1 Apr 2012

Isu Tanah Masjid Bayan Mutiara: Ludah UMNO Yang Terkena Ke Muka Sendiri

NNGO: Tanah masjid Bayan Mutiara hilang silap Umno

NGO Kongres Melayu Pulau Pinang hari ini mendakwa Umno merupakan pihak bertanggungjawab dalam memastikan bahawa tanah masjid di Bayan Mutiara tidak dijual kepada pemaju.

Presidennya Rahmad Isahak berkata, Umno yang menyertai pentadbiran Pulau Pinang sebelum ini sepatutnya telah memastikan bahawa tanah berkenaan dipecahkan kepada lot selepas pelan fasa 1 projek tersebut diluluskan majlis perbandaran pada 2006.

Katanya, Umno tidak bertindak untuk menggazetkan tanah berkenaan dalam tempoh satu tahun lima bulan, sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2008.

Rahmad mempersoalkan tindakan yang dilakukan Umno untuk memastikan bahawa tanah itu dipecah lot untuk dimilik Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), memandangkan pelan yang diluluskan itu kini telah tamat tempoh.

Mengikut undang-undang, pejabat tanah tidak dapat mengeluarkan geran milik tanah kepada MAIPP, atau untuk memindahkan milikan tanah itu sekiranya tidak dipecah kepada lot, katanya.

"Apa yang telah Umno lakukan daripada 2006 hingga 2008, sebelum negeri itu diambil alih Pakatan Rakyat.

"Di mana bukti undang-undang bahawa tanah itu telah digazetkan dan dipunyai MAIPP seperti didakwa Umno," kata bekas kakitangan mahkamah itu lagi. -mk

Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Inspektor Polis Antara 9 Ditahan Kes Culik

Shah Alam - Sembilan individu termasuk seorang Inspektor Polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes culik seorang pengurus projek di tapak pembinaan di kawasan perindustrian Seri Kembangan 22 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, sembilan suspek berumur antara 26 dan 48 tahun itu ditahan di Kajang dan Rawang semalam sebaik mangsa dibebaskan pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Pegawai polis berusia 43 tahun itu, yang mempunyai rekod jenayah lampau telah digantung kerja sejak tahun 2010, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata polis turut menemui semula wang tebusan sebanyak RM275,850 dan merampas beberapa buah kereta, antaranya Proton Gen 2, Honda Odyssey dan Proton Waja, sebuah motosikal, sebuah treler, parang, topeng, kad Touch n Go dan Smart Tag daripada suspek.

"Kami hanya menemui semula RM275,850 daripada sejumlah RM300,000 yang dibayar oleh bapa mangsa," katanya.

Lelaki berusia 34 tahun itu diculik pada 22 Mac semasa dalam perjalanan untuk meninjau tapak pembinaan di Seri Kembangan. Laporan polis mengenai penculikan itu dibuat oleh bapa mangsa pada pukul 11 pagi hari yang sama mangsa diculik.

Suspek membawa mangsa ke Rawang dan mengurungnya di sebuah rumah di sana.

Mereka kemudian meminta wang tebusan sebanyak RM1.5 juta, dan jumlah itu dikurangkan kepada RM300,000 selepas berunding dengan bapa mangsa, yang juga rakan kongsi perniagaan dengan anaknya.

Tun Hisan berkata tiga daripada sembilan lelaki terbabit, termasuk pegawai polis itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 7 April bagi membantu siasatan, katanya. – Bernama

Ulasan GB

Pertama GB ucapkan tahniah kepada Polis kerana menahan penjenayah yang salah seorangnya adalah anggotanya sendiri. Tindakan tidak memilih bulu tersebut wajar mendapat pujian.

Kedua ia mengesahkan apa yang GB tulis sebelum ini adalah BENAR. GB pernah ulas begini:

Kejadian jenayah menjadi-jadi di kalangan anggota PDRM kerana ada menteri dan pegawai polis sendiri yang membelanya - bahawa bilangan anggota polis yang melakukan jenayah adalah kecil berbanding jumlah anggota PDRM keseluruhannya. Begitu juga kenyataan KPN menyatakan cuma 1% polis yang terlibat dengan jenayah.

