5 Mac 2010

Broker Lompat Parti Sah Ada Memohon CEO Kumpulan Peransang

Pejabat Menteri Selangor mengesahkan bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Salehuddin Hashim pernah mengemukakan permohonan untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS).

Pejabat Menteri Besar juga mengesahkan KPS telah menerima permohonan beliau itu dan Salehuddin pernah ditemuduga oleh Jawatankuasa Pemilihan.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pemilihan memutuskan supaya calon lain yang lebih layak dan sesuai dipilih bagi menjawat jawatan itu, lapor harakahdaily.

Kenyataan ini dikeluarkan bagi menerangkan kedudukan sebenar mengenai Salehuddin apabila nama KPS dikaitkan dengan kontroversi punca beliau meletak jawatan Setiausaha Agung KEADILAN, kata kenyataan rasmi dari Pejabat MB Selangor.

Kenapa?

Persoalan kenapa Salehudin sebagai bekas Setiausaha Agung KEADILAN sanggup bertindak menikam partinya serta rakan karibnya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menjadi fokus utama.

Ini berikutan kehadiran Salehuddin pada setiap kali anggota Parlimen KEADILAN membuat pengumuman keluar dari parti itu.

Salehuddin pula membuat kenyataan, satu pertiga anggota parlimen PKR iaitu kira-kira 10 orang akan berbuat demikian. Jika kesemua 10 orang itu menyokong BN, ia akan membolehkan parti yang memerintah negara sekarang (BN) mendapat kembali kuasa 2/3 nya yang hilang dalam pilihan raya umum ke 12 lalu.

Langkah Salehuddin umpama cerita drama dalam filem polis apabila penjahat menahan sekumpulan tebusan dan membuat tuntutan dari pihak tertentu. Penjahat itu akan menembak satu persatu tebusannya sehinggalah tuntutannya dipenuhi.

Sehingga kini, sudah tiga ‘tebusan dibunuh’ dan akan terus ‘membunuh’ jika tuntutannya tidak diterima. Tidak diketahui apakah tuntutan Salehuddin dan dari siapakah tuntutan itu ditujukan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali dalam kenyataannya berkata, Salehuddin marah apabila permohonannya untuk menjadi CEO Kumpulan Perangsang yang bergaji RM50,000 sebulan ditolak.

Syed Husin juga berkata, Salehudin dibayar gaji sebanyak RM9,000 sebulan sebagai Setiausaha Agung KEADILAN.

Dalam jawapan balasnya, Salehuddin berkata, Anwar yang meminta beliau menjadi CEO Kumpulan Perangsang untuk kepentingan perjuangan KEADILAN dan dia telah berkata kepada Anwar akan menjadi CEO dengan syarat dibayar gaji RM1 sebulan.



Doa Dan Harapan TGNA Termakbul, Anuar Manan Lakar Sejarah LTdL

Doa dan harapan serta sentuhan Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, termakbul hari ini apabila Anuar Manan melakar sejarah selepas menjadi pelumba Malaysia pertama muncul juara perlumbaan peringkat pada peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL), hari ini sejak ia dimulakan 15 tahun lalu.

Anuar yang mewakili pasukan South Korean Guemsan Ginseng Asia memenangi perlumbaan sejuh 111.5 kilometer dari bandar Muar ke Port Dickson. Beliau juga memenangi jersi hijau dan biru.

Datuk Nik Abdul Aziz sebelum ini telah melahirkan kesyukuran kerana Kelantan menjadi pusat pelepasan acara perlumbaan jelajah basikal paling berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010. Petikan berita 28 Feb lalu:

Beliau juga berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Beliau telah turut meraikan pelumba-pelumba basikal LtLD pada majlis makan malam sebelum hari perlumbaan malah telah turut serta di hari pertama perlumbaan sekalipun acara "flag-off" sepatutnya dilakukan oleh Datuk Nik Abdul Aziz telah dirampas tanpa rasa malu oleh Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Awang Adek Hussin.

Anuar, 24, yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia, menjuarai peringkat kelima sejauh 111.5km itu setelah mengetepikan tentangan sengit lawan sehingga ke garisan penamat.

