26 Mac 2010

TGNA Umum Sedia Lepaskan Jawatan Mursyidul Am PAS

Selepas lebih 23 tahun memegang jawatan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengumumkan beliau sedia melepaskan jawatan itu.

Memberikan alasan kesihatan, beliau menyatakan bersedia tidak dilantik semula.

Datuk Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Majlis Syura Ulamak PAS bermesyuarat buat pertama kali bagi melantik barisan kepimpinan tertinggi baru.

Majlis Syura yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am adalah badan yang paling berkuasa di dalam PAS.

"Saya mujur (setuju) benar, kalu tak beri tugas kepada saya. Tinggal di Kota Bharu nak pergi Kuala Lumpur bukan senang, selain dari kerja banyak di Kelantan ni, masalah kesihatan saya pun.. jadi mujur benar kalau tak de..," kata TG Nik Aziz.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang akan menentukan siapakah Mursyidul Am dan Timbalannya serta empat lagi Majlis Syura. Jawatan Timbalan Mursyidul Am kini disandang oleh Datuk Dr. Haron Din.

Mengikut Pindaan Perlembagaan PAS yang dibuat pada Muktamar Agung yang ke 29 pada 1983, jawatan-jawatan di dalam Majlis Syura adalah dilantik.

Mursyidul Am PAS yang pertama adalah Allahyarham Yusof Rawa yang memegang jawatan itu semenjak 1982 sehingga 1987 sebelum diambil alih oleh Datuk Nik Abdul Aziz sehingga kini. -TV9

Ulasan GB

Demikian merendah diri dan tawadhu' seorang yang bergelar TuanGuru. Nada sedih juga dapat dihidu dari kenyataan TGNA tersebut.

Yang gila jawatan sudah boleh tonjol diri... terutama yang galak meminda perlembagaan PAS semata-mata nak menepis keluar TGNA dan yang tak sabar-sabar nakkan pemimpin kesukaan mereka memegang jawatan Mursyidul Am setelah dilihat TGNA menjadi batu penghalang untuk mereka menjayakan misi dan visi mereka selama ini.

Berkilas ikan di air kita tahu jantan betinanya. InsyaAllah.



YDP Majlis Perajaan Kelantan diganti

Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan hari ini mengumumkan pelantikan Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Yang Dipertua (YDP) MPN yang baru bagi menggantikan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah.

Setiausaha MPN Datuk Mohd Aiseri Alias berkata pelantikan Tengku Abdul Halim itu berkuatkuasa semalam selepas pembatalan pelantikan Tengku Abdul Aziz yang juga berkuatkuasa semalam.

"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan dengan ini saya memaklumkan bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah dibatalkan pelantikan dan dilepaskan menjadi YDP MPN berkuatkuasa 25 Mac 2010 (semalam)," katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Shafie Ismail.

Mohd Aiseri berkata pelantikan Tengku Abdul Halim sebagai YDPM MPN yang baru itu juga telah mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan.

Semalam Tengku Abdul Aziz yang bergelar Tengku Seri Utama Raja telah diumumkan sebagai Pemangku Raja Kelantan selepas apa yang didakwa bahawa Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra telah melucutkan jawatan anakandanya Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuatkuasa serta-merta.

Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota di Kota Bharu.

Bagaimanapun susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama, Mohd Aiseri berkata Tengku Muhammad Faris Petra terus kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Mohd Aiseri, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Wan Hashim mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

Tengku Abdul Aziz iaitu abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

Sementara itu satu laporan polis terhadap Wan Hashim telah dibuat di Balai Polis Kota Baharu di sini sebaik selesai sidang akhbar berkenaan.

Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie pada pukul 10.20 pagi berikutan tindakan Wan Hashim itu semalam.

Pada pukul 9 malam tadi, polis dilaporkan telah menahan seorang pegawai kanan Istana yang bergelar Datuk di kediamannya, di Taman Sri Aman, Kubang Kerian di sini dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan itu.

