24 Jul 2010

Isu Hassan Ali Bertemu Harussani : Tak Tumbuh Tak Melata, Tak Sungguh Orang Tak Kata

PAS Selangor nafi bincang kerjasama perpaduan Melayu dengan Umno

PAS Selangor menegaskan ia tidak menjalin kerjasama perpaduan Melayu dengan Umno walaupun ada pihak mendakwa ketuanya Datuk Dr Hasan Ali telah mengadakan pertemuan dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria Mei lalu.

Sehubungan itu, Ketua Penerangannya Roslan Shahir (gambar) berkata beliau hairan bagaimana permainan politik Umno boleh menjerat dan memerangkap sebahagian pemimpin PAS sehingga akhirnya terdorong untuk menembak sesama sendiri sedangkan musuh gegak-gempita gembira tanpa sebutir pun peluru mereka terlepas.

“Telahan dan mainan pihak tertentu menjadi modal untuk membunuh sesama sahabat. Ini membuat kita berfikir Umno sahajakah yang beragenda atau sesama kita pun ada agenda cantas-mencantas?” kata beliau dalam tulisan blognya.

Katanya, PAS bersedia menjadi galang-ganti kepada Umno jika ia ditolak oleh orang Melayu di Selangor.

“Terbaru Ahad lepas saya ke Tanjong Karang, membentangkan kertas kerja, bagaimana kita berharap saki-baki 12 kerusi Umno termasuklah Sg. Burong yang ditandingi PAS dapat ditawan,” katanya.

Malah kata beliau pihaknya telah mengadakan mesyuarat dwimingguan Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor di mana pelbagai isu strategik dibincangkan.

“Mesyuarat dipengerusikan oleh (Menteri Besar) Tan Sri Khalid dan berjalan mesra dan lancar.

“Tiada pun isu “perpaduan Melayu”, “kerjasama Umno-PAS”, “Harusaani” dibincangkan kerana saya yakin kawan-kawan semua tidak langsung terpesona dengan agenda lapok Umno. Buang masa saja,” kata Roslan lagi.

Ekoran pendedahan Harussani bahawa ada pemimpin Umno-PAS menemui agar menjadi orang tengah, muncul cakap-cakap bahawa pemimpin PAS yang menemuinya ialah Hasan iaitu Pesuruhjaya PAS dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Hasan kembali dari luar negara malam tadi.

Katanya, “cukup-cukuplah kita bersengketa sesama sendiri dan PAS Selangor tidak berminat kerjasama dengan Umno,”

“Malah kalau benar pun mahu kerjasama boleh masuk logik akal mereka yang celik politkkah? PAS ini satu organisasi besar bukan milik PAS Selangor, macam mana kalau benar mahu kerjasama PAS Selangor sahaja yang kerjasama... kematangan perlu mengatasi diri, jika tidak orang hilang hormat pada kita walaupun kita bergelar yang berhormat.

“Sekarang isu yang perlu ditanya adalah sumbangan kita ke arah memantapkan jemaah. Sumbangan kita ke arah memperkasakan Pakatan Rakyat. Sebuah akhbar Mandarin hari ini melaporkan DAP dan PAS Selangor mendahului parti-partilain termasuklah Umno dalam gerakan mendaftarkan pengundi baru.

“Biarlah kerja pecah-belah ini dimainkan oleh Umno. Parti Islam tidak pernah mentarbiyahkan ahlinya untuk jadi begitu,” katanya lagi.

Mengenai dakwaan Hasan telah menemui Harussani, Roslan berkata: “Apa pun saya tiada jawapannya. Orang yang didakwa itu berada di luar negara, insy-Allah pulang malam ini.”

“Dan, biarlah beliau menjelaskan, beliau bukan orang baru dalam politik. Saya yakin ramai sudah tahu jawabannya,” katanya.

Ulasan GB

GB tak mahu ulas panjang bab ini lagi. Sekalipun banyak perkara yang belum terjawab.

Cuma ada yang masih bermain di kepala kebanyakan ahli-ahli PAS, bagaimana isu ini timbul jika tidak ada angin yang bertiup. Ia didedahkan oleh Mufti Perak itu sendiri dan sekalipun tidak dipastikan samada yang bertemu itu Hassan Ali atau pun bukan, yang nyata tiada penafian dari batang tubuh orang yang dispekulasikan. Orang lain pula yang menjawabnya. Dan isu ini bukan dari UMNO tapi dari perbuatan pemimpin PAS negeri Selangor sendiri.

Mungkin Roslan SMS terpaksa membela bosnya, kerana jawatan Ketua Penerangan PAS adalah lantikan Pesuruhjaya PAS Negeri.

