30 Mei 2013

Masa Depan Malaysia Lebih Cerah Dengan Pakatan Rakyat


Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Merton College, University Oxford, England pada 28 Mei 2013

1. Malaysia berada di ambang perubahan. Persoalannya ialah jika kita begitu hampir dengan perubahan mengapa perubahan tidak berlaku? Malaysia mengalami sedikit anjakan apabila Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum 2013, dan bukan Barisan Nasional (BN). BN menang walaupun hakikatnya tewas disebabkan amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya secara tidak adil yang dilaksanakan lebih 40 tahun lalu.

2. Ramai orang telah bertanya, apakah implikasi Pakatan Rakyat memenangi 51% undi popular? Ia akan mengarah kepada kerajaan BN yang lebih tidak stabil berikutan Najib dilihat sebagai seorang Perdana Menteri minoriti mengetuai sebuah kerajaan minoriti? Adakah akan ada “Malaysian Spring” akibat daripada protes yang berterusan terhadap keputusan pilihan raya? Ya, akan ada “Malaysian Spring” tetapi dalam keadaan yang aman, yang lahir atas tujuan yang sama iaitu untuk membebaskan Malaysia daripada kemiskinan, kejahilan, ketakutan dan rasuah.

3. Saya tidak akan mempertikaikan hakikat bahawa Najib adalah Perdana Menteri minoriti yang mengetuai kerajaan minoriti kerana tidak wujud di dalam dunia, sebuah negara demokratik yang menggunakan sistem “First-Past-the-Post”, parti yang berjaya mendapat 51% undi hanya berkesudahan dengan sekadar 40% daripada jumlah kerusi. Dalam apa keadaan sekalipun, parti yang memenangi undi majoriti sepatutnya memenangi peratusan jumlah kerusi yang lebih besar. Hanya di Malaysia, akibat daripada persempadanan yang tidak adil, parti yang memenangi undi majoriti boleh berkesudahan dengan jumlah kerusi yang kurang daripada majoriti. Mungkin ini adalah apa yang BN maksudkan dengan “Malaysia Boleh”.

4. Bagaimanapun masih ada pemimpin BN yang menolak logik itu dengan mempertikaikan bahawa walaupun Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya atau memenangi undi popular ia langsung tidak penting. Tetapi bagaimana perkara itu boleh terjadi apabila demokrasi sepatutnya adalah majoriti memerintah minoriti dan menghormati hak minoriti? Demokrasi tidak sepatutnya berakhir dengan minoriti menerajui majoriti. Tidak juga boleh dibandingkan seperti sebuah perlawanan badminton.

Demokrasi bukan perlawanan badminton atau minoriti memerintah majoriti


5. Dalam perlawanan badminton sekalipun, setiap set diberikan kewajaran yang sama. Tetapi untuk BN, tiada kewajaran untuk setiap kerusi kerana beberapa kerusi seperti Kapar (160,000 undi) mempunyai lebih kurang 10 kali ganda lebih nilai daripada Putrajaya (17,000 undi) tetapi masing- masing mempunyai hanya satu nilai kerusi. Sekiranya sistem pilihan raya di Malaysia disamakan seperti dengan perlawanan badminton, pemain badminton PR perlu memenangi 10 set untuk setiap kerusi yang dimenangi BN.

6. Menteri Dalam Negeri barangkali berpura-pura marah apabila beliau meminta rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan ketidakadilan sistem pilihan raya untuk meninggalkan negara ini. Tetapi ada metod dalam kepura-puraannya kerana tiada sesiapa pun yang boleh menyuruh majoriti atau 51% daripada penduduk untuk meninggalkan negara ini. Beliau hanya mahu menakut-nakutkan rakyat dan tidak mahu memberi tumpuan kepada BN yang kehilangan undi popular dan mengalihkan perhatian mereka dengan menyalahkan masyarakat Cina. Tetapi bagaimana BN boleh kehilangan 51% undi popular apabila masyarakat Cina hanya 24% daripada jumlah pengundi? Adakah baki 27% daripada jumlah itu terdiri daripada mereka yang mengundi Pakatan Rakyat itu warga Bangladesh? Atas sebab ini tidak akan ada orang yang takut, dibohongi atau dialihkan pandangannya lagi. Rakyat tahu mereka yang merupakan majoriti dan menuntut reformasi pilihan raya supaya bersih, adil dan mampu menyediakan satu platform untuk mencerminkan kehendak majoriti.

