24 Apr 2015

Golongan Progresif PAS Dipinggirkan Untuk Menangkan Agenda UMNO


Percaturan menghancurkan PAS Oleh Mujahid Yusof Rawa

Suasana sukar yang dilalui oleh PAS hari ini adalah merupakan antara ujian paling getir yang pernah dilaluinya. Suasana PAS dalam keadaan sekarang tidak meninggalkan kita banyak pilihan ia hanya dua iaitu antara PAS undur ke belakang atau PAS maju ke hadapan.

Pencapaian PAS tidak pernah difikirkan oleh pemimpin PAS sebelum ini apabila dengan izin Allah adanya Pakatan Rakyat telah membolehkan PAS berada pada tahapnya hari ini. Di Pulau Pinang walaupun berbekalkan hanya satu kerusi PAS dapat berperanan sebagai kerajaan berbanding dengan Johor yang ada empat kerusi PAS namun peranannya adalah sebagai pembangkang sahaja.

Pencapaian PAS dalam memecahkan tembok perkauman dipermudahkan dengan adanya PR di mana telah terbukti di tempat yang kerusi campuran PAS berjaya menembusi dengan sokongan pengundi Cina dan India. Sentimen pengundi Cina dan India banyak dipengaruhi oleh asakan PR dan manisfesto yang dibawa. PAS telah berjaya memanfaatkan sokongan ini apabila ia bersama PR dan berjaya mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.

Umno Kecewa

Perkembangan dan pencapaian PAS sangat menyakiti Umno, sebab itulah sejak pasca 2008 lagi, Umno cuba melemahkan kebangkitan PAS. Taktik Umno menggunakan umpan “perpaduan Melayu” bagi melemahkan kemaraan PAS. Usaha sejak 2008 tanpa henti kononnya Melayu perlu bersatu-padu dan mengharapkan PAS dan Umno dapat melakukannya. Digerakkan slogan palsu ini bukan kerana Melayu perlu bersatu tetapi supaya PAS menjadi lemah dan memecahbelahkan kekuatan PR.

Slogan “perpaduan Melayu” naik satu tahap lagi dengan mempertaruhkan Islam sebagai umpan untuk PAS. Maka bermulalah episod isu Islam untuk menggoda PAS supaya PAS dipisahkan dari PR. Mereka membawa isu sentimen Islam dengan mempromosikan PKR sebagai liberal Islamnya manakala DAP adalah anti-Islam.

Serangan media ini bermula sejak 2008 hingga kini namun PAS tidak berganjak menyatakan komitmen kepada PR. Isu perpaduan Melayu dan Islam hanyalah usaha untuk melemahkan kemaraan PAS dan tanda kekecewaan Umno, tidak lebih dan tidak kurang.

Usaha Pecahkan Saf PAS

Salah satu taktik Umno melemahkan PAS ialah menyokong dari dalam PAS mereka yang sedia mengambil jalur keras untuk membawa Islam. Hujah yang selama ini dibawa oleh ISMA dan PERKASA sudah menyusup dalam PAS kononnya untuk memelihara dasar parti, PR tidak menguntungkan Islam dan mara ke Putrajaya hanya untuk memenuhi kehendak Anwar dan PAS menjadi kuda tunggangan DAP.

Begitu juga isu keputusan Tahaluf Siyasi PAS dituntut beberapa kali oleh Multaqa Ulama PAS untuk dibuat penilaian semula walaupun PAS berpegang dengan tahalufnya.

Percaturan kali ini bukan aturan dan aturcara yang ditetapkan oleh PAS dalam mencari penyelesaian. Kalau hendak dikatakan PAS tidak pernah berkonflik itu satu pembohongan tetapi PAS ada caranya sendiri, namun kali ini ‘orang luar’ yang mencaturkan PAS dan penyelesaiannya adalah mengikut skrip yang tamat ceritanya ialah “lemahkan PAS dan kemudian hancurkannya!”

Membentuk Kelompok

Walaupun selama ini isu kelompok memang tidak dapat dielakkan dalam PAS tetapi ia hanya perbezaan pendapat yang masih di bawah kawalan. Namun semenjak kebelakangan ini usaha memecahkan lebih berstruktur dan canggih.

