9 Jun 2012

Rafizi Terbit Filem ‘Lembu NFC 2012′

Dalam usaha memberi tekanan dan memastikan rakyat mengingati skandal National Feedlot Corporation, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menerbitkan sebuah filem yang menyindir projek berkenaan.

Kartun karya kartunis Zunar ini mungkin boleh dijadikan 'poster' untuk filem terbaru Rafizi

Selaku penerbit tidak rasmi filem itu, kata Rafizi, filem komedi bercorak satira itu merupakan kaedah baru yang digunakan untuk memberi tekanan kepada kerajaan dan pihak yang terlibat dalam penyelewengan NFC.

“Kita akan umumkan secara terpeinci dalam masa terdekat. Kita sudah bersetuju tentang nama-nama pelakon dan tajuk filem yang boleh mengingatkan rakyat tentang sandiwara NFC,”

“Kita nak filem lembu ini menjadi filem top untuk tahun 2012,” katanya ketawa ketika dihubungi keadilan Daily.

Rafizi berkata, ‘skrip’ bagi filem itu sudah siap dan dijangka bakal menjalani pengambaran tidak lama lagi.

Berbeza dengan video-video klip di internet sebelum ini, katanya, filem berkenaan bakal menampilkan kelainan baru di ruang maya, selain sesuai dijadikan tayangan dalam program atau ceramah anjuran KEADILAN.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberitahu nama pengarah dan pelakon terlibat sebelum pengumuman dibuat, yang dijangka pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, Rafizi berkata pihaknya akan terus mendedahkan penyelewengan pinjaman mudah oleh kerajaan itu ketika perbicaraan saman yang difailkan Datuk Seri Shahrizat Jalil bermula Ogos ini.

“Bila kita disaman, kita akan gunakan peluang di mahkamah dan pastikan segala penyelewengan ini dibawa kepada rakyat,” katanya.

Skandal NFC menggemparkan negara apabila pendedahan demi pendedahan dilakukan KEADILAN berhubung penyelewengan dana sebanyak RM250 juta dilakukan NFCorp yang dimiliki keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Hasil tekanan KEADILAN, suami Shahrizat yang juga pengerusi Esekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan pecah amanah dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat.

Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan pinjaman RM250 juta digunakan untuk tujuan selain penternakan lembu. Antaranya membeli dua unit kondominium mewah di Kuala Lumpur, tiga unit kondo di Singapura, dua lot tanah di Putrajaya dan kereta Mercedez Benz selain sebuah apartmen mewah di Kazakhstan. -KD

Pelajar Kolej Ditahan Khalwat Di Pangsapuri

Beri alasan tumpang tidur

AMPANG - Seorang pelajar wanita memberi alasan menumpang tidur di rumah teman lelakinya ketika ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, di sebuah pangsapuri di sini, awal pagi semalam.

Pasangan yang ditahan disoal siasat oleh penguat kuasa Jais.

Pasangan berusia 20 tahun itu ditahan bersama tiga lelaki lain di rumah sama pada jam 12.40 pagi.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, selepas mendapat maklumat penduduk, beliau bersama anggota penguat kuasa pergi ke rumah berkenaan.

“Difahamkan jiran berkenaan mahu menegur kerana keadaan bising di rumah sewa lelaki itu sehingga mengganggu ketenteraman awam sebelum mendapati terdapat seorang wanita di rumah tersebut

“Ketika disoal siasat, wanita itu yang merupakan penuntut sebuah kolej itu memberi alasan menumpang tidur kerana tandas di asramanya rosak.

Difahamkan wanita berkenaan sudah seminggu berada di rumah tersebut,” katanya.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. -SH

Ulasan GB

Dasyat betul kehidupan remaja masakini. Boleh tumpang tidur di rumah "teman".

Sudah terlalu jauh dengan nilai keagamaan.

Sama Macam Lembu NFC, Nong Chik Diberi Projek Pada 2006 Tetapi Ditandatangani 2010

Nong Chik tak jawab persoalan kontrak anak RM30 juta- Zuraida

KUALA LUMPUR 9 Jun: Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak menjawab persoalan berhubung kontrak RM30 juta diterima anaknya, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

Beliau mengulas jawapan Raja Nong Chik yang tidak menafikan kontrak kepada Istijuara Sdn Bhd milik anak perempuannya, seperti dilapor portal Malaysiakini hari ini.

Nong Chik dalam jawapannya berkata projek bagi memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor itu diberi pada 2006. Manakala kontrak tersebut pula dimeterai pada 2010.

Zuraida berkata, isu utama bukan tahun kontrak itu dimeterai, tetapi wujud konflik kepentingan atas sebab penganugerahan kontrak berkenaan.

