10 Mei 2013

Nombor Telefon Salahuddin Diklon, Hello Celcom Ni Apa Cerita?


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub kesal apabila nombor telefon bimbit peribadinya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur hasutan dan perkauman.

Mesej itu yang berbunyi "Cina telah cuba tolak kuasa Melayu tetapi gagal, 'Chinese are not the king maker!' sekarang masa Melayu bersatu untuk ajar Cina", dipercayai telah disebarkan tanpa pengetahuan beliau.

Katanya, beliau hanya mengetahui kewujudan SMS itu setelah beberapa pihak memberitahunya menerima mesej berbaur perkauman itu daripada beliau.

"Dari jam 8 malam tadi hingga 12 tengah malam, ada pihak salah guna nombor telefon mudah alih saya iaitu 013-727 8292 untuk hantar SMS mesej berbaur hasutan dan perkauman.

"Perbuatan tak bertanggungjawab itu telah cemarkan nama baik saya dan cuba bunuh karier, ia juga menanam kebencian orang Cina terhadap saya," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Salahuddin yang tewas di kerusi Parlime Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Nusajaya, Johor berkata, beliau telah melanggan nombor itu dari talian syarikat telco Celcom sejak 1995 terkejut dan kecewa apabila nombornya telah disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Selain Salahuddin, turut menjadi mangsa penyalahgunaan nombor telefon bimbit itu ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pada awal pagi tadi.

Menurutnya, sebaik sahaja beliau menerima maklum balas penerima SMS itu, beliau segera membuat laporan polis pada jam 12 tengah malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Bharu.

Kira-kira jam 9 pagi tadi, beliau dipanggil untuk diambil keterangan hampir 30 minit oleh pegawai penyiasat, Inspektor Zamzari di pejabat polis yang sama.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengemukakan saman terhadap syarikat telco terbabit susulan nombor telefon bimbit beliau telah diklon tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun beliau mahu pihak Celcom terlebih dahulu tampil memberikan kenyataan rasmi bagaimana nombor itu boleh digunakan oleh pihak ketiga secara sewenang-wenangnya.

"Saya minta Celcom tampil buat kenyataan rasmi bagaimana nombor saya sebagai pelanggan setia sejak 1995 sampai sekarang boleh diklon dan digunakan untuk kirim SMS berniat jahat," dakwanya.

Tegasnya, sekiranya Celcom gagal berbuat demikian atau kenyataan rasmi syarikat telco itu tidak memuaskan hatinya, beliau tidak teragak-agak untuk mengeluarkan arahan kepada semua ahli Pas supaya menghentikan langganan serta-merta. "Saya ingin nasihatkan Celcom, ahli Pas ada 1.2 juta orang, saya boleh buat arahan sekiranya Celcom tak buat kenyataan yang boleh yakinkan, saya akan minta ahli Pas hentikan langganan Celcom.

"Suruhanjaya Multimedia maklumkan pada saya, tindakan itu bukan sebarangan orang boleh akses nombor saya atau klon dengan niat jahat.

"Saya bimbang mungkin selepas ini akan ada tersebar pula SMS berunsur lucah dihantar kepada golongan wanita bertujuan burukkan nama baik saya," katanya.

Salahuddin percaya tindakan itu mempunyai kaitan dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Johor di mana hampir semua kawasan mempunyai majoriti yang rendah berbanding 2008.

Ini dikuatkan lagi apabila Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi Dun Johor kepada 18 kerusi pembangkang, 13 kerusi daripada DAP, 1 PKR dan 4 Pas. -SH

Pas dan DAP Terus Sokong Abdul Khalid Sebagai Calon Menteri Besar


Pimpinan DAP dan Pas terus bersepakat memilih Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR, sebagai calon Menteri Besar bagi penggal ke dua.

Bercakap di hadapan kira-kira 30,000 penonton dalam Majlis Kesyukuran Sempena Kemenangan Pakatan Rakyat Selangor, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata pimpinan DAP Pusat sudah menghantar surat sokongan kepada DYMM Sultan Selangor untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Beliau yang juga bekas Exco Selangor berkata surat tersebut dihantar kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

“Saya harap tiada masalah dengan jawatan Menteri Besar. Harap juga rakyat memberi sokongan kepada kerajaan baru untuk pastikan pencapaian lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad turut menyatakan Pas berpendirian yang sama.

Beliau berkata menerima surat daripada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dua hari lalu yang memberikan sokongan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Kalau ada orang Pas yang tidak percaya, saya boleh tunjukkan surat itu, kalau perlu saya tampalkan di dahi saya,” katanya sambil berseloroh.

