5 Mac 2012

Amerika Lebih Takut Ahmedinejad Kalah Dalam Pilihanraya Presiden Iran

Pilihanraya presiden Iran: Mahmoud Ahmadinejad jauh ketinggalan

TEHERAN: Undi terbaru menunjukkan mereka yang setia dengan pemimpin ulama Iran, menang 75 peratus kerusi dalam pilihan raya parlimen, menjadikan calon Presiden Mahmoud Ahmadinejad semakin sukar untuk menentang puak konservatif.

Keputusan undi Jumaat lalu, sebahagian besarnya dipulau oleh golongan reformis yang pemimpin mereka masih dikenakan tahanan rumah, tidak akan memberi kesan yang besar terhadap dasar luar Iran, termasuk pertikaian nuklear dengan Barat.

Namun begitu, ia akan memberi kelebihan yang ketara kepada kem Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam pilihan raya presiden, pada 2013. Kekalahan besar penyokong Ahmadinejad mungkin akan menghakis kuasa presiden, yang diapi-apikan oleh sekutu Khamenei kerana ia telah mencabar kuasa pemimpin tertinggi dalam pemerintahan Iran yang berlapis-lapis itu.

Dengan 90 peratus daripada peti undi yang dikira, penyokong Khamenei dijangka menduduki lebih daripada dua per tiga daripada 290 kerusi dalam Parlimen, menurut senarai yang diterbitkan oleh Kementerian Dalam Negeri. -Reuters

Ulasan GB

Walaupun Amerika takut dengan kemenangan Ahmedinejad, namun kekalahan Ahmedinejad lebih menakutkan dan mengerikan Amerika kerana yang menang ialah kem Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang lebih ketara dan keras prinsipnya terhadap Amerika.


MBAS Beri Amaran Kepada Pihak Yang Turunkan Kain Rentang Iklan Surau

Jangan bertindak sendiri’

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak membenarkan orang awam mengambil tindakan sendiri termasuk mengoyak papan iklan kerana perbuatan berkenaan menyalahi undang-undang.

Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad (gambar kecil) berkata, walaupun papan iklan itu tidak mempunyai permit kelulusan namun mereka tidak boleh berbuat sesuka hati kerana masih bawah bidang kuasa MBAS.

Menurutnya, selalunya dalam kes melibatkan iklan haram MBAS akan merampas papan iklan berkenaan termasuk menurunkannya sehingga pemilik datang menuntut semula termasuk membayar permit sebelum boleh digantung semula.

“Kita tidak akan merosakkan papan iklan berkenaan kerana soal permit dengan kos pembiayaan iklan berkenaan berbeza dan pemilik boleh mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis sekiranya iklan mereka dirosakkan untuk menuntut ganti rugi.

“Perbuatan merosakkan papan iklan itu akan menyebabkan pemilik terpaksa menanggung kerugian,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian Jumaat lalu melaporkan, Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) membantah tindakan pemaju Aman Central menaikkan papan iklan memaparkan gambar surau baru bersebelahan Madrasah Salihiah kerana dianggap boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Pengerusi BBSMS, Mansor Ahmad berkata, mereka mula menyedari kewujudan papan iklan itu sejak seminggu lalu dengan menjangkakan ia mendapat kebenaran MBAS bagaimanapun setelah dirujuk papan itu dinaikkan tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) .

Mengulas mengenai kejadian itu, Mat Noh berkata, beliau tidak mengetahui tentang perkara berkenaan. -SH


Bantah pemaju letak iklan surau

ALOR SETAR - Tindakan pemaju Aman Central menaikkan papan iklan yang memaparkan gambar surau baru bersebelahan Madrasah Salihiah dianggap sebagai satu provokasi untuk menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS), Mansor Ahmad berkata, mereka mula menyedari kewujudan papan iklan itu sejak seminggu lalu dengan menjangka ia mendapat kebenaran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Bagaimanapun, setelah merujuk dengan MBAS, ternyata papan iklan itu dinaikkan tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu serta menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan anak kariah.

“Tindakan pemaju, Belleview Sdn Bhd, jelas dilihat menghina dan mengganggu perjalanan proses pengurusan mahkamah memandangkan isu saman injuksi Madrasah Salihiah masih dalam proses dan akan disebut semula pada 11 Mac ini di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

“Saya membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Kota Setar pada 8.47 pagi semalam meminta mereka membuat siasatan mengenainya,” katanya kepada media di Madrasah Salihiah, Tambang Badak di sini, semalam.

Mansor turut kecewa dengan Kerajaan Negeri kerana membenarkan pemaju bertindak sedemikian. Sungguhpun begitu, mereka akan terus berusaha mempertahankan tanah wakaf serta bangunan surau dari dirobohkan.

“Kami kesal pemaju dilihat sengaja meletakkan papan iklan bersebelahan Madrasah Salihiah kerana ia bukan dalam kawasan tapak cadangan pembinaan surau baru itu yang terletak hampir 13 meter dari madrasah ini.

“Difahamkan gambar reka bentuk surau baru yang tertera pada papan iklan berkenaan baru sahaja dihantar kepada MBAS pada 18 Januari lalu dan masih belum mendapat kelulusan,” katanya.

Sehubungan itu, mereka meminta MBAS lebih sensitif terhadap papan iklan dan papan tanda haram yang boleh mengganggu proses perbicaraan berlangsung di mahkamah, terutama berkaitan dengan Madrasah Salihiah.

“Kami tidak mahu orang ramai terpengaruh dengan gambaran kosong mengenai surau baru pada papan iklan itu,” katanya.
-SH 2/3/2012


Nahas Kereta Api Terburuk Di Poland - 16 Maut 60 Cedera

Warsaw(Poland): Pasukan penyelamat berhempas-pulas sepanjang malam untuk mengeluarkan mereka yang terselamat daripada bangkai kereta api yang terlibat dalam satu kecelakaan kereta api di Szczekociny, Poland, kelmarin.

Kecelakaan itu menyebabkan 16 orang mati dan hampir 60 yang lain cedera, termasuk seorang yang dalam keadaan serius.

'Saya boleh sahkan 16 kematian. Kami baru sahaja menarik keluar seorang mangsa daripada bangkai kereta api tetapi kita tidak boleh menolak kemungkinan ada mangsa lain setelah keseluruhan bangkai diperiksa,' kata jurucakap khidmat kecemasan di Szczekociny, Encik Pawel Fratczak.

Tambahnya, operasi menyelamatkan mereka yang cedera sudah pun berakhir.

