27 Sep 2012

[VIDEO] PKNS Buat Laporan Polis Terhadap NGO Mesra UMNO

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat tersebut.

Peguam mewakili PKNS, Sankara Nair berkata beliau telah menasihati PKNS untuk membuat laporan polis terhadap Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Presidennya, Azwanddin Hamzah.

“Kami menegaskan bahawa anak guam kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana media atau organisasi yang membuat kenyataan fitnah mengaitkan PKNS dan penyelesaian hutang Talam,” katanya di luar Ibu Pejabat Daerah Polis Shah Alam di sini hari ini.

PKNS turut membuat laporan polis hari ini ke atas JMM berhubung risalah berbau hasutan dan fitnah yang didakwa menyalahi undang-undang.

Laporan polis itu menyebut bahawa risalah dengan logo JMM menghasut pemilik-pemilik rumah yang telah membeli rumah dari PKNS atau Selangor Industrial Corporation (SIC) agar memohon kepada kerajaan negeri melupuskan hutang tertunggak.

Dasar ini kononnya atas sama seperti diambil kerajaan negeri Selangor dalam melupuskan hutang Talam Corporation Berhad.

Salinan risalah bertarikh 15 September 2012 itu antara lain turut disertakan borang bertajuk “Pembelian Hutang PKNS”.

Penulis risalah – Azwanddin didakwa berniat jahat dengan menulis, menerbitkan dan mengedar risalah mengaitkan PKNS dengan isu Talam sedangkan hal tersebut tidak mempunyai kaitan.

“Saya juga melaporkan bahawa motif penulisan, penerbitan dan pengedaran risalah itu mencetuskan perasaan takut,rungsing dan gusar dalam minda orang ramai terhadap PKNS serta mengaibkan dan menjatuhkan reputasi,” kata Pegawai Undang-undang PKNS, Silawati Mat Jusoh yang membaca laporan polis itu kepada media.

Pada 21 September lalu, satu laporan polis turut dibuat ke atas organisasi media dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkenaan laporan berita palsu yang mengaitkan anak syarikat PKNS- PKNS Infra Sdn Bhd terlibat dalam kes kecurian air.

GAPS lapor polis tentang bas Dalam perkembangan lain, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) turut membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, berhubung dakwaan penyelewengan pemilikan pembelian bas oleh Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Presiden GAPS, Hamidzun Khairuddin mendakwa Menteri Besar mengaku bas dimiliki beliau dan disewa kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tujuan pilihan raya akan datang.

Maka beliau mahu siasatan terperinci dibuat kerana mensyaki pembelian bas mewah itu yang didakwa bernilai RM900 ribu.

Laporan berhubung hal tersebut juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -FMT

OKU Ikrar Bantu PR Tawan Putrajaya



Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) berikrar untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Lontaran ini disuarakan oleh Ketua Penggerak Kempen OKU Bangkit 2012, Mohammad Faizal Che Yusof dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, kempen ini merupakan satu mekanisme bagi mengetengahkan permasalahan OKU agar lebih diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Diharapkan parti politik akan peka mengenai OKU dalam menifesto pilihanraya akan datang.

Kita bersedia untuk membantu PR memenangi Putrajaya InsyaAllah,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan perlu memberikan elaun kecacatan kepada OKU secara menyeluruh tanpa mengikut jenis kecacatan dan gaji pekerja OKU.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan tambahan kewangan kepada OKU yang bekerja sehingga mencapai pendapatan RM1,500 sebulan dan RM150 kepada OKU yang tinggal di rumah.

“Pembangunan OKU perlu dibuat secara menyeluruh. Satu portfolio OKU perlu dimartabatkan di peringkat kementerian di persekutuan dan exco di peringkat negerim.

“Kita harapkan dalam Bajet 2013 ada sesuatu untuk OKU,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya akan terus mendokong segala usaha pembangunan kepada golongan OKU di seluruh Malaysia.