Keputusan iu menjadikan beliau pelumba Asia ketujuh yang memenangi peringkat perlumbaan LTdL sejak ia mula dipertandingkan pada 1996 serta merupakan pelumba kedua dari Asia Tenggara yang menang peringkat selepas pelumba Indonesia, Samai Amari, dari pasukan Le Tua pada tahun lepas.

Selain itu, jersi hijau (raja pecut) yang dirampas oleh Michael Matthews dari pasukan Jayco-Skins pada peringkat keempat berjaya diambilnya kembali hasil kemenangan hari ini yang termasuk satu zon pecutan di Umbai, Melaka.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana telah mencapai sasaran untuk memenangi satu peringkat perlumbaan LTdL malah berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan hari ini.

Anuar, yang turut mengekalkan jersi biru selaku pelumba terbaik Asia, berkata pada peringkat kelima ini, rakan-rakan dari pasukan Malaysia dan Marco Polo Cycling telah membantunya untuk mengatasi Matthews.

Jadi secara tidak langsung saya serta rakan sepasukan (Geumsan Ginseng Asia) dapat menyimpan tenaga untuk mengatur strategi bagi pecutan terakhir di garisan penamat,” katanya.

Anuar berkata beliau turut menggunakan taktik baru pada peringkat kelima ini dengan menumpukan usaha untuk memenangi peringkat perlumbaan yang turut menawarkan mata untuk jersi hijau selain daripada tiga zon pecutan.

Pada empat peringkat awal, saya menumpukan usaha untuk mengambil mata di zon pecutan manakala Matthews menggunakan rakan-rakan senegaranya dari Australia dari pelbagai pasukan untuk mengacau saya daripada mengutip mata.

“Matthews sendiri pula menumpukan perhatian untuk mencuri mata dengan memenangi peringkat perlumbaan seperti yang dilakukannya dengan memenangi peringkat pertama dan ketiga,” katanya.

“Anuar turut menjelaskan semua rakan sepasukannya telah memainkan peranan terutamanya dua rakan sepasukannya, Takeshi Igarashi dan Kim Yeong Uk, yang membuka ruang yang baik kepadanya untuk memecut ke garisan penamat.

Mengenai peringkat keenam esok yang mempertandingkan tiga zon pecutan dan pendakian ke puncak Genting Highlands, Anuar berkata beliau telah bersedia untuk mengutip sebanyak mata yang termampu.

“Malah saya yakin akan dapat menamatkan perlumbaan di puncak Genting Highlands mengikut masa yang ditetapkan berdasarkan prestasi semasa saya ketika ini,” katanya.

Jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan kekal milik pelumba kelahiran Jerman, Tobias Erler yang beraksi untuk pasukan dari Iran, Tabriz Petrochemical Cycling, dengan masa keseluruhan 17 jam 59 minit 23 saat.

Jersi polka dot selaku raja bukit turut kekal dimiliki pelumba pasukan Drapac Porsche, Peter McDonald, yang mengumpul 11 mata walaupun tidak mengutip sebarang mata pada satu zon pendakian hari ini.

Pelumbaan peringkat keenam esok akan bermula di Putrajaya dan tamat di Genting Highlands, sejauh 102.8km. Perlumbaan melibatkan 112 pelumba daripada 20 pasukan.



Harussani Tokok-tambahkan Cerita - Ust Ahmad Awang

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang mendakwa Tan Sri Harussani Zakaria telah menokok tambah perbualan mereka ketika mufti Perak itu menghubunginya bagi memujuk PAS untuk bersama Umno menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak selepas pilihan raya umum 2008.

Ahmad mengulas kenyataan Harussani, dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, yang mendakwa PAS Perak dengan angkuh menolak cadangan tersebut walaupun pada dasarnya mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan parti itu.

"Apa yang beliau cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul," katanya sambil menambah, dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda.

"Perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sebagai pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Ahmad mengakui - dalam perbualan telefon dengan Harussani - mufti Perak itu telah memujuknya parti itu bersama-sama Umno membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, katanya, beliau berkeras tidak mahu bekerjasama dengan Umno kerana mendakwa Umno adalah "zalim" termasuk memberi contoh pengalaman PAS bersama dengan Umno satu ketika dahulu.

