17 Apr 2012

PERKASA Nak Anjurkan Himpunan Lawan BERSIH 3.0

Perkasa anjur himpunan ‘Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung’

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menganjurkan perhimpunan yang dikenali ‘Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung’ pada 29 April ini sebagai tanda taat setia kepada Raja-raja Melayu.

Sambil mengalu-alukan penyertaan rakyat daripada pelbagai kaum, Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata pihaknya telah memohon kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menggunakan sama ada Dataran Merdeka atau Padang Merbuk sebagai tempat perhimpunan.

Ketika ditemui FMT beliau berkata, tema ‘Ke Titisan Darah Terakhir Demi Raja dan Negara’ menjadi pemangkin semangat kepada perhimpunan pada kali ini bagi menarik seramai mungkin ahli dan orang ramai.

Menurut Timbalan Presiden, Datuk Abd Rahman, perhimpunan ini juga bagi meraikan Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung ke-14, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara Jalan Duta pada 11 April lepas.

Beliau mengecam tindakan Pakatan Rakat yang didakwa mengejek dan mempersendakan Raja-Raja Melayu ketika majlis pertabalan tempoh hari.

Abdul Rahman berkata, mereka tidak berpeluang untuk bersama-sama dalam Balairong Seri Istana Negara bagi mengikuti adat istiadat majlis pertabalan Tuanku.

“Bukan seperti wakil rakyat Pakatan yang diberi keistimewaan hadir dalam Balairong Sri Istana Negara pada majlis tersebut.

Bukannya mahu menjaga tata tertib bahkan mengejek dan mempersenda Raja-Raja Melayu termasuk Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang tadi.

“Perkasa akan tentang habis-habisan pihak yang cuba menghapuskan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan menukar negara ini menjadi sebuah negara republik.

“Perkasa akan terus pertahan dan memperkasakan Raja-Raja Melayu. Itu adalah satu perjuangan Perkasa yang tercatat dalam Perlembagaan Perkasa,” tegas beliau. -FMT

Ulasan GB

Yang nyata himpunan PERKASA itu ialah untuk menyaingi perhimpunan BERSIH 3.0 yang diadakan sehari lebih awal. Baguslah...

Nanti seluruh dunia dapat saksikan perbezaan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April dengan perhimpunan anjuran PERKASA berkenaan.

Jangan macam semasa BERSIH 2.0... batang hidung pun tak nampak.

Isu Task Force Beri IC Kepada Warga Asing - Maklumat Datang Dari Orang Dalam Sendiri

Maklumat 'task force' IC dari orang dalam yang tak tahan

TEMERLOH, 17April: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Hanipa Maidin menyifatkan Umno dalam keadaan tersepit untuk menang pilihan raya umum (PRU) sehingga tergamak melibatkan penipuan dan pengkhianatan kepada negara.

Beliau yang mendakwa didedahkan sendiri maklumat berkenaan daripada orang dalam yang ‘dah tak tahan’, bahawa beberapa agensi terlibat memberikan kad pengenalan kepada warga luar atau yang masih belum layak.

“Di Selangor saja dah ratusan ribu kewarganegaraan diberi kepada mereka yang belum layak dan pengkhianatan Umno ini tak boleh dimaafkan langsung, hanya nak menang secara paksa sehingga membahayakan negara sendiri.

“Saudara tahu, ini diakui sendiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa 45,000 nama tidak dipastikan warganegara jadi tidak dapat dibersihkan daripada Daftar Pemilih.

“Inilah sebabnya itu kita sokong himpunan Bersih 3.0 untuk tuntut PRU yang adil kerana tanpa keadilan mana-mana negara pun boleh jatuh sebagaimana yang terjadi kepada beberapa rejim di Timur Tengah,” katanya ketika berceramah di sini semalam.

Turut berceramah di Bilik Gerakan PAS Taman Sri Semantan itu Adun Kuala Semantan Syed hamid Syed Mohamad, YDP PAS Temerloh Haji Jusoh Darus dan Ketua DAP Temerloh Woo Chee Wan.

Hanipa berkata, dua himpunan Bersih yang lepas telah berjaya membuang rasa takut di kalangan rakyat dan dapat dilihat generasi muda begitu berani keluar walaupun terpaksa bertempur dengan polis.

Dalam pada itu Hanipa berkata, perlunya BN dijatuhkan pada PRU akan datang kerana hampir kesemua institusi di negara ini telah rosak dan dipertikaikan umum.

