4 Mei 2013

[PECUTAN TERAKHIR] Pastikan BN Dijadikan Pembangkang Di Parlimen!


Rakyat diseru supaya memberikan peluang kepada Barisan Nasional (BN) duduk di kerusi Barisan Pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sekumpulan doktor lepasan Cambridge di United Kingdom berpendapat, cara terbaik menyelamatankan BN adalah dengan menjadikan mereka sebagai pembangkang sekaligus menjadi penyelia kerajaan yang berkualiti.

Mereka berkata, BN perlu melalui proses tersebut sebelum boleh menjadi kerajaan semula yang cemerlang.

“Masalah terbesar BN ialah mereka tidak pernah menjadi pembangkang dan kekurangan latihan sebagai penyelia.

“Hal ini menyebabkan jabatan kerajaan kekurangan pemantauan dan menyebabkan berlakunya penyelewengan sehingga harta kerajaan dibeli dengan harga yang berlipat ganda daripada harga asal,”
kata Dr Chan Jinhooi dalam kenyataan bersama Dr Lee Chernyang, Dr Chin Shinliang, Dr Tan Jimmy PangHoaw serta Dr Low Choonpei.

Kata mereka, hanya melalui cara tersebut dapat menyelamatkan BN agar mereka jadi lebih kuat supaya diterima seluruh rakyat Malaysia sekaligus dapat kembali semula ke zaman kecemerlangannya.

“Sebagai penyokong BN yang setia, cara terbaik untuk membantu BN adalah dengan mengundi parti pembangkang (Pakatan Rakyat).

“Tidak mungundi BN tidak bermakna kita mengenepikannya. Ini merupakan suatu peluang keemasan BN untuk menghidupkan BN sekali lagi,” katanya.

Kesetiaan ahli

Menurut mereka, proses itu juga dapat menguji sejauh mana kesetiaan ahlinya terhadap BN.

“Sekiranya BN jadi pembangkang, ahli yang hanya mementingkan keuntungan diri akan memutuskan hubungan dengan BN dan hanya mereka yang betul-betul menyayangi BN akan terus berjuang di bawah BN serta membuktikan keupayaan mereka,” katanya.

Katanya, rakyat Malaysia boleh menunggu BN berlatih diri menjadi pembangkang yang berkualiti dan kembali memerintah pada masa akan datang.

Ini disebabkan rakyat sebelum ini telah memberikan tempoh peluang yang cukup lama kepada BN membuktikan dirinya sebagai kerajaan yang bagus, namun keyakinan itu semakin hilang.

Walaupun tidak menafikan jasa 56 tahun pemerintahan BN, tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini rakyat mula sedar kerajaan BN tidak menunjukkan sebarang perubahan yang lebih positif.

Sebaliknya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang berupaya mentadbir dengan baik kerana mengutamakan keadilan, kebersihan, dan nilai-nilai moral termasuk membanteras rasuah dan kronisme.

“Sekiranya BN terus memegang pucuk kepimpinan dalam tempoh lima tahun akan datang, mereka akan lebih bermaharajalela, rakyat jelata yang tidak berdosa akan menjadi mangsa ketidakadilan.


“Jadi, patutkah kita mengundi suatu parti politik mengikut emosi semata-mata ataupun secara rasional berdasarkan nilai moral sesuatu parti?

“Kami ingin membuat seruan kepada semua iaitu ’BERILAH BN PELUANG!’,” serunya. -FMT


Gambar Berbicara: Ceramah PR vs Konsert BN Di Pulau Pinang


Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional telah mengadakan program masing-masing serentak tetapi diberlainan lokasi di Pulau Pinang malam tadi 3hb Mei 2013.

Pakatan Rakyat telah mengadakan ceramah mega di Padang Kota Lama sedangkan Barisan Nasional mengadakan konsert di Queensbay, Bayan Baru.

Ceramah PR tiada minuman dan makan percuma disediakan malahan hadirin diminta untuk menderma kepada tabung PRU 13.

Konsert BN siap dengan minuman dan makanan yang melimpah ruah..Semuanya percuma.. Tak payah nak bagi derma kepada tabung BN.

Sebagai perbandingan rakaman gambar yang diambil diwaktu yang sama.

Ceramah Mega PR malam tadi berjaya mengutip lebih RM550,000 sedangkan Konsert mega BN dipercayai membelanjakan tidak kurang RM200,000.

Lihat dimana rakyat tuju...Ceramah PR atau Konsert hiburan dengan minuman dan makanan percuma BN?