Ketika tiba di tempat kejadian, Presiden Poland, Encik Bronislaw Komorowski, berkata beliau akan mengumumkan tempoh perkabungan seluruh negara setelah operasi menyelamat selesai.

Sementara itu, Perdana Menteri Poland, Encik Donald Tusk, menyifatkan kecelakaan itu sebagai bencana paling buruk sejak 20 tahun lalu.

Selain rakyat Poland, warga Ukraine merupakan antara mereka yang tercedera, sementara warga Perancis dan Sepanyol, yang turut menaiki kereta api itu terlepas daripada sebarang kecederaan.

Sejumlah 350 penumpang berada di dalam dua kereta api yang terlibat dalam kecelakaan itu.

Menurut syarikat kereta api PKP, kedua-dua kereta api bertembung pada 9 malam (waktu tempatan) kerana kedua-duanya menggunakan landasan yang sama.

Satu kereta api sedang dalam perjalanan ke bandar selatan Krakow dari ibu kota Poland, Warsaw, sementara yang satu lagi dalam perjalanan dari Warsaw ke bandar tenggara, Przemysl.

Gambar-gambar nahas oleh saluran berita komersial, TVN24, menunjukkan bertan-tan besi remuk, dengan laporan menyatakan selain daripada kepala kedua-dua kereta api, sekurang-kurangnya tiga gerabak tergelincir dari landasan.

'Kami terdengar bunyi yang memekakkan dan kami tercampak dari kerusi. Kami nampak mayat terhempap di bawah kerusi dan beberapa mayat dengan sebahagian badan di luar kereta api dan sebahagian lagi di dalam gerabak,' kata salah seorang penumpang yang terselamat kepada agensi berita PAP Polish.

'Ia sangat mengerikan. Skala kemusnahan sangat besar,' kata salah seorang anggota bomba yang pertama tiba di tempat kejadian.

Sejumlah 450 anggota bomba dan 100 anggota polis terlibat dalam kerja-kerja menyelamat, kata jurucakap pasukan tindakan kecemasan.

Kemalangan kereta api kelmarin merupakan nahas kereta api paling buruk di Poland sejak 1990.

Dalam nahas pada 1990, 16 orang terbunuh apabila dua kereta api bertembung di kawasan luar bandar Warsaw, Ursus. -- AFP.



Kesemua Akur Dan Patuh Arahan PAS Pusat Tapi...

Exco: Phahrolrazi, Ismail akur keputusan PAS Pusat

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Isu pergolakan kerajaan negeri Kedah selesai apabila Timbalan Pesuruhajaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh akan menyertai semula barisan Exco kerajaan negeri.

"Matlamat saya sudah tercapai, saya akan sertai semula Exco," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya, apa matlamat itu, Phahrolrazi berkata, beliau mahu pentadbiran negeri Kedah dijalankan secara berjamaah.

"Dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu, ini bermakna akan ada pihak yang memantau pentadbiran negeri," kata beliau lagi.

Dr Ismail Salleh pula ketika dihubungi berkata, beliau juga menerima baik keputusan PAS Pusat dan akan menyertai semula exco sebagaimana yang diarahkan.

"Kami buat baru-baru ini macam kamikaze untuk meminta pimpinan memberikan perhatian kepada apa yang berlaku di Kedah ini. Sekarang semua dah beri perhatian dan mekanisma pentadbiran juga dibentuk melalui Jawatankuasa Pemandu, kami akan sertai semula exco selepas diarahkan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau memberi jaminan akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperkuatkan PAS dan menjatuhkan Umno di negara ini.

"Kami tidak ada niat lain melainkan untuk kepentingan jamaah. Kami bukan nak jadi Hasan Ali. Tok Guru Haji Hadi tok guru kami, ustaz kami. Kami hormati mereka," kata Dr Ismail yang bersama Phahrolrazi tidak mengangkat sumpah exco baru-baru ini.

Kedua-dua mereka mengulas keputusan PAS Pusat yang menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau semua kerajaan negeri yang ditadbir dan disertai PAS.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Alor Setar awal pagi semalam.

Meyuarat itu diadakan selepas pertemuan muhibbah PAS Pusat dan PAS Kedah yang diadakan sebelum itu iaitu mulai jam 10 malam Sabtu hingga jam 3.00 pagi semalam.

Pagi ini, di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengumumkan keputusan mesyuarat JK Pusat di Alor Setar semalam.

"Dalam mesyuarat tersebut kita telah memutuskan bahawa Datuk Seri Diraja Azizan Razak akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar.

"Selain itu juga kedua-dua exco perlu kembali dalam Exco Pentadbiran Negeri Kedah.

"PAS akan menubuhkan satu JK Pemandu untuk membantu negeri-negeri yang PAS tadbir dan negeri yang PAS sertai," jelasnya ketika bercakap pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini. -HD

Ismail tolak exco jika tiada 'perubahan pentadbiran'

Exco kerajaan negeri Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata, beliau tidak akan menerima lantikan semula jawatannya selagi tiada penambahbaikkan dalam 'pentadbiran' negeri pimpinan Datuk Seri Azizan Razak.

Katanya, perubahan perlu dilakukan memandangkan pelbagai masalah-masalah dalaman yang telah timbul.

"Jika perubahan tidak ada, saya tidak akan terima (jawatan exco). Perubahan mesti dilakukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Saya nak perubahan tertentu dalam pentadbiran negeri. Saya juga mahu (PAS) Pusat ambil perhatian terhadap masalah yang kami hadapi.

"Dah lama benda ini kami sebut tapi tidak buat apa-apa. Jadi kami ini seolah-olah 'kamikaze' untuk perkara ke arah kebaikan."

Walaupun enggan mengulas sama ada beliau merujuk supaya menteri besar diganti, Ismail berkata, isu berhubung "orang yang mentadbir" perkara kedua.

Ditanya lagi sama ada Azizan perlu meletakkan jawatan, Ismail berkata, terpulang kepada kepimpinan Pusat PAS untuk membuat keputusan.

"Kami sudah beritahu apa yang kami tidak puas hati. Bergantung pada Pusat untuk menilai. Kalau perlu (letak jawatan), buat. Pusat lebih layak buat keputusan," katanya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pagi ini berkata, Ismail dan seorang lagi exco Datuk Phahrolrazi Zawawi perlu menerima semula jawatan mereka kerana sudah diputuskan dalam mesyuarat khas di Alor Setar pada Sabtu lalu.

Marah sebab tak faham

Selain itu, Ismail menjelaskan, apa yang dilakukannya ini bukanlah sebagai tanda kecewa terhadap parti tetapi demi kebaikan.