Sumber polis berkata penahanan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta semua rakyat mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam perlembagaan bagi menyelesaikan kemelut Istana Kelantan sekarang.

Beliau tidak mahu rakyat terikut-ikut dengan mana-mana-mana kumpulan dalam isu itu, tetapi mengikut apa yang dikehendaki oleh perlembagaan kerana kerajaan negeri mempunyai perlembagaan tubuhnya sendiri.

"Saya nasihatkan kepada rakyat semua, masa kekecohan ini supaya patuh kepada perlembagaan, jangan dengar A dengar B, tetapi ikut perlembagaan," katanya. - Bernama



Jenazah Ahli Parlimen Hulu Selangor Selamat Dikebumikan

Jenazah Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka di Jalan Cheras-Kajang kira-kira jam 11 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham disolat di Masjid Batu 10 Jalan Cheras dan turut hadir ialah Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani juga dilihat berada ditanah perkuburan itu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat anak, Azura, 37; Azri Zin, 36; Aznizah, 29 dan Azizah, 25.

Beliau meninggal dunia kira-kira 9.27 malam tadi akibat barah otak di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras-Kajang.

Dr Zainal menang Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-12 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menewaskan penyandang, Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Dr Zainal menyertai PKR pada 2005 dan dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi bagi penggal 2007/2010.

Sebelum menyertai PKR, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, selain menyandang jawatan selaku Exco kerajaan negeri.

Beliau menang tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.

Dr Zainal dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939 dan memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968), Pengetua Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru (1972-1973), pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Beliau memperoleh Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles pada 1980 dan pernah menjadi Dekan Fakulti Pendidikan UKM sebelum menyertai politik pada 1989.



Kes Malek Bukti Institusi Kehakiman Negara Dipengaruhi Badan Eksekutif

Bekas tahanan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) Abdul Malek Hussein kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan rayuan kerajaan untuk mengenepikan tuntutan ganti rugi RM2.5 juta.

Keputusan sebulat suara yang dibuat oleh Hakim Datuk Md Raus Shariff, Hakim Datuk Sulong Matjeraie dan Hakim Datuk Ahmad Maarof jelas membuktikan tindakan berat sebelah badan kehakiman yang masih dicengkam kuasa eksekutif kata Abdul Malek.

Tiga hakim tersebut memutuskan bahawa penahanan Abdul Malek adalah sah dan menolak semua dakwaan yang beliau diseksa semasa dalam tahanan.

Berikutan keputusan itu beliau tidak layak mendapat sebarang pampasan kewangan tetapi sebaliknya diarahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk membayar kos RM50,000.

"Saya kecewa dengan keputusan yang membelakangkan arus perubahan yang dibuat oleh rakyat pada pilihan raya 2008 lepas,

Keputusan tersebut tidak selari dengan tuntutan rakyat dan institusi kehakiman dilihat masih dicengkam kuasa eksekutif,

"Kita tidak boleh harapkan badan kehakiman selagi kerajaan yang memerintah tidak ditukar kepada Pakatan Rakyat.

"Muktahir ini kes-kes besar seperti kes Menteri Besar Perak Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekarang saya juga tidak terlepas dengan keadaan situasi yang sama," beliau.

Abdul Malek berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak ikhlas menggunakan kuasa Parlimen untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Kegagalan badan kehakiman untuk berubah walaupun selepas pilihan raya 2008 menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap institusi tersebut, dengan menggunakan hujah yang rapuh mereka cuma mahu mempertahankan kuasa eksekutif sahaja," kata beliau kepada Suara Keadilan.

Menurut Abdul Malek lagi beliau akan membawa kes yang diputuskan tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau merupakan seorang bekas tahanan ISA yang sebelum ini berjaya menuntut hilang ganti rugi sebanyak RM2.5 juta .

Beliau ditangkap pada 1998 dan mendakwa diseksa semasa dalam tahanan.

