16 Mac 2015

Batu Sapi Calonkan Husam Sebagai Presiden, Husam Kini Sah Layak Bertanding


Husam layak cabar Hadi sebagai presiden PAS

Selepas mendapat dua pencalonan, Datuk Husam Musa kini layak mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila PAS Kawasan Batu Sapi, Sabah turut mencalonkannya untuk bertanding jawatan presiden semalam.

Sabtu lepas, PAS kawasan Kota Tinggi, Johor mencalonkan naib presiden PAS itu untuk bertanding jawatan presiden dalam mesyuarat agung mereka.

"PAS Batu Sapi mencalonkan Datuk Husam Musa sebagai presiden," kata Yang Dipertua PAS Batu Sapi Hamzah Abdullah kepada The Malaysian Insider hari ini.

 "Saya mencalonkan Datuk Husam kerana yakin beliau boleh membawa PAS jauh ke depan dan boleh mendapat kepercayaan dari semua kaum dan agama di negara ini,"
kata Hamzah yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Sabah itu.

Hamzah yang sebelum ini pesuruhjaya PAS Sabah pertama juga yakin jika Husam terpilih sebagai presiden, ia akan membolehkan PAS memimpin Pakatan Rakyat (PR) dan seterusnya layak untuk menjadi calon perdana menteri.

Dalam perlembagaan PAS, untuk bertanding jawatan presiden, seseorang hanya memerlukan pencalonan minimum 2 kawasan.

Selain Husam, Hadi dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mendapat satu pencalonan selepas 4 kawasan membuat pencalonan sehingga semalam.

Hadi mendapat pencalonan daripada kawasan Shah Alam semalam manakala Tuan Ibrahim mendapat pencalonan daripada kawasan Kota Baru minggu lalu.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga naib presiden PAS menolak pencalonan itu.

Selain Husam sebagai presiden, Batu Sapi mencalonkan Mohamad Sabu mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden.

Untuk jawatan naib presiden pula, mereka mencalonkan Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Tuan Ibrahim.

Mesyuarat agung PAS Batu Sapi bersama Libaran, Beluran dan Kinabatangan dirasmikan Mohamad Sabtu lepas.

Sebelum ini, bekas Mursyidul Am PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara pemimpin PAS yang sering berkata, Husam antara pemimpin PAS yang layak menjadi calon perdana menteri.

Ia disahkan bekas setiausaha politik Nik Aziz yang pertama Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah.

"Husam adalah prime minister material," kata Wan Rahim.

PAS akan mengadakan muktamar ke-61 awal Jun depan di Kuala Selangor di mana pemilihan untuk semua jawatan utamanya akan dilakukan. – TMI


Husam paling layak ganti Hadi

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dilihat layak menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, terdapat beberapa ciri-ciri ada pada Husam yang melayakkannya sebagai Presiden Pas baharu.

“Pas adalah parti yang berbeza daripada parti lain kerana ia menitikberatkan asas keislaman. Ini kerana, ciri utama untuk menjadi Presiden Pas ialah mempunyai sifat Islamik, berkaliber dan mempunyai tokoh kepimpinan.

“Jadi, saya nampak ciri-ciri ini ada pada Husam Musa,” katanya.

Walaupun beliau bukan dikategorikan sebagai ulama, namun Husam mempunyai latar belakang agama kuat.

Katanya, beliau adalah seorang anak didik Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga orang kepercayaan Tok Guru.

“Dia mempunyai latar belakang yang jelas dan menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin dan ulama.

“Selain itu, Husam juga sudah bergerak dari bawah lagi dalam proses pengkaderan Pas,” katanya.

Azizuddin berkata, Husam adalah calon yang paling menonjol sekali dan akan mendapat sokongan peringkat akar umbi parti tersebut.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan, Hadi Awang sedia dicabar untuk jawatan presiden dalam pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-61 yang akan berlangsung Jun ini.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai cukup pencalonan berhak untuk berbuat demikian selaras dengan Fasal 25 (2) Perlembagaan Pas yang memperuntukkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden hendaklah dipilih dan dilantik dalam Muktamar Tahunan Pas pada setiap dua tahun.
-SH



Laporan sebelum ini
klik untuk baca


[VIDEO] Waspada: Milo Tiruan Timbang Kilo Di Rumah...


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan (KPDNKK), berjaya merampas produk minuman Milo tiruan dengan nilai rampasan RM250,000 dalam serbuan yang dilakukan di sebuah taman perumahan mewah di Mantin, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Saifulbahri Abdul Kadir berkata, produk tiruan itu dikesan melalui aduan orang awam yang mencurigai aktiviti tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, melalui pemeriksaan yang dilakukan bersama wakil Nestle di Taman Mulia itu, terdapat beberapa bekas berisi Milo tiruan yang belum dibungkus dalam rumah tersebut.

