17 Mac 2015

Rafizi Bidas JPM Perguna Nama Agong Dalam Isu Beli Jet Peribari Najib


Jangan libatkan Agong dalam pembelian jet peribadi baharu Najib, kata Rafizi

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menyelar jawapan kerajaan yang mengatakan pembelian jet peribadi baharu menjimatkan kos dan mendedahkan kos pembelian jet peribadi baharu Datuk Seri Najib Razak itu bernilai RM465.4 juta.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menyelar tindakan Jabatan Perdana Menteri semalam yang mengheret nama baik Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk "menghalalkan" pembelian jet peribadi baharu itu.

"Tindakan ini tidak bertanggungjawab kerana rakyat dapat membezakan berapa kali Yang di-Pertuan Agong terlibat di dalam lawatan rasmi ke luar negara berbanding dengan perdana menteri,"
kata Rafizi yang juga naib presiden PKR pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

"Bagi tempoh 2008 hingga 2013 seperti jawapan Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming, kerajaan terpaksa membayar kos RM44 juta bagi semua lawatan ke luar negara melibatkan Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Semalam, Rafizi mendedahkan ketika rakyat berdepan dengan kenaikan harga barangan, pentadbiran Najib membeli sebuah jet peribadi baharu dengan sewenang-wenangnya.

Rafizi mendakwa, jet berkenaan ialah tambahan kepada 5 jet sedia ada yang dimiliki Putrajaya setakat ini, termasuk Boeing Business Jet.


"Pembelian sebuah lagi jet peribadi baharu yang kini di bawah pendaftaran 9H-AWK siap dicat dengan logo 1Malaysia membuktikan pentadbiran Najib terus bergelumang dengan keborosan dan pembaziran pada kala negara masih dikejutkan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi mencabar Najib memperincikan setiap perjalanan jet peribadi milik kerajaan dan siapa yang menggunakan pesawat tersebut sebagai menyokong jawapan membabitkan penggunaan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya mencabar Najib memperincikan setiap perjalanan jet peribadi milik kerajaan dan siapakah menggunakan jet peribadi termasuklah Boeing Business Jet (BBJ) dan Airbus Commercial Jetliner (ACJ 319) sedia ada.

"Berapa kali sebulan jet ini digunakan hingga jumlah jet sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditambah lagi," katanya.

Rafizi berkata, alasan menyatakan pembelian dibuat bagi menggantikan jet lama kerana terlalu berusia juga tidak diterima pakai kerana tempoh penggunaan sebuah jet komersial antara 20 hingga 25 tahun bila diselenggarakan mengikut jadual seperti amalan industri penerbangan.

"Jet BBJ yang dimiliki kerajaan Malaysia hanya berusia 16 tahun dan tidak digunakan sekerap jet komersial kerana digunakan sekali sekala bagi keperluan rasmi kerajaan.

"Saya menasihati perdana menteri berterus terang dan tidak menggunakan pegawai di Jabatan Perdana Menteri untuk mengelak daripada menjawab isu ini," katanya. – TMI


Jet peribadi baharu untuk jimatkan kos, kata blog Umno

Sejurus selepas Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendedahkan pembelian jet rasmi baharu oleh Putrajaya, blog pro Umno Mykmu.net tampil mendedahkan keputusan membeli jet peribadi itu untuk menggantikan pesawat tetamu paling kehormat (VVIP) jenis BBJ373-700NG yang berusia hampir 20 tahun dan memakan kos penyelenggaraan tinggi.

Mykmu.net yang memetik sumber kerajaan berkata, jet peribadi baharu itu bukan hanya untuk kegunaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi akan turut digunakan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan lain.

"Penggantian seperti ini amalan biasa dalam perolehan kerajaan sebab di Malaysia bukan perdana menteri sahaja VVIP, tetapi ada juga Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang layak menggunakan kemudahan pesawat rasmi kerajaan.

