8 Okt 2010

Mayat Seorang Daripada Empat Nelayan Hilang Ditemui

Mayat seorang daripada empat nelayan hilang dijumpai

LUMUT: Pasukan mencari dan menyelamat hari ini menjumpai mayat seorang daripada empat nelayan yang hilang apabila bot pukat jerut mereka dilanggar sebuah kapal dipercayai kapal dagang kira-kira 10 batu nautika dari Sabak Bernam semalam.

Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1 ACP Zainul Abidin Hasan berkata mayat Tan Chong Peng, 45, berasal dari Simpang Empat, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor dijumpai pada kira-kira 10.45 pagi.

"Mangsa ditemui dalam bilik enjin bot tersebut dan mayatnya dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di sini.

Zainul Abidin berkata operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang terdiri daripada seorang tekong dan dua awak-awak.

Tiga lagi mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Ah Huat yang berasal dari Sungai Helang, Sabak Bernam, Ah No dari Bagan Nakhoda Omar dan Ah Cheng dari Hutan Melintang, Perak.

Beliau berkata operasi pada hari ini membabitkan dua bot ronda PGM Kampung Acheh, Sitiawan diketuai seorang pegawai dengan 11 anggota, yang bermula seawal 6.30 pagi.

Dalam perkembangan yang sama, Zainul Abidin berkata bot pukat jerut tersebut sudah ditarik ke pangkalan nelayan Hutan Melintang, Hilir Perak dekat sini pagi ini sebelum operasi menyedut keluar air dalam bot dijalankan.

Bot dari Hutan Melintang yang membawa 17 nelayan termasuk tekong itu terbalik apabila dilanggar sebuah kapal kira-kira 3.40 pagi semalam.

Semua mangsa dilaporkan sedang tidur apabila nahas berlaku dan 11 daripada mereka sempat menyelamatkan diri manakala enam yang lain hilang. Mayat dua daripada nelayan yang hilang itu dijumpai tidak jauh dari tempat kejadian semalam. - Bernama

SPR Tidak Hormat DUN & Sultan Kelantan

Galas: SPR Jawab Nik Aziz Isu Tarikh Mengundi

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membidas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mendakwa suruhanjaya itu bersifat pilih kasih dan tidak sensitif apabila menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangn Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat apa-apa keputusan berhubung penetapan tarikh penamaan calon ataupun pembuangan undi.

Jelas beliau, keupayaan pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam DUN Galas merupakan keutamaan utama yang diberi perhatian oleh SPR.

"Perkara yang paling penting ialah sama ada tarikh yang dipilih itu bersesuaian serta tidak menyusahkan pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekesalan Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berhubung pemilihan tarikh mengundi yang bertembung dengan persidangan DUN negeri yang bermula 1 November depan.

Malah Mursyidul Am PAS itu menganggap SPR tidak menghormati sidang DUN dan seolah-olah sengaja memberi kelebihan kepada Umno.

Mengulas lanjut Wan Ahmad berkata, dakwaan bahawa SPR hanya mengambil kira tarikh yang bersesuaian dengan Umno iaitu selepas Perhimpunan Agung yang berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober ini adalah tidak benar.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa SPR juga pernah mengambil kira tarikh berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS ke-54 yang diadakan pada 2008 iaitu semasa berlakunya kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

"Ini masalahnya... mereka mudah lupa perkara yang SPR lakukan yang berpihak kepada mereka. Sebaliknya mereka akan tuduh kita macam-macam kalau ia berpihak kepada parti lain.

"Kita pernah ambil kira mengenai Muktamar PAS ketika itu, dan kali ini kebetulan Umno mengadakan perhimpunan agung mereka, jadi ia turut diambil kira oleh SPR," katanya.

Selain itu Wan Ahmad berkata, soal tidak menghormati sidang DUN tidak timbul kerana ia hanya melibatkan beberapa pemimpin parti itu.

"Sidang DUN bukan melibatkan semua pemimpin PAS, ada ramai lagi jentera mereka yang boleh menjalankan aktiviti berkempen.

"Malah kebanyakan aktiviti ceramah diadakan pada waktu malam, jadi mereka yang terlibat dengan sidang DUN boleh mengambil tempat untuk berkempen di waktu malam," katanya. -mstar

Ulasan GB

Tidak seperti selazimnya, pengumuman tarikh pilihanraya atau plihanraya kecil biasanya diumumkan oleh Pengerusinya sendiri iaitu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Tetapi kali ini ia diumumkan oleh Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, seorang anak Kelantan.

