21 Jan 2011

Satim Diman Guna PhD Palsu?

Ijazah PhD Satim Diman diragui

Satim perlu menyerahkan transkrip dan sijil penganugerahan kepada Speaker Datuk Teng Chang Kim bagi tujuan pengesahan oleh Lembaga Akreditasi Negara (MQA).

PETALING JAYA: Seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor meragui kesahihan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohamad Satim Diman (gambar) yang juga Adun Seri Serdang memperoleh sijil penganugerahan ijazah sarjana doktor falsafah (PhD) yang membawa gelaran Dr.

Exco Pemodenan Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Pengurusan Sumber Alam Negeri Selangor Dr Yaakob Sapari yang meraguinya menggesa Satim menyerahkan transkrip dan sijil penganugerahan kepada Speaker Datuk Teng Chang Kim bagi tujuan pengesahan oleh Lembaga Akreditasi Negara (MQA).

Selain mendesak agar mengumumkan kepada rakyat bentuk program pengajian yang diambil dan universiti yang menganugerahkan PhD tersebut, Dr Yaakob juga menggesa Satim supaya mengisytiharkan taraf pendidikannya bermula daripada ijazah pertama, sarjana sehinggalah kepada doktor falsafah.

“Satim telah menggunakan gelaran Dr secara berleluasa dalam poster pilihan raya dan dicetak pada rehal untuk diedarkan di beberapa masjid dan surau sekitar DUN Sri Serdang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Yaakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik berkata hal ini membimbangkan kerana ramai masyarakat sekarang sanggup membeli PhD melalui sindiket tanpa perlu bersusah payah mendalami ilmu,memperkembangkan kajian dan mempercambahkan nilai keilmuan.

Katanya, perbuatan membeli PhD itu merupakan sebagai satu jenayah sekaligus merendahkan martabat universiti dan menganggapnya sebagai satu penghinaan kepada dunia akademik.

Beliau turut menegur segelintir institusi pendidikan yang menawarkan kursus pengajian yang berasaskan keuntungan tanpa melalui akreditasi dan piawaian negara. -FMT


Ulasan GB

Beberapa kes yang melibat orang ternama menggunakan PhD palsu semakin menjadi-jadi. Beberapa bulan lepas, dikejutkan dengan pendedahan Fazley, Menantu Rosmah Miliki Ijazah MBA & PhD Palsu.

GB masih ingat di suatu masa seorang Datuk Bandar bernama Datuk Elyas Omar yang menggunakan "Dr." dipangkal namanya sedangkan beliau bukan seorang pemegang Ph D ataupun seorang bekas pelajar perubatan.

Akhirnya terbongkar, memang sahih beliau tidak ada ijazah berkenaan, maka diarahkan beliau menanggalkan gelaran itu daripada namanya. Mujur ada pangkat Datuk, jadi ramai tak perasan mengenai ketiadaan sebutan Dr lagi pada namanya. .


16 Banduan Lari Dari Penjara Sesak Kerana Dilarang Solat

Cotabato: Seramai 16 banduan yang bersesak-sesak dalam penjara Filipina memboloskan diri dengan menggergaji palang besi di sel mereka sebelum menggunakan selimut untuk menuruni dinding pusat tahanan itu, kata pihak berkuasa semalam.

Datuk Bandar Cotabato, Japal Guiano, berkata seorang daripada mereka sempat ditahan hanya sejam selepas melarikan diri pada malam kelmarin.

“Bagaimanapun, 15 banduan lain masih diburu,” katanya.

Antara kesalahan banduan yang belum ditahan itu, katanya, adalah membunuh, merompak dan mengedar dadah.

Banduan yang berjaya diberkas semula, Darwin Herbias, berkata mereka memotong palang besi di belakang penjara Cotabato sebelum menjadikan selimut untuk menuruni tembok setinggi 4.5 meter.

Katanya, mereka kemudian terjun ke sungai yang ada di tepi penjara berkenaan.

Herbias kini menunggu untuk dibicarakan kerana merompak ditahan polis di sebuah kampung berhampiran.

