4 Ogo 2012

Tiada Paksaan - Pilihan Di Tangan Anda!











BUKANKAH IA CUKUP JELAS DAN CUKUP NYATA?

MAKA PILIHAN KINI DI TANGAN ANDA!


George Kent Hanya Dapat 8.7 Drp 30 Markah Keseluruhan Bagi Penilaian Kewangan

Petaling Jaya: Konsortiun George Kent-Lion Pacific didakwa mengeluarkan kenyataan palsu berhubung kelulusan penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaan projek tambahan sistem LRT-Ampang.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sebaliknya berkata, konsortium tersebut sebenarnya gagal dan hanya mendapat 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan.

Perkara itu didedahkan Rafizi melalui satu salinan surat yang dikemukakan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Shahril Mokhtar kepada Kementerian Kewangan.

Dalam surat bertarikh 20 Januari itu, Shahril melaporkan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (penilaian teknikal, penilaian kewangan dan pematuhan kepada syarat-syarat kontrak) bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan.

Menurut laporan tersebut, berdasarkan lapan calon pembida, Konsortium George Kent juga didapati tidak memenuhi syarat kontrak, namun membuat permohonan agar beberapa syarat seperti “bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan” (Agreed Disruption Damages) disemak kembali.

Manakala dari segi teknikal, laporan tersebut menyatakan George Kent berada di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal dengan 38.62 daripada 70 markah keseluruhan.

Malah laporan Perunding Halcrow dengan secara jelas menyatakan bahawa ia tidak yakin Konsortium George Kent boleh melaksanakan projek itu.

Bidaan itu dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari luar negara.

“Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, pembohongan yang dibuat Pengarah Eksekutif George Kent, Ir Dr Cheong Thiam Fook ini dibuat dengan tujuan untuk mengaburi mata rakyat Malaysia.

Malah, katanya ia menghina semua prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara seolah-olah ia tidak berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida.

`Lesen besar’

Lebih merunsingkan, katanya ia membayangkan ‘lesen besar’ yang dipunyai oleh George Kent untuk membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan Prasarana.

“Konsortium George Kent dan rakan-rakan karib mereka dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional (BN) percaya dengan propaganda media yang berterusan, mereka dapat meyakinkan rakyat bahawa tidak ada unsur rasuah dan penyelewengan Najib dalam memastikan konsortium itu mendapat kontrak,” katanya.

Disebabkan itu, beliau berkata kemampuan Prasarana kini mungkin diragui bagi memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan jadual kerja seperti yang dipersetujui, apabila belum pun kerja bermula George Kent dengan bongkaknya membohongi keputusan bidaan yang diangkat Prasarana.

“Saya yakin kebongkakan George Kent ini berpunca dari sokongan padu Najib kepada syarikat itu.

“George Kent tahu mereka kini sudah kebal dari undang-undang kerana dilindungi sepenuhnya oleh Perdana Menteri, sebab itulah mereka tidak segan silu berbohong walaupun ada fakta dan bukti yang sahih,” katanya.

Cheong dalam kenyataannya semalam menafikan pihaknya gagal dalam penilaian teknikal sebelum dianugerahkan projek tersebut yang bernilai RM1.1 bilion, malah yakin dapat menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan. -FMT

Buktikan Mengapa George Kent Layak Laksana Projek LRT

SHAH ALAM 3 OGOS : Kerajaan dan Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) perlu memberikan penjelasan kepada rakyat bahawa George Kent adalah “konsortium terbaik” daripada segi harga dan kepakaran teknikal, berbanding syarikat itu sendiri yang membuat kenyataan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Prasarana perlu menunjukkan dokumen berkenaan dengan projek pembinaan tambahan LRT Ampang dengan membuktikan mengapa konsortium George Kent patut mendapat kontrak tersebut.

Prasarana pada Selasa lalu mengumumkan bahawa George Kent-Lion Pacific (GKLP-JV) berjaya mendapat kontrak tersebut yang bernilai RM956 juta.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berulang kali mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak campur tangan dalam pembidaan tender tersebut.

Penganugerahan kontrak itu juga dakwa dimiliki oleh “kawan rapat” Perdana Menteri, dan mendapat markah terendah penilaian teknikal dan komersial dalam projek tersebut.

“Beban dari segala persoalan ini kepada kerajaan persekutuan untuk membuktikan bahawa tidak ada salah guna kuasa dalam penganugerahan tender kepada George Kent,” kata Pua dalam kenyataannya hari ini.

Jelas beliau lagi, tindakan terbaik untuk kerajaan menghapuskan segala tuduhan terhadap kronisme ini ialah dengan menunjukkan segala dokumen dalam penganugerahan projek ini.

