28 Apr 2010

Lagi Anwar Diserang Lagi Ramai Sertai PKR

Kehadiran anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar dalam ceramah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor yang lalu nampaknya tidak habis di situ.

Walaupun Tamrin yang juga bekas Exco Pemuda Umno tidak berceramah pada malam itu, namun ia sudah cukup membuatkan pemimpin Umno seperti cacaing kepanasan sehingga bersuara mempertikaikan kehadiran beliau.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Rais Yatim suatu ketika dahulu pernah membakar jambatan dan enggan kembali kepada Umno dilaporkan kecewa dengan tindakan Tamrin yang menghadiri ceramah Pakatan Rakyat pada malam itu.

"Sikap Tamrin langsung tak mirip bekas Timbalan Presiden UMNO (Ghafar Baba) itu,” kata Rais Yatim.

Terdahulu, penyokong Pakatan Rakyat dikejutkan dengan kehadiran anak bekas Timbalan Presiden Umno itu, pada ceramah Pidato Perdana Pemuda Pakatan Rakyat di Sungai Buaya pada malam 24 April lalu.

Thamrin Ghafar Baba merupakan bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan mantan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Sementara itu, Tamrin ketika ditemu bual lidah rasmi PKR, Suara Keadilan baru-baru ini, mendakwa menyokong Pakatan Rakyat selepas melihat penyelewengan berleluasa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO dan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun mentadbir negara.

Berikut ialah sebahagian Pimpinan Barisan Nasional yang Keluar parti bersama ribuan penyokong masing-masing sejak setahun lalu (sekadar menyebut beberapa nama).

* Dr. Streram Sinnasamy yang juga Pengerusi MIC Cawangan Seri Sentosa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR)
* Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Bukit Mertajam, M. Pristiraj, 29, Dan Ketua Wanita Mic Cawangan Sungai Rambai, Askusala Kumari, 35.
* Bekas Ketua MCA Bahagian Bukit Mertajam, Tony Peh Choon Peng
* Bekas ketua cawangan Umno Bukit Bendera Mentakab, Pahang, Datuk Alimudin Syawal mengesahkan beliau telah keluar dari Umno untuk menyertai PKR.
* Timbalan Ketua Bahagian PPP Teluk Kemang, S Karupusammy. Tindakan itu seterusnya melumpuhkan PPP Negeri Sembilan (N9) kerana kekuatan PPP N9 terletak di Bahagian Teluk Kemang.
* Intelektual berbangsa Cina, Yong Thye Chong, atau lebih dikenali Sebagai Kim Quek turut menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Berikut pula ialah bekas pemimpin Barisan Nasional yang bergelar menteri dan bertaraf pimpinan tertinggi yang berhijrah menyertai PKR setakat ini.

* Timbalan Ketua Wanita MCA merangkap Setiuasaha Parlimen dan Dr Tan Yee Kew
* Ahli Parlimen Segambut dan Timbalan Menteri Pembangunan Tanah Dan Koperasi serta Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Tan Kee Kwong
* Ahli Parlimen Kota Bahru dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim
* Menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng
* Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Naib Presiden MIC, Datuk S. S. Subramaniam.
* Datuk Kalakau Untol, Timbalan Menteri Persekutuan merangkap bekas Senator negeri Sabah sehingga 2005.
* Bekas Ahli Parlimen Sungai Besi, Fan Seong Than yang juga adik kepada bekas Ahli Parlimen Kampar, Fan Yew Teng, menyertai PKR pada 24 April lalu.
* Fan Seong Than berkata, beliau menyertai PKR kerana beliau hilang keyakinan terhadap MCA dan pemimpin baru MCA, Chua Soi Lek yang memenangi jawatan Presiden parti itu baru-baru ini.

"MCA memilih seorang pemimpin (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) yang terang-terang dibuktikan terlibat dengan skandal seks.

Saya tidak ingin memberi komen kerana rakyat bukan bodoh, mereka boleh berfikir sendiri apa mungkin telah berlaku dalam MCA hinggakan boleh mendapat keputusan sebegini," kata Fan.

Kini Pakatan Rakyat menantikan keputusan keluar parti oleh mantan Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek.

Lim dipercayai menangguhkan untuk keluar parti beberapa minggu lalu bagi mengelakkan BN terjejas dalam PRK di Hulu Selangor.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa Lim boleh memaafkan atau tidak membangkitkan sama sekali skandal sex DVD membabitkan Chua Soi Lek tetapi zaman internet tidak membenarkan masyarakat melupakan insiden itu dan ianya di luar kawalan.

Lim berpendapat reputasi MCA telah terjejas kerana mempunyai seorang presiden yang terbabit dalam skandal seperti itu. -erapakatan

Siapa Yang Sebenarnya Berketuk Sebelum Bertelur?