Taktik musuh PAS cuba membahagikan dua kelompok antara yang mempertahankan keberlangsungan PR yang mereka gelar “Anwarinas” dan kelompok yang kononnya mempertahankan dasar PAS iaitu “ulama”. Umno tahu selagi kelompok yang mahu melihat PAS maju ke hadapan melalui PR menguasai parti maka amat sukar strategi Umno melemahkan PAS dari dalam.

Taktik pecah seterusnya ialah menanamkan kebencian kepada kelompok yang mahu bersama PR dengan tohmahan dan fitnah seolah kelompok ini lebih pentingkan kuasa dan sedia menggadaikan perjuangan PAS demi bersama PR.

Kelompok ini difitnah sebagai mengamal Islam liberal, tunduk kepada Lim Guan Eng dan menjadi barua kepada parti lain malah hilang wala’ kepada parti. Taktik ini berjaya didoktrinkan sehingga perpecahan dalam PAS bukan lagi perbezaan pendapat biasa tetapi perpecahan yang menguntungkan strategi musuh yang sudah merekrut unsur dalam PAS sendiri.

Alat paling berkesan ialah sosial media yang menjadi rujukan utama doktrin pemisahan kelompok oleh musuh. Anasir dalam PAS digunakan untuk mengapikan lagi kebencian sehinggakan tidak ada lagi perasaan hormat menghormati malah ramai yang menjadi mangsa doktrin ini tanpa disedari.

Grand Design dan End Game

Trend memisahkan kelompok dalam PAS ini sejak 2008 adalah untuk membina momentum bagi MAT (Mesyuarat Agung Tahunan) parti di mana ia adalah usaha penghapusan satu kelompok dalam PAS untuk membuka jalan supaya PAS akan lebih mesra Umno dan seterusnya meninggalkan PR.

Ini adalah “Grand Design” dan “End Game” yang ingin dicapai oleh elemen Umno dalam PAS. Para konspirator melontarkan isu hudud, isu persempadanan semula dan isu anti Islam sebagai umpan menarik PAS lebih jauh ke dalam perangkap jahat mereka.

Pencapaian objektif strategi mereka ialah pecahkan PAS supaya PAS tiada lagi dalam PR dan kerana itu lebih mudah untuk Umno menguasai PAS dan sekaligus melemahkan PAS yang sudah jauh ke hadapan kini.

Seruan Saya

Mari kita secara jujur dan ikhlas serta dengan mendapat petunjuk Allah untuk berfikir sejenak kegilaan apakah yang telah menimpa PAS hari ini. Ulama, wala’ dan dasar parti cuba dipertaruhkan bagi tujuan kelompok kecil yang bekerja untuk tuan-tuan besar di luar PAS yang mahu melihat PAS lemah dan kemuncaknya hancur.

Ketahuilah bahawa ia bukan soal ada “Anwarinas”, “liberal”, “anti hudud” atau “broker dan barua” dalam PAS seperti yang cuba dimomok-momokkan, ia adalah tentang satu konspirasi jahat dan para konspirator ada di kalangan ahli PAS dan pimpinan PAS sendiri di semua sektor parti. Tentera setia mereka ialah di kalangan facebookers hantu, bloggers upahan dan pengadu domba yang cap jarinya menyertai PAS belum pun kering lagi.

Pesan saya, jaga dan selamatkanlah PAS daripada para konspirator dan PAS pada saat ini memerlukan kepimpinan yang tegas dan kembali kepada landasan perjuangan yang betul, berhemah dan berperinsip.

Lebih utama PAS memerlukan ahlinya yang bijak membaca gerak geri para konspirator, umpama pepatah, “sekilas ikan di air sudah ku tahu jantan betina”.


