22 Sep 2013

Mahkamah Mesir Tetapkan Esok Kedudukan Ikhwanul Muslimin


Mahkamah Mesir telah menetapkan hari esok (Isnin) sebagai tarikh untuk memutuskan kedudukan pertubuhan Ikhwan Muslimin, lapor worldbulletin.

Seorang peguam telah memfailkan saman menuntut pertubuhan itu dibubarkan atas alasan bahawa penubuhannya "melanggar undang-undang".

Beliau juga menuntut penyitaan dana dan ibu pejabat pertubuhan tersebut.

Ikhwanul Muslimin telah didaftarkan sebagai sebuah NGO pada bulan Mac, dengan bekas pemimpin tertinggi Ikhwan Mahdi Akef sebagai pengerusi. Akef kini dipenjarakan atas tuduhan "menghasut melakukan keganasan."

Pentadbiran pertubujan itu tidak melibatkan kesemua pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin atau Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP).

Lembaga Pesuruhjaya Negeri Mesir, badan kehakiman ditugaskan untuk memerintah mengenai isu-isu pentadbiran, telah mencadangkan pembubaran pertubuhan Ikhwan Muslimin dan penutupan ibu pejabat Kaherah.

Pihak berkuasa juga meminta mahkamah membatalkan pendaftaran Ikhwan Muslimin yang dikeluarkan pada 13 Mac.

Hasan al-Banna menubuhkan Ikhwan Muslimin pada tahun 1928, sebagai tindak balas dan bantahan kepada keadaan keruntuhan Islam.

Beliau berhujah bahawa kejatuhan Islam adalah disebabkan oleh ajaran agama yang tidak efektif oleh para ulama dan kegagalan mereka untuk memelihara Islam dalam keadaan yang paling tulen.

Organisasi ini telah ditubuhkan bersama-sama enam orang lain. Hassan Al-Banna pada awalnya memlakan organisasi tersebut sebagai sebuah kelab pemuda dengan mengajar di kedai-kedai kopi. Populariti Ikhwan meningkat secara mendadak dalam tahun 1930-an dan diperluaskan aktivitinya di seluruh Mesir.

Beliau menubuhkan cawangan di seluruh Mesir dan membentuk ibu pejabat di Kaherah. Pada tahun 1936 Ikhwan itu mempunyai kira-kira 800 ahli, dan pada 1938, ia mempunyai lebih 200,000 ahli dengan 50 cawangan di Mesir.


[TRIBUNAL RAKYAT] Umno BN Salahguna Harta Kerajaan Semasa PRU13


Umno-BN didapati menyalahguna kuasa sebagai Kerajaan sementara apabila menggunakan tiga kenderaan milik Jabatan Penerangan semasa majlis perasmian pusat operasi pilihan raya di Parlimen Batu, Kuala Lumpur, 7 April lalu.

Perkara itu didedahkan petugas media, Koh Jun Lin sebagai saksi dalam Tribunal Rakyat berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di Hotel Empire, di sini hari ini.

Koh yang juga bertugas sebagai wartawan portal Malaysia Kini berkata, beliau cuba mendapatkan ulasan rasmi daripada pihak pengajur mengenai kemungkinan salah guna jentera kerajaan itu semasa berkempen, namun ditolak.

“Saya dibawa berjumpa dengan seorang individu yang dipercayai penganjur acara itu bernama Kapten Suhaimi Yahya untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya hampir dikasari petugas di situ yang mengarahkan saya balik dan jangan membuat kacau di sini, manakala Suhaimi pula berpaling kepada saya dan mengatakan, saya tidak lepuk kamu sudah baguslah,” katanya.

Mengulas lanjut, Koh berkata, kenderaan berkenaan melibatkan satu van dan dua SUV, di mana salah satu daripadanya dilengkapi pembesar suara di bahagian bumbung untuk menyiar ucapan perasmian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa majlis itu.

“Selain tiga kenderaan itu, saya juga dapat melihat beberapa harta kerajaan seperti mikrofon dan alat pembesar suara menggunakan logo Jabatan Penerangan turut digunakan,” katanya.