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak campur tangan dalam siasatan polis berhubung insiden seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati polis, awal pagi Isnin lepas di Seksyen 11 di sini.

Beliau berkata campur tangan sedemikian akan hanya mengganggu siasatan.

“Ada yang mengada-adakan cerita dan mendesak polis memastikan anggotanya tidak ‘‘cover up’’ kes berkenaan.

Ini semua akan merungsingkan anggota keluarga mangsa dan mengelirukan masyarakat serta menimbulkan persepsi yang tidak betul.

“Janganlah jadi macam ayam yang suka berketuk sebelum bertelur. Biar polis menjalankan siasatan secara telus tanpa melindungi sesiapa bagi memastikan keadilan kepada semua pihak. “Jika siasatan mendapati pihak kami (polis) yang cuai dan melebihi kuasa yang diberikan, maka tindakan setimpal akan diambil,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Dalam kejadian berkenaan kira-kira pukul 2 pagi, Amirulrasyid Amzah meninggal dunia selepas terkena tembakan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri dalam satu sekatan polis.

Khalid berkata polis merakamkan percakapan sembilan saksi berhubung kes itu dan akan merekodkan kenyataan saksi utama hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan membincangkan kes itu bersama Timbalan Pendakwa Raya sebelum hujung minggu ini bagi mendapatkan arahan seterusnya.

Mengulas mengenai ugutan bunuh yang diterima pakar forensik United Kingdom, Dr Peter Venezis yang memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock, pembantu kepada anggota Exco Selangor, Khalid berkata polis membuka siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan di bawah Jenayah Peras Ugut bagi mengenalpasti suspek.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Tiga dan anggota exco Selangor, Rodziah Ismail, berkata mesyuarat exco hari ini bersetuju menyumbangkan RM10,000 kepada keluarga Amirulrasyid atas dasar kebajikan. — Bernama

Ulasan GB

Demikian kenyataan Ketua Polis Negeri Selangor terhadap isu remaja 15 tahun yng ditembak mati oleh anggota polis.

Persoalannya, siapa yang sebelum ini menyatakan ada parang ditemui di dalam kereta mangsa? Siapa yang menyatakan remaja itu mungkin melakukan jenayah? Siapa yang membuat andaian sedemikian sebelum siasatan dijalankan? Siapa yang sebenarnya bertelur sebelum berketuk?

Khalid Abu Bakar sepatutnya bukan sahaja meletakkan jawatannya, tetapi sepatutnya dipecat dari jawatannya. Beliau tidak professional di dalam menjalankan tugasnya. Senget sebelah. Sentiasa membuat andaian-andaian yang tidak menasabah untuk rakyat mempercayainya.

Beliau juga yang sering akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang melulu terhadap apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat tetapi akan memejamkan mata dan bertindak sambil lewa terhadap perhimpunan anjura UMNO BN.

Beliau tidak bertugas untuk negara, tetapi bertugas untuk kepentingan UMNO BN.


SPRM Dibidas Tutup Kes Rasuah RM10 juta Tee Kiat

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat cuba melindungi Datuk Seri Ong Tee Keat dari dikaitkan dengan skandal rasuah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau berkata tindakan itu jelek berikutan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn. Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing sudah menyerahkan segala bukti berkaitan, malah hal itu dinyatakan pada sidang Parlimen.

“Dia (Tiong) telah memberi beberapa bukti yang mengatakan duit itudiberi kepada orang pertengahan dan ada orang nampak wang itu diberi kepada Tee Keat. Saya terkejut dengan kenyataan SPRM,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

SPRM membuat pengumuman semalam yang mereka menutup kes siasatan terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang didakwa menerima 10 juta daripada Tiong .

Tee Keat kemudian mengesahkan beliau menerima surat makluman pada 22 April lalu yang mengatakan SPRM tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan itu.

Tahun lalu, SPRM memanggil Tee Keat untuk disoal siasat berhubung skandal PKFZ atas dakwaan beliau menerima RM10 juta daripada Tiong untuk aktiviti MCA.

Ketika itu, Tee Keat adalah Presiden MCA manakala Kuala Dimensi adalah kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ. -TVS


SPRM tutup kes Tee Keat terima RM10 juta

PUTRAJAYA, 27 April — Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat (gambar) berkata siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap beliau kerana didakwa menerima RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing, telah ditutup dan tiada siasatan lanjut.

Katanya perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh SPRM dalam surat yang diterimanya pada 22 April lalu yang menyatakan bahawa tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan berkenaan.