Sindrom memberikan alasan sedemikian amat-amat tidak wajar kerana ia persis menggalakkan lagi perbuatan jenayah dan salahlaku polis yang sepatutnya bertindak membenteras jenayah - tetapi kini, mereka sebenarnya penjenayah.

Sebelum ini GB sudah ulas di dalam kes seorang anggota polis ditahan kerana merogol pelajar tingkatan 5 di dalam balai polis. Petikan:

Semakin banyak kita temui kisah polis merompak, mengugut, membunuh, merogol dan melakukan hal-hal mengejutkan yang menyebabkan jenayah terus berleluasa kerana ia dilakukan oleh orang yang ada pistol...

Dalam balai polis pun boleh berlaku kejadian rogol. Apakah ini juga bererti perempuan jangan dekati balai polis?

Atau semua balai polis perlu letak signboard besar-besar, "KAMI JAMIN TIADA PEROGOL & PENJENAYAH DISINI!" supaya orangramai berani ke Balai Polis?


Sekali lagi ingin GB tegaskan, kita tidak bermaksud untuk orang membenci polis, tetapi perbuatan polis itu sendiri mengundang kebencian rakyat terhadap mereka.


[UNIK] Pelajar-pelajar Tahfiz Kelantan Khatam Quran Atas Keretapi

Wakaf Bharu – Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Kelantan (Peka Yatim) mencipta sejarah tersendiri apabila pelajarnya khatam al-Quran di atas kereta api.

Seramai 26 pelajar hafiz dari pusat pengajian tersebut menyahut cabaran sempena program Journey By Train ‘Al-Quran Rahmatan Lil A’Lamin apabila mereka perlu khatam 30 juzuk al-Quran di atas kereta api tersebut.

Pengetuanya, Ahmad Hilmy Ahmad berkata, kesemua pelajar menaiki kereta api di Wakaf Bharu ke Johor dan di dalam perjalanan tersebut mereka perlu khatam 30 juzuk al-Quran.

“Mungkin dalam masa dua jam setengah pelajar hafiz ini dapat khatam al-Quran 30 juzuk secara beramai-ramai,” katanya ketika ditemui di stesen kereta api Wakaf Bharu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Md Nor Chik hadir merasmikan perlepasan pelajar hafiz tersebut menaiki kereta api.

Seramai 12 pegawai pengiring merupakan kakitangan pusat tahfiz mengiringi pelajar tersebut.

Ahmad Hilmy berkata, program ini mampu memberi suntikan semangat, merasai perjalanan sambil menikmati pemandangan melalui gerabak kereta api.

Program selama dua hari itu turut diisi dengan lawatan sambil belajar ke negeri Johor apabila mereka dibawa ke tempat yang menarik.

Seorang hafiz, Mohd Idris Mohamad, 11, berkata, dia teruja untuk mengikuti program ini yang ada kelainannya apabila memerlukannya khatam al-Quran di atas kereta api.

“Ini adalah khatam al-Quran yang pertama kali dalam hidup saya, mudah-mudahan saya berjaya menyahut cabaran ini,” katanya yang baru empat bulan mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Peka Yatim yang terletak di Desa Rahmat, Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu.

Menurutnya, dia sempat belajar di Sekolah Kebangsaan Raja Bahar hanya di darjah empat sahaja kerana berminat untuk menjadi seorang hafiz.

“Di sini saya belajar al-Quran, tajwid, dan menjadi seorang hafiz,” katanya.

Bagi Syafiqa Haikal Zulkifli, 13, berkata, dia yakin dapat khatam al-Quran di atas kereta api nanti.