Kata Herbias, pihak berkuasa di pusat tahanan itu melarang mereka mengerjakan solat dalam penjara berkenaan yang kini dihuni 220 tahanan walaupun sepatutnya hanya menempatkan 100 orang. - AFP

Isu Panas: Kenderaan Diwajibkan Pasang Beg Udara Mulai 2012

Semua kenderaan wajib pasang beg udara mulai 2012

RANTAU PANJANG: Mulai tahun depan, semua kenderaan kecuali kenderaan pacuan empat roda diwajibkan memasang beg udara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata langkah itu bagi mengelak risiko lebih tinggi termasuk kematian terhadap pemandu atau penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, kerajaan memandang serius kadar kemalangan jalan raya sekarang terutama yang membabitkan kemalangan maut akibat tiada peralatan keselamatan yang cukup pada kenderaan awam.

“Mulai tahun depan, kerajaan akan mewajibkan semua kenderaan dipasang beg udara bagi keselamatan pemandu dan penumpang kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2011, di sini, hari ini.

Katanya, kementerian berkenaan akan memastikan kenderaan yang diperbuat di negara ini termasuk kereta nasional memasang alat keselamatan berkenaan sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya mulai tahun depan.

Kong berkata kenderaan import mungkin tidak menghadapi masalah kerana kebanyakannya telah dipasang alat keselamatan berkenaan sebelum dijual di negara ini.

Beliau berharap dengan peraturan-peraturan baru yang diperkenalkan itu kerajaan dapat mengurangkan kadar kemalangan maut terutama yang membabitkan penumpang bahagian depan kenderaan.

Katanya, hasil kajian Institut Penyelidikan dan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati kebanyakan kes kemalangan maut adalah membabitkan penumpang bahagian depan kenderaan yang tidak menggunakan alat keselamatan, termasuk beg udara dan tali pinggang keledar. - BERNAMA

Ulasan GB

Rakyat dibebankan lagi dengan pemasangan beg udara. Belum pun dihabiskan siasatan kebakaran kenderaan yang munkin berpunca dari RON95, tiba-tiba rakyat dibebankan dengan pemasangan beg udara.



Menjelang Penamaan Calon PRK Tenang Esok: SPR Asingkan Penyokong

Labis: Para penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan ditempatkan berasingan di sekitar kawasan Majlis Daerah Labis pada hari penamaan calon esok, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Gambar: PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kanan) bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir ketika meninjau Pusat Penamaan Calon Pilihanraya Kecil DUN Tenang di Pejabat Daerah Labis, hari ini. - Foto Rosdan Wahid

Penyokong calon Barisan Nasional (BN) akan ditempatkan di sebelah kiri dewan manakala penyokong calon PAS di sebelah kanan dewan, katanya.

“Kita harap dua parti ini sajalah yang bertanding esok. Dan kalau ada calon bebas, dia boleh duduk di mana-mana. Kita pun tak sediakan tempat untuk calon Bebas, tapi kita juga sediakan khemah untuk VIP, orang-orang yang dipilih parti masing-masing seramai 100 orang, serta khemah-khemah untuk penyokong-penyokong parti bertanding,” katanya dalam sidang media di Majlis Daerah Labis di sini hari ini.

Setakat ini, dua calon telah diumumkan untuk bertanding bagi kerusi tersebut iaitu Mohd Azahar Ibrahim mewakili BN dan Ketua Muslimat PAS Labis Normala Sudirman mewakili PAS..

Abdul Aziz berkata penamaan calon esok dijadualkan berlangsung sejam dari 9 pagi sehingga 10 pagi, masa bantahan dari pukul 10 hingga 11 pagi, dan sekiranya semua berjalan mengikut jadual, pegawai pengurus akan buat membuat pengumuman sama ada berlaku pertandingan.

Beliau juga memberitahu sebanyak tiga pusat mengundi yang digunakan bagi DUN Tenang semasa Pilihan Raya Umum lepas telah dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai berikutan pusat-pusat mengundi tersebut terletak di bawah DUN Bekok.

Pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Labis dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Cina Labis dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin; dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Labis dipindahkan ke Dewan Bola Keranjang JKKK Labis, katanya.

