11 Apr 2010

MB Cadang Pornthip Beri Keterangan Guna Sidang Video

Sekalipun Dr Pornthip Rojanasunand tidak hadir memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock, membolehkan pakar patologi terkemuka boleh berbuat demikian jika cadangan kerajaan Selangor untuk mengadakan persidangan video diterima inkues berkenaan.

Cadangan itu datangnya dari Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai penyelesaian terbaik semua pihak , sekali gus membolehkan Dr Porntip tetap memberi keterangan pada inkues menyiasat kematian Teoh Beng Hock tanpa menggadaikan aspek keselamatannya.

“Kita menghormati keputsuan Dr Pornthip kerana ia melibatkan sebab-sebab keselamatan tapi kita mencadangkan kepada mahkamah supaya mengadakan cara telekomunikasi.

"Maknanya, Dr Pornthip berada di Bangkok, kita berada di sini, berkomunikasi melalui sistem telekomunikasi. Ini bolehh kita lakukan dan selalu boleh dilakukan,” katanya kepada TV Selangor selepas merasmikan Karnival Klang petang ini.

Inkues itu dijadual bersambung pada 20 April ini di Shah Alam.

Mengikut Malaysiakini, Dr Pornthip mendedahkan, beliau `dinasihati' pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.

"Ia disampaikan kepada saya oleh pegawai-pegawai kanan tertentu kerajaan Thai bahawa terdapat tekanan politik dari kalangan tertentu kerajaan Malaysia untuk menghalang kehadiran saya di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kehakiman menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Kata Prontip, Kementerian Luar Thailand menerima 'isyarat' dari kerajaan Malaysia melalui 'saluran tidak rasmi' bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, tidak disenangi.

Ulasan GB

Satu idea yang bernas dan menarik. Teknik memberi keterangan di mahkamah tidak boleh dihadkan dengan cara konvensional semata-mata.

Demi kebenaran dan keadilan, apa juga cara yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat yang sempurna dari semua pihak, perlulah dipertimbangkan.

Hanya pihak tertentu nampaknya cuba menyekat maklumat dari pihak lain, dan hanya mahu maklumat dari pihak mereka saja diketengahkan di dalam inkues.



Gobind: "Kami Akan Buktikan Beng Hock Dibunuh"

Gobind Singh De0, peguambela keluarga Teoh Beng Hock yakin bukti bahawa pembantu politik itu dibunuh dan bukan mati akbikat terjatuh daripada bangunan akan terserlah akhirnya walaupun pakar patologi, Dr Pornthip Rojanasunand dihalang memberi keterangan oleh kerajaan Malaysia.

Malah beliau tidak terkejut dengan kenyataan Dr Pornthip bahawa pakar bedah itu menerima tekanan dari kerajaan Malaysia memandangkan pelbagai ugutan yang diterima beliau sebelum ini.

Dalam satu emel kepada Suara Keadilan, Ahli Parlimen Puchong itu berkata pihaknya akan berusaha melepasi halangi terbaru ini melalui pndekatan alternatif.

"Saya merujuk laporan Malaysiakini hari ini yang menyatakan Dr Pornthip tidak akan menghadiri inkues tersebut pada 20 April 2010. Ini tidak menghairankan berdasarkan kepada perkembangan kes.

"Kami telah menjalani inkues yang panjang dan berharap keputusan akan diperolehi seawal yang mungkin. Ini bukan pertama kali beliau mendakwa digangggu ketika dipanggil dalam inkues Teoh Beng Hock.

"Kami berharap agar Dr Pornthip dapat hadir ke mahkamah. Jika tidak, kami akan mencari jalan alternatif supaya beliau dapat mengemukakan bukti-bukti beliau.

"Jika itu juga gagal, kami akan meneruskan dengan apa yang kami ada dan kami percaya kami akan masih berjaya mengemukakan kes yang mana Teoh Beng Hock bukan bunuh diri sebaliknya adalah jelas kes itu adalah satu pembunuhan," kata Gobind.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mahu kerajaan Malaysia memberi penjelasan kenapa perlu campurtangan dalam isu keadilan membabitkan kes pembunuhan Beng Hock sehingga terpaksa memberikan tekanan kepada Dr Pornthip.

Dr Pornthip merupakan pemerhati dalam bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat Beng Hock.

Beliau, sebelum ini mendakwa berlaku unsur-unsur pembunuhan terhadap mangsa yang mati ketika dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata tekanan dan campurtangan yang diberikan kerajaan Malaysia dalam kes itu membuktikan kerajaan takut dan cuba menyembunyikan kebenaran dari pengetahun umum.