Nampaknya adalah amat jelas rakyat Pulau Pinang lebih berminat ke ceramah politik anjuran PR.

Sentimen dan mood rakyat mau kekalkan Pulau Pinang dan rampas Putrajaya cukup kuat sekali. -omakkau

[VIDEO] Rancangan UMNO Terbarai Angkara Zul Nordin Yang Bermulut Besar


Setelah menyepi seketika waktu akhirnya Harakahdaily berjaya menghubungi sumber Umno untuk mendapat laporan terkini daripada beliau mengenai kenyataan Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai penerbangan pengundi baru-baru ini.

Tengku Adnan mengaku bahawa dakwaan Pakatan Rakyat mengenai kewujudan penerbangan khas membawa pengundi daripada timur Malaysia ke Semenanjung sememangnya benar.

Bernama melaporkan Tengku Adnan mengaku kewujudan penerbangan sedemikian dan menegaskan bahawa khidmat itu ditaja oleh “rakan-rakan BN.”

“Itu plan B dah sebenarnya. Dah confirm akan kalah baru digunakan,” kata beliau kepada Harakahdaily pagi ini.

“Jadi apa plan A-nya?” tanya Harakahdaily.

“Video seks. Video seks buatan seorang pemimpin wanita PKR dah mula dikeluarkan. Ingatkan tak keluar sebab dah backfire. Patutnya Plan B dah jalan, Plan A akan henti. Sekarang jalan dua-dua, confirm dah dapat maklumat risikan nyawa tinggal sampai malam besok sahaja,” katanya sambil berseloroh.

Disebabkan suara telefon yang agak kejauhan, Harakahdaily bertanya pada beliau lokasi kedudukannya.

Sumber Umno itu memberitahu beliau kini berada di luar negara kerana hadapi tekanan kuat setelah meledakkan pada Harakahdaily tempoh hari bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun berkempen di Putrajaya untuk menyelamat Tengku Adnan.

Harakahdaily cuba bertanya apakah Plan B sudah berjalan lama dalam perancangan.

“Dah lama. Selama ini targetnya Selangor sahaja. Tapi masalah sekarang Johor, Putrajaya dah goyah. Mula-mula mereka ingat tempur Selangor sahaja. Sebenarnya kalau bukan Zulkifli Noordin besar mulut kata 110% akan menang, saya rasa Plan B ini tidak akan dihidu oleh sesiapa atau diledakkan keluar dari dalam.

"Silap percaturan plan A lepas video seks untuk benamkan PAS backfire badly – kamu attack orang yang berintegriti lama bertunjang di politik negara, siapalah nak percaya. Kadangkala pakar strategi kita ini memang bodoh sikit,” kata sumber Umno itu.

Beliau berkata sekarang waktu getir untuk mereka yang terlibat dalam Plan B.

“Dulu di Sabah, selepas BN menang, berapa orang yang kehilangan kebebasan kerana terlibat dalam perbuatan terkutuk itu? Orang-orang yang hilang kebebasan itulah yang muncul menceritakan segalanya pada RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) Sabah mengenai pendatang asing. Sekarang dalaman sedang bertiup kencang mengenai nasib mereka selepas ini, jika BN menang atau kalah,” kata beliau lagi.

Beliau menyuruh Harakahdaily menyiarkan nasihat ini kepada mereka yang terlibat dalam Plan B.

“Hentilah. Kamu semua akan menyesal nanti. Yang terkena ialah anak-anak dan cucu-cucu kamu. Orang Bangla ini akan jadi orang Melayu – boleh beli tanah rezab orang Melayu, dapat diskaun beli rumah Bumiputera, anak-anak masuk universiti guna kuota Melayu, beli amanah saham – silap hari dia jadi kaya, anda semua jadi kuli dia. Kalau rakyat dah tolak BN, hormatlah keputusan. Rezeki di tangan Allah, bukan Umno. Usah bimbang, hilang rezeki ini, Allah akan ganti dengan yang lain,” tegas beliau.

Sebelum mengakhiri perbualan, Harakahdaily sempat bertanya samada beliau akan balik mengundi.

“Insha-Allah balik – kena undi pada parti yang tidak disokong warga Bangla dan Nepal,” katanya sambil ketawa besar.