“Pusat-pusat mengundi baru ini telah kita wartakan lama dah, bukan sebab PRK ini. Jadi kerana bertukar tempat mengundi, saya dah mintak signage besar diletakkan, supaya bila dia (pengundi) pergi tempat mengundi lama, dia akan nampak,” katanya.

Beliau turut meminta pengundi melakukan semakan seawal mungkin bagi memastikan nama mereka ada tersenarai dalam maklumat SPR, sekaligus mengelakkan masalah yang akan timbul pada hari mengundi nanti.

Pengundian, jika ada pertandingan, ialah pada 30 Jan ini.

Mengulas mengenai kerusi DUN Merlimau yang kosong akibat kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, semalam, Abdul Aziz berkata, tidak perlu terburu-buru untuk mengumumkan mengenai kemungkinan adanya PRK.

“Saya baru tanya pejabat saya, surat pun tak ada lagi, kebumi pun belum, saya kata kepada pengarah saya di Melaka, kita hormatlah, jangan tergesa-gesa. Biarlah dia dikebumikan baik-baik, yang kita terburu-buru kenapa?

“Jadi kita hormatlah terutama kepada keluarga, kerajaan negeri Melaka…Saya akan adakan mesyuarat dalam masa sepuluh hari setelah terima surat dari Speaker Melaka. Sekarang ni tak eloklah,” katanya. - Bernama

Polis Minta Orangramai Pulangkan Wang Syiling.

Orang ramai diminta pulangkan duit syiling

SEREMBAN - Pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk memulangkan semula duit syiling yang jatuh dari sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Kilometer 244 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, berhampiran susur keluar Pedas-Linggi, dekat sini, petang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin (gambar) berkata, mereka boleh berbuat demikian secara sukarela di mana-mana balai polis berhampiran.

"Semua individu terbabit perlu sedar, duit syiling yang mereka kutip di sekitar lokasi kejadian bukan milik mereka.

"Sehubungan itu, saya nasihatkan mereka agar menyerahkan duit syiling kepada polis supaya boleh dikembalikan kepada pemiliknya,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, pihak polis boleh mengenal pasti individu terbabit menerusi gambar dirakam media ketika kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, duit syiling pelbagai denominasi dianggarkan bernilai RM74,000 bertaburan di sekitar lokasi kemalangan selepas sebuah Toyota Hilux yang membawa muatan itu dikatakan dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta mewah jenis BMW.

Sekurang-kurangnya 20 pengguna lebuh raya dilihat mengutip duit syiling yang bertaburan, malah ada yang sanggup menggadai nyawa melakukan perbuatan itu di tengah lebuh raya yang sibuk dengan kenderaan.

Tindakan mereka itu turut mengakibatkan kesesakan lalu-lintas sepanjang kira-kira tiga kilometer di kedua-dua arah lebuh raya menghala ke lokasi kejadian. -Bernama

Ulasan GB

Apa pasal masa orangramai kutip wang syiling semalam polis lansung tak halang?

Sekarang janganlah nak harap mat-mat rempit tu nak pulangkan balik.

[Bergambar] Bursa Saham Dhaka Jatuh Teruk, Pelabur Merusuh

Dhaka – Pihak berkuasa perdagangan saham di Bangladesh menghentikan dagangan di Bursa Saham Dhaka semalam selepas indeksnya jatuh 8.6 peratus dalam tempoh enam minit.

Penurunan itu merupakan yang terpantas dalam sejarah bursa tersebut.

Indeks bursa itu jatuh kepada 6,313.62 mata selepas dagangan bermula di Bursa Saham Dhaka pada pukul 1 petang waktu tempatan.

Ia merupakan penangguhan kali keempat dalam tempoh 10 hari.

Ekoran penangguhan itu, sejumlah pelabur kecil mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan bursa saham tersebut.

Pihak polis terpaksa bertindak dengan menyuraikan para penunjuk perasaan itu.

“Para penunjuk perasaan berkumpul di depan pejabat bursa saham itu tetapi kami berusaha untuk menyuraikan mereka,” kata seorang pegawai polis, Abdul Momin.

Kelmarin, dagangan turut dihentikan apabila indeks jatuh 225 mata atau 3.2 peratus sekali gus mencetuskan pertempuran di antara polis dan ribuan penunjuk perasaan.