“Sekarang ini saya mengaji al-Quran di juzuk 27, dan berharap dapat khatam 30 juzuk sempena program ini,” katanya yang kematian ayah sejak tujuh tahun lalu. -SH

Di Nibong Tebal Bendera PAS Dibakar, Di Tanah Merah, Petugas Bendera BN Mati Terbakar

Ahli kesal bendera Pas kena bakar

NIBONG TEBAL – Seluruh ahli Pas di kawasan Nibong Tebal melahirkan perasaan kecewa dan kesal apabila bendera milik parti politik itu dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam kejadian yang berlaku selama dua hari berturut-turut itu, sembilan daripada 20 bendera Pas yang dipasang pada 24 Mac lalu telah dibakar dengan masing-masing empat pada 29 Mac, manakala lima lagi pada 30 Mac lalu.

Difahamkan, 20 bendera berkenaan dipasang di sebuah rumah ahli Pas di Tanjung Berembang bertujuan menjadikan rumah terbabit sebagai Bilik Gerakan Unit Peti Undi Pas Tanjung Berembang, di sini.

Yang Dipertua Pas kawasan Nibong Tebal, Abdul Rahman Ramjan, berkata, kejadian terbabit disedari oleh salah seorang ahli Pas pada awal pagi 29 Mac lalu.

“Kita amat kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku. Kami percaya pada hari itu (29 Mac) ia dilakukan sekitar jam 3 pagi sehingga jam 5 pagi kerana sebelum waktu itu kami melihat keadaan bendera masih elok.

“Kami sangka kejadian itu akan berakhir pada malam berkenaan sahaja, namun jangkaan kami meleset kerana ahli Pas kawasan ini sekali lagi dikejutkan dengan kejadian sama pada 30 Mac. Kali ini, bendera Pas dibakar lebih awal iaitu sekitar jam 8 malam dan seorang ahli Pas menyaksikan sendiri kejadian terbabit,” katanya.

“Perbuatan berkenaan dipercayai dilakukan oleh beberapa remaja lelaki, bagaimanapun mereka sempat melarikan diri selepas seorang ahli Pas menjerit sejurus melihat tindakan itu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mahu menuduh sesiapa yang menjadi dalang di sebalik perbuatan itu, tetapi hanya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya.

Menurutnya, pihaknya percaya, tindakan yang dilakukan oleh mereka tidak bertanggungjawab itu merupakan perbuatan terdesak kerana ramai anak muda kini mula bangkit menyertai parti politiknya.

“Ini merupakan kali pertama kejadian bendera parti dibakar dan berharap pihak polis akan segera menangkap dalang di sebalik tindakan terbabit.

“Meskipun bendera Pas ini dibakar, ia tidak mematahkan semangat ahli Pas malah kami akan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang dalam pilihan raya ini,” katanya.

Abdul Rahman turut memberitahu, pihaknya akan mengerah semua ahli untuk menjadi jentera penggerak sebagai persediaan bahang pilihan raya di samping terus memantau agar perbuatan tidak bertanggungjawab itu tidak lagi berulang.

Sejurus kejadian itu, Setiausaha Pas Kawasan Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff bersama Ketua Penerangan Pas Kawasan Nibong Tebal, Nazir Arshad telah membuat laporan polis di Balai Polis Nibong Tebal supaya tindakan yang sewajarnya dapat dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab terlibat. -SH

Ulasan GB

Berlakui hampir serentak. Di Nibong Tebal bendera PAS dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab. Bersykurlah kerana hanya bendera yang terbakar. Di satu kejadian berasingan, di Tanah Merah pula, takziah kepada BN kerana petugas bendera BN mati terbakar kena renjatan elektrik seperti dikisahkan di bawah ini.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Dua Petugas BN Maut Terkena Renjatan Elektrik Semasa Pasang Bendera

Tanah Merah - Dua lelaki mati selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menaikkan bendera menggunakan buluh dalam kejadian di Kampung Tengah, Bukit Panau, dekat sini malam kelmarin.