Katanya, keputusan sepakat untuk memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar itu menunjukkan permuafakatan dalam Pakatan Rakyat.

“Ini sikap parti-parti dalam Pakatan, kita tidak anggap jawatan sebagai piala untuk direbut dan bergaduh.

“Bukan DAP nak kata dia lebih berhak dapat sebab menang dengan majoriti yang lebih besar.

Bukan juga pegangan Pas sebab Pas menang banyak.

“Saya ditanya wartawan sebelum ini, saya jawab jika satu pasukan bola sepak menjadi juara dan secara tiba-tiba mahu menukar pengurusnya itu merupakan tindakan kurang bijak dan pelik,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui berkata beliau berterima kasih kerana Dap dan Pas menyokong beliau untuk kekal sebagai Menteri Besar.

“Saya berterima kasih kepada kedua-dua parti.

Begitu juga kepada rakyat yang menyokong saya.

“Itu perkara baru dalam politik di negara Malaysia bila rakyat sendiri yang menjadi penentu kepada pimpinan,” katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan turut menyatakan sokongan untuk memilih Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Keputusan Menteri Besar Selangor bakal diumumkan DYMM Sultan Selangor.

PR Selangor berjaya membentuk kerajaan baru selepas memenangi kemenangan dua pertiga dengan majoriti 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihanraya umum ke 13.

DAP dan Pas masing-masing memenangi 15 kerusi manakala PKR memenangi 14 kerusi.

Calon Perkasa Kalah Teruk, Mahathir Sudah Hilang Pengaruh


Pilihan Raya Umum 2013 adalah petanda Tun Dr Mahathir Mohamad sudah tidak lagi berpengaruh dalam kuasa politik, analisis di mana dan bagaimana beliau berkempen adalah merupakan petanda jelas.

Bekas perdana menteri itu berkempen tidak henti-henti namun calon Barisan Nasional (BN) disokong atau berkongsi cita-cita dengan beliau - seperti ahli politik kontroversi Zulkifli Noordin dan Ibrahim Ali, kedua-dua tewas.

Di Kedah, walaupun anaknya Datuk Mukhriz telah ditabal sebagai Menteri Besar sebaik sahaja - ahli politik tempatan dan pemerhati telah menyatakan PAS telah disingkir adalah kerana tadbir urus yang lemah oleh parti komponen Pakatan Rakyat (PR) tersebut.

Mahathir tidak memenangi Kedah untuk BN tetapi sebaliknya adalah kerana PAS yang akan kehilangan negeri tersebut, kata seorang pemimpin politik veteran Umno di negeri Kedah kepada The Malaysian Insider.

Usaha Dr Mahathir untuk mewujudkan pertarungan di Gelang antara Melayu dan Cina juga mengalami kegagalan teruk.

Ramai penganalisis dan ahli politik BN berkata langkah beliau memainkan isu perkauman sepanjang kempen Pilihan Raya 2013 juga menyebabkan sokongan kepadanya semakin menurun.


"Beliau masih mempunyai penyokong khususnya di kalangan kaum Melayu, mereka tidak akan merendahkan martabat pemimpin yang mereka rasa telah lama bersama mereka.

"Tetapi ya... mungkin pada suatu ketika masanya sudah berakhir. Apa yang dia kata, bagaimana dia berkata, mungkin sudah tidak menarik di kalangan generasi muda, di kawasan bandar. Tapi kita jangan lupa, beliau bukan PM hari ini," kata setiausaha Umno Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan kepada The Malaysian Insider.

Namun, pemimpin lain tidak memberi ruang kepada beliau dan berpendapat Dr Mahathir yang sudah mencecah 87 tahun sewajarnya bersara dan menjauhkan diri daripada politik semasa kerana sudah lagi relevan.

Mereka berpendapat di zaman politik media sosial, pengaruh Dr Mahathir menyusut dengan cepat kerana rakyat Malaysia lebih suka jenama yang lebih liberal, sederhana dan politik inklusif yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sokongan kuat ke atas Dr Mahathir di kalangan pengundi Melayu tradisional generasi tua dilihat tidak mencukupi untuk membantu kemenangan BN pada pilihan raya selepas ini.

Mereka berkata pengundi bandar yang berkembang pesat, kelas pertengahan dan muda tidak lama lagi akan membentuk sebahagian pengundi yang lebih besar.

Berdasarkan corak pengundi Pilihan Raya 2013, demografik pengundi ini adalah kunci utama yang perlu BN menangi jika mahu mendapat mandat yang lebih kuat pada pilihan raya mendatang.

"Saya berharap dengan melihat analisis pilihan raya, beliau akan sedar masanya sudah berakhir," kata ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan.