7. Rakyat tidak akan tunduk dengan ancaman penangkapan semula 3 aktivis pembangkang atau mendakwa lebih ramai pemimpin PR di mahkamah kerana menghasut. Mengapa mereka yang pro-BN yang membuat kenyataan anti-Cina tidak dihukum?

8. Saya menolak pendirian yang mengatakan bahawa prospek masa depan negara akan terjejas dengan kehadiran pembangkang yang kuat. Sudah tentu sekiranya Pakatan mengambil alih, saya yakin untuk menyatakan bahawa Malaysia pasti berada di landasan yang betul untuk mencapai potensi yang sepenuhnya. Walaupun kita tidak mencapai matlamat untuk memenangi Putrajaya, saya amat percaya dengan kehadiran Pakatan Rakyat yang lebih kukuh di Parlimen, bersama-sama dengan pengalaman penggal kedua memerintah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor, akan memberi kesan positif kepada pembangunan negara.

9. Pertamanya, anda boleh yakin bahawa BN akan lebih sukar untuk menerima tawaran yang hanya akan memberi manfaat kepada kroni mereka. Ketika kita hanya 10% Ahli Parlimen, adalah lebih mudah bagi BN untuk melakukan banyak perkara terutama jenis kontrak kroni yang terlalu banyak untuk kumpulan kecil kita di Parlimen. Tetapi sekarang dengan kekuatan 89 Ahli Parlimen yang datang dari setiap negeri di Malaysia kecuali Perlis, anda boleh yakin yang kami akan membongkar setiap sudut dan celah bagi memastikan BN berasa sukar untuk mengulangi seperti perjanjian NFC “lembu di kondo”. Anda boleh bergantung kepada Ahli Parlimen seperi Rafizi Ramli, Nurul Izzah atau Dr Ong Kian Ming, Mahfuz Omar dan Oxonian kita sendiri – Tony Pua, serta ramai lagi Ahli Parlimen muda untuk menjalankan tugas semak dan imbang terhadap Kerajaan BN.

10. Ini bukan bermaksud mereka tidak akan mencuba. Sepertimana yang ditunjukkan daripada penubuhan 1MDB, BN tidak pernah berubah cara. 1MDB, yang tidak mempunyai apa-apa manfaat selain daripada menjadi dana simpanan khas, sepatutnya diserap ke dalam Khazanah. Ini adalah cadangan kami dalam Manifesto Pakatan Rakyat.

11. Kita sudah melihat bagaimana persaingan polisi memaksa BN bertindak terhadap cadangan Pakatan Rakyat. Kontrak untuk generasi pertama bagi Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang akan berakhir tidak lama lagi akan diperbaharui dengan kos yang lebih rendah disebabkan tekanan yang diberi Pakatan Rakyat. Anda boleh lihat bagaimana BN dipaksa untuk mengurangkan harga kereta secara perlahan-lahan hasil daripada manifesto Pakatan Rakyat.

12. Kita telah membuktikan yang kita boleh mentadbir Pulau Pinang dan Selangor lebih baik daripada BN. Dan kita telah memperolehi mandat lebih besar terutama daripada segi kerusi dan undi. Di Pulau Pinang, kita berjaya meningkatkan bilangan kerusi negeri daripada 29 kepada 30 dan undi popular daripada 58% kepada 67%. Di Selangor, kita menambah kerusi negeri daripada 36 kepada 44 dan undi popular meningkat daripada 55% kepada 59%. Kita telah menunjukkan bahawa rizab negeri meningkat dan dalam masa yang sama, bantuan kewangan dan agihan peruntukan juga dijalankan secara adil dan telus.

13. Kita akan terus mencari cara yang lebih baik untuk mentadbir kedua-dua negeri. Kita akan teruskan dengan mencari cara-cara yang lebih kreatif untuk memenuhi aspirasi kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang dipandu dengan idea yang lebih progresif, pelaburan swasta dan awam yang berterusan dan terancang. Penubuhan Penang Paradigm, yang dilancarkan pada awal tahun ini menyediakan pelan tindakan yang telah dan akan digunakan untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana Pakatan Rakyat akan mentadbir Putrajaya.