Ingat, siapa yang mula-mula memecah-belahkan PAS selama ini JIKA bukan dari mereka yang mempelupori gagasan UG? Siapa yang mula-mula menikam rakan jika bukan PJ Selangor sendiri yang memecat Khalid Samad dan Shaari Sungip dari Dewan Harian PAS Selangor? Siapa yang menggantung jawatan YDP Shah Alam dari jawatannya jika bukan dari Pengerusi Disiplin parti yang amat dikenali sebagai seorang pembawa fikrah UG?

Benar Parti Islam tidak pernah mentarbiyahkan ahlinya untuk berpecah-belah tetapi siapa yang sebenarnya yang memecah-belahkan parti selama ini jika bukan kamu puak-puak UG?

Persoalan siapa yang mencemarkan maruah parti dengan menerima sponsorship dari SYABAS - sebuah syarikat yang UMNO mempunyai kepentingannya - di dalam Muktamar ke 55 di Shah Alam tahun lepas masih berlum terjawab. Itu belum dibongkar habis-habisan dan Ketua Penerangan PAS Selangor yang terlibat masih membisu. Ingat, selama ini semiskin-miskin PAS, kita bermuktamar 100% wang dari keringat dan airmata ahli PAS sendiri, bukan dari wang UMNO! Tetapi PAS Selangor mencemarinya dan memalukan ahliu PAS dengan menggantung banner SYABAS di sepanjang muktamar berlansung untuk memalukan Menteri Besar Selangor dan PKR yang menjadi rakan utama PAS di dalam Pakatan Rakyat yang pada ketika itu dan ini sedang berjuang habis-habisan dengan SYABAS. Bebal sangatkah untuk PAS Selangor memikirkannya?

Roslan bertanya: “Sekarang isu yang perlu ditanya adalah sumbangan kita ke arah memantapkan jemaah. Sumbangan kita ke arah memperkasakan Pakatan Rakyat?

Anda ingat anda seorang sajakah yang memberi sumban? Kami tahu anda telah kaya raya, tidak seperti dulu-dulu.

Tetapi kami para blogger yang miskin-miskin, insyaAllah, lebih ke depan dan istiqamah di dalam memberikan sumbangan ke arah memantapkan jemaah selama ini. Tanpa blogger, persoalan UG tidak terbongkar dan mungkin PAS telah lama hanyut bersama UMNO. Kami blogger lebih ke depan dan istiqamah di dalam memperkasakan Pakatan Rakyat dengan tidak pernah mengkhianati PR, tidak seperti mereka yang dikaitkan dengan UG, pepat di luar rencong di dalam!


Kredibiliti Saksi Utama Kes Liwat 2 Perlu Dicabar

Watak Warak Saiful Akhirnya Terbongkar Hipokrit Jalin Hubungan Sulit Dengan Pendakwaraya

Dakwaan saksi utama kes Fitnah II, Mohd Saiful Bukhari Azlan terlibat dalam hubungan 'romantik'dengan salah seorang anggota pasukan pendakwa menyerlahkan perwatakan dan peribadi sebenar bekas pembantu Ketua Pembangkang tersebut yang menonjolkan imej baik dan warak sepanjang perbicaraan.

Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin, sikap hipokrit Saiful itu menguatkan lagi teori bahawa beliau sememangnya terlibat dengan konspirasi untuk menyumbat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara Sungai Buloh bagi mematikan perjuangan Pakatan Rakyat.

"Sebelum ini, kesungguhan pihak pendakwaan dan media memberikan gambaran bahawa Saiful seorang yang kuat sembahyang sehingga 'dahinya hitam' nampaknya tidak benar sekali.

"Dakwaan ini sebenar menunjukkan watak sebenar Saiful yang sebelum ini dikatakan individu yang baik nampaknya menyimpang jauh.

"Selepas ini rakyat akan lebih percaya bahawa tuduhan itu hanya untuk menamatkan karier politik Anwar sekaligus untuk menghancurkan Pakatan Rakyat," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin semalam mendakwa seorang timbalan pendakwa raya wanita, yang merupakan anggota junior dalam pasukan pendakwaraya, sedang menjalin hubungan sulit dengan Saiful, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa sebarang keputusan sama ada anggota itu akan kekal dalam pasukannya akan diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

Sementara itu, Mohd Yusof enggan mengulas sama ada sama ada anggota wanita itu akan digugurkan daripada pasukannya atau tidak.

Beliau kemudiannya menafikan dakwaan tersebut dengan alasan tidak tahu menahu berhubung tuduhan itu.

Walau bagaimanapun katanya lagi, beliau akan berbincang dengan pasukannya itu pada 2 Ogos ini sama ada anggota wanita itu akan dikekalkan bersama pasukannya itu.