Katanya, penubuhan sekateriat ini juga merupakan langkah awal bagi membantu kemenangan PR bagi membangunkan OKU kelak.

“Pihak kami akan mengikhtiarkan sebuah pusat khidmat atau sehenti OKU nasional bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih signifikan kepada OKU termasuk kajian berkaitan OKU, advokasi, perancangan dan perlaksanaan pembangunan.

“Meskipun belum memerintah, kami akan mengikhtiarkan yang terbaik untuk mereka,” katanya. -selangorku

Perogol Bersiri Yang Diburu Polis Kerana Merogol Sewaktu ‘Temuduga’ DICEKUP!

Seorang lelaki yang merogol dan merompak wanita selepas sesi ‘temuduga’ yang dilakukan di dalam bilik hotel, ditahan polis awal Rabu di sebuah rumah di Seksyen 27, Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, hasil risikan polis, lelaki berusia 29 tahun itu yang diklasifikasikan sebagai perogol bersiri dan amat dikehendaki polis sejak 2010, ditahan di rumahnya pada 2 pagi ketika sedang tidur.

Beliau berkata, modus operandi lelaki itu ialah mengiklankan tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di internet, khas untuk golongan wanita sahaja.

Suspek akan menghubungi mangsa yang kononnya disenaraikan pendek bagi mengatur sesi temuduga di hotel-hotel mewah dengan meminta mangsa mendaftar masuk atas nama mangsa sendiri.

“Dia akan bagi alasan tak bawa kad pengenalan lah, duit tertinggal la.

Ini semua bagi mengelakkan namanya direkod dan disyaki pihak berkuasa.

Mangsa sebelum itu juga diminta membawa barangan berharga seperti I-Pad, telefon bimbit dan sebagainya,” katanya.

Ku berkata, selepas dirogol, barangan berharga milik mangsa juga dilarikan namun mangsa tidak dicederakan.

Beliau berkata, suspek dipercayai terlibat dalam beberapa kes yang sama, yang dikesan sejak 2010 di Kuala Lumpur dan Selangor berdasarkan modus operandi yang digunakan.

“Namun kita percaya suspek terlibat dalam banyak lagi kes, (yang sama), namun tidak dilaporkan mangsa,” katanya dan meminta kaum wanita yang pernah menjadi mangsa lelaki itu supaya tampil bagi membantu siasatan polis.

Beliau berkata, suspek yang merupakan seorang jurujual direman pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan 392 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan rogol serta melakukan rompakan – BERNAMA.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Masalah E-undi Pilihanraya Kampus: Percubaan Menipu Yang Gagal


UIA hadapi masalah ‘pengundi hantu’ dalam sistem e-pengundian

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberikan alasan peningkatan pengundi dalam sistem e-pengundian melebihi jumlah yang layak mengundi menyebabkan pilihan raya kampus (PRK) terpaksa ditangguhkan.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Datuk Mizan Hitam, dalam kenyataan rasmi mengesahkan perkara tersebut.

“Sebagai contoh, sepatutnya satu kuliah mempunyai 300 pengundi tetapi e pengundian mencatatkan jumlah melebih 2000 pengundi yang layak,” katanya.

Memetik laporan di Berita Harian hari ini, Dekan Bahagian Pembangunan dan Perhubungan Pelajar UIAM, Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman mengesahkan perkara tersebut dan dijangkakan pilihan raya semula akan diadakan pada minggu depan.

“Saya masih belum menerima laporan rasmi tetapi ia berpunca daripada masalah teknikal,” kata Dr Akmal kepada Berita Harian.

Dr Akmal juga berkata tarikh pilihan raya akan diputuskan hari selepas selesai bermesyuarat.

Disamping itu, beliau juga mempertahankan keupayaan sistem e-pengundian yang digunakan oleh semua universiti dalam PRK kali ini.

“Ia tidak berlaku di universiti lain kecuali di UIA,” kata Dr Akmal.