Kebanyakan pelabur kecil membuat pinjaman untuk membeli saham di bursa tersebut. – AFP







Guru Yoga Didakwa Rogol Pelajar 15 tahun

Shah Alam, 21 Jan – Seorang guru yoga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 tahun pada Februari dan November tahun lepas.

Gambar: GURU Yoga, Abdul Malik Abdullah, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen 5 Shah Alam atas dua tuduhan merogol pelajarnya berusia 15 tahun, di lokasi berasingan di Hulu Selangor tahun lalu. - Foto Roslin Mat Tahir

Abdul Malik Abdullah, 55, dari Batu Caves dekat sini, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar.

Tertuduh didakwa merogol mangsa di Kampung Dato’ Harun, Serendah, Hulu Selangor dekat sini, kira-kira 8 malam pada Februari tahun lepas.

Abdul Malik yang ditahan pada 2 Jan lepas, juga didakwa merogol mangsa yang sama di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, antara 5 petang dan 6 petang pada November tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim membantah sebarang jaminan diberi kepada tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukannya serius kerana membabitkan mangsa di bawah umur.

Beliau berkata hubungan antara tertuduh yang merupakan guru yoga kepada mangsa juga memungkinkan tertuduh menganggu mangsa, lebih-lebih lagi mereka tinggal berdekatan.

Abdul Malik yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan alasan kesihatannya tidak berapa baik dan perlu menanggung enam anak angkat.

Latifah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Feb depan untuk sebutan melantik peguam.

Terdahulu, Abdul Malik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 2.70 gram.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 22 Feb depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

Berita berkaitan


Sebulan jadi hamba seks

HULU SELANGOR: Tiga remaja perempuan dikurung dan dijadikan hamba seks selama sebulan oleh seorang guru yoga di Kuala Kubu Baru, di sini, sebelum diselamatkan polis, Rabu lalu.

Ketika serbuan di rumah guru yoga berusia 54 tahun terbabit, polis menemui beberapa peralatan seks dan dua peket dadah dipercayai syabu.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy, berkata pihaknya percaya sepanjang sebulan dikurung, mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun dirogol berulang kali, selain didera secara seksual termasuk diikat dan dirantai pada katil.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dilaporkan oleh keluarga mereka tidak pulang selepas mengikuti kelas yoga di rumah guru terbabit pada hujung November lalu. “Seorang daripada ibu mangsa membuat laporan anaknya yang berusia 16 tahun keluar bersama suspek dan selepas itu tidak pulang ke rumah. Ibu mangsa memberitahu dia menghubungi suspek, tetapi suspek enggan memberitahu di mana anaknya berada,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Norel Azmi berkata, selepas menerima laporan ibu mangsa yang juga seorang penoreh getah berusia 38 tahun pada 30 November lalu, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes itu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah dan dia kini direman empat hari sehingga 3 Januari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 22 tahun membuat laporan mendakwa dirogol rakan teman lelakinya di Pangsapuri Putra Ria, Bangsar, di sini, pada 22 hingga 27 Disember lalu.

Sumber polis berkata, sepasukan anggota forensik pergi ke lokasi kejadian semalam bagi mencari bahan bukti dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol. “Namun, polis menyiasat kemungkinan kejadian berlaku kerelaan wanita itu,” katanya. -hm


Lagi Kes Gadis Hilang Dilarikan Kekasihnya

Kepala Batas – Seorang bapa meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan anak perempuannya yang didakwa hilang dipercayai dilarikan kekasihnya sejak sebulan lalu.

Mohd. Rashidi Mohd. Rashid, 46, berkata, anak perempuannya, Norhafiza, 21, dikatakan tidak balik ke rumah selepas pulang dari kerja di sebuah kilang di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah pada 25 Disember lalu.

Menurutnya, anak kedua dari lapan beradik itu dipercayai hilang ketika dia berada di Perlis atas urusan perniagaan. Dia hanya mengetahui mengenai kehilangan anaknya itu dua hari selepas kejadian apabila dimaklumkan oleh ibunya, Bariah Ahmad, 63, ketika pulang ke rumahnya di sini.

