), Lim Guan Eng muncul dengan kenyataan balas menafikan kejadian itu.

Guan Eng berkata, Zahrain masih menjadi pengerusi IGP iaitu anak syarikat perbadanan negeri, PDC.

“PDC sendiri telah memaklumkan kepada saya tidak ada surat berkaitan perkara itu yang dikeluarkan sama ada oleh mereka atau IGP kepada Zahrain,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Zahrain menyandang jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah IGP pada 9 Julai 2008 iaitu tiga bulan selepas PR mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN).

The Star dalam laporannya hari ini memetik Zahrain sebagai berkata bahawa dia telah dipecat sebagai pengerusi IGP 12 hari selepas mengeluarkan kenyataan pedas mengkritik kepimpinan Guan Eng. -MSTAR


"Guan Eng Pecat Saya Sebagai Pengerusi GLC Negeri" - Zahrain

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim mendakwa beliau telah dipecat oleh Lim Guan Eng sebagai pengerusi sebuah GLC milik kerajaan negeri kerana telah melakukan kritikan terbuka ke atas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu adalah pengerusi Island Golf Properties Bhd iaitu anak syarikat milik sebuah perbadanan kerajaan negeri.

Zahrain sebelum ini telah mencetuskan kontroversi apabila menuduh Lim Guan Eng memerintah negeri itu bagaikan seorang diktator, berfikiran seperti seorang komunis dan mengenepikan pandangan ahli parti serta pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

Dan semalam, beliau mendakwa, kerana kritikan yang dilemparkannya itu, 12 hari kemudian Guan Eng telah memecatnya sebagai pengerusi GLC negeri.

"Cara bagaimana saya dipecat mengesahkan dakwaan saya bahawa beliau adalah seorang diktator," kata Zahrain.

Beliau menambah, Guan Eng adalah seorang yang tidak boleh menerima kritikan dan cara dia mengendalikan syarikat milik kerajaan negeri adalah bagaikan syarikat itu milik bapa dia dan memecat orang mengikut selera dan kehendak dia.

Zahrain juga berkata, tiada notis atau surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya sebelum pemecatan itu dilakukan.

Berita mengenai pemecatannya itu kata Zahrain telah dimaklumkan kepadanya oleh seseorang selepas Guan Eng menghadiri mesyuarat lembaga PDC.

PDC adalah pemilik Island Golf Properties Bhd.

"Jika Guan Eng mengamalkan prinsip ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti yang dia sendiri laung-laungkan, dia sepatutnya mengeluarkan surat tunjuk sebab terlebih dahulu sebelum menjustifikasikan tindakannya itu," katanya. -MSTAR


Boleh Singkir PM Tanpa Undi Tidak Percaya

Profesor Dr. Abdul Aziz Bari menyifatkan keputusan mahkamah persekutuan mengenai isu siapa Menteri Besar yang berpihak kepada UMNO Barisan Nasional, membangkitkan persoalan mengenai kedudukan kerajaan dalam sistem demokrasi dari sisi perundangan.

Professor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa itu berkata perkara ini serius kerana Menteri Besar sepatutnya hanya boleh disingkir melalui Dewan Undangan Negeri.

“Pada hakikatnya kalau di negeri Perak itu Sultan boleh menyingkirkan Menteri Besar tanpa melalui undi tidak percaya dalam dewan secara formal, maka di peringkat pusat juga peringkat persekutuan boleh menyingkirkan perdana menteri tanpa melalui undi tidak percaya,"katanya.

Aziz berkata demikian ketika ditemubual TVSelangor.com

Beliau percaya kepada amalan yang dipraktik selama ini iaitu melalui undi tidak percaya secara formal di Dewan Undangan Negeri bagi menentukan siapa Menteri Besar.

“Jadi, itu yang menyebabkan timbulnya perspepsi ataupun tanggapan bahawa apa yang berlaku itu boleh memberi kesan kepada perlembagaan dan ini semakin boleh mengkompromikan sistem Raja itu sendiri,”katanya.

Kes ini akan menjadi rujukan tetapi malangnya ia perkembangan yang tidak sihat kerana undang-undang pada masa ini boleh menyingkirkan pemimpin dengan mudah, tanpa mematuhi prosedur yang betul.

“Dengan keputusan yang terbaru itu, mengatakan bahawa Menteri Besar ataupun Perdana Menteri boleh disingkir tanpa melalui undi tidak percaya, ini merupakan kesan langsung, dengan kata lain undang-undang yang dihuraikan yang diputuskan mahkamah semalam adalah perkembangan yang tidak sihat pada kes-kes akan datang,” katanya. _TVS



Bala tolak jumpa SPRM di kedutaan Malaysia di Singapura

Penyiasat persendirian P. Balasubramaniam (gambar) yang dianggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai saksi utama bagi pihaknya dalam siasatan berkaitan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, menolak syarat agar dia diambil keterangan di kedutaan Malaysia di Singapura.