Bagi mengelak ia berulang, UIA dijangkakan beralih kepada sistem lama iaitu mengadakan pilihan raya secara manual.

Cadangan itu dilontar oleh Datuk Mizan dan Dr Akmal dalam kenyataanya hari ini juga menyuarakan pendapat sama yang mahu senat mengadakan satu lagi PRK secara manual.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sidang medianya berkata pihaknya telah menerima laporan awal yang mengatakan kelewatan itu disebabkan kesilapan teknikal dalam penggunaan sistem e-undi yang dikelolakan pihak bertanggungjawab di UIAM.

Sebanyak 32 kerusi dipertandingkaan melibatkan 18 kerusi di kampus Gombak dan 13 kerusi di kampus Kuantan.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan dalam kenyataannya hari ini menggesa sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat segala aduan ketidak adilan dan penipuan yang berlaku dalam PRK sesi ini.

Beliau juga menyifatkan PRK yang berlangsung semalam telah menyaksikan penyelewengan dan penindasan ke atas hak demokrasi mahasiswa. -TMI

Nurul Izzah: Kredibiliti pilihan raya kampus tercalar

PILIHAN raya kampus yang diadakan semalam mencatitkan titik hitam dalam sejarah Malaysia dengan campur tangan pihak eksekutif serta amalan budaya samseng, ugutan berbentuk jenayah yang menekan dan mengekang hak serta kebebasan mahasiswa.

Projek Ops2020, yang didedahkan dalam Parlimen sesi yang lalu terbukti dirangka untuk memenangkan calon-calon kampus yang pro-kerajaan. Projek ini telah memberikan laluan kepada nasir-anasir luar yang didalangi pihak tertentu untuk terus menyekat perjalanan pilihan raya kampus yang bersih, adil dan telus.

Gejala samseng mulai menerjah masuk ke kampus-kampus, dengan insiden terbaru Pengerusi Pro-M Universiti Malaya yang dibelasah oleh 5 orang samseng. Budaya ini wajib dikecam dan segera ditangani oleh pihak berwajib.

Adakan audit terbuka ke atas e-undi.

Sebahagian daripada perancangan durjana pihak eksekutif termasuklah pengenalan sistem e-undi Universiti Malaya (UM) sejak 2009 apabila pihak pentadbiran UM meneruskan konsep menukar sistem kertas undi kepada sistem e-undi (undi secara berkomputer).

Para mahasiswa serta mahasiswi menentang keras sistem e-undi yang diperkenalkan kerana ia memberi impak kepada ketelusan, keberkesanan dan ketelusan setiap undi mahasiswa. Tiadanya audit ke atas sistem e-undi tersebut, dikeruhkan dengan perjalanan pilihan raya kampus yang tidak dipantau oleh pihak yang tidak berkepentingan.

Secara tuntas, persoalan-persoalan berkait sistem e-undi perlu dijawab:

i. Adakah undi rahsia?
ii. Sejauh manakah keselamatan data yang bergerak dalam rangkaian?
iii. Apakah yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan sistem e-undi untuk memastikan telus dan tidak boleh dimanipulasi?

Setelah e-undi diperkenalkan sejak 2009, pada 2010 pihak pentadbiran UM sekali lagi memperkenalkan sistem baru dalam pelaksanaan pilihan raya kampus iaitu e-calon, e-daftar dan e-bantah yang semuanya berbentuk elektronik.

Sistem yang diguna pakai ini mengakibatkan seribu permasalahan buat mahasiswa di mana pada pilihan raya kampus UM kali ini – dua fakulti iaitu Fakulti Sains dan Pendidikan terpaksa menjalankan undian semula akibat undi seri yang diperoleh oleh kedua-dua fraksi Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa.

