29 Mei 2011

Waspada! Ribuan Ikan Mati Di Manila, Ada Pengajaran Disebaliknya

Kira-kira 500,000 kilogram ikan bernilai RM3.5 juta terapung di Tasik Taal, Batangas selatan Manila, dilaporkan mati kerana perubahan iklim secara tiba-tiba.

Pulau yang merupakan kawasan tumpuan pelancong dan terletak 65 kilometer dari selatan Manila itu didiami seramai 7,000 orang petani, nelayan dan pemandu pelancong.

Permukaan tanah juga menggelembung dan suhu di sekitar Tasik Taal mula menaik dimana ia boleh menyebabkan letusan gunung berapi.

Lawatan ke 2,500 hektar pulau kawah yang merupakan tumpuan utama pelancong kini diharamkan dan pegawai tempatan menaikkan poster meminta mereka meninggalkan pulau itu.

Taal merupakan antara 22 buah gunung berapi yang paling tidak stabil di dalam negara dengan rekod sebanyak 33 kali letusan dan kali terakhir berlaku pada tahun 1977.

Tasik di sekitar kawah tersebut menghalang berlakunya kematian pada tahun 1977 dan ketika letusan lain berlaku kerana air tasik itu melindungi dari terkena lahar. -kijang59

Ulasan GB

Peristiwa ikan mati secara banyak pernah dilaporkan di blog ini pada 10/3/2011 iaitu berjuta ikan mati di Los Angeles, yang kemudiannya pada hari berikutnya iaitu pada 11/3/2011 benar-benar berlaku bencana tak terperi dasyatnya iaitu Tsunami di Jepun. Ia ada kaitan kerana kedudukan pantai Los Angeles berada di sebelah timur Jepun.

Begitu juga di New Zealand, pada 21 Feb 2011, GB memuatkan entri satu berita mengenai Misteri: 100 Paus Ditemui Mati Di Pantai New Zealand, dan kemudian pada 23 Feb 2011 pula, tiba-tiba berlakulah apa yang dikatakan [Bergambar] Lebih 60 Terbunuh Akibat Gempa Di New Zealand.

Peristiwa ikan mati nampaknya semacam tidak signifikan semasa kejadiannya, tetapi ia adalah impak dari satu malapetaka yang telah berlaku lebih awal di dasar laut sebelum ia benar-benar muncul sebagai satu bencana di permukaannya.

Sekarang berlaku pula di Manila, sebuah negara yang berjiran dengan Malaysia, petunjuk apakah itu ....?

p/s bererti entri-entri di blog Kelab Greenboc sebelum ini ada pengajarannya, bukan sekadar menyiarkannya untuk suka-suka.

Mungkin Betul Polis Itu Bodoh?

Pekerja Butik Didakwa Kerana Guna Perkataan Kesat

Gambar: Nur Shafa Watiha Wahab didakwa atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis, diiringi anggota polis sewaktu tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KUALA TERENGGANU: Gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis, seorang pekerja sebuah butik di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berhadapan dengan hukuman denda sehingga RM100.

Nur Syafa Watiha Wahab, 19, dari Kampung Telaga Batin, Seberang Takir didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan itu kira-kira jam 1 petang semalam di hadapan LTSM.

Dia dituduh mengeluarkan perkataan "polis bodo" terhadap Konstabel Mohd Hafifi Ali dari Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Gong Badak yang ketika itu menahannya kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainudin Abd Ghani mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahn-kesalahan Kecil 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu dan bertudung hitam mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Seksyen/Masjistret Rusilah Chik.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Jun ini sebagai tarikh jatuh hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh tersebut.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang bekerja di sebuah butik di LTSM dilaporkan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke tempat kerjanya.