Abdul Malek kemudian memfailkan saman pada Mac 1999 terhadap anggota cawangan khas Borhan Daud, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor dan Kerajaan Malaysia.

Pada 2007, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, memutuskan penahanan Abdul Malek ketika demonstrasi reformasi itu dibuat dengan niat jahat berdasarkan Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan. -SK/TVS


Judi : Umno BN Harus Contohi Pendirian MP Bukan Islam

Pengerusi Sekretariat Ulama Asia (SHURA), Abdul Ghani Shamsudin mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional supaya menilai semula amalan menjadikan hasil judi untuk menampung perbelanjaan yang turut ditolak masyarakat bukan Islam.

“Sebagai orang Islam, bahkan orang bukan Islam juga seperti Ahli Parlimen Rasah, kalau tidak silap,menimbulkan keburukan judi yang membawa implikasi berangkai," katanya.

Bercakap kepada TV Selangor, Abdul Ghani menyarankan pimpinan Umno-BN seharusnya tidak menggalakkan amalan perjudian ini, apatah lagi meluluskan 60 cabutan khas untuk 2010.

Pada 18 dan 22 Mac di sidang Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Luke Siew Fook meminta Datuk Seri Najib Razak menjelaskan jumlah kutipan hasil aktiviti judi dan tindakan kerajaan meluluskan 60 cabutan khas tersebut.

Najib bagaimanapun dilapor mengatakan kutipan hasil judi itu digunakan untuk pembangunan negara.

Abdul Ghani turut mempersoalkan tindakan kerajaan Umno BN itu yang bercanggah dengan Al-Quran walaupun mereka mengaku dan mendabik dada, kononnya Umno satu-satunya parti yang membela agama dan bangsa.

“Sebagai orang Islam, orang yang mendakwa mahu menegakkan Islam tetapi menjadikan lesen atau cukai judi sebagai sumber kewangan pembangunan rakyat orang miskin ini, tentu tidak wajar dan membawa padah yang besar,” katanya. -TVS


Syed Husin Mahu Utusan Mohon Maaf Isu Pembubaran PRM

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed husin Ali menghantar notis kepada Utusan Malaysia menuntut akhbar milik Umno-Barisan Nasional itu membuat permohonan maaf kepada beliau dan membayar ganti rugi RM10juta.

Notis yang dihantar semalam, melalui Peguambela & Peguamcara Edwin Lim Suren & Soh, diberikan kepada Pengarang dan Pengarang Pengurus Utusan Melayu Bhd dan juga seorang individu bernama Zamil Ibrahim.

Syed Husin dalam satu kenyataan medianya berkata, notis itu berhubung sebuah berita fitnah yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6hb Mac 2010 bertajuk “RM500,000 Syed Husin dicabar lapor polis”.

Katanya dalam berita tersebut beliau dituduh kononnya menerima RM500,000 daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bayaran untuk membubar Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi memudahkan percantuman dengan Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat.

Beliau berkata, Utusan diberi tempoh tujuh hari dari tarikh surat tuntutan untuk memberikan jawapan dan sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan diambil terhadap akhbar berkenaan.



UMNO Hulu Selangor Nak Tuntut Kerusi Parlimen Dari MIC

BN berpeluang merampas kembali kerusi parlimen Hulu Selangor sekiranya Umno diberi peluang bertanding dalam pilihan raya kecil akan datang.

Dalam pilihan raya umum 2008, BN tewas di kerusi tersebut kepada calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia malam tadi akibat barah otak.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan memanggil pilihan raya kecil bagi kawasan tersebut dalam tempoh 60 hari.

SPR pula akan bermesyuarat Jumaat depan untuk memutuskan tarikhnya.

Walaupun ia merupakan kerusi majoriti Melayu, tetapi ianya diperuntukkan kepada MIC. Calonnya, Datuk G Palanivel (gambar) menang pada 1999 dan 2004, tetapi tewas kepada Zainal Abidin pada 2008.