MAZLAN ALIMAN MENULIS MENGENAI RAKAN SEPERJUANGANNYA, BACALAH DENGAN HATI

Salahudin Ayub, YB Aminolhuda Hassan, Hj Dzulkifly Ahmad, Hj Khairudin Abd Rahim dan Onn Jaafar adalah antara sahabat akrab sejak saya menyertai PAS pada tahun 1986. Kami membina karier dari bawah. Menampal poster, naikkan bendera atas pokok, kutip derma jihad dan kerja kerja asas sebagai aktivis parti. BerUsrah dan bertamrin bersama sama. Kami wujudkan Pusat Tarbiyyah Amaliyyah yang di ketuai sendiri oleh Aminolhuda bagi memperkasa tarbiyyah pemuda.

Bintang Salahudin lebih cerah dari saya; namun saya tahu keperitan yang beliau hadapi sewaktu beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Johor sepenuh masa dengan elaun RM300 sebulan. Acapkali kesempitan wang, hingga susu anak pun tidak mampu di beli. Dia tidak lupa diri bila jadi Ahli Parlimen. Selalu membantu saya terutamanya menjelang hariraya dan naik sekolah. Kalau jumpa dia akan tanya secara berseloroh, 'duit belanja ada?' Lantas hulur sejumlah wang kepada saya kerana dia pernah alami keperitan dalam hidupnya. Dia mahu berkongsi sedikit keselesaan dengan rakannya yang lain.

Sejak zaman Al Marhum Ismail Ibrahim sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, kami adalah exco Pemuda PAS. Aminolhuda akan singgah dan tumpangkan saya untuk pergi bermesyuarat di Batu Pahat. Beliau sahabat yang ambil berat mengenai saya. Tidak berkira orangnya. Hj Khairudin, meskipun engineer; sebahagian besar gajinya adalah untuk jamaah. Sanggup jual kuih dan buka kedai makan nak tampung kos operasi Dewan Pemuda. Kadangkala nak tuang minyak kereta pun tak ada duit.

Dzulkifli Ahmad, saya anggap arkitek parti di Johor. Pemikiran dan cara bekerjanya hebat. Seorang perancang parti yang work smart. Bangunan PAS Johor yang sedang berdiri megah waktu ini adalah hasil 'buah tangannya'.


Apapun yang orang perkatakan mengenai Onn Jaafar, beliau adalah aktivis parti yang gigih. Walau dikata loklak, ceroi dan lain lain, kerja buatnya selesai sebagaimana arahan. Jika kita ni jam 1 pagi dah tidur; beliau masih menampal poster dan macam macam dilakukan hingga ke dinihari sejak 20 tahun dulu lagi. 'Ana ni tak reti bagi kuliah, tukang tampal poster pun tak pe lah'. Guraunya menceriakan kami.

Ukhuwwah yang terbina mengeratkan kami. Walau ada yang sudah berjawatan penting dalam parti dan bergelar YB, hubungan kekal terpelihara. Justeru, bila ada fitnah yang disebarkan, kami sama sama hadapi, walau terasa pedihnya. Menitik air mata mengingatinya.

Sekarang musim pemilihan parti, pilu tetap terasa bila kawan baik berubah sikap kerana berbeza pandangan. Seperti kata Dato' Mahfuz Omar, 'saya mengenali Salahudin sudah sekian lama. Sembahyang sunat dia lebih banyak dari saya. Tapi, bila orang fitnah dia baru baru ini (ada ceritanya) saya sangat terasa. Di mana letaknya akhlak kita?'.

Mahalnya nilai sebuah persahabatan. Jangan kerana jawatan dan berbeza pandangan, kita bersengketa dan berpecah. Hilang segala galanya meskipun di pupuk sekian lama.

Moga Allah pelihara persaudaraan ini hingga ke akhir hayat

Mazlan Aliman






Kerana Tidak Dikategorikan Sebagai Ulama, Dr. Abd Rani "Dipancung" Dari Jawatannya....


Akibat pertembungan dalaman, PAS hilang tokoh bawa Selangor ke puncak

Walaupun berjaya membawa PAS ke tangga paling tinggi dalam sejarah politik negeri, namun kerana beliau bukan tergolong dalam kumpulan ulama, Dr Rani Osman diketepikan daripada jawatan yang dipertua PAS kawasan Kapar, Selangor dalam pemilihan hujung minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru itu dikalahkan bekas timbalannya, Najhan Mohd Salleh sebagai yang dipertua PAS kawasan Kapar apabila hanya mendapat 114 undi berbanding 282 diperolehi Najhan.