Mengenai tarikh mengundi bagi PRK Galas yang jatuh pada 4 November memamng ketara terlalu berpihak kepada UMNO BN. Terlebih lagi ianya dilakukan sewaktu DUN Kelantan sedang bersidang.

Jawapan Datuk Wan Ahmad mudah, ia hanya melibatkan beberapa pemimpin parti itu.

Persoalan kini DUN Kelantan tidak dihormati sebagai sebuah insitusi penting di dalam sebuah kerajaan negeri, dalam konteks ini kerajaan Kelantan.

Wan Ahmad dilihat cuba memusingkan fakta dan mengelirukan rakyat.

Sebarang persidangan DUN dirasmikan oleh Sultan sesebuah negeri, dan sebarang ganggu-gugat perjalan persidangan itu sebenarnya tidak menghormati malah mencemari Sultan di negeri berkenaan.

Ia bukan persoalan ramai atau tidak keterlibatan pemimpin yang ada di dalam pilihanraya yang diadakan, tetapi menyangkut persoalan SPR tidak menghormati sebuah institusi yang paling penting di dalam sesebuah negeri selepas institusi raja.

Hairan, seorang penjawat awam boleh bertindak sedemikian rupa semata-mata untuk melaksanakan agendanya bagi memberikan kelebihan kepada UMNO BN supaya menang di dalam PRK berkenaan.

Mungkin sebagai persediaannya untuk cepat menggantikan tempat pengerusi SPR yang akan bersara.

Tetapi, kita yakin, perencanaannya itu akan digagalkan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

Sultan Yang Benar-benar Berjiwa Rakyat Ditemui Di Kelantan

Sultan Kelantan agih 99 lembu

Gambar: SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad ke V Tuanku Faris Petra (tiga kanan) menyembelih sendiri seekor lembu yang disumbangkan untuk golongan miskin di Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan, 8 Okt. - Utusan/HAFIZ JOHARI

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V, berkenan untuk mengagihkan daging sembelihan 99 ekor lembu kepada orang miskin di seluruh negeri ini, sempena Hari Keputeraan baginda ke-41 pada 6 Oktober ini.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata agihan daging lembu berkenaan akan dibuat kepada keluarga miskin seluruh negeri ini menerusi ketua jajahan masing-masing.

“Sebanyak 99 ekor lembu akan disembelih dan dagingnya akan diagihkan kepada golongan miskin termasuk penduduk Orang Asli sekitar Lojing, Gua Musang. “Angka 99 itu dipilih sebagai simbolik merujuk Asma ul-Husna (99 Nama Allah).

“Orang miskin negeri ini akan mendapat daging percuma dan mereka boleh mendapatkannya di pejabat jajahan masing-masing pada Hari Keputeraan baginda kelak,” katanya.

Abdul Halim berkata, selain agihan daging lembu, baginda juga berkenaan mengadakan solat hajat dan solat sunat.

“Rakyat turut digalakkan untuk turut sama menunaikan solat hajat dan sunat mendoakan kesejahteraan baginda selaku pemerintah Kelantan.

“Perancangan untuk mengadakan sambutan rasmi Hari Keputeraan belum lagi diputuskan baginda,” katanya.

Sementara itu, katanya, Sultan Muhammad juga akan meneruskan solat Jumaat bersama rakyat setiap minggu. -BH


Solat Istikharah TGNA Tentukan Siapa Calon Galas

Calon Galas: PAS akan solat istikharah

Solat istikharah mungkin menjadi pemutus dalam menentukan calon PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 Nov ini, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun.

Katanya, ini kerana terlalu ramai calon yang berkelayakan dan seimbang yang dicadangkan PAS di peringkat akar umbi sebelum diperhalusi oleh pimpinan tertinggi parti itu.

“Kita percaya solat istikharah yang akan dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menjadi kata pemutus untuk menentukan calon PAS pada pilihan raya kecil itu,” katanya kepada Bernama ketika melawat kawasan pilihan raya itu di Gua Musang, hari ini.

Abdul Fatah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, mengikut amalan biasa yang dinyatakan oleh bekas ketua dewan ulama PAS negeri, Yahya Othman, parti itu menerima calon yang mempunyai kriteria tidak pernah melakukan dosa besar, seperti zina dan membunuh serta sanggup meninggalkan dosa-dosa kecil, termasuk merokok.