Zainal Abidin mendapat 23,177 undi untuk menang tipis dengan 198 undi. Palanivel pula mendapat 22,979 undi.

Pada 2008 terdapat 63,593 pengundi di situ yang terdiri daripada 53.9 peratus Melayu, 26.7 peratus Cina, 19 peratus India dan 0.4 peratus lain-lain kaum.

Ketua Umno bahagian Hulu Selangor, Mohamed Idris Abu Bakar berkata Umno telah membuat desakan tersebut sejak tahun 1980-an lagi, tetapi pucuk pimpinan memutuskan untuk memberi kerusi kepada MIC.

"Umno sentiasa meminta kembali kerusi berkenaan kerana ia adalah kehendak akar umbi yang mahu kita bertanding kerusi tersebut," katanya -Malaysiakini

ADUN Titi Tinggi dan MB Perlis Pembohong - Pemuda UMNO Bhgn

Empat daripada lima pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Padang Besar, yang dipanggil bertemu dengan Setiausaha Politik Menteri Besar, Azali Abas petang semalam, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Yip Sun Onn kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah dan mempergunakan nama Pemuda UMNO bahagian itu sebagaimana disiarkan sebuah akhbar, kelmarin.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian, Aidi Helmi Mohamed berkata, empat pemimpin yang hadir dalam satu pertemuan terancang di sebuah restoran di Kangar, Perlis kira-kira jam 5 petang. semalam itu. turut mempersoalkan kenyataan Menteri Besar bahawa pengundi kawasan Titi Tinggi masih sayangkan Sun Onn, sedangkan kenyataan itu tidak bersandarkan fakta sebenar.

Menurutnya, sebagai seorang Menteri Besar, Md Isa seharusnya merujuk kembali kepada suara akar umbi parti dan penduduk kawasan Titi Tinggi untuk mendapatkan gambaran sebenar sokongan pengundi terhadap Sun Onn, dan tidak hanya berpandukan kepada kenyataan media menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar oleh pemimpin MCA itu semata-mata.

“Bantahan rasa tidak puas hati itu disampaikan kepada Azali memandangkan pertemuan itu diatur oleh Pejabat Menteri Besar sendiri dan diadakan dalam suasana aman.

“Dalam pertemuan itu, kami turut meminta Pejabat Menteri Besar menasihati Datuk Seri Md Isa agar tidak terus mempertahankan keputusan Sun Onn untuk meletak jawatan sebagai ADUN kerana Sun Onn bukan sahaja tidak menghormati keputusan MCA Pusat dan sokongan UMNO Bahagian, malahan tidak menghormati sokongan Datuk Seri sendiri kerana mendahulukan kepentingan diri sendiri daripada kepentingan rakyat dan parti,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Aidi turut menjelaskan UMNO dan Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar tidak pernah diajak berbincang sama ada sebelum, semasa dan selepas surat peletakan jawatan ADUN dikeluarkan di samping tidak pernah mengadakan apa-apa pertemuan dengan Kerajaan Negeri dan Sun Onn sendiri sama ada untuk memujuk Sun Onn menarik balik surat tersebut atau tidak.

Menurutnya, Pemuda UMNO memutuskan Sun Onn berbohong dengan mempergunakan nama Pemuda UMNO untuk menutup keterlanjuran beliau menyerahkan surat peletakan jawatan ADUN kepada Speaker DUN, Datuk Yazid Mat pada 21 Mac lalu.

“Kami berasakan satu penghinaan terancang yang dibuat oleh Sun Onn di atas kenyataan yang dikeluarkan kerana kami sebenarnya tak pernah diajak berbincang mengenai hasrat dan keinginan beliau untuk meletak jawatan ADUN sebelum ini.

Beliau berbohong dan MB Perlis juga berbohong dalam kenyataan media yang menyatakan pengundi masih sayangkan Sun Onn. Kenyataan itu menunjukkan kedangkalan yang amat sangat kerana ia dibuat tanpa merujuk keadaan sebenar yang berlaku dalam kawasan Titi Tinggi,” katanya.