Seorang lagi saksi, Alfian Zohri Mohd Tahir yang menjadi sukarelawan Pemantau dalam pilihan raya lalu berkata, insiden sama (penggunaan jentera kerajaan) turut dikenalpasti digunakan dalam kempen BN di kawasan Tebrau.

Beliau berkata, hampir 10 buah bas tertera logo Pusat Khidmat Latihan Negara (PLKN) digunakan jentera BN untuk menghadiri sebuah majlis keramaian bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Majlis itu turut dihadiri pimpinan BN lain seperti Datuk Seri Khaled Nordin dan Dr Chua Soi Lek.

“Selain menggunakan jentera kerajaan, beberapa buah kain rentang yang menghina pihak lawan (Pakatan Rakyat) turut digantung di kawasan Tebrau selain pengedaran risalah berbaur perkauman kepada orang ramai,” katanya. -selanorku

Utusan Malaysia Tarik Balik Rencana Fitnah Husam


Akhbar milik Umno Utusan Malaysia melalui edisi Mingguan Malaysia hari ini menarik balik laporan yang memfitnah Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang disiarkannya menjelang muktamar parti Islam itu pada tahun 2009.

Penarikan balik itu dibuat melalui penyataan yang disiarkan pada muka surat 9 Mingguan Malaysia hari ini.

Dalam penarikan balik ini, Utusan menyatakan:

"Pada 31.5.2009 satu rencana bertajuk "Menilai Hujah Husam" telah disiarkan di ruangan rencana akhbar ini. Kami dengan ini menarik balik perkataan-perkataan yang diadukan dalam rencana tersebut dan dengan ini menyatakan rasa kesal kami dengan penyiarannya – Pengarang.”

Tindakan ini merupakan pelaksanaan kepada keputusan yang dicapai dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 September lalu.

Melalui penyataan bersama dalam Mahkamah itu, Utusan bersetuju untuk menyiarkan penarikan balik itu dalam keluarannya hari ini dan bersetuju membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Husam.

Menjelang muktamar PAS 2009, iaitu pada 31 Mei 2009, Mingguan Malaysia menyiarkan satu tulisan bertajuk Menilai Hujah Husam ditulis Zulkeflee yang mengandungi penyataan fitnah terhadap Husam.

Antaranya, akhbar milik Umno itu menyiarkan tulisan:

"Ahli-ahli PAS tidak boleh membenarkan kehadiran mana-mana pemimpin yang dilihat suatu hari kelak boleh menjadi 'makhluk perosak' atau melakukan 'kerja-kerja bodoh' dalam parti itu. "Mereka tidak boleh menyiarkan ada pemimpin daripada golongan profesional merelakan diri mereka diperalatkan oleh orang luar bagi meruntuhkan kepimpinan ulama dalam PAS." "Kalaulah puak-puak Erdogan dipilih, ahli-ahli PAS harus bersedia melihat kedudukan ulama dalam parti itu berada dalam keadaan bahaya. Ini kerana agenda golongan profesional daripada puak Erdogan untuk menguasai PAS tidak akan berakhir di situ. “Mereka akan melakukan perancangan yang lebih teliti untuk memastikan agenda pihak tertentu di luar PAS bagi menguasai parti berkenaan tercapai. Oleh itu mereka perlu menghapuskan sebarang golongan yang boleh bertindak sebagai musuh dalam selimut kepada PAS.” -TMI

Rejim Mesir Keluarkan Perintah Penangkapan Syeikh Yusuf Al Qaradhawi


Pemerintahan kudeta tentera Mesir melalui Pendakwa Raya mengeluarkan surat perintah penangkapan ke atas Syeikh Yusuf Al Qaradhawi.

Syeikh Al Qaradhawi adalah seorang ulama yang lahir di Mesir yang tinggal dan berkewargaaan Qatar.

Berdasarkan surat perintah itu Syaikh Al Qaradhawi akan terus ditangkap sebaik beliau tiba di Mesir.

Surat kabar Al Sharq Al Awsat (20/9) melaporkan, Hisham Barakat, Pendakwa Raya Mesir mengeluarkan perintah penangkapan Syeikh Yusuf Al Qaradhawi dengan tuduhan telah melakukan provokasi untuk berjihad melawan tentera Mesir, gesaan untuk campurtangan asing, merancang penghinaan dan melemparkan tuduhan pembunuhan para demonstran terhadap tentera Mesir di dalam satu rancangan yang disiarkan stesyen television milik Qatar, Aljazeera.