ANGGOTA polis dan penduduk kampung mengangkat mayat Rosli dan Mohd. Daishan di Kampung Tengah, Bukit Panau, Tanah Merah malam kelmarin untuk dibawa ke Hospital Tanah Merah.

Rosli Hussin, 47, yang merupakan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan rakannya seorang penoreh, Mohd. Daishan Ibrahim, 37, masing-masing ditemui mati pada kira-kira pukul 12 tengah malam di tempat kejadian dengan kesan lebam di telinga dan kaki akibat terkena arus elektrik bervoltan tinggi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superitendan Abdul Aziz Mahmud, berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa memegang buluh sepanjang 12 meter yang dipercayai basah dengan niat menaikkan bendera sebuah parti politik.

Tanpa diduga, buluh yang dipasang dengan bendera itu terkena kabel yang berada pada ketinggian sembilan meter sebelum kedua-dua mangsa terkena kejutan elektrik.

Menurut Abdul Aziz, kejadian itu kemudian disedari penduduk kampung sebelum mereka mendapatkan bantuan pihak polis dan hospital berdekatan. -kosmo

Dua rakan maut kena elektrik sebab pasang bendera politik

Gara-gara bersemangat untuk memasang bendera sebuah parti politik, dua rakan maut terkena renjatan elektrik apabila sebatang buluh yang diguna untuk menggantung bendera itu terkena kabel elektrik bervoltan tinggi di Kampung Tengah, Bukit Panau, dekat sini malam Jumaat.

Rosli Hussin, 47, dan rakannya Mohd Daisan Ibarahim, 37, yang terjatuh dan pengsan selepas terkena renjatan elektrik itu, disahkan mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tanah Merah.

Abang ipar seorang daripada mangsa, Che Musa Mamat berkata adik iparnya, Rosli bersama empat rakannya ke kawasan itu untuk mendirikan buluh setingga kira-kira 12 meter untuk menaikkan bendera itu pada pukul 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Abdul Aziz Mahmood ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu awal pagi Sabtu.

Beliau menasihatkan orang ramai, khasnya penyokong parti politik supaya jangan terlalu ghairah bertindak memasang bendera politik sehingga mengabaikan keselamatan diri. Bernama

P/S: No komen! Al Fatihah sahaja yang mampu diucapkan. Tempat berlaku ini hanya 500 meter sahaja dari rumah saya. Dah riuh rendah satu bandar Tanah Merah. Malam tadi keluar berita tv3 dua rakan maut sebab pasang sebuah bendera parti politik. Kenapa tak terus terang cakap pasang bendera dacing. Wallahu'alam.
-halimislam.com


Ulasan GB

Betul juga kata Halimislam. Kenapa sembunyi "fakta" bahawa mereka itu petugas BN?

Jikalah yang terkena itu adalah petugas PR, mungkin sudah kecoh seluruh media massa arus perdana dengan segala macam mak nenek ulasan untuk mempersalahkan PR!

Kini, dengan tolak tepi sentimen parti, semua petugas yang memasang bendera, wajar berhati-hati agar tragedi di atas tidak berulang lagi.

Pekerja Dobi Ditangkap Khalwat - Bersekedudukan Perkara Biasa?

Ampang - Tiga individu termasuk seorang remaja perempuan dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pegawai Masjid Al-Azim dalam sebuah bilik di rumah kedai di Pandan Jaya, awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, dua lelaki berusia antara 20 dan 22 tahun serta seorang pekerja sebuah kedai dobi ditahan.

Pegawai Masjid Al-Azim berkata, Ahmad Nawi Othman berkata, ketika serbuan seorang lelaki membuka pintu dan mendapati ada seorang lelaki lain dan seorang perempuan berusia 20 tahun berada di dalam bilik itu.

“Kami mendapati pasangan berkenaan berpakaian lengkap, manakala seorang lelaki lain hanya berseluar pendek ketika serbuan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, teman lelaki kepada gadis berkenaan memberi alasan kekasihnya baru bekerja di kedai dobi berhampiran serta tidak ada rumah atau bilik untuk disewa.