Aidi berkata, empat pemimpin yang hadir dalam pertemuan itu ialah Penyelaras Pemuda UMNO Kawasan Titi Tinggi, Shahidan Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Padang Besar, Khalid Mat Rus dan Azizan Khamis dan beliau sendiri selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian.

Seorang lagi pemimpin yang tidak dapat menghadiri pertemuan itu ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar, Mohsin Yusof kerana terpaksa menghadiri kursus di Perak.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Azali Abas ketika dihubungi Sinar Harian lewat petang semalam mengesahkan pertemuan itu dan menjelaskan ianya dibuat hanya sekadar ‘sembang-sembang’ petang.

Menurutnya, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab untuk menghubungi kelima-lima pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Padang Besar itu dan menjelaskan pertemuan itu dibuat tanpa pengetahuan Menteri Besar.

“Memang saya akui ada menghubungi lima pemimpin UMNO Bahagian Padang Besar pada malam semalam (malam kelmarin) dan meminta satu pertemuan diadakan pada petang ini (semalam) bagi membincangkan isu-isu semasa berkenaan parti.

“Pertemuan itu tidak dijalankan secara formal dan diadakan secara aman, bagaimanapun butiran lanjut mengenai perkara yang dibincangkan semasa pertemuan itu dibuat tidak dapat saya dedahkan,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Aidi yang mendakwa ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn dan Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa berbohong kerana mempergunakan nama Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar dalam kenyataan mereka, Azali menafikan dakwaan itu dan menjelaskan ianya berpunca daripada salah faham semata-mata.

Menurutnya, beliau difahamkan kenyataan Sun Onn mengaitkan nama Pemuda UMNO adalah untuk merujuk sebilangan kecil rakan-rakannya yang terdiri daripada ahli Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar, dan bukannya merujuk kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Bahagian.

“Ini tidak lebih dari sekadar salah faham semata-mata kerana kenyataan Sun Onn hanya merujuk kepada segelintir Pemuda UMNO Bahagian yang menyokongnya, dan bukan AJK Pemuda Bahagian.

“Saya sudah jelaskan perkara ini dalam pertemuan itu dan saya minta mereka tidak cepat melatah kerana isu peletakan jawatan Sun Onn merupakan isu besar yang mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Semalam, barisan kepemimpinan akar umbi UMNO Bahagian Padang Besar menyokong penuh hasrat Yip Sun Onn untuk meletak jawatan dan meminta ADUN Titi Tinggi itu dan Menteri Besar memohon maaf secara terbuka kepada mereka kerana mempergunakan nama ‘suci’ Pemuda UMNO bahagian itu.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat tergempar yang berlangsung malam sebelumnya yang dihadiri oleh kira-kira 30 pemimpin akar umbi bahagian.

Mereka termasuk empat pemimpin kanan Pemuda bahagian serta empat ahli jawatankuasa bahagian. DUN Titi Tinggi terletak di bawah kawasan Parlimen Padang Besar. -SH

Lidah Banyak Cabang

Banyak pihak melihat tindakan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru yang mendedahan kononnya bahawa beliau pernah diarah untuk mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu ebagai satu usaha mencari publisiti murahan setelah beliau di dkritik hebat dari pelagai penjuru selepas beliau dipecat dari PKR.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menyifatkan ucapan Zulkifli Noordin itu sebagai ucapan membeli insura. Zulkulim didakwa cuba "bermain cantik" dan mengambil pendekatan selamat apabila membahagikan lidahnya kepada tiga untuk ketiga-tiga pihak.