"Justeru dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli pembelian ini merupakan satu pembaziran kerana kerajaan mempunyai 6 buah jet tidak tepat, sebaliknya kerajaan dalam proses menggantikan pesawat lama yang uzur, " tulis Mykmu.net.

Menurut blog pro Umno itu, sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Yang di-Pertuan Agong layak mendapatkan perkhidmatan terbaik daripada segi teknologi dan keselamatan.

"Manakala soal pembelian terbaru ini melalui rundingan terus diberi kepada Jet Premier One (M) Sdn Bhd kerana syarikat itu yang mempunyai kontrak penyelenggaraan dan pengendalian pesawat kerajaan ACJ319. Ini memudahkan urusan pembelian dan pengendalian pesawat terbabit," tulis blog tersebut.

Menurut Mykmu.net, sistem tender secara terbuka tidak sesuai diguna pakai dalam pembelian jet kerana ia membabitkan ciri-ciri spesifik tertentu.

Blog itu turut menyifatkan tuduhan pembaziran Rafizi tidak berasas sekiranya setiap tahun kerajaan menukar pesawat peribadi dan sepanjang rekod pentadbiran Najib menjadi perdana menteri, inilah kali pertama beliau membuat keputusan untuk menukar jet baharu.

"Menurut sumber yang sama, pesawat lama sedang dalam proses untuk dijual, tetapi tidak semestinya untuk digunakan, tetapi sebagai sumber alat ganti, jadi sekali lagi tunjukkan di mana berlaku pembaziran," soal blog itu sambil membandingkan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang juga tidak menggunakan proses tender dalam penganugerahan projek pembinaan terowong dasar laut di negeri itu.
-TMI




PAS Bersama UMNO Restui Tindakan PDRM Tangkap Nurul Izzah?


penahanan Nurul Izzah cetus kemarahan penyokong

Penahanan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mencetuskan kemarahan ratusan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang mengadakan protes di hadapan Pusat Tahanan Reman Jinjang malam ini bagi membantah tindakan pihak berkuasa itu.

Protes tersebut yang bermula kira-kira jam 9 malam bukan sahaja dihadiri penyokong, bahkan pemimpin tertinggi PR, termasuk Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan ibu kepada Nurul Izzah.

Dr Wan Azizah berkata tindakan pihak berkuasa yang menahan anaknya tidak sesekali akan melemahkan semangatnya.

Malah beliau juga percaya dengan penindasan berterusan pihak berkuasa, akan menyemarakkan semangat juang bukan sahaja pada dirinya, tetapi juga rakyat Malaysia yang akan turut bangkit melawan ketidakadilan tersebut.

"Malam ini panas, tetapi panas bukan kerana cuaca, panas kerana Nurul Izzah," katanya berucap di hadapan Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur.

Meneruskan ucapannya, ibu kepada Nurul Izzah dan isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mempersoalkan apa salah anaknya yang hanya menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen melontarkan pendapat.

"Sebagai seorang ahli Parlimen, apa salah untuk kita menyuarakan suara? Namun inilah kekuatan kita bersama rakyat, ia lebih kuat.

"Kita akan bangun membela rakyat semua dizalimi, bukan kerana kita Cina, India, Melayu atau sebagainya, tetapi kerana kita anak Malaysia.

"Hari ini yang ditahan mungkin ialah suami, anak saya, namun kita tidak akan sesekali lemah semangat, kita akan terus lawan sehingga menang," katanya sambil disambut laungan "reformasi" oleh penyokong.

Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi merakamkan keterangan mengenai perhimpunan #KitaLawan namun ditahan mengikut Akta Hasutan kerana ucapannya di Parlimen yang dikatakan menghina institusi kehakiman.

Protes yang diadakan malam ini bertujuan mengutuk tindakan pihak polis, termasuk menuntut pelepasan N?urul Izzah serta aktivis Mandeep Sigh dan Adam Adli.

Penyokong yang hadir bukan sahaja bertindak membakar lilin di hadapan balai polis Jinjang, mereka turut menjelang sepanduk "Bebas Izzah", "Saya Nurul Izzah tangkap saya" dan "Undur Najib”.