"Saya harap orang faham apa yang saya buat. Ada orang yang marah dengan tindakan saya ini. Saya anggap mereka tak faham. Bila tak faham, mereka marah.

"Saya bukan kecewa dan saya bukan kejar jawatan. Apa yang saya nak ialah perubahan ke arah lebih baik. Untuk perubahan yang baik itu payah dan yang susah itu kami pilih.

"Saya cuma mahu pertahanankan Kedah pada pilihan raya akan datang dan seterusnya ke Putrajaya " ujarnya.

Ismail dan seorang lagi exco Datuk Phahrolrazi Zawawi (kanan) dijadual mengadakan sidang media di Alor Setar hari ini bagi mengumumkan tindakan lanjut mereka.
-mk


Azizan: Saya patuh arahan Pas Pusat

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akur pada keputusan muktamad pimpinan Pas Pusat berhubung kemelut pelantikan Exco Pas, yang menetapkan kedua-dua Exco terlibat, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang sebelum ini menolak tawaran dilantik semula bagi penggal 2012/2013.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, selaku pemimpin tertinggi Pas Kedah dan negeri, beliau perlu mematuhi arahan yang diputuskan oleh Pas Pusat.

“Saya ikut sahaja apa jua keputusan dalam mesyuarat yang diputuskan Pas Pusat, termasuk arahan yang dikeluarkan. Pada awal lagi, bukan saya yang buang mereka, tetapi mereka yang tidak mahu,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Berdasarkan keputusan yang dicapai selepas pertemuan melibatkan semua pihak di kediaman rasmi Menteri Besar, di Seri Mentaloon, malam kelmarin, Pas Pusat memutuskan Azizan kekal sebagai Menteri Besar sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Phahrolrazi dan Ismail kembali sebagai Exco dalam pentadbiran negeri selain menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu Pas Pusat untuk memantau dan memberi pandangan kepada negeri-negeri diterajui Pas dan negeri-negeri di mana Pas adalah sebahagian daripada pentadbiran negeri tersebut.

Azizan turut menyerahkan sepenuhnya kepada Pas Pusat untuk berbincang dengan kedua-dua Exco berkenaan sekiranya, selepas arahan dikeluarkan, timbul masalah lain membabitkan mereka.

“Jika selepas ini pun, mereka masih enggan ikut arahan yang ditetapkan Pas Pusat, saya nak buat macam mana. Selepas ini, saya serah pada Pusat untuk uruskan, lagipun isu ini sudah diambil sepenuhnya oleh Pusat dan mereka akan pantau apa yang berlaku,” katanya.

Dengan nada sedih, Azizan berkata, “Saya tak kelahi dengan sesiapa pun, tetapi orang yang cari gaduh dengan saya.”

Azizan bagaimana pun berkata, buat masa ini beliau belum berhasrat untuk mengadakan sidang media khas berhubung isu ini. -SH


Ulasan GB

Kamikaze?

Niat yang baik tetapi kaedah yang salah (sehingga jemaah menjadi porak-peranda) tidak menepati akhlak jemaah.

Anehnya semua tak mahu diasosiasikan dengan nama Hassan Ali, tapi cara dan tindakan Hassan Ali itulah yang diikutinya.

Dewan Ulamak PAS Pusat perlu lebih proaktif selepas ini supaya semua ahli jemaah khususnya peringkat "pemegang jawatan" diberikan tarbiyah sewajarnya.

Ketara di dalam isu Kedah ini ada ahli peringkat pimpinan sendiri tidak mengethaui kaedah tanzim di dalam jemaah.

[Bergambar] Dua Pelancong Maut - Bas Dari Genting Highlands Terbalik

Kuala Lumpur: Dua pelancong warga India maut manakala 20 lagi penumpang cedera apabila bas pelancong terbalik di kawasan bahu jalan di Kilometer 4.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini ketika dalam perjalanan menuju ke ibu negara dari Genting Highlands pada Isnin.

Bas pelancong berkenaan, yang membawa 22 penumpang warga India, pemandu dan kelindan, dikatakan terbabas ketika menuruni kawasan bukit dan memasuki selekoh tajam dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi.

"Akibat selekoh tajam serta menuruni bukit, bas berkenaan hilang kawalan lalu terlanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan menyebabkan dua warga India maut iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, manakala 20 lagi cedera," kata jurucakap Polis Daerah Bentong kepada Bernama.

Identiti dua mangsa yang maut itu masih belum dikenal pasti.

Jurucakap itu berkata kesemua mangsa, termasuk dua mangsa yang terkorban, dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Katanya pemandu bas dan kelindannya kini ditahan polis untuk diambil keterangan.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Balai Bentong pula berkata kesemua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan daripada bas berkenaan kira-kira 9.20 pagi.

Seramai 50 anggota melibatkan lima jentera dari balai bomba Bentong, Selayang, Kuala Kubu Bharu, Genting Highlands dan Wangsa Maju terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa, katanya. - BERNAMA

kredit Foto-foto: NST dan mstar







PAS Pusat Patut Halang Phahrolrazi Adakan Sidang Media

PAS: Phahrolrazi, Ismail perlu terima jawatan semula

PAS mengumumkan hari ini bahawa dua orang anggota exco kerajaan Kedah -- Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh -- perlu menerima semula jawatan berkenaan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, isu tersebut diputuskan demikian dalam mesyuarat khas di antara pemimpin berkenaan Sabtu lalu, termasuk bersama pesuruhjaya negeri itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Mesyuarat tertutup itu diadakan untuk membincangkan krisis dalaman parti itu di Kedah selepas mesyuarat khas PAS di Kuala Lumpur Khamis lalu gagal menemui jalan penyelesaian.

Mustafa berkata, PAS "optimis" bahawa kedua-dua pemimpin berkenaan akan berbuat demikian bagaimanapun parti itu masih belum mendengar maklum balas daripada kedua-dua pihak berkenaan.

Ismail juga tidak hadir ke mesyuarat tersebut, katanya.

Mustafa juga enggan membuat andaian sekiranya Phahrolrazi dan Ismail tetap enggan mengangkat sumpah sebagai anggota majis mesyuarat kerajaan negeri.

Mustafa juga enggan mendedahkan butiran yang dibangkitkan Phahrolrazi dan Ismail dalam mesyuarat itu, walau terus diasak wartawan dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Tambahnya, tindakan kerajaan negeri dalam isu AUKU juga tidak ditimbulkan dalam mesyuarat tersebut.

"Ia juga tidak ada kena mengena dengan pengagihan kerusi pilihan raya," katanya lagi.