"Pertama, untuk PKR, dia mendesak supaya tuduhan ke atas Ketua Umum/Ketua Pembangkang di tarik balik, untuk PAS dia memuji YAB TuanGuru Nik Aziz sebagai tokoh agama yang dia kesal sekarang ini menerima serangan bertalu-talu daripada lawan politik, untuk Najib pulak dia menyebut mengenai adanya usaha untuk melibatkan beliau kononnya untuk membuat satu pengakuan bersumpah palsu untuk membabitkan PM dan isterinya," ulas Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang, sambil menyifatkan ucapan Saifuddin itu ibarat ucapan mengajak orang membeli insuran.

Mengenai projek 16 September, ZulKulim berkata beliau menyokong langkah Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan pusat melalui tindakan lompat parti oleh anggota Barisan Nasional kerana selari dengan hasrat setiap parti politik yang mahu menubuhkan kerajaan.

"Secara peribadi saya rasa wajar tindakan pembangkang mengenai 16 September dan perancangan itu saya rasa tidak jadi masalah kerana sememangnya setiap parti politik hendak menubuh kerajaan. Saya tidak ada masalah dengan itu hanya mungkin sesetengan cara itu mungkin boleh 'adjust' sikit,". Biar cara itu beretika, berakhlak," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen.

Zulkifli yang dipecat daripada KEADILAN 16 Februari lalu kerana masalah disiplin masih menimbulkan isu 'firaun kecil' yang beliau dakwa masih wujud dalam parti itu.
Ditanya siapa dan berapa ramai 'firaun kecil' yang dimaksudkan beliau enggan memberikan sebarang butiran.

Zulkifli mendakwa beliau telah diarah untuk mengaitkan Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kepada pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Zulkifli turut mendedahkan beliau cuba disogok oleh pihak tertentu bagi mendapatkan akuan bersumpah membuktikan hubungan Najib dan wanita Mongol itu.

"Saya diarah mendapatkan surat akuan bersumpah membabitkan Perdana Menteri dan isteri dengan pembunuhan itu dan saya diminta buat satu surat akuan sumpah," kata wakil rakyat bebas ini.

Menyusuli pendedahan Zulkifli itu, Naib Presiden PKR Azmin Ali berkata pemerintah tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak membuka kertas siasatan baru, bahkan masyarakat umumnya tidak menyakini kes pembunuhan Altantuya telah terjawab.

"Harus dibuktikan apakah betul seperti yang didakwa oleh Zulkifli Nordin. Saya sebagai anggota biro politik tidak pernah membuat tuduhan seperti itu, bahkan saya dan Anwar tidak mengatakan Perdana Menteri terbabit, tetapi desak satu siasatan menyeluruh," katanya.

Bagi Sivarasa Rasiah, terdapat kecurigaan-kecurigaan tertentu disebalik pembunuhan wanita Mongol ini dan berpendirian ada usaha menutup fakta-fakta tertentu.
"Semua fakta perlu disiasat tapi tidak, malah ada fakta yang tidak dibenarkan didedah di mahkamah seperti apa kaitan Musa Safri (pegawai Najib) kepada anggota-anggota polis yang membawa Altantuya," katanya.


Timbunan tarikh kes perbicaraan Anwar

Perbicaraan tuduhan liwat yang dihadapi Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim akan didengar semula pada 10 Mei depan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menetapkan tarikh-tarikh baru untuk pendengaran pusingan kedua yang akan di dengar dalam empat sesi yang berasingan sehingga 30 Ogos.

Tarikh-tarikh yang ditetapkan ialah di antara 10-14 Mei, 31 Mei – 4 Jun, 14-23 Julai dan 2-30 Ogos, berjumlah 39 hari kesemuanya, lapor Malaysiakini.

Perbicaraan akan disambung semula dengan soal balas terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan yang memberi keterangan di mahkamah bahawa Anwar membuat tawaran untuk mengadakan hubungan seks selepas beliau datang ke kondominium pada 2008 ketika menyerahkan dokumen.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu yang hadir di mahkamah hari ini, menyifatkan perbicaraan ini sebagai "busuk" dan "satu penghinaan".

"Perbicaraan ini tidak sepatutnya bermula. Dakwaan yang busuk ini, menghina, dirancang, sepatutnya tidak di adakan," kata Anwar kepada para pemberita di luar mahkamah.