“Malah, jawapan Raja Nong Chik menimbulkan banyak persoalan lain. Mengapa kontrak hanya dimeterai pada tahun 2010 sedangkan projek diberi pada tahun 2006?

“Bagaimana jika terdapat masalah dari segi mutu dan prestasi (ketika projek berjalan)?” soalnya lagi yang mengaitkan isu sama dengan National Feedlot Corporation (NFC) yang menerima pinjaman mudah RM250juta sebelum kontrak rasmi dimeterai.


“Justeru kalau kerajaan Umno BN benar-benar telus dan mahu berubah, perkara ini mesti disiasat supaya nama beliau dapat dibersihkan,” katanya ketika dihubungi.

17 Mei lalu, Keadilan Daily melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan menganugerahkan kontrak bernilai RM30 juta kepada Istijuara Sdn Bhd bagi projek memasang dan menyelenggara kelengkapan latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor.

Turut dilampir salinan surat tawaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan kepada Istijuara bertarikh 24 Ogos 2010. Anak beliau, Raja Farhana Raja Nong Chik adalah salah seorang daripada dua pengarah syarikat itu. -KD


Anak Raja Nong Chik Diberi Kontrek Bernilai RM30.8 Juta Oleh Kem Belia Dan Sukan!

Syarikat milik Raja Farhana Raja Nong Chik, anak kepada Dato’ Raja Nong Chik Bin Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar diberikan kontrek memasang dan penyelenggaraan bernilai rm30.8 juta oleh Kementerian Belia Dan Sukan. (sila lihat dokumen dibawah)

Syarikat tersebut adalah Istijuara Sdn Bhd dimana Raja Farhana memiliki 399,999 dari sejumlah 400,000 saham. Syarikat ini ditubuhkan 20 tahun dahulu semasa Raja Farhana masih bersekolah di darjah satu.

Ini menunjukkan bahawa Raja Nong Chiklah yang selama ini menguruskan syarikat tersebut.


Syarikat Istijuara Sdn Bhd juga dikatakan menanggung beban hutang sebanyak rm400,000 dan dipercayai dengan kontrek bernilai RM30.8 juta ini, syarikat milik anak Raja Nong Chik dapat menyelesaikan semua hutang-hutangnya.

Dari dulu lagi Raja Nong Chik adalah seorang kontraktor kerajaan yang sangat berjaya dan apabila beliau dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan maka terbuka luaslah peluang bagi beliau mengembangkan karier beliau sebagai kontraktor kerajaan!

Raja Nong juga sebelum ini pernah diberi rm1.5 bilion oleh Najib bagi membantu penduduk yang gagal mendapat pinjaman bank bagi membeli rumah dan dikatakan bantuan ini telah pun ditawarkan kepada penduduk di Lembah Pantai.

Raja Nong Chik dikatakan berminat bertanding sebagai calon Barisan Nasional di Parlimen Lembah Pantai pada Pililihanraya Umum ke13 akan datang.

Setelah seorang menteri yang salahguna wang rakyat rm250 juta dalam skandal NFC bertanding dan kecundang di Parlimen Lembah Pantai pada PRU ke12 , kini seorang lagi menteri yang memang sudah terkenal dengan salahguna kuasa dan duit rakyat dijangka akan mewakili UMNO/BN.

Apakah calon jenis ini yang dimahukan pengundi di Lembah Pantai bagi mewakili mereka?








Polis Meninggal Dunia Akibat Lontaran Objek Anggota Polis Lain, Bukan Oleh Mat Rempit

5 polis ditahan untuk siasatan

KLANG: Berlaku kejutan dalam siasatan membabitkan seorang anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang koma sejak awal pagi Ahad lalu sebelum disahkan meninggal dunia semalam, apabila lima anggota polis ditahan kira-kira jam 4 pagi semalam.

Gambar: SUASANA MURAM...ahli keluarga menguruskan jenazah Allahyarham Mustaghni di rumah mayat HTAR, semalam.

Lima anggota polis berusia 45 hingga 51 tahun itu ditahan selepas siasatan terkini mendapati kecederaan parah Koperal Mustaghni Tabri, 48, sehingga membawa kematiannya berpunca daripada lontaran objek seorang daripada anggota polis terbabit dan bukan akibat libasan topi keledar Mat Rempit, sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

Mustaghni terbabit dalam kejadian itu ketika bertugas dalam operasi mencegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampiran Kampung Raja Uda, di sini, jam 1.45 pagi, Ahad lalu sebelum disahkan meninggal dunia jam 11.45 pagi, semalam.