“Kes ini saya dimaklumkan bahawa ianya telah tamat siasatan dan tidak akan dilanjutkan siasatannya. Tiada sebarang bukti yang membuktikan tuduhan-tuduhan liar itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen “Red Means Stop” anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya bersama Sun Media Corporation Sdn Bhd di sini hari ini.

Tahun lepas, SPRM memanggil Ong untuk disoal siasat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan kononnya beliau menerima RM10 juta daripada Tiong untuk aktiviti MCA. Ketika itu Ong adalah Presiden MCA manakala Kuala Dimensi adalah kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ.

“Kini telah pun jelas senario sebenarnya, walaupun jawapan ini saya terima agak lewat sedangkan saya sedia maklum kes ini telahpun tamat siasatannya agak awal sebelum ini.

“Tanpa atas apa sebab, saya baru dapat maklum balas atau jawapan pada 22 April lalu,” katanya.

Ditanya sama ada beliau kecewa lewat menerima surat jawapan daripada SPRM, Ong berkata: “Sepanjang hayat kita ini, cukup banyak kekecewaan, rintihan itu ada, kecewa jangan.

“Kalau inilah yang berlaku yang menimpa kita, kita kena juga berdepan dengannya dengan penuh ketabahan.” — Bernama


Zaid Fail Petisyen, Saman Utusan Dan SPR

Petaling Jaya: Datuk Zaid Ibrahim akan menfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia kerana melabelkan beliau seorang "kaki botol" dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mendakwa mempunyai bukti bahawa SPR menyeleweng dalam pilihan raya baru-baru ini.

Beliau juga akan menfailkan petisyen pilihan raya kepada mahkamah agar mengistiharkan keputusan pilihan raya Hulu Selangor adalah tidak sah.

Calon PKR kerusi parlimen Hulu Selangor itu berkata, tindakan keterlaluan Utusan Malaysia jelas menjejaskan imej beliau dan tindakan sambil lewa SPR juga membuatkan tiada ketelusan di dalam pilihan raya itu.

"Saya akan menfailkan saman melalui peguam saya terhadap ahkbar Utusan Malaysia dan juga SPR pada minggu depan.

"Saya tidak seperti BN yang akan menyaman berjuta-juta, saya akan menyaman mereka dengan nilai RM 1 sahaja kerana mereka tidak mempunyai nilai," katanya dalam sidang media di rumahnya di sini, pagi tadi.

Zaid berkata, pembohongan dan penyelewengan merasuah pengundi perlu diambil tindakan segara agar perkara sedemikian tidak akan berlaku pada pilihan raya-pilihan raya akan datang.

Tambahan beliau, kemenangan BN adalah tidak sah kerana BN telah menabur rasuah yang ketara kepada rakyat di Hulu Selangor dan ia menunjukkan tiada keadilan dalam pilihan raya tersebut.

" Saya mengambil keputusan menyaman mereka yang berkaitan kerana menyebarkan kenyataan fitnah yang keterlaluan mengaibkan saya pada pandangan masyarakat.

" Manakala tindakan menyaman SPR adalah kerana tidak berlaku adil pada calon-calon yang terlibat dalam pilihan raya terutamanya pada pihak pembangkang.

" Apabila dibeli dengan wang yang lumayan, semua yang terlibat akan termakan budi yang dirasuahkan agar memilih parti tersebut walaupun tidak diyakini oleh rakyat," katanya lagi.

Menurutnya lagi, jika wujudnya penyelewengan pilihan raya sebegini, pemilihan calon yang melibatkan seseorang individu tidak mempunyai erti dan calon yang tidak berkempen menabur rasuah tidak akan memenangi setiap pilihan raya yang diadakan.

" Saya mengingatkan agar rakyat dapat menilai sepenuhnya siapakah yang mempunyai ketulusan menjadi pemimpin sebenar tanpa berlaku penyelewengan di negara ini mahupun melibatkan rakyat untuk turut berkompromi menelan rasuah penyelewengan bersama BN.

" Rakyat perlu mengatahui pembohongan BN bersama kerajaannya yang akan terpancar selepas ini di Hulu Selangor nanti kerana segara janji-janji BN tidak mungkin akan ditunaikan kepada rakyat yang telah termakan pembohongan BN," katanya. -FMT

Petanda BN Semakin Hancur: Perkasa Terus Berperang Dengan MCA

PRU-13: Melayu tak akan undi calon MCA, kata Perkasa

KUALA LUMPUR, 28 April — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali memberi amaran orang Melayu tidak akan mengundi calon-calon yang diletakkan oleh MCA dalam pilihan raya umum akan datang.

“(Oleh itu) mungkin MCA boleh menyalahkan Perkasa (kelak),” kata beliau dalam kenyataan SMS kepada The Malaysian Insider hari ini.

