14 Apr 2015

Jika Sedia Bertanding Timb Presiden, Mengapa Tidak Untuk Parlimen Rompin?


PAS akar umbi mahu Tuan Ibrahim calon Rompin, kata akhbar

Ahli PAS di peringkat akar umbi menyifatkan Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man calon paling layak memberi saingan hebat kepada Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Rompin, lapor Sinar Harian.

Ahli PAS Muadzam Shah Sofet Abdul Halim berkata, bagi PRK Rompin yang dijadualkan 5 Mei ini, akar umbi parti Islam itu tidak melihat soal pemilihan calon yang mengutamakan anak tempatan.

Namun, katanya, keputusan PRK itu nanti bergantung kepada kekuatan calon tersebut.

"Calon paling tepat Tuan Ibrahim," katanya merujuk naib presiden PAS itu.

"Jika tidak boleh, biar pemimpin pusat yang bertanding, seperti Salahuddin Ayub atau Dr Mohd Hatta Ramli.

"Kalau hendak berlawan bertinju biarlah berlawan dengan orang yang mahir bertinju, jika tidak siap sedia usung keluar gelanggang sahaja," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Sementara itu yang dipertua PAS Rompin Nazri Ahma‎d berkata, sebelum Januari lalu, kepimpinan kawasan memberi 2 nama kepada PAS negeri sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, 2 nama berkenaan membabitkan tokoh yang dikenali masyarakat setempat.

"Kemungkinan ia (nama calon) akan bertambah atau berkurang setelah diteliti kepimpinan negeri sebelum dibawa ke pusat," katanya.

Nazri pada masa sama menolak khabar angin mengatakan ‎beliau akan menjadi calon walaupun ada yang mencadangkan namanya, mengatakan beliau belum bersedia dan mahukan calon yang kuat membolehkan PAS beroleh kemenangan.

Beliau percaya terdapat beberapa isu nasional yang bakal mempengaruhi undi yang boleh memberi kelebihan kepada ‎PAS.

Antaranya, beliau berkata, membabitkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan isu kenaikan harga barang.

"Saya harap masyarakat tidak terbuai atau terleka sebaliknya memberi undi kepada PAS sebagai simbolik membantah isu yang membebankan rakyat.

"Populasi penduduk tanah rancangan Felda juga agak besar di sini yang melibatkan 17 kawasan kesemuanya. Isu kejatuhan saham FGV dan harga sawit rendah turut boleh mempengaruhi undi para peneroka," katanya.

Manakala, Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat semalam memutuskan akan mengumumkan calon mereka pada 20 April ini.

Menurut Sinar Harian, mesyuarat tersebut memutuskan Tuan Ibrahim sebagai pengarah jawatankuasa parti bagi PRK tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS memutuskan bertanding di Parlimen Rompin kerana ia merupakan kerusi tradisi parti Islam itu.

Selain itu katanya, PAS juga bersetuju membantu calon PKR dalam PRK Permatang Pauh walau siapa pun yang akan dinamakan.

"Kita juga akan meletakkan jentera bagi membantu PKR di PRK Permatang Pauh diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu," katanya. –TMI

ULASAN GB

Tuan Ibrahim perlu menunjukkan kejantanannya untuk bertanding di Parlimen Rompin.

Beliau sudah mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS untuk melawan Mohamad Sabu semenjak belum mendapat sebarang pencalonan lagi.

Dan hasil dari kerja-kerja golongan pro-UG yang berjaya mencalarkan imej-imej kumpulan progresif dalam PAS, kini beliau telah memperolehi pencalonan terbanyak untuk jawatan Timbalan Presiden PAS. Maka berjalanlah hukum kebenaran dan keadilan, justeru, Allah membuka ruang untuk beliau betul-betul tunjukkan keberanian dan kejantanan dengan kekosongan sebuah kerusi parlimen di Pahang iaitu di Rompin.

TITM sewajarnya menggunakan ruang itu untuk membuktikan bahawa beliau bukan sahaja pemimpin parti tetapi pemimpin untuk semua - sekurang-kurangnya untuk masyarakat Rompin, sebuah parlimen di negeri yang beliau menjadi Pesuruhjayanya.

