24 Mei 2010

Dah Dijangkakan : Mahkamah Tolak Permohonan Sivakumar

Mahkamah Tolak Permohonan Sivakumar Semak Keputusan 3 ADUN Lompat Parti

PUTRAJAYA 24 Mei - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Pakatan Rakyat, V Sivakumar untuk menyemak semula keputusan yang dibuat mahkamah tersebut sebelum ini yang membenarkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri yang keluar parti menjadi wakil Bebas mengekalkan kerusi masing-masing.

Keputusan panel tiga hakim juga mengesahkan bahawa speaker tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong.

Sivakumar ketika dihubungi Suara Keadilan berkata keputusan mahkamah hari ini mentafsirkan speaker tidak mempunyai kuasa di bawah Perkara 63 Undang-undang Tubuh Negeri Perak sebaliknya yang mempunyai kuasa adalah Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Perkara ini telah dirujuk oleh Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan yang telah menetapkan keputusan yang mempunyai kuasa membuat keputusan adalah SPR.

"Mahkamah Persekutuan juga dalam hujahnya berkata speaker tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," kata Sivakumar.

Menurutnya lagi, keputusan hari ini oleh tiga panel hakim itu juga menganggap mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lepas.

"Keputusan yang dibuat mahkamah itu juga tidak boleh ditarik balik," tambahnya lagi.

Pada 9 April tahun lepas, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mengisytiharkan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai anggota Dewan Undangan Negeri bagi ketiga-tiga kawasan.

Osman dan Jamaluddin, bekas anggota KEADILAN Perak dan Hee daripada DAP, meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional, sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Panel itu juga memutuskan bahawa SPR adalah badan yang berhak mengisytiharkan kekosongan sesebuah kerusi di Perak, dan bukannya speaker DUN Perak iaitu Sivakumar.

Mahkamah tersebut juga, pada 8 April tahun lepas, telah memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa mendengar kes ketiga-tiga wakil rakyat yang dirujuk secara langsung kepadanya dari Mahkamah Tinggi Ipoh mengikut Perkara 63 Perlembagaan Perak berhubung isu perlembagaan iaitu siapa yang berkuasamengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Perak.

Menerusi notis usul yang difailkan pada 19 April lepas, Sivakumar mendakwa beliau berhak, di bawah undang-undang, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 9 April yang terbatal kerana dibuat tanpa bidang kuasa.

Ketika mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu bidang kuasa, Sivakumar berkata mahkamah tersebut telah secara tidak selaras dengan perlembagaan atau kaedah-kaedah prosedur, menganggap ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Beliau mendakwa Mahkamah Persekutuan telah tersalah tafsir Perlembagaan Persekutuan apabila memutuskan bahawa undang-undang di bawah Perlembagaan Perak adalah undang-undang Persekutuan yang membolehkan bidang kuasa diberikan kepada Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 121(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Sivakumar juga berkata satu lagi kes di mana speaker lawan SPR akan diputuskan di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur, Khamis ini. -SK

Ulasan GB

Kan GB dah tulis dulu,

Ada beberapa kes terpilih yang mana Pakatan Rakyat atau mana-mana individu yang melawan institusi kerajaan akan PASTI ditewaskan apabila ianya sampai ke penal Mahkamah Persekutuan. Diantaranya kes Perak, kes liwat DSAI, kes melibatkan SPRM, kes melibatkan SPR, kes melibatkan PDRM.

Buka semula penghakiman kes-kes berkenaan Mahkamah Persekutuan, jika anda rasa GB tidak berkata benar.

Dan ingat juga kes correct, correct, correct. Si hakim bedebah yang membaca kertas penghakiman yang disediakan oleh peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan masih lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan.


MIC Tuggang Langgang, Samy Vellu Cantas 2 Anggota CWC

Datuk Seri S. Samy Vellu meneruskan tindakan mencantas penentangnya dengan memecat dua lagi pemimpin hari ini — kali ini membabitkan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipilih.

K.P. Samy dan G. Kumar Aamaan dikeluarkan surat pemecatan daripada Presiden MIC hari ini.

Dengan keputusan drastik itu, Samy Vellu yang menggunakan kuasa sebagai presiden untuk memecat mereka, empat orang telah dipecat dalam dua minggu ini.

Dua yang dipecat sebelum ini ialah Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan V. Subramaniam atau lebih dikenali sebagai Bharat Maniam dan Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan.

Mugilan dipecat Khamis lalu.