Ahmad juga mengakui dalam perbualan dengan Harussani - lebih kurang 10 minit itu - beliau membuat ketetapan untuk bersama-sama dengan DAP menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Dalam perbualan telefon itu juga, Ahmad berkata, Harussani berkata kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu berteraskan Melayu dan Islam, sedangkan mufti Perak itu mendakwa pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham anti-Islam.

Ahmad berkata, beliau menjawab dengan berkata bahawa beliau mengenali pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham sejak tujuh atau lapan tahun lalu, dan mengetahui beliau beragama kristian.

"(Tetapi) Ngeh tidak pernah bersikap anti-Islam," katanya.


Menurut Ahmad lagi, dalam perbualan tersebut, Harussani juga tidak menyatakan tentang tawaran jawatan menteri besar dan exco kepada PAS dalam kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu.

Sebaliknya, kata beliau, tawaran tersebut hanya dibuat oleh seorang wakil rakyat yang mewakili ketua badan perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, beberapa hari selepas Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum tersebut.

Ahmad juga berkata, dalam perbualan telefon itu, beliau membidas mufti Perak yang banyak menyentuh dalam ceramahnnya mengenai gejala murtad di kalangan orang Melayu yang menganut Kristian.

"Saya cakap kepadanya bahawa beliau mengenali (perdana menteri ketika itu) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan pernah menghantar memorandum (mengenai gejala murtad), tapi kerajaan tak buat apa-apa pun.

"Jadi kita tak boleh harap dengan Umno. Macam mana nak berpakat," katanya.

Ekoran bidasannya itu, Ahmad berkata Harussani "mati akal" untuk menjawab hujahnya dan seterusnya menamatkan perbuatan mereka.
- malaysiakini


Dari Blog Ust Ahmad Awang
entri bertarikh 19 Jun 2009


Pengalaman Saya Di Perak

Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu. Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak. Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS. Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS. Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu. Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya. Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan. Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional. Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti. Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam.


Pendedahan Ustaz Ahmad Awang Semasa Muktamar 55





BBC Selangor Teguh Bersama PR, Kutuk Mereka Yang keluar Parti

Ahli-ahli Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor terus menyatakan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat (PR) dan kepimpinan di bawah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Timbalan Pengerusi BBC, Dr. Abd Rani Osman mengutuk tindakan keluar parti oleh ketiga-tiga orang Ahli Parlimen kawasan Bayan Baru, Nibong Tebal dan Bagan Serai, iaitu Zahrain Hashim, Tan Tee Beng dan Mohsin Fadzli Samsuri yang sekarang merupakan Ahli Parlimen bebas.

“BBC melihat tindakan yang membelakangi mandat yang diberikan rakyat ini sebagai sebahagian daripada rancangan Barisan Nasional (BN) untuk menghalang hasrat rakyat dan menghancurkan PR.

“Kejadian ahli-ahli parlimen mengisytiharkan mereka hilang keyakinan kepada PKR dan mahu membina barisan indipenden bukanlah suatu hal yang terjadi tiba-tiba. Tindakan pelompat ini didorong oleh imbuhan kewangan," kata Timbalan Pengerusi BBC Selangor, Dr Abd Rani Osman.

Dalam pada itu, beliau megutuk alasan diberikan oleh mereka yang keluar parti baru-baru ini merupakan jalan mudah semata-mata untuk menutup kelemahan peribadi dan cara kerja yang semakin merosot di pandangan mata rakyat.

Abdul Rani berkata BBC di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan EXCO akan sentiasa bekerja keras untuk membangunkan Selangor.

“Di bawah konsep besar Merakyatkan Ekonomi Selangor, kerajaan PR Selangor telah membawa perubahan dalam mentadbir kerajaan negeri berbanding dengan kerajaan dahulu. Pelbagai program telah dilancarkan untuk memanfaat golongan anak-anak kecil, pemuda yang menuntut di IPT dan golongan usia emas.

“BBC juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk dasar-dasar kerajaan. BBC juga bergiat aktif dalam kesemua jawatankuasa tetap dan jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan Dewan Negeri Selangor untuk memantau pentadbiran," tegas Dr Rani.



Najib Akan Rasmikan AGM MCA Yang Lintang Pukang Ahad Ini, Pemilihan Baru MCA 28 Mac

MCA akan mengadakan pemilihan baru pucuk pimpinan parti itu pada 28 Mac, kata setiausaha agungnya, Datuk Wong Foon Meng, hari ini.