Dia kemudian terserempak dengan anggota polis berkenaan yang ketika itu sedang menjalankan rondaan dan dia diarah berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

Tertuduh bagaimanapun dikatakan tidak berpuas hati apabila ditegur tentang kesalahannya itu dan bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dengan menggelar bodoh terhadap anggota polis tersebut. -BERNAMA

Ulasan GB

Sepatutnya Polis bersikap terbuka dengan TEGURAN rakyat sekalipun ia pahit.

Cuba lihat di sebelah, sebuah rakaman kebodohan polis yang membahayakan keselamatan bukan sahaja dirinya tetapi nyawa orang lain.

Dan sudah wujud satu ketika Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengemukakan 125 cadangan, tetapi terdapat beberapa cadangan yang ditolak oleh polis dan pada ketika itu rakyat menempelak polis bukan sahaja sebagai bodoh tetapi tidak menghormati sebuah Suruhanjaya yang dibentuk oleh DYMM Yang Dipertuan Agong.

"Polis Bodo" satu ungkapan ikhlas sama seperti "Polis Zalim". Dan kerana keengganan mengakui "kebodohan" polis kini bertindak zalim pula.

Remaja belasan tahun, perempuan pula, tahu polis Malaysia bodoh!


Mayat Rentung Dalam Kereta

Kuala Lumpur: Mayat ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di susur masuk ke sebuah kilang di KM 20 Jalan Kuala Lumpur-Rawang di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata mayat itu ditemui oleh seorang pemandu lori, Sivaraman T. Ramasamy kira-kira pukul 5.45 petang yang pada masa itu melalui kawasan terbabit sejauh 500 meter dari jalan besar.

"Lelaki itu melihat sebuah kereta berasap di kawasan tersebut dan menjumpai mayat rentung di bahagian bawah tempat duduk belakang kereta sebelum menghubungi polis," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di kawasan lain sebelum mayat dan keretanya dibakar di kawasan sunyi itu.

"Kita tidak dapat kenal pasti identitinya kerana kita tidak temui sebarang dokumen pengenalan diri di tempat kejadian dan kita percaya kejadian ini berlaku awal pagi tadi," katanya.

Sesiapa yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, Sivaraman berkata beliau yang dalam perjalanan ke sebuah kilang ternampak sebuah kereta berasap sebelum terhidu bau daging bakar berhampiran kereta itu.

"Masa saya lalu di situ api sudah tidak ada, hanya tinggal asap saja. Saya tengok bahagian belakang kereta ada satu mayat sudah rentung dan ada bau daging bakar. Saya terus bertindak untuk hubungi polis," katanya. BERNAMA

Lelaki Baru Kahwin Mati Ditikam Hingga Perutnya Terburai

Seremban – Seorang lelaki yang baru mendirikan rumah tangga, mati dalam keadaan mengerikan apabila isi perutnya terburai selepas ditikam seorang daripada dua lelaki bermotosikal di sebuah lorong belakang rumah kedai, Taman Paroi Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, seorang pembantu kedai runcit dikenali sebagai Arip, dalam lingkungan usia 30-an, sedang berjalan ke tempat kerja di sebuah bangunan bersebelahan rumah kedai berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Md Yusoff Awang berkata, mangsa seorang warga indonesia dikatakan baru turun dari tingkat dua sebuah rumah kedai disewanya sebagai tempat penginapan.

“Semasa berjalan, tiba-tiba dua lelaki menaiki sebuah motosikal menghampiri mangsa lalu seorang daripada mereka menikam perut mangsa de-ngan senjata tajam.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini dan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban melalui talian 06-6033222 atau hotline 06-6014999 untuk membantu siasatan. -SH

Kasihannya Anak Dan Ibu Ini..

Kami rindukan papa'

Gambar: MAZLINA sayu melihat dua anaknya, Nur Athirah dan Adib Irfan (kiri) yang kerap jatuh sakit kerana merindui bapa mereka yang diculik kumpulan bersenjata di selatan Filipina sejak 8 Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Semalam genaplah 20 hari seorang ahli perniagaan, Nazaruddin Saidin, 38, tidak pulang ke rumah ekoran menjadi mangsa penculikan kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina pada 8 Mei lalu.