Sumber Umno itu seorang pengundi di Selangor. -HD



Ulasan GB

Zul Nordin 110% yakin penuh BN akan rampas Selangor. Apa hujah beliau kata tu untuk kata dia boleh menang jika bukan dia tahu pengundi hantu dari luar akan dibawa masuk? -kingofgoblok

وَمَكَرُواْ وَمَكَرَ اللهُ وَاللهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
surah al-Imran ayat 54

ALLAH berfirman dalam al-Quran “Dan Mereka Merancang(tipu daya),Allah juga merancang(membalas tipu daya),Dan ALLAH sebaik-baik Perancang(membalas tipu daya)”

Bom Meletup Di Ibu Pejabat KEADILAN


Sebuah bom buatan menggunakan telefon bimbit, bateri dan mercun bebola meletup berhampiran ibu pejabat KEADILAN, kira-kira jam 9.45 malam tadi.

Seorang staf ibu pejabat KEADILAN, S Balakumaran berkata, beliau terdengar bunyi letupan dan tnampak kepulan asap keluar dari kotak fius milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di hadapan sebuah kedai, selang empat premis dari pintu utama pejabat KEADILAN

. "Bila meletup saya nampak asap. Saya pergi ke lokasi dan nampak telefon, bateri dan mercun bola. Kemudian seorang lelaki Cina turun dari pejabat yang berdepan kotak TNB dan bantu padam dengan alat pemadam api," kata Balakumaran kepada Keadilandaily.

Beliau memaklumkan kejadian itu di Balai Polis Tropicana yang terletak tidak jauh dari pejabat KEADILAN yang kemudian mendapatkan bantuan daripada pihak bomba.

Balakumaran memberitahu, beberapa kereta polis dipercayai dari balai polis Petaling Jaya tiba di tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Balakumaran memaklumkan, dia diberitahu oleh juruteknik TNB, bahawa mangga kunci kotak fius TNB telah bertukar, bukan seperti mangga kunci biasa yang digunakan.

"Orang TNB kata, mangga yang biasa itu bukan milik mereka, dah ditukar," kata Balakumaran.

Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian dan pihak polis telah menutup kawasan kejadian untuk siasatan.



Kezaliman Yang Tiada Taranya: Mejar Zaidi Ditukarkan Kerana Buat Laporan Polis


Pegawai Pemerintah Skuadron No 12 Pengkalan Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Butterworth, Mejar Zaidi Ahmad ditukarkan serta merta ke Kuala Lumpur bermula hari ini kerana membuat laporan polis isu dakwat kekal yang tidak kekal.

Bagaimanapun, beliau memohon perpindahan itu ditangguhkan sehingga Isnin, 6 Mei minggu depan ekoran beliau sedang disiasat oleh Lembaga Siasatan TUDM di sini.

“Surat arahan telah dikeluarkan oleh TUDM di mana saya ditukarkan ke Kuala Lumpur hari ini. Tetapi saya minta tangguh ke Isnin kerana di sini pun sedang diadakan satu Lembaga Siasatan berhubung kes saya,” katanya dipetik Harakah Daily.

Kata Zaidi lagi, bukan sahaja pertukaran dibuat akibat arahan tersebut, malahan secara rasminya telah dilucutkan dari jawatan Pegawai Pemerintah No 12 Skuadron Pengkalan Udara Butterworth dan terlepas peluang dinaikan pangkat ke Leftenan Kolonel TUDM.

Dua hari lepas, Zaidi, isterinya Shafinah Abdul Hamid dan Juruteknik TUDM, Jamal Ibrahim membuat lapuran polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas.

Laporan itu dibuat kerana dakwat kekal yang dicalit di jari telunjuk tangan kirinya semasa pembuangan undi awal luntur apabila dibasuh dengan sabun dan pencuci tangan.

Mereka antara pengundi awal yang menyangkal kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) kononnya dakwat yang digunakan boleh bertahan seminggu.

Ulasan GB

Ditukarkan serta-merta hanya semata-mata membuat laporan polis untuk mendedahkan kebenaran dan untuk mendapatkan keadilan!

Kezaliman apakah yang menimpa ke atas Mejar Zaidi ini?

Beliau wajar menerima bantuan guaman daripada Pakatan Rakyat untuk menyaman semula pihak TUDM dan Kerajaan Malaysia terhadap penganiayaan yang berlaku ke atas dirinya.

Dan kepada Mejar Zaidi, diharap dapat bersabar, hukum kebenaran dan keadilan akan berpihak kepada tuan akhirnya nanti.

Pakatan Rakyat Diramal Bentuk Kerajaan Baru Ambil-Alih Putrajaya


Kajian Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia (Kor Risik ATM) menunjukkan Pakatan Rakyat (PR) mampu memenangi 117 kerusi parlimen sekaligus membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah 12 kerusi selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) nanti.

