31 Okt 2012

MP Kota Belud Diselar Kerana Tidak Jenguk Kawasan

KKota Belud: Ahli Parlimen Kota Belud Dato’ Abdul Rahman Dahlan digesa membuat lawatan ke kawasan parlimennya daripada ‘berkokok’ dan ‘menyalak’ mempertahankan pelbagai isu yang menimpa partinya, Umno.

“Sejak kebelakangan ini Rahman lebih gemar bercakap isu ekonomi negara, pentadbiran persekutuan dan kedaulatan bangsa lain sedangkan kawasannya terbiar,” kata Anggota Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga pemimpin tempatan, Peter Marajin.

“Kerajaan sering mendabik dada kononnya Kota Belud adalah jelapang padi negeri Sabah tetapi ratusan ekar sawah padi di Mukim Kelawat tidak ditanami padi. Mana pergi Rahman? “Pernahkah Rahman prihatin dan melawat para petani sawah di Kelawat?,” tanya Marajin ketika melawat kawasan itu hujung minggu lalu.

Katanya, jika para pemimpin Umno hanya tahu mendabik dada tetapi tidak sedar, atau pura-pura tak tahu, kawasannya sendiri terbiar dan dilupakan, maka ini hanyalah sandiwara politik yang perlu dihentikan dengan segera.

“Mereka ini umpama ayam jantan berkokok berderai-derai, ekornya bergelumang tahi, cuma orang tak tahu. Nah sekarang kamu tahu mana jelapang padi Kota Belud itu.

“Adakah pemimpin kerajaan hanya melihat sawah di beberapa kawasan sahaja seperti di Tempasuk dan Tamu Darat? Di Kelawat beratus ekar sawah boleh diusahakan tapi tidak ada sistem pengairan air sampai sekarang. Petani bergantung kepada hujan sahaja.

Sistem pengairan

“Kawasan-kawasan ini sebenarnya tidak memerlukan empangan, hanya perlu kepada sistem pengairan dan perparitan yang moden,” terang beliau.

Menurut Marajin yang juga seorang peguam yang popular, Rahman perlu lebih mendengar dan bukan memberi ceramah kepada penduduk kampung Kota Belud serta mencanangkan Kota Belud sebagai jelapang padi sedangkan produktiviti tak sampai ke mana pun.

“Pergilah lihat sawah-sawah di Kota Belud, makin banyak yang tidak diusahakan termasuk di kawasan yang dikatakan sudah bertahun- tahun diusaha sebagai jelapang padi.

“Janganlah pemimpin kerajaan ini tuduh orang kampung malas kerja sawah. Carilah masalahnya. Siapalah yang mahu membanting tulang di sawah tetapi harga padi hanya 70 sen sekilo umpamanya.

Kalau pandai sangat ekonomi, carilah jalan supaya harga padi naik kepada RM3 sekilogram, barulah orang berebut menanam padi,” kata Marajin.

Melepaskan batuk di tangga

Beliau menambah, usaha kerajaan meningkatkan pengeluaran padi di Sabah umpama melepaskan batuk di tangga dengan daerah-daerah lain terus mengabaikan kerja menanam padi.

“Sabah masih mengimport 70 peratus berasnya sampai sekarang. Idea yang lebih baik dan usaha lebih praktikal perlu dicari untuk meningkatkan pengeluaran padi kita bukan setakat hanya mencanangkan di sana sini,” katanya lagi.

Menurut Marajin, kawasan parlimen Kota Belud sekarang mempunyai jumlah pengundi yang paling ramai di Sabah dengan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri tetapi hanya mempunyai sebuah pekan.

“Jalan masuk ke Kota Belud penuh sesak pada tiap-tiap pagi, tengah hari dan petang apa lagi ketika ada perayaan. Oleh kerana hanya ada sebuah pekan dan semuanya tertumpu di situ sedangkan jalan raya hanya satu lorong,” jelasnya.

Beliau turut menyoal, “bilakah anggota parlimen kita mahu tolong selesaikan hal ini?” “Tolonglah jangan marah-marah dan meradang bila rakyat merungut, saya sendiri pun dihujani pelbagai pertanyaan kenapa kerajaan buat itu tetapi tidak buat ini dan macam-macam lagi isu kepentingan pengguna dan rakyat di Kota Belud,” ujarnya. -FMT

[BERGAMBAR & VIDEO] Taufan Sandy: New York Hampir Tenggelam


New York – Pertembungan dua lagi aliran cuaca yang bertukar menjadi taufan hampir menenggelamkan kotaraya New York dan Sandy adalah taufan yang paling digeruni dalam sejarah Amerika Syarikat.