Apakah TITM dan sekalian yang bergelar ulama hanya mahu bertanding di kerusi-kerusi yang selamat?

Jangan nanti ditempelak orang hanya bertaring di gelanggang sendiri tetapi bacul dan menggelupor di tengah padang....

Ahmad Awang Bantah Haji Hadi: Kemelut PAS Bukan Perkara Kecil


Kemelut dalam PAS bukan perkara kecil, Ahmad Awang bantah Hadi

Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang menyifatkan masalah yang sedang melanda parti itu sangat teruk, tidak kecil seperti dakwaan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jika dibiarkan berterusan, parti boleh hancur, kata Ahmad yang merupakan salah seorang calon yang layak bertanding kerusi presiden pada pemilihan parti yang akan datang Jun ini.

"Presiden kata ia perkara kecil. Apa yang ada sekarang ini bagi saya sangat teruk, dan jika terus dibiarkan, ia boleh menghancurkan parti," kata ahli Majlis Syura Ulama itu.

Beliau berkata, badan tertinggi parti Islam itu juga mahu pimpinan parti tidak membiarkan apa yang berlaku begitu sahaja, tetapi perlu menghentikannya segera.

"Jika ini caranya dan dibiarkan oleh parti, ini bukan saja tidak demokratik tetapi bercanggah dengan prinsip perjuangan PAS,"
kata Ahmad yang kini turut menjadi mangsa “permainan politik” yang berlaku dalam parti itu sekarang.

Beliau yang juga bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia itu mendakwa, pihak tertentu sudah mula mengenakan tekanan kepadanya, termasuk menghentikan kuliah beliau di masjid.

Ia dibuat ekoran tulisan beliau yang didakwa mengkritik cara kumpulan ulama dalam parti itu berkempen dan juga ekoran pencalonan yang beliau terima untuk bertanding jawatan presiden PAS.

"Setiausaha sebuah masjid menghantar SMS meminta saya menghentikan kuliah, selepas dinasihatkan Jawatankuasa Harian PAS kawasan, meminta saya direhatkan dari mengajar di masjidnya," kata Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Ahmad yang sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan itu berkata, jika beliau memutuskan untuk bertanding, PAS perlu pastikan amalan demokrasi diamalkan dengan baik.

Beliau juga mengkritik sikap Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang baru dilantik, yang membuat kenyataan terbuka agar Hadi dikekalkan sebagai presiden.

"Ia tidak wajar dilakukan. Ia satu penyalahgunaan kuasa. Kerana kedudukan dia itu ada pengaruhnya,"
kata Ahmad yang turut kesal dengan kenyataan beberapa pesuruhjaya negeri yang seolah-olah memaksa PAS kawasannya menyokong calon tertentu.

"Bertanding bukan bermakna kita berseteru. Tetapi sekarang, seolah-olah kita mahu berseteru dengan rakan yang kita tandingi," katanya.

Beliau juga kesal dengan serangan ke atas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dibuat melalui baju-T yang dijual di Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran Dewan Ulama PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur, Sabtu lepas.


Dalam himpunan itu, seorang penjual menjual baju yang tertulis "Yes to Hudud, No to Mat Sabu" di sebuah gerai di himpunan itu.

"Mungkin pihak penganjur boleh kata mereka tidak tahu. Tetapi sekarang mereka sudah tahu, tindakan perlu diambil oleh mereka.”

Ahmad melepasi syarat minima 2 pencalonan pada Sabtu apabila mendapat pencalonan untuk bertanding kerusi presiden parti Islam itu dari Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan Jelebu, Negeri Sembilan selepas mendapat pencalonan dari Parit Sulong sebelum ini.

Selain beliau, Datuk Husam Musa juga layak bertanding selepas mendapat pencalonan 8 kawasan di seluruh negara. Pada Sabtu, beliau menerima satu lagi pencalonan iaitu dari Tanjung Piai, Johor.

Menjelang muktamar PAS ke-61 Jun ini, Hadi mendapat cabaran getir sejak hari pertama apabila kawasan yang pertama mengadakan mesyuarat, iaitu Kota Baru, Kelantan, tidak menamakan beliau sebaliknya mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden.