Allahyarham meninggal dunia selepas lima hari koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata punca sebenar kematian mangsa masih disiasat, namun kecederaan disahkan bukan kerana dipukul dengan topi keledar, tetapi akibat terkena lontaran objek keras. -hm

SPR Mansuhkan Pamer & Bantah Untuk Elak Bakal Calon UMNO/BN Ditolak

Mansuh pamer bantah elak calon BN disabotaj?

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan proses pamer dan bantah adalah kerana bimbang calon-calon BN disabotaj ahli mereka sendiri.

Menurutnya, gerakan sabotaj itu wujud sejak 2008 lagi dan lebih ketara sejak kebelakangan ini sehingga Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan amaran keras kepada pihak yang beniat melakukan tindakan itu.

Malah katanya, kenyataan pimpinan Umno bahawa calon yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini tidak semestinya Ketua Bahagian, mampu menjuruskan sabotaj itu akan benar-benar berlaku.

"Tindakan SPR itu menjelaskan bahawa wujud satu gerakan sabotaj kepada calon BN yang akan bertanding pada pilihanraya nanti dalam bentuk teknikal yang akan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada calon Pakatan Rakyat.

"SPR cuba melindungi kemungkinan besar berlaku gerakan sabotaj dalam Umno-BN yang sememangnya telah berlaku sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berpendapat proses pamer dan bantah perlu bagi memastikan calon yang mewakili setiap parti itu bersih dari perkara-perkara yang menjejaskan diri sebagai calon.

"Proses pamer dan bantah itu adalah satu tindakan untuk kita melihat bahawa calon yang bertanding itu bersih terutama dari segi bankrup serta tidak mempunyai rekod jenayah.

"Apabila proses itu ada, kita boleh membantah kerana kita tidak mahu calon yang bertanding itu mempunyai rekod yang boleh menjejaskan beliau sebagai calon apatah lagi bila memenangi pilihanraya," katanya.

Keputusan terbaru SPR itu juga kata Azmin, jelas menunjukkan badan pilihan raya itu hanya berminat kepada isu-isu serpihan sedangkan perkara besar seperti daftar pemilih yang bersih, kebebasan media mahupun kerajaan sementara tidak diberi keutamaan.

"Kenapa tidak memberi tumpuan kepada perkara yang menjaminkan pilihanraya bersih dan adil.

"Ini yang kita dalam Pakatan Rakyat hadapi, SPR sepatutnya menyenangkan keadaan bukannya menyulitkan keadaan," tegasnya. -HD


Ulasan GB

Bermacam-macam cara dilakukan SPR untuk berpihak kepada UMNO BN.

Tetapi semuanya itu akan menjadi sia-sia.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan.

Pengerusi dan Timbalan pengerusi SPR akan tetap menerima hukuman di atas segala kepincangan dan penyelewengan yang telah dilakukan.

Liow Boleh Dapat WWW15 Secara Percuma Bukti Wujud Kong Kalikong

Kuala Lumpur 8 Jun: Pemberian nombor pendaftaran WWW15 kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai secara percuma membuktikan tender terbuka kerajaan Umno BN tidak telus, kata Wong Chen.

Pengerusi Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN itu berkata, tender tersebut mudah dieksploitasi Menteri dan kroni mereka.

“Ia menimbulkan persoalan tentang tadbir urus kerajaan dalam tender terbuka. Menteri boleh memberi apa-apa arahan sesuka hati.

“Jadi bagaimana rakyat boleh mempercayai tender terbuka kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiong Lai merupakan salah seorang yang berjaya membida ‘nombor panas’ berharga RM24,200 melalui tender terbuka Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bidaan nombor kenderaan rasmi kerajaan itu didakwa diurus oleh kementeriannya.

Bagaimanapun, setelah dikritik pelbagai pihak, Tiong Lai mengakui ia diperoleh secara percuma kononnya atas hak istimewa Menteri.

Chen berkata, JPJ perlu menjelaskan kepada pembida lain yang terpaksa membayar dengan harga penuh.

Beliau turut mendesak JPJ menjelaskan jika wujud arahan dalam urusan tersebut daripada Kementerian Pengangkutan.

Perdana Menteri juga katanya, perlu menjawab dakwaan Tiong Lai berkenaan hak istimewa menteri mendapatkan nombor pendaftaran khas.

Kontroversi ini bermula selepas Tiong Lai menjadi sasaran soalan pemberita dengan berkata tidak membayar satu sen pun untuk mendapatkan nombor tersebut.

Tiong Lai dalam tweetnya berkata, beliau telah dimaklumkan oleh JPJ bahawa beliau tidak perlu membayar harga bidaannya kerana nombor itu ‘percuma’.