14. Proses perubahan dan pembaikan adalah sebahagian daripada kehidupan. Dan ia adalah satu realiti dalam kehidupan politik. Bakat manusia hanya boleh dibina dan dibangunkan melalui latihan dan kerja keras. Jika Amerika menghadapi “fiscal cliff” yang mengancam kesihatan kewangan dunia, Malaysia menghadapi “talent cliff” yang boleh mengancam kemakmuran ekonomi masa depan kita.

15. Kita perlukan anak muda yang berbakat untuk kembali ke sini bagi menjadikan Malaysia lebih kukuh. Kita tahu bahawa anda akan kembali ke sebuah negara Malaysia yang sesuai didiami dan menyediakan peluang yang sama untuk anda berjaya. Persaingan sihat dan akauntabiliti akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang baik, yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat untuk semua baik untuk hidup, bekerja dan berekreasi. Pakatan Rakyat yang lebih kuat memberi harapan kepada masa depan yang lebih cerah bagi demokrasi, keadilan, kebebasan, integriti dan pembudayaan prestasi di Malaysia.

‘SPR Bukan Parti Politik, Wan Ahmad Pun Bukan YB’


Bekas Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim membidas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Omar yang mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim memboikot parlimen jika benar-benar yakin berlaku penipuan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya datang dari seorang Timbalan Pengerusi SPR.

“SPR bukan parti politik dan Wan Ahmad tidak sepatutnya bertindak seolah beliau seorang wakil rakyat.

“(Dan) SPR sepatutnya bertindak secara berkecuali dan profesional dengan menangani segala kritikan dan dakwaan dari mana-mana pihak sekalipun secara berhemah dan mengikut prosedur undang-undang.

“Mereka sepatutnya mampu mengawal diri dalam apa jua keadaan dan tidak melenting seperti cacing kepanasan apabila dikritik keras,” kata Mat Zain dalam suratnya kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Salinannya dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun.

Ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong

Setiap ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 114 Perlembagaan untuk mengendalikan pilihan raya Persekutuan atau Negeri dengan bersih dan adil mengikut prosedur undang-undang.

Menurut Mat Zain, sekiranya benar pihak SPR sebuah badan berkecuali dan profesional, mereka sepatutnya boleh membuat siasatan sendiri bagi mengesahkan sama ada benar atau tidak, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-6 pada 3.April 2009.

Katanya, ini kerana sumpah itu dengan tidak mengikut Jadual Keenam Perlembagaan seperti yang didakwa.

“SPR hanya perlu menonton semula rakaman upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri oleh Najib di-hadapan Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 3 April 2009, serta membandingkan apa yang dilafazkannya dalam upacara tersebut, dengan perkataan sumpah yang wajib beliau angkat sepertimana yang dinyatakan dalam Jadual Keenam Perlembagaan.

“Verifikasi ini boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai 5 minit pun. Malahan orang ramai juga boleh membuat semakan sendiri dengan menggunakan kaedah yang sama,” kata Mat Zain lagi.

Beliau juga menyarankan SPR mendapatkan kerjasama Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru Datuk Seri Ahmad Shabbery Cheek untuk menyiarkan acara angkat sumpah Perdana Menteri pada 3.April 2009 itu.

`Filem Tanda Putera’

Ini supaya lebih ramai rakyat yang tidak mempunyai ekses kepada internet, peluang untuk membuat verifikasi yang sama serta sekaligus, dapat memahami isu yang dibangkitkan ini.

“Jika Menteri Penerangan telah menunjukkan keghairahannya untuk filem Tanda Putera ditayangkan kepada umum,maka saya yakin beliau tidak keberatan menayangkan rakaman majlis angkat sumpah yang ringkas itu,” katanya lagi.

Beliau menambah, rakyat boleh membuat penilaian samada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri-nya memang sentiasa menghormati dan mematuhi peraturan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti yang mereka sering laungkan, atau ianya sekadar retorik.

Katanya, beliau yakin rakyat akan lebih menyanjung Menteri Penerangan yang baru ini, jika beliau dapat menyiarkan proses perlantikan Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di kalangan Ahli Dewan Negara yang belum dilantik sebagai Senator seperti kekalutan yang berlaku baru-baru ini, sebagai penambahan ilmu kepada rakyat.

