6 Mei 2010

Pembinaan Loji Reaktor Nuklear Ancaman Kepada Keselamatan Rakyat dan Negara

Angkatan Muda Keadilan Selangor menolak keputusan kerajaan pusat untuk membina loji reaktor nuklear yang bakal beroperasi menjelang tahun 2021. Kebenaran untuk meneruskan cadangan ini dilihat oleh AMK Selangor satu ancaman amat kritikal terhadap keselamatan rakyat dan negara.

AMK Selangor menyatakan sokongan padu dan mantap keputusan kerajaan Selangor untuk tidak membenarkan sebarang pembangunan reaktor nuklear di Selangor. Malahan kerajaan negeri Selangor menyarankan agar digerakkan pembangunan tenaga alternatif lain yang lebih selamat, mesra alam dan produktif.

Pembinaan loji nuklear lebih memberi ancaman kepada alam sekitar kerana pengurusan sisa buangan bahan radioaktifnya sukar dikendalikan. Hujah mengatakan ia adalah berkos rendah ditolak kerana kerajaan perlu belajar daripada tragedi hitam 26 April 1986 apabila Loji Nuklear Chernobyl meletup dan menyebarkan radioaktif. Impak kesannya sehingga kini terus memudaratkan kesihatan manusia dan memusnahkan alam sekitar yang memberi kerugian yang terlalu tinggi.

Kerajaan pusat sebelum memberi kebenaran ini sewajarnya mengambil pendapat rakyat dan pakar-pakar pelbagai bidang sebelum apa-apa keputusan diambil. Trek rekod mutakhir kini terhadap beberapa bangunan dan stadium yang retak dan runtuh menjadi igauan ngeri rakyat. Pembinaan reaktor nuklear ini dilihat sebagai "bom jangka" yang meletakkan rakyat dan negara dalam situasi keselamatan masa hadapan yang amat kritikal dan mencemaskan.

Kita percaya pelbagai sumber tenaga alternatif lain boleh dibangunkan dan sesuai di negara ini seperti tenaga solar, tenaga angin, biomas dan teknologi baru yang lain. Permintaan mendadak terhadap sumber tenaga di masa hadapan boleh diatasi dengan memperkenalkan sistem penjimatan dan pengurusan tenaga yang efektif kini. Penyelidikan dan pembangunan berterusan perlu digiatkan bagi memastikan sumber tenaga alternatif yang lebih selamat dan sesuai dapat dibangunkan di negara ini.

Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan AMK Selangor

UMNO BN Nak Halalkan Judi, Mana PAS?

Kerajaan timbang beri lesen judi Piala Dunia

Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

"Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya. - Bernama


Kerajaan Tidak Wajar Timbang Beri Lesen Judi Piala Dunia

SHAH ALAM 6 Mei - Kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak wajar jadikan sektor perjudian sebagai salah satu penyumbang pendapatan kepada ekonomi negara.

Mengulas tindakan kerajaan untuk mempertimbangkan lesen judi Piala Dunia, Timbalan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Fariz Musa berpendapat tindakan kerajaan itu sebenarnya akan meningkat lagi masalah sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat.

"Ini membuktikan kerajaan Umno-BN tetap akan meneruskan dengan agenda untuk meluluskan lesen perjudian yang sebelum ini ditentang sekeras-kerasnya oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat

"Amat jelas sama sekali, orang Islam dan bukan Islam menolak segala bentuk judi kerana amalan tersebut merosakkan akhlak dan tidak bermoral.

"Kerajaan Umno-BN nampaknya ingin menjadikan judi sebagai salah satu sektor yang memberikan pendapatan kepada ekonomi negara," jelas Fariz kepada Suara Keadilan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, yang ditemui media di lobi parlimen hari ini dipetik sebagai berkata kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir.

Pada masa yang sama, Awang Adek juga berpendapat jika lesen judi tersebut dikeluarkan, kerajaan kononnya akan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini -TVS


Ulasan GB

GB tak tahu apa pasal PAS tidak mengeluarkan kenyataan pantas terhadap isu ini. Sedangkan ia mat menyentuh hukum, amat menyentuh dan bertentngan dengan dasar perjuangan Islam yang didokong oleh PAS.