"Hasil pemeriksaan kita dapati terdapat sebanyak 225 bungkusan yang berisi milo tiruan disimpan di dalam sebuah bilik.

"Kita percaya bungkusan berjenama Milo itu sedia untuk dipasarkan di sekitar negeri ini dan kawasan berhampiran.

"Milo ini disahkan tiruan berdasarkan cara proses yang dilakukan adalah menyalahi proses sebenar yang dilakukan di kilang Nestle sahaja.

"Dengan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan Seksyen 8," katanya.



Shah Alam Mahu Hj.Hadi & Mat Sabu Dikekalkan


Shah Alam - Mesyuarat Agung Tahunan Pas kawasan Shah Alam di sini hari ini sebulat suara mengekalkan kesemua penyandang lima jawatan tertinggi parti itu dalam pencalonan yang akan dibawa ke Muktamar Pas ke-61, Jun depan.



Lima penyandang jawatan tertinggi itu ialah Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mohamad Sabu (Timbalan Presiden); dan tiga naib presiden iaitu Datuk Husam Musa, Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Yang Dipertua Pas Shah Alam, Azli Yusof berkata, pencalonan kelima-lima penyandang jawatan itu diputuskan atas kehendak perwakilan.

"Walaupun pada mesyuarat hari ini Abdul Hadi mendapat undi majoriti, namun ada juga perwakilan mencalonkan Ahmad Awang bagi mencabar jawatan presiden parti," katanya kepada pemberita.

Ahmad Awang pernah menjadi Naib Presiden Pas, bekas Pesuruhjaya Pas Perak, dan bekas anggota Majlis Syura Pas. - Bernama

Hadi dapat pencalonan pertama, dengan kelebihan 6 undi sahaja

Penyandang kerusi presiden itu mendapat 78 undi manakala bekas naib presiden PAS itu mendapat 72 undi pada satu proses pengundian yang dijalankan untuk pencalonan jawatan tertinggi dalam parti itu.

Pencalonan Ahmad yang sudah lama melepaskan semua jawatan dalam PAS itu disifatkan sebagai usaha mengenepikan Hadi ekoran perpecahan ketara yang sedang berlaku dalam PAS sekarang.

Sebelum ini, PAS Kota Baru mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man manakala PAS Kota Tinggi mencalonkan Datuk Husam Musa untuk jawatan itu.

PAS kawasan Parit Sulong dan Batu Sapi yang juga selesai mengadakan mesyuarat agung dipercayai akan mencalonkan nama selain Hadi sebagai presiden.

Kedua-dua kawasan itu setakat ini menyerahkan kepada ahli jawatankuasa yang baru dilantik bagi membuat pencalonan. Dalam mesyuarat tersebut, PAS kawasan Shah Alam mencalonkan Mohamad Sabu supaya dikekalkan sebagai timbalan presiden manakala Salahudin Ayub, Husam dan Tuan Ibrahim sebagai naib presiden.

Mesyuarat hari ini juga berjaya mengekalkan pimpinan peringkat kawasan sedia ada dengan Azli Yusof menang tanpa bertanding sebagai yang dipertua manakala Jamil Abdul Rahim sebagai naib yang dipertua.

Penyandang jawatan timbalan yang dipertua, Zulkefli Nani, juga menang selepas mengalahkan pencabarnya.

Terdahulu hari ini, akhbar Sinar Harian melaporkan Yang Dipertua PAS Pas Kota Baru Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yakin Ahmad yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Perak akan dicalonkan mencabar Hadi.

Rahim berkata, keyakinan itu disuarakan berikutan latar belakang bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) itu yang berpengalaman luas dalam PAS dan memiliki kriteria seorang tokoh agamawan.

Pada Isnin, PAS Kota Baru mencalonkan Tuan Ibrahim sebagai alternatif kepada Hadi tetapi pencalonan itu ditolak pada keesokan harinya oleh Tuan Ibrahim yang mengatakan beliau tidak layak untuk jawatan itu dan tiada keperluan untuk menukar presiden ketika ini.

Naib presiden itu kemudiannya pada Khamis berkata, beliau sedia bertanding jawatan timbalan presiden pada muktamar akan datang sekiranya mendapat pencalonan.

Hadi juga dilaporkan berkata, beliau bersedia dicabar pada muktamar tahunan parti ke-61 Jun depan sekiranya pertandingan itu mendapat sokongan anggota parti.

Katanya, selaras dengan Fasal 25 (2) Perlembagaan PAS, jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden hendaklah dipilih dan dilantik pada Muktamar Tahunan PAS setiap dua tahun.
-TMI