Ahmad Nawi berkata, turut ditahan dua pasangan lain di bilik berasingan di rumah kedai berkenaan.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. -SH

Ulasan GB

Apabila hukum Islam tidak dilaksana, malah dihina, apatah lagi oleh pemimpin negara, maka terimalah bala bencana.



Sekarang semua tahu apa jawapannya. Keadaan huru-hara dan maksiat bermaharajalela kerana undang-undang Islam dilaksanakan atau telah dihinakan sedemikian rupa oleh pemimpin tertinggi negara?

"Apabila maksiat sudah merajalela di kalangan umatku, Allah akan menurunkan siksa dari sisi-Nya kepada mereka secara merata…” -HR. Ahmad dll

Apabila Allah s.w.t. dicabar, ia adalah permulaan kepada satu sistem pemerintahan yang baru. Kelak, Allah s.w.t. akan menggantikan mereka itu dengan satu kepimpinan yang lebih baik.

Khabarkan kepada JAIS supaya menasihati Najib usah hina dan persendakan hukum Allah.

Pelajar Nigeria Mati Dibelasah, Awang Hitam Merusuh Di Kajang

200 'Awang Hitam' merusuh

KAJANG - Kira-kira 200 'Awang Hitam' yang tinggal di Kondominium Venice Hill, Batu 9 di sini merusuh setelah mereka tidak berpuas hati dengan tindakan tujuh anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang didakwa memukul seorang pelajar warga Nigeria di pekarangan kondominium itu semalam.

SEBAHAGIAN daripada warga Nigeria berkumpul di Kondominium Venice Hill, Batu 9, Kajang semalam.

Rusuhan pada pukul 12 tengah hari itu menyebabkan sebuah pondok pengawal di pintu masuk utama dan salah satu pejabat pengurusan di blok Tower 3 kondominium tersebut rosak dipecahkan kumpulan tersebut.

Seorang saksi berkata, warga Nigeria terbabit bertindak berkumpul di tepi jalan dengan membawa parang dan batang besi kerana tidak berpuas hati rakan mereka dipukul.

Kejadian itu dikatakan berpunca apabila suspek berusia 35 tahun yang juga seorang pelajar sebuah kolej di sini didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang tukang cuci wanita tempatan berusia 43 tahun.

Lelaki berkenaan didakwa bertindak memeluk, mencium serta mencabul mangsa terbabit ketika wanita melakukan kerja mencuci di tingkat 15 blok Tower 3 kondominium tersebut pada pukul 11.30 pagi. -kosmo

Si hitam lagak samseng

BANTAH... sebahagian warga Afrika berkumpul kerana tidak berpuas hati berikutan kematian seorang rakan mereka.

KAJANG: Berlagak samseng seolah-olah berada di negara sendiri, kira-kira 100 ‘Awang Hitam’ merusuh dengan memecahkan pondok keselamatan di Kondominium Venice Hill, Batu 9, di sini, tengah hari semalam, selepas marah seorang daripada rakan mereka mati dipercayai dibelasah anggota Rela.

Warga Afrika yang menghuni kawasan kediaman berkenaan bukan saja memecahkan pondok pengawal, malah merosakkan pejabat pengurusan serta mencederakan empat pengawal keselamatan.

Lelaki Nigeria yang mati itu, dipercayai dibelasah anggota Rela selepas seorang tukang cuci wanita yang membersihkan satu daripada blok kondominium, mengadu diganggu dan dicabul lelaki berkenaan.

Difahamkan, kondominium berkenaan layak digelar ‘Mini Afrika’ berikutan hampir ratusan warga dari benua itu menyewa di premis terbabit.

LAWAN... warga Afrika bertekak dengan anggota polis.

Menurut tukang cuci warga tempatan berusia 40-an itu, lelaki Nigeria terbabit beberapa kali mengganggunya.