“Selepas mengetahui Norhafiza tidak pulang ke rumah, saya bersama ibu saya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

“Tapi sehingga hari ini, polis masih belum dapat kesan di mana lokasi anak saya berada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Paya Keladi di sini semalam. -kosmo

Sudahlah Pemboros, Angkuh Pula!

Lawatan luar negara: Rosmah tak hirau kritikan

Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau tidak terganggu dengan komen negatif yang dilemparkan terhadap beliau berhubung lawatannya ke seberang laut.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata semua lawatannya diatur selepas beliau menerima jemputan daripada kerajaan atau menteri wanita sesebuah negara yang terlibat.

Bercakap kepada media Malaysia pada akhir kunjungan empat hari ke Oman pada Rabu, Rosmah berkata beliau akan membuat lawatan itu apabila diperlukan bagi menyampaikan ucaptama di majlis-majlis tertentu.

"Jadi, biar mereka kata apa yang mereka nak kata, tapi saya rasa bahawa lawatan ini sangat berfaedah bukan sahaja kepada kita tetapi kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau malah parti apapun yang mereka wakili," katanya menyentuh mengenai lawatannya terutama ke Oman.

"Saya berada di sini bukan untuk mewakili seksyen tertentu masyarakat tetapi kami di sini mewakili rakyat Malaysia," kata Rosmah menjelaskan bahawa beliau dan anggota rombongannya diterima baik di Muscat dan pemerintah Oman, Sultan Qaboos Bin Said, sendiri mengambil berat lawatan itu.
Berucap di sidang antarabangsa

Dalam lawatan itu, Rosmah disertai beberapa anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Beliau merupakan tetamu kerajaan Oman, kali pertama dalam tempoh 20 tahun seorang kenamaan Malaysia diberi keistimewaan itu.

Rosmah juga mengulas mengenai lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini di mana beliau memberi ucapan dalam satu persidangan antarabangsa mengenai pengurusan kualiti menyeluruh dalam pendidikan.

"Saya dimaklumkan di Riyadh bahawa saya dijemput bukan hanya kerana saya isteri seorang perdana menteri. Apa yang nyata, mereka telah menyelidik dan mengkaji untuk melihat apa yang saya telah sumbangkan kepada pendidikan kanak-kanak terutama bagi yang berumur di bawah empat tahun dan begitu juga dengan kanak-kanak yang berbakat.

"Dan saya sangat gembira bahawa malah di Arab Saudi, mereka telah mengiktiraf kenyataan bahawa adalah sangat penting memberi perhatian kepada pendidikan awal dan jagaan ke atas kanak-kanak dan juga kanak-kanak yang berbakat," katanya.

Kepada pengkritik beliau, Rosmah berkata: "Bagi saya, jika mereka mahu bersungut, saya tidak ada isu. Biarkan saja. Saya hanya lakukan ini sebagai isteri seorang pemimpin.

"Ia adalah tugas dan tanggungjawab saya untuk membantu setakat yang saya mampu, terutama yang berhubung usaha untuk memperkasakan wanita dan isu-isu kanak-kanak."

"Saya tidak terbabit dalam politik, saya tidak terbabit dengan polisi kerajaan - yang telah dijalankan oleh perdana Menteri, timbalan perdana menteri dan kabinet.

"Kita hanya membantu dari segi masa dan usaha dan (demi) kepentingan kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik, jadi apa masalahnya." - Bernama

Ulasan GB

Rosmah berkata, "Saya berada di sini bukan untuk mewakili seksyen tertentu masyarakat tetapi kami di sini mewakili rakyat Malaysia"

Soalan kami: Siapa yang undi dan lantik awak mewakili rakyat Malaysia?

GB dah ulas sebelum ini di: Najib Bakal Jatuh Tergolek Kerana Rosmah

PRK Tenang: Bukan Islam Terima Baik Cikgu Mala

Normala mampu jadi kekuatan Pas

SENAI - DAP melihat kelebihan bergelar wanita bagi calon Pas, Normala Sudirman yang akan bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, mampu menjadi kekuatan bagi memenangi kerusi berkenaan.

Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, statistik pengundi yang dikeluarkan bagi DUN Tenang menunjukkan 52 peratus pengundi adalah wanita.

