14 Mei 2013

[LIVE] Himpunan "Blackout 505" Di Kuantan Malam Ini


Suasana Terkini Di Kuantan

Perhimpunan 'Suara Rakyat Suara Keramat' di Kuantan malam ini terpaksa bertukar lokasi ke Dataran Rakyat berdepan dengan Markas PKR di Jalan Beserah, atas "nasihat polis".

Menurut setiausaha PKR Pahang Kamaruzaman Mohd Yunus, lokasi asal yang dicadangkan bagi perhimpunan 'Black 505' itu adalah di Padang Mahkota Aman di Kuantan.

Bagaimanapun, mereka terpaksa memindahkan lokasi perhimpunan tersebut, hasil rundingan dengan wakil polis daerah Kuantan semalam, katanya.


Katanya, pegawai polis dalam pertemuan tersebut antara lainnya memberi alasan bahawa perhimpunan berkenaan tidak mengikut peruntukan seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis juga menyatakan bahwa lokasi asal merupakan padang awam yang tidak mendapat kelulusan daripada pegawai daerah Kuantan, kata Kamaruzaman lagi.



Atau anda boleh cuba di bawah ini dari "angle" berlainan:


"Pause" salah satu jika kedua-dua berfungsi

PR Sahut Cabaran Ahmad Maslan, Jangan Buat Mata Terbeliak Lagi!


MPakatan Rakyat (PR) sedia bersemuka dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof bagi mendengar penjelasan berhubung permasalahan yang timbul dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat majlis setiausaha PR yang diadakan semalam.

"Kita sahut cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan untuk menjemput pengerusi SPR dalam program kami.

"Kami harap Tan Sri Aziz juga bersedia hadir dalam majlis yang dianjurkan PR," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika pengerusi SPR itu menolak jemputan perikatan itu, Ahmad bertanggungjawab terhadap perkara tersebut.

"Kalau Tan Sri tolak, Ahmad Maslan bantu dapatkan Tan Sri Aziz,"
katanya.

Hadir pada sidang media sama ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, dan Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke.

Semalam Ahmad mencabar pembangkang menjemput SPR bagi menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku pada 5 Mei lalu.

Menurut Saifuddin, PR juga bersetuju menjayakan himpunan 'Suara Rakyat Suara Keramat' di negeri-negeri berikutnya.

Katanya, ia adalah saluran terbaik rakyat Malaysia untuk menyampaikan rasa tidak puas hati mereka melalui lunas undang-undang ditetapkan.

Ketika ditanya kenapa PR begitu angresif menolak keputusan PRU13 sedangkan di negeri-negeri yang dimenangi, PR dengan cepat mengangkat sumpah membentuk kerajaan mendakwa, mereka punya bukti kukuh penyelewengan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

"Secara khusus kita telahpun mengenalpasti tidak kurang daripada 29 kawasan parlimen yang kita telah mengumpul bukti yang kita mempunyai sebab kukuh wujudnya penyelewengan dalam PRU13.

"Terbaru, ada laporan daripada petugas SPR di kawasan Parlimen Terenganu, calon BN kurung mereka di dalam bilik dan minta mereka memangkah kertas undi beserta nombor siri, laporan polis telah dibuat dan pengadu telah menghantar salinan laporan itu kepada skretariat PR, ini hanya secebis daripada beberapa bukti yang sedang kami kumpulkan," katanya.

Menurut beliau, kejadian yang berlaku di Besut Terenganu itu hanya salah satu contoh kejadian yang diterima, dan pihaknya sedang mengumpul bukti di kawasan lain.

"Isunya wujud beberapa bukti kuat, yang pada pandangan kami mempunyai asas yang kukuh untuk diangkat dalam tajuk penipuan PRU13 ini," katanya.

[VIDEO] SPR Malaysia ‘Curi’ Kemenangan Pakatan Rakyat – CNN


Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat: Tolak Penipuan PRU 13 (#Black505) 8 Mei lalu mendapat liputan luas media antarabangsa termasuk Cable News Network (CNN) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

CNN dalam laporannya menyatakan kemenangan Pakatan Rakyat telah ‘dicuri’ berikutan banyak penyelewengan dan salah laku oleh pengendali pilihan raya Malaysia, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

CNN“Pembangkang Malaysia menolak keputusan pilihan raya. Pembangkang Malaysia menyatakan SPR dicemari campur tangan kerajaan.