UMNO BN sememangnya jahil, mereka kini menampakkan kejahilan mereka dengan cenderung untuk melawan hukum Allah yang JELAS mengharamkan perjudian.

Tetapi mana pemimpin PAS?
Lembab dan lambat memberi riaksi, menepis hujjah, menangkis lawan.
Macam ni nak menang pilihanraya?

Allah tak suka orang yang lembab-lembab, bikin malu Parti "Islam" SeMalaysia.

Bawa Isu Serah Padang MInyak Ke Parlimen - Zaid

Ahli Majlis Pimpunan Pusat KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia menyerahkan dua blok padang minyak L dan M kepada Brunei ketika di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi secara sulit sebagai tidak bertanggungjawab dan membelakangkan Perlembagaan Persekutuan.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah kerajaan pimpinan Abdullah menjelaskan perjanjian yang dimeterai kerajaan dengan pihak lain berkaitan hak dan aset negara perlu dibentang, dibahas dan diluluskan di dalam Dewan Rakyat.

"Masalahnya apabila tak ada manusia di Malaysia ini yang tahu soal Petronas selain Perdana Menteri. Kita cuma dapat berita selepas tindakan atau keputusan diambil hanya melalui media. Jadi perkara berkaitan Petronas ini patut dibentang dalam Parlimen supaya ia diketahui oleh rakyat," jelas beliau kepada Suara Keadilan pada majlis kesyukuran pasca pilihan raya kecil Hulu Selangor di sini semalam.

Dalam pada itu Zaid juga menyelar tindakan kerajaan menyekat hak royalti minyak kepada Kelantan, sedangkan pada masa yang sama melepaskan dua blok padang minyak yang dipercayai memiliki simpanan minyak bermutu tinggi berjumlah 1 bilion tong.

Beliau mendedahkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang digubal sewaktu pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein membolehkan Perdana Menteri untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat kepada umum.

Ia bertujuan bagi mengelakkan eksploitasi dan salahguna kuasa oleh ahli politik.

"Almarhum Tun Razak mengambil pengalaman dari skandal Pertamina di Indonesia sebagai pengajaran. Kita juga akur pada waktu itu agar maklumat Petronas dirahsiakan," kata Zaid.

Kematian mengejut Abdul Razak pada tahun 14 Januari 1976 menyebabkan akta tersebut tidak sempat dipinda dan seterusnya telah disalahgunakan oleh Perdana Menteri selepas beliau sehingga hari ini.

Zaid memberikan contoh arahan menyelamatkan syarikat kroni oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika krisis ekonomi 1997 dengan menggunakan dana Petronas sebagai satu tindakan penyalahgunaan kuasa.


"Kita tak boleh buat apa-apa, sebab kuasa ada pada tangan Perdana Menteri. Kalau hari ini Najib nak jual blok lain pun mungkin kita tak tahu," kata Zaid lagi.

Beliau berpendapat jalan penyelesaian kepada isu ini hanyalah melalui perundangan dan perundingan.


Namun rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui kandungan perjalanan dan pengurusan aset negara khususnya syarikat berkepentingan awam seperti Petronas.

Abu Seman Ada Konflik Kepentingan

Kes Aminulrasyid: Panel tiada asas undang-undang

Dua peguam keluarga Aminulrashid Amzah, 14, yang ditembak mati polis mendakwa penubuhan panel khas untuk menyiasat kejadian tersebut sebagai tiada asas undang-undang.

Peguam-peguam itu, N. Surendran dan Latheefa Koya menolak penubuhan panel tersebut dan menurut mereka ia lebih kepada "amalan perhubungan awam dan mengalih pandangan orang ramai."

"Panel khas itu tidak perlu kerana ia tidak ada sebarang kuasa. Ia bukan suruhanjaya diraja atau suruhanjaya hak asasi manusia yang mana penubuhannya tertakluk kepada undang-undang yang mengurustadbir prosidur, tingkah laku dan kuasa-kuasanya," kata mereka dalam satu kenyataan bersama semalam.

Mereka berkata, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop tersilap mengambil terma rujukan, tujuan dan kuasa panel khas yang pada asalnya beliau berkata sama ada menjalankan siasatan sendiri atau membuat cadangan kepada polis.

Katanya, panel seharusnya diberi kuasa untuk memanggil saksi, melihat prosedur membabitkan penggunaan senjata api dan pengeluaran kertas siasatan oleh polis dan pejabat Peguam Negara.