Mesyuarat agung tahunan (AGM) yang dijadualkan pada Ahad ini juga diteruskan. Wong berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan mesyuarat agung parti itu.

Wong juga berkata CC mengarahkan sayap Pemuda dan Wanita parti itu mengadakan AGM mereka esok seperti yang termaktub dalam peraturan parti bahawa kedua-dua sayap parti wajib mengadakan mesyuarat itu selaras dengan badan induk mereka.

Usaha itu dilihat sebagai tindakan terdesak oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk cuba melakukan sesuatu pada saat terakhir untuk Mengecewakan 'penentangnya' - Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datuk Paduka Chew Mei Fun.

Wong juga meminta kedua-dua pergerakan Wanita dan Pemuda MCA supaya mengambil tindakan yang sama dengan badan induk itu.

Bagaimanapun Wong berkata jawatankuasa pusat (CC) tidak mempunyai kuasa bagi memaksa mereka membuat pemilihan semula.

Beliau juga mengumumkan bahawa perayaan ulang tahun MCA yang dijadualkan pada Sabtu ini akan dteruskan.

Awal hari ini, kedua-dua pergerakan itu membuat sidang akhbar bagi membatalkan AGM mereka.



PR Akan Terus Perintah Selangor Pada PRU13 - MB

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yakin Pakatan Rakyat (PR) akan mempamerkan prestasi yang lebih baik, sekali gus mengekalkan negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.

“Saya tidak mengatakan akan mencapai kemenangan sapu bersih... tapi saya percaya, boleh katakan mempunyai peluang lebih baik (untuk kekalkan kedudukan semasa),” kata beliau pada sesi pertemuan dengan wartawan sempena dua tahun kerajaan PR Selangor di pejabatnya di sini, hari ini.

Khalid ditanya bagaimana beliau melihat peluang bagi PR Selangor jika pilihan raya diadakan dalam waktu terdekat ini.

Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013.

PR membentuk kerajaan negeri dengan kerjasama PKR, PAS dan DAP selepas memperoleh 36 daripada 56 yang diperuntukkan untuk Selangor.

Baki 20 kerusi dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dengan 18 daripadanya oleh Umno manakala dua lagi oleh MCA.

Tahun lalu, PKR kemerosotan satu kerusi ekoran tindakan Adun Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah memutuskan keluar PKR dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Mengulas lanjut, Menteri Besar penggal pertama ini berkata PR yakin akan mengekalkan kerusi-kerusi di kawasan bandar dan tumpuan besar adalah terhadap kawasan luar bandar yang majoritinya masyarakat Melayu.

“Saya yakin kita boleh mengekalkan kerusi-kerusi kawasan luar bandar dan bahagian-bahagian (yang pengundinya) campuran,” katanya.

Kata Khalid, di kawasan luar bandar pengundinya berpecah antara penyokong Umno dan PAS atau PKR.

Pengerusi PKR Selangor ini berkata, penilaiannya menunjukkan sokongan orang Melayu bagi PR kekal sama tetapi lebih banyak perlu dilakukan untuk menembusi kubu kuat Umno, yang memenangi 18 kerusi pada 8 Mac 2008.

Kata beliau PR perlu mengadakan lebih banyak program untuk memperoleh sokongan orang Melayu di kawasan-kawasan luar bandar.

Kebanyakan kawasan yang majoritinya pengundi Melayu, jelas Khalid, 55 peratus pengundi menyokong Umno manakala 45 peratus pergi kepada PKR dan PAS.

Berhubung soal Umno-BN bergerak keras untuk mendapatkan balik Selangor, Khalid berkata, beliau tidak melihat ia mengurangkan usaha mereka kerana ia adalah fokus pihak Umno-BN.

“Beberapa kali para menteri dan perdana menteri datang ke Selangor... pada majlis Deepavali, Tahun Baru Cina (bulan lalu),” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau menjangkakan akan ada Ahli Parlimen dan Adun PR di Selangor yang akan bertindak keluar PKR, Khalid berkata, pihaknya tidak melihat kemungkinan tersebut.

“Saya tidak melihat akan ada yang keluar, bukan sahaja yang melibatkan PKR tetapi juga Pakatan Rakyat (pada keseluruhannya),” kata beliau sambil menambah risiko mengenai kemungkinan akan keluar lazimnya ada dan perlu dihadapi.