“Bukan sahaja Anwar Ibrahim menyatakan ada berlaku penyelewengan pilihan raya, malah NGO Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih) menjangkakan penipuan beberapa hari sebelum pilihan raya berlangsung.

“Ia (pilihan raya) takkan dijalankan secara adil,” lapor koresponden CNN yang berpangkalan di Singapura, Liz Neisloss.

Liz Neisloss yang mengikuti perjalanan PRU 13 menyatakan, himpunan di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei lalu mencecah kehadiran 120,000 orang.

Dalam pada itu lapornya, sebuah tribunal rakyat dituntut supaya ditubuhkan di Malaysia bagi menyiasat setiap bukti penyelewengan PRU 13 yang dikemukakan.

CNN turut melaporkan kenyataan SPR bahawa sebarang petisyen bantahan pilihan raya boleh dibuat melalui mahkamah.

“Namun ada maklumat mengatakan pengendali pilihan raya (SPR) di Malaysia tidak akan melakukan apa-apa, meskipun (penipuan) dibuktikan di mahkamah.

“Ini kerana ia (SPR) adalah institusi di bawah kawalan kerajaan,” laporan CNN dipetik. -KD



90 Peratus Pengundi Cina Undi PAS Di Selangor


Sebanyak 90 peratus pengundi Cina undi Pas di Selangor, lapor Suara Keadilan edisi terbaru, 7 Mei ini kerana ia berasaskan semangat Pakatan Rakyat.

Misalnya di Taman Daya, tempat penempatan pengundi Cina di Selayang, calon Pas berjaya mendapat 1681 undi berbanding BN hanya mendapat 160 undi sahaja.

Ini bermakna, Cina bukan memberikan undi kepada DAP tetapi memberikan sepenuhnya undi mereka kepada semua calon-calon Pakatan Rakyat.


“Saya menang dengan majoriti 7467 kerana sokongan pengundi bandar khasnya orang Cina,” kata Zaidy Talib calon Pas yang menang di DUN Taman Templer.

Zaidy bersama rakan-rakannya di Selangor mencipta rekod tersendiri bagi Pas di Selangor apabila berjaya dengan cemerlang dalam pilihanraya ini.

Pas dan DAP berkongsi kemenangan bersama iaitu 15 kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) diikuti dengan PKR, 14 kerusi.

Kerusi-kerusi DUN yang dimenangi Pas adalah Dusun Tua, Bangi, Gombak Setia, Hulu Kelang, Tanjung Sepat, Meru, Selat Kelang, Seri Serdang, Taman Templer, Cempaka, Lembah Jaya, Sabak, Sijangkang, Morib dan Paya Jaras.

Di Parlimen pula, Pas menang lima kerusi iaitu Shah Alam, Kota Raja, Hulu Langat, Sepang dan Sungai Besar. -SK

Ulasan GB

Ini membuktikan tuduhan Najib dan UMNO bahawa masyarakat Cina itu rasis sepanjang PRU13 yang lalu adalah tidak benar.

Mereka (kaum Cina) boleh menerima orang Melayu/Islam tetapi sokongan mereka kini beralih dari UMNO kepada PAS/PKR.

Jadi yang penipu dan rasis itu sebenarnya UMNO!

Tan Sri Abd Khalid Angkat Sumpah Sebagai MB Selangor Penggal Kedua


Sultan Sharafuddin Idris Shah menyerahkan watikah pelantikan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah di Klang pada Selasa. -Foto THE STAR

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua di Istana Alam Shah, di sini.

Abdul Khalid mengangkat sumpah bagi memegang jawatan Menteri Besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada pukul 10.05 pagi.

Pada majlis berkenaan, Abdul Khalid menerima watikah pelantikan daripada Sultan Sharafuddin.

Abdul Khalid, 67, mengangkat sumpah buat pertama kalinya sebagai Menteri Besar Selangor pada 13 Mac 2008 dan merupakan wakil pembangkang yang pertama memegang jawatan itu di Selangor.