Pasukan pendakwaan terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina Latif.

Tambahnya, anggota itu hanya dibawa untuk membantu pasukannya bagi menguruskan data dan mengambil nota prosiding kerana seorang pendakwa raya telah meninggalkan pasukan itu.

Pada 19 Julai lalu perbicaraan kes Fitnah II ditangguhkan sehingga 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ulasan GB

Kredibiliti kesaksian kes liwat tersebut perlu dicabar. Keterangan Saiful Bukhari sebelum ini di dalam mahkamah sepatutnya tidak diterima kerana ternyata beliau tidak mempunyai kredibiliti dan tidak memenuhi syarat untuk menjadi saksi.

SYABAS Naikkan Harga Air Untuk Bayar Gaji Pengerusinya 1/2 Juta Sebulan

Gaji Pengerusi Syabas RM425,000 Sebulan, Mutu Bekalan Air Selangor Corot

Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahron membidas ketidak cekapan dan ketelusan pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan sikap kerajaan pusat yang sengaja melengah-lengahkan penstrukturan semula syarikat pengurusan air di Selangor sebagai punca sebenar disebalik isu bekalan air.

Dr Badrulamin membandingkan pengurusan bekalan yang tidak cekap yang tidak setimpal dengan gaji amat tinggi yang dinikmati oleh pengerusi eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail (gambar).

"Penaikan harga air juga akan meningkat kerana pengurusan Syabas yang tidak telus, antaranya gaji tahunan pengerusi Syabas mencecah RM5.1 juta setahun, RM425,000 sebulan, Puncak Niaga gagal menaiktaraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air, pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi dan penswastaan industri air yang hanya menguntungkan kroni-kroni pimpinan politik," tegas beliau dalam satu kenyataan media semalam.

Justeru itu Dr Badrulamin yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat mengesa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Sri Peter Chin Fah Kui berhenti daripada mengelirukan rakyat dengan menimbulkan isu krisis air di Selangor.

"Masalah yang bakal didepani rakyat Selangor bukan krisis kekurangan air, tetapi kadar air meningkat disebabkan keengganan kerajaan Pusat menyerahkan pengurusan industri air Selangor kepada kerajaan negeri, sebaliknya meneruskan agenda penswastaan air.

"Dakwaan Selangor menghadapi krisis bekalan air bertujuan memberi alasan untuk menaikkan kadar air adalah satu yang tidak benar dan melihat kepada hujah Peter Chin yang mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah yang tidak bertanggungjawab.

"Pandangan Menteri tersebut jelas sekadar bertujuan untuk mengalihkan tumpuan terhadap isu pengambilalihan pengurusan industri air di Selangor, bukannya melihat pada pokok pangkal masalah sebenar yang berpunca daripada Kerajaan Pusat. Sekiranya kerajaan pusat Barisan Nasional terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor," jelas beliau lagi.

Beliau juga menambah kadar air akan meningkat disebabkan pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang berkos RM8 bilion, sementara kerajaan negeri dapat melaksanakan projek tersebut pada kos RM2 bilion.

"Air, tanah, sumber mineral merupakan milikan negeri Selangor, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menjaga hak rakyat Selangor.

Antara usaha kerajaan negeri untuk menghalang Syabas yang bertindak sebagai alat kerajaan pusat bagi merampas hak rakyat Selangor ialah mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu.

"Rakyat lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Khalid Ibrahim, kerajaan negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan bekesan," sambungnya lagi.

Dr Badrulamin juga menyeru agar Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional mengaku air sebagai hak asasi manusia dan tidak diperalatkan untuk keuntungan kroni atau kepentingan politik.

Beliau juga rayu kepada seluruh rakyat Selangor bertegas memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri dalam usaha mengambilalih industri air di Selangor dan membantah penswastaan air di Selangor.

Dalam kenyataan yang lain Dr Badrulamin menghargai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup siasatan kes terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membabitkan jamuan Aidilfitri rumah terbuka Menteri Besar Selangor di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 2008.

"Alasan SPRM bahawa tiada bukti dan saksi setelah menjalankan siasatan selama dua tahun membuktikan tindakan awal mendakwa Menteri Besar Selangor adalah tidak berasas dan bermotif politik untuk memburukkan imej Menteri Besar Selangor. Walau bagaimanapun, SPRM seharusnya menjalankan tugas secara professional dan tidak memilih bulu dalam kes penyelewengan dan rasuah yang membabitkan pimpinan tertinggi kerajaan.

"SPRM wajar menjalankan siasatan dan dakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo dan pimpinan Barisan Nasional lain yang jelas terbabit dalam kes rasuah, agar dapat memulihkan keyakinan orang awam terhadap SPRM," ulasnya.