Ia dari dokumen tender hingga penyerahan projek, kepada kertas penilaian yang diaturkan oleh Prasarana dan panel konsultan serta minit mesyuarat dalam membuat keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan berkenaan dengan penganugerahan projek ini.

“Dengan mendedahkan dokumen ini, barulah sejajar dengan apa yang perdana menteri katakan dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diketuai oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), yang mahu ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran dan perolehan projek kerajaan,” ujar Tony.

Tambah Tony, kajian PEMANDU sendiri semasa GTP Roadmap 2010 menunjukkan “71 peratus dari korporat tidak ada ketelusan dan keterbukaan dalam penganugerahan kontrak dari kerajaan”.

George Kent semalam mengeluarkan kenyataan berkata GKLP-JV gagal dalam penilaian teknikal dan komersial sebagai “tidak berasas”.

Syarikat itu mendakwa menguruskan banyak syarikat pembinaan yang melibatkan mekanikal kompleks dan kejuruteraan di Malaysia dan luar negara.

Ia juga mengatakan berjaya membina projek dalam masa dan bajet yang tepat, antaranya projek RM100 juta dan merekabentuk hospital Kuala Lipis.

George Kent juga berkata syarikat itu juga akan mengetuai projek LRT Ampang ini, bersama-sama Tewet GmbH, iaitu sebuah syarikat yang telah mempunyai pengalaman dengan membina lebih 400 projek serupa di seluruh dunia.

Sebelum ini,Rafizi menyeru kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk mendedahkan penganugerahan projek tambahan LRT Ampang.
-selangorku



Ajaran Pak Habib Terpesong, Anggap Al-Quran Kitab Lama

Rawang – Nabi Muhammad SAW dianggap tuhan, al-Quran hanya sebuah salinan buku lama, solat hanya perlu pada hari Khamis dan tidak perlu berpuasa di bulan Ramadan adalah antara amalan yang jelas terpesong dilakukan sekumpulan pengikut ajaran Pak Habib yang bergiat aktif sejak beberapa tahun di Bandar Country Homes (BCH) di sini.

Demikian maklumat yang didedahkan seorang individu yang hampir terikut dengan ajaran sesat itu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidi, 42, berkata, pengikut Pak Habib menganggap Nabi Muhammad yang layak dijadikan tuhan kerana dalam Islam ada menyebut ‘barang siapa memuji ke atas Muhammad maka darjat mereka diangkat’.

“Terlalu banyak yang terpesong dan menyesatkan dalam amalan Pak Habib. Mereka menganggap Khamis menjadi penghulu bagi segala hari sebab itu pada setiap Khamis malam Jumaat pengikutnya dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan berhimpun melakukan pemujaan.

“Yang peliknya, pada hari tersebut mereka akan sama-sama bermain muzik yang disifatkan wajib,” katanya.

Menurut Zaidi, amalan Pak Habib juga menghalalkan arak kerana bagi mereka minuman itu menyihatkan badan.

“Minum sedikit (arak) jatuh haram, tapi jika minum banyak menyihatkan badan (halal),” katanya.

Zaidi berkata, pengikut ajaran itu juga menolak kandungan al-Quran kerana disifatkan hanya sebuah buku biasa yang mengandungi tulisan jawi serta disalin dan dicetak kemas.

Menurutnya, Ramadan bukanlah satu bulan rahmat bagi mereka kerana bagi pengikut Pak Habib puasa bukan satu kewajipan.

Katanya, kegiatan tersebut bergerak aktif sejak berkurun lama berdasarkan pengikutnya yang lahir daripada generasi awal Pak Habib sehingga ke hari ini.

“Malah, kesemua pengikut ajaran itu mempunyai salah silah atau susur galur keluarga atau bersaudara.

“Pengikutnya adalah golongan profesional seperti doktor, jurutera, pasukan keselamatan, pensyarah dan sebagainya, termasuk seorang di barisan pimpinan tertinggi sebuah parti politik” katanya.

Katanya, ajaran itu berpusat di BCH di atas tanah seluas kira-kira 1.2 hektar, di sebalik kawasan perindustrian dan terletak kira-kira 5 kilometer dari jalan utama.

Jelasnya, pusat tersebut dipercayai pernah dikunjungi pihak berkuasa dan terdapat notis penutupan diletakkan pada pintu utama pusat itu.

Bagaimanapun, setelah lebih dua tahun notis dikeluarkan kegiatan itu masih bergiat aktif.

Justeru, dia berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya. -Sinar

Kes Syaleza: Pemandu Teksi Diantara 4 Lagi Yang Diambil Keterengan

Polis merekodkan empat lagi keterangan individu termasuk pemandu teksi bagi membantu siasatan kes Syaleza Jaffar yang ditemui mati di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata tiga lagi individu yang diambil keterangan ialah seorang doktor, pengasuh anak lelaki mangsa dan rakan terdekat.