Beliau dilantik semula memegang jawatan berkenaan selepas Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan penguasaan di Selangor apabila menang 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Abdul Khalid yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di DUN Pelabuhan Klang pada PRU-13 berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Nasaruddin M Zin dengan majoriti 2994 undi. -mstar

Ni Macam Punya "Bekas Hakim" Pun Ada...


Kenyataan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang berbaur hasutan dipengaruhi pemikiran Umno dan Barisan Nasional kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamed Hanipah Maidin.

Menurut ahli Parlimen Sepang itu, tidak wajar seorang cerdik pandai seperti Mohd Noor mengeluarkan kenyataan yang menggalakkan permusuhan kaum khususnya di antara kaum Melayu dan Cina.

“Pandangan beliau itu silap dan dipengaruhi oleh Umno BN. Macam mana orang yang bijak pandai fikirannya boleh dipengaruhi seperti ini,” kata Hanipah dipetik dari laporan Harakahdaily.

Hanipah menegaskan, dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan terdiri daripada masyarakat majmuk, setiap kaum berhak mempunyai sekolah aliran mereka.

“Kenapa kita nak tutup semua sekolah jenis kebangsaan sedangkan itu hak mereka?

“Hak mereka untuk belajar bahasa ibunda dan sepatutnya kita menggalakkan anak-anak Melayu turut belajar bahasa Cina dan Tamil supaya tahu pelbagai jenis bahasa. Tutup SJK tidak menyelesaikan apa-apa,” katanya.

Menurutnya, sistem pendidikan kerajaan BN melahirkan individu seperti Mohd Noor yang penuh dengan prasangka terhadap kaum lain.

“Inilah hasil didikan Umno BN sehingga melahirkan orang-orang seperti ini. Mereka penuh dengan rasa syak wasangka, perkauman yang kuat dan takut pada perkara yang tidak wujud,” tegasnya.

Hanipah walau bagaimanapun tidak bersetuju Akta Hasutan digunakan terhadap Mohd Noor kerana berpandangan akta itu harus dimansuhkan.

“Saya tak setujulah kalau nak kaitkan dengan Akta Hasutan sebab Pakatan Rakyat (PR) mahu akta ini dimansuhkan jadi kenapa kita nak kenakan ke atas pihak lain mahupun Umno BN.

“Setiap orang berhak beri pandangan dan Mohd Noor kena bersedialah kalau orang ramai serang beliau kerana keluarkan kenyataan yang menimbulkan kebencian kaum,” katanya.

Bekas hakim itu dilaporkan menuduh Cina merancang untuk “merampas kuasa politik” daripada Melayu, walaupun sudah mendapat manfaat dari segi ekonomi dari “setia kawan” Melayu.

“Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah,” kata beliau dipetik dari Malaysiakini dalam satu forum bertajuk “Wacana Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah” anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

“Apabila Melayu dikhianati, akan ada tindak balas dan Cina mesti menanggung akibatnya dari tindak balas Melayu.”

Untuk memantapkan hujahnya Mohd Noor yang kini bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menganjurkan agar penyusunan masyarakat itu turut melibatkan pewartaaan kawasan rizab Melayu di kawasan bandar bagi membolehkan kaum Melayu membangun dan menguruskan perniagaan bersama kaum Cina.

“Istilah cantiknya ialah menyusun semula masyarakat. Tapi istilah kasar ialah orang Melayu berhijrah supaya gedung-gedung yang kita lihat dibandar sama-sama dimiliki, bukan melihat sahaja.

“Susunlah strategi supaya dalam masa 10 tahun ini, Yang Dipertuan Agong mengarahkan badan berkuasa untuk jamin supaya kekayaan negeri ini dimiliki kita sebanyak 67 peratus,” kata beliau.

BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi dalam Pilihan Raya 2008.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mencadangkan “tsunami Cina” menyebabkan BN mendapat keputusan pilihan raya terburuk dalam sejarah.

Utusan Malaysia, akhbar dimiliki Umno, juga mencadangkan pengundi Cina cuba melakukan provokasi kaum dengan mengundi menentang BN, dengan satu tajuk muka hadapan akhbar itu berbunyi, “Apa lagi Cina Mahu?”.

Akhbar itu — dilihat bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin parti lain — secara konsisten berhujah undi menentang Umno yang mengetuai BN sama dengan undi menentang Melayu.