Samy Vellu memecat Samy dan Kumar ketika Bharat Maniam membuat rayuan berhubung pemecatannya hari ini.

Mugilan juga memutuskan untuk membuat rayuan hari ini.

Ketika dihubungi 6 petang tadi, Samy mengesahkan menerima surat pemecatan.

“Saya baru sahaja menerima surat... saya dipecat atas alasan membuat kenyataan meminta Datuk Seri Samy Vellu berundur segera,” kata Samy, ketua cawangan Shah Bandar, Selangor.

Samy (gambar) akan mengadakan sidang media tengah hari esok berhubung tindakan terbaru Samy Vellu ini.

“Saya memang telah menjangkakan tindakan ini. Tindakan Datuk Seri Samy Vellu kini membawa parti ke arah kehancuran, biar ahli membuat penilaian akan tindakan beliau,” kata Samy, antara beberapa pemimpin yang lantang bersuara dalam mesyuarat CWC.

“Saya sedih dengan tindakan Datuk Seri Samy Vellu ini... ini menunjukkan beliau bertindak seperti seorang diktator, tiada siapa yang boleh memberi pandangan dan bersuara,” kata Kumar.

Anggota CWC penggal pertama ini berkata, walaupun Samy Vellu mengendakan tindakan, “kami sudah mendapat tempat dalam hati rakyat.”

“Biar Tuhan mengadili Datuk Seri Samy Vellu dan biar Perdana Menteri ambil tindakan sewajarnya ke atas presiden MIC ini,” kata Kumar lagi sambil menambah, beliau telah menerima surat pemecatan kira-kira 7:15 petang ini.

Samy dan Kumar merupakan antara lima anggota CWC daripada kalangan bukan puak direstu Samy Vellu memenangi pemilihan CWC September lalu.

Samy Vellu mengambil tindakan ini dua hari selepas memberi amaran pada Konvensyen MIC Pahang di Genting Highlands bahawa beliau tahu “bagaimana hendak berurusan dengan budak-budak kecil” yang mula membuat kacau dalam parti.

Sehari selepas Samy Vellu mengumumkan pelan peralihan kuasa iaitu suku ketiga tahun depan, Mugilan membuat kenyataan terbuka meminta pemimpin veteran itu berundur segera ataupun selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Samy dan Kumar membuat kenyataan yang serupa Jumaat lalu. -TMI


Subra: Samy Vellu sudah pecat 100,000 ahli MIC

Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam, berkata beliau bersimpati dengan timbalan ketua Pemuda MIC Malaysia yang baru dipecat, V Mugilan tetapi menafikan mereka bekerjasama menubuhkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS).

subramaniam interview"Tuduhan ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC yang baru dilantik, S Vell Pari yang juga adalah anak Samy Vellu dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil hari ini bahawa kami bekerjasama menubuhkan GAS adalah berniat jahat," kata Subramaniam.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Kuil Sri Subramaniar di Serdang, dekat sini, hari ini, Subramaniam berkata, sejak berkecimpung dalam arena politik beliau tidak pernah "menikam orang dari belakang".

Katanya, beliau sedang berbincang dengan peguamnya kemungkinan menyaman Vell Pari.

Subramaniam yakin usaha Mugilan menubuhkan GAS mendesak Samy Vellu berundur akan mendapat sokongan kuat daripada akar umbi MIC di seluruh negara.

subramaniam samy vellu and mic"Bukan saja pimpinan MIC peringkat bawahan yang mahu Samy Vellu berundur malahan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir dua tahun lalu pernah menasihat Presiden MIC itu berundur," katanya.

Subramaniam mendakwa, Samy Vellu telah memecat kira-kira 100,000 ahli parti selama lebih 30 tahun beliau menjadi presiden.

"Lagi cepat pertukaran kuasa berlaku lagi baik untuk MIC," katanya. -mk

Ibu minta suruhanjaya ditubuhkan siasat kematian anak

Seorang ibu hari ini meminta satu suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi menyiasat kematian anaknya akibat ditembak polis selepas dipercayai terlibat dengan jenayah ragut, 20 Okt tahun lepas.

Sapiah Elah, 52, dari Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, berkata pihak berkuasa masih tidak memberikan penjelasan dan siasatan terperinci mengenai kematian anak lelakinya, Mohd Afham Arin, 18, walaupun kejadian terbabit sudah berlaku tujuh bulan lepas.

“Saya tidak berpuas hati kerana polis juga cuba menipu saya dengan mengatakan anak saya masih hidup apabila saya tiba di Balai Polis Seri Alam sedangkan dia sudah meninggal dunia akibat ditembak polis pada awal pagi, 20 Okt itu.