Beliau berkata, "kes ini membazirkan wang rakyat dan masa orang ramai.

Perbicaraan ini memenuhi agenda politik mereka (Umno- Barisan Nasional) dengan menggunakan semua alat dan jentera kerajaan."

Anwar dipecat pada 1998 dan didapati bersalah atas dakwaan rasuah dan liwat tetapi dibebaskan pada 2004 selepas kes salah laku seks telah ditolak oleh mahkamah.

Pembebasan beliau membolehkan beliau kembali aktif di pentas politik sebagai pemimpin gagasan pembangkang yang semakin hari mendapat sokongan rakyat.

Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpengkalan di Amerika Syarikat pada hari Rabu menggesa Malaysia untuk menggugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar, mengutuknya sebagai ketidakadilan yang tidak berkesudahan.

"Mahkamah telah menghalang apa sahaja usaha yang diambil oleh para peguam Anwar untuk membuat persiapan teliti dalam pembelaan," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia Asia.

Presiden KEADILAN, Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim; Pengarah Strategik KEADILAN, Tian Chua; dan Menteri Besar Perak yang digulingkan, Mohammad Nizar Jamaluddin serta anak-anak perempuan Anwar turut hadir bagi memberi sokongan.



Setiausaha Sulit Sultan Kelantan Ditahan Polis

Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang pagi tadi mengumumkan mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra (gambar) sebagai Pemangku Raja, malam ini ditahan polis dipercayai untuk siasatan.

Wan Hashim yang diumumkan pelantikan sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan minggu lalu dilihat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini kira-kira pukul 8.40 malam.

The Malaysian Insider difahamkan Wan Hashim diambil di rumahnya sebelum di bawa ke IPK.

Pelantikan Wan Hashim dan kenyataan yang dibuat oleh beliau sejak seminggu dilihat merumitkan lagi krisis Istana Kelantan.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra bersalaman dengan exco dan pegawai kerajaan negeri ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa hari ini.

Dalam pada itu pihak polis didapati turut mengadakan kawalan di sekitar Masjid Muhammadi.

Malam ini pihak kerajaan negeri telah mengadakan solat hajat di masjid berkenaan.

Istana Pemangku Raja di Telipot juga difahamkan dikawal rapi pasukan kawalan keselamatan.

Sementara itu seorang yang mengiringi Wan Hashim dilihat keluar dari IPK kira-kira pukul 10.30 malam, namun Setiausaha Sulit tidak kelihatan.

Polis tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu menurut sumber, satu mesyuarat tergempar Majlis Perajaan Negeri (MPN) diadakan di Istana Telipot malam ini.

Kira-kira pukul 11 malam beberapa anggota MPN dilihat memasuki kawasan istana.

Sepuluh minit sebelum itu Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad Halim pula kelihatan memasuki istana.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa mesyuarat itu diadakan bagi melantik pengerusi baru MPN ekoran perkembangan pagi tadi.

Dalam pada itu Bernama melaporkan Tengku Muhammad Faris Petra tenang dan mampu tersenyum walaupun dalam keadaan kemelut cubaan “merampas kuasa” melibatkan kerabat diraja Sultan Kelantan.

Baginda yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 6 petang tadi dari Singapura, mampu melemparkan senyuman dan lambaian kepada rakyat dengan disambut pembesar Istana serta beberapa anggota exco Kerajaan Negeri Kelantan termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub.

Sewaktu berjalan menuju ke kenderaan rasminya, baginda dihampiri para wartawan yang ingin bertanyakan reaksi baginda mengenai pengumuman Wan Hashim bahawa Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah telah mendakwa Sultan Kelantan melantik beliau sebagai Pemangku Raja yang baru menggantikan baginda berkuat kuasa serta merta.