Antara yang turut memberi ucapan dalam perhimpunan ini ialah adik kepada Nurul Izzah, Nurul Ilham, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, ayah kepada aktivis Adam Adli, Abdul Halim dan beberapa pemimpin PR seperti Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Nurul Ilham dalam ucapannya menceritakan detik-detik yang sukar untuk menerangkan kepada anak Nurul Izzah tentang keadaan ibunya.

"Semasa penahanan Nurul Izzah, makciknya (Nurul Nuha) menjaga dan membawa mereka ke balai polis, Nur Safiyah bertanya kenapa dengan mama?

"Dalam keadaan sukar, Nurul Nuha menjelaskan dengan cara Safiyah boleh faham, bahawa ibunya seorang wanita tabah," katanya di hadapan kira-kira 300 hadirin.

Samad yang pernah menjadi pengerusi bersama Bersih 2.0 berkongsi kesedihan atas nasib Anwar yang melalui penderitaan berdekad lamanya.

Bagaimanapun katanya, kerana penindasan dan ketidakadilan maka bangkit suara anak muda yang menyambung perjuangan.

"Jadi benarlah, kalau satu Nurul ditahan, maka ada empat lagi Nurul yang muncul," kata Samad.

Sementara Nurul Nuha dilihat tidak menyembunyikan emosi marahnya dengan lantang menegaskan penahanan Nurul Izzah tidak akan melemahkan semangatnya.

"Benar saya marah, bukan sahaja bapa saya ditangkap, kakak saya juga ditangkap tetapi ia tidak akan mendiamkan saya, kita akan terus berjuang menentang ketidakadilan," katanya. – TMI


Tahan Nurul Izzah memalukan, kata pemerhati hak asasi antarabangsa

Penahanan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar juga mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila sebuah kumpulan pemerhati hak asasi manusia turut mengutuk tindakan pihak berkuasa Malaysia itu.

Timbalan Pengarah ‎Human Rights Watch Asia Phil Robertson yang berpangkalan di Amerika Syarikat menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan apabila kerajaan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menggunakan Akta Hasutan bagi menjatuhkan pemimpin pembangkang.

"Penahanan Nurul Izzah menunjukkan kerajaan Malaysia seperti tidak mengenali batas dalam usaha me‎nyekat kebebasan bersuara dan jenayah dialog yang menjadi sebab kemunduran dunia.

"Perdana menteri dan kerajaannya patut berasa malu menggunakan Akta Hasutan seperti kapak untuk menjatuhkan ahli pembangkang, aktivis dan sesiapa sahaja yang lantang menyuarakan kritikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Robertson berkata, Najib harus sedar setiap tindakan menahan pembangkang‎ menggunakan Akta Hasutan umpama satu langkah ke arah penghapusan hak demokrasi di negara ini sekali gus dianggap sebagai satu kempen penderaan sehingga bila-bila.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Nurul Izzah serta tahanan aktivis lain termasuk Adam Adli dan Mandeep Singh yang ditahan di Pusat Tahanan Reman Jinjang pukul 9 malam ini.

"Penahanan kerana kenyataan yang hanya dibuat beliau di dalam Parlimen dalam kapasiti beliau selaku ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat amatlah dikesali.

"Penahanan yang boleh dilanjutkan sehingga tempoh 7 hari ini hanyalah suatu bentuk intimidasi pihak kerajaan untuk mengekang kebebasan bersuara dan membantutkan agenda reformasi di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, penahanan Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR turut dikutuk DAP yang mempersoalkan kewajaran ‎tindakan pihak berkuasa itu.

Setiausaha DAP Lim Guan Eng berkata tindakan itu jelas merupakan salah satu lagi perbuatan salah guna kuasa pihak polis.