Sepanjang tempoh tegang itu, enam anak mangsa dan isterinya, Mazlina Mohamad, 38, begitu terasa kehilangan mangsa hinggakan ada antara mereka kerap jatuh sakit lantaran teramat rindu kepada Nazaruddin.

Selain itu, mereka kerap bermimpi yang bapa mereka pulang ke rumah di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh dekat sini.

Melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar, Mazlina memberitahu, sepanjang tempoh itu juga, mereka sekeluarga tidak putus-putus berdoa agar suaminya selamat.

Mazlina tetap yakin suaminya masih selamat berikutan Polis Antarabangsa (Interpol) memaklumkan bahawa pihak berkuasa Filipina sedang berunding dengan kumpulan bersenjata tersebut untuk membebaskan suaminya.

“Hari ini (semalam) genaplah 20 hari abang (Nazaruddin) diculik. Sepanjang tempoh itu juga, saya tidak pernah mendengar suaranya. Saya dan enam anak amat merindui dia hinggakan ada antara mereka yang demam. -kosmo

Ulasan GB

Marilah sama-sama kita turut mendoakan keselamatan dan kepulangan Nazaruddin Saidin.

Jangan Minum Bir Yang Didakwa Halal

Padang Serai: Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak meminum sejenis bir yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya kerana didapati mengandungi alkohol melebihi had yang dibenarkan syarak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dakwaan syarikat itu bahawa kandungan alkohol cuma 0.01 peratus adalah tidak benar selepas ujian makmal mendapati kandungannya sebanyak 0.5 peratus.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bersama Majlis-Majlis Agama Islam Negeri akan bertindak menyekat penjualan minuman itu kepada umat Islam.

"Kita akan merujuk kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk mendapatkan maklumat lebih jelas," kata Jamil Khir kepada pemberita selepas menutup program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Padang Serai di Padang Awam Pekan Sungai Karangan, dekat sini, petang semalam.

Akhbar semalam melaporkan mengenai penjualan "bir halal" di pasaran yang semakin popular di kalangan umat Islam dan dikesan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) baru-baru ini.

Akhbar berbahasa Melayu yang memetik satu sumber berkata, JAIJ mengambil contoh minuman itu untuk diuji di makmal dan hasilnya mendapati bir tersebut dihasilkan dari pelbagai perisa buah-buahan mengandungi 0.5 peratus alkohol.

JAIJ kemudian memaklumkan kepada JAKIM dan KDRM supaya mengambil tindakan sewajarnya termasuk menghentikan penjualannya jika perlu.

Akhbar itu turut memetik Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin sebagai berkata bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus. Katanya ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semulajadi.

Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini yang dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.

"Dalam keadaan tidak pasti, saya ingin menasihatkan umat Islam berhenti meminum minuman itu supaya tidak terperangkap dalam situasi yang mengelirukan," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa kesal kerana ada pihak-pihak yang ghairah mempermainkan institusi Mufti dan melabelkan mufti ke taraf terendah dan menyifatkan perbuatan itu sebagai biadap dan menghina agama.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan barang keperluan dapur kepada 30 orang golongan susah dan warga emas pelbagai kaum.

Tururt hadir Naib Ketua UMNO Padang Serai, Mohd Bakri Hashim dan setiausaha, Drs Mohd Zubib Saad serta Penyelaras Parlimen Padang Serai, Dr Chin Tung Leong.
-- BERNAMA

Ulasan GB

Persoalan kini, kerajaan negara manakah yang meluluskan pengimportan bir-bir berkenaan dan dijual secara meluas di dalam negara ini? kerajaan Jepun? Singapura? Afrika? Kemboja? Lombok? Atau Malaysia sendiri?

