18 Dis 2013

[BERGAMBAR] Kemalangan Tragis: 6 Rentung Setelah Kereta Rempuh Tiang


Kuala Lumpur: Enam orang rentung selepas kereta yang mereka naiki merempuh sebuah tiang lebuh raya, meletup dan terbakar berhampiran bulatan Kampung Pandan, awal pagi Rabu.

Mangsa-mangsa yang dipercayai mempunyai pertalian keluarga, sedang dalam perjalanan dari Lebuhraya SMART menuju Jalan Perkasa, dalam kejadian kira-kira pukul 12.42 pagi apabila seorang saksi berkata kereta Nissan Skyline biru mereka hilang kawalan dan merempuh tiang konkrit.

Kereta itu meletup ketika bertembung dan terseret beberapa meter sebelum berhenti sepenuhnya.

13 pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dihantar ke tempat kejadian dan mengambil kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat dari kenderaan yang remuk dan rentung.

"Mayat-mayat terbakar sepenuhnya dan tidak dapat dikenal pasti. Terdapat tiga mangsa lelaki dan tiga perempuan. Semuanya dewasa kecuali seorang yang kita percaya merupakan seorang remaja berdasarkan penilaian paramedik.

"Apabila kami sampai ke tempat kejadian, kereta itu masih terbakar dengan bahagian badan bertaburan," kata komander operasi, Hamid Daud yang tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut kepada pemberita.

Mayat-mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kemalangan di tengah-tengah bandar itu turut menarik perhatian beratus-ratus pemandu ingin tahu dan melihatnya.

Pegawai tentera Kamarul Haniff Hamid, 21 berkata beliau menyaksikan kemalangan ngeri itu semasa sedang memandu di sepanjang Jalan Tun Razak ke arah bulatan.

"Saya berada di dalam kereta dengan kakak dan teman wanita saya selepas makan malam apabila saya melihat kelibat kereta yang dipandu benar-benar laju.

"Kemudian saya mendengar bunyi brek dan ledakan yang kuat serta melihat ia meletup apabila berlanggar tiang. Pintu kereta telah tercabut dan ia bergerak sedikit lebih sebelum berhenti.

"Saya berlari ke sana dan cuba menarik keluar orang di dalam tetapi api begitu besar, saya tidak boleh menghampirinya. Saya hanya boleh melihatnya," kata Kamarul Haniff .

Beliau berkata enam mangsa di dalam tidak bergerak dan tidak kedengaran sebarang jeritan untuk mendapatkan bantuan. -mstar


sumber foto: ondscene.my

SMS Palsu & Fitnah Untuk Gugat PR Selangor

SMS ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ palsu, fitnah

KLANG 17 DIS : Pemberian baucer RM200 untuk Program ‘Jom Shopping Kembali Ke Sekolah’ untuk anak Selangor yang disebar luas dalam sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi ‘Whatsapp’sejak semalam adalah palsu.

Justeru, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berharap orang ramai khususnya ibu bapa tidak terpengaruh fitnah yang sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini SMS tidak bertanggungjawab yang sengaja menyusahkan dan mengelirukan semua pihak selain mengecewakan ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

“Kesannya, semua 56 Pusat Khidmat DUN dan Pejabat Ahli Parlimen dihujani panggilan daripada rakyat berhubung dakwaan pemberian baucer itu,”katanya.

Sejak semalam, SMS pemberitahuan pemberian baucer RM200 untuk membeli barangan keperluan sekolah kononnya dari Kerajaan Selangor di bawah Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, disebar luas.

Dengan menetapkan syarat penerima dari kalangan murid darjah satu hingga tingkatan enam atas hanya perlu membawa kad pengenalan dan hadir bersama ibu bapa (pengundi Selangor) boleh menebus baucer itu di semua pasar raya kecuali MyDin dan Kedai 1Malaysia.

SMS itu juga memaklumkan, baucer boleh diambil di seluruh Pusat Khidmat DUN mulai 16 Disember hingga 28 Disember depan.

Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Selat Klang membuat laporan polis kira-kira jam 11.00 malam semalam selepas menyedari kewujudan SMS fitnah itu.

Selangor Kini difahamkan,PKM Selat Klang menerima lebih 3,000 panggilan telefon dari orang ramai serata Selangor dalam tempoh kurang 24 jam yang bertanya pemberian baucer itu.

“Terdapat beberapa keraguan yang jelas dalam sebaran SMS tersebut. Kerajaan Selangor tidak menggunakan istilah ‘Pengajian Tinggi’ sebaliknya ‘Pendidikan Tinggi’ untuk portfolio pendidikan.

“Nombor telefon pegawai dalam SMS itu juga tidak tepat kerana ia nombor pegawai PKM DUN Selat Klang, bukannya nombor pegawai dari pejabat Exco Pendidikan.

“Kerajaan Selangor tidak pernah membuat pengumuman rasmi pemberian baucer RM200. Sebaliknya hanya memberi baucer RM30 untuk keluarga berpendapatan rendah untuk membeli kasut sekolah anak-anak di BATA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di PKM DUN Selat Klang di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin dan pegawai PKM DUN Selat Klang.