Dr Rani menyertai bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin yang dijatuhkan di Kampar, Perak dan Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari yang dijatuhkan di Alor Gajah oleh pencabar masing-masing yang terdiri daripada golongan ulama.

Sehari sebelum Mesyuarat Agung PAS kawasan Kapar, penulis berkesempatan makan malam dengannya bagi meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-57 pada 18 April.

Ketika ditanya persiapannya menjelang pemilihan itu, Dr Rani dengan selamba berkata:"Aku tidak pernah kisah dan tidak pernah bincang hal pertandingan dalam kawasan. Lantak merekalah."

Begitulah pendirian doktor perubatan lulusan universiti dari Mesir yang bertubuh kecil ini.

Walaupun kecil, Dr Rani tidak pernah merasa rendah diri. Beliau menubuhkan "Kelab 52" untuk mereka yang bersaiz kecil, lebih rendah daripada 5 kaki 2 inci.

Beliau menamakan Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sahabat baiknya, sebagai presiden kelab itu.

Hubungan mereka berdua rapat, tetapi penyokong kumpulan ulama dalam parti tidak menganggap beliau ulama, lantas tidak menerima Dr Rani sepertimana mereka menerima Tuan Ibrahim yang kini menerima pencalonan terbanyak untuk jawatan timbalan presiden.

Tuan Ibrahim setakat hujung minggu lalu memperolehi 59 pencalonan untuk bertanding kerusi timbalan presiden PAS, berbanding 9 yang diperolehi penyandangnya Mohamad Sabu.

Semasa menjadi pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani berjaya membawa PAS negeri ke aras paling tinggi apabila ia mencipta sejarah mendapat 15 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013 berbanding 8 kerusi dalam PRU sebelumnya.

Namun kerana tidak berminat menjadi pemimpin besar, Dr Rani menulis surat secara peribadi kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memohon tidak dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor selepas PRU13.

Hadi kemudiannya melantik Datuk Iskandar Samad sebagai pengganti Dr Rani.

Dr Rani mula menjadi calon PAS dalam PRU 2004 dengan mewakili PAS di kerusi DUN Meru, namun tewas.

Dalam PRU 2008, beliau menang di kerusi yang sama dan pada PRU13, beliau berjaya lagi di kerusi sama dengan tambahan bilangan undi.

Daripada majoriti 5,513 pada 2008, beliau berjaya menambah majoritinya kepada 9,079 pada PRU13.

Kerusi Meru merupakan lambang kerusi pelbagai kaum di negara ini. Ia umpama kedudukan Malaysia dengan komposisi kaum 60% Melayu, 27.5% Cina dan 12% India, di kalangan 39,457 pengundi.

Berpusat di Klinik Fitrah yang terletak di pekan Meru, Dr Rani menggerakkan sokongan untuk PAS di kawasan itu.

Hampir setiap hari beliau bergerak ke merata tempat dalam kawasan pilihan rayanya dan bertemu segenap lapisan masyarakat.

Dengan profesion sebagai doktor, beliau membantu orang sakit tanpa mengira kaum dan agama atau statusnya dalam masyarakat.

Sebagai bekas pelajar timur tengah, Dr Rani boleh bertutur bahasa Arab dengan baik di samping dapat memahami Al-Quran.

Hampir setiap Jumaat, beliau menjadi khatib di beberapa masjid di Meru termasuk Masjid Asy Syarif, masjid paling besar dan tersergam indah di pekan itu.

Malah, di Masjid Asy Syarif itu juga, Dr Rani pernah dikunjungi bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelang kejatuhannya, untuk membincangkan keadaan semasa, kerana beliau sedar kekuatan pengaruh yang dimiliki Dr Rani.

Namun, walaupun beliau memberikan kuliah agama hampir setiap minggu, oleh kerana status sebagai doktor perubatan, beliau tidak dikategorikan sebagai ulama.