“Saya juga amat kesal kerana terpaksa menunggu lama untuk berjumpa Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor dan menuntut jenazah anak saya di Hospital Sultanah Aminah,” katanya kepada pemberita pada satu pertemuan yang diaturkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Johor, di sini, hari ini.

Sapiah mendakwa Mohd Afham, yang menunggang motosikal bersama pembonceng, Mohd Firdaus Marsani, 19, seorang anak yang baik dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Sehubungan itu, dia meminta Kementerian Dalam Negeri memandang serius kejadian terbabit dan mengharapkan suruhanjaya yang ditubuhkan itu dapat membersihkan nama Mohd Afham yang didakwa polis sebagai terlibat dengan 25 kes samun.

Sementara itu, Mohd Firdaus yang menuntut keadilan, turut menyangkal dakwaan polis yang mengatakan dia melibas pihak berkuasa dengan parang lalu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Menceritakan kejadian tembakan itu, Mohd Firdaus berkata, dia bersama Mohd Afham dikejar tiga lelaki menaiki motosikal di kawasan Taman Johor Jaya selepas selesai menikmati makan malam.

Katanya disebabkan rasa takut kerana ketiga-tiga lelaki tersebut hanya berpakaian biasa dan tidak menunjukkan kad kuasa, Mohd Afham terus memecut motosikalnya menghala ke Pasir Gudang sambil dikejar ketiga-tiga lelaki terbabit.

“Apabila tiba di satu selekoh berhampiran jambatan menuju ke Seri Alam, saya terdengar satu das tembakan dari arah belakang sebelum disusuli dua lagi tembakan lain yang menyebabkan motosikal yang kami naiki terjatuh,” katanya yang berpeluang melarikan diri selepas terjatuh di dalam semak.

Mohd Firdaus menegaskan, dakwaan mengatakan dia melibaskan parang adalah tidak benar sebaliknya kematian Mohd Afham yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Ledang dan sedang menjalani latihan amali di Larkin, di sini, adalah disebabkan kecuaian polis dalam menjalankan tindakan.

Katanya dia sudah memberikan keterangan kepada polis mengenai kejadian itu pada Januari lepas, namun, sehingga kini masih tidak menerima sebarang maklumbalas dari pihak berkuasa. — Bernama

Majlis Peguam Bantah SPRM Siasat Saksi Tanpa Batas Waktu

Majlis Peguam Malaysia membidas keputusan Mahkamah Persekutuan memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat saksi di luar waktu pejabat.

Presiden Ragunath Kesavan berkata keputusan Mahkamah Persekutuan ini akan menghakis hak asasi para saksi kerana SPRM diberi ruang mutlak untuk menekan saksi semasa soal-siasat.

Majlis Peguam berpendapat agensi penguatkuasa tidak boleh diberi kuasa untuk menyoal siasat saksi mahupun suspek tanpa batas kerana ia cenderung untuk disalahgunakan.

Ragunath berkata kuasa siasatan harus dibatasi kedaulatan undang-undang dan tidak mengugat hak asasi mana-mana saksi atau suspek.

"Saksi yang membantu agensi penguatkuasaan undang-undang perlu diberi perlindungan dan hak sepertimana yang diberikan pada individu tertuduh, yang ditetapkan Peraturan 20 dari Peraturan Lokap 1953," tegas Ragunath.

"Saksi akan tergerak untuk membantu siasatan (jika hak mereka dijamin) kerana mereka tidak mempunyai sebab untuk takut kepada proses soal-siasat atau bimbang ditahan untuk tempoh waktu yang melampau," tambah beliau.

Majlis Peguam mengalu-alukan ketetapan baru SPRM yang menetapkan pegawai penyiasat perlu menjustifikasikan alasan untuk menahan dan menyoal-siasat saksi selepas waktu pejabat.

"Kita mengulangi pendirian bahawa saksi boleh disiasat di luar waktu pejabat hanya dengan persetujuan saksi terbabit, selain menghadiri sesi tersebut ditemani peguam. Keputusan Mahkamah bagaimanapun memberi kuasa kepada SPRM untuk memaksa saksi disiasat untuk tempoh siasatan yang panjang," katanya.

Ragunath menyeru kerajaan untuk mengambil inisiatif melindungi hak saksi, dan memupuk ketelusan dan ketanggungjawaban dalam siasatan SPRM.