Selain itu, Mustafa berkata PAS juga akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk membantu kelicinan pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

"Kita tidak campur pentadbiran per se," katanya. -mk

Ulasan GB

Gb telah mendapat makluman bahawa Phahrolrazi akan mengadakan sidang medianya petang ini:

Salam. Tuan/Puan dijemput hadir beramai . SIDANG MEDIA . Jam 5 petang ni dirumah YB Dato Phahrolrazi. Kewajipan semua hadir utk mengetahui lebih dekat kemelut yang berlaku. SEBARKAN pd ahli2 dan rakyat supaya semua pakat2 tau. T.Kasih. Wassalam -sedakasejahtera


Ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat, mengulangi kes Hassan Ali yang membuat sidang konferens berkali-kali dengan membelakangkan pimpinan PAS Negeri dan Pusat sebelum beliau dipecat dan setelah dipecat.

Apabila keputusan muktamad dibuat oleh PAS Pusat, sepatutnya, keputusan itu diterima dengan redha dan hati terbuka, samada suka atau tidak suka, senang atau susah.

PAS Pusat di dalam Majlis Mahabbah sepatutnya mengambil "baiah" dari semua yang terlibat supaya akur dan patuh kepada keputusan yang ditetapkan dan menghalang sebarang press conference selepasnya oleh semua pihak yang terlibat dengan isu Kedah ini.

Jika tidak maka akan terus berlarutanlah isu Kedah ini dan keputusan PAS Pusat itu seperti tidak dihormati dan tidak diambil peduli.

Sebelum Majlis Mahabbah pun, Phahrolrazi telah membuat press conferencenya terlebih dahulu di hadapan media massa yang selama ini memusuhi PAS.

Berulanglah lagi kes Hassan Ali di Selangor dan Abdullah Ubai di Mekah. masing-masing lakukan "press conference" sendiri-sendiri tanpa restu pimpinan. (Abddullah Ubai memanggil para penyokongnya di dalam satu kelompok untuk menentang keputusan Rasulullah saw).

Justeru itu bagi pandangan GB, apabila sesuatu keputusan telah dicapai secara jemaah, sebarang press conference oleh mereka yang terlibat adalah jelas HARAMnya.

Dalil-dalilnya:

Firmanullah:

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّىَ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجاً مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيماً

Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam perselisihan yang timbul di antara mereka kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. An-Nisa': 65


Hadith Rasulullah mafhumnya:

"Adalah menjadi tuntutan ke atas seorang muslim untuk mendengar dan mentaati samada perkara itu disukai atau tidak disukai, selama mana ia tidak diperintahkan berbuat maksiat" (Bukhari & Muslim)

Kaedah Feqah menyebut:

"Seseorang dituntut kerana pengakuannya"

Minta pengesahan sekalian ustaz dan Dewan Ulamak mengenainya.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



[TERKINI] Isu Kedah: Azizan Kekal MB, Phahrolrazi & Ismail Kembali Sebagai Exco [updated]

Kuala Lumpur - Pas Pusat mencapai kata putus dengan mengekalkan Datuk Seri Azizan sebagai Menteri Besar Kedah dan telah meminta dua Exco yang terlibat kembali (menerima jawatan exco).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Musatafa Ali berkata, setelah mesyuarat khas bersama Presiden Pas di Alor Setar kelmarin Azizan diminta untuk meneruskan tugasnya seperti biasa.

<"Selain itu, Pas Pusat juga sebulat suara mahu Datuk Pharolrazi dan Datuk Ismail Salleh kembali sebagai exco dalam pentadbiran negeri Kedah.

"Antara lain, Pas Pusat akan menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu untuk sama-sama bertangungjawab memantau dan beri pandangan kepada negeri-negeri yang diterajui oleh Pas dan juga negeri-negeri yang Pas adalah sebahagian daripada negeri tersebut," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas Pusat pagi ini.

Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat Sabtu lalu di Alor Setar, Kedah.

Pas pertemuan itu, Ismail tidak bersama, tetapi keputusan Pas Pusat ini telah di maklumkan.

"Kedua-dua Exco dah tahu keputusan ini, dan itu yang kami putuskan," katanya.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua Exco telah memberi jawapan atau tidak.

Mustafa berkata, pihaknya optimis yang kedua-dua Exco itu akan kembali menerima jawatannya. -SH

Azizan kekal MB, 2 exco perlu kembali

KUALA LUMPUR, 5 Mac: PAS hari ini menemui jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku di Kedah berhubung dengan pelantikan dua exco yang masih tertangguh hingga hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan telah dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat berhubung dengan perbincangan di Alor Setar sebelum ini.

"Dalam mesyuarat tersebut kita telah memutuskan bahawa Datuk Seri Diraja Azizan Razak akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar.

"Selain itu juga kedua-dua exco perlu kembali dalam Exco Pentadbiran Negeri Kedah,"
jelasnya ketika bercakap pada satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, pagi ini.

Malam semalam, perbincangan mencari formula penyelesaian isu Kedah berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon yang menyaksikan perbincangan hampir 5 jam bermula 9.30 malam sehingga jam 3 pagi.

Pertemuan tersebut adalah antara Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan Badan Perhubungan PAS Kedah dengan dipengerusikan sendiri Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ianya berhubung isu Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah dan dilihat tidak selari dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ust Azizan Abdul Razak.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri I dan II manakala Azizan adalah Pesuruhjaya PAS Negeri.

Mustafa juga berkata, PAS Pusat akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk bersama bertanggungjawab memantau serta memberi pandangan kepada pentadbiran negeri di bawah PAS, malah termasuk juga negeri-negeri yang mana PAS juga turut terlibat dalam pentadbiran.

Ketika ditanya mengenai perbincangan yang diambil begitu lama bagi menyelesaikan kemelut tersebut, Mustafa memberitahu mesyuarat sebenarnya tidak lama tetapi untuk mendengar pandangan exco-exco itu memerlukan masa yang lama.

Beliau turut yakin bahawa krisis itu selesai dan kedua-dua exco menerima keputusan yang telah dicapai.

"Kita telah memaklumkan keputusan tersebut secara lisan dan saya optimis kedua-dua mereka menerima keputusan tersebut.

"Buat masa sekarang tidak ada sebarang andaian negatif dilakukan terhadap keengganan mereka menerima keputusan tersebut," sambungnya.

Mustafa turut menyatakan keputusan itu juga telah dipersetujui oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Selain itu juga kita turut yakin dan optimis bahawa keputusan ini akan mengukuhkan kedudukan kita (PAS) di Kedah serta mengekal kemenangan pada pilihan raya yang akan datang," jelasnya lagi.
-HD




Ulasan GB

Seperti yang GB telah jangka sebelum ini.