"Kami terkejut bahawa panel khas itu memulakan siasatan tanpa kehadiran peguam keluarga kerana ia kes serius," kata mereka.

Mereka berkata, mereka akan menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri Isnin ini bagi pihak keluarga meminta pertemuan diadakan.

Mereka juga berkata, mereka prihatin wujudnya percanggahan kepentingan kerana Abu Seman merupakan salah seorang ahli panel tersebut.

Abu Seman ada konflik kepentingan

"Ada percanggahan kepentingan kerana beliau adalah menteri yang menjaga polis," kata mereka.

Surendran dan Latheefa menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat pembunuhan Aminulrashid.

Sementara itu, kedua-dua peguam tersebut terkilan dengan tindakan terburu-buru panel khas melawat lokasi kejadian pada waktu malam.

Latheefa juga melahirkan rasa sedih dengan tindakan panel khas tersebut tanpa memberitahu peguam dan keluarga Aminulrasyid berhubung lawatan tersebut.

"Panel khas ini sepatutnya membuat lawatan ke tempat kejadian pada waktu siang dan dengan cara yang tertib," katanya.

Malam kelmarin, panel tersebut yang diketuai Abu Seman menaiki bas bermula di Hotel Concorde jam 9.30 malam melawat beberapa lokasi dan laluan yang dipercayai dilalui oleh remaja tersebut bersama rakannya Azamuddin Omar.

Sementara itu, Majlis Peguam berkata, sidang media yang dianjurkan oleh para peguam yang mewakili Allahyarham Aminulrasyid Isnin lalu bukannya tidak bererti seperti mana yang didakwa oleh piihak polis.

Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, "kami yakin sidang media itu diadakan ekoran tindak balas polis terhadap kejadian tersebut. Ianya perlu dan saksama dengan membenarkan seorang saksi menceritakan tentang kejadian itu untuk kepentingan awam.

Aminulrasyid ditembak mati dikepalanya oleh polis pada jam 2.00 pagi pada 26 April lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seksyen 11, Shah Alam. -FMT

Kerugian Pos Malaysia Bukti Kerajaan Gagal Urus Dana Awam

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa Kementerian Kewangan supaya menjelaskan kerugian yang ditanggung Pos Malaysia Berhad sebanyak RM227 juta bagi tempoh tiga tahun ekoran pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara, Transmile Group Berhad.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein Selasa lalu menafikan kerugian Pos Malaysia sebanyak RM546 juta seperti yang dilaporkan media tetapi sebaliknya mendakwa kerugian adalah sebanyak RM227 juta.

"Jumlah kerugian samada RM546 juta atau RM227 bukan isu pokok. Isunya ialah apa sebab kerugian dan mengapa boleh berlaku kerugian melibatkan jutaan ringgit saham milik awam.

"Kerugian ini mencerminkan kegagalan dasar penswastaan dan memberi kesan buruk kepada kerajaan. Mangsanya adalah kepada pekerja Pos Malaysia sendiri. Ini akan memberi kesan dan risiko yang terpaksa ditanggung pekerja samada mereka diikat secara kontrak atau diberhentikan. Ini semua menunjukkan kegagalan kerajaan menguruskan pelaburan dengan baik," ujar Abdullah Sani.

Menurut beliau keadaan yang sama berlaku kepada GLC lain seperti Lembaga Tabung Haji yang mengalami kerugian akibat kegagalan mengurus pelaburan dengan baik.

"Jawatankuasa pelaburan syarikat seharusnya mengenalpasti samada pelaburan akan mendatangkan keuntungan atau sebaliknya supaya setiap pelaburan tidak sia-sia kerana ini melibatkan duit rakyat," tegasnya.

Dr Awang Adek sebelum ini berkata kerugian itu disebabkan pelaburan dalam Transmile apabila Pos Malaysia membeli 20 peratus saham dalam syarikat berkenaan.

Kenyataan itu berbeza dengan dakwaan seorang pemimpin Umno yang menyatakan Pos Malaysia memiliki saham sebanyak 15 peratus seperti yang dilapor Bernama.

Menurut timbalan menteri itu, pada 2007 Pos Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM33 juta dan meningkat kepada RM35.8 juta pada 2008.