“Kemungkinan saya memperuntukan lebih banyak dengan masa dan kurang masa untuk pertadbiran, tetapi dalam seminggu cuma ada tujuh hari sahaja,” katanya.

Semalam beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR dan beberapa wakil rakyat.

“Kita akan adakan lebih banyak mesyuarat... meningkatkan usaha membina semangat berpasukan... mengurangkan perasaan dipinggirkan. Bergerak bersama dalam beberapa aktiviti,” katanya lagi. -MI

Mahfuz Cabar Harussani Letak Jawatan Mufti Dan Bertanding Pilihanraya

PAS mencabar Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria meletakkan jawatannya untuk bergiat aktif dalam politik termasuk bertanding pilihan raya daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan memperlekehkan kerjasama Pakatan Rakyat.

“Saya mencabar Tan Sri Harussani meletakkan jawatan sebagai mufti dan beliau secara langsung terlibat dalam politik,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sambil menyifatkan Harussani sepatutnya memahami persekitaran kerjasama sebelum 8 Mac 2008, Mahfuz berkata, PAS tidak wajar memutuskan hubungan yang telah dijalin bersama komponen Pakatan Rakyat.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku itu (perbincangan selepas pilihan raya umum).

“Tetap yang penting, bolehkah kita yang ada Pakatan Rakyat, menyertai pilihan raya secara bersama dengan mereka, jatuh bangun dan susah payah menghadapi pilihan raya... tidak boleh mengkhianati semangat setiakawan yang telah dibentuk,” kata Mahfuz.

Mahfuz memberitahu Harussani sebagai mufti seharusnya faham dalam Islam juga tidak digalakkan memungkiri janji kerjasama yang telah dijalin dengan DAP dan PKR.

Malah Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap Harussani tidak menghalalkan unsur-unsur rasuah yang didakwa diamalkan oleh kalangan pemimpin BN-Umno.

Sehubungan itu, Mahfuz juga menambah bahawa kelihatan masih ada usaha di kalangan Umno dan BN termasuk menggunakan mufti untuk melakukan usaha ‘menarik’ wakil-wakil rakyat.

Kata beliau, ia menunjukkan Umno-BN terus berada dalam suasana cemas untuk mendapatkan kuasa dengan menarik sokongan wakil rakyat Pakatan Rakyat.

BN mengambil alih kerajaan negeri Perak pada Februari 2009 ekoran tindakan tiga Adun Pakatan Rakyat keluar parti dan sekali gus menjadi wakil rakyat Bebas mesra BN.

Mahfuz mengulas kenyataan Harussani mendakwa PAS bersikap angkuh dengan menolak syor agar dibentuk kerajaan campuran di negeri itu pada 2008.

Beliau menceritakan keangkuhan PAS Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Kata beliau apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara PAS dan BN, Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang terus berkata pihaknya tidak akan bersekongkol dengan orang Umno yang zalim dan lebih baik berkawan dengan kafir yang dirujuk kepada DAP.

Mengimbas kembali perkara itu, Harussani berkata, cadangan itu bermula selepas pilihan raya umum apabila DAP dan BN masing-masing mendapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermaksud PAS akan menjadi penentu kepada kerajaan yang akan dibentuk.

Katanya, beliau dilantik sebagai orang tengah dan persoalan yang timbul ialah daripada 28 wakil rakyat BN hanya seorang Cina.

“Kenapa PAS tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

?”Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,” katanya.

Jelas Harussani, semasa sampai di Ipoh beliau yang optimis dengan cadangan itu yang turut disokong kepimpinan tertinggi PAS telah menghubungi Ahmad, tetapi malangnya jawapan yang diterima amat mendukacitakan.

Beliau mendakwa, PAS Perak sebenarnya telah diperalatkan oleh DAP bagi memenuhi kepentingan tuntutan politik mereka.

“Contohnya semasa orang Melayu berbaring di atas jalan raya bagi menghalang laluan kereta Sultan Perak pada masa itu, langsung tiada orang DAP turut serta dan apabila saya tanya, mereka (orang Cina) berkata itu kerja Melayu, kami banyak lagi kerja lain nak dibuat,” katanya.