“Bayangkan, mahkamah pun dah ada orang baling kasut kerana tidak dihormati lagi. Negara pernah digemparkan apabila bekas hakim Syed Ahmad Idid pernah menulis tentang rasuah berlaku di kalangan hakim.

“Bekas Ketua Hakim Tun Mohd Sufian pula pernah berkata beliau malu jadi rakyat Malaysia kerana institusi kehakiman dah jatuh maruah. Itu bukan cakap saja, tengok kes video Linggam ada Suruhanjaya Diraja tetapi apa tindakan terhadap Yusof Chin?,
” soalnya.

Hanipa menambah, kini institusi polis kini mulai dipertikaikan apabila bekas ketuanya sendiri didakwa bersekongkol dengan gangster seperti didakwa seorang lagi pegawai tinggi polis Datuk Ramli Yusof.

Hanipa menceritakan, Ramli semasa majlis sambutan hari jadinya yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengulangi dakwaan Datuk Mohd Zin dua orang besar terlibat melindungi penjenayah iaitu Musa Hasan dan Ghani Patail.

“Bayangkan yang ada bukti seperti itu tidak didakwa tetapi yang tiada bukti, seperti tangkapan ISA boleh dipenjarakan. Ini yang saya maksudkan institusi di negara telah dilihat tercemar,” katanya.

Mengenai hujah beberapa pemimpin Umno jika dimansuhkan hutang PTPTN mahasiswa negara boleh bankrap, Hanipa berkata itu hanya alas an sedangkan wang Negara yang dibazirkan jauh lebih banyak daripada itu.

“Ketua Audit Negara sendiri menjelaskan dalam laporannya setiap tahun wang negara ini bocor RM28 bilion. Itu satu, yang kedua RM19 bilion telah diberi kepada IPP iaitu syarikat yang sudah kaya.

“Dua item itu saja dah boleh hapus pinjaman PTPTN. Jadi kenapa kalau hapus RM43 bilion kata bankrap sedangkan itu untuk mahasiswa yang bakal menerajui negara?

“Kalau untuk selamatkan kroni tak timbul langsung hal bankrap. Ingat mereka selamatkan Tajudin Ramli dulu kerajaan ambil alih saham MAS yang berharga RM3 tetapi kerajaan bayar RM8. Baru ni dapat pelepasan hampir setengah bilion lagi. Kalau macam itu caranya memang negara boleh bankrap,” jelasnya.

Tegas Hanipa, sebab itulah BN perlu dijatuhkan, bukan saja negara bankrap wang tetapi bankrap moral.

“Sekarang perempuan yang dedah aurat didenda RM25, sebaliknya orang pandai, pakar dan sebagainya dibuang seperti Profesor Dr Aziz Bari dan Tan Sri Hasan Merican sehingga diambil bertugas oleh negara lain,” ujarnya lagi. -HD

[Dasyat] Baru Bergelar Bapa Beberapa Hari, Dah Rogol Pelajar Tkn 2

Kuala Terengganu - Seorang lelaki yang baru bergelar bapa dalam tempoh hanya beberapa hari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan bersubahat dengan dua rakannya dalam kejadian rogol pelajar tingkatan dua, awal April lalu.

Tertuduh, Nor Shahrul Zuraimie Noruddin, 20, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut, didakwa dengan sengaja telah bersubahat dengan dua rakannya merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Tembila, Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut, pada 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi.

Bagaimanapun, tertuduh yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 116 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud di hada­pan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Zainal Abidin menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Sementara itu, dua rakannya, yang juga bekerja sebagai buruh itu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasi­ngan, semalam atas dakwaan merogol mangsa.

Bagi tertuduh, Abdullah Che Pa, 19, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut didakwa dengan sengaja telah merogol mangsa pada 2 April lalu antara jam lebih kurang 9 malam hingga 11 malam.

Abdullah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Manakala bagi tertuduh, Faizol Yaacob, 22, dari Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut didakwa merogol mangsa pada keeso­kan harinya iaitu 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi di rumah sama.

Dengan itu, Faizol didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan berkenaan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua tertuduh direkodkan, hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua mereka dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin. -SH

Skandal MEX RM1.7 Billion: "Abu Juling" Buat Keuntungan Guna Duit Kerajaan

Dr M: Jual lebuh raya MEX sama teruk jual AP

KUALA LUMPUR, 16 April — Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut Tan Sri Abu Sahid Mohamed menjelaskan tindakannya menjual Lebuh raya Maju Expressway (MEX) kepada umum kerana penjualan itu menyaksikan beliau memperolehi keuntungan.