Sementara itu, Manivanan Gowin yang juga merupakan seorang peguam menyifatkan penyebaran SMS fitnah itu bertujuan memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

“Seolah-olah ia dari Kerajaan Selangor. Perkataan kecuali MyDin dan Kedai 1Malaysia sengaja dikaitkan kononnya Kerajaan Pakatan Rakyat anti dan boikot kepada pasar raya yang ada kaitan dengan Kerajaan Pusat.

“Kebetulan hari ini PKM Selat Klang serahkan baucer (RM30-Kasut Sekolah) dan sebaran SMS pula semalam. Jadi, nampak sangat ia dirancang rapi untuk memburuk-burukkan Kerajaan Negeri dan Dr Halimah,” kata Manivanan. -selangorku

Konon Tak Guna Pendekatan Populis, Najib Berbohong Taraf 5 Bintang


Najib, mana akujanji BN turunkan kadar tol lepas PRU-13?

KUALA LUMPUR 17 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terang-terangan menipu rakyat Malaysia apabia menaikkan kadar tol, berlawanan dengan akujanji kempen pilihan raya umum ke-13 Barisan Nasional.

Antara manifesto BN di bawah tajuk Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Transformasi Luar Bandar ialah ‘mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat’.


“Ini merupakan pembohongan yang bertaraf lima bintang, kerana dilakukan orang yang berkedudukan tinggi dalam negara ini,” kata pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail.

14 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengesahkan kadar tol dinaikkan pada tahun hadapan.

Lima belas lebuh raya kebanyakannya sekitar Kuala Lumpur, akan menaikkan kadar tol antara 50 sen hingga RM2 bermula 1 Januari 2014.

Justeru kata Azan, kenaikan ini telah menjadi merupakan tradisi dan kebiasaan kerajaan Umno-BN.

“Setiap kali selepas pilihan raya kita akan lihat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia seolah-olah satu tradisi.

“Bagi Umno pilihan raya bukanlah satu mandat yang diperoleh daripada rakyat. Tetapi mereka melihat pilihan raya merupakan satu peringkat untuk menyusun dan merangka semula kenaikan harga barang ke peringkat seterusnya,


“Mereka seolah-olah berpuasa sebelum pilihan raya. Selepas menang pilihan raya mereka beraya dan meraikan kemenangan.

“Ketika itu rakyat dilupakan. Budaya begini berterusan untuk pilihan raya akan datang jika Umno terus memerintah,” katanya. -KD

SEKARANG Najib kata, 'saya tak guna pendekatan POPULIS'


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan kerajaan pimpinannya tidak akan menggunakan pendekatan populis dalam mentadbir sebaliknya sentiasa berusaha untuk mengembangkan ekonomi negara.

Beliau berkata kerajaan perlu memastikan pendapatan negara terus bertambah dan berkembang sebelum memutuskan untuk memberi 'janji-janji manis' kepada rakyat.

"Realiti ini, saya percaya, anda semua sedar. Sebab itulah cara kita mentadbir negara mestilah cara berhemah, cara kita bukan cara populis.

"Saya boleh jadi perdana menteri yang berdiri atas platform populis, tapi dengan cara itu saya akan meranap dan merosakkan masa depan negara yang tercinta," katanya ketika merasmikan konvensyen tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ke-26 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Najib berkata untuk itu kerajaan sentiasa memastikan setiap dana yang dikeluarkan dilakukan dengan berhemah bagi memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi pendapatan negara.

Katanya kerajaan tidak mahu sehingga terpaksa meminjam daripada institusi kewangan bagi melicinkan urusan pentadbiran, termasuk membayar gaji penjawat awam, kerana ia bukan sahaja akan menjejaskan ekonomi negara, tetapi juga 'resipi' yang boleh membawa musibah besar kepada seluruh rakyat.

Justeru, kata Najib, masyarakat, khususnya penjawat awam seharusnya tidak mudah termakan dengan janji-janji mengenai penjimatan hutang negara atau penurunan harga minyak yang dijanjikan puak-puak tertentu, tanpa memperjelaskan punca kewangan yang akan digunakan untuk menampung pengurangan berkenaan.

Dalam pada itu, Najib menyeru setiap penjawat awam supaya melayan rakyat dengan baik kerana sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, tindakan yang dilakukan akan menjadi cerminan persepsi rakyat terhadap kerajaan.

"Kalau penjawat awam bekerja dengan baik, molek, beramah mesra, bersopan tapi berkesan dan tegas, maka pandangan dan tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan juga akan kian meningkat," katanya.
- Bernama


Ahli PAS Turut Terhina, Akan Berdoa Pastikan Zahid Hamidi Terima Hukuman

Syiah: Peguam Mohd Sabu beri tempoh 3 hari kepada Zahid

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini menyerahkan kepada panel peguam PAS untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan Syiah.

Beliau berkata, barisan peguam akan memfailkan saman ke atas Zahid sahaja yang juga Naib Presiden Umno, kerana pencetus fitnah ke atas dirinya.