Tanyalah Melayu, Jawa, Cina atau India di Meru, siapa Dr Rani. Tanyalah juga orang Umno di Meru, nescaya mereka akan kata, selagi Dr Rani calon PAS, jangan mimpi Umno akan menang semula di Meru.

Pendek kata, Dr Rani sangat berpengaruh dalam masyarakat pelbagai kaum di kawasannya. Namun ahli PAS nampaknya masih tidak berpuas hati dengannya.

Bagi Dr Rani, beliau tidak pernah terasa rugi dengan kekalahan sebagai yang dipertua PAS kawasan Kapar kerana beliau tidak pernah meminta jawatan itu.

Kalau jawatan pesuruhjaya PAS Selangor yang diberikan kepadanya pun pernah diserahkannya kembali, apatah lagi jawatan yang dipertua PAS kawasan yang perlu ditandingi untuk dimenangi.

Dr Rani gembira dengan apa yang berlaku.

"Alhamdulillah, hilang lagi satu bebanan aku," katanya kepada penulis ketika memaklumkan keputusan PAS Kapar yang menolaknya sebagai yang dipertua.

Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bersuara.

"Inilah wajah baharu PAS," katanya memberi amaran PAS akan berwajah baharu sekiranya kumpulan tertentu dipilih dalam muktamar Jun nanti.

Beliau mengulas tindakan sesetengah pihak dalam PAS yang berkempen besar-besaran untuk menguasai parti, dipercayai merujuk kepada pertembungan antara golongan ulama dan golongan profesional di dalam parti Islam itu.

ULASAN GB

Demikialanh episod yang menyayat hati di Selangor. Golongan yang dikatakan pro-ulama sanggup mencantas seorang pemimpin yang hebat semata-mata Dr. Abdul Rani tidak dikategorikan sebagai seorang "ulama" (dalam definisi mereka yang amat traditional).

Sewaktu beliau dilantik menggantikan Hassan Ali dulu, GB ada mengulas. Petikan:

Memerhatikan jawapan yang diberikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman tatkala diajukan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor yang baru mengantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat, menampakkan beliau memang seorang yang merendah diri dan tawadhu - sifat yang begitu jarang ditemui di kalangan pemimpin.

Biasanya seseorang akan melompat kegirangan apabila disebut-sebut sebagai exco, malah ada yang lebih dasyat, merancang pula nak jadi MB sebaik saja menang pilihanraya dengan pelbagai helah dan cara, tetapi tidak diizinkan Allah rencananya itu.

Malah satu ketika seingat GB, ketika nama Dr.Rani Osman disebutkan untuk menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor pun, beliau sanggup bernazar hendak sembelih kambing jika tidak terpilih.

Dr.Rani mengetahui bahawa sesuatu "jawatan" itu bukan satu tasyrif (keistimewaan), tetapi satu taklif (bebanan tanggungjawab).

Inilah ciri yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda kepada Abd al-Rahman Bin Samurah ra:

"Wahai Abdulrahman, kamu jangan meminta imarah(pemimpin), kerana, jika tugas pemimpin diberikan kepada kamu kerana kamu minta ia akan diserahkan kepada kamu dan kamu dibebani. Jika ia diberikan kepada kamu bukan kerana kamu minta, kamu akan dibantu atas (kendalian) nya". - Bukhari, Muslim

PAS perlukan ramai pemimpin seperti Dr.Rani ini.


Sungguh berbeza dengan sikap dan perangai "ulama-ulama" yang ada dalam PAS kini. Berebut-rebut untuk mendapat jawatan, malah sanggup bertindak di luar batas akhlak Islam untuk menjatuhkan lawannya dari golongan progresif.

Dr. Abdul Rani sudah pun membuktikan bahawa semasa beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor, PAS Selangpr berjaya memperolehi 15 kerusi DUN di dalam pilihanraya umum ke 13 yang lalu.

Kita akan sama-sama selepas ini menyaksikan pula performance Iskandar Samad yang dijulang hebat oleh golongan Geng Ustaz di dalam pilihanraya akan datang nanti.