Bagaimanapun kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat dengan menteri besar dari PAS hanya bertahan 10 bulan.

Ia digulingkan apabila tiga Adun Pakatan Rakyat keluar PKR dan DAP, sekali gus menjadi wakil rakyat Bebas. -MI


Hentikan Gangguan Terhadap KM Dan Waki Rakyat Kami

Polis semalam melawat pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk merakamkan kenyataannya dan tiga ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Lawatan itu bertujuan bagi melengkapkan siasatan 'perhimpunan haram' dan kata-kata hasutan yang didakwa dihamburkan ketika forum 'Tolak Fitnah' dan rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Pakatan Rakyat.

Sembilan anggota polis dari beberapa balai tiba di pejabat Ketua Menteri pada jam1.10 petang.

Dua belas pembantu kepada ahli dewan undangan negeri dengan pantas menaikkan kain rentang sebagai sokongan moral dan bantahan terhadap tindakan polis itu.

Kain rentang itu antaranya berbunyi 'Hentikan gangguan terhadap Ketua Menteri dan perwakilan kami'.

Lim menghadapi enam pertuduhan termasuk perhimpunan haram, hasutan dan juga fitnah.

Lain-lain wakil rakyat yang juga diambil keterangan mereka ialah Ong Khan Lee (Kebun Bunga), VS Raveentharan (Batu Uban) and Sim Tze Tzin (Pantai Jerejak).

Difahamkan 10 wakil rakyat Pakatan telah diarah memberi keterangan. Daripada jumlah itu, enam sudah berbuat demikian, termasuk timbalan ketua menteri P Ramasamy dan Mansor Othman, serta ahli exco Abdul Malik dan Chow Kon Yeow.

Azmin Ali mendakwa BN berkonspirasi dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan pemimpin Pakatan Rakyat.



Siasat Carpet Raya Dan Pemiliknya - Chegu Bard

Solidariti Anak-Anak Malaysia hari ini membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, supaya menyiasat syarikat Carpet Raya Sdn Bhd yang mempunyai aset bernilai RM90 juta, tanggungan sebanyak RM67 juta dan simpanan melebihi RM12 juta.

Penyelarasnya, Badrul Hisham Shaharin yang membuat laporan itu berkata polis harus menyiasat bagaimana sebuah syarikat yang menjual karpet boleh mengumpul aset sebanyak itu.

"Kami juga mahu polis siasat salah seorang pemilik syarikat itu, Deepak Jaikishan yang dikenalpasti oleh penyiasat persendirian Balasubramaniam sebagai individu membuat bayaran kepadanya supaya menghilangkan diri.

Deepak telah disebut oleh Subramaniam sebagai individu yang membuat bayaran bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya Rosmah Mansor.


Menurut Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, sebelum peristiwa pembayaran wang tersebut, Balasubramaniam telah dibawa untuk bertemu adik dan adik ipar Najib.

Beliau berkata, Balasubramaniam telah membuat pengakuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.



Lamanweb Muhyiddin Masih Tidak Berfungsi Setelah Seminggu Digodam

Laman rasmi Timbalan Presiden Umno/BN, Muhyiddin Yassin yang 'hilang' semenjak awal bulan ini yang dipercayai akibat serangan kumpulan-kumpulan Najib masih tidak dapat diakses.

Laman sesawang Timbalan Perdana Menteri itu, http://www.my-malaysia.com.my/ hanya tertera 'Not Available!' apabila dibuka.

Difahamkan, serangan itu berpunca hasil strategi Muhyiddin yang dilihat bertentangan dengan dasar 1Malaysia yang diperkenalkan Najib.

Sejak menjadi Timbalan Najib, Muhyiddin dilihat lebih kepada pro perkauman dengan laungan dan slogan Melayu berbanding slogan Najib 1Malaysia.


Ini terbukti apabila Muhyiddin pernah menyerang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilabelkannya sebagai pengkhianat Melayu walaupun sebenarnya Anwar jelas banyak memajukan orang Melayu sepanjang menjawat pelbagai jawatan menteri sebelum ini.

Berbanding Muhyiddin, semasa beliau bergelar Menteri Besar Johor, beliau didakwa menjual sejumlah besar tanah Orang Melayu kepada orang asing.