Beliau juga menyokong kenyataan anggota exco kerajaan negeri, bahawa PAS sedia menimbangkan untuk meletakkan Orang Asli sebagai calon pada pilihan raya akan datang termasuk pada pilihan raya kecil Galas.

“Ini semua tidak mustahil boleh terjadi, kerana masyarakat Orang Asli sekarang berbeza dengan sebelum ini kerana mereka kini berpelajaran tinggi dan tidak mudah menerima pandangan orang lain kerana boleh berfikir sendiri,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Tuku berkata, pemilihan calon sebenarnya bukan menjadi agenda penting PAS, tetapi lebih besar dari itu untuk menegakkan perjuangan berasaskan prinsip Islam.

“Justeri itu PAS tidak merasakan sesuatu yang sukar dan “pelik” dalam menentukan calon pada semua pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil DUN Galas ini,” katanya sambil menyatakan keyakinan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan menerima jika beliau dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 26 Oktober ini dan jika ada pertandingan pengundian akan diadakan pada 4 November.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kekosongan DUN itu berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46 akibat barah usus pada 27 September lalu. - Bernama

Tian Chua Tidak Tanding Timbalan Presiden

Saya tidak tanding Timbalan Presiden," kata Tian Chua

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategik PKR, Tian Chua tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, sebaliknya akan memutuskan untuk bertanding sama ada jawatan Naib Presiden atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"Pertandingan Timbalan Presiden terlalu sengit dan fokus saya juga bukan untuk jawatan tersebut," kata Tian yang juga ahli Parlimen Batu ketika di hubungi.

Naib Presiden Azmin Ali, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim dan seorang lagi Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Tian setakat ini telah memperolehi lima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden. Beliau mendapat 26 pencalonan bagi jawatan Naib Presiden dan 16 untuk MPP.

Pemilihan pucuk pimpinan tinggi PKR akan diadakan November depan.

Tian berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas cabang yang mencalonkan beliau bertanding jawatan timbalan presiden mahupun MPP.

"Tapi saya lebih suka untuk memutuskan sama ada bertanding untuk Jawatan Naib Presiden ataupun MPP. Saya akan putuskan Rabu depan," jelas beliau.

Ditanya berhubung kenyataan Zaid untuk memberi laluan kepada Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden, Tian berkata bekas menteri kabinet itu merupakan calon yang telah diberi mandat yang besar oleh cabang-cabang.

"Saya hormati apa sahaja tindakan Zaid dan saya rasa mandat yang telah diberikan kepada Zaid oleh cabang-cabang terlalu besar. Sebaiknya Zaid perlu juga menilai sokongan yang telah diberikan oleh akar umbi." kata beliau. -FMT

PRK Galas: Sidang DUN Kelantan Ditangguhkan Pada Hari Mengundi

Sidang Dun Kelantan Ditangguhkan Pada Hari Mengundi PRK Galas

KOTA BAHARU: Persidangan Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan selama seminggu mulai 1 November, akan ditangguhkan pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November ini.

Speakernya, Datuk Mohd Nasuruddin Daud berkata penangguhan itu bagi membolehkan anggota dewan negeri itu, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang menumpukan perhatian kepada suasana pilihan raya itu.

Katanya walaupun Speaker mempunyai kuasa menangguhkan jadual persidangan yang ditetapkan dari 1 hingga 7 November itu, tetapi pihaknya tidak akan meminda tarikh berkenaan yang telah diwartakan mengikut peraturan Dewan.

"Kita akan teruskan juga.... Kita hanya mengambil keputusan untuk tidak mengadakan persidangan sehari pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil DU NGalas itu bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak (penyokong kerajaan dan pembangkang)," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, beliau kesal dan terkilan kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil kira jadual persidangan belanjawan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil itu.

Mohd Nasuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meranti berkata sepatutnya SPR boleh berbincang dengan pihak kerajaan negeri bagi mengelakkan pertembungan tarikh itu berlaku, jika mereka benar-benar berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab itu.

Beliau mengakui pihak Dewan tidak memberitahu SPR berhubung tarikh persidangan dewan itu dan beranggapan "sepatutnya SPRlah yang perlu merujuk (perkara itu) kepada kerajaan negeri."

SPR, mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan kecil DUN Galas akan diadakan pada 26 Oktober ini, manakala hari mengundi ditetapkan 4 November jika ada pertandingan.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat Pas kawasan itu, Chek Hashim Che Sulaima, 46, akibat barah usus, 27 September lepas. - BERNAMA

Apa Kata Mustaffa Kamil Ayub?