Bagaimanapun, ini bercanggah dengan laporan akhbar China Press sebelum ini yang memetik jurucakap JPJ Wilayah Persekutuan sebagai berkata, setiap orang yang membida nombor plat, perlu membayar untuk mendapatkannya. -KD

Liow Boleh Dapat "WWW 15" Secara Percuma - JPJ

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mempunyai tiga pilihan, termasuk mendapatkan nombor pendaftaran 'WWW 15' secara percuma, sesuai dengan kelayakan yang diberi kepadanya oleh kerajaan iaitu sebagaimana yang dipohon dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam satu kenyataan, Jumaat, Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata Liow juga mempunyai dua pilihan lain iaitu membayar dengan harga tertinggi yang ditawarkan iaitu RM24,200 untuk mendapatkan nombor pendaftaran itu atau menolak tawaran tersebut jika tidak berminat.

Solah berkata JPJ menerima permohonan untuk mendapatkan nombor 'WWW 15' daripada Liow untuk kegunaan kenderaan rasmi melalui surat permohonan bertarikh 14 Mei 2012, iaitu pada hari terakhir nombor pendaftaran 'WWW' dibuka untuk bidaan.

Katanya Jawatankuasa Penilai Tempahan Nombor Pendaftaran Siri 'WWW' seterusnya memutuskan bahawa nombor pendaftaran itu ditawarkan kepada Liow dengan harga tertinggi iaitu RM24,200.

Beliau berkata JPJ juga memaparkan nama pembida berjaya kepada umum selaras dengan prinsip ketelusan yang diamalkan dalam pengurusan tempahan nombor pendaftaran.

"Ia juga kerana bidaan telah dibuat oleh orang ramai, sudah tentu mereka ingin tahu siapa yang memenangi nombor yang dibida. Pemenang bagi siri-siri sebelum ini juga kita paparkan," katanya.
- BERNAMA


Ulasan GB

Tiba-tiba kini dikatakan wujud surat permohonan untuk mendapatkan nombor 'WWW 15' daripada Liow untuk kegunaan kenderaan rasmi melalui surat permohonan bertarikh 14 Mei 2012, iaitu pada hari terakhir nombor pendaftaran 'WWW' dibuka untuk bidaan.

Dan atas hak istimewa menteri yang juga dari MCA, Liow boleh diberikan nombor bidaan itu secara percuma.

Lansung tak menasabah.

Itu sebab GB sudah menyatakan bahawa ianya perlu disiasat. "Surat berkenaan" muncul dan tak mustahil ia dilakukan selepas isu ini meletup dan surat itu telah di back-datedkan.

Rakyat mengesyaki wujud kong kalikong di dalam urusan tender ini dan hukum kebenaran dan keadilan menetapkan, pengarah JPJ dan Menteri Pengangkutan termasuk Liow Tiong Lai akan jatuh tergolek akibat perbuatan "menipu" rakyat. Semuga ia menjadi kenyataan.

Rakyat Dah Lupakan BR1M Yang Pertama, Kena Buat Round Kedua

Najib timbang beri BR1M kedua

KULIM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau sedang mempertimbangkan cadangan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua.

"Saya sedang pikiaq (fikir), pikiaq," katanya kepada lebih 30,000 pengunjung pada Program Jelajah Janji Ditepati di Taman Teknologi Tinggi Kulim di sini hari ini.

Dipetik Bernama, Najib berkata, BR1M adalah antara janji yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat dalam usaha mengurangkan beban rakyat.

Semalam,Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan kepada Kabinet supaya kerajaan memberikan lagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat.

Bulan lalu, Sinar Harian ada membawa laporan memetik beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengesyorkan agar pemberian BR1M dilanjutkan buat kali kedua sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berpendapat bahawa pemberian BR1M kali kedua akan mengurangkan beban rakyat dan bentuk bantuan tunai sedemikian lebih digemari rakyat.

Naib Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, cadangan itu akan disuarakan oleh BNBBC pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 11 Jun ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga melahirkan pandangan agar BR1M diberi untuk kali kedua. -petikan SH

Ulasan GB

RM500 akan diagihkan lagi, buat kali kedua.

Begitu terdesaknya kerajaan UMNO BN hari ini untuk memenangi hati rakyat... kerana apa? Pakatan Rakyat semakin hari semakin kuat...

Pengumuman tarikh pilihanraya yang lambat menyebabkan pemberian kali pertama telah dilupakan rakyat. Oleh itu kena bagi pusingan kedua, lepas itu cepat-cepat umum pilihanraya. Taktik memancing undi.

Kita sama-sama tunggu dan lihat.