Bagaimana pun beliau tidak nyatakan secara tepat kerugian yang dialami bagi setiap tahun dari 2007 sehingga 2010. -SK

Dua jadi mangsa polis terlampau

Dua wanita mendakwa menerima ganggungan seksual melampau daripada seorang anggota polis di satu sekatan jalan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Cheras, Taman Midah, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian pertama, seorang wanita mendakwa diminta beraksi lucah selain dipaksa memberi sogokan RM15 supaya dia tidak ditahan atas kesalahan memandu melebihi had laju.

"Selepas meminta kad pengenalan dan lesen memandu, polis itu meminta saya menanggalkan baju tetapi saya enggan berbuat demikian.

“Dia kemudian menyuruh saya melakukan aksi ghairah di hadapannya serta menunjukkan wajah seksi, malah lebih menjijikkan dia bertanya sama ada saya memakai baju dan seluar dalam atau tidak,” kata mangsa, semalam.

Insiden itu berlaku jam 1.15 pagi ketika mangsa dalam perjalanan ke KL Sentral untuk mengambil teman lelakinya yang baru pulang dari Sabah.

Selepas mengambil teman lelakinya, wanita terbabit terus membuat laporan di Balai Polis Pudu pada jam 2.39 pagi.

Sementara itu, selang beberapa minit, di lokasi yang sama, seorang lagi wanita berusia 23 tahun, mendakwa menerima nasib serupa apabila diganggu secara seksual dengan kata-kata tidak senonoh sebelum diminta memberi sogokan wang oleh anggota polis sama.

“Jam 1.50 pagi, saya dari Kuchai Lama menghala ke Shamelin apabila ditahan polis trafik.

“Apabila saya menurunkan cermin kereta, polis itu berkata kaki saya cantik dan dia mengarahkan saya keluar dari kereta kerana dia mahu melihat kaki saya," katanya.

Mangsa berkata, apabila dia enggan berbuat demikian, polis itu mengugut untuk menyamannya kerana memandu melebihi had laju, walaupun itu tidak benar.

“Kemudian dia minta saya memberikan RM50 jika tidak mahu kena saman.

"Saya membuat laporan di Balai Polis Pudu pada jam 4.30 petang, 4 Mei," katanya, dalam sidang media di pejabat Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, semalam.

Kedua-dua wanita dipercayai ditahan polis trafik sama berdasarkan maklumat lokasi, masa dan gambaran fizikal. -SH

20 Das Tembakan Ke Arah Aminulrasyid, Forum Diberitahu.

Forum keadilan untuk adik Aminulrasyid (Bahagian Pertama)

Adakah keadaan terlampau ekstrem sehingga polis perlu menggunakan senjata api untuk menembak mati adik Aminulrasyid?

"Kita tengok, jumpa parang dalam bonnet (dakwaan polis), apa bahayanya? Saya tak nampak apa bahaya, kecuali kalau parang itu diayunkan (wave) pada polis. Tapi kalau diayunkan pada polis, (itu pun) dalam kereta sahaja. Melainkan (ayunan parang) dalam keadaan bertentang muka (confronted, face to face)."

"Kalau dalam keadaan pertentangan yang bersemuka pun, polis masih boleh tembak pada kaki (Aminul). Why must you kill (Mengapa kamu membunuh)?"

Demikianlah kupasan dan pertikaian yang dilontar oleh pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Raja Badrol Hisham terhadap polis, ketika mengulas isu adik Aminulrasyid, remaja berusia 14 tahun yang ditembak mati oleh polis, pada awal pagi 26, April.

Berbekalkan dokumen perundangan seperti Kanun Prosedur Jenayah, Perintah Tetap Ketua Polis Negara dan sebagainya, pensyarah UIAM ini mengupas bagaimana cara yang sewajarnya untuk mengendalikan kes arwah Aminulrasyid, seandainya polis mengikut lunas undang-undang.

Syarat tangkapan tanpa waran

Raja Badrol Hisham bermula dengan Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah, yang menyatakan tiga cara tangkapan polis, iaitu menyentuh tubuh badan, mengurung badan orang yang ditangkap dan ketiganya, orang yang ingin ditangkap menyerah diri.