Menurutnya, penerangan seperti ini-lah yang akan dialu-alukan oleh segenap lapisan rakyat khasnya masyarakat luar Bandar dimana mereka boleh menilai sama ada Menteri dan Timbalan Menteri mereka itu jujur ataupun mereka sekadar kaki temberang sahaja.

Mat Zain berkata, persoalan undang-undang melibatkan Perlembagaan hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, (Akta 91.

Harap SPR nyatakan pendirian

Untuk itu beliau berharap SPR dapat menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka bersedia merujukkan perkara dalam persoalan ini kepada badan tersebut atau sebaliknya.

Dalam isu berkaitan, bekas pegawai kanan polis itu mengulas mengenai dua menteri dan tiga timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong tetapi belum dilantik sebagai Senator.

Kata Mat Zain ia perbuatan yang sangat biadap terhadap Yang Di Pertuan Agong kerana telah meletakkan susunan keutamaan Baginda, di-belakang kedudukan Yang Di-Pertua Dewan Negara.

Sekiranya perbuatan ini bukan suatu pengkhianatan dan penghinaan serta mencemarkan keadaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, Mat Zain berkata, Najib wajar menjelaskan kepada rakyat apakah maksud tindakan beliau.

Perdana Menteri, tambahnya juga wajar menjelaskan kepada rakyat sama ada dua orang menteri dan tiga orang timbalan menteri tersebut layak melaksanakan fungsi jawatan masing-masing setelah peruntukan Perlembagaan Persekutuan ditunggang-langgangkan. Jika di kalangan sejumlah 61 orang menteri dan timbalan menteri yang ada sekarang ini,terdapat lima orang atau lebih 8% daripada jumlah itu adalah “ahli haram”, maka keseluruhan Kabinet itu juga terpalit menjadi haram.

Disebabkan nila setitik,rosak susu sebelanga, kata Mat Zain. -FMT

[BONGKAR] Kertas Undi Dikira Awal & Peti Undi Tak Sampai Ke Tempat Pengiraan


Keadilan semalam mendedahkan salinan laporan polis oleh dua saksi berhubung salah laku pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan peti undi awal.

Pengarah Strategi, Rafizi Ramli berkata, undi awal dan undi pos sememangnya diragui dan boleh dimanipulasi, sekaligus memungkinkan keputusan diseleweng bagi memenangkan calon BN.

“Keputusan undi awal di seluruh negara menimbulkan kecurigaan apabila calon-calon Pakatan Rakyat hanya mendapat sekitar 10 hingga 15 peratus undi awal, jauh lebih rendah dari tahap sokongan dalam PRU lepas iaitu sekitar 30 peratus,” jelas Rafizi.

“Saya tampilkan dua bukti pada hari ini untuk membuktikan bahawa integriti undi awal diragui,” katanya.

Salinan laporan yang pertama dibuat di Balai Polis Masjid Tanah oleh ejen calon KEADILAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap (Genie Lim) yang mengiringi peti undi untuk disimpan di lokap simpanan Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.

“Semasa saya bersama anggota rombongan yang mengiringi SPR membawa peti undi sampai ke lokap simpanan berkenaan, dan saya lihat sejumlah tujuh hingga lapan anggota SPR sedang mengira kertas undi,” kata saksi, Abu Hussin Tamby dalam laporannya.

Mengikut peraturan SPR, proses mengira kertas undi hanya akan dijalankan selepas pengundian ditutup dan disaksikan wakil parti yang bertanding.

Satu lagi laporan adalah berhubung peti undi awal yang tidak sampai ke tempat pengiraan undi pada masa yang ditetapkan. Menurut saksi, Shairi Md Tajudin yang membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Hulu, pada 5 Mei lalu berkata, karung undi pos tidak sampai ke Dewan Bandaran Gerik pada masa yang ditetapkan sehingga menyebabkan kiraan undi ditolak.

“Saya beranggapan ia adalah salahlaku yang disengajakan SPR bagi memberi kemenangan kepada BN di Parlimen Gerik dan DUN Pengkalan Hulu,” katanya dalam laporan tersebut.