GB berharap pihak Unit Amal mengawasi/menghalang penjualan bir-bir berkenaan di dalam program-program ceramah PR kerana GB pernah terserempak ada peniaga mengambil kesempatan menjualnya dengan nama "Air Minimun Kesihatan" di beberapa program ceramah untuk mengaut keuntungan besar dengan penjualan bir berkenaan.



Ketakutan Najib Semakin Nyata Putrajaya Bakal Terlepas Semasa Beliau Menjadi PM Negara

Najib mahu Himpunan Sejuta Belia pertahan Putrajaya dari Pakatan

PUTRAJAYA, 28 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu hadirin yang menyertai Himpunan Sejuta Belia di sini hari ini mempertahankan Putrajaya daripada pembangkang jika ingin melihat Malaysia menjadi negara maju.

Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk menawan kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa.

Najib berkata beliau gembira kerana berbanding kebangkitan rakyat di Mesir awal tahun menyaksikan kejatuhan Hosni Mubarak, sejuta orang muda berhimpun di Putrajaya untuk menyokong pentadbirannya.

“Di Malaysia, satu juta pemuda berhimpun untuk mempertahankan Putrajaya,” katanya.

“Adakah anda bersedia untuk mempertahankan Putrajaya?” tanya beliau berulang kali ketika berucap di hadapan sekitar 8,000 orang hadirin hari ini.

Terdahulu timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu pemberita bahawa pengunjung perhimpunan hari ini sudah melepasi sejuta orang.

Dalam ucapan Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Najib yang juga presidennya berkata Putrajaya harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

Najib berkata kerajaan tidak akan berjaya dalam usaha transformasi tanpa sokongan daripada belia negara ini.

“Ada yang panggil saya Bapa Transformasi, saya tidak tahu, tetapi anda semua adalah pemangkin perubahan,” katanya.

“Jika belia bersama dengan kerajaan, negara kita akan aman dan kita boleh menjadikan negara kita makmur,” katanya lagi.

Dalam pada itu, laporan Bernama Online menyebut Najib hari ini meninjau aktiviti dan program-program belia sempena Himpunan Belia Putrajaya 2011.

Lawatan Perdana Menteri di 12 kawasan program selama tiga jam, bermula 2.30 petang dengan diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek itu, telah memberi peluang kepadanya beramah mesra dengan para belia.

Para belia yang teruja bertemu dengan Najib turut tidak melepaskan peluang untuk bersalam serta bergambar dengannya.

Beliau memulakan tinjauan mesranya dengan menyaksikan pertandingan akhir Sasuke Malaysia sebelum melancarkan Program Latihan 1 Malaysia.

Najib turut menyaksikan tarian perang yang dipersembahkan oleh pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia serta demonstrasi menyelamat tebusan kapal oleh Regimen ke-11 Gerak Khas.

Perdana Menteri kemudiannya melancarkan Himpunan Sejuta Belia 2011. -TMI

Ulasan GB

Terserlah kini, ketakutan Najib bahawa Putrajaya akan terlepas ke tangan Pakatan Rakyat menjadi semakin nyata apabila terpaksa berulangkali bertanya kepada belia yang berhimpun "Adakah anda bersedia untuk mempertahankan Putrajaya?”

Sehinggakan 8,000 orang beliau yang hadir dikatakan 1 juta. Mungkin selama ini tersilau dengan bayang-bayang "pengundi hantu" yang sentiasa wujud untuk mempertahankan Putrajaya dari terlepas dari tangannya.

Kebenaran tetap kebenaran. Bahawa kemenangan UMNO BN di masa lalu adalah kemenangan yang penuh kepalsuan dan penipuan - bermula di Pekan - dan setiap sesuatu yang bertunjangkan dengan kerapuhan akan tumbang tersembam ke bumi.

UMNO BN akan berputih tulang beputih mata, rakyat tidak selamanya boleh diperbodohkan lagi. Tumbangnya UMNO BN bakal menjadi realiti - akibat kroni dan korupsi.