“Mereka (SPRM) mahu mengadakan sesi temu bual (ambil keterangan) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, tetapi kami tidak bersetuju,” kata peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sebab permintaan itu ditolak tetapi difahamkan atas faktor keselamatan tidak mahu dikompromi, yang merupakan salah satu syarat dikenakan detektif tersebut.

Selain itu kata Americk, SPRM juga mahu mengklasifikasikan segala koresponden mereka sebagai “rahsia” di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Syarat itu juga ditolak, kata beliau sambil menambah pihaknya masih menunggu maklum balas daripada SPRM.

“Mereka juga mahu mengklasifikasikan kesemua koresponden kami sebagai rahsia di bawah OSA, yang mana kami tidak bersetuju, jadi saya tidak boleh berkata lebih daripada itu sehingga kami memperoleh maklum balas kepada surat tidak setuju kami kepada syarat-syarat yang dikenakan ke atas kami,” kata beliau.

Pertengahan bulan lalu Datuk Abu Kassim Mohamed, yang mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak 1 Jan berkata, suruhanjaya itu bersedia untuk menemui Balasubramaniam di mana saja walaupun di luar negara untuk mendapatkan keterangannya ekoran pendedahan terbaru mengenai Altantuya menerusi siri rakaman akhir tahun lalu.

Balasubramaniam berada di luar negara sejak lebih setahun lalu selepas membuat akuan bersumpah kedua mengenai kes wanita Mongolia itu yang dibunuh pada 2006.

Akuan bersumpah kedua Balasubramaniam menafikan akuan bersumpah pertama yang dibuatnya sehari sebelum itu.

Abu Kassim menyifatkan Balasubramaniam adalah saksi utama dalam siasatan SPRM berhubung kes itu.

Oleh itu kata beliau, SPRM akan menyediakan segala kemudahan untuk Balasubramaniam membantu siasatan mereka.

Awal bulan lalu Balasubramaniam menerusi peguamnya menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada SPRM ekoran pendedahan rakaman temu bual mengenai kes itu.

Dalam surat emel dihantar kepada SPRM, Balasubramaniam mengenakan enam syarat antaranya temu bual dimaksudkan harus dikendalikan di Singapura ataupun London.

Ia salah satu syarat dikenakan beliau kepada SPRM jika mahu menemuinya.

Sehubungan itu kata Americk, pihaknya sudah pun menyatakan kesediaan mereka untuk membantu siasatan SPRM dalam apa jua cara dengan syarat keselamatan Balasubramaniam tidak dikompromi.

Balasubramaniam telah menjawab secara formal kepada SPRM menerusi surat peguam Manjeet Singh Dhillon.

Pada 4 Dis lalu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan dan menyerahkan rakaman temu ramah Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri dalam isu pertukaran akuan sumpahnya mengenai hubungan Altantuya dengan Datuk Seri Najib Razak kepada SPRM.

Balasubramaniam membuat pengakuan itu dalam satu wawancara dengan tiga peguam terkenal di Singapura tahun lalu.

Selepas portal-portal tempatan menyiarkan temu bual itu, beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan seorang peniaga permaidani Deepak Jaikishan sebagai dua individu utama yang perlu disiasat.

Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor. Laporn : Malaysian Insider Video : TVS


Pejabat Sultan Selangor Terima Persijilan ISO 900:2008

Pejabat Sultan Selangor di Istana Alam mencatat sejarah menjadi pejabat pertama yang seumpamanya mendapat persijilan MS ISO 9001:2008 bagi pengurusan dan pengendalian Istana daripada Sirim QAS International Sdn Bhd.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Selangor, Datuk Zakaria Abdul Rahman berkata, pensijilan itu diberikan untuk tiga aspek utama organisasi Istana Alam Shah pengurusan hal ehwal pentadbiran dan santapan Sultan Selangor; pengurusan pentadbiran serta pengurusan adat istiadat Istana Alam Shah.

Menurutnya, Pejabat Sultan Selangor dianugerahkan pensijilan berprestij itu setelah diaudit oleh dua pegawai Sirim QAS International Sdn Bhd pada 23 dan 24 Disember tahun lalu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pensijilan ISO itu daripada Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad, Yahaya Ahmad, pada satu majlis yang berlangsung di Istana Alam Shah, di sini.

Zakaria berkata, dengan penganugerahan ISO itu, pentadbiran dan pengurusan Istana Alam Shah adalah setanding dengan organisasi kerajaan atau pun swasta yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berjaya mengubah pandangan negatif terhadap pejabat itu dahulu.

"Jadi, rasa hormat kepada Pejabat Sultan Selangor hanyalah kerana Sultan sahaja. Bukan kerana kemampuan staf dan pegawai-pegawai yang boleh menjalankan kerja dan tugas kita mengikut sistem pentadbiran yang ditentukan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual wartawan TV Selangor di pejabatnya, semalam.