“Cikgu Mala mempunyai kelebihan untuk menarik pengundi memandangkan kredibiliti yang dimiliki sebagai warga pendidik dan mencurahkan bakti di kawasan berkenaan,” katanya.

Justeru, katanya, walau siapa pun yang diletak sebagai calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR) telah menurunkan calon yang memiliki kredibiliti tinggi untuk mendekati hati pengundi dan rakyat.

“Siapa pun dia, bukan menjadi masalah, kerana calon yang dipilih Pas benar-benar layak dan mampu meraih undi,” katanya.

Selain itu, kerjasama daripada jentera parti komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP sejak dari awal sebelum penamaan calon lagi mampu meraih lebih ramai pengundi.

“Setiap parti komponen akan bekerja keras menggerakkan jentera parti, khususnya ke kawasan pedalaman, dalam mendekatkan parti dengan pengundi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan yang akan dilakukan selepas kedua-kedua parti mengumumkan calon, Cheng Hau berkata, perancangan rapi sedang dibuat pucuk pimpinan bagi mengadakan kempen dan ceramah sebaik sahaja tempoh berkempen dimulakan kelak.



Makkal Sakti Sokong Pakatan Rakyat

LABIS, 19 Jan - Parti Makkal Sakti yang kini diterajui oleh Kannan Ramasamy selepas perlantikannya di Mesyuarat Agung Tahunan September 2010 menyatakan sokongan penuh kepada calon PAS, Normala Sudirman bagi PRK Tenang kali ini.

Sanjay Suramaniam selaku Naib Presiden parti tersebut memaklumkan antara objektif utama penubuhan Parti ini adalah untuk memperjuangkan hak kebajikan masyarakat India di Malaysia dan lebih bersifat natural terhadap mana-mana parti politik.

Menurut beliau, masyarakat India kini sudah bosan dengan pemberian hamper dan janji-janji manis Barisan Nasional (BN) terhadap mereka setiap kali pilihan raya berlaku.

Bercakap mengenai permasalahan presiden parti tersebut, beliau berkata;

"Sebelum ini, Parti Makkal Sakti adalah di bawah kepimpinan Rs Thanenthiran yang pro kepada BN.

"Tetapi, beliau tidak mendapat sokongan majoriti ahli parti kerana tidak membawa suara ahli seperti objektif sebenar penubuhan parti.

"Sehingga kini, beliau masih mendakwa dirinya sebagai presiden walaupun telah dilucutkan jawatan kerana tidak menghadiri mesyuarat lebih daripada 3 kali berturut-turut."

Beliau yang ditemui di Markaz Operasi PAS petang tadi, yakin bahawa majoriti masyarakat India di Tenang akan memberi undi kepada calon PAS disebabkan masalah rakyat tempatan yang diabaikan UMNO selama 53 tahun berkuasa di Johor dan khususnya di Tenang.


Pulau Pinang Catat Pelaburan Tertinggi

Georgetown - Buat julung kalinya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mencatatkan jumlah pelaburan yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh setahun berbanding tahun lalu dengan kedudukannya di tempat keempat.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan perkara itu berikutan pengumuman yang dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Mustapa Mohammed iaitu dalam aspek pelaburan bagi sektor pembuatan untuk Malaysia peratusannya meningkat sebanyak 45 peratus iaitu daripada RM32,637 juta kepada RM47,177 juta.

“Ini menunjukkan Pulau Pinang mencatat sejarah paling besar dalam aspek pelaburan dengan jumlah RM12,238 juta berbanding RM2,165 juta pada 2009 iaitu meningkat lima kali ganda selain angka pelaburan bagi tahun ini paling besar berbanding jumlah pelaburan sejak 1980.

“Kejayaan ini adalah berkat usaha keras semua pihak termasuk 1.6 juta rakyat Pulau Pinang yang memberikan kerjasama baik kepada kepimpinan Kerajaan Negeri dan juga semua agensi Kerajaan Negeri yang terlibat dan juga Kerajaan Persekutuan khususnya Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, dalam tempoh singkat termasuk sebagai kerajaan yang kurang pengalaman, Pulau Pinang mencapai prestasi yang tidak disangka namun ia berkat sokongan dan kerjasama semua agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sebelum ini Pulau Pinang dapat pujian daripada laporan Ketua Audit Negara iaitu negeri yang mempunyai prestasi pengurusan kewangan yang baik di Malaysia pada 2009, Negeri Hijau pertama di Malaysia dan ini adalah kejayaan baru buat rakyat Pulau Pinang,” kata Guan Eng.