Pemilihan PAS: Belum Ada Calon Tarik Diri

Petaling Jaya: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata setakat hari ini tiada calon yang menarik diri daripada bertanding jawatan masing-masing dalam Muktamar Tahunan ke-57 kali ini.

Beliau yang dihubungi FMT mengesahkan perkara itu manakala kertas undi telah dicetak mulai hari ini.

Menurut Abdul Halim, masih terlalu awal untuk menjangkakan mana-mana calon yang akan menarik diri memandangkan mereka masih boleh berbuat demikian ketika mesyuarat Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang bermula pada 1 Jun ini.

Mesyuarat Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan bermula pada 1 dan 2 Jun ini masing-masing di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Dewan SUK, Shah Alam.

Manakala bagi menganggotai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, perwakilan akan membuang undi pada 3 Jun dan pengumuman calon yang menang pada 4 Jun di Pusat Tarbiyah Taman Melewar, Gombak.

Abdul Halim menegaskan bahawa mana-mana calon yang menarik diri perlu memberi jawapan rasmi secara bertulis kepada pihak Jawatankuasa Pemilihan yang diketuai olehnya.

“Tiada calon yang menarik diri buat masa ini, walaupun kertas undi sudah dicetak bermula hari ini. Tapi mereka masih boleh berbuat demikian ketika mesyuarat berakhir pada 2 Jun ini…..tapi itu terpulang kepada calon.

“Tapi perlu diingatkan bahawa mana-mana calon yang ingin menarik diri perlu memberi jawapan rasmi secara bertulis kepada saya.

Maka pihak Jawatankuasa Pemilihan akan umum calon yang tarik diri dalam muktamar dewan masing-masing sebelum pengundian oleh perwakilan dijalankan.

“Walaupun kertas sudah dicetak dan tertera nama calon yang menarik diri, pihak Jawatankuasa akan memberi taklimat kepada para perwakilan sebelum mereka membuat pengundian. Maka tidak akan wujud undi ke atas calon yang sudah menarik diri itu,” katanya.

Surat rasmi

Semalam melalui sidang medianya di Ibu Pejabat PAS, Abdul Halim mengingatkan calon yang ingin menarik diri di saat akhir perlu mengemukakan surat rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan dan bukannya melalui kenyataan secara terbuka atau melalui media.

Menurut Abdul Halim, seramai 30 petugas akan membantu perjalanan muktamar yang dijadualkan diadakan 1 hingga 5 Jun ini.

Tiga orang petugas akan bertanggungjawab mengetuai setiap mesyuarat dewan muktamar yang diadakan pada hari tersebut.

Muktamar pada kali ini juga membabitkan 750 orang perwakilan daripada Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama’ manakala bagi Jawatankuasa PAS Pusat terdiri daripada 1,100 perwakilan. -FMT

Mayat Berulat Ditemui

Mayat berulat

JELAPANG – Gempar apabila satu mayat lelaki berpakaian lengkap ditemui dalam keadaan berulat di kawasan tangki air Puncak Jelapang Maju, petang kelmarin.

Mangsa, dikenali sebagai Susinthiran A/L Muthusamy @ Arumugam, 36, dari Jelapang ditemui sekumpulan empat lelaki yang kebetulan ke kawasan itu untuk memotong rumput dan membersihkan kawasan sekitarnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang memakai baju T berwarna kuning dan berseluar jeans biru serta berkasut.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat pertama daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.50 petang.

“Anggota kami termasuk Unit Forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat.

“Setakat ini pihak kami belum menerima sebarang maklumat lengkap berhubung kes terbabit namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kematian.

“Keterangan lanjut mengenai kes ini hanya akan dimaklumkan sejurus selepas selesai bedah siasat,” katanya.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan serta yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222

Apakah Ini Kesan Kenaikan Harga Sehingga Roti Tepi Jalan Pun Sapu?