Menurut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah, tangkapan tanpa waran memerlukan syarat seperti bersandarkan aduan munasabah (reasonable complaint) dan informasi yang credible. Sambil berseloroh mengandaikan dirinya pendakwa raya di mahkamah dalam kes ini, Raja Badrol Hisham (gambar kiri) berkata polis mungkin memberi justifikasi dengan prasyarat ketiga, iaitu "telah wujud syak yang munasabah di mana orang yang nak ditangkap terlibat dengan jenayah".

Jelasnya, perilaku jenayah yang dimaksudkan termasuklah kononnya arwah Aminulrasyid membawa kereta dengan laju, melepasi dua atau tiga lampu trafik, lari dari kereta dan tidak berhenti apabila dikejar polis.

Pensyarah undang-undang ini kemudiannya memetik seksyen 15 (2) Kanun Prosedur Jenayah yang membenarkan polis untuk menggunakan kekerasan ketika mencegah orang itu daripada melarikan diri. Raja Badrol Hisham mengingatkan, sungguhpun undang-undang membenarkan polis menggunakan segala langkah yang perlu untuk melakukan tangkapan, termasuk tembak mati, tetapi ia terikat dengan syaratnya.

"Misteri" parang terjawab

"Tembak sampai mati? Boleh, tetapi mesti jatuh kepada jenayah yang mungkin dilakukan itu ialah satu jenayah yang boleh dihukum mati, sekiranya dia disabitkan salah di mahkamah nanti."

Malah, Raja Badrol Hisham menambah, selain hukuman mati, tembakan sampai mati juga dibenarkan untuk kesalahan jenayah yang mengundang hukuman penjara seumur hidup. Kenyataan ini mungkin menjelaskan mengapa "parang misteri" dikatakan ditemui dalam kereta Aminulrasyid (gambar kanan), kerana hukuman untuk jenayah rompakan bersenjata adalah penjara seumur hidup.

"Bila penjara seumur hidup, boleh ditembak sampai mati," kata Raja Badrol Hisham, sambil mendakwa bahawa tuduhan parang ditemui itu adalah untuk menyelindung polis semata-mata (to cover their back).

Biarpun bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara bahawa "kereta digunakan sebagai senjata", namun Raja Badrol Hisham mempertikaikan, "Apakah bukti cukup?" Berhubung dakwaan ini, beliau mencadangkan agar pakar forensik mengenalpasti sama ada kereta arwah Aminulrasyid berundur, kerana kesan tayar pada jalan akan berbeza jikalau kereta mengundur.

Syarat menggunakan senjata api

Beliau membacakan syarat yang terkandung dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara, ketika polis menggunakan senjata api, iaitu "jika seseorang sedang diserang dengan cara yang boleh mendatangkan perasaan takut, iaitu akibat daripada serangan itu boleh mengakibatkan kematian atau cedera parah"; lantas menjelaskan bagaimana dakwaan bahawa "arwah mengundur keretanya untuk merempuh polis" sebagai justifikasi polis melepaskan tembakan.

Beliau menambah, "menembak orang hanya dengan tujuan untuk mencederakan orang, menjatuhkan orang itu atau menahan kesalahan itu daripada berlaku." Malah, beliau menyambung, "jika keadaan mengizinkan, haruslah ditujukan kepada kaki orang itu."

Bagaimanapun, ketika syarat tersebut diaplikasikan ke dalam kes Aminulrasyid, Raja Badrol Hisham mengakui bahawa polis tidak dapat menembak kaki arwah kerana arwah memandu dalam kereta, tetapi harus dihalakan ke arah roda kereta.

Pensyarah undang-undang ini beberapa kali mempertikaikan, apakah situasi ketika kejadian berlaku begitu "ekstrem" dan merbahaya, sehingga memerlukan polis untuk menembak, malah dikatakan kira-kira 20 peluru ditaburkan ke arah kereta arwah Aminulrasyid?

Rangkaian Command Center

Ketika mengulas kes ini, Raja Badrol Hisham berkata, "Dalam kejar-mengejar ni, dia (polis) akan refer kepada command center. Dapatkan maklumat. Semasa mengejar, kalau dia dapat nombor kereta tu, dia boleh gunakan rangkaian command center. Di setiap daerah (district), dia ada command center daerah. Ada juga command center negeri (state), dan di Bukit Aman dia ada command center nasional."