Sejarah hitam demokrasi kampus juga tercipta di Universiti Islam Antarabangsa, apabila pilihan raya kampusnya terpaksa diulang semula kemudian secara manual akibat masalah teknikal. Kemelut undian semula yang berangkai bagi banyak universiti membuktikan sistem e-undi perlu dibaik pulih, sebelum boleh dilaksana sepenuhnya.

PKR menggesa supaya Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan sistem undian manual sehinggalah satu badan bebas khas diwujudkan untuk menyiasat dan menyelesaikan kemelut yang berlaku, termasuklah pelaksanaan audit bebas terhadap sistem e-undi. Kita wajib membaik pulih imej universiti-universiti di Malaysia yang tercalar teruk akibat manipulasi sebegini.


Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden PKR

Pelajar Latihan Amali Adakan "Latihan Amali" Dengan Bakal Tunang Dicekup

Dungun - Tindakan seorang penuntut kolej membawa pulang teman lelaki ke rumah sewa setiap hujung minggu sehingga mendatangkan syak wasangka dalam kalangan jiran tetangga sehingga perbuatan tidak bermoral itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

Susulan itu, satu serbuan dilakukan penguat kuasa syariah kira-kira jam 10.45 malam Ahad lalu, berjaya menahan sepasang kekasih yang berada berdua-duaan di sebuah rumah flat, dekat sini.

Ketika ditahan, gadis berusia 21 tahun yang sedang menuntut di salah sebuah kolej swasta itu difahamkan hanya berseluar pendek dan memakai baju singlet tanpa pakaian dalam.

Ketika serbuan, pasangan itu mengaku mempunyai hubungan sebagai sepupu, namun setelah disoal siasat kedua-duanya tidak mempunyai hubungan muhrim.

Gadis berasal dari Bukit Tunggal dikatakan sedang menjalani latihan amali di Pejabat Kesihatan Dungun, manakala teman lelakinya yang berasal dari Padang Nenas, Kuala Terengganu, kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan selepas diikat jamin oleh keluarga masing-masing.

Pasangan yang mengaku bakal mengikat tali pertunangan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun, 29 Oktober nanti atas dakwaan khalwat mengikut Seksyen 31(a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ulasan GB

Kenapalah susah sangat orang muda sekarang ini untuk bernikah?

Zina sudah menjadi seperti perkara normal dan bukan dosa yang ditakuti. Kerana apa? Mudah jawapannya: hukum Islam diketepi!

Suspek Utama Kes Bunuh, Samun RM1.2 juta Ditahan

Ipoh - Seorang pengawal keselamatan yang disyaki menembak mati rakan sekerjanya dan melarikan wang tunai RM1.2 juta di Aulong, Taiping, minggu lepas, ditahan di Bukit Kampung Syed Omar, Kangar, Perlis semalam.

GAMBAR: Suspek utama kes bunuh dan samun wang tunai syarikat keselamatan berjumlah RM1.2 juta di Taiping minggu lalu direman tujuh hari bagi membantu siasatan polis - Foto Bernama

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 11 pagi oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Perlis.

"Dengan tangkapan itu, kes itu dianggap selesai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas wang tunai RM7,250 dan mata wang Thai 550 Bath daripada lelaki terbabit.

Jumaat lepas, polis menahan enam suspek iaitu empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 dan 30-an bagi membantu siasatan kes itu.

Dalam kejadian 18 Sept lepas, pemandu van syarikat keselamatan, Hasnul Hafiz Saad, 28, mati di tembak empat das dari jarak dekat ketika mangsa dan rakan sekerjanya dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai di beberapa bank di bandar Taiping - Bernama.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Patutlah Bermati-matian Pertahankan Putrajaya, Ramai Yang Bakal Ke Penjara



Pakatan tubuh S’jaya siasat skandal BN jika tawan Putrajaya

Pakatan Rakyat akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi menyelamatkan sebanyak mungkin wang rakyat yang dibazirkan Umno-BN sebaik gabungan KEADILAN, PAS dan DAP diberi mandat membentuk kerajaan.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, fokus suruhanjaya itu terarah kepada skandal pembaziran wang rakyat yang melibatkan pemimpin besar.