Lori Bawa Roti Terbalik

Gambar: Orangramai berpusu-pusu mengambil roti setelah sebuah treler roti terbalik di tepi jalan di Setiu, Terengganu.

SETIU – Bagaikan pesta roti! Itulah gambaran yang dapat dibuat apabila orang ramai dan penduduk kampung memenuhi tepi jalan utama berhampi­ran­ Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lerek untuk mengambil roti, setelah treler yang membawa muatan roti terbalik, awal pagi kelmarin.

Tinjauan Sinar Harian ke tempat kejadian mendapati, orang ramai ...tidak berganjak dan menunggu untuk mendapatkan roti walaupun dalam keadaan cuaca panas, malah ada sesetengahnya membawa plastik besar untuk mengisi roti.

Menurut pemandu treler, Mustapha Abdul Rahman, 54, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.50 pagi itu umpama mati hidup semula baginya apabila treler yang dipandu terbabas dan terbalik di bawah cerun setelah dia terlelap.

Ulasan GB

Dah tak mengira samada roti yang dimakan itu halal atau haram, yang penting ia percuma. Ada beberapa persoalan yang perlu direnungkan bersama:

1) Apakah sudah memang tabiat rakyat untuk merebut apa sahaja yang disifatkan "lauk depan mata" tanpa memperdulikan ia milik siapa. Kes ini serupa dengan kes lori beras terbalik sediki masa dulu.

2) Biasanya rakyata tidak ambil sesuatu yang mereka mampu membelinya. Tetapi di dalam keadaan rakyat terjepit dengan kenaikan harga barang maka apa yang boleh diperolehi secara "percuma" maka ia peluang keemasan untuk meringankan beban kewangan. Salah siapa?

Gerai Cendol Digantung Kepala Babi - Angkara Siapa?

Nibong Tebal: Gerai cendol berhampiran Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang digantung kepala babi, selain disimbah cat merah dua hari lalu, pernah disimbah cat hitam serta peralatannya dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata bagaimanapun pemilik gerai tidak melaporkan kepada polis perbuatan khianat yang berlaku pada Januari dan Mac lalu itu.

"Polis percaya kesemua perbuatan terbabit termasuk panggilan telefon misteri kepada pemilik gerai dilakukan oleh pihak yang sama," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengenai kepala babi berkenaan, Shafien berkata ia sudah dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk dianalisa bagi mengetahui bila haiwan itu disembelih.

"Polis turut mendapatkan maklumat daripada penjual babi di sekitar SPS bagi mengenal pasti individu yang melakukan perbuatan khianat itu," katanya.

Shafien berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menakutkan secara Jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan.

Dalam kejadian pagi Rabu lalu, jemaah Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang baru selesai menunaikan solat Subuh terkejut apabila melihat kepala babi tergantung di gerai cendol yang terletak berhampiran masjid itu.

Gerai itu juga disimbah dengan cat merah, dan sehari sebelum itu pemilik gerai berkenaan menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang meminta beliau berhati-hati. - BERNAMA

Ulasan GB

Sekalipun kejadian tersebut telah berlaku di beberapa hari yang lalu, namun sehingga kini polis masih menyiasat, siapa punya angkara dan apa motifnya.

Apakah kes tersebut hanya bertumpu dan dimaksudkan kepada penjual cendol tersebut sahaja atau kepada umat Islam keseluruhannya yang kebetulan gerai cendol tersebut terletak berhampiran masjid Lama Sungai Bakap?

Tidak mustahil pula ia dilakukan oleh orang Islam sendiri, kerana hanya orang Islam saja yang tahu bahawa penganut Islam amat sensitif dengan apa saja yang dikaitkan dengan babi. Provokasi siapa? Supaya umat Islam membenci pimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang? Atau apa?

Kita berharap siasatan polis menyeluruh. Bolehkah rakyat mengharapkan begitu kepada mereka?