Dengan kata lain, polis sebenarnya boleh mengenalpasti sama ada kereta yang dikejar itu kereta penjenayah atau tidak kerana mereka dapat akses kepada Jabatan Pengangkutan Jalanraya. Malah, sesetengah kereta rondaan kini dibekalkan dengan kemudahan yang canggih, termasuk komputer untuk mendedahkan polis kepada maklumat yang diperlukan semasa rondaan.

Tidak cukup dengan itu, Raja Badrol Hisham mengingatkan bahawa kejadian tembakan berlaku di kawasan perumahan, di mana itulah kawasan yang sering dironda polis. Beliau berkata, dalam kawasan perumahan, dua kereta yang menutup kedua-dua penghujung jalan sudah memadai untuk menghalang seorang budak daripada melarikan diri.

Tembak mati: "Jimat"

Raja Badrol Hisham berkata, "Daripada itu, mereka (polis) mengambil jalan pintas. Tembak mati lagi senang. Ikut kawan saya yang ada dekat D9 (Jabatan Siasatan Jenayah) itu, quote word dia orang, 'jimat'."

"'So, kita (polis) tutup semua. Jimatkan keadaan'. Untuk mereka (polis), jimat duit rakyat," katanya itu mengundang ketawa hadirin, sebelum beliau melontarkan soalan, "Tapi, bolehkah kita jimat keadilan? Keadilan tidak boleh dikompromi."

Ketika menyimpulkan pembentangannya, Raja Badrol Hisham berkata, "kematian arwah (Aminulrasyid) ini sebenarnya boleh dielakkan, sekiranya pihak polis faham IGSO (Inspector General Standing Order atau Perintah Tetap Ketua Polis Negara) itu sendiri."

Lebih mengejutkan, apabila beliau mendedahkan, "Saya rasa terkilan juga, bila IGSO ini hanya dibekalkan kepada Ketua Polis Daerah. Pegawai-pegawai biasanya tak dapat. Kalau kita nak didik anggota polis ni, tentang kuasa mereka, maka setiap seorang mereka mesti ada IGSO. Dan setiap satu OCPD pun patut ada CPC (Kanun Prosedur Jenayah)."

Beliau berkata sedemikian kepada kira-kira 100 orang yang hadir dalam forum keadilan untuk adik Aminulrasyid, bertemakan "Bersatu pertahan Hak Asasi Rakyat", anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Selain Raja Badrol Hisham, ahli panel yang diundang termasuklah peguam bagi pihak keluarga arwah Aminulrasyid, N.Surendren dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Wong Chin Huat. Moderator forum ini ialah Presiden PKPIM, Mohammad Faisal Abd Aziz. Forum ini dimulakan dengan bacaan puisi berjudul "Jeritan Senja September" oleh sasterawan negara, A. Samad Said.

Forum keadilan untuk adik Aminulrasyid (Bahagian Kedua, tamat)

Segala-galanya bermula dari "kesilapan ringan". Keluar malam, mengambil kereta kakak dan memandu tanpa lesen, bergeser dengan kereta lain... hampir setiap kesilapan itu pernah dilakukan oleh orang biasa. Namun, ia berakhir dengan sesuatu perkara yang serius, apabila tembakan bertalu-talu dilepaskan oleh polis ke arah seorang budak yang usianya belum mencecah 15 tahun.

"You are dealing with a 14-year-old frightened boy, you are not dealing with Bruce Willis in the Die Hard movie! (Anda berdepan dengan seorang budak berusia 14 tahun yang berada dalam ketakutan, anda bukan berdepan dengan Bruce Willis dalam filem Die Hard!)"

Demikianlah luahan daripada peguam keluarga arwah Aminulrasyid, N.Surendren ketika berucap dalam forum keadilan untuk adik Aminulrasyid, bertemakan "Bersatu pertahan Hak Asasi Rakyat", anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Selain N.Surendren, ahli panel yang diundang termasuklah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Wong Chin Huat dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Raja Badrol Hisham. Moderator forum ini ialah Presiden PKPIM, Mohammad Faisal Abd Aziz. Forum ini dimulakan dengan bacaan puisi berjudul "Jeritan Senja September" oleh sasterawan negara, A. Samad Said (gambar atas, kiri).

