26 Ogo 2010

BTN Jadi Alat Semarakkan Semangat Perkauman

BTN Punca Kakitangan Kerajaan Menjadi Ektremis Kaum

Biro Tatanegara (BTN), sebuah unit propaganda Umno-Barisan Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri dipersalahkan atas kewujudan sikap perkauman dikalangan kakitangan kerajaan yang diloihat semakin menjadi dewasa ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa kem latihan BTN yang diwajibkan ke atas semua kakitangan kerajaan dan juga golongan pelajar pada asasnya mengajar dan memupuk nilai ekstremis 'Ketuanan Melayu' dan mengutuk kaum lain sebagai satu kaedah lapuk Umno-BN mengekalkan undi Melayu.

Kata beliau atas sifat modul kursus yang dijalankan BTN yang menjurus kepada pengajaran ekstremisme kaum menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor mengambil langkah drastik menghentikan penghantaran pegawai dan kakitangan awam kerajaan negeri menghadiri mana-mana kursus yang dianjurkan agensi itu.

Khalid juga merujuk kepada kejadian seorang pengetua di sebuah sekolah menengah di Kulai, Johor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pelajar Cina dan India baru-baru ini.

"Walaupun setelah lebih 50 tahun Merdeka, bagaimana pula seorang guru yang bekerja untuk kerajaan Umno-BN boleh berkata sebegitu? Ini jelas menunjukkan sistem pengajaran guru itu sendiri salah pada dasarnya," kata Khalid ketika menjawab soalan peserta pada 'Ramadhan Forum' yang dianjurkan oleh majalah Leaders di sebuah hotel di sini semlam.

Khalid berkata melalui dasar 'Ketuanan Melayu' kerajaan Umno-BN menakut-nakutkan orang Melayu dengan propaganda kemungkinan perkelahian antara kaum akan tercetus jika mereka tidak terus menyokong Umno-BN.

"Apabila sebahagian rakyat menjadi takut untuk mengundi pembangkang manakala sebahagian lagi menjadi ekstremis Melayu, maka tujuan Umno-BN dan dasarnya telah tercapai iaitu meraih undi dengan apa cara sekalipun," jelas beliau.

Beliau menganggap kejadian di mana dua pengetua masing-masing di Kulai dan Bukit Selambau mencemuh pelajar Cina dan India dilihat sebagai sebahagian daripada rencana teliti yang telah lama dirancang oleh Umno-BN.

Khalid berkata tindakan membangkitkan isu perkauman adalah senjata terahkir Umno-BN apabila sedar majoriti rakyat sudah tidak lagi yakin terhadap kepimpinan mereka.

"Rakyat bukan macam dahulu, mereka boleh lihat sendiri dan sedar pembangunan yang di bawa oleh kerajaan Umno-BN selama lebih 50 tahun ini hanyalah satu gimik untuk meraih undi dan satu kaedah memberikan projek pembangunan kepada kroni-kroni Umno-BN," tegas beliau lagi. -SK

Jamil Khir Senang-senang Tuduh Orang Berdosa

Jamil Khir anggap Nurul Izzah berdosa burukkan negara

Mereka yang memburukkan negara sendiri dengan niat menimbulkan kekacauan disanggap berdosa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Kita kena sayangkan dan cintakan negara kita dan perlu bersedia dalam mempertahankan negara kerana ia merupakan satu jihad dan sudah pasti ganjarannya untuk orang yang berjihad ini juga besar.

“Maka, kalau besar ganjarannya, besarlah juga kesalahannya apabila seseorang itu memburukkan negaranya sendiri, maruah negara, di tempat orang dengan harapan negara akan jadi huru hara,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada pesakit di hospital-hospital di Wilayah Persekutuan hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan bahawa Anggota Parlimen Lembah Pantai daripada Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar, yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan imej dan maruah negara dalam satu temubual dengan sebuah akhbar Indonesia baru-baru ini.