Hapuskan Lesen Judi, Bukan Kaji

Kerajaan perlu menghapuskan terus lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan, bukan sekadar mengkaji sahaja.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Ezli Mashut berkata, lesen judi itu perlu dihapuskan kerana mendapat bantahan bantahan keras dan meluas rakyat daripada pelbagai agama dan bangsa di seluruh negara.

“Kita menggesa agar kelulusan kebenaran lesen judi Piala Dunia 2010 dibatalkan, bukan dikaji. Sepatutnya kerajaan lebih faham dan maklum bahawa perjudian jelas bertentangan dengan syariat Islam serta ianya bukan budaya masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Berjaya Group.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu kerajaan menarik balik kelulusan itu yang dikhuatiri mengundang gejala negatif dalam kalangan masyarakat.

Mohd Azli berkata, kerajaan tidak perlu menunggu bantahan meluas rakyat pelbagai agama dan bangsa kerana tugas dan tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat hidup dalam suasana berteraskan syariah dan menepati budaya murni pelbagai agama dan bangsa.

Katanya, AMK Selangor bimbang dan khuatir jika judi pertaruhan bola sepak tidak hapuskan, masyarakat akan terdedah kepada kes-kes jenayah,budaya jijik dan konflik keluarga.

“AMK Selangor melihat situasi perkembangan mutakhir ini seolah-olah kerajaan UMNO/BN semakin tidak prihatin untuk membina negara dan rakyat yang mempunyai keperibadian mulia dan unggul.

“Jika prasyarat untuk membina negara hebat ini ditolak, negara sedang menuju ke arah sebuah masyarakat yang porak peranda,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu bangkit menyatakan penegasan bahawa kerajaan perlu diletakkan dalam landasan yang tepat dan sebenar malah perlu mengorak perjuangan bersama agar harapan baru untuk selamatkan Malaysia menjadi realiti. -SH


Kerajaan teliti lesen judi Piala Dunia

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan meneliti reaksi masyarakat berhubung pemberian semula lesen menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan kepada Berjaya Group baru-baru ini.

Menurut Mingguan Malaysia, hari ini, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, walaupun beliau belum dimaklumkan mengenai reaksi masyarakat berhubung perkara itu secara umumnya, kerajaan memberi jaminan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua termasuk dari kalangan Islam dan bukan Islam.

''Secara jujurnya saya belum lagi dimaklumkan mengenai situasi tersebut tetapi kita (kerajaan) memang mengambil kira reaksi orang awam, Islam dan bukan Islam.

“Saya percaya kerajaan akan mengambil kira perkara itu (reaksi masyarakat tentang kelulusan lesen judi,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.

Muhyiddin menjawab soalan pemberita tentang bantahan masyarakat terhadap langkah kerajaan itu seperti laporan sebuah akhbar berbahasa Cina pada 11 Mei lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang tampil menjelaskan mengenai perkara itu memberitahu, lesen tersebut bukan lesen baru yang dikeluarkan kerajaan tetapi diberi semula kepada Berjaya.

Selain itu, Chee Heung berkata, penganjur turut diletakkan syarat supaya tidak mengambil pekerja dan menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan yang beragama Islam.

Kelulusan itu ditentang oleh beberapa tokoh sukan tempatan seperti bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Abdul Ghani Minhat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh melalui laporan Bernama baru-baru ini.

Selain itu, pakatan pembangkang pula mengecam langkah tersebut dengan Pas bertindak menganjurkan siri demonstrasi bantahan perkara tersebut di beberapa negeri Jumaat lalu.

20 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga membisu berhubung keputusan kerajaan memberikan lesen judi sukan supaya pertaruhan dapat dibuat menjelang kejohanan bolasepak Piala Dunia yang bermula Jun ini.

"Kita tidak akan membincangkannya," kata Najib apabila diajukan soalan berkenaan oleh wartawan. -mk


Manikumar : Tidak Wajar Untuk Saya Lompat Parti

Ahli Exco Negeri Kedah, S Manikumar Manikumar menyeru rakyat supaya menolak propaganda Umno-Barisan Nasional yang menyebarkan fitnah bahawa kerajaan negeri goyah disebabkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri akan keluar parti sambil menyatakan keyakinan penuh dan taat setia beliau kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Manikumar yang juga ADUN Bukit Selambau berkata musuh ingin melihat Pakatan Rakyat tumbang di Kedah yang dilihat sebagai sebuah parti pemerintah yang kuat sekarang ini namun beliau akan tetap bersama dengan KEADILAN dalam apa juga situasi dan kondisi.