Sandy yang mulai membadai telah menyebabkan sebahagian besar kawasan rendah di Manhattan dilanda banjir sehingga menyebabkan bandaraya itu terputus bekalan elektrik.

Kira-kira 400,000 rumah terputus bekalan elektrik di kesemua lima kawasan pilihan raya bandaran iaitu dari selatan Pulau Manhattan sehingga ke kawasan 39th Street.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di sebuah kompleks apartmen di 38th Street, yang terletak di tengah pulau itu dan bersebelahan dengan East River, memaklumkan air hujan memasuki kediamannya sekitar pukul 2 petang, Isnin, akibat hujan lebat dan tiupan angin yang sangat kuat.

“Air hujan masuk melalui celah-celah tingkap rumah, walaupun tingkap sudah ditutup, angin yang sangat kuat menyebabkan tingkap rumah saya bergegar dengan itu kunci terbuka dengan sendirinya,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Dilla ketika dihubungi Bernama lewat malam Isnin.

Beliau, yang menetap di tingkat 25 kompleks apartmen setinggi 54 tingkat dengan 840 unit itu, berkata air hujan juga membolosi kediamannya menerusi penyaman udara sehingga membasahi bilik dan ruang tamu rumahnya.

Beliau yang tinggal seorang diri dan baru berpindah ke kota raya itu setelah dihantar bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan di sini turut terputus bekalan elektrik.

“Selepas tidak ada elektrik, saya kunci rumah dan turun ke tingkat 11, menumpang rumah rakan sekerja, yang turut tinggal di kompleks yang sama,” katanya.

Katanya, sekitar pukul 2 dan 3 petang, langit menjadi sangat gelap dan aliran air sungai East River bergelombang sangat kuat.

Kebanyakan mereka yang tinggal di bangunan kompleks itu bekerja dengan jabatan dan agenci kerajaan Malaysia yang berpejabat di New York.

Kawasan tengah pulau Manhattan itu tidak berada dalam zon yang terjejas teruk dan wajib pindah.

Beberapa rakyat Malaysia yang menetap di Brooklyn pula, antara lain, menggunakan laman sosial Facebook memaklumkan mengenai kejadian angin kencang serta merasai bangunan pangsapuri mereka seakan bergegar.

Beberapa rakyat Malaysia di Connecticut melaporkan turut mengalami putus bekalan elektrik dan seorang daripada mereka pernah berpengalaman terputus bekalan elektrik sehingga sepuluh hari semasa berlakunya taufan Irene pada tahun lepas.

Dalam komunikasi menerusi laman Facebook, beliau melahirkan kebimbangan memandangkan stok makanan sejuknya terutamanya daging halal akan rosak sekiranya gangguan bekalan elektrik berpanjangan.

Kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal di negeri-negeri yang terlibat dengan taufan Sandy seperti di Maryland, Virgina, Delaware, New Jersey, New York, Connecticut, memaklumkan mengenai keadaan mereka pada status laman Facebook mereka.

Antaranya memaklumkan mengenai angin yang sangat kencang dan maklumat terkini mengenai kawasan mereka.

Sementara itu, penulis sendiri menerima beberapa amaran kecemasan melalui telefon bimbit daripada Pengurusan Kecemasan sejak petang semalam sehingga malam Isnin.

Antara amaran yang dikeluarkan ialah “Emergency Alert in this area until 8 am, Take Shelter Now,NYC-OEM”.

Bagaimanapun, penulis dan keluarga tidak terjejas teruk dengan taufan Sandy, kerana kedudukan kediaman penulis di kompleks apartmen yang berbentuk U selain unit rumah yang terletak di tingkat paling bawah.

Kawasan tempat tinggal yang berada di kawasan tinggi dan dikelilingi bangunan-bangunan kompleks apartmen yang lain, turut menyelamatkan keadaan. – BERNAMA









Khalid & Azmin Dalam Sidang Media Bersama Isu Air - RM500 juta Duit Rakyat Diselamatkan


Tarif air: Selangor selamatkan RM500 juta duit rakyat Meskipun baru empat tahun Pakatan Rakyat (Pakatan) mentadbir Selangor, negeri itu berjaya menyelamatkan RM500 juta wang rakyat daripada ‘diratah’ Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Pusat dalam pengurusan industri air.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kejayaan itu hasil daripada tindakan kerajaan negeri menyekat perjanjian yang ditandatangani antara Kerajaan Pusat dengan Syabas.