"Saya hari ini menyerahkan kepada panel peguam untuk mengambil tindahan ke atas Zahid berhubung ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Umno yang mengaitkan saya sebagai pemimpin Syiah.

"Peguam hanya akan bertindak ke atas Zahid sahaja kerana beliau merupakan pencetus fitnah tersebut, yang bagi saya didasari niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan integriti saya," jelas beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebentar tadi. (

Beliau mengambil keputusan untuk tidak akan memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan Syiah sehinggalah perkara tersebut dibawa ke mahkamah.

Mohamad juga meminta agar panel peguam meneliti ucapan Zahid pada perhimpunan tersebut yang mana wujud penyalahgunaan kuasa sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Beliau dalam ucapanya menyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan ke atas saya.

"Saya yakin ini satu bentuk penyalahgunaan kuasa kerana semua tahu Jakim bukan terletak di bawah bidang kuasa KDN, maka atas dasar apakan KDN boleh dengan secara arbitrari memberi kuasa kepada Jakim untuk bertindak," katanya.

Beliau juga akan membuat satu laporan polis terhadap Zahid atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan berharap pihak polis dapat menjalankan tanggungjawab seadil yang mungkin.

Sementara itu, Peguam Mohamed Hanipa Maidin memberitahu pihaknya akan menghantar notis kepada Zahid seberapa segara untuk menarik balik dan memohon maaf dalam masa tiga hari.

Katanya, notis tersebut hanya ditujukan kepada Zahid dan tidak melibatkan KDN.

"Notis kita hanya tertumpu kepada Zahid saja bukan melibatkan KDN, sebab bagi kita Zahid merupakan pencetus kepada fitnah tersebut," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Sepang.

Beliau tidak mengulas tentang bukti yang dikemukakan oleh KDN dan berharap jika Zahid mahu membuktikannya perlu dibawa ke mahkamah.

"Zahid telah memfitnah dan kita harap beliau dapat buktikan apa yang beliau katakan Mat Sabu sebagai pemimpin Syiah, tunjukkan bukti, Syiah itu mengancam keselamatan negara, sila buktikan apa yang telah berlaku dan Mat Sabu sesat, kita juga mahu bukti.

"Kalau ada kenyataan mengatakan bukti gred A atau B, biar mahkamah yang menentukan bukannya mereka yang membuat kenyataan.


"Kita tidak akan menyaman KDN tetapi kita ingin bertemu Zahid di mahkamah," tegas beliau.

Beliau berkata, Zahid sebagai menteri tidak boleh menggunakan kuasa untuk mengarahkan pihak tertentu kerana setiap siasatan dilakukan melalui laporan yang dibuat bukannya secara arahan terbuka dan fitnah.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Peguam Nasar Khan Mirbas Khan dan Aminuddin Zulkifli. -HD

ULASAN GB

Mat Sabu berhak untuk mengheret Zahid Hamidi ke mahkamah kerana beliau telah difitnah. Ahi-ahli PAS berhak untuk mendoakan kemenangan Mat Sabu di dalam kes ini dan agar Zahid Hamidi menerima hukuman setimpal terhadap fitnah yang dilakukannya.

Ini kerana ahli-ahli PAS yang telah memilih Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS di muktamar yang baru lalu dan Zahid Hamidi tidak ada hak untuk mempersoalkan mengapa Mat Sabu terpilih sebagai Timbalan Presiden. Tetapi Zahid Hamidi di dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur berkata, pihaknya mengetahui bahawa pemimpin nombor dua PAS itu mengamalkan ajaran Syiah.

"Kita tak faham kenapa pilih pemimpin Syiah itu jadi orang nombor dua dalam PAS.

Dengan membuat kenyataan seperti itu Zahid melakukan dua kesalahan besar. Pertama memfitnah Mat Sabuu (orang no 2 PAS) dan kedua menghina ahli PAS yang telah memilih Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden.

Justeru itu, ahli-ahli PAS seluruh negara akan berdoa siang dan malam untuk pastikan Zahid Hamidi menerma hukuman sepertimana janji Allah:

Orang yang memfitnah orang mukmin (yang lelaki) dan mukminah (yang perempuan), kemudian mereka tidak bertaubat, bagi mereka azab jahanam dan neraka yang membakar. Al-Buruj : 10

End of the day, si pemfitnah akan tetap terhukum juga. Tidakkah mereka melihat apa yang telah terjadi ke atas papagomo yang ditimpa kehinaan sejak masih di dunia lagi akibat suka melakukan fitnah? Bukankah janji Allah itu benar? Itu sekadar satu contoh.

Dan seperti GB sudah ulas sebelum ini :

Ini jelas menunjukkan Zahid dan pegawai KDN buta undang-undang apabila di dalam perhimpunan agong UMNO 2013 dengan angkuhnya mengarahkan JAKIM untuk menahan Mat Sabu sedangkan JAKIM tiada kuasa untuk menahan sesiapa pun. Kuasa menahan seseorang di atas kesalahan syariah terletak kepada Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri.
br>Hukum kebenaran dan keadilan menetapkan "yang memfitnah dan yang angkuh itulah nanti yang bakal terhukum!"