"Beliau meninggalkan pentadbiran negara ini kepada generasi baru ahli politik yang diketuai oleh Najib.

"Beliau sudah berada pada zamannya dan telah melakukan banyak perkara menakjubkan tapi masanya dalam politik sudah tamat. Sebelum beliau memusnahkan legasinya, sudah tiba masanya beliau bersara dengan aman," katanya.

Pilihan Raya 2013 menyaksikan calon pilihan pro-Melayu Dr Mahathir seperti Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan naib presiden Datuk Zulkifli Noordin kedua-duanya gagal mendapat kemenangan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, ketua bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi M. Zin mengakui jika Dr Mahathir tidak berkempen di Shah Alam, BN mungkin boleh mendapat lebih banyak undi.

"Secara keseluruhannya, di bandar-bandar, saya rasa pengaruh Dr Mahathir tidak lagi relevan kerana isu yang beliau membawa dan pendapat beliau tidak benar-benar sesuai dengan generasi semasa, terutama dengan sokongan terhadap Perkasa
.

"Mungkin BN perlu kaji semula perkara ini," kata beliau.

Dikala lawan mereka Pakatan Rakyat (PR) memastikan pemimpin mereka bekerja keras menjauhkan diri daripada perkauman semasa berkempen, Dr Mahathir sebaliknya mengeluarkan ucapan-ucapan berasaskan kaum sepanjang tempoh berkempen 15 hari lalu.

Beliau berkali-kali menyerang musuh parlimennya Lim Kit Siang kerana meninggalkan kerusi Ipoh Timur untuk bertanding di kerusi majoriti Cina Gelang Patah, memanggil pemimpin veteran DAP itu sebagai "sangat perkauman" kerana cuba untuk mempengaruhi masyarakat Cina untuk membenci Melayu.

"Saya akan bercakap dengan lantang. Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit Siang adalah pelampau perkauman," kata beliau semasa berceramah di Shah Alam tiga hari sebelum pengundian.

Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, Tan Sri Rafidah Aziz, pemimpin Umno veteran yang berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir bersetuju penggunaan perkauman untuk mendapat sokongan perlu ditolak.

"Hari untuk kita menjadi juara satu-satu kaum sudah berakhir. Saya tidak pernah bersetuju. Kita adalah rakyat Malaysia dahulu dan itu adalah perkara utama.

"Saya adalah rakyat Malaysia yang ditakdirkan berbangsa Melayu... tapi ia adalah kebanggaan Melayu yang kita bawa bersama semasa kita berada diluar sana," kata beliau.

Pengarah kaji selidik Merdeka Center, Ibrahim Suffian walaubagaimanapun menegaskan pengaruh Dr Mahathir di kawasan luar bandar di Malaysia masih besar meskipun ditolak di kawasan bandar kelas pertengahan.

Tetapi dia bersetuju pengaruh meluas seperti mana yang dijangkakan Umno dan Dr Mahathir kerana banyak juga pengundi Melayu yang sudah berpindah menyokong pembangkang.

"Pengundi lebih arif. Mereka menolak jenama cauvinisme kaum," tambah beliau.

Tetapi Ibrahim berkata Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang besar dalam Umno, parti utama dalam BN, ia juga dipersetujui rakan penganalisis politik, Wan Saiful.

"Saya bersetuju ... tetapi beliau lebih berpengaruh di kalangan ahli-ahli Umno dan apabila tiba pilihan raya, apa yang kamu perlu lakukan ialah bukan sahaja menyokong parti anda sendiri," katanya.

Wan Saiful menegaskan bahawa Dr Mahathir harus berundur dari arena politik, ia bagi memastikan imej 'bapa pemodenan" yang diberikan ke atas bekas perdana menteri itu tidak dicemari oleh kesilapan yang beliau buat hari ini.

"Najib adalah PM hari ini dan Dr Mahathir adalah semalam. Najib merasakan terdapat keperluan untuk beliau bergerak ke arah yang berbeza dan ini adalah apa yang beliau sedang lakukan," kata beliau.

Ibrahim juga mengingatkan perubahan drastik dalam pengaliran maklumat di dalam landskap politik hari ini, juga adalah salah satu faktor yang menjejaskan pengaruh Dr Mahathir pada Pilihan Raya kali ini.

"Terdapat cabaran itu kerana Dr Mahathir sebelum ini mentadbir negara semasa tiada media sosial dan rakyat yang mudah dikawal serta lebih kecil.

"Hari ini, generasi muda yang membesar ketika maklumat mengalir. Persekitaran telah berubah, dan banyak juga pemimpin yang telah bertukar," katanya lagi. -TMI

Penipuan Di Perak? PR Kemuka 6 Petisyen Kawasan..