Namun, Tuan Ibrahim menolaknya, menyebabkan pencalonan beliau kekal satu dan tidak berubah sehingga kini. Setakat ini, 22 kawasan mencalonkan Hadi mengekalkan jawatan presiden.

Parti itu dilanda krisis dalaman akibat perbezaan pendapat antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) – PAS, DAP dan PKR.

Antaranya ialah langkah PKR menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang yang berkaitan.

Kemelut itu berpanjangan apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai calon untuk jawatan menteri besar, tetapi tidak dipersetujui PAS, terutamanya Hadi, walaupun PKR dan DAP setuju hanya satu nama harus dikemukakan kepada Sultan Selangor.

Keadaan menjadi bertambah buruk dengan keputusan PAS Kelantan meminda Enakmen Jenayah Syariah II negeri itu, dalam usaha membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan, disusuli tindakan Hadi membelakangkan PR dengan memohon membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965.

Tahun lepas, akibat keadaan yang tidak stabil dalam PAS itu, beberapa ahli parti Islam itu memutuskan menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) bertujuan mengukuhkan hubungan dalam pakatan pembangkang. -TMI

Pertelingkahan dalam PAS ‘sangat kecil’, kata Hadi

Perbalahan yang berlaku dalam PAS ketika ini 'terlalu kecil', kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sambil memberi jaminan parti itu masih teguh dan akan kekal untuk terus maju.

Presiden PAS itu berkata, parti itu pernah berdepan krisis yang lebih besar, termasuk tindakan kepimpinan tertingginya meninggalkan parti sekitar 1950-an dan 1960-an, namun PAS tetap tidak terjejas.

"Apa yang digembar-gemburkan media hari ini, kecil sangat.

"Masalah dalaman parti tidak jadi masalah, pada 1950-an, pernah berlaku. PAS tidak mati. Tahun 1960-an, berlaku krisis, beberapa kepimpinan PAS keluar parti, PAS tidak mati, terus mara ke depan," katanya.

Belau berkata demikian pada program dialog Nadwah Fiqh Ikhtilaf di Shah Alam, hari ini, yang dihadiri lebih 300 peserta.

Beberapa insiden melanda PAS sejak krisis dalam Pakatan Rakyat (PR) tercetus apabila terdapat beberapa percanggahan dan pertelingkahan antara parti itu dengan rakan sekutu mereka, DAP dan PKR.

Antara isu yang menjadi perhatian ialah tindakan PKR menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor melibatkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, yang dikatakan tidak dipersetujui PAS.

Krisis berkenaan turut berpanjangan apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ingin dilantik sebagai menteri besar dan PAS sekali lagi membantah meskipun DAP dan PKR bersetuju menghantar satu nama kepada Sultan Selangor.

Krisis antara PAS dan rakan dalam PR berterusan apabila PAS Kelantan memutuskan ingin melaksanakan pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah II negeri itu, yang membolehkan undang-undang Islam dilaksanakan.

Susulan beberapa insiden, segelintir pemimpin PAS menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan PR.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi sebelum ini dilaporkan berkata, penubuhan badan bukan kerajaan itu bukan untuk menggantikan PAS sebaliknya untuk pengukuhan PR.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS bagaimanapun melahirkan rasa tidak senang dengan PasMa.

Susulan kritikan dan kecaman beberapa pihak, Phahrolrazi melepaskan jawatannya di dalam PAS bagi membolehkan beliau bergerak bersama PasMa tanpa sebarang gangguan.

Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat juga mengeluarkan arahan agar kepimpinan PAS tidak terlibat dengan sebarang aktiviti PasMa.
-TMI


ULASAN GB

Jika dulu hanya UMNO saja sekat ulama PAS dari mengajar di masjid. Kini orang PAS sendiri halang ulama PAS beri kuliah di masjid.

"Setiausaha sebuah masjid menghantar SMS meminta saya menghentikan kuliah, selepas dinasihatkan Jawatankuasa Harian PAS kawasan, meminta saya direhatkan dari mengajar di masjidnya,"

Semakin teruk dah perangai dan sikap golongan pro-ulama dalam PAS. Tapi dibiarkan oleh pimpinan tertinggi PAS. Kerana tindakan-tindakan kumpulan itu dilihat memberikan keuntungan kepada golongan ulama walaupun dengan kaedah yang tidak Islamik.