“Kita lakukan penyusunan semula (industri air) ini untuk (kenaikan) tarif air yang akan dikenakan oleh Syabas. Hingga empat tahun ini, menerusi penyusunan semula tersebut, sekurang-kurangnya rakyat Selangor sudah tidak perlu bayar hampir RM500 juta.

“Kalau ikut kenaikan tarif, kami telah selamatkan RM500 juta duit rakyat di tiga kawasan iaitu Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ekoran itu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu bertegas untuk membangunkan teknologi membran bagi meningkatkan jumlah penghasilan air di loji rawatan walaupun Kerajaan Pusat berdegil mahu meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

“Dari keluaran 4.8 juta liter sehari, kita dapati 33 peratus atau lebih 1.5 juta sehari air terawat tidak digunakan (NRW).

“Kalau kita selesaikan masalah air terawat, kita tidak memerlukan loji Langat 2. Memandangkan kos teknologi membran lagi murah iaitu RM800 juta dan kos Langat 2 adalah RM300,000 juta,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali yang turut sama dalam sidang media itu berkata, kerajaan Umno zalim dalam perjanjian air bersama Syabas yang hanya ‘membunuh’ rakyat.

“Saya nak rujuk data rasmi yang terkandung dalam perjanjian konsesi sedia ada di mana Syabas ada kelulusan daripada Kerajaan Pusat untuk naikkan tarif air kepada 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012,” kata Pengerusi KEADILAN Selangor itu.

“Kalau Kerajaan Pakatan tidak menyekat kenaikan ini, bermakna pada 2012, ada pertambahan sebanyak 25 peratus menjadikan harga air di Selangor, sebanyak RM2.8 per meter padu.

“Kemudian dalam perjanjian sama, kenaikan tambahan daripada 20 peratus pada 2015, dan 10 peratus pada 2018, dan bermakna pada 2018, rakyat Selangor perlu bayar RM3.15 per meter padu dan harga ini akan melonjak naik kepada RM3.83 pada 2030,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu.

Serangan Umno BN Tak Gugat S’ngor, Audit Iktiraf Negeri Terbaik

Serangan Umno BN terhadap kerajaan Selangor hanya omong kosong dan gagal menafikan penarafan Laporan Audit 2011 ke atas negeri itu, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

“Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan Selangor merupakan negeri terbaik di bawah kelolaan Tan Sri Khalid Ibrahim jelas menafikan segala tohmahan terhadap pemerintahan kerajaan negeri,” katanya depan 5,000 rakyat pada Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Bandar Baru Batang Kali, kelmarin.

Pengerusi KEADILAN Negeri itu berkata, anggota parti bersama pimpinan Pakatan Rakyat harus mempertahankan segala usaha Menteri Besar selama ini.

“Kenapa kita mesti pertahankan Tan Sri Khalid? Ini kerana beliau telah berusaha sepenuh hati merakyatkan ekonomi negeri.

“Kekayaan negeri telah beliau agihkan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat negeri, sekaligus memberi kesenangan dan menyenangkan rakyat yang selama ini terpaksa hidup dalam tekanan sepanjang pemerintahan kerajaan korup Umno BN,” katanya disambut sorakan hadirin.

Ahli Parlimen Gombak itu turut menyelar dakwaan tidak berasas Umno BN bahawa pemberian air percuma mengakibatkan Selangor kehabisan air.

“Masalah kita bukan tidak ada air, air sentiasa ada. Masalah kita adalah ketiadaan air untuk dirawat.

“Itupun bukan salah kerajaan negeri, tapi salah Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor). Syabas di bawah arahan Umno BN telah sabotaj kita (kerajaan negeri) supaya air yang sedia ada tidak dapat dirawat dan ia menyebabkan kita gagal membekalkan air yang berkualiti untuk rakyat,” kata Azmin.

Beliau turut menempelak kenyataan beberapa pimpinan tertinggi BN yang mendakwa negara akan hancur jika dipimpin Pakatan Rakyat.

“Mereka kata kita tidak ada pengalaman, saya nak beritahu mereka, ya memang kita tidak ada pengalaman. Tapi pengalaman apa? Kita tidak ada pengalaman menyumbat lembu ke dalam poket sendiri.

“Kita juga tidak punya pengalaman dalam aktiviti membekalkan projek-projek untuk anak beranak serta kroni, mengkayakan sesama sendiri dengan menyeleweng wang rakyat.Ya, kita tidak pernah ada pengalaman itu,” sinis Azmin lagi.