Semalam dia tidak dapat tahan lagi selepas lelaki berkenaan bertindak melampau dengan menunjukkan kemaluan.

“Sudah beberapa kali lelaki warga asing itu mengganggu saya ketika saya bekerja dan jam 11 pagi tadi (semalam), tiba-tiba saya dipeluk dari belakang.

“Saya cuba melepaskan diri dengan meronta dan menyiku lelaki berkenaan, sebaik dapat melepaskan diri daripada pelukan, saya memarahinya, tetapi terkejut apabila lelaki berkenaan membuka seluar serta menunjukkan kemaluannya.

“Saya lari dan mengadu kejadian itu kepada anggota Rela yang bertugas mengawal kawasan kondominium,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian semalam.

Katanya, anggota Rela terbabit kemudian mencari lelaki Nigeria berkenaan, namun dia tidak pasti berapa ramai anggota Rela pergi mencari lelaki itu.

“Tak sangka perkara macam ini yang terjadi pula, saya difahamkan warga Nigeria terbabit dibelasah hingga mati selepas berlaku pertengkaran dengan anggota Rela. Saya kini bimbangkan keselamatan diri serta takut rakan lelaki itu mencari saya pula,” katanya.

Sehubungan kejadian itu, lebih 100 penghuni kulit hitam kemudian bertindak merusuh kerana marah dan bilangan mereka semakin ramai selepas polis tiba serta turut cuba menyerang polis yang ingin menyuraikan mereka.

Kira-kira jam 6 petang, selepas bilangan polis ditambah barulah kumpulan yang merusuh itu bersurai.

Difahamkan, warga Nigeria yang dipercayai dibelasah itu maut di tempat kejadian di kaki lima berhampiran lif Blok 3 kondominium terbabit dan anggota Rela yang terbabit dalam kejadian berkenaan turut ditahan polis. -hm


Lelaki Nigeria cabul wanita tempatan mati dipukul

KUALA LUMPUR - Kebimbangan penghuni Kondominium Venice Hills di Batu 9, Hulu Langat dekat sini terhadap kebanjiran pendatang asing dari Afrika sampai ke kemuncaknya hari ini apabila seorang lelaki warga Nigeria mati setelah dibelasah kerana mencabul seorang wanita tempatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa berusia 35 tahun merupakan seorang pelajar di sebuah kolej swasta telah mencabul kehormatan seorang tukang cuci wanita berusia 43 tahun di kondominium itu pada 11 pagi.

"Wanita tersebut telah dipeluk dan dicium dari belakang oleh lelaki Nigeria itu yang juga menunjukkan kemaluannya kepada wanita itu. Wanita itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan melaporkan kejadian itu kepada tujuh orang anggota Rela yang bertugas," katanya kepada pemberita di sini.

Ab Rashid berkata menyedari perbuatannya diketahui, lelaki Nigeria itu telah cuba melarikan diri ke kawasan lobi kondominium menggunakan lif namun dia berjaya ditahan oleh anggota Rela berkenaan.

Beliau berkata, anggota polis yang tiba ke tempat kejadian kemudian mendapati lelaki Nigeria itu yang diikat berada dalam keadaan tidak bermaya dan terus membawanya ke sebuah pusat perubatan terdekat, namun disahkan mati sebaik tiba.

Katanya, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Ab Rashid berkata, kesemua tujuh anggota Rela itu yang berumur lingkungan 20-an telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, polis masih menyiasat sama ada lelaki Nigeria tersebut mati akibat dipukul menggunakan senjata atau sebaliknya.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu beberapa lelaki Afrika telah berkumpul dan melahirkan rasa tidak puas hati mereka tetapi berjaya dileraikan oleh pihak polis.

Sementara itu saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Abu berkata, kira-kira 200 lelaki Afrika telah merusuh sebelum ketibaan pihak polis dan mereka telah merosakkan beberapa harta awam seperti pondok pengawal dan bilik gerakan Rela.