"Kenapa takut sangat dengan Dr Pornthip, kenapa tidak benarkan beliau untuk memberi keterangan dan biarkan mahkamah putuskan keadilan dalam kes ini. Sebaliknya kerajaan menggunakan kuasanya untuk menekan dan menghalang kebenaran. Ini membuktikan kerajaan tidak berani berhadapan dalam kes ini yang melibatkan pembunuhan dalam institusi kerajaan," katanya kepada Suara Keadilan.

Tian turut mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz hari ini yang mendakwa Dr Pornthip berbohong dengan membuat kenyataan bahawa beliau dihalang memasuki negara ini untuk menghadiri inkues Beng Hock pada 20 April depan.

"Nazri tidak ada hak untuk membuat sebarang penilaian kerana kes itu sedang berjalan dalam inkues siasatan. Beliau tidak berhak untuk mendakwa Pornthip berbohong dan perkara ini menunjukkan kerajaan benar-benar takut. Kenyataan Nazri menunjukkan keangkuhan beliau dan menghina seorang pakar perubatan yang mempunyai prestasi tinggi, terkenal dan dihormati masyarakat antrabangsa kerana tahap profesionalismanya," kata beliau lagi.

Beliau menganggap kenyataan Nazri itu melampaui bidang kuasa mahkamah kerana kes itu kini sedang di dengar dalam inkues kematian pembantu politik berkenaan.

Tian mendesak kerajaan supaya kerajaan tidak bertindak sesuka hati dengan menghalang dan memberi tekanan kepada pakar berkenaan supaya kes itu boleh didengar dan diadili sebaik mungkin. -SK

Nazri Pembohong Tuduh Orang Lain Pembohong

Banyak pihak menganggap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz adalah seorng pembohong sejak dari isu Tan Beng Hock meletus.

Nazri sebelum ini pernah menuduh Teoh Beng Hock terjun daripada bangunan Plaza Masalam dan tuduhannya itu tidak bersandarkan apa-apa bukti kukuh.

Kini beliau mendakwa pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand berbohong berhubung dakwaannya yang kerajaan Malaysia menggunakan "tekanan politik" untuk menghalangnya daripada memberi keterangan.

"Dia seorang pembohong! dia berbohong dalam inkues dan dia berbohong sekarang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Nazri diminta mengulas dakwaan Dr Pornthip bahawa beliau diberi "isyarat" dan berdepan dengan "tekanan politik" supaya menghentikan pembabitannya dalam siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Dr Pornthip mendakwa beliau dihalang daripada masuk ke Kelantan sewaktu urusan rasmi melalui sempadan Thai-Malaysia pada bulan Januari tahun ini, dan menyifatkannya sebagai salah satu "isyarat" yang tekanan dikenakan ke atasnya.

Walaupun keberatan, tetapi Dr Pornthip telah memutuskan untuk tidak memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh ekoran tekanan terhadapnya itu.
Inkues kematian Teoh akan disambung pada 20 April ini.

Sesuatu Perlu Dilakukan Supaya Pornthip Hadir Di Inkues Nanti

Pakar patologi terkemuka Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand tidak akan hadir memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock apabila ia bersambung pada 20 April ini, menurutnya, kerana 'tekanan politik' dari kerajaan Malaysia.

Dr Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand - tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat - supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi.

"Ia disampaikan kepada saya oleh pegawai-pegawai kanan tertentu kerajaan Thai bahawa terdapat tekanan politik dari kalangan tertentu kerajaan Malaysia untuk menghalang kehadiran saya di mahkamah, sehingga ia mungkin mengganggu misi penting forensik semasa saya di Selatan Thai," katanya.

Ulasan GB

Jika berita di atas benar, maka adalah sesuatu yang amat memalukan negara Malaysia yang menggunakan tekanan politik bagi menghalang kehadiran ahli patologi luarnegara itu untuk memberi keterangannya di dalam inkues kematian Teoh Beng Hock.

Nampaknya pihak tertentu cuba menghalang kebenaran daripada diketahui, dengan hanya mahu keterangan dari ahli patologi tempatan diambil kira oleh Koroner tetapi menghalang segala cara daripada keterangan ahli patologi luar negara di sampaikan di dalam inkues berkenaan semata-mata kerana didapati loran ahli patologi luarnegara seperti Dr.Pornthip itu tidak sejajar malah bertentangan dengan hasrat konspirator serta keterangan ahli patologi tempatan.

Sesutau perlu diusahakan bagi mempastikan Pornthip dapat hadir di Inkues dan Kerajaan Malaysia perlu memberi jaminan di atas keselamatan Dr.Pornthip berkenaan jika inkues yang dibentuk berintegriti tinggi dan dihormati keputusannya nanti.