Dan kita berharap isu Kedah selesai, bukan sekadar untuk menghadapi pilihanraya tetapi keputusan untuk jangkapendek dan jangkapanjang demi kemantapan jemaah PAS seluruhnya khususnya PAS Kedah.

Kita tidak mahu dianggap membuat keputusan "seperti menyapu sampah ke bawah karpet", iaiatu keputusan jangkapendek yang hanya bertujuan menghadapi piliahnraya, tetapi satu keputusan tegas dan muktamad yang perlu diterima oleh semua pihak dengan hati terbuka dan tawadhu jika mereka masih menganggap diri mereka sebagai ahli jemaah.

Ia menyangkut persoalan akhlak dan disiplin ahli jemaah.

Tiada ruang untuk si keras kepala, tiada ruang untuk yang berdegil dan tiada ruang untuk mereka yang suka bertindak sendirian mengikut hawa nafsu dengan tidak mematuhi amal jamaiyy.

Itu pertama.

Kedua GB meminta pihak petugas akhbar rasmi PAS, Harakahdaily supaya mempertingkatkan efficiency dan effectiveness agar laporan mengenai isu-isu yang membabitkan parti cepat dilaporkan di dalam akhbar online PAS tersebut.

Ini adalah untuk mengelakkan rakyat bergantung dan termakan dengan berita-berita dan laporan-laporan dari akhbar media massa arus perdana yang sentiasa kelihatan memaparkan isu Kedah secara negatif.

Jika rakyat cenderung untuk melihat isu Kedah secara senget, kesalahannya juga disumbangankan oleh kesalahan organ PAS seperti harakahdaily yang gagal menyajikan berita yang benar, tepat dan cepat kepada masyarakat umum.

GB hairan mengapa harakahdaily begitu pasif dengan isu Kedah sejak dari awal lagi dengan membiarkan lambakan laporan sonsang arus media perdana tidak berjawab.

Kami blogger hanya mampu menjalankan tugas mengikut kemampuan yang kami ada, tanpa upah tanpa obligasi khusus dari parti, kecuali memikul tanggungjawab menegakkan kebenaran dan keadilan. GB dan lain-lain blogger hanya mengharapkan balasan dan keredhaan dariNya.

Di sini, GB ingin mengucapkan merakamkan syabas dan terima kasih kepada pihak akhbar Sinar Harian yang lebih cepat melaporkan isu Kedah ini dengan laporan yang lebih objektif (walaupun tidak 100%) daripada akhbar-akhbar arus perdana yang lain, yang menyebabkan tafik akhbar dalam talian mereka sesak sejak isu Kedah bergelora.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Najib Perlu Lepaskan Jawatan Sebagai Menteri Kewangan

Daim: PM tak harus pegang jawatan menteri kewangan

Seseorang perdana menteri tidak seharusnya juga memegang jawatan menteri kewangan, kata pemimpin veteran Umno dan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Katanya, tradisi perdana menteri memegang dua jawatan itu menjadi amalan sejak krisis ekonomi 1997, yang dipantau rapi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Daim dalam wawancaranya dengan akhbar harian Cina, China Press yang diterbitkan hari ini, berkata, perdana menteri sebagai ketua pentadbiran sesebuah negara, dan juga selaku pengerusi BN dan ketua Umno mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sebegitu besar untuk turut mengendalikan kewangan kementerian juga.

Katanya, dengan melantik menteri kewangan kedua bagi membantu perdana menteri tidak akan membantu dalam perkara itu.

"Jawatan menteri kewangan kedua diwujudkan bagi menangani krisis ekonomi (1997).

"Sekarang tempoh krisis sudah berakhir tetapi negara masih mempunyai menteri kewangan dan menteri kewangan kedua pada masa yang sama. Siapa yang membuat keputusan sebenar?” kata Daim yang berkhidmat pada sekitar tahun 1980-an.

Katanya, perdana menteri yang merangkap sebagai menteri kewangan akan tertakluk kepada bidasan dan kritikan sengit jika ekonomi negara merudum.

"Sistem yang baik adalah perdana menteri di atas menteri kewangan. Jadi, jika menteri kewangan membuat keputusan yang salah, perdana menteri boleh tampil dan membetulkan keadaan, "

"Tetapi jika perdana menteri adalah menteri kewangan pada masa yang sama, tiada siapa yang berani untuk menegur atau memperbetulkannya,"
katanya. -mk


Ulasan GB

Tepat seperti yang GB utarakan sebelum ini. Petikan ulasan GB sebelum ini pada 16 Sept 2011

Semenjak Tun Dr. Mahathir memegang Kementerian Kewangan selain menjadi Perdana Menteri, trend itu nampaknya berterusan dengan diikuti oleh PM selepasnya, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Razak.

Masing-masing PM tersebut dilihat hendak menjaga dan memanipulasi pelbagai kepentingan dengan menyandang jawatan Menteri Kewangan.

Malah seingat GB, sebelum Pak Lah berundur sebagai PM beliau telah terlebih dahulu menerima tekanan daripada kumpulan Najib supaya menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Mahathirlah yang telah meletakkan "precedent" tersebut.

Sudah sampai masanya ia diubah semula dengan Najib menyerahkan portfolio kewangan kepada orang lain sebelum nanti dibongkar segala kepentingan yang beliau ada di kementerian berkenaan.


Azab Sewaktu Mati Akibat Memakai Susuk

Berkubang buang susuk

KUALA TERENGGANU: Melihat rakan karib mati dalam keadaan ngeri apabila wajah berubah hodoh dengan kulit seolah-olah hangus akibat memakai susuk, seorang wanita insaf dan nekad membuang susuk dipakainya lebih 20 tahun.

Wanita berusia 48 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hayati berkata, kematian sahabatnya menginsafkannya menyebabkan dia bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana tidak sanggup mengalami nasib serupa.

“Bagaimanapun, bukan senang untuk membuang pelbagai susuk yang lebih 20 tahun tertanam di beberapa anggota tubuh kerana prosesnya amat menyeksakan.

“Saya terpaksa berendam seminggu dalam kubang kerbau dengan bantuan bomoh yang membuang debu-debu susuk di dalam tubuh.

SERAP...susuk emas meresap ke dalam kulit pemakai.

“Sepanjang seminggu itu, makanan dihantar bomoh berkenaan kerana kubang kerbau tempat saya berendam jauh daripada orang ramai,” katanya yang sedia berkongsi keterlanjuran silamnya sebagai iktibar kepada masyarakat.