“Kedua-dua kejadian membayangkan betapa longgarnya kawalan, seliaan dan integriti peti undi awal sehingga boleh hilang dan dibuka begitu saja,” kata Rafizi mengulas bukti tersebut.

10 Exco Selangor Selesai Angkat Sumpah, LAMPIRAN: Senarai Portfolio MB & Exco


Klang: 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Selangor hari ini selesai angkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi penggal 2013-2018.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan berlangsung penuh istiadat dihadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini bermula pukul 9.30 pagi tadi.

Adun Chempaka Iskandar Samad mendahului upacara angkat sumpah, diikuti Dr Halimah Ali (Selat Klang), Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Sallehen Mukhyi (Sabak), Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan).

Kemudiannya giliran Adun Kota Alam Shah V Ganabatirau, Rodziah Ismail (Batu Tiga), Elizabeth Wong Keat Ping (Bukit Lanjan), diakhiri dengan Dr Daroyah Alwi (Sementa).

Sambil memegang Lembing Sembuana, 10 Adun terbabit melafazkan sumpah jawatan dan 10 ikrar aku janji dihadapan Sultan Sharafuddin.

Berikut 10 akujanji dilafazkan :

1. Memelihara dan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara

2. Memelihara dan melindungi kesucian dan keagungan agama Islam sebagai Agama Negeri dan kepercayaan orang Islam dari diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Pada masa yang sama menghormati hak agama lain diamalkan oleh orang bukan beragama Islam.

3. Memelihara kedaulatan institusi raja dan mempertahankannya dari dicemari dan dari diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

4. Mematuhi segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dari semasa ke semasa termasuk adab dan tatatertib semasa berada di Istana dan ketika istiadat rasmi istana dilangsungkan.

5. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa yang sama kepentingan sah kaum lain seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

6. Melaksanakan tugas dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas.

7. Mendahulukan rakyat selagi mana ia tidak menjejaskan kepentingan, kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri.

8. Memastikan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri di tahap yang tertinggi dan memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dan juga negeri-negeri lain dalam Persekutuan.

9. Memelihara jawatan yang dipegang dari dicemari dengan pelakuan-pelakuan yang menyalahi undang-undang; dan

10. Memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah, tolak ansur dan kerjasama antara kaum, demi menjamin kestabilan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri Selangor.

Mereka kemudiannya menandatangani surat cara pelantikan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan kemudiannya mendapat perkenan Sultan.

Turut hadir menyaksikan upacara adalah kerabat diraja, pembesar istana, serta pegawai tinggi kerajaan negeri.

Senarai Exco & Portfolio Masing-masing

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Kewangan, Pembangunan Tanah & Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Penerangan, Jawatankuasa Adat Melayu

YB Tuan Iskandar Bin Abdul Samad,
ADUN Cempaka - Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar

YB Tuan Dr. Ahmad Yunus Bin Hairi,
ADUN Sijangkang - Belia Dan Sukan, Infrastruktur Dan Kemudahan Awam

YB Puan Dr. Halimah Binti Ali,
ADUN Selat Klang - Pendidikan Dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan

YB Tuan Sallehin Bin Mukhyi,
ADUN Sabak - Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa

YB Tuan Ean Yong Hian Wah,
ADUN Sri Kembangan - Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu & Pemutihan Kilang Haram

YB Tuan Ganapathi Rao A/l Veraman,
ADUN Kota Alam Shah - Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin

YB Dato’ Teng Chang Khim,
ADUN Sungai Pinang - Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan

YB Puan Dr. Rodziah Binti Ismail,
ADUN Batu Tiga - Kebajikan, Hal Ehwal Wanita

YB Puan Dr. Daroyah Binti Alwi,
ADUN Sementa - Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi Dan Inovasi

YB Puan Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong,
ADUN Bukit Lanjan - Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar

Dewan Negeri Selangor: YB Puan Hannah Yeoh,
ADUN Subang Jaya - Speaker Dewan Negeri Selangor

YB Tuan Nik Nazmi Bin Nik Ahmad,
ADUN Seri Setia - Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor

#Selangor Maju Tanpa UMNO!!!!



Negara Paling Selamat: Anak Menteri Kena Ragut: Rugi RM8,000


Anak seorang menteri Kabinet kerugian lebih RM8,000 apabila diragut dua lelaki di kawasan sebuah pasar raya di Ampang, Selasa.