Mustaffa Kamil: Saya mahu menang bermaruah

Calon timbalan presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berkata, beliau rela kalah kepada dua lagi pencabarnya Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim daripada mendapat kemenangan secara tidak adil, seperti melalui politik wang dan permainan kotor.

"Kita akhirnya mahu kemenangan yang bermaruah, kemenangan yang berprinsip," katanya naib presiden PKR itu dalam wawancara dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur kelmarin.

"Malahan, dalam apa keadaan pun, kita lebih rela kalah kalau kalau akhirnya kita terpaksa menggadaikan prinsip kita (untuk menang), kena politik wang, sogokan dan seumpamanya."

Ini kerana, menurut bekas pemimpin persatuan beliau dan aktivis NGO Islam itu, agenda "politik nilai" - meliputi elemen kesederhanaan, elemen kasih sayang, perpaduan, mengutamakan perkhidmatan dan bercirikan people centric - yang diperjuangkannya lebih penting.

Sebelum itu, Mustaffa menegaskan kepentingan pertandingan yang adil bagi dalam persaingan merebut jawatan parti, khususnya kerusi nombor dua yang turut ditandinginya.

"Ada dua pelumba, ada tiga pelumba (untuk satu jawatan) lagi baik... yang penting mesti fair play (adil). Jangan ada orang terdas sana, terdas sini.

"Sebab kita akhirnya kena bermain dalam satu pasukan (PKR) dalam pilihan raya umum ke-13 nanti." katanya yang berulang kali menegaskan keperluan perpaduan sesama pemimpin PKR.

Berikut beberapa intipati wawancara dengan tokoh yang dianggap mewakili 'kumpulan ABIM' dalam PKR itu:

Tentang peluangnya

Peluang itu ada dan baik. Tetapi saya perlu kerja keras, perlu bertemu sendiri di semua peringkat...(Saya) akan pastikan dalam siri jelajah, saya akan bertemu seramai mungkin anggota parti, terutama di Selangor di mana sebahagian besar anggota PKR di situ. Kedua, peranan media baru dan alternatif sangat penting kerana ia dijadikan sumber maklumat yang penting.

Fokus dalam parti

Terdapat keperluan supaya timbalan presiden (baru) memberikan fokus pada pemerkasaan parti dan menerapkan politik nilai dalam PKR. Kebetulan saya bukan ahli yang berhormat (YB). Jadi saya boleh lebih fokus pada pemerkasaan parti kerana PKR berumur lebih sedekad dan perlu benar membina budaya kuat. Lepas Mac 2008, kita dapat saksikan berlaku pertambahan hampir 100 peratus ahli baru. Oleh yang demikian, perlu ada proses pendidikan politik menyeluruh untuk pastikan mereka benar-benar menghayati perjuangan keadilan.

Sandaran untuk menang

Dengan latar (dalam aktivisme) kepemudaan, kebeliaan, gerakan Islam dan akademik, termasuk politik Umno, itu semua sebahagian daripada latar, khazanah pemikiran dan pengalaman yang saya miliki. Terrasuk di peringkat antarabgnya yang saya ceburi sejak 20 tahun lalu. Mungin ada label tertentu, (sama ada) daripada kelompok mana, tetapi itu sebahagian daripada sejarah saya... Itu mempengaruhi tasauwur, welstancheung (pandangan alam) dan kerangka pemikiran saya.

Agenda "politik nilai" retorik, kabur, konsepsual dan tak jelas?

Saya faham (ia) agak sedikit konsepsual. (Tetapi) sebahagian besar anggota PKR dapat menangkapnya dalam imaginasi mereka. Saya faham, bagi anggota baru kelihatan lebih abstrak.

Ini cabaran, saya setuju. Saya percaya, sesuatu yang tangible (nyata) itu lebih menarik minat. Saya kena terkemahkan yang lebih realistik dalam bentuk yang boleh diukur dan dilihat supaya dilihat lebih mudah.

Insiden negatif dalam pemilihan PKR

Kita telah latih lebih 2,000 orang melalui Akademi Keadlian. Saya akui masih ada ruang. (Bagaimanapun) saya lihat proses pemilihan tak gagal. Daripada 206 cabang, 95 peratus berjaya dan berjalan lancar, baik tanpa sebarang peristiwa yang tidak diingini. Malangnya beberapa media ambil kesempatan, besarkan dan bina persepsi umum seolah-olah masalah cukup besar dalam parti.