Hayati berkata, dia mula memakai susuk ketika berusia 25 tahun berikutan ingin kelihatan cantik supaya kedai makan diusahakannya menarik pelanggan. -HM

Definasi Susuk

SUSUK ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam tubuh dengan cara tertentu untuk tujuan tertentu. Biasanya susuk dipasang untuk tujuan kecantikan, kekuatan, awet muda dan penunduk. Pemakaian susuk biasanya melibatkan campur tangan jin yang dipuja bagi menjaga kawasan anggota yang dipakai susuk, Susuk dipakai pada muka bagi tujuan tarikan kecantikan pada pinggang, betis, alat-alat sulit bagi tujuan kecantikan.

Ianya dipasang oleh bomoh-bomoh tertentu menggunakan alat-alat yang tertentu. Biasanya sebelum memasukkan susuk, bomoh-bomoh akan melakukan pemujaan-pemujaan terhadap jin. Susuk yang dimasukkan ke dalam tubuh itu biasanya terdiri daripada logam seperti perak, berlian, besi, suasa, tembaga dan sebagainya.

Orang yang memakai susuk akan memiliki wajah yang cantik yang luar biasa, kekuatan yang luar biasa dan umur yang sentiasa muda.

Pemakaian susuk amat seksa dan menyakitkan pemakai ketika ianya dipakai dan selepas dipakaikan berminggu-minggu lamanya si pemakai bekurung di dalam rumah akibat kesan daripada pemakaian itu seperti mengalami bengkak-bengkak, gatal-gatal dan sebagainya.

Setiap susuk yang di pasang biasanya dikenakan bayaran tertentu dan harga bayarannya boleh mencecah ke puluhan ribu ringgit.

Semakin lama umur susuk di dalam badan seseorang semakin kuat pemakainya, semakin tua si pemakainya maka semakin cantik wajahnya dan semakin kuat kudratnya.
Keanggunan wajah orang yang memakai susuk ini sungguh menakjubkan serta kejelitaannya boleh memukau sesiapa sahaja yang melihat wajahnya.

Amalan memakai susuk ini diamalkan oleh orang-orang jahiliah dan sejarah susuk ini bermula dari zaman Firaun di mana seorang tua yang berumur ratusan tahun kelihatan muda seperti umur belasan tahun kerana susuk yang dipakainya.




Susah mati pakai ‘Susuk Pencinta’

KUALA LUMPUR: “Setahu saya susuk digunakan wanita itu dikenali sebagai ‘Sihir Marhabah’ atau ‘Susuk Pencinta’ yang mampu membuatkan orang lain mudah jatuh cinta dan senang hati dengan pemakainya.

“Hukum memakainya haram kerana ia perbuatan syirik dan khurafat,” kata Pengamal Perubatan Islam, Pusat Rawatan Pakar dan Terapi Al Quran Darul Hikmah, Abdul Malek Ladzim al-Azhari.

Menurutnya, Sihir Marhabah sangat bahaya kerana ia boleh mengkhayalkan pandangan orang lain sehingga mampu membuatkan mereka terpesona dan mahu mendekatinya selain berniat sesuatu yang tidak baik.

“Susuk Marhabah adalah sesuatu yang dimasukkan ke dalam badan menggunakan jarum, bertujuan tertentu, menggunakan kaedah tertentu dan ia dikawal seekor Jin Qarin yang sentiasa mahukan unsur syirik,” katanya.

Menurut Abdul Malek, kesan yang akan timbul sekiranya tidak meninggalkan susuk itu adalah susah untuk mati kerana jin Qarin memakan tuannya di waktu tua dan menjejaskan keturunan.

“Ini perbuatan yang memesongkan akidah dan buruk akibatnya di akhirat kelak. Untuk membuang susuk itu, maka wajar wanita berkenaan melakukan perkara yang melanggar pantang larang di awal perjanjian,” katanya ketika dihubungi.
-hm

Hijrah Artis - Mereka Menyambut Hidayah Yang Dikurniakan Ilahi


1. Bob Lokman - bekas pelakon, pelawak, komposer

"Setelah aku melalui segala jalan syahwat, ALLAH memberikan aku gambaran AKHIRAT"

2. Ustaz akhil hayy - bekas penyanyi rock (80-an) 'D Riyadh'

Namun begitu, takdir Ilahi menentukan Ustaz Akhil akhirnya meninggalkan kehidupan sebagai seorang pemuzik rock. Kini, beliau lebih dikenali dengan lagu-lagu nasyid dan ceramah agama yang disampaikan di seluruh negara. Ustaz Akhil turut diberi gelaran 'Ustaz Rock' kerana penglibatan beliau dalam arena muzik rock suatu ketika dahulu.


3. Megat - bekas penyanyi kumpulan ACAB

"Ana berubah sebab terlalu banyak sangat fitnah dan tohmahan yang ana terima. Macam-macam fitnah sampai kata ana murtadlah, antiagamalah dan macam-macam lagi".

4. Azmeer Mustafa - bekas pelakon filem 'ali setan'

Bekas pelakon ‘Ali Setan’, Haji Mohd Azmil Dato’ Mustapha, bagai tidak percaya bahawa watak nakal dalam filem tersebut telah berubah sama sekali. Berjubah putih, berjanggut, riak wajahnya cukup menggambarkan ketenangan dikecapinya. Berbual dengannya seolah-olah mendengar ceramah, yang kini menjadi rutin hariannya. Ikuti temu bual wartawan Harakah, ANIS NAZRI dengan Azmil, di kediamannya di Shah Alam baru-baru ini.

5. Ustaz Radzi - bekas penyanyi rock 'Melissa'

MELIHAT penampilannya yang kini berserban dan berjubah, siapa sangka beliau adalah bekas vokalis kumpulan rcok terkenal, Melissa dan pernah mempopularkan lagu hit, Cinta Untuk Nabila. Lagu itu begitu popular dan sering menjadi siulan anak muda lebih 15 tahun lalu kerana melodi dan liriknya yang berkesan, apatah lagi vokal penyanyinya yang nyaring dan meruntun hati.

6. Iwan Syahman - bekas penyanyi dangdut

Penyanyi dan bekas komposer lagu-lagu dangdut, Iwan sudah berubah penampilan apabila mula mendekatkan diri dengan agama. Imejnya juga sudah berbeza dari dulu apabila memilih bersarban sebagai imej harian. Semua orang beranggapan Iwan sudah mahu menjauhkan diri daripada muzik

7. Izam - bekas vocalis kumpulan E.Y.E

Kumpulan EYE pernah menempah zaman populariti pada era 1980-an dan 1990-an melalui genre balada (jiwang).EYE telah menghasilkan 5 buah album sebelum ini iaitu Mekar, Satu Nukilan Abadi, Semakin Menjadi-jadi, Lebih Hebat Lagi dan Mahkota Impian. Namun setelah sekian lama menyepi, EYE tampil dengan satu konsep yang berlainan dengan sebelum ini.