‎Lim turut menuntut polis melepaskan anak sulung kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri An‎war Ibrahim itu dan membandingkan layanan berbeza pihak berkuasa ketika isu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Ketika Ismail Sabri mahu disoal siasat oleh pihak polis, tidak pula menteri Umno itu ditahan reman semalaman oleh mereka. Malah pihak polis pula menyatakan Ismail seorang yang ‘sibuk’ dan tidak mempunyai masa untuk disiasat.

"Tetapi kini ketika Dewan Rakyat sedang bersidang, pihak polis bertindak menangkap Nurul Izzah, seorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, untuk disiasat di bawah Akta Hasutan ekoran apa yang diucapkannya di dalam dewan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah sepatutnya hadir ke balai polis hari ini untuk dirakam keterangan berhubung perhimpunan #KitaLawan‎, bagaimanapun menurut peguamnya, beliau ditahan kerana ucapannya di Parlimen pada minggu lalu.

Minggu lalu, bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Noordin membuat laporan polis terhadap Nurul Izzah kerana dikatakan menghina institusi kehakiman dalam ucapannya di Dewan Rakyat.

Lim menegaskan DAP akan bersolidariti dan menyokong Nurul Izzah sambil mendesak Putrajaya untuk berhenti menggunakan pihak polis sebagai budak suruhan yang menahan, mengganggu dan memangsakan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
-TMI







ULASAN GB

Di ketika seluruh rakyat Malaysia mengutuk penangkapan dan penahanan Nurul Izzah, nampaknya ada juga beberapa pihak yang "berdiam diri" seolah-olah "menyokong" penahanan tersebut.

Kita amat memmmahami dengan sikap UMNO kerana mereka jelas sekoelompok rakya yang kejam dan zalim, kerana pihak PDRM memang sentiasa cepat dan tangkas untuk bertindak ke atas pimpinan Pakatan Rakyat tetapi tidak akan melakukan perkara yang sama ke atas pemimpin-pemimpin UMNO.

TETAPI anehnya, sejak semalam, GB tertanya-tanya dimana kenyataan-kenyataan pemimpin tertinggi PAS terhadap isu ini. Apakah mereka turut merestui tindakan PDRM menahan Nurul Izzah? Apakah PAS bergandingan tangan dengan UMNO supaya pemimpin-pemimpin PR ditangkap dan ditahan? Yang ada cuma secebis laporan Harakahdaily yang memetik kenyataan bantahan Sdra Lim Kit Siang.

Mana suara Presiden? Mana kenyataan Setiausaha Agong? Ketiadaan suara dan kenyataan bantahan dari kedua-dua pemimpin tertinggi PAS ini memberi persepsi umum bahawa mereka sudah bersama UMNO untuk menghalalkan semua tindakan polis terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan.

Kita bukan berburuk sangka. Tetapi banyak isu sebelum ini seolah-olah Presiden, SUA dan ulama-ulama PAS bersama dengan UMNO tetapi tidak dengan Pakatan Rakyat seperti isu pilihanraya PBT dimana Haji Hadi dan Mustafa Ali menentang pilihanray PBT kerana kononnya akan mewujudkan 13 Mei - satu alasan yang benar-benar sama dengan UMNO. Begitu juga dengan isu persempadanan semula SPR, Presiden PAS pernah mengumumkan PAS bersetuju dengan tindakan SPR tersebut walaupun Pakatan menentangnya. Dalam hal-hal tersebut, pendiriannya sama dengan pendirian UMNO.

Sungguh mengecewakan. Jika demikian pasifnya Presiden PAS terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama Pakatan Rakyat, sudah sewajarnya para muktamirin tahun ini menukarkan Presiden PAS kepada orang lain.

"BARUA" Terus Menimpa Haji Hadi... PAS Batu Bermufarakah!


PAS Batu berpisah daripada kepimpinan pusat, kecewa dengan Hadi

Ahli jawatankuasa PAS kawasan Batu mengumumkan untuk bermufarakah (berpisah) dengan kepimpinan pusat selepas presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat gagal menyelesaikan isu berbangkit di dalam parti.