Pelajar Perempuan UiTM Parah Dihempap Batu Besar

Kuala Lumpur: Keghairahan seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menawan puncak Bukit Broga di Semenyih, Selangor pada Khamis, bertukar menjadi pengalaman pahit setelah beliau cedera parah akibat dihempap seketul batu besar.

Norhanani Shahim, 22, yang menyertai sekumpulan 15 penuntut universiti itu memulakan pendakian kira-kira pukul 8 pagi tadi dan tiba-tiba "hilang" daripada kumpulan ekspedisi itu.

Seorang anggota kumpulan ekspedisi itu, Mohd Khairul Nazmi Zubairu, 22, menemui Norhanani dalam keadaan tertiarap di kawasan lereng bukit Bukit A, Bukit Broga dengan seketul batu besar berada di atas belakangnya selepas lebih dua jam mencari mangsa.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ketika dihubungi berkata Mohd Khairul telah menghubungi JPAM Kajang, Selangor meminta bantuan untuk mengalihkan batu tersebut memandangkan beliau dan rakan-rakanya tidak berdaya mengangkat batu itu.

Sepasukan penyelamat JPAM, bomba dan dua pembantu perubatan dari Hospital Kajang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 11 pagi dan berjaya mengangkat batu itu dari badan mangsa.

Jurucakap JPAM itu berkata Norhanani yang berkeadaan lemah ketika ditemui memberitahu rakannya bahawa beliau telah terjatuh sebelum batu menghempap belakang badannya.

Mangsa yang dipercayai cedera serius di bahagian tulang belakangnya akibat insiden itu kini dirawat di Hospital Kajang. - BERNAMA

Pemergian Hidhir Buka Pintu PRK Ke 15

ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia pada jam 8.10 malam ini di Hospital Pakar Putra, Melaka selepas mengalami serangan jantung semalam.

Perkara itu disahkan Ahli parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah.

Beliau merupakan antara pemimpin BN yang berada di hospital berkenaan sejak tengahari.

Kematian Mohamad Hidhir dijangka bakal menyebabkan pilihan raya kecil ke-15 diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidak selesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Dilaporkan, Mohamad Hidhir mengalami serangan jantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima hari lalu yang menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma di hospital berkenaan hari ini.

Mohamad Hidhir dilaporkan mengalami serangan jantung yang pertama pada Sabtu lalu pada kira-kira jam dua petang dan mengalami serangan jantung kedua pada waktu
tengahari, Isnin lalu.

Ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau mendapati Mohamad Hidhir berada dalam keadaan koma sewaktu melawat ADUN berkenaan petang ini.

"Sewaktu menziarahi beliau sebentar tadi bersama beberapa anggota Exco negeri, beliau berada dalam keadaan koma dan bernafas menggunakan alat sokongan mesin," katanya kepada pemberita di hospital berkenaan.

Ketika ditemui di hospital berkenaan malam ini, Mohd Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Jenazah akan dibawa ke rumah allahyarham sebelum dikebumikan esok, katanya lagi.

Antara yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham malam ini ialah Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhammad, anggota Exco serta pemimpin BN.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Sungai Layang, Rembau, Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang periang dan sentiasa mesra dengan penduduk sekitar kawasan yang diwakilinya.

Dikebumi di Kampung Chinchin

Dilahirkan pada 27 Jun 1956, Allahyarham pernah bertugas di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai pembantu luar dan jawatan terakhirnya sebagai pegawai seranta di Yayasan Melaka sebelum bertanding pada pilihan raya umum 2004.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Noor Azian Mohd Ali dan empat orang anak yang berada di sininya semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.

Mohd Ali berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Kampung Tersusun, Lipat Kajang dan akan disembahyang selepas solat Jumaat di Masjid Simpang Kerayong sebelum dikebumi di Kampung Chin Chin.