Sementara BN pula dalam kaji selidik yang disalurkan anggota Kor Risik ATM itu menunjukkan hanya mampu memenangi 105 kerusi sahaja.

Kajian yang turut diguna pakai oleh BN itu turut menunjukkan, PR, selain berjaya mempertahankan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, juga berjaya memenangi semula Perak serta merampas Negeri Sembilan dan Terengganu.

Demikian menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu program ceramah di Seksyen 7 di sini malam tadi.

“Johor walaupun kita boleh memenangi kerusi DUN dan parlimen yang jauh lebih banyak, tetapi mengikut ‘survey’ itu belum boleh dapat tawan negeri, saya cakap betul ini.

“Melaka, kita boleh tambah kerusi parlimen dan negeri, tetapi masih belum boleh tawan negeri.

“Pahang, kita boleh tambah kerusi, tetapi kita masih belum boleh tawan lagi, menjadikan kita ada tujuh negeri dan Perlis katanya 50/50,” ujar Mustafa.

Menurut Mustaffa, keputusan kaji selidik itu berdasarkan keadaan semasa sekiranya PRU-13 diadakan Selasa lalu.

Bagaimanapun tambah Mustafa, beliau juga dimaklumkan bahawa keputusan kaji selidik itu boleh berubah dalam masa beberapa hari sebelum menjelang hari mengundi Ahad nanti.

“Apakah dia akan turun atau pun dia akan naik, trend pada waktu ini menunjukkan kita sedang naik, maknanya tidak mungkin kurang daripada 117 kerusi.

“Ini yang mencemaskan (Perdana Menteri) Najib, mencemaskan (Timbalan Perdana Menteri) Muhyiddin dan yang paling cemas (bekas Perdana Menteri) Dr Mahathir sendiri,” katanya lagi.

Mustafa dalam ceramahnya turut menjelaskan, kaji selidik yang dikeluarkan Kor Risik ATM merupakan kajian paling dipercayai pemimpin BN berbanding dua lagi agensi kerajaan lain, Kemas dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia.

Bagi menang di peringkat persekutuan sekaligus menduduki Putra Jaya, PR perlu menang sekurang-kurangnya 112 daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Buat pertama kali, dalam PRU-12 pada 2008, BN dinafikan majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen apabila hanya mampu menang dengan majoriti 140 kerusi.

Manakala Pakatan menang dengan 82 kerusi.


Kajiselidik: Populariti Najib merosot, BR1M tak jalan...


Ketika negara semakin menghampiri hari pengundian Ahad ini, kajiselidik terbaru Merdeka Centre mendapati rating Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak merosot 3 peratus berbanding tinjauan terakhirnya sebelum ini.

Kajiselidik di kalangan pengundi di Semenanjung antara 28 April hingga 2 Mei itu juga meletakkan Pakatan Rakyat mendahului BN dari segi parti pilihan untuk membentuk kerajaan.

Populariti Najib menurun sedikit daripada 64 peratus dalam kajiselidiknya yang dijalankan pada bulan Mac, kepada 61 peratus sekarang - beberapa hari sebelum hari pengundian Ahad ini.

Merdeka Centre berkata angka itu mencerminkan penurunan faktor "feel good" yang sebelum ini dijana ketika pengagihan besar-besaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga bentuk sumbangan wang tunai yang lain.

Kebimbangan terhadap ekonomi mendahului senarai isu-isu yang pengundi mahu diperbincangkan, iaitu pada 25 peratus.

Kerusi marginal tentukan pemenang

Berdasarkan hasil kajiselidik, Merdeka Center berkata pemenang pilihan raya umum kali ini akan ditentukan oleh pihak mana yang berjaya memenangi sebahagian besar daripada 46 kerusi marginal parlimen di seluruh negara - semuanya dalam margin 3 peratus undi.

Tiga puluh empat daripada kerusi marginal itu adalah di Semenanjung Malaysia manakala masing-masing enam kerusi di Sabah dan Sarawak.

Selain daripada kerusi marginal, pusat itu meramalkan bahawa BN akan menang kira-kira 81 kerusi Parlimen manakala Pakatan akan menang kira-kira 89 kerusi.

Kajiselidik itu dijalankan di kalangan 1,600 pengundi berdaftar melalui temubual telefon, dengan 59 peratus responden Melayu, 32 peratus Cina dan 9 peratus India.
-mk