Skandal PKFZ misalnya, ia melibatkan pembaziran wang rakyat RM14 bilion dan yang terbaru penyelesaian di luar mahkamah bagi kes hutang kroni Umno, Tajudin Ramli terhadap Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Skandal besar seumpama ini mesti ada pihak yang bertanggungjawab dan sebab itu perlunya suruhanjaya bagi menyiasatnya,” katanya.

Beliau diminta mengulas isi ucapan beliau di Sungai Petani, Kedah 3 Mac yang menyatakan Pakatan Rakyat akan mengheret mereka yang melakukan rasuah ke mahkamah jika mengambil alih Putrajaya pada PRU akan datang.

Saifuddin berkata, turut tidak terlepas dari fokus Pakatan ialah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bertujuan mereformasikan institusi polis.

“Skandal NFC juga tidak akan terlepas kerana wang rakyat turut dibazirkan keluarga pemimpin Umno dengan menggunakan dana awam RM250 juta itu.

“Malah rakyat yang juga pembayar cukai sangat berharap wang mereka dikembalikan ekoran salahguna kuasa yang dilakukan keluarga menteri dalam projek ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ucapan maaf Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini adalah taktik berlepas diri dengan meletakan kesalahan di bahu pemimpin lain.

“Sepatutnya Najib mengakui salah beliau, kerana beliau menteri Umno sejak puluhan tahun, malah mewarisi sistem Umno yang mengekalkan rasuah dalam pentadbirannya dan Najib sudah menjadi PM hampir tiga tahun,” ujarnya.

Oleh itu, beliau mengingatkan Najib bahawa rakyat sudahpun membuat pendirian dan yakin pengundi akan memastikan Umno BN tersungkur pada PRU akan datang.

Isteri Tetak Suami Dengan Pisau Pemotong Daging Gara-gara Facebook

Sibu: Gara-gara minta diajar melayari Facebook, seorang suami cedera ditetak isterinya menggunakan pisau pemotong daging dalam satu krisis rumah tangga di Jalan Tong Sang di sini, awal pagi semalam.

Terdahulu, mangsa berumur dalam lingkungan 30-an sering memerhatikan gelagat isterinya melayari laman sosial itu menggunakan telefon bimbit.

Bimbang isterinya yang berumur dalam lingkungan 20-an mempunyai hubungan dengan lelaki lain, si suami cuba memeriksa kandungan telefon bimbit isterinya, namun gagal kerana akaun Facebook isterinya sentiasa dalam keadaan "Logout" selepas digunakan.

Malah, si suami yang tidak berputus asa turut cuba memeriksa kandungan "Masuk" dan "Hantar" sistem pesanan ringkas (SMS) dalam telefon bimbit isterinya, namun semuanya sudah dipadamkan.

Difahamkan, hubungan suami isteri tersebut agak renggang sejak kebelakangan ini kerana sering bergaduh.

Lantaran itu, pada jam 1 pagi semalam, si suami meminta isterinya untuk mengajarnya menggunakan Facebook, namun tidak diendahkan.

Si isteri yang naik berang setelah tidak tahan dengan kehendak mangsa yang asyik meminta tunjuk ajar menggunakan Facebook, tiba-tiba menolak mangsa dan meluru masuk ke bilik tidur untuk mengambil sesuatu yang diletaknya di bawah tilam.

Panik melihat isterinya tiba-tiba memegang pisau pemotong daging dan melibas-libaskan senjata tajam itu ke arahnya, si suami cuba mengelak namun tercedera di kaki kanan dan kedua-dua belah tangannya.

Mangsa kemudian melarikan diri menggunakan motosikal dan pergi ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis.

Selepas diambil ketera-ngan, mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk men-dapatkan rawatan. -theborneopost