Mat Sabu Ketuai Jentera PAS Di Permatang Pauh, TITM Di Rompin


Mat Sabu ketuai jentera PAS di Permatang Pauh

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan mengetuai jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Manakala Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengetuai jentera PRK Rompin 5 Mei, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Ditanya sama ada PAS akan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon di Permatang Pauh, Mohamad (kanan) menjawab:

“Siapa sahaja calon dalam PRK kita akan bantu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Katanya lagi, beliau yakin PKR akan memenangi di Permatang Pauh dan akan berusaha untuk menambah jumlah majoriti.

Mohamad menambah, PAS negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan sebahagian Kelantan akan membantunya berkempen di Permatang Pauh.

Sementara itu, Tuan Ibrahim pula berkata PAS sudah memulakan kempen di Rompin dan akan dibantu PAS negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan dan sebahagian negeri Kelantan.

Katanya, walaupun PAS kalah dengan majoriti kira-kira 15,000 undi pada PRU lalu, pihaknya tetap akan bertanding, sekurang-kurangnya bagi menyedarkan rakyat mengenai isu-isu semasa.

“Ya, mungkin orang lihat majoriti 15,000 ni terlalu sukar, dalam PRK tidak ada benda yang mustahil.

“Kita hadapi pilihan raya bukan sebab (mahu) menang (saja) tapi soal rakyat, (mereka) perlu dapat penjelasan isu semasa yang berlaku.

“Pilihan raya kecil ini peluang terbaik untuk rakyat perlu lebih terbuka soal isu demokrasi,” katanya.

ULASAN GB

Dua-dua calon Timbalan Presiden. Masing-masing akan berpeluang untuk tunjukkan yang terbaik sebagai Ketua Jentera PAS di dalam PRK nanti.

Berkebetulan pula Mohamad Sabu orang utara dan TITM orang Pahang. Alangkah bagusnya jika kerusi di Permatang Pauh diberikan kepada PAS dan memberi laluan kepada Mohamad Sabu untuk bertanding di situ. Dan TITM bertanding di Rompin. Tetapi oleh kerana PAS menghormati bahawa kerusi Permatang Pauh itu kerusi PKR maka PAS tidak meletakkan calonnya. Kecualilah jika ada "watikah" dari antah berantah yang meletakkan orang PAS sebagai calon Bebas di situ untuk mengalahkan calon Pakatan Rakyat. Macam-macam boleh berlaku di saat Pakatan Rakyat sedang menghadapi kemelut kini. Ia bergantung kepada "kejujuran" sepertimana yang ditekankan oleh salah seorang bakal calon Presiden iaitu Ustaz Ahmad Awang. Pakatan Rakyat musnah apabila tiada kejujuran di dalam persepakatan itu. GB tambah: Tanpa kejujuran lebih baik duduk sendirian dalam hutan, jangan duduk bersama kawan.

Tetapi menyedihkan di Rompin apabila ada terdapat pemimpin PAS yang awal-awal menyatakan bahawa "kita bertanding dalam pilihanraya ini bukan untuk menang. Tetapi ini adalah peluang terbaik bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan terbuka dalam sistem demokrasi kita. Soal menang kalah tidak penting, Ini ruang yang kita ada, kita harus gunakan."...

Jika bukan untuk menang baik tak usah bertanding. Buang karan, buang masa, buang tenaga dan buang sumber. Di dalam seseuatu perjuangan MESTI ADA cita-cita dan hasrat untuk mencapai kemenangan, malah menang dengan cemerlang. Dengan itu baru ada usaha yang kental dan barulah tercapai apa yang dicita-citakan. Bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan ... disitulah letaknya keredhaan Allah kerana telah termaktub di dalam sebuah hadith qudsi bahawa "Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan ia lakukan dengan bersungguh-sungguh dan dengan sebaik-baiknya."

Nampaknya dua calon Timbalan presiden kini berpeluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing supaya ianya nanti dapat dinilai oleh para perwakilan muktamar semasa pemilihan.