Penyertaan pemimpin baru dalam PKR

Kita telah kita lakukan beberapa program, sebahagiannya bawah kendalian saya, (dan) timbalan presiden Syed Husin Ali, (antaranya program) khusus buat ahli parlimen dan dewan negeri lama dan baru... Ada pencapaiaan, walaupun masih ada ruang banyak perlu diperkemas.

'Kelantangan' Zaid?

Zaid punya prinsip sebab itu beliau sertai PKR. Saya tetap beri (beliau) gambaran positif. Bila beliau sertai PKR, maknanya beliau punya jiwa reformasi PKR, tak tunduk tekanan penguasa politik dan dominasi kuasa politik tertentu. Soal baru dalam PKR, terserah pada anggota untuk buat penilaian. Ada orang cepat belajar dan buat pengesuaian.

Kritikan Zaid pada parti?

Anggota PKR bijak menilai. Saya kurang pasti apa niat sebenar beliau. Saya percaya, anggota PKR bijaksana dalam konteks membuat pilihan kalau mereka rasa (itu) keterlaluan dan bukan pendekatan konstruktuif kepada parti... Berbeza dengan politik Umno, pemimpin mereka tidak boleh dikritik.

Langkah pertama sebagai timbalan presiden

Langkah pertama pada hemat saya, kita aturkan saf di kalangan pimpinan, terutama anggota parlimen dan dan ADUN sebab imej mereka membina persepsi umum. Itu mesti diberi keutaman supaya kelompok ini benar-benar dibina satu ikatan kohesif dan mantap menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang,

Penilaiaan terhadap perpaduan pemimpin PKR

Setakat ini tiga bintang.... dalam tempoh sebelum pilihan raya umum, kalau pun tidak lima (bintang), (mesti) sekurang-kurangnya 4.5.

Tentang latar belakangnya yang rencam?

Dalam hal ini, apa yang penting adalah bagaimana kita mengadun watak dan penampilan kita dengan suatu yang bersesuaian dengan citarasa rakyat malaysia, dalam masa sama tidak menggadai prinsip kita. Sama seperti adunan makanan. Dalamnya ada manis, masin, ada pahit dan ada juga masamnya. Tetapo kalau aduannya itu betul, empat rasa itu sedap.

Beza dengan Azmin

Biarlah anggota PKR menilainya. Kalau saya, itu kan berat sebelah. (ketawa) Kekuatan Azmin, dia ada imej kuat bersama Anwar. Zaid dilihat menteri yang berprinsip sehingga letak jawatan untuk bersama dalam dengan perjuangan rakyat. Ya, kekuatan saya, saya juga meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik (Tan Sri) Muhyiddin Yassin untuk bersama dengan reformasi dan PKR. Cuma kurang glamor sebab sudah lama. Sepuluh tahun dah.

Soal dengan Anwar, saya tidak bekerja dengan Anwar, tetapi Muhyiddin. Tetapi idealismenya, saya sekian dalam dengan Anwar. Waktu pelajar dulu, sebagai presiden PMUKM (Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia) , PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) saya undang beliau dalam wacana yang babitkan mahasiswa dan generasi muda pada masa itu.

Menjadi calon 'underdog'

(Itu) tak apa. Saya akui saya lewat buat pengumuman rasmi walaupun ada desakan dariapda Perak dan beberapa cabang daripada sabah dalam bentuk memorandum, surat dan SMS.

Sebab lambat umum bertanding

Dalam masa yang sama saya tidak mahu berada dalam polemik (persaingan) itu terlalu lama sebab ada kerja parti yang saya terpaksa selesaikan dahulu, terutamanya puluhan siri program latihan yang saya ditugaskan. Oleh yang demikian, saya tidak mahu umum ketika porgram itu masih berjalan.. Kalau saya umum waktu itu, orang lihat saya perkudakan progam itu untuk kempen sebagai timbalan pengerusi PKR.

Pasukan regu

Saya sedang pertimbangkan. Ada positif dan negatifnya (berkempen dengan regu). Dari satu segi, ada pasukan langsung kempen. Keburukannya bila ada tokoh akan rasa tersisih. (Ketawa kecil) Memang saya pertimbangkan keperluan itu, tetapi belum saya muktamadkan.