EYE akhirnya muncul dengan album ketuhanan pertama, Nama Mu. Album ini memuatkan 10 buah lagu baru seperti Thaif, Alpa, Keikhlasanmu, Arah,Agung Cintaku dan sebagainya. Album ini diterbitkan oleh Otai Studio dengan mengekalkan 4 ahli asal EYE iaitu Izam, Amir, Bard dan Arbi. Album ini boleh didapati melalui laman rasmi Facebook mereka.

8. Sham kamikaze - bekas gitaris kumpulan 'kamikaze'

Sham Kamikaze diberi hidayah apabila Imam Sudais atau Imam Abdul Rahman Al-Sudais, imam besar Masjidilharam menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Sham Kamikaze. Sham Kamikaze teruja dengan peristiwa itu yang mana memang bukan sebarangan orang dapat bersalam dengan Imam Sudais apatah lagi dirinya yang menyambut tangan Imam Sudais.

Sumber: Sham Kamikaze Insaf selepas Diberi Hidayah — LimauAis

Sham Kamikaze Terus Berdakwah Walaupun Dikutuk & Dicerca

9. Mel - bekas penyanyi kumpulan 'Wings'

Bekas vokalis kumpulan Wings, Mel atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin, 45, mengakui selesa menjalani kehidupan sebagai pendakwah bebas selepas berundur sebagai penyanyi kira-kira sepuluh tahun lalu.

Selepas meninggalkan dunia nyanyian, Mel selesa dengan kehidupan hari ini iaitu berdakwah dan mengadakan ceramah di merata tempat. Selain itu, Mel juga aktif menyanyikan lagu-lagu berbentuk ketuhanan tetapi tidak lagi di pentas komersial.

Baru-baru ini Mel muncul dalam konsert Wings Opera Hidup Rockestra di Istana Budaya. Kata Mel, dia menyanyi di konsert tersebut semata-mata untuk memeriahkan konsert itu. Ia adalah tanda sokongan dan penghargaan kerana dia pernah bersama Wings satu waktu dulu. Namun kata Mel ia bukan bermakna saya ingin aktif kembali dalam bidang nyanyian. Dia selesa dengan kehidupan sekarang.

Bersama Wings, Mel sempat menghasilkan sebuah album iaitu Orang Asing (1995) yang menampilkan lagu-lagu popular seperti Lena Diulit Intan dan Semalam Yang Hangat. Selepas itu, Mel bergerak sebagai penyanyi solo dengan dua album Mencari Enigma Lagu (1996) dan Sukma’98 (1998), sebelum berundur diri untuk menumpukan perhatian pada bidang keagamaan. [mStar - 7 Mei 2011]

Lain2 Artis:

Ashraf Muslim (Ustaz Amirul)

Ashraf Muslim lahir pada 19 September 1981, di Teluk Emas, Melaka. Beliau merupakan anak pertama dari 7 orang adik beradik

Ashraf merupakan seorang pelakon yang pernah membintangi filem 'Aku Masih Dara', dan drama-drama tempatan seperti Impian Illyana, Manjalara, Impak Maksima, Puaka Niang Rapik, Ustaz Amirul dan beberapa lagi.

Beliau membuka satu klinik pengamal perubatan tradisional bersama Ustaz Lokman Abdul Hamid, iaitu Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Ia adalah perubatan Islam yang berlandaskan al-Quran. Penawarnya melalui ayat-ayat suci yang dilafazkan kepada pesakit. Selama ini buat secara sambilan. Sekarang sudah ramai pesakit. Dia menjadi merupakan hos untuk rancangan perubatan, Syifa al Hidayah di Astro Oasis.

Selain itu Ashraf menternak 600 ekor kambing, ikan keli, ketam bercangkerang lembut atau keras dan lain-lain.

Noorkumalasari

Noor Kumalasari lahir pada tahun 1956 di Singapura. Beliau merupakan salah seorang pelakon dan penyanyi Malaysia yang terkenal pada 1970-an dan 1980-an.

Noorkumalasari merupakan anak kepada S. Roomai Noor dan Datin Hajjah Umi Kalthum. Beliau juga merupakan adik seayah Anita Sarawak.

Selain berlakon dan menyanyi, Noor juga turut mengacara, antaranya Anugerah Juara Lagu 1987.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan sebarang target untuk berubah. Bila saya bercerai dan tiga tahun menjanda, sembahyang pun bukan semua waktu... Noor berdoa, kalau ada jodoh lagi Noor nak seorang suami yang dapat membantu Noor dekatkan diri dengan Allah.

"Alhamdulillah lepas 3 tahun jumpa suami sekarang... dia dulu moden juga... apa yang (saya) minta Allah makbul..." cerita NoorKumalasari kepada Damaitv.

Aishah

Wan Aishah binti Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah, merupakan penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan dan menganggotai kumpulan Fan Club dari New Zealand.

Album nyanyian Aishah bersama Fan Club iaitu Sensation telah menaikkan namanya sebagai penyanyi wanita pertama Malaysia yang berjaya ke peringkat antarabangsa. Kumpulan itu popular dengan lagu-lagu seperti 'Call me', 'Sensation', 'Paradise' dan beberapa lagi.

Aishah telah berpecah dengan kumpulan Fan Club pada tahun 1992 dan seterusnya menjadi penyanyi solo.

Aishah telah berkahwin dengan Faizal Sazali Zulkifli pada 30hb April 2010. Pasangan ini telah bernikah di Narathiwat, Thailand.



Wardina

Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot lahir 5 Jun 1979 di Kuala Lumpur, ialah seorang pengacara TV, model dan pelakon. Beliau merupakan antara pelakon wanita bertudung litup pertama di Malaysia yang muncul dalam watak utama filem iaitu menerusi Lagi-Lagi Senario pada tahun 2001. Beliau memulakan kerjaya pengacaraan dan lakonan setelah aktif sebagai model dan bertanding dalam pertandingan akhir Dewi Remaja 1997/98 anjuran majalah Remaja.

Wardina mempunyai darah campuran Australia oleh bapanya dan Melayu Aceh di sebelah ibunya. Berketinggian 5 kaki 6 inci, beliau telah pun mendirikan rumahtangga bersama seorang arkitek Ikhwan Johari pada September 2002 dalam sebuah majlis yang mendapat liputan meluas media. Kini bahagia sebagai ibu kepada Amna Nafeesa, Azra Sareera dan Imran Arrazi.