Wan Azizah: Umno-BN Akan Tutup Isu Zionis Dalam PDRM

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan mengapa sekarang Menteri Dalam Negeri mahu menyiasat dakwaan Ketua Umum KEADILAN berhubung pembabitan anasir Zionis Yahudi di dalam projek IT dalam Polis DiRaja Malaysia walhal isu itu telah didedahkan dalam media internet lebih dua tahun lalu.

Justeru itu beliau tidak yakin empat badan bebas yang akan dilantik Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat isu ini akan benar-benar bebas kerana akhirnya Umno-Barisan Nasional akan menutup kebenaran daripada diketahui rakyat.

"Mengapa mahu siasat setelah dua tahun isu ini diketahui masyarakat umum. Saya percaya badan yang menyiasat tidak akan bebas kerana akhirnya Umno-BN akan menutup kes ini seperti mana juga kes-kes lain sebelum ini.

"Kalau benar-benar mahu menyiasat tubuhkan Suruhanjaya DiRaja sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Umum dan Pakatan Rakyat," kata Dr Wan Azizah kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.

Sehubungan itu Pengarah Pilihanraya KEADILAN, Fuziah Salleh mempersoalkan bagaimana badan bebas boleh jadi bebas jika ianya dilantik oleh Menteri di kementerian yang terlibat secara langsung dengan isu tersebut.

"Bagaimana badan bebas itu boleh dianggap bebas kalau yang melantik adalah Menteri itu sendiri, yang sepatutnya melantik SuruhanJaya Bebas ini selalunya dilantik oleh Yang DiPertuan Agong.

"Selagi ianya dilantik oleh Menteri dan Menteri berkenaan adalah daripada Barisan Nasional, ianya tidak mungkin bebas,

"Lantiklah empat atau sepuluh badan ianya tak mungkin bebas. Saya gesa kalau ada Suruhanjaya bebas ianya mestilah ditubuhkan oleh Yang DiPertuan Agong iaitu SuruhanJaya DiRaja dan itu baru betul-betul bebas," ujar Fuziah semasa ditemui pada perasmian Jentera Pilihan Raya Hulu Selangor Jumaat lalu.

Pada 6 April lalu Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan di Parlimen kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat.

Beliau turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu serta menamakan sebuah syarikat yang terbabit dan dikatakan berpengkalan di Israel.

Masihkah Kau Ingat?

Polis Terengganu kini menjalankan siasatan terhadap tujuh anggotanya yang disyaki terlibat dengan penagihan dadah.

Ketua Polis Terengganu SAC I Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata siasatan membabitkan tiga anggota daripada pasukan polis marin, dua dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan dua lagi anggota dari Balai Polis Gong Badak.

"Sampel air kencing kesemua anggota polis berkenaan sedang disaring dan sekiranya didapati positif tindakan sewajarnya akan diambil," katanya kepada pemberita selepas menyertai Karnival PDRM Bersama Masyarakat Besut yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jerteh Datuk Seri Idris Jusoh di Besut hari ini.

Menyentuh tentang pembangunan, beliau berkata Polis Terengganu diperuntukkan RM1 juta untuk projek membaiki bangunan-bangunan lama di balai-balai dan ibu pejabat polis di seluruh negeri.

Beliau berkata pihaknya memandang serius dakwaan terdapat segelintir anggota polis di Terengganu terbabit dengan kesalahan tatatertib yang membabitkan penyalahgunaan kuasa hingga mengambil tindakan sendiri yang tidak menyenangkan masyarakat.

Mohd Shukri berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota, termasuk pegawainya yang tidak berdisplin atau terlibat dengan kes jenayah.

- Bernama

Ulasan GB

Kisah polis Terengganu di atas mengingatkan kita tentang seorang anggotanya yang menembak secara rambang ke arah Suwandi dan Azman menyebabkan kedua-duanya terlantar di hospital dan anehnya undang-undang dipergunakan unuk menyalah Suwandi dan Azman manakala polis yang menembak, Wan Aziz Wan Omar, lepas bebas.

Di mahkamah anggota polis tersebut membuat pengakuan, beliau tidak pernah sembahyang dan minum arak sekali-sekala sekalipun di luar pejabat.

Dan kini lebih ramai anggota polis yang dikesan tidak bermoral dan berdisiplin, malah terlibat dengan penagihan dadah.

Media dan blogger sering dibidas oleh polis kononnya mencemarkan nama mereka sedangkan yang mencemarkan nama pasukan PDRM tidak lain dari anggotanya sendiri. Hal ini telah berulangkali GB nyatakan.