Kenyataan itu dibuatnya selepas penjualan bernilai RM1.7 bilion bulan lalu menimbulkan tanda tanya terhadap perjanjian Abu Sahid Maju Holdings Sdn Bhd yang membuat keuntungan sebanyak RM660 juta dan RM1 bilion hanya selepas empat tahun beroperasi. Pembinaan konsesi lebuh raya bernilai RM1.3 bilion itu dibuat atas geran daripada kerajaan bernilai RM976 juta.

“Kamu jual milik kamu, bukan hak orang lain. Ia sama teruk seperti menjual permit untuk kereta import (AP),” kata Dr Mahathir kepada pemberita di sini, merujuk kepada amalan biasa ahli perniagaan Bumiputera membuat keuntungan mudah dengan menjual permit kereta import dengan lesen daripada kerajaan.

Bekas perdana menteri itu, yang masih lagi dilihat berpengaruh dalam kerajaan dan Umno berkata, Abu Sahid ada berjumpa untuk memberikan penjelasan kepada beliau.

“Beliau cuba memberi penjelasan kepada saya, tapi saya nasihatkan beliau untuk menjelaskan kepada umum kenapa lebuh raya itu dijual, dan kenapa beliau membuat keuntungan daripada kontrak kerajaan,” katanya.

EP Manufacturing Berhad bulan lalu telah membuat perjanjian dengan Maju Holdings untuk memiliki Maju Expressway (MEX) pada harga RM1.15 bilion, dan dengan anggaran hutang sebanyak RM550 juta, jumlah perjanjian itu bernilai RM1.7 bilion.

MEX yang 96.8 peratus milik Abu Sahid menguasai 91 peratus pegangan saham.

MEX adalah konsesi terbesar untuk lebuh raya 26km — menghubungkaan Kuala Lumpur ke Cyberjaya, dan Putrajaya.

Terdapat juga laporan Maju Holding telah memberikan projek pembinaan MEX kepada kumpulan Australia Leighton.

MEX siap dibina pada Disember 2007 dan mula beroperasi Januari berikutnya. -TMI

Ulasan GB

Tan Sri Abu Sahid Mohamed atau lebih dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai "Abu Juling" sepatutnya sudah diheret ke muka pengadilan kerana kes menjual Lebuh raya Maju Expressway (MEX) kepada umum dan penjualan itu menyaksikan beliau memperolehi keuntungan dengan penjualan dibuat atas geran daripada kerajaan bernilai RM976 juta.

Adalah amat tidak wajar wang rakyat digunakan untuk membuat keuntungan peribadi dan setakat ini tiada apa-apa kenyataan dari pihak SPRM dan kerajaan.

Gadis Sanggup Ponteng Sekolah Untuk Temui Teman Lelaki Di Hotel

Sura Gate – Demi cinta, seorang pelajar perempuan yang masih menuntut di tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini sanggup ponteng untuk menemui teman lelakinya bagi memadu asmara di sebuah hotel murah, dekat bandar ini.

Bagaimanapun, kunju-ngan gadis itu ke bilik disewa teman lelakinya dengan harga RM65 satu malam sejak dua hari lalu itu membawa padah apabila mereka dicekup pihak Pegawai Penguatkuasa Syariah (PSS) kerana berdua-duaan di bilik hotel.

Ketika serbuan dilakukan PPS Dungun kira-kira jam 8.30 pagi, gadis yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berpakaian biasa manakala teman lelakinya yang berasal dari Kuala Terengganu hanya berseluar pendek.

Pelajar perempuan itu dikatakan keluar rumah dengan memakai uniform sekolah, namun dia tidak pergi ke sekolah, sebaliknya menuju ke bandar Dungun untuk menemui teman lelakinya di hotel yang terletak di deretan bangunan perniagaan Sura Gate.

Difahamkan, kedua-dua pasangan tersebut berkenalan melalui telefon sejak beberapa minggu lalu dan ketika ditahan, gadis berasal dari Kampung Tanah Lot itu dikatakan datang ke hotel berkenaan untuk menghantar makanan kepada teman lelakinya yang difahamkan baru bangun tidur.

Soal siasat PPS mendapati kedua-dua mereka tiada hubungan muhrim sah dan pasangan itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. -SH

Ulasan GB

Baru kenal beberapa minggu melalui telefon sudah boleh ke hotel untuk bertemu...

Sungguh hebat dan sungguh dasyat norma kehidupan remaja masakini....