Wardina Nasihat Rakan Artisnya Rujuk Pakar Dahulu Sebelum Komen Hudud

Erma Fatimah

Fatimah bt Rahmad atau lebih dikenali sebagai Erma Fatima adalah seorang pelakon, pengarah, penerbit filem, penerbit TV dan penulis di Malaysia.

Memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia menerusi "Hati Bukan Kristal" tahun 1990 dan "Femina" tahun 1994.Mula diperkenalkan menerusi filem "Rozana 87" yang diterbitkan pada tahun 1987.

Merupakan pelakon yang berkaliber dan konsisten terhadap setiap lakonan beliau. Filem pertama yang beliau arahkan ialah 'Perempuan Melayu Terakhir' lakonan Pelakon Wanita Terbaik FFM 20 Vanida Imran. Beliau juga mencipta sejarah apabila menerima anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Seoul, Korea Selatan.

Sekarang ini beliau masih lagi aktif berlakon dan mengarah drama serta filem. Arahan terakhir beliau setakat ini adalah filem 'Diva Popular' yang menggandingkan adiknya Umie Aida dan Penyanyi terkenal Ezlynn.

Catriona Ross

Catriona Noorhayati Bahrin Ross atau lebih dikenali sebagai Catriona Ross @ Cat, adalah seorang pelakon yang berkacukan Melayu dan Scottish.

Tentang pemakaian tudung, Cat berkata, semuanya bermula apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC pada 14 Julai 2010

Tergerak hatinya mencuba satu tudung dan ketika melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga bergenang air mata. Sepantas kilat ditanggalkan tudung itu.

Dia yang dihenyak perasaan pilu, hiba dan syahdu kemudian berpusing ke arah temannya seraya spontan meluahkan hasrat mahu memakai tudung. Luahan itu bagaimanapun mengundang tawa sahabatnya kerana menyangka dia bergurau.

“Ketika memandu pulang ke rumah, saya menangis. Sukar untuk jelaskan perasaan saya ketika itu. Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah dari Allah. [Harian Metro]

Catriona Ross: Saya Akan Sertai PAS Bila Saya Yakin Dapat Sumbang Sesuatu Kepada Parti

Sheila Rusly

Sheila Rusly merupakan pelakon komedi Malaysia yang popular dan pernah merangkul pelbagai anugerah. Sheila dilahirkan di Selayang pada 1970, memiliki darah campuran Melayu dan Cina. Dia mula bergiat aktif di persada seni sejak tahun 1986 ketika berusia 16 tahun.

Ketika awal kemunculan beliau, Sheila banyak berlakon di bawah arahan pelawak terkenal AR Badul. Bakat komedinya dicungkil AR Badul hingga menjadi pelawak wanita paling popular di Malaysia.

Di layar perak, Sheila diingati menerusi watak komedinya dalam filem MX3 yang menggandingkan beliau dengan pelawak Saiful Apek. Gandingan Sheila dan Saiful meledakkan panggung dan dikenang sebagai pasangan pelawak paling hebat dalam filem Melayu. Sheila juga mencuri tumpuan apabila bergandingan bersama Afdlin Shauki dalam filem Diva Popular.

Sheila kini aktif sebagai penerbit dan banyak menerbitkan drama-drama bermutu untuk siaran televisyen tempatan. Menerusi drama Sebuah Ijtihad, produksi Sheila berjaya merangkul anugerah Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2007.

Seniwati Datuk Sarimah

Datuk Sarimah Ahmad lahir pada 28 April 1942 di Pulau Rusa, Pekan, Pahang, lebih dikenali sebagai Sarimah dan merupakan artis Malaysia yang terkenal dalam filem hitam putih Melayu era 1960-an dan 1970-an yang dicungkil bakatnya olehAllahyarham P. Ramlee.

Beliau diberi pengenalan umum melalui filem Ali Baba Bujang Lapok. Seorang yang cepat bersinar bintangnya. Diantara filem lain yang digandingkan bersama P.Ramlee ialah Ibu Mertuaku, Madu Tiga, Tiga Abdul, Kanchan Tirana dan Dr Rushdi.

Filem-filem lain lakonannya ialah Si Tanggang, Indera Bangsawan, Lubalang Daik, Neracha, Raja Bersiong, Ranjau Sepanjang Jalan, Warna-warna hati, Sepi itu indah, Momok the movie dan sebagainya lagi.

Kumpulan Al Mawlid

Seterusnya manusia yang tersimbah hidayah Allah adalah sekumpulan anak muda yang dulunya membawa muzik Pop R&B kini berubah angin dan membentuk Kumpulan Al Mawlid.

Dianggotai oleh Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Abdullah Ahmad (Lah VE), Zafri Nazarudin (Zaf VE), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Ruffedge), Amer Munawer Yusoff (Amer Ruffedge), Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj Innuendo) dan Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode Ruffedge) telah dipertemukan ketika menghadiri kuliah agama di Surau Al Hidayah di AU3 Keramat lantas membentuk kumpulan berbentuk dakwah ini.

Irma Hasmie

Seterusnya bekas kekasih Nabil si Raja Lawak cik Irma Hasmie. Artis yang sedang membintangi cerita Kasih Alia yang aku turut tonton di TV3 ini tampak begitu ayu setelah memilih bertudung sebagai langkah penghijrahan pertama.

Semoga makin ramai lagi dan kalau boleh semua artis akan mengikut jejak-jejak yang sangat bagus ini, untuk kebaikan bersama. Biar Malaysia menjadi contoh kepada dunia, mempunyai artis-artis yang Islamik dan pandai menutup auratnya, agar masyarakat tidak punah ranah dan bergelumang dengan dosa dengan mendedah tubuh sana-sini, na'uzubillah.

kredit: -muhamadazrulali.blogspot.com edit: GB

Ulasan GB

Betapa indahnya hidup dan kehidupan jika dunia hiburan di negara ini diisi dengan para artis yang tahu menjaga nilai diri dan mematuhi syariat Ilahi... sekaligus membersihkan seni hiburan dari nilai-nila hedonistik yang begitu merosakkan masyarakat.

Pilihlah di antara dua wahai sdra/i artis: menyambut atau menolak anugerah hidayah Ilahi itu... Jika engkau menyambut, Dia bakal menyambutmu di "sana" begitulah jika kau menolak, tidakkah kau khuatir Dia menolakmu nanti di "sana"?