Jaminan tidak berundur

Berdasarkan perbincangan dengan pasukan kempen, kawan-kawan dan cabang, kita (tetap) di tahap timbalan. Soal jaminan itu, dalam politik, kita terpaksa terbuka kepada perbincangan, Tetapi saya insya-Allah, pada tahap ini saya tegas degan tawaran kita untuk bersaing di tahan timbalan presiden

Kod etika berkempen

Betul ada kod etika parti, tetapi bukan cukup terperinci. Dan parti pun tak mampu buat secara terperinci untuk (pemilihan langsung) kali pertama. Jadi ada hal tertentu kita (calon) kena runding sesama kita dari segi hendak fair play (persaingaan adil)

Ketua umum (Anwar) bertindak sebagai pengadil dalam masa yang sama.... Kita anggap beliau ketua umum jadi pengadil yang baik. Tengok betul-betul tak ada yang main nakal atau foul play (main kotor) dan seumpananya. Dan beliau tahu menilai kesemua pemain pasukan yang ada untuk membina pasukan (persediaan) untuk pilihan raya umum yang akan datang.

Penilaan terhadap presitasi sendiri

3.5 bintang. Saya menilai banyak ruang kerja mesti saya lakukan. Saya tawaduk. (Tetapi) Di pihak anggota, mereka boleh menilai sejauh mana (prestasi saya).

Kes Sosilawati: Jesyntha, Isteri Kedua Suspek Ditahan

Selepas bersembunyi dan menjadi buruan polis sejak identitinya didedahkan Isnin lalu, wanita paling dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditahan polis sebaik menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, petang semalam.

Jesyntha, 27, yang alamat terakhirnya di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor, sebelum ini gagal dikesan dan bersembunyi selepas menjadi buruan polis.

Difahamkan, dia yang juga isteri kedua kepada seorang daripada suspek kes pembunuhan kejam itu dikehendaki kerana dipercayai mempunyai maklumat mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Jesyntha hadir menyerah diri bersama peguamnya kira-kira jam 5 petang dan polis menahannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik terbabit.

Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam, melalui laman web facebook rasmi PDRM memaparkan maklumat terkini mengenai penahanan terbabit, namun beberapa pegawai PDRM yang dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya enggan memberi ulasan.

Difahamkan, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap wanita terbabit hari ini.

Selasa lalu, wajah dan maklumat wanita itu tersebar kepada umum melalui media dan orang ramai diminta membantu polis untuk mengesannya.

Sementara itu, tiga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya ditahan semula semalam bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang awal tahun ini. -hmetro

Pengerusi MCA Bkt Bintang, Datuk Lee Chong Meng Keluar Parti

Pengerusi MCA Bahagian Bukit Bintang Keluar Parti

KUALA LUMPUR: Pengerusi MCA bahagian Bukit Bintang Datuk Dr Lee Chong Meng, Khamis, mengumumkan keputusan beliau untuk keluar dari parti itu dan dengan rasminya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Lee, yang popular dengan panggilan "Doktor ayam" berkata beliau sudah menghantar surat perletakan jawatannya dapat parti kepada ibupejabat MCA tengah hari Rabu selepas beliau kembali dari luar negara.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini Khamis beliau berkata pada mulanya memang beliau keberatan untuk meninggalkan parti.

"Namun apabila presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek membuat pengumuman yang saya akan digantung keanggotaan atas tuduhan menyalahguna peruntukan kerajaan, saya memutuskan sudah tiba masaya saya tinggalkan parti," katanya.

Lembaga Disiplin MCA sebelum ini mencadangkan supaya keaggotaan Lee digantung selama tiga tahun atas dakwaan beliau menyalah guna peruntukan yang diberikan kerajaan pada 2008.

Khabar angin mengenai penyertaan Lee dalam PKR sudah bermula sejak Jun lepas apabila beliau mengaku ada mengisi borang permohonan keanggotaan parti itu, namun tidak menandatanganinya.