Laman sesawang Muhyiddin itu dengan temanya, MY Malaysia jelas mahu mencabar dan menidakkan slogan 1Malaysia.

Terdahulu, Ahli Parlimen (MP) Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyifatkan Muhyiddin tidak menyokong 1Malaysia yang diperkenalkan oleh bosnya, Najib Razak.

Malah, laman sesawang Muhyiddin tidak bertemakan 1Malaysia apabila memilih tema ‘My Malaysia’ yang maksudnya cukup berbeza dengan tema Najib yang mahukan satu Malaysia dan bukannya Malaysia Saya.


‘Hilangnya’, laman sesawang Muhyiddin itu di dunia maya adalah kali kedua apabila blognya yang terdahulu, http://suaramuhyiddin.blogspot.com/ turut ditutup sehingga kini.

Mengulas isu itu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shahrin berkata, inilah budaya pemimpin Umno dan BN selama ini yang lebih mementingkan perut, pangkat dan habuan duniawi berbanding memikirkan janji-janji pilihanraya yang selama ini gagal ditunaikan.

Menurut Ketua Cabang PKR Rembau itu, walaupun media pengampu mereka cuba menutup isu itu, namun beliau yakin dengan ledakan info maya, rakyat akhirnya pasti mengetahui pergolakan sebenar antara kem Najib lawan kem Muhyiddin.

“Akhirnya yang akan rugi ialah rakyat, kerana harga barang terus melambung tinggi, keselamatan negara terus terancam selain peningkatan kadar jenayah cukup membimbangkan,” katanya kepada erapakatan.com ketika dihubungi. -erapakatan

Saya Tak Kisah Kalau Diarah Keluar Dari UMNO - Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah menyalahkan beberapa pemimpin dahulu kerana menyebabkan empat negeri gagal mendapat hak menuntut royalti minyak.

Beliau mendakwa merekalah antara penyebab Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor tidak mendapat hak menuntut royalti lima peratus.

Tengku Razaleigh, antara pengasas Petronas berkata, beliau menyiapkan pelan bagi membentuk Akta Kemajuan Petroliam, 1974.

“Wang berkenaan (sepatutnya) disalurkan terus ke dalam akaun kerajaan negeri di bawah satu dana, namun saya diarahkan menafikan hak mereka.

“Untuk itu saya mencipta mekanisma baru supaya Kelantan dan Terengganu langsung tidak berhak menerima pembayaran,” katanya dalam kenyataannya semalam.

Bekas Menteri Kewangan itu juga mempersoalkan perbelanjaan RM20 bilion yang diberikan oleh Petronas kepada Kerajaan Terengganu dihabiskan dalam masa singkat.

“Sepatutnya wang berkenaan digunakan untuk membasmi kemiskinan dan saya kesal kerana ramai yang tidak mendapat manfaat daripada wang berkenaan.

“Petronas membayar RM6.2 bilion dalam bentuk tunai pada 2009. Terengganu mendapat RM3 bilion, Sabah dan Sarawak masing-masing mendapat RM2.3 bilion dan RM0.9 bilion,” katanya.

Tengku Razaleigh menyelar salah seorang Naib Presiden UMNO yang mengarahkan ahlinya tidak membuat kenyataan mengenai isu royalti minyak.

“Pada hemah saya, dari hari ini dan seterusnya, arahan menutup mulut perlu dipatuhi,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak kisah sekiranya diarahkan supaya keluar daripada UMNO sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman.

“Apa yang dilakukan oleh saya adalah meletak kepentingan rakyat Kelantan lebih daripada kepentingan parti (UMNO).” katanya. -SH

Pengundi Bagan Serai Desak Mohsin Letak Jawatan

Lebih 300 pengundi di Bagan Serai termasuk MP Parit Buntar Mujahid Yusuf Rawa (PAS) dan beberapa ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat dari Perak menyertai bantahan ini.

Bantahan bermula sejak 10 pagi dari Pejabat Keadilan Cabang Bagan Serai yang terletak hampir 1 km dari pejabat beliau dan berakhir jam 12 tengah hari.

Ia diketuai oleh Ketua Cabang Bagan Serai Mohd Nasib Rahin dan juga dihadiri oleh Adun Selinsing, Adun Kuala Kurau, Adun Titi Serong & Ahli Parlimen Parit Buntar.