"Saya nampak mereka telah merusuh apabila mendapat tahu rakan mereka telah mati dan kejadian ini telah menakutkan penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang sering mabuk sebelum ini pernah menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan itu.
– Bernama


[Bergambar & Video] Letupan Di Hatyai & Yala, 11 Rakyat Malaysia Cedera

Tiga terbunuh, manakala 50 yang lain termasuk 11 rakyat Malaysia cedera dalam letupan di sebuah hotel yang menggegarkan Hatyai, Thailand, tengah hari semalam, tidak lama selepas tiga letupan bom mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain di Yala, selatan negara itu. Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin, yang dihubungi malam tadi mengesahkan 11 rakyat Malaysia cedera dalam letupan bom di bahagian dapur restoran McDonald’s di Tingkat 1 Hotel Lee Garden di tengah bandar Hatyai.

Rakyat Malaysia, khususnya yang berada di sekitar kawasan letupan di Yala diminta berhati-hati dan mengambil langkah berwaspada bagi mengelak terperangkap dalam kejadian berkenaan. - Nazirah Hussin, Duta Besar Malaysia ke Thailand

Katanya, ketika kejadian jam 1 tengah hari itu, kira-kira 50 berada di dalam restoran berkenaan, termasuk warga Malaysia, semuanya dipercayai pelancong.

“Semua rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu kini dimasukkan ke Hospital Hatyai. Pihak kedutaan sudah menghantar Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan ke bandar terbabit untuk mendapatkan maklumat dan membantu mangsa rakyat Malaysia.

“Sehingga kini (jam 9.30 malam tadi) saya belum mendapat perkembangan terkini mengenai keadaan rakyat Malaysia atau punca letupan,” katanya.

Beliau juga mengesahkan sehingga lewat malam tadi tiada rakyat Malaysia cedera atau terkorban dalam tiga serangan bom di Yala.

Nazirah turut meminta rakyat Malaysia, khususnya yang berada di sekitar kawasan letupan di Yala supaya berhati-hati dan mengambil langkah berwaspada bagi mengelak terperangkap dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Aini yang dihubungi malam tadi juga mengesahkan hanya 11 rakyat Malaysia cedera dalam letupan di Hatyai.

“Bagaimanapun, identiti semua mangsa yang kini ditempatkan di Hospital Songkhlanagarind di Hatyai dan kampung asal mereka masih disiasat. Apapun, kita dapat sahkan bahawa tiga mangsa yang terbunuh setakat ini bukan rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas kejadian itu, Mohd Aini berkata beliau difahamkan lebih 200 pengunjung hotel berkenaan terperangkap selepas letupan berlaku.

“Apa pun, kita berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengenal pasti semua mangsa, terutama mengesan rakyat Malaysia yang terbabit,” katanya.
Sumber polis Thai yang dihubungi berkata kejadian letupan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

Di YALA, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan 112 orang cedera dalam tiga letupan bom dalam tempoh 10 minit di bandar utama selatan Thailand ketika tengah hari apabila orang ramai sibuk membeli-belah.

“Tiga butir bom meletup, yang pertama dalam sebuah kereta manakala letupan kedua serta ketiga adalah disebabkan bom yang disembunyikan dalam motosikal,” kata jurucakap tentera wilayah selatan, Pramote Promin.

Beberapa rumah kedai berhampiran tempat letupan turut terbakar, manakala kereta dan motosikal yang diletakkan berhampiran rosak akibat letupan kuat.

Kementerian Kesihatan Thailand berkata, sekurang-kurangnya 10 orang berada dalam keadaan kritikal kerana melecur teruk.

Seorang jurucakap polis Yala yang enggan dikenali berkata: “Bom berkenaan meletup dalam tempoh 10 minit”.

Skuad bom dilihat memeriksa bangkai kereta yang musnah di tempat kejadian, manakala Polis Forensik menyiasat kejadian.