Tengku Muhammad Faris Petra hanya sempat menjawab sambil berjalan: “Tokleh (tidak boleh),Tokleh (tidak boleh), nanti biar sudah. Ginilah kirim salam kat semua orang,” katanya dengan tersenyum dan berlalu menaiki kenderaan baginda.

Laporan awal hari ini menyatakan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Wan Hashim di Istana Mahkota di sini hari ini.

Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) Datuk Mohd Aiseri Alias berkata Tengku Muhammad Faris Petra Tengku Ismail Petra kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Beliau, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Wan Hashim awal hari ini mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

“Ia adalah sama sekali tidak mewakili keputusan Majlis Perajaan Negeri Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan majlis (MPN) tidak akan sah dan terpakai kecuali sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Tengku Abdul Aziz, abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

Mohd Aiseri berkata oleh kerana Tengku Muhammad Faris Petra dilantik ekoran Sultan Kelantan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua, maka Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang.

Pada sidang media yang sama, Ahmad berkata pendirian kerajaan negeri adalah mengikut Perlembagaan negeri.

“Kita tetap dengan undang-undang dalam Perlembagaan. Apapun yang berlaku kita merujuk kepada Perlembagaan negeri iaitu Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja. Pemangku Raja masih lagi pemangku walaupun ada pihak lain isytihar pemangku telah digugurkan,” katanya.

Beliau berkata perkara itu tidak perlu lagi dibincangkan dan tidak perlu dilakukan pindaan perlembagaan serta tidak perlu diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar.

Ahmad berkata sebagai usaha kerajaan negeri menghentikan kemelut Istana, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Wan Hashim berhubung mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Pemangku Raja. -MI

Tengku Muhammad Faris tenang hadapi kemelut

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, tenang dan mampu tersenyum walaupun dalam keadaan kemelut cubaan "merampas kuasa" membabitkan kerabat diraja Sultan Kelantan.

Baginda yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 6 petang tadi dari Singapura, mampu melemparkan senyuman dan lambaian kepada rakyat dengan disambut pembesar Istana serta beberapa anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, termasuk Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub.

Sewaktu berjalan menuju ke kenderaan rasminya, baginda dihampiri wartawan yang ingin bertanyakan reaksi mengenai pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud, bahawa Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Hamzah, telah mendakwa Sultan Kelantan melantik beliau sebagai Pemangku Raja yang baru menggantikan baginda berkuat kuasa serta merta. Tengku Muhammad Faris Petra hanya sempat menjawab sambil berjalan: "Tokleh (tidak boleh), Tokleh (tidak boleh), nanti biar sudah. Ginilah kirim salam kat semua orang," katanya dengan tersenyum dan berlalu menaiki kenderaan baginda.

Laporan awal hari ini menyatakan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra, telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Wan Hashim di Istana Mahkota di sini hari ini.

Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias, berkata Tengku Muhammad Faris Petra Tengku Ismail Petra kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

eliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Wan Hashim awal hari ini mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

"Ia adalah sama sekali tidak mewakili keputusan Majlis Perajaan Negeri Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan majlis (MPN) tidak akan sah dan terpakai kecuali sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, Tengku Abdul Aziz, abang kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

Mohd Aiseri berkata, oleh kerana Tengku Muhammad Faris Petra dilantik berikutan Sultan Kelantan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua, maka Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang.

Pada sidang media sama, Ahmad berkata pendirian kerajaan negeri adalah mengikut Perlembagaan negeri.

"Kita tetap dengan undang-undang dalam Perlembagaan. Apapun yang berlaku kita merujuk kepada Perlembagaan negeri iaitu Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja. Pemangku Raja masih lagi pemangku walaupun ada pihak lain isytihar pemangku telah digugurkan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak perlu lagi dibincangkan dan tidak perlu dilakukan pindaan Perlembagaan serta tidak perlu diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar.

Ahmad berkata, sebagai usaha kerajaan negeri menghentikan kemelut Istana, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail, telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Wan Hashim mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Pemangku Raja. - Bernama