Akhirnya Pemuda UMNO Ikut Langkah Pakatan, Mahu AES Ditangguhkan

Shah Alam – Pemuda Umno hari ini sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), menerusi Twitternya petang ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau dipetik Bernama berkata, kajian semula itu perlu bagi mengatasi kelemahan pada pelan pelaksanaan AES sekarang dan memastikan sistem itu mampu berfungsi sempurna mengesan pesalah trafik di negara ini.

"Sistem AES itu sendiri merupakan sistem amat baik, namun hasil maklum balas akar umbi kami dapati terlalu banyak kelemahan pada pelan pelaksanaan AES yang perlu diatasi antaranya lokasi dan had laju praktikal bagi sesebuah kawasan,” katanya.

Khairy berkata kerajaan juga perlu mengadakan publisiti dan pendidikan umum bagi memberikan informasi yang lebih jelas kepada rakyat.

"Adalah penting untuk rakyat memahami dengan jelas sistem AES ini kerana ia mampu menyelamatkan nyawa mereka selain mengelakkan AES menjadi 'alat mainan' pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda.

Semalam, empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Dalam pada itu, laporan Bernama berasingan menyebut Kementerian Pengangkutan akan menghantar pasukan teknikal untuk memberi penerangan mengenai AES kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor seperti dipohon.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, setakat ini hanya kerajaan negeri berkenaan meminta penjelasan berkaitan pelaksanaan AES itu. -SH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Isu RM40 juta: Tembelang Nazri Pertahankan Chia Terbongkar!

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz telah menafikan menerima apa-apa wang dari jutawan kayu Michael Chia lebih skandal berupa RM40 juta yang melibatkan Umno Sabah.

Beliau mengulas komen blogger Malaysia Today yang kini dalam buangan di United Kingdom, Raja Petra Kamarudin (juga dikenali sebagai RPK) yang mendakwa bahawa Nazri dan anaknya Mohamad Nedim masing-masing menerima RM3 juta dan sebuah kereta sport dari Chia.

"Oh tidak, ia tidak benar, ia tidak benar.Chia ialah rakan. Saya tidak tahu jika dia dipinjamkan kereta untuk anak saya. Anda perlu bertanya kepada anak saya, "katanya di pejabatnya petang ini.

Walaupun dia tidak langsung mengkritik Raja Petra atas dakwaan terbaru itu, Nazri berkata bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan perkara ini.

"RPK adalah seorang yang sosial. Beliau menggabungkan banyak dengan orang, jadi dia mungkin mendapat maklumat daripada mereka. Kemudian (Petra) menulis ini, ia memberikan saya peluang untuk menjelaskan cerita saya, "katanya.

Nazri juga menegaskan bahawa dia tidak mempunyai pengaruh ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau badan kehakiman, sambil menambah bahawa jika dia terpaksa, kes Chia akan telah digugurkan.

Dalam laporan Malaysia Today, Raja Petra mendakwa bahawa Chia sendiri datang ke Parlimen untuk menyerahkan RM3 juta kepada Nazri, selepas didakwa Nazri sendiri bahawa perkara berkaitan skandal RM40 juta telah diselesaikan.

Beliau juga mendakwa bahawa Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dan Peguam Negara Abdul Gani Patail juga terlibat sama. -Jalan Pulang

Nazri Aziz : Dakwaan Raja Petra Perlu Disiasat PADANG RENGAS, 12 Ogos - Pendedahan mengenai komplot fitnah di sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasundram yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu wajar disiasat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, dakwaan itu bukan sahaja serius kerana melibatkan pemimpin negara, tetapi juga membabitkan kredibiliti sistem perundangan.

"Segala dakwaan ini perlu disiasat bagi melihat kesahihannya. Lihat apa yang didedahkan supaya rakyat mengetahui kebenaran dan membuat penilaian," katanya selepas menyampaikan bantuan hari raya sempena Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri.

Raja Petra Kamaruddin mendedahkan bahawa akuan bersumpah Balasubramaniam yang menuduh Najib terlibat dalam kes pembunuhan itu didakwa dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin pembangkang.

Raja Petra mendakwa Ahli Parlimen Subang, R.

Sivarasa berperanan bersama seorang peguam di sebalik akuan bersumpah tersebut bagi memfitnah Najib dan perkara itu diketahui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamed Nazri menegaskan, negara memberi kebebasan bersuara terhadap semua rakyatnya termasuk Raja Petra yang mempunyai hak mendedahkan perkara yang dianggap benar secara bertanggungjawab.

Bagaimanapun kata beliau, masih terlalu awal untuk membuat sebarang justifikasi berhubung pendedahan Raja Petra itu.