Bagai penggambaran filem...

Namun, apa yang berlaku pada awal pagi 26 April cukup mendebarkan, seolah-olah penggambaran filem, sebagaimana yang disifatkan oleh salah seorang saksi kepada N.Surendren. Tembakan dilepaskan bertubi-tubi oleh polis ke arah kereta arwah Aminulrasyid, semasa kejar-mengejar, tanpa amaran oleh polis melalui pembesar suara.

Menurut N.Surendren (gambar kanan), seorang lagi saksi kejadian mendakwa dirinya mendengar bunyi tembakan, dan disusuli bunyi hentaman yang kuat kemudiannya (kereta arwah melanggar tembok), lantas menyangkal dakwaan polis bahawa arwah Aminulrasyid cuba merempuh polis dengan mengundur keretanya ke arah polis. Seandainya mengikut versi polis, maka saksi akan mendengar bunyi hentaman dan kemudian disusuli tembakan.

Malah, peguam yang berpengalaman dalam pembelaan mangsa keganasan polis ini berkata, setiap kali berlakunya kejadian sebegini, pihak polis atau kerajaan akan mengeluarkan kenyataan yang sama (same standard statement), menuduh bahawa senjata seperti parang atau kapak ditemui dalam kereta mangsa tembakan. Beliau juga menyelar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abd Jalil yang cuba mengalihkan kesalahan kepada keluarga kerana tuduhan "membiarkan anak keluar lewat malam".

Turut hadir semalam, mangsa keganasan polis, Norizan bt Salleh (baris ketiga dari depan, kedua dari kanan, gambar kiri)yang terkena lima das tembakan polis pada awal pagi 30 Oktober 2009. Tuduhan yang hampir sama turut dilemparkan terhadap ibu tunggal ini, tetapi tiada pendakwaan ke mahkamah setakat ini. Bahkan, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein pernah berjanji untuk menyiasat aduan Norizan, namun belum memperlihatkan hasil siasatannya sehingga hari ini.

Tragedi yang menunggu untuk berlaku

N.Surendren tidak terkejut dengan kejadian arwah Aminulrasyid, apabila memulakan ucapan dengan berkata, "Kes Aminulrasyid ini, adalah satu tragedi yang hanya menunggu masanya (untuk berlaku)."

Beliau menjelaskan, peguam hak asasi manusia, NGO, pembangkang telah berjuang bertahun-tahun, malah berdekad-dekad untuk memastikan pihak polis tidak menyalahkan kuasa ketika menggunakan senjata api, tetapi tidak diendahkan.

N.Surendren mengungkit satu peristiwa yang berlaku sekitar pertengahan tahun 1990-an, apabila bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addruse tegas mengkritik penembakan sebegitu. Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad (gambar kanan) menyatakan kepada media, "Apakah perasaan Raja Aziz jikalau penjenayah mengajukan pistol pada kepalanya?"

N.Surendren berkata, "Soalnya bukan sama ada penjenayah meletakkan pistol pada kepalanya, tetapi soalnya jika ada penjenayah di sana, apakah cara pihak polis perlu (gunakan) untuk menangkap mereka? Adakah dengan cara menembak sewenang-wenangnya? Bermakna kita tak perlu mahkamah, tak perlu peguam bela, tak perlu DPP, tak perlu hakim... terus sahaja menghukum?"

Keresahan ini turut dikongsi bersama oleh Raja Badrol Hisham yang memperingatkan, "Seorang penjenayah pun ada hak untuk dilindungi dalam perlembagaan. Hanya undang-undang yang boleh mengambil hak itu, termasuk hak nyawa. Hak nyawa (yang dirampas) dalam undang-undang ialah gantung sampai mati, kalau didapati salah. Tetapi apa yang berlaku di sini ialah polis bertindak sebagai hakim."

"Mereka (polis) memutuskan siapa hidup siapa mati," tambah beliau.

Institusi berperangai suka menyeksa

Ketika merumuskan kes keganasan negara, yang berlaku sama ada dalam bentuk pembunuhan di luar hukum atau kematian dalam tahanan, yang mana mangsanya merentasi kaum, Wong Chin Huat menuding jarinya ke arah "institusi yang berperangai suka menyeksa".