Ini berlaku apabila secara faktanya parti PR PAS dan PKR sebahagian besarnya ahlinya Melayu-Muslim. DAP turut meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya. -TMI


Anwar: Kenyataan Mohd Noor lebih rasis dari KKK


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kenyataan kontroversi seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan yang memberi amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati oleh orang Cina.

Anwar berkata, kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah itu malah mengatasi kumpulan pelampau kaum Ku Klux Klan (KKK) di Amerika Syarikat, katanya.

“Ucapan rasis bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Noor Abdullah mengatasi Ku Klux Klan dan akan membuatkan (pemimpin Nazi Jerman, Adolf) Hitler bangga.

“Berapa lama lagi kita perlu bertolak ansur dengan tindakan meniup kebencian dan mengumpan perkauman dari kerajaan haram (Datuk Seri) Najib (Razak),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam ucapan tersebut, Mohd Noor antara lainnya menyeru golongan Melayu agar bertindak dengan lebih agresif untuk mempertahankan hak mereka serta menyusun semula masyarakat, ekoran keputusan pilihan raya umum 5 Mei.

Bercakap dalam seminar yang membincangkan mengenai kesan pilihan raya tersebut hari ini, Mohd Noor menyeru demikian kerana orang Cina didakwanya mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu itu melalui usaha untuk merampas kuasa politik.

"Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi," katanya, mengulas keputusan pilihan raya tersebut.
-mk

Kejayaan Berganda Bagi TS Khalid Ibrahim


Mahkamah Rayuan tolak saman 2,020 ibu tunggal di S'gor

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Berikutan keputusan penting itu, mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut.

Hishamudin bersetuju dengan hujahan yang dikemukakan oleh peguam A Vishnu Kumar, yang mewakili kerajaan Selangor dan Khalid, bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang.

Vishnu telah mengemukakan bahawa seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Beliau berkata remedi mereka merupakan bersifat politik dengan memetik kes mahkamah di England termasuk keputusan hakim terkenal, Lord Denning, yang memutuskan remedi pengundi untuk tidak memenuhi janji pilihan raya terletak di peti undi.

Hishamudin juga menerima hujah Vishnu bahawa pihak responden yang diketuai pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman Saman, tidak boleh mencabar perkara itu berikutan saman sivil itu telah difailkan di luar tempoh masa.

Peguam itu memberitahu mahkamah bahawa pihak responden sepatutnya memfailkan saman tersebut dalam tempoh tiga tahun mulai Mac 2008 tetapi hanya melakukannya pada 23 November tahun lepas.
Mahkamah kemudian memerintahkan responden membayar kos guaman sebanyak RM1,000 kepada kerajaan Selangor dan Khalid.

Peguam Walter Pereira, yang mewakili pihak responden, berkata janji-janji dalam manifesto itu diterjemahkan sebagai satu bentuk kontrak.

Kumpulan ibu tunggal itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lepas dengan menuntut elaun berjumlah RM10.9 juta seperti dijanjikan kepada mereka oleh pakatan pembangkang dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Pada 12 Disember 2011, kerajaan Selangor dan Khalid memfaikan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dan pada 23 Januari lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan memutuskan kes itu dibicarakan. -Bernama

Khalid angkat sumpah Menteri Besar Selangor esok


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengangkat sumpah pagi esok sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Klang.

Istiadat itu berlangsung di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perkara ini disahkan seorang pegawai di Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mengekalkan jawatan Menteri Besar bagi penggal kedua selepas Pakatan Rakyat menguasai 44 kerusi daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor atau majoriti dua pertiga.

KEADILAN menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi, manakala BN pula hanya memenangi 12 kerusi.

Perkembangan ini menamatkan teka-teki dan spekulasi tentang siapa pemimpin daripada PAS, KEADILAN dan DAP, yang akan mengisi kerusi Menteri Besar selepas PRU 13, 5 Mei.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyatakan sokongan mereka kepada Khalid sebagai Menteri Besar.

Dalam PRU 13, Khalid mengekalkan DUN Pelabuhan Klang apabila menumpaskan calon BN, Nasarruddin M Zin dengan majoriti 2,994. Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008.

Beliau juga merupakan orang pertama dalam kalangan pemimpin Pakatan yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Kesemua 13 Menteri Besar Selangor sebelum ini daripada Umno, parti komponen utama BN.