Yang Dipertua Kawasan Batu Ishak Surin berkata, keputusan bermufarakah itu diambil selepas disepakati 17 daripada 25 ahli jawatankuasa kawasan itu untuk meninggalkan jawatan mereka dalam parti.

"Kami di antara pemegang jawatan dalam PAS kawasan Batu maka dengan ini mengisytiharkan mengambil tindakan bermufarakah daripada kepimpinan PAS yang ada sekarang dan juga bermufarakah daripada memimpin PAS kawasan Batu sehinggalah kepimpinan PAS positif kepada realiti politik sebenar, stabil dan ikatan ukhwah kembali segar sesama ahli dan rakan Pakatan Rakyat (PR).

"Kami mengadakan sidang media hari ini bertujuan menyatakan rasa kecewa, sedih dan kesal terhadap kepimpinan PAS Pusat khususnya Hadi yang gagal bertindak menangani isu dalaman sehingga tercetusnya krisis berlarutan dalam parti," katanya.

Ishak berkata demikian dalam satu sidang media yang dihadiri ahli jawatankuasa PAS Batu di Markas Tarbiah di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, krisis semasa PAS kini merupakan yang terburuk sejak kepimpinan ulama diperkenalkan pada 1982 iaitu selepas presiden PAS ketika itu Datuk Mohd Asri Muda dijatuhkan 30 tahun lalu.

Katanya, melalui tindakan mufarakah itu diharapkan Hadi selepas ini dapat menjadi tokoh pendamai meredakan krisis dalam dengan kata-kata nasihat, kenyataan tegas dan amanat kepada semua pihak di dalam parti.

"Kami berharap presiden dapat membetulkan keadaan apabila budaya melabel, menggelar dan menuduh dalam kalangan pimpinan PAS serta ahli dengan label buruk seperti munafik harki, syaitan, babi, iblis tua, kafir, liberal, komunis, jebon dan lain-lain.

"Tetapi kami lagi kecewa apabila presiden sendiri turut melabelkan ahli parti sebagai barua dan broker. Budaya ini ada yang dilakukan secara rasmi dalam pelbagai program parti seperti Liqa Fikri, Hiwar Siasi termasuklah Muktamar PAS ke-60 lalu.


Ishak berkata, selepas pengumuman berkenaan juga diharapkan Hadi dapat mengukuhkan hubungan tahaluf siasi dengan PR kerana dalam banyak perkara PAS dilihat menjadi pemain tegar mengeruhkan keadaan.

Katanya, mutakhir ini sebahagian pemimpin PAS menyerang PKR dan DAP serta pemimpinnya secara peribadi tanpa rasa silu dan tidak langsung menyerang Umno dan pimpinannya.

"Malah isu rakyat seperti GST, kenaikan harga barang, kemiskinan, gejala sosial, penyelewengan dan lain-lain terbiar begitu saja. Seolah-olah berdasarkan senario ini Pakatan retak menunggu belah.

"Kami sangat mahukan pencerahan daripada presiden mengenai pelbagai dakwaan mengenai kerajaan perpaduan seperti yang dibangkitkan bekas presiden PAS Nasharuddin Mat Isa mengakui isu kerjasama dengan Umno sebenarnya sejak 2008 dan diputuskan Majlis Syura Ulama," katanya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin pada minggu lalu berkata sikap pihak tertentu yang terus mencanangkan kesempurnaan Hadi tanpa mendedahkan kelemahan presiden PAS itu hanya akan membawa kerosakan kepada parti.

Katanya, pimpinan juga perlu berani menyatakan masalah yang sedang dihadapi parti bagi membolehkan ia diselesaikan.

“Saya sering tegur dalam mesyuarat, mereka yang rosakkan presiden PAS ialah mereka yang menyokong presiden bawa rebah.

“Mereka tidak mahu menyatakan presiden ada kelemahan, berasakan presiden semuanya sempurna. Inilah golongan yang merosakkan PAS. Dia tahu presiden lemah tetapi tak menyuarakannya," katanya.