"Saya mendapat tempat untuk menjadi wakil rakyat adalah atas kepercayaan kepimpinan parti kepada saya. Oleh kerana itu adalah tidak wajar bagi saya untuk meninggalkan parti yang telah memberi satu penghormatan dan tanggungjawab untuk saya laksanakan bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

"Justeru itu desas-desus dan dakwaan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab seperti mana yang dilaung-laungkan sebelum ini bahawa terdapat ADUN Pakatan Rakyat akan melompat parti adalah satu dakyah jahat yang sengaja Umno-BN rekacipta semata-mata untuk melihat kita dalam Pakatan Rakyat berada dalam keadaan yang goncang dan goyang.

"Oleh kerana itu jugalah maka saya dengan ini suka menyatakan pendirian saya bahawa KEADILAN adalah tetap menjadi parti untuk saya memberi khidmat dan sumbangan kepada rakyat yang telah memilih saya dalam pilihan raya kecil yang lalu sehinggalah kepada pilihan raya umum yang akan datang," kata Manikumar semasa beucap di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar Sabtu lalu. -SK

Judi : UMNO Dan Perkasa Dicabar Umum Pendirian

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San mencabar ahlli-ahli Umno dan PERKASA untuk mengumumkan pendirian mereka sama ada mereka menyokong tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memberi lesen judi bola kepada syarikat Ascot Sports Sdn. Bhd. yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan.

Menurut Lau Weng San, ketika pilihanraya kecil kerusi parlimen Hulu Selangor, BN dan Umno mengkritik calon Pakatan Rakyat(PR), Datuk Zaid Ibrahim sebagai kaki botol dan judi. Walaupun dalam isu arak beliau telah bertaubat dan beliau turut menafikan bahawa berliau terlibat dalam perjudian, Umno tidak habis-habisan mengkritik beliau.

"Jika Umno betul-betul memperjuangkan Islam, maka saya mencabar mereka untuk berdiri dan membantah keputusan kerajaan BN yang membenarkan pemberian lesen judi bola kepada syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Vincent Tan ini.

"Saya juga melemparkan tuduhan yang sama kepada pertubuhan PERKASA yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya berbuat demikian," tegas beliau.

Beliau berkata, Jika ia tidak dilakukan, ini sekali lagi membongkarkan sikap hipokrit Umno dan BN, mereka hanya menggunakan isu ini untuk kepentingan politik sewaktu adanya pilihanraya kecil tetapi apabila kerajaan yang diketuai mereka sendiri melakukan yang sama, mereka terus membisu.

Sehingga sekarang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih membisu dalam isu ini seolah-olah ingin membiarkan isu ini berlalu begitu sahaja.

"Sebenarnya, hasrat kerajaan BN membenarkan pemberian lesen judi bola ini adalah amat jelas sekali, iaitu mereka ingin mengutip cukai eksais yang lumayan daripada aktiviti judi bola ini dengan alasan kononnya pemberian lesen judi bola yang sah akan dapat mengawal dan mengurangan aktiviti judi bola haram," kata beliau. -erapakatan


Ridhuan Tee Bidas Lesen Judi, Gesa BN Pertimbang Semula

Suara bantahan kepada isu kelulusan lesen judi bolasepak semakin kuat.

Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menggesa kerajaan Barisan Nasional supaya mempertimbangkan semula rancangan meluluskan lesen judi kerana ia mengundang mudarat kepada masyarakat Islam.

Beliau berkata pandangan Islam berhubung soal judi sudah jelas lagi nyata lantas soal menghalalkan skim judi Piala Dunia 2010 seharusnya tidak berbangkit sama-sekali.

"Saya ingin menyarankan kepada pihak berkuasa supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu dasar. Ya, dari satu segi kerajaan mahu mengelakkan judi haram, namun kita perlu timbangkan mudarat yang lebih besar," tegas beliau.

Dr Ridhuan berkata statistik dan liputan media menunjukkan masalah umat Islam yang terlibat dalam gejala sosial amat menakutkan. Pertambahan pusat judi halal akan hanya menjadikan situasi masyarakat Islam semakin parah.

"Walaupun kita katakan ia untuk orang bukan Islam, tetapi tidakkah kita membuat kajian bahawa betapa ramai umat Islam yang membeli nombor ekor hari ini walaupun tertulis dengan jelas, umat Islam dilarang masuk di premis tersebut, begitu juga perjudian mereka ke Genting Highland." -TVS