Dalam temubual itu Nurul Izzah didakwa telah menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai dasar baru ekonomi serta memperkecilkan keupayaan kapal selam negara ini.

Terdahulu, Jamil Khir menyampaikan sumbangan Aidilfitri daripada MAIWP berjumlah RM1.4 juta kepada Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Putrajaya, dan sumbangan RM20,000 kepada Hospital Nukleus di Labuan.

Katanya sumbangan itu selain bagi membantu pihak hospital membeli peralatan perubatan juga diagihkan kepada tabung kebajikan perubatan hospital bagi membantu pesakit yang kurang berkemampuan menyambut Aidilfitri. Tahun ini MAIWP membelanjakan RM1.32 juta mbagi membantu 519 orang daripada golongan asnaf yang menghidapi penyakit kronik. — Bernama

Ulasan GB

Mereka yang berpengetahuan agama kemudian mempertahankan kerajaan yang zalim lebih besar dosanya.

Sewaktu kerajaan pada awalnya meluluskan judi, Jamil Khir membisu seribu bahasa - dek kerana jawatan dan pangkat beliau lansung tidak bersuara untuk menentang apa yang telah dilakukan oleh Najib.

Bagi kita, apa yang dilakukan oleh YB Nurul Izzah iaitu mendedahkan kepincangan negara sendiri di luarnegara adalah wajar apabila ruang untuk melakukannya di dalam negara disekat sedemikian rupa sehingga ISA dijadikan senjata pihak berkuasa untuk menahan sesiapa saja tanpa bicara terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan mereka.

Apa yang dilakukan oleh Nurul Izzah adalah besar pahalanya apabila ia disertai dengan niat untuk menumbangkan kerajaan UMNO BN yang zalim dari persada pemerintahan negara dan juga untuk menghumbankan keluar menteri-menteri yang menjadikan diri mereka kuda dan lembu tunggangan PM selama ini seperti Jamil Khir ini.

Nong Chik, Kamu Wakil Rakyat Mana?

Raja Nong Chik: Sultan Selangor sokong pembangunan Kg Baru

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyokong dan bersetuju dengan keputusan kerajaan membangunkan Kampung Baru, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Bagaimanapun, baginda menitahkan supaya Masjid Jamek Kampung Baru dan Kelab Sultan Sulaiman yang menjadi mercu tanda di kawasan itu, mesti dikekalkan.

“Baginda mengalu-alukan pembangunan Kampung Baru. Yang penting baginda bertitah jangan lupa sejarah yang ada di Kampung Baru.

“Dua mercu tanda ini, baginda minta jangan diubah, boleh diubahsuai, tetapi jangan dipindahkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan Hari Raya kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal kawasan Lembah Pantai hari ini.

Raja Nong Chik yang mengadap Sultan Selangor semalam, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan itu.

Beliau berkata Sultan Selangor juga mengingatkan supaya ciri-ciri dan kepentingan orang Melayu dipertahankan, seiring pengkomersialan tanah di Kampung Baru agar setimpal dengan harga pasaran pada ketika ini.

“Ini supaya pemilik dan pewaris tidak terlalu jauh mereka punya harga dengan harga pasaran. Jadi, kita perlu mencari satu model yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telahpun berbincang mengenai model yang sesuai dan akan diserahkan kepada pemilik serta pewaris untuk dipilih.

Terdahulu, Raja Nong Chik menyampaikan sumbangan kepada 100 anak yatim dan ibu tunggal dari Pusat Asuhan Hajah Kamariah Kampung Medan. — Bernama

Ulasan GB

Hanya satu soalan: Raja Nong Chik ni wakil rakyat parlimen atau DUN yang mana?

Dasar muka tak tahu malu. Dilantik sebagai menteri dengan tiket senator lantikan Najib, mau bising satu Malaysia untuk bangunkan Kg. Baru. Bangunkan dirimu sendiri terlebih dahulu, bertanding sebagai anak jantan di Wilayah Persekutuan.