Lee menafikan beliau menyalah guna peruntukan kerajaan pada 2008, dan menjelaskan bahawa peruntukan RM60,000 itu adalah untuk aktiviti Tahun Baru Cina di mana beliau sendiri mengeluarkan belanja RM40,000 untuk menjayakan acara bagi aktiviti itu. - BERNAMA



NAMA: DATUK DR LEE CHONG MENG
UMUR: 59
TEMPAT LAHIR: ARAU, PERLIS
PEKERJAAN: AHLI POLITIK/PENIAGA
BILANGAN ANAK: 5
NEGERI: WILAYAH PERSEKUTUAN
KAWASAN: P120 BUKIT BINTANG

TANGGUNGJAWAB DALAM POLITIK
PILIHANRAYA UMUM KE 10 (1999);PARLIMEN;BUKIT BINTANG,KALAH(MENANG PERINTAH
MAHKAMAH)
PILIHANRAYA UMUM KE 9 (1995);PARLIMEN;BUKIT BINTANG,KALAH

KEUPAYAAN BAHASA
BAHASA CINA, BAHASA MALAYSIA, BAHASA INGGERIS

PENDIDIKAN
SEKOLAH RENDAH: SEKOLAH RENDAH KIM SEN BUKIT MERJAM(1960)
SEKOLAH MENENGAH: JIT SIN NATIONAL TYPE HIGH SCHOOL/'O'LEVEL
SEKOLAH MENENGAH: METHODIST BOY SCHOOL/HSC
UNIVERSITI: DOCTOR OF VETERINARY MEDICINE(1974)
UNIVERSITI: DIPLOMA IN MARKETING,INDIANAPOLIS USA(1983)

JAWATAN PARTI
PENGERUSI MCA BAHAGIAN BUKIT BINTANG(1993-2008)
TIMBALAN PENGERUSI JAWATANKUASA PERHUBUNGAN MCA WILAYAH PERSEKUTUAN(2005-2008)
PENGERUSI MCA CAWANGAN HQ SUCCESS(1991-2008)
KETUA BIRO PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI MCA(2005-2008)
PENGERUSI BARISAN NASIONAL BAHAGIAN BUKIT BINTANG(2006-2008)
AHLI JAWATANKUASA BADAN PERHUBUNGAN BARISAN NASIONAL WILAYAH PERSEKUTUAN
AHLI JAWATANKUASA PUSAT MCA(2006-2008)

JAWATAN NGO
PENASIHAT TETAP WONG LOO SEN CHEE CHOONG TEMPLE(2004-2010)
PENASIHAT GABUNGAN IKATAN PERSATUAN CINA MALAYSIA
PENASIHAT PERSATUAN SEMBAHYANG ROHANI BATU TIGA JALAN IPOH
PENASIHAT TETAP PERSATUAN SEMBAHYANG ROHANI PENDUDUK JUBILEE JALAN LOKE YEW
PENASIHAT PERSATUAN PEMBORONG PAKAIAN MALAYSIA

JAWATAN DALAM KERAJAAN
AHLI DEWAN NEGARA(2006-2008)
AHLI LEMBAGA PENASIHAT DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR(1993-1996)

ANUGERAH DIPEROLEHI
PINGAT JASA NEGARA-PJN(2001)

LAIN-LAIN
PENAUNG GERAKAN BELIA 4B DANG WANGI



Pemilik Gen2 Dan Satria Neo Dipanggil Semula Rujuk Proton

Pemilik dua model diminta rujuk Proton

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Proton, semalam mengumumkan panggilan semula sukarela bagi model kereta Gen.2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 disebabkan kerosakan pada komponen ‘Clock Spring’ yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan.

Panggilan semula sukarela itu sebahagian daripada program Jaminan Kualiti Global Proton membabitkan 15,911 (2%) daripada 660,000 kereta yang dikeluarkan sepanjang tempoh empat tahun. Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata ‘Clock Spring’ berkenaan menyambungkan beberapa suis dan beg udara kepada radio, hon dan cruise control.

“Walaupun jumlahnya kecil, keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami dan memohon maaf atas apa jua masalah yang timbul daripada aktiviti ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, ujian rutin mengenal pasti kerosakan Clock Spring itu boleh menyebabkan masalah, antaranya bunyi geseran di dalam stereng, hon berbunyi atau lampu kereta terpasang tanpa amaran, kerosakan suis kawalan audio dan dalam kes ekstrem, pelepasan beg udara sebelah pemandu.

Syed Zainal Abidin berkata, panggilan semula ini adalah komitmen pihaknya terhadap keselamatan pelanggan dan prestasi kenderaan di bawah program Jaminan Kualiti Global Proton.

“Kami berharap pelanggan memahami bahawa panggilan semula ini perlu bagi memastikan mereka terus yakin terhadap keselamatan dan prestasi kenderaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pemilik kenderaan terbabit boleh menghubungi mana-mana pusat servis Proton yang sah untuk membuat temu janji bagi mendapatkan pemeriksaan percuma. Semua kos kerja dan alat ganti berhubung penggantian Clock Spring itu akan diberikan percuma dan Proton akan memaklumkan pemilik kenderaan terbabit mengenai perkara ini melalui pos.