Mangsa, merupakan seorang guru wanita berumur 26 tahun, turut cedera ringan di bahagian lutut kanan akibat kejadian ragut pada kira-kira 11.50 pagi itu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata wanita itu diragut ketika meletak barang dalam but kereta jenis Suzuki Swift.

"Suspek menaiki kenderaan jenis Proton Satria, meragut beg tangan mangsa dan melarikan diri bersama barangan berharga mangsa iaitu Ipad, Iphone dan wang tunai RM5,000," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, Khamis.

Dalam perkembangan lain, Thaiveegan berkata polis menahan tujuh lelaki berusia lingkungan 20-an berkaitan kes pembunuhan seorang rakyat Amerika Syarikat dalam operasi sekitar Lembah Klang awal pagi tadi.

"Ketujuh-tujuh suspek merupakan warga asing dan ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Pada 4 Mei lepas, mayat David James Ginter, 62, ditemui di sebuah rumah di Taman Sri Ukay di sini oleh jiran dalam keadaan terbaring dengan tangan dan kaki diikat ke belakang serta lehernya dijerut dengan tali kabel pengecas telefon. — Bernama

Ulasan GB

Hanya pada minggu lalu dua kes rompakan melibatkan kediaman VVIP berlaku iaitu rumah kakak TPM dan adik KPN dipecahmasuk.

Sekarang anak menteri kena ragut menunjukkan betapa seriusnya jenayah yang berlaku di negara kita.

Sebelum ini GB sudah ulas. Petikan:

Sekarang ini jawapannya!

Apabila Menteri KDN dan KPN asyik menumpukan hal-hal untuk menahan dan menangkap pemimpin politik dan pelajar, sedangkan penjenayah-penjenayah yang berleluasa tidak dititikberatkan, sekarang terkena batang hidung sendiri.... rumah-rumah kakak Muhyiddin dan adik KPN sendiri dirompak.

Itulah hukum kebenaran dan keadilan berjalan apabila kedua-dua "pegawai tertinggi" sudah lari dari tanggungjwab utama mereka membenteras jenayah tetapi asyik menumpukan perhatian untuk menjaga kkeselamatan UMNO BN, maka bergembiralah penjenayah-penjenayah di seluruh negara.


Turun Harga Kereta: "AKU JANJI" Dah Bertukar Jadi "AKU KAJI"


BN mula khianati janji turun harga kereta

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Belum sampai sebulan mendapat ‘mandat minoriti’, kerajaan Barisan Nasional (BN) mula mengkhianati janji manifesto untuk menurunkan harga kereta antara 20 dan 30 peratus peratus dengan alasan tidak munasabah dan memalukan.

Tembelang BN itu terbongkar dengan sendirinya apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed mengumumkan bahawa penurunan harga kereta hanya akan dilakukan selepas lima tahun, bukannya dalam masa terdekat.

“Pengumuman itu seolah-olah memberitahu rakyat Malaysia bahawa mereka boleh melupakan impian membeli kereta dengan harga lebih murah dalam masa terdekat ini,” kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Mustapha juga cuba mengalih perhatian ramai daripada persoalan asal apabila menyatakan penurunan harga kereta akan memberi kesan serius kepada industri yang membabitkan 200,000 peluang pekerjaan dan risiko penutupan perniagaan.

Menolak hujah dangkal Mustapha itu, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat (PR) berjanji menurunkan semua duti eksais secara berperingkat-peringkat selama lima tahun dan bukan menurunnya secara sekaligus.

“Ia cuma akan membabitkan pengurangan empat hingga lima peratus harga kereta malah kesan terhadap perniagaan kereta terpakai juga sangat sedikit.

Pua menambah, perkara yang lebih memalukan apabila Mustapha seolah-olah memperbodohkan dirinya kerana penurunan harga kereta itu adalah daripada cukai kerajaan dan bukannya pengurangan keuntungan syarikat penjualan kereta.

“Pengurangan cukai kereta akan meningkatkan pendapatan boleh guna yang sebenarnya oleh rakyat Malaysia dan memacu pertumbuhan ekonomi dalam sektor lain,” jelasnya.-Roketkini