"Kita kena melihat kesahihan selepas siasatan dilakukan, terlalu awal untuk kita membuat apa-apa kesimpulan berhubung perkara yang didedahkan," ujar beliau.
-klpos

Akar Umbi Pertahan Nik Aziz Sebagai MB

A KOTA BHARU - Pas Kelantan masih memerlukan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menerajui Kerajaan Negeri terutama dalam pilihan raya biarpun wujud tanggapan beliau sudah tidak mampu menjadi pemimpin setelah 22 tahun.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Nik Abdul Aziz merupakan orang yang paling layak kerana pengalaman, ketokohan dan kebolehan serta kehormatan masyarakat kepadanya.

“Kami yang minta Tok Guru (Gelaran kepada Nik Abdul Aziz) untuk terus berkhidmat walaupun sudah beberapa kali beliau menyuarakan hasrat untuk berhenti,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Terdahulu beliau meluangkan masa selama tiga jam melawat Kampus Limkokwing Akademik Kelantan di sini, yang turut dihadiri oleh Ketua Akademiknya, Dr Zainal Abidin.

Katanya mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang seolah-olah bermati-matian mahukan Nik Abdul Aziz berundur, Mohd Amar menjelaskan hanya Pas yang lebih tahu siapa yang layak untuk memastikan Kelantan terus kekal di bawah pemerintahan Pas.

“Biar kami (orang Pas) buat keputusan ini dan ia bukan kerja mereka kerana kami lebih tahu siapa yang boleh bertanding dan memegang jawatan tersebut.

“Pengekalan Tok Guru juga tiada kaitan dengan masalah dalaman tetapi kami sendiri mahukan beliau,” katanya.

Sementara itu, menjawab tuduhan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai makan gaji buta, Mohd Amar menafikan dakwaan itu sebaliknya beliau sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua sebaiknya.

Dalam kenyataan itu, Ibrahim berkata, Nik Abdul Aziz perlu berundur kerana beliau tidak boleh berfungsi mentadbir dan menjadi ketua kerajaan yang efektif, beliau tidak boleh jadi ketua pentadbir berkesan kerana keadaan yang uzur.

Mohd Amar berkata, sebagai menteri besar tanggungjawabnya hanyalah memberikan idea dan arahan manakala yang melaksanakan serta melakukannya adalah kerja exco.

“Jadi di sini tiada istilah makan gaji buta dan walaupun beliau uzur tetapi pemikiran dan pendapatnya masih diperlukan,” katanya. -SH

Saya tak layan desakan ‘Umno buangan’ - TG Nik Aziz.

KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak khususnya pihak lawan supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sebaliknya beliau berkata, beliau hanya akan tunduk kepada sebarang keputusan yang ditetapkan oleh pimpinan tertinggi PAS.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Kelantan ketika mengulas desakan pihak tertentu supaya beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak akan melayan desakan mana-mana pihak khususnya pihak yang disifatkannya sebagai ‘Umno buangan’ yang tidak putus-putus mahu beliau melepaskan jawatan.

Beliau mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang mahu beliau berundur atas alasan sudah tidak mampu menjadi pemimpin setelah 22 tahun menerajui pemerintahan negeri itu.

Mengulas lanjut, Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, untuk berlawan dengan Umno tidak perlu tubuh yang sihat, sebaliknya kekuatan minda.

Katanya, sekiranya seorang pemimpin itu berkerusi roda sekalipun sebaliknya tidak bermasaalah dengan idea atau pemikiran, ianya tidak mempunyai sebarang masaalah.

Menurutnya lagi, tugas menjaga negeri bukan hanya tertumpu pada Menteri Besar, sebaliknya turut menjadi tanggungjawab anggota-anggota exco kerajaan negeri juga.

“Bila Menteri Besar, bererti ada dia ni adalah ketua dan bila ketua pula tentu ada pegawai di bawahnya, bila orang gelarkan saya ni Menteri Besar, bererti ada menteri kecil,”ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru untuk terus menerajui pentadbiran negeri.

Beliau yang dipetik Sinar Harian berkata, Tok Guru adalah merupakan orang yang paling layak kerana pengalaman, ketokohan dan kebolehan serta kehormatan masyarakat kepadanya.

“Kami yang minta Tok Guru untuk terus berkhidmat walaupun sudah beberapa kali beliau menyuarakan hasrat untuk berhenti,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

“Biar kami (PAS) buat keputusan ini dan ia bukan kerja mereka kerana kami lebih tahu siapa yang boleh bertanding dan memegang jawatan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, turut lantang membuat desakan agar Tuan Guru berundur termasuk Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali -HD