Keputusan Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Cetuskan Kontroversi Rakyat

Video Lingam: Keputusan Mahkamah Rayuan Bakal Cetus Implikasi Buruk

Gambar: Datuk Tengku Baharudin Shah dan Datuk Zaharah Ibrahim

Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan peguam Datuk VK Lingam dan dua bekas Ketua Hakim Negara untuk membuat semakan kehakiman atas hasil siasatan Suruhanjaya DiRaja mengenai skandal klip video Lingam akan menyebabkan implikasi buruk terhadap badan kehakiman pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menjelaskan bahawa kebenaran mahkamah kepada Lingam, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin akan menimbulkan preceden negatif di mana mahkamah mempunyai ruang dan boleh mencelah terhadap keputusan mana-mana Suruhanjaya DiRaja sama ada yang ditubuhkan sebelum ini atau yang akan ditubuhkan pada masa akan datang.

"Ia adalah satu keputusan yang luar biasa, kerana penemuan daripada siasatan Suruhanjaya DiRaja adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. Suruhanjaya DiRaja bukanlah sebuah mahkamah tetapi adalah sebuah badan penyiasatan. Keputusan ini boleh dianggap sebagai mencipta undang-undang yang baru," kata beliau kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.

Keputusan membenarkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan semalam dibuat oleh Datuk Tengku Baharudin Shah yang mengetuai panel tiga hakim dan Datuk Zaharah Ibrahim manakala Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menolak.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi pada 12 Disember 2008 menolak permohonan Lingam, Ahmad Fairuz dan Eusoff bagi membuat semakan kehakiman terhadap hasil siasatan Suruhanjaya DiRaja itu.

Sivarasa berkata sebagai sebuah Suruhanjaya DiRaja yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong dengan syor daripada Jemaah Menteri, Perdana Menteri seharusnya mengambil tindakan segera selepas suruhanjaya itu mengumumkan hasil siasatannya.

Beliau menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan akan mengelirukan orang ramai terutamanya berhubung persepsi yang bakal timbul akibat daripada keputusan yang dianggap pincang ini.

Sivarasa menjelaskan permohonan yang boleh dipohon bagi mengenepikan satu-satu keputusan kes adalah di Mahkamah Rendah atau pun mana-mana Tribunal.

"Selain itu, laporan yang diterima hasil siasatan daripada mana-mana Suruhanjaya DiRaja tidak semestinya didedahkan kepada umum.

"Persoalan pokok adalah, apakah yang dilakukan oleh Perdana Menteri selepas menerima hasil dari siasatan Suruhanjaya Diraja Siasatan tersebut?" soal beliau.

Setelah menjalankan siasatan selama 17 hari Suruhanjaya DiRaja tersebut mendapati klip video 14 minit itu adalah tulen. -SK

Ulasan GB

Kritikan rakyat terhadap keputusan yang diberikan oleh hakik-hakim mahkamah rayuan hendaklah dipandang serius dan tidak boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Ia menyangkut persoalan kebenaran dan keadilan.

Apabila hakim-hakim gagal untuk pertahankan kebenaran dan keadilan, lebih-lebih lagi apabila Suruhanjaya Diraja yang dilantik oleh DYMM Yang Dipertuan Agong sudah tidak dihormati, bagaimana hakim-hakim hendak dihormati oleh rakyat?

Diperburukkan apabila Perdana Menteri selepas menerima hasil dari siasatan Suruhanjaya Diraja Siasatan tidak bertindak tetapi lain pula ceritanya...

Kita merasakan bahawa seperti ada tangan tak nampak yang menggesa VK Lingam dan bekas-bekas ketua hakim untuk memajukan permohonan semakan kehakiman ke mahkamah rayuan. Dan tangan tak nampak ini adalah manusia yang kini sedang diburu oleh rakyat Malaysia kerana ada skandal dengan pegawai bawahannya.

Melengkapinya, Pengerusi Mahkamah Rayuan yang membenarkan semakan dilakukan adalah orang yang datang dari tempat yang sama dengan PM, Pekan Pahang!