Protes dimulakan dengan laungan menuntut Mohsin letak jawatan, 'Hidup Pakatan Rakyat' dan 'Hancur Mohsin, Najib serta Umno' sambil membawa puluhan poster dan kain rentang.

Beberapa pengundi yang sempat ditemui menyatakan kekesalan atas pengkhianatan yang dilakukan oleh Mohsin.

Ahli dewan undangan Perak bagi kerusi Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari dengan keras menafikan khabar angin yang mendakwa beliau bakal meninggalkan PKR.

Sehubungan itu, beliau membidas Umno yang didakwanya punca segala tohmahan dan berita palsu berkenaan.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya saya akan keluar parti. Saya ingin beritahu Umno yang kami akan bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi menjahanamkan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Yunus berkata khabar angin itu sengaja ditaburkan oleh Umno sebaagi taktik serangan psikologi yang menggoncang Pakatan Rakyat, khusus PKR.

Beliau juga mendakwa sejak memenangi kerusi Kuala Kurau sejak dilantik Mac 2008, 'agen-agen Umno' sering kali cuba 'melamarnya' menyertai parti Melayu itu.

Sejak minggu lalu, blog-blog pro Barisan Nasional dan juga akhbar Cina menyiarkan spekulasi kononnya Yunus akan berpaling tadah.

Spekulasi semakin panas apabila MP Bagan Serai Mohsin Samsari mengumumkan tindakannya keluar dari PKR semalam.

Bagi membuktikan khabar angin itu tanpa asas, Yunus pagi ini juga terbabit dalam demonstrasi di pusat khidmat Mohsin yang ditutup hari ini.

Bantahan itu bagi membidas tindakan MP bagan Serai itu yang kini menjadi ahli bebas.

“Jika dia benar-benar berjuang untuk rakyat, dia (Mohsin) sepatutnya membuka pusat khidmatnya esok dan dia sendiri perlu mengendalikannya.”



Zulkifli Cipta Alasan, Siasatan Bukan Soal Pendirian Terhadap Kalimah Allah (updated)

Tumpuan Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Nordin adalah berkaitan tindakannya membuat laporan terhadap rakan parti gabungan, bukannya isu kalimah Allah.

Hal ini ditegaskan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan lembaga disiplin itu tidak memberi tumpuan kepada pendirian Zulkifli berhubung isu kalimah Allah yang berbeza dengan parti.

Saifuddin berkata demikian kepada TV Selangor apabila diminta mengulas mengenai tindakan Zulkifli yang menjadikan kehadiran tiga daripada empat panel bukan Islam sebagai alasan menghalalkan perbuatan meninggalkan sidang Lembaga Disiplin.

Panel Lembaga Disiplin itu terdiri daripada Tuan Syed Kamarulzaman selaku Pengerusi Lembaga, Chew Swee Yoke, Goh Keat Peng dan P Kumar.

"Zulkifli dihadapkan ke lembaga displin bukan kerana pendiriannya dalam isu kalimah Allah, sebaliknya kerana tindakannya membuat laporan polisnya terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Pada 23 Januari lalu, Zulkifli memfailkan laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad selepas pemimpin Pas itu berkata Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988 perlu dikemas kini mengikut peredaran semasa.

Sebelum ini, perbalahana Zulkifli dan Khalid sekitar isu kalimah Allah dalam blog dan sidang media masing-masing berpanjangan hingga kesempatan itu diambil media arus perdana untuk memutar belit fakta.

"Parti menghormati perbezaan pendapat. Parti mempunyai pendirian dalam isu kalimah Allah, dan kebetulan pendirian Zulkifli berbeza dari parti tetapi parti tidak bertindak.

"Akan tetapi, kerana beliau menyerang parti rakan (dengan membuat laporan polis terhadap Khalid mengikut Akta Hasutan), Zulkifli disiasat," katanya.

Terdahulu, Zulkifli pada sidang media selepas meninggalkan sidang lembaga disiplin di ibu pejabat PKR di sini, turut enggan mengiktiraf lembaga disiplin berkenaan.

Mengulas hal itu, Saifuddin, Ahli Parlimen M achang menyifatkan tindakan Zulkifli meninggalkan sidang berkenaan sebagai tidak menghormati Lembaga Displin sebagai salah satu institusi penting PKR. -TVS