Pakatan Rakyat Perak akan mengemukakan petisyen di mahkamah terhadap keputusan di enam kawasan pilihan raya di negeri itu.

Difahamkan kawasan-kawasan tersebut adalah Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi, Manong, Lubuk Merbau, Kamunting, Pasir Panjang dan Selama.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, petisyen tersebut akan dibuat berikutan terdapat bukti berlakunya penipuan pilihan raya.

Antara penipuan dikesan termasuk warga asing boleh mengundi, orang lain sudah mengundi untuk pengundi yang sah, dan keraguan peratus undi rosak yang lebih tinggi berbanding undi majoriti.

Nizar memberitahu perkara itu ketika berucap di majlis munajat kesyukuran HALWA Bukit Gantang di Markaz Pas Kawasan Bukit Gantang semalam.

Turut hadir pada majlis itu Naib Yang DiPertua PAS Bukit Gantang Abdul Rahim Ismail.

Pada PRU13 lalu, BN menang 31 kerusi Dun Perak manakala Pakatan Rakyat memperoleh 28 kerusi.

Rancangan Kalahkan Salahuddin? Kertas Undi Ditemui Dalam Peti Undi Kawasan Lain!


Pemuda PAS Johor semalam membuat laporan polis ke atas penemuan beberapa kertas undi dari kawasan DUN Nusa Jaya dalam satu peti undi dari kawasan berlainan.

Yang Dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, seorang ejen pengiraan undi PAS untuk kawasan DUN Mahkota telah menemui perkara itu ketika penjumlahan dijalankan untuk pengundian awal pada 5 Mei.

Khairul Faizi, yang membuat laporan di balai polis Kluang berkata para ejen mengesan perkara itu apabila mendapati nama calon PAS untuk Nusa Jaya, Salahuddin Ayub tertera di kertas undi tersebut.

Mahkota terletak dalam kawasan parlimen Kluang manakala Nusa Jaya terletak dalam kawasan parlimen Gelang Patah.

Katanya, ejen terbabit mengemukakan bantahan kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan menuntut agar undi tersebut dikira untuk kerusi Nusa Jaya.

Namun, SPR menganggap undi berkenaan sebagai undi rosak, katanya.

“Kami merujuk peguam dan memutuskan untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki peti undi untuk pengundian awal bagi Mahkot, yang dimaterai dan ditempatkan di balai polis, mungkin telah diusik,” katanya.

Beliau menambah, ejen pengiraan berkenaan bagaimanapun tidak melihat sama ada kertas undi tersebut memihak kepada Salahuddin, yang tewas di kerusi Nusa Jaya kepada calon BN Zaini Bakar dengan 2,201 undi.

[BERGAMBAR] Senarai Ahli Parlimen PAS Sessi 2012-2018


Berikut ialah senarai Ahli Parlimen PAS bagi Sessi 2013-2018. Terdapat seramai 21 orang kesemuanya yang akan menggalas perjuangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di parlimen, berganding sama dengan rakan-rakan seperjuangan PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

AHLI PARLIMEN PAS
[2013-2018]

NoNAMAParlimen
1 Marang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
2 Kuala Nerus
Khairuddin Aman Razali
3 Kuala Terengganu
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah
4 Dungun
Wan Hassan Mohd Ramly
5 Pokok Sena
Datuk Mahfuz Omar
6 Parit Buntar
Dr. Mujahid Yusof
7 Bukit Gantang
Ustaz Idris Ahmad
8 Temerloh
Nasrudin Hassan
9 Hulu Langat
Che Rosli Che Mat
10 Shah Alam
Khalid Samad
11 Kota Raja
Dr. Siti Mariah Mahmud
12 Sepang
Mohamed Hanipa Maidin
13 Tumpat
Datuk Kamaruddin Jaafar
14 Pengkalan Chepa
Dr Izani Hussin
15 Kota Bharu
Datuk Takiyuddin Hassan
16 Pasir Mas
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
17 Rantau Panjang
Siti Zailah Mohd Yusoff
18 Kubang Kerian
Ahmad Baihaki Atiqullah
19 Bachok
Ahmad Marzuk Shaary
20 Pasir Puterh
Dr Nik Mazian Nik Mohamad
21 Kuala Krai
Dr. Mohd Hatta Ramli


Kepada semua YB-YB di atas, selamat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin untuk menggalas amanah yang diberikan oleh para ahli dan rakyat demi perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. jangan sesekali dihampakan atau dikhianati amanah tersebut.

Siru 'ala barakatillah!

p/s InsyaAllah esok akan disiarkan pula ahli-ahli parlimen PKR & DAP.