"Namun kita tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara ini. Mereka yang memberi keterangan ini merupakan antara saksi yang boleh membantu polis dalam menyelesaikan kes kematian mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Sebelum ini, polis telah merekodkan keterangan daripada 10 individu termasuk dua rakan sekerja eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 itu dan dengan empat keterangan terbaharu, jumlah keterangan yang diambil ialah sebanyak 14 sehingga hari ini.

Mohd Adnan berkata ada beberapa saksi lagi yang akan dipanggil untuk dirakamkan percakapan mereka berkaitan kes itu.

Syaleza, 31, ditemui mati oleh suaminya, Norazman Bashah dalam bilik tidur rumah mereka, dan hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan jerutan di leher wanita itu.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga terdekat Syaleza di Segamat, Johor pada 10.15 malam pada Ahad lepas bagi membantu siasatan kes itu.

Syazleza merupakan anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Senator BN Isytihar Keluar Parti, Sokong Pakatan Rakyat

Kuala Lumpur: Senator Datuk Maijol Mahap mengisytiharkan keluar Barisan Nasional (BN) hujung minggu lalu.

Beliau turut menyertai Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing yang meletak jawatan dalam BN Ahad lepas.

Gambar: Maijol kanan sekali pada majlis penubuhan Angkatan Perubahan Sabah Ahad lalu.

Bekas Naib Presiden Upko itu berkata, antara punca beliau meninggalkan BN disebabkan isu kemiskinan rakyat Sabah, dasar kabotaj, royalti minyak, diskriminasi kaum, rampasan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan peminggiran Sabah yang masih membelenggu.

Maijol yang sudah 14 tahun dalam BN berkata, semua masalah itu gagal diselesaikan termasuk di era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Selepas mengambil kira masalah ini yang sudah lama tertangguh di Sabah dan gagal diselesaikan, maka saya terpaksa meninggalkan BN.

“Saya tidak lagi percaya bahawa kerajaan BN boleh atau akan menyelesaikan isu-isu kritikal di Sabah, termasuk PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin), tahap kemiskinan yang tinggi, meminggirkan KDM (Kadazan Dusun Murut), NCR, lima peratus royalti minyak dan dasar kabotaj,” katanya pada kenyataan 31 Julai lalu.

Turut meninggalkan BN pada 29 Julai lalu ialah Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh serta Ahli Majlis Tertinggi Upko, Denis Gimpah, Lesaya Lopog dan Petrus Guriting.

Mereka mengikut langkah Wilfred menyertai Pakatan Rakyat melalui penubuhan Angkatan Perubahan Sabah (APS) pada majlis pelancaran pertubuhan itu Ahad lalu.

Penyertaan itu disaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -KD

Lagi Bekas Pegawai Kanan Polis Akan Sertai PAS

Bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Datuk Ramli Yusuff akan menyertai PAS dalam masa terdekat, kata naib presiden parti itu Salahuddin Ayub.

Menurutnya, beberapa perbincangan telah berlangsung antara PAS dan Ramli berhubung perkara itu dan perkembangan terbarunya juga "sangat positif".

"Dalam masa terdekat pengumuman akan dibuat pimpinan tertinggi parti atau beliau (Ramli) sendiri," katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Salahuddin berkata, PAS amat mengalu-alukan kemasukan Ramli yang dilihat mempunyai dorongan kuat untuk memperjuangkan kebenaran.

"Bukan mudah untuk seorang bekas pegawai polis berprofil tinggi seperti beliau membuat keputusan menyertai PAS," katanya.

Sebelum ini, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari turut menyertai PAS, yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha parti Islam itu merekrut ahli daripada pelbagai latar.

Pengumuman dijangka Ogos atau September

PAS juga dilihat sedang aktif menerima kemasukan kumpulan selebriti seperti pelakon Abby Abadi, Hairie Othman dan penyanyi Aishah yang jarang-jarang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim sewaktu dihubungi Malaysiakini turut
membayangkan seorang lagi bekas penjawat awam tertinggi berasal dari Kelantan akan menyertai parti itu.

"Saya yakin dalam tempoh antara Ramadan dan Syawal, banyak lagi yang akan menyertai PAS dari kalangan bekas penjawat awam.

"Saya rasa sebelum Ogos (berakhir) atau September akan ada pengumuman dibuat berkenaan perkara ini," katanya.