[Video] Isu Persenda Raja: Fitnah Karut Yang Sengaja Direka Oleh UMNO

Kuala Lumpur – Tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa terlibat mempersendakan pemimpin negara dan Raja-raja Melayu semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Rabu lalu enggan menjawab secara jelas atau setidak-tidaknya menafikan yang mereka terlibat dalam insiden itu.

Azmin Ali dan Tian Chua dari PKR serta Khalid Samad dari Pas sebaliknya mempersoalkan kesahihan dakwaan serta kredibiliti Dr Rahman Kadir, seorang pegawai perubatan yang mendedahkan mengenai kejadian pada hari Rabu lalu itu.

Malah, Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR seperti biasa terus menyalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya bertanggungjawab dalam menyebarkan perkara berkenaan.

"Pertama saya tidak tahu apa tohmahan yang dibuat oleh mereka namun daripada maklum balas yang saya terima, ini jelas satu propaganda yang amat jelik oleh Umno dan BN.

"Siapa doktor ini? Bagaimana pegawai perubatan boleh duduk dalam Balairong Seri Istana Negara?" katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Rahman melalui akaun Facebook mendakwa Azmin, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khaled terlibat dalam kejadian pada pagi hari Rabu itu.

Berikutan itu, Utusan Malaysia yang memuatkan berita tersebut di muka depan dua hari kemudian mengundang reaksi pelbagai pihak, antaranya mahu tindakan tegas diambil ke atas individu terlibat serta mencadangkan sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuh bagi menyiasat insiden berkenaan.

Sementara itu, Tian Chua menolak hasrat pihak tertentu berhubung penubuhan Suruhanjaya Diraja kerana mendakwa Dr Rahman tidak mempunyai bukti kukuh atau saksi berkaitan kejadian tersebut.

"Bagaimana apabila seorang tuduh, tidak ada saksi, tidak ada `substance' dalam tuduhan mereka dan tiba-tiba nak buat Suruhanjaya Diraja, buat apa?" katanya, yang bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia kerana menerbitkan berita itu tanpa memeriksa kesahihannya.

Khaled pula mendakwa Dr Rahman mempunyai imaginasi tinggi apabila berupaya "membayangkan" perbualan anggota Parlimen pembangkang di majlis itu kerana kedudukan dalam Balairong Seri tidak membolehkan sebarang individu biasa mendengar butiran perbualan.

"... atau mungkin juga Dr Rahman ini terkeliru kerana sebelum Raja-raja Melayu dan pembesar negara masuk ke Balairong Seri, anggota Parlimen pembangkang yang telah menunggu selama dua jam ada berbual mengenai perkara lain," katanya. -SH

Azmin, Tian Chua nafi persenda Raja ketika pertabalan Seri Paduka

TIMBALAN Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Presiden parti itu, Tian Chua menafikan dakwaan mereka mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Rabu lalu.

Mereka mendakwa, tuduhan itu serangan peribadi oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.

Azmin mempersoalkan bagaimana Dr Rahman Kadir yang dikatakan bertugas sebagai pegawai perubatan pada majlis berkenaan boleh duduk di Balairong Seri dan mendakwa melihat sendiri kejadian itu.

“Saya tidak tahu apa tohmahan yang dibuat dan ini jelas propaganda UMNO serta Barisan Nasional yang gagal menjawab isu rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan Dr Rahman mendakwa melihat Ahli Parlimen pembangkang mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sementara itu, Tian Chua, mendakwa penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu seperti yang dicadangkan beberapa pihak tidak berasas kerana ia tuduhan tanpa saksi.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar yang menyiarkan berita itu yang didakwa beliau ditulis berdasarkan blog tanpa menyiasat sumber sebenar berita.
-BH







Ulasan GB

GB sudah ulas semalam. Petikan:

Pertama, GB melihat gesaan pemimpin UMNO untuk tubuhkan Suruhanjaya Diraja kononnya untuk menyiasat pemimpin pembangkang yang mempersendakan Raja-raja Melayu semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong minggu lalu hanyalah mainan UMNO untuk meburukkan Pakatan.

Tiada ada satu pun yang jelas dari dakwaan itu. Siapa yang bercakap, apa yang diperkatakan, dan perkara apa yang dipersendakan. Ia hanya hanya rekaan semata-mata berdasarkan kepada tulisan seorang pro-UMNO yang bernama Dr Rahman Kadir dalam facebook yang mendakwa "berada berhampiran beberapa Ahli Parlimen pembangkang sebelum mendengar perbualan­ mereka yang mempersendakan pemimpin negara dan raja-raja Melayu."


Itu saja yang menjadi asas kepada tuduhan mereka. Tetapi mendesak sehingga Suruhanya Diraja ditubuhkan.