"Kalau arwah Aminulrasyid seorang berketurunan India, maka saudara Uthayakumar (pemimpin Hindraf, Setiausaha Agung Parti Hak Asasi Manusia) akan berkata ini adalah institutional racism, kerana 'polis suka tembak orang India'. Tetapi arwah Aminulrasyid bukan orang India, puan Norizan bukan orang India, polis tembak juga, kan?"

"Saya kira itu institutional sadism, perangai suka menyeksa yang sudah bersifat institutional," katanya. Malah, Wong Chin Huat (gambar kiri) menganggap masyarakat Malaysia sebenarnya bermasalah, kerana mempunyai budaya menerima keganasan - menolak hanya seksaan terhadap warga baik, tetapi membutakan diri apabila keganasan berlaku terhadap penjenayah.

Wong Chin Huat kemudiannya mengajak hadirin untuk mengkaji masalah institusi polis, "Masyarakat kita tak kurang orangnya, yang setiap kali institusi negara dikecam kerana melanggar hak asasi manusia, ada orang yang kata, ini adalah ancaman kepada institusi Melayu, kerana institusi polis itu adalah majoritinya Melayu. Institusi kerajaan itu Melayu dan sebagainya..."

"Saya rasa adalah penting bagi kita untuk melihat bahawa kalau kita ada satu institusi yang berperangai suka menyeksa, maka tak kira apa warna kulit kita, apa kepercayaan kita, kita mempunyai peluang yang sama untuk menjadi mangsa," simpulnya.

Siasatan bermula selepas setiap tembakan

Menurut Wong Chin Huat, mereka yang mati dalam tahanan polis atau penjara dari tahun 2002 hingga 2009, mencatat angka 1,704 orang. Malah, statistik juga menunjukkan United Kingdom yang mempunyai populasi hampir satu kali ganda lebih daripada Malaysia, mencatat angka dua orang ditembak mati, berbanding dengan Malaysia, 39 orang yang ditembak mati (menurut rekod NGO), pada tahun 2009. Lebih mengejutkan, tiada rekod tembakan polis yang menyebabkan kematian pada tahun 2007 dan 2008 di UK.

Keadaan ini berlaku kerana setiap tembakan yang dilepaskan oleh polis di UK, akan disusuli dengan penyiasatan secara automatik, tidak kira tembakan tersebut salah atau betul dari sisi undang-undang. Untuk Wong Chin Huat, kita memerlukan satu mekanisme pemantauan dalam institusi polis, misalnya IPCMC untuk memastikan agar arwah Aminulrasyid menjadi mangsa terakhir.

Pengasingan kuasa

Untuk Wong Chin Huat, kuasa tunggal ke atas institusi polis yang dipusatkan kepada kerajaan persekutuan adalah antara faktor yang menjurus kepada masalah institusi polis hari ini. Sambil mengakui masalah tekanan yang dihadapi polis, beliau menegaskan bahawa kritikan terhadap institusi polis tidak harus dilihat sebagai memusuhi polis secara individu.

Malah, Raja Badrol Hisham (gambar kiri) juga bersetuju dengan pandangan untuk membantu agar institusi polis diperbaiki, setelah berlakunya tragedi hitam sebegini. "Di negeri lain, mereka menggunakan kesilapan atau kesalahan untuk memperbaiki institusi tersebut. Tetapi di Malaysia, kesilapan satu-satu institusi itu cuba diselindungi."

Wong Chin Huat mengupas dari rangka politik, memperlihatkan bagaimana dengan pemusatan kuasa pada kerajaan persekutuan, institusi polis menjadi perkakas politik kepada kerajaan persekutuan. Gambarannya cukup jelas apabila tenaga polis dikerah untuk menjadi perisik (special branch), dan menghalang "perhimpunan haram". Sebaliknya, salah laku polis terus dilindungi kerajaan kerana berkhidmat untuk kepentingan politiknya.

Justeru itu, beliau menyarankan agar kuasa terhadap polis diasingkan (decentralized) antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Dengan kata lain, polis akan mempunyai dua "bos", satu di Putrajaya, dan satu lagi di ibu negeri masing-masing. Keadaaan ini akan menjurus kepada keadaan di mana kerajaan negeri perlu mengambil perhatian, seandainya kerajaan persekutuan enggan mengendahkan aduan rakyat terhadap polis.

- *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.