Sehingga kini, 4,793 syarikat dan organisasi di Malaysia telah menerima pensijilan ISO 9001, satu piawaian yang menentukan komponen khusus sistem pengurusan bermutu.

Proses audit memastikan organisasi atau syarikat berkenaan mempunyai sistem diperlukan bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan sentiasa memenuhi piawaian ditetapkan.

Zakaria berharap melalui pensijilan yang diperoleh ini akan dapat membuka mata rakyat terhadap kemampuan pejabat sultan Selangor dalam memberikan perkhhidmatan terbaik serta menggalakkan pegawai dan kakitangan menggandakan usaha dalam memberikan mutu kerja terbaik. -TVS



Ulasan GB

Seluruh warga PR mengucapkan tahniah kepada pihak pejabat Sultan Selangor di atas Anugerah MS-ISO 9001:2008 bagi pengurusan dan pengendalian Istana

Diantara Kesaksamaan Dan Bahasa Kasar, Mana Yang Lebih Utama?

Agensi berita nasional BERNAMA sibuk membesarkan kisah Karpal Singh yang dikatakan "ditegur" oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden (gambar), yang mengetuai pihak pendakwaan kerana menggunakan perkataan kasar terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

"Untuk mengatakan Yang Arif berbohong adalah terlalu kasar. Walaupun kita boleh berhujah sebaik manapun untuk anak guam kita, tetapi menggunakan perkataan kasar adalah tidak wajar.

"Kita boleh berbuat demikian dengan sopan dan beretika," katanya ketika berhujah semasa mahkamah mendengar permohonan pihak pembelaan supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada kes itu kononnya kerana beliau berat sebelah.

Itu yang dijadikan fokus berita di dalam kes perbicaraan liwat Saiful semalam. "Teguran" itu datangnya dari Pendakwa, bukan hakim.

Sedangkan Karpal dalam hujahnya berkata pihak pembelaan membuat permohonan supaya Datuk Mohamad Zabidin menarik diri berdasarkan keputusan beliau berhubung dua artikel yang diterbitkan akhbar Utusan Malaysia yang disifatkan Encik Karpal mempunyai elemen berat sebelah.

Karpal menuduh Datuk Mohamad Zabidin enggan mengekang liputan media 'berat sebelah', yang termasuk menyiarkan gambar yang diambil dalam sidang tertutup di apartmen tempat perbuatan liwat itu dikatakan berlaku.

'Yang arif tidak dapat membuktikan yang tuan tidak berat sebelah,' kata Karpal.

Beliau berkata hakim sepatutnya menegur Utusan Malaysia kerana menyiarkan gambar itu, yang menunjukkan pengadu, Encik Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 24 tahun, menunjuk ke arah katil dalam apartmen berkenaan.

Karpal berkata hakim tersilap apabila berkata katil itu disebut dalam sidang di mahkamah.

'Dengan segala hormat, yang arif tidak menyatakan perkara sebenar dan itu bermakna yang arif telah berbohong,' kata beliau.

'Yang arif tidak ada pilihan lain kecuali mengundur diri,' tambahnya.

Ulasan GB

Persolannya: dimana kekasaran Karpal? Menggunakan istilah "berbohong"? Jika demikian adanya, apakah istilah lain yang "lebih lembut" atau "lebih lunak" yng dikehendaki oleh pendakwa?

Yang arif telah menipu?
Yang arif telah berdusta?
Yang arif telah tidak berkata benar?

Semua itu merujuk kepada istilah "berbohong" yang disifatkan sebagai "kasar" oleh Pendakwa.

Orang Melayu ini aneh. Berkata "babi" itu kasar, "khinzir" lembut? "Kafir" itu kasar, "engkar" lembut?

Perkara pokoknya, persoalan kesaksamaan yang sepatutnya menjadi prinsip seseorang hakim seperti yang dihujjahkan oleh Karpal ditenggellamkan dengan "serangan" Pendakwa terhadap bahasa yang digunakan Karpal.

Sama halnya di dalam kes Jawatankuasa Disiplin PAS yang pentingkan "guna saluran betul" daripada kesaksaman dan keadilan yang sepatutnya menjadi fokus. GB akan ulas di dalam entri yang lain. InsyaAllah.


Mayat Bayi Di Pintu Masjid

Mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di hadapan pintu pagar Masjid Permatang Duyong Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu dibaluti dengan kain putih tetapi badannya kemerahan dipercayai digigit semut.

"Mayat bayi berkenaan disedari ditinggalkan di masjid itu oleh jemaah masjid selepas mereka selesai menunaikan sembahyang subuh," katanya ketika dihubungi di
sini.

Salehhudin berkata penemuan mayat bayi itu dilaporkan kepada polis oleh bilal masjid itu, Mohamad Abu.

Beliau berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Melaka di sini untuk bedah siasat.

Katanya polis sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. -hmetro foto : BH

Ulasan GB

Baca dua lapis. Anak haram dicampakkan di pintu masjid.

Doamu diterima, dikekalkan kerajaan haram di Perak. Ambillah.