Ramli sebelum ini mencuri perhatian apabila terdapat dakwaan beliau dianiaya ekoran konspirasi melibatkan peguam negara dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan untuk melindungi tokoh kongsi gelap Johor Goh Cheng Poh atau Tengku Goh pada 2007.

Musa bagaimanapun menafikannya manakala perdana menteri pula menolak penubuhan tribunal untuk menyiasat perkara itu kerana berpendapat ia hanya dakwaan dan "Dakwaan perlu disahkan". -mk

Ulasan GB

Selamat datang tuan ke dalam saf perjuangan Parti Islam SeMalaysia untuk kebenaran dan keadilan.



Bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis Kata Rais Yatim Bebal Politik & Minta Letak Jawatan

Rais rosakkan sambutan merdeka

KANGAR: Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh menyelar Datuk Dr Rais Yatim dan menyifatkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebagai punca kontroversi sambutan hari merdeka 31 Ogos ini.

“Dr Rais anggota kabinet yang tidak memahami erti tranformasi yang mahu dibuat oleh Perdana Menteri. Beliau telah merosakkan momentum sambutan hari merdeka.

“Kerana beliau, pembangkang telah mempolitikkan tema hari merdeka.

“Elok sahaja dia (Dr Rais) meletakkan jawatan dan berundur. Orang tua tidak memahami keperluan semasa.

“Beliau telah merosakkan momentum tranformasi Datuk Seri Najib Tun Razak. Sekarang orang menyalahkan, BN, Umno dan Najib,” kata beliau hari ini.

Pakatan Rakyat tolak

Menurut Hashim, tema sambutan hari merdeka perlu bercirikan semangat kenegaraan bagi memastikan semua rakyat merasa bangga menjadi warga yang merdeka.

Bagaimanapun, katanya, kebebalan politik Dr Rais boleh menyebabkan sambutan hari merdeka menjadi hambar.

“Kita simpati dengan Perdana Menteri yang mahu melaksanakan tranformasi tetapi dibantutkan oleh ahli-ahli kabinet yang tidak memahaminya.

“Menteri-menteri kabinet juga ferlu tranformasi tetapi berlainan sekali dengan yang ini. Beliau tidak memahami tranformasi,” tambah Hashim lagi.

Pakatan Rakyat menolak tema Janji Ditepati kerana mendakwa ia kempen BN.

Sebaliknya memilih tema alternatif “Sebangsa, Senegara, sebagaimana diumumkan Pengerusi jawatankuasa pemilihan tema tersebut, Datuk A Samad Said baru-baru ini.

Pakatan Rakyat juga memberi tempoh seminggu supaya Janji Ditepati ditarik balik. -FNT

Ulasan GB

Tidakkah GB sudah katakan sebelum ini?

Lagu Tema Merdeka Ditolak: Isyarat Jelas Untuk Rais Yatim Berundur!

Pembantu Rumah Dakwa Dirogol Majikan.. (Teringatkan Robengah!)

Kulim - Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 28 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin setelah mengadu dirogol oleh majikannya.

Gambar: Mangsa membuat laporan polis mendakwa dirogol majikannya

Mangsa yang datang ke Malaysia pada 15 Mei lalu dijanjikan gaji bulanan RM500 sebulan bagaimanapun tidak menerima sebarang bayaran sehingga hari ini.

Menurut mangsa, sepanjang tinggal bersama majikannya, dia telah dirogol sebanyak tiga kali dan kejadian berlaku ketika isteri suspek dan anaknya yang sudah bersekolah tiada di rumah.

“Kejadian berlaku pada Ahad, ketika itu isteri dan anaknya tiada di rumah. Isterinya bekerja sebagai seorang guru sekolah manakala anaknya bersekolah dalam tingkatan empat. Apabila kedua-dua mereka keluar dari rumah, hanya tinggal saya dan suspek sahaja di rumah.

"Suspek kemudian menghampiri saya dan memuji saya cantik sebelum bertindak agresif terhadap saya. Suspek meminta saya melayani kehendak seksnya tetapi saya enggan berbuat demikian. Suspek naik berang dan mengugut untuk membunuh saya sekiranya tidak mahu melayani kemahuan seksnya,” katanya.

Mangsa berkata, kali terakhir dia dirogol dua minggu lalu. Bagaimanapun Ahad lalu suspek sekali lagi cuba merogolnya tetapi dia memaklumkan kepada suspek kesan luka yang terdapat pada kemaluannya masih belum sembuh dan sakit.

Katanya, perlakuan itu berlaku beberapa kali sehingga dia mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah majikannya dan meminta bantuan dari jiran berhampiran sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara itu. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek sudah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat mangsa. -SH


Ulasan GB

Teringatkan kes Robengah satu ketika dulu...
GB terlupa pulak siapa majikannya ketika itu..