Pada masa yang sama, Proton menyediakan laman web di alamat www.protonaftersales.com untuk pelanggan memeriksa sama ada kenderaan mereka antara yang terbabit dengan memasukkan nombor casis atau merujuk kepada panduan bergambar disediakan. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Proton i.Care di 1-300-880-888, atau wakil jualan terdekat. -hmetro

Hina Mahkamah: Musa Hassan Dan Bakri Zinin Diperintah Hadir

Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin untuk hadir di mahkamah pada 28 Oktober, pada hari keputusan prosiding menghina mahkamah yang dibuat dua lelaki berhubung penahanan semula mereka mengikut Ordinan Darurat 1967.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak bersetuju dengan peguambela Datuk N Sivananthan bahawa Musa dan Mohd Bakri perlu hadir di mahkamah seperti responden yang lain.

"Pada hari keputusan, mereka perlu hadir di mahkamah, tiada siapa mengatasi undang-undang dan ini adalah mahkamah undang-undang di mana tiada siapa yang diberi pengecualian," kata Sivananthan.

Mohd Sofian berkata beliau bersetuju dengan Sivananthan bahawa integriti mahkamah perlu dipelihara.

"Saya tidak mahu memberikan mesej yang salah kepada orang awam, tidak kira apa pun keputusan, mereka perlu berada di sini pukul 8.30 pagi pada 28 Oktober," katanya.

Sebelum itu, Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria memohon panduan mahkamah sama ada Musa dan Mohd Bakri boleh dikecualikan daripada hadir pada hari itu dan akan memastikan kehadiran mereka jika mahkamah menuduh mereka menghina mahkamah pada hari itu.

"Saya dimaklumkan bahawa Musa berada di luar negara mengerjakan umrah di Mekah manakala Mohd Bakri, tidak jadi masalah. Yang membimbangkan saya ialah media, sama ada dituduh atau tidak mereka tetap melaporkannya," kata Najib.

R Muniyandi, 26, dari Kluang, Johor dan B. Sasinthiran, 28, dari Kuala Selangor, ditahan mengikut Ordinan Darurat atas dakwaan terbabit dengan gangsterisme dan lain-lain kegiatan jenayah.

Muniandy berjaya mendapatkan writ habeas corpus dari Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 10 Jun tahun ini dan dia ditahan semula sebaik sahaja keluar dari Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor pada 23 Jun.

Sementara itu, Sasinthiran mendapat writnya pada 29 Julai dan dia ditahan semula hari berikutnya.

Pada 30 September, kedua-dua lelaki itu berjaya dalam usaha mereka untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Musa dan Mohd Bakri kerana tidak mematuhi arahan mahkamah bagi membebaskan mreka.

Semasa prosiding hari ini, Sivananthan berhujah bahawa kedua-dua responden gagal menjawab dakwaan ke atas mereka melalui jawapan dalam afidavit.

"Dalam perkara ini, undang-undang telah jelas di mana mereka mesti menjawab dakwaan itu dan jika anda tidak jawab, anda seperti mengaku kepada dakwaan yang dibuat pemohon-pemohon (Muniyandi dan Sasinthiran)."

"Agak ganjil jika mereka memutuskan untuk berdiam diri dan ia agak mengejutkan, mereka sepatutnya menjawab walaupun kedua-dua mereka memilih untuk tidak hadir di mahkamah," kata Sivananthan.

Beliau berkata jika mahkamah sangsi dengan tindakan polis, sudah tentu keseluruhan permohonan habeas corpus itu menjadi satu bahan ejekan dan sesuatu yang memalukan.

Sementara itu, dalam hujahnya, Najib berkata permohonan itu tidak mempunyai merit dan dibuat tanpa asas.

"Walaupun jika Musa dan Bakri dikatakan terlibat dalam menangkap pemohon-pemohon itu, tindakan sedemikian tidak boleh merupakan seperti menghina mahkamah.

"Mahkamah tidak boleh menghalang polis menjalankan tugas mereka. Ketua Polis Negara tidak boleh dipertanggungjawabkan menghina mahkamah mengikut doktrin kewajipan wakil," katanya.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa tiada perintah daripada mahkamah untuk menghalang tangkapan berikutnya dan berharap agar mahkamah menolak permohonan itu.

- Bernama