Hadi semalam mendapat pencalonan pertama untuk jawatan presiden PAS apabila berjaya mengalahkan Ahmad Awang dalam mesyuarat agung kawasan Shah Alam.

Penyandang kerusi presiden itu mendapat 78 undi manakala bekas naib presiden PAS itu mendapat 72 undi pada satu proses pengundian yang dijalankan untuk pencalonan jawatan tertinggi dalam parti itu.

Pencalonan Ahmad yang sudah lama melepaskan semua jawatan dalam PAS itu disifatkan sebagai usaha mengenepikan Hadi ekoran perpecahan ketara yang sedang berlaku dalam PAS sekarang.

Sebelum ini, PAS Kota Bharu mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man manakala PAS Kota Tinggi mencalonkan Datuk Husam Musa untuk jawatan itu.

PAS kawasan Parit Sulong dan Batu Sapi yang juga selesai mengadakan mesyuarat agung dipercayai akan mencalonkan nama selain Hadi sebagai presiden.

Kedua-dua kawasan itu setakat ini menyerahkan kepada ahli jawatankuasa yang baharu dilantik bagi membuat pencalonan. Dalam mesyuarat tersebut, PAS kawasan Shah Alam mencalonkan Mohamad Sabu supaya dikekalkan sebagai timbalan presiden manakala Salahudin Ayub, Husam dan Tuan Ibrahim sebagai naib presiden. – TMI.

ULASAN GB

Besar bahana perkataan BARUA yang diucapkan oleh Haji Hadi di muktamar tahun lepas. Satu demi satu "barua" menimpanya. GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Hukum kebenaran dan keadian akan berjalan. Tutur yang baik akan menerima hal yang baik sementara turtur yang buruk akan menerima hal yang buruk kepada si penuturnya.

Nabi berpesan "Kullu Kalam Addua" - setiap ucapan itu adalah DOA.

Apabila anda mengungkapkan perkataan BARUA, apatah lagi terhadap ahli jemaah sendiri dan yang dituduh itu bukan Barua di sisi Tuhan, maka sebenarnya perkataan itu akan kembali kepada diri anda sendiri. Sama dengan kes Najib dengan perkataan HARAMJADAHnya dulu yang ditujukan kepada peneroka FELDA... akhirnya apa jadi? Najib yang ditimpa HARAMJADAH berkali-kali. Saham FGV merudum, Najib dinobatkan PM Kangkong, MH370 hilang, MH17 ditembak dan banyak lagi...

Presiden PAS juga pernah menuturkan BARUA di dalam Muktamar yang lalu. Lalu apa jadi? BARUA menimpanya - beliau diheret ke kandang orang salah di dalam satu kes saman fitnah pil kuda dan walaupun beliau bebas dari tuduhan itu tetapi Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan "kata-kata yang disebut Abdul Hadi dalam ucapannya pada malam berkenaan adalah sebagai kata-kata yang berunsur fitnah". Dengan automatik jatuh maruahnya kerana telah diisytiharkan "seorang yang mengeluarkan perkataan yang berunsur fitnah". Itulah hukum kebenaran dan keadilan yang berjalan... BARUA menimpa sipenuturnya.

Begitulah juga dengan penutur-penutur JEBON, MUNAFIK HARAKI, SYAITAN, BABI dan sebagainya.... usah bimbang ia akan kembali menimpa si penuturnya... kerana demikianlah hukum kebenaran dan keadilan (sunatullah) berjalan .. dan Allah berjanji sunnatullah itu tidak berubah ...

Sebagai suatu sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.
[QS. AL FATH 48:23]

p/s nak maki GB, makilah... kalau nak test samada makian itu berbalik atau tidak kepada diri sendiri...

Kepada kumpulan pro-ulama, teruskan mencaci dan memaki. Kita sama-sama akan melihat bahana dari cacian dan makian itu menimpa tidak lain kepada kumpulan mereka sendiri.

Jangan sampai kata tidak ada orang yang menegur. GB sudah lama dan banyak kali menegur, tetapi tidak diindahkan.