Merlimau merupakan kawasan majoriti Melayu dengan lebih 64 peratus daripada keseluruhan 10,500 pengundi. Selebihnya terdiri daripada 21 peratus pengundi Cina dan 14 peratus pengundi India.

Mohamad Hidhir mengekalkan kerusi berkenaan pada 2008 apabila menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan memperolehi majoriti undi sebanyak 2,154.

Allahyarham yang menjadi Naib Ketua Umno bahagian Jasin sejak 2004 itu, beliau memperolehi majoriti lebih besar sebanyak 5,087 undi dengan menewaskan calon PKR S Jayathas dalam pilihan raya pada tahun berkenaan.

Sementara itu, ketua pembangkang Melaka Goh Leong San turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mohamad Hidhir ketika dihubungi hari ini.

Mengulas pilihan raya kecil yang dijangka akan berlangsung, Goh berkata beliau menganggap DUN Merlimau sebagai satu potensi kepada Pakatan Rakyat dan menjangkakan PAS akan bertanding semula di kerusi berkenaan.

Tambahnya, pilihan raya kecil itu akan menyediakan peluang yang baik kepada masyarakat tempatan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka ke atas pentadbiran Mohd Ali. -mk







Dari Tenang Terpaksa Ke Merlimau Pula - Hasrat SPR Tak Tercapai

Dari Tenang Terpaksa Ke Merlimau Pula - Hasrat SPR Tak Tercapai

Pemergian Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, ADUN Merlimau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka memang tidak diduga oleh sesiapa sekalipun beliau telah dimasukkan ke hospital sejak minggu lepas selepas mengadu sakit dada.

Kekosongan kerusi berkenaan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan iaitu yang ke-15 selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor yang jatuh pada 30 Januari ini.

Hasrat SPR yang mengharapkan pilihanraya kecil DUN Tenang akan menjadi pilihanraya yang terakhir sebelum negara melangkah ke pilihan raya umum nampaknya tidak kesampaian.

Ia sebagai bukti bahawa kuasa dan perancangan Allah sentiasa mengatasi kuasa dan perancangan manusia.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang akhbar yang diadakan untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang beberapa hari lalu menyatakan bahawa SPR telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk mengendalikan 13 pilihan raya kecil setakat ini berharap pilihan raya kecil ke-14, di Johor, akan menjadi yang terakhir sebelum negara melangkah ke pilihan raya umum.

Setakat ini SPR telah mengendalikan 13 pilihan raya kecil dengan yang pertama pada Ogos 2008 membabitkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dan yang terakhir kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi awal bulan lalu. PRK Tenang adalah yang ke 14 sementara Merlimau nanti adalah yang ke 15.

Namun, pilihan raya kecil sepanjang tempoh selepas Mac 2008 hingga sekarang bukan kali pertama negara menyaksikan pilihan raya kecil yang banyak jumlahnya.

Yang paling banyak iala sebanyak 16 pilihan raya kecil telah diadakan sepanjang tempoh antara 1995 dan 1998 iaitu sebelum pilihan raya umum 1999.

DUN MERLIMAU



Merlimau adalah sebuah pekan yang terletak di tengah perjalanan antara Bandaraya Melaka dan Bandar Muar, Johor. Jaraknya adalah kira-kira 23 km dari Bandaraya Melaka dan Muar serta 22 km selatan dari bandar Jasin.

Fakta:

Jumlah Pengundi: 10,471
Peratusan Kaum: M:64.69% C:21.11% I:14.16% L:0.04%

N27 Merlimau, di dalam pilihanraya umum yang lepas menyaksikan pertandingan dua penjuru diantara BN dan PAS. Di dalam pilihanraya sebelumnya (2004) Allahyarham Datuk Mohd. Hidhir Abu Hassan (BN) telah memenanginya dengan majoriti 5,087 undi. Pada PRU 2008, majoriti BN merosot dan hanya menang dengan 2,154.



Ini bermakna PAS hanya perlukan peralihan undi sekitar seribu lebih sahaja lagi untuk merampas kerusi DUN Merlimau selain mengekalkan jumlah undi pada PRU12 yang lalu.

Dari Tenang kita ke Merlimau pula nanti.