Sedang umum mengetahui siapa sebenarnya sebelum ini yang bukan saja telah mempersenda raja-raja, malah menghina mereka dengan perlakuan dan perkataan yang dasyat?




Kedua, GB juga melihat tindakan Ahmad Zahid Hamidi yang disokong oleh Hishamuddin Tun Hussein berkenaan dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu hanyalah helah daripada desakan PAS supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes pemberian IC kepada warga asing.

Jika di dalam kes dakwaan kononnya pemimpin pembangkang mempersenda raja lansung tiada bukti, tetapi didalam kes pemberian IC kepada warga asing amat jelas bukti yang diberikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dengan menderetkan nama-nama mereka yang terlibat termasuk pegawai kanan Najib dan Timbalan pengerusi SPR Malah Mahfuz berkata lebih banyak bukti akan diserahkan kepada Suruhanjaya Diraja tentang isu berkenaan. Mengapa takut untuk memberi respons terhadap tuntutan ditubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat dakwaan itu?


[MELETUP] Bekas CEO YPM Datuk Dr Shariff Hamid Didakwa Buat Tuntutan Palsu

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Dr Shariff Hamid, mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah lebih RM300,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin dan minta dibicarakan.

Beliau adalah salah seorang daripada dua yang dihadapkan ke mahkamah ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan membuat tuntutan palsu ke atas satu program latihan yang tidak wujud berjumlah sehingga lebih RM300,000.

Shariff, 52, sebelum itu telah didakwa dengan sembilan pertuduhan iaitu mengemukakan dokumentasi palsu dengan mengarahkan Pengurus Kewangan YPM, Hafizoh Mohd Shah meluluskan pembiayaan untuk satu program motivasi remaja, sedangkan beliau sedar program itu tidak pernah berlangsung.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat YPM di Medan Mara, Jalan Raja Laut di sini pada jam 1.30 petang 23 Julai tahun lalu.

Pengurus Program YPM, Zainal Rashid Zakaria, 43, juga turut didakwa dengan sembilan pertuduhan menipu yayasan berkenaan dengan mengesahkan kewujudan program berkenaan kononnya telah berlangsung di Perak antara 5 Julai hingga 22 September 2011 walaupun menyedari bahawa program itu tidak mengambil tempat sepertimana yang dikatakan.

Zainal didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama pada 25 Mei 2011.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mereka berhadapan dengan hukuman 20 tahun penjara dan denda lima kali jumlah suapan jika disabitkan kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin sebanyak RM50,000 kepada setiap tertuduh dengan satu jaminan dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 Mei sebagai tarikh sebutan kes.

Shariff, sebelum menyandang jawatan CEO YPM adalah bekas setiausaha eksekutif di Sekretariat Ibu Pejabat Umno Malaysia.

Beliau juga adalah bekas pengarang ekonomi Berita Harian dan pernah memenangi hadiah tertinggi kewartawanan Malaysia iaitu Anugerah Kajai pada pertengahan tahun 1980-an.

Beliau berkhidmat dengan RTM sebagai wartawan penyiaran pada tahun 1984 sebelum menyertai agensi berita nasional (Bernama) pada tahun 1987.

Shariff kemudian menyertai Business Times dan Berita Harian. Beliau juga pernah menyumbang artikel kepada akhbar bisnes mingguan, The Edge.

Menurut rekod, Shariff memperolehi ijazah kedoktoran dalam bidang pentadbiran perniagaan daripada European-American University yang berpusat di Oxford, England. -mstar

Ulasan GB

Berita memang meletup.

Tetapi biasanya kes-kes rasuah dan penipuan dana yang melibatkan kroni UMNO tak lekat. Maksudnya ia akan dilepaskan.

Ia berdasarkan kepada beberapa kes pemimpin UMNO BN yang pernah dibawa ke mahkamah selepas itu dibebaskan, seperti :

Bekas Ketua Pemuda UMNO WP, Datuk Norza Zakaria,
ADUN Lenggeng, Mustafa Salim,
Bekas Setiausaha UMNO Bhgn Wangsa Maju, Ramli Abdul Manan,
ADUN Mesra UMNO, Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi
Bekas ADUN Jelai, Datuk Omar Othman
Bekas ADUN Semenyih, Ahmad Kuris
dan ramai lagi.

Takda pun yang dikenakan tindakan. Semua dibebaskan akhirnya kerana nanti mahkamah membuat keputusan "tiada cukup bukti".

Macamana rakyat nak yakin dan percaya kepada SPRM dan kehakiman negara??