Qaradhawi telah menjadi pengkritik utama tentera di Mesir berikutan penyingkiran presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi, pada bulan Julai lalu.

Sementara itu, kumpulan anti-rampasan kuasa, Perikatan Kebangsaan Pro-Legitimasi menggesa rakyat Mesir untuk mengadakan demonstrasi anti-kerajaan selama seminggu mulai hari kelmarin (Jumaat) di seluruh negara.

Syeikh Ql-Qardhawi yang juga Ketua Persatuan Ulama Muslim Antarabangsa itu telah menetap di Qatar lebih dari 40 tahun dan sekaligus memperoleh kewarganegaraan dari negara tersebut. Sejak muda beliau pernah dipenjara oleh rejim tentera Mesir sebelum akhirnya mengajar di Arab Saudi dan Qatar.

Selain itu, beliau adalah seorang anggota Haiah Kibar Ulama Al Azhar Mesir.


Isu Chin Peng: Najib, UMNO, Perkasa & KPN Tidak Tahu Undang-undang


Timbalan Menteri: Kerajaan tidak boleh halang abu mayat Chin Peng pulang

Kerajaan tidak boleh menghalang sesiapa sahaja membawa pulang abu mayat Chin Peng ke Malaysia kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Wan Junaidi, jika seseorang ditahan di lapangan terbang dengan abu mayat Chin Peng, beliau tidak tahu bagaimana pihak berkuasa akan menguruskan situasi berkenaan.

“Tiada apa yang boleh dilakukan pihak berkuasa. Kita tidak mempunyai undang-undang untuk menghalang atau mengenakan tindakan kepada seseorang yang membawa abu masuk,” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini.

“Saya tidak boleh bayangkan. Saya tidak tahu undang-undang mana boleh halang mereka,” tambah Wan Junaidi yang pernah memerangi komunis semasa darurat di Sarawak.

Beliau mengatakan jika terdapat undang-undang sekalipun, sukar bagi kerajaan untuk menghalang seseorang untuk membawa abu masuk ke dalam negara.

“Tiada apa yang kerajaan boleh buat tentangnya,”
kata Junaidi yang juga merupakan seorang peguam.

Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua, meninggal dunia di hospital di Bangkok, Thailand pada ulangtahun sambutan Hari Malaysia ke 50, sebulan sebelum hari lahirnya yang ke-89.

Ketika hayatnya, beliau berulang kali menyuarakan hasratnya untuk dikebumikan di kampungnya di Sitiawan, Perak.

Beliau dilantik sebagai setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) pada usia 23 tahun dan menjadi “musuh nombor satu” British di Asia Tenggara ketika pemberontakan komunis di Malaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, kerajaan tidak akan menarik diri daripada pendirian untuk menghalang abu mayat Ching Peng dibawa balik dan mencabar mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu untuk mengambil tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semua pintu masuk ke dalam negara berada dalam keadaan berjaga-jaga, kerana kerajaan bimbang abu mayat Chin Peng dibawa masuk.

Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA juga melahirkan pendapat mayat Chin Peng patut dibenarkan pulang ke sini.

Pengerusi biro publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie berkata, jika mayat pengganas Dr Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dibenarkan untuk dikebumikan di Malaysia, mengapa tidak Chin Peng.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menghalang abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia kerana katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan abu mayat pemimpin komunis itu.

Menurutnya, Islam sendiri tidak pernah menghalang mayat musuh agama untuk dijauhkan daripada tempat suci dan keadaan seumpama turut berlaku di Mekah.


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dalam temuramah bersama stesen radio BFM semalam memberi amaran Malaysia akan menjadi bahan ketawa jika kerajaan tidak berganjak daripada keputusan “naïf” dengan enggan membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke dalam negara untuk disemadikan.

Menurutnya, tindakan itu juga akan menyebabkan bekas pemimpin komunis itu bertukar menjadi ikon dan ia adalah langkah terkebelakang dalam cubaan kerajaan untuk memenangi semula sokongan masyarakat Cina berikutan prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu. -TMI