Ibrahim (gambar) yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas mendakwa MCA menggunakan Perkasa sebagai “kambing hitam” untuk menjustifikasikan kemerosotan sokongan pengundi masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor Ahad lalu.

“Sebenarnya isu video, masalah dalaman dan tidak berkhidmat kepada rakyat merupakan faktor mengapa masyarakat Cina tidak mengundi BN.

“Mereka membenci sangat MCA, MCA yang harus dipersalahkan... jadi mengapa mempersalahkan Perkasa... apa yang istimewa sangat dengan Perkasa” kata beliau lagi sambil menambah, pengundi Cina sudah mula membenci MCA sebelum kelahiran Perkasa.

Ketika Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa bulan lalu, Ibrahim juga memberi amaran bahawa sesiapa yang memusuhi Perkasa tidak akan mendapat sokongan badan bukan kerajaan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Semalam, MCA menyelar Ibrahim kerana mengeluarkan kenyataan berunsur “perkauman menebal” yang telah menyinggung perasaan kaum Cina.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata, kenyataan beliau itu yang menggesa kerajaan menangguhkan kelulusan peruntukan dan projek kepada kaum Cina, yang Ibrahim anggap sebagai “tidak berterima kasih” dan “tidak menghargai” amat dikesali.

“Kenyataan itu juga berunsur hasutan,” katanya.

Ibrahim membuat kenyataan itu semalam berikutan keputusan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor yang menunjukkan sokongan kaum Cina terhadap BN semakin berkurangan.

Bagaimanapun, Gan menegaskan satu daripada sebab utama BN kehilangan keyakinan kaum Cina adalan berpunca daripada kerjasama sebenar atau tanggapan terhadap kerjasama erat pemimpin BN dengan organisasi “perkauman menebal”.

Beliau juga mendakwa kenyataan berunsur perkauman oleh beberapa pemimpin BN yang dilaporkan secara meluas oleh media turut memberi kesan dalam pilihan raya kecil itu.

Gan berkata jika BN mahu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada pengundi bukan Melayu, ia perlu terlebih dahulu menjauhkan diri dengan pertubuhan seperti Perkasa yang cenderung meluahkan kenyataan berunsur perkauman.

Jika tidak, BN menghadapi risiko kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata beliau. -TMI

Nelayan Sindir Slogan Presiden Umno?

SSelepas logan Presiden Umno, Najib Razak dikaitkan dengan ‘One Israel’, kini slogan itu terus diragui malah mendapat sindiran daripada nelayan di negeri Sarawak.

Kejadian itu dikesan berlaku di perkampungan Telaga Air, di Kuching, Sarawak apabila nelayan di kawasan itu menaikkan papan tanda dengan kata-kata berikut;

‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, pembangunan harus dilaksanakan, kemahuan rakyat hendaklah ditunaikan.

Jambatan kami jangan dirobohkan, kehendak rakyat harus diperbaiki, tanpa rakyat tiada kerajaan,’.

Difahamkan, papan tanda itu dinaikan bagi menuntut kerajaan negeri segera membina jeti yang sesuai untuk kegunaan nelayan di kampung tersebut.

Mengulas isu itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri Sarawak, Abdul Azeez Mohamad, berkata, kutukan daripada nelayan di perkampung itu merupakan bukti jelas bahawa slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib meminggirkan rakyat miskin di negeri itu.

“Slogan 1Malaysia hanyalah slogan politik untuk menyelamatkan bahtera Umno dan Barisan Nasional yang hampir tenggelam,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com.

Beliau turut memberi contoh bagaimana slogan itu hanya mementingkan kroni BN sebagaimana yang berlaku dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Beladin sebelum ini.

Menurutnya, bantuan subsidi untuk nelayan di kawasan itu bersifat terpilih dan hanya diberi kepada mereka yang menyokong Barisan Nasional.

Mengulas isu sama, mantan Ketua Polis Daerah Baram, Voon Lee Shan menuntut agar pihak berkenaan segera menyelesaikan masalah nelayan tersebut kerana ia jelas merupakan suara dan rintihan rakyat di perkampungan itu yang memerlukan pembelaan.

“Walapun sekadar tuntutan jeti untuk nelayan, kerajaan BN jangan sesekali mendiskriminasi dan menzalimi nelayan kerana itu adalah hak nelayan dan mereka berhak menuntut apa yang sepatutnya mereka terima,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di negeri itu terutamanya rakyat marhen agar segera bangkit untuk menuntut hak mereka yang selama ini dipinggirkann oleh kerajaan BN.

Difahamkan, terdapat kira-kira 170 bot kecil dan hampir 30 bot besar nelayan yang menggunakan beberapa jeti termasuklah jeti tradisi sedia ada yang usang di perkampungan itu. -erapakatan