Seorang anggota polis turut cedera dalam satu lagi letupan bom yang disembunyikan dalam motosikal di wilayah berjiran Pattani, kata polis.

Pemberontakan di selatan Thailand, wilayah dengan majoriti penduduknya beragama Islam berlaku sejak 2004, meragut beribu-ribu nyawa.

Minggu lalu, tentera mengakui menembak mati empat penduduk Islam ketika dalam perjalanan menghadiri sebuah majlis pengebumian berikutan tersalah sangka diserang militan, Januari lalu.

Kejadian terburuk di wilayah berkenaan berlaku pada 25 Oktober 2004 apabila tujuh orang ditembak mati berikutan bantahan di bandar Tak Bai, manakala 78 yang lain lemas akibat terhimpit di dalam trak ketika dihantar ke pusat tahanan. -BH


















UMNO Burukkan Kelantan Air Kotor, Di Pahang Masih Ada Yang Belum Dapat Air

Rayu bekalan air bersih

KAMPUNG DERAHMAN – Kira-kira 30 rumah masyarakat Orang Asli Kampung Derahman, di sini, masih menagih janji bekalan air bersih di kampung mereka bagi memberi keselesaan kepada masyarakat itu menjalankan urusan seharian.

Maimun Sulong, 45, berkata, isu bekalan air bersih di kampung itu amat serius kerana masalah bekalan itu sudah lama membelenggu masyarakat itu meskipun beberapa rumah sudah mendapat bekalan asas tersebut.

Menurutnya, kebanyakan penduduk terpaksa menggunakan air perigi atau menarik air daripada rumah jiran dan keluarga terdekat bagi menikmati bekalan itu memandangkan air adalah keperluan utama dalam kehidupan seharian.

“Ketiadaan air sememangnya amat dirasai lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai bilangan anggota keluarga ramai,” katanya ­kepada Sinar Harian.

Maimun berkata, dia pula misalnya, terpaksa menarik sumber bekalan air bersih daripada rumah ibunya yang sudah dilengkapi kemudahan itu hampir dua tahun lepas.

“Apabila air paip ini dibuka di rumah kami, rumah ibu pula pasti mengalami gangguan bekalan air kerana hanya terdapat satu paip saja yang boleh dibuka sebagai sumber punca air di rumah,” katanya.

Katanya, dia sudah beberapa kali mengadu hal itu kepada agensi berkaitan, namun pihak yang menabur janji ­terus ‘diam membisu’ tanpa ­sebarang tindakan.

“Kampung ini adalah satu-satunya kampung Orang Asli yang terletak berhampiran dengan kawasan Bandar Kuala Rompin dan berharap ia menjadi sebuah perkam­pungan contoh kepada ­masyarakat Orang Asli lain,” katanya.

Menurutnya, dia berasa hairan bagaimana projek bekalan air bersih di kampung itu tergendala sejak sekian lama meskipun ada sebahagian daripada penduduk sudah pun menikmati kemudahan asas tersebut.

“Kami amat berharap kerajaan dapat membantu penduduk kerana keperluan bekalan air bersih amat diperlukan terutama jika ada kenduri kahwin dan sebagainya yang memerlukan sumber air yang banyak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Kapten (B) Mohd Johari Hussain berkata, masalah itu akan diatasi secara berperingkat-peringkat memandangkan sebahagian daripada penduduk sudah pun menerima bekalan tersebut.

Katanya, kos pemasangan paip air dari rumah ke rumah penduduk memerlukan ­peruntukan yang besar, namun masalah itu akan ­ditangani ­segera bagi memastikan setiap rumah menik­mati bekalan itu dalam waktu terdekat.

“Buat permulaan sudah pun merancang untuk menyediakan keperluan itu bagi 10 hingga 15 rumah dalam waktu terdekat ini bagi memenuhi hasrat penduduk yang mahukan bekalan air bersih sejak sekian lama,” katanya.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca