15 Mei 2015

Wajarkah PAS Serang Lim Kit Siang?


Mat Sabu pertahan tindakan ceramah Kit Siang berkaitan hudud

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mempertahankan tindakan Penasihat DAP Lim Kit Siang berceramah mengenai pelaksanaan hukum hudud dalam ceramah perdana di sini, Ahad lepas dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang boleh diterima.

Beliau boleh menerima kandungan ceramah berkaitan hudud yang disampaikan oleh Kit Siang kerana dia bukan orang Islam.

"Bila seseorang yang nak ceramah kita tidak tahu apa yang dia hendak cakap... ia bukan macam seminar atau forum kita nak bagi tajuk.

"Itu (kenyataan Lim Kit Siang) kita serah kepada orang untuk membuat pertimbangan sebab dia bukan orang Islam, kira tidak apa lah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kota Baru, hari ini.

Beliau, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, turut berceramah pada ceramah perdana anjuran PAS Kawasan Kota Baru itu, berkata beliau tidak terkejut dengan kenyataan yang diberikan penasihat DAP itu kerana terdapat lagi pihak yang mempertikaikan pelaksanaan undang-undang Islam itu.

Pandangan Mat Sabu itu bertentangan dengan PAS Kelantan yang menyifatkan tindakan Kit Siang sebagai sesuatu yang bertentangan dengan pendirian kerajaan negeri Kelantan.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata tindakan Kit Siang yang menyentuh isu hudud pada ceramah berkenaan sebagai tidak wajar.

"Kita memang tahu dia sebelum ini sudah menolak hudud, namun tidak sepatutnya dia bersuara secara terbuka di rumah kita. Dia sepatutnya menghormati Kelantan," katanya.

PAS Kelantan turut meminta PAS kawasan Kota Baru memberi penjelasan segera berhubung menjemput Kit Siang dan tujuan ceramah itu diadakan.

Akhbar melaporkan dalam ceramah berkenaan, Kit Siang menjadikan 2 buah negara iaitu Jordan dan Mesir sebagai contoh kerana mempunyai lebih 90% penduduk beragama Islam namun sehingga kini tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Kit Siang dilaporkan berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, beliau mengingatkan semua parti yang berada dalam pakatan pembangkang supaya berpegang kepada janji asas yang sudah dipersetujui bersama. – Bernama

ULASAN GB

Golongan pro-UMNO dalam PAS begitu hebat menyerang Lim Kit Siang ekoran ucapannya di Kota Bharu baru-baru ini.

Terlupakah mereka bahawa Presiden PAS sendiri yang mereka julang pernah menyatakan adalah menjadi hak DAP untuk menolak hudud?


Mengapa mereka tidak boleh berlapang dada mendengar hujjah LKS dan kemudiannya "berdebat dengan cara berhikmah sepertimana arahan Al-Quran?

Firman Allah swt:

Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah serta petunjuk. An-Nahl: 125

Ini tidak, dihentamnya, dikutuk dan dimaki. Akhlak Islamkah demikian?

Kedua, jangan lupa Sheikh Yusuf Qardhawi, Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia sendiri melalui satu wawancara dengan Al-Jazeera pernah menyatakan "nak hudud perlu bangunkan umat dan diri sendiri dulu"! Jadi dimanakah kesalahan LKS?


Memang memperjuangkan hudud itu satu kewajipan bagi umat Islam tetapi perjuangan itu hendaklah dengan berdakwah secara hikmah dan perlu berstaregi dan berilmu, bukan melulu mengikut hawa nafsu.

[VIDEO & GAMBAR] Sah Ust Ahmad Awang Tanding Jawatan Presiden Lawan Hadi


Ahmad Awang akan cabar Hadi sebagai presiden PAS

Bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang akan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden pada pemilihan parti itu pada Jun ini.

Ahmad, 79, berkata beliau menerima pencalonan yang ditawarkan kepadanya kerana percaya parti Islam itu perlu ada perubahan kepimpinan selepas lebih sedekad di bawah Hadi.

"Ini sebuah parti mengamalkan demokrasi dan kita mahu memperkasakan parti," kata Ahmad selepas menyerahkan pencalonannya di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ini merupakan pertama kali Hadi dicabar semenjak memegang jawatan presiden selepas Datuk Fadzil Mohd Noor meninggal dunia.

Katanya, beliau sedar pelbagai komen dibuat terhadapnya menerusi media sosial walaupun beliau baru saja dicalonkan.

Ahmad berkata, beliau juga sedia menerima pencalonan sebagai pemeriksa kira-kira yang disifatkannya penting.

"Saya bukan saja dicalonkan bagi jawatan presiden tetapi turut menerima pencalonan bagi jawatan pemeriksa kira-kira di beberapa tempat.

"Jawatan itu lagi penting, jika laporan kewangan tidak diluluskan oleh pemeriksa kira-kira, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) boleh batalkan," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Asmuni Awi baru-baru ini mengumumkan Ahmad dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dan Ahmad layak bertanding jawatan presiden.

Asmuni berkata, bagi jawatan presiden untuk Muktamar Tahunan PAS pada Jun depan, walaupun 4 pencalonan diterima, hanya Hadi, Husam dan Ahmad layak untuk bertanding. – TMI


Lepas 13 tahun, Hadi sah dicabar

Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang mengesahkan akan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi merebut jawatan presiden PAS pada pemilihan parti itu bulan depan.

Ahmad yang juga bekas anggota Majlis Syura PAS berkata alasan beliau menawarkan diri adalah untuk memperkukuhkan parti.

"Ini adalah parti yang demoktrik dasarnya. Jadi sesiapa (saja) boleh dicalonkan daripada ahli dan boleh mencalonkan. Ini meningkatkan ukhwah dalam parti," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat untuk bertanding, di ibu pejabat parti itu hari ini.

Dalam 13 tahun pentadbirannya, ini kali pertama kedudukan Hadi (atas) sebagai pemimpin nombor satu PAS dicabar.

Ahmad, 79, berkata beliau mendapatkan maklumbalas daripada para penyokong dan penasihatnya sebelum memutuskan untuk bertanding.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah percalonan kawasan yang diterimanya.

"Sekarang PAS berada di persada politik negara, sebab itu saya menerima pencalonan ini... Saya tidak mahu mengecewakan mereka," katanya.

'Satukan PAS'

Ahmad, yang menjadi sebahagian ulama dalam PAS, difahamkan menjadi pemimpin PAS yang akan menitikberatkan ke arah memperkasakan Pakatan Rakyat, berbanding Hadi.

Sebagai pesuruhjaya PAS Perak 2008, Ahmad memainkan peranan utama membantu menubuhkan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Ahmad berkata beliau mahu PAS menerima sokongan bukan Islam termasuk sokongan pengundi tegar mereka bagi menggantikan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya mesti berusaha menyatukan PAS semula dengan semangat persaudaraan parti yang jadi tunjang Pakatan Rakyat.


"Dan hari ini (walaupun) pemimpin PAS bersama Pakatan, keadaan perlu diperbaiki, lebih-lebih lagi kita menuju ke Putrajaya.

"Dengan semangat demokrasi dan pilihanraya ke-14 ni, kita punya harapan," katanya.

Hadi tidak pernah dicabar sejak 13 tahun lalu, selepas parti memperkenalkan kepimpinan ulama.
-mk





ULASAN GB

Fasal 25(2) Perlembagaan PAS menyatakan :

Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden hendaklah dipilih dan dilantik akan dia oleh Muktamar Tahunan PAS pada tiap-tiap dua tahun daripada ahli-ahli PAS atau dengan apa-apa cara jua yang dipersetujui oleh Muktamar Tahunan PAS itu.

Oleh itu tidak sepatutnya timbul sebarang pertikaian dan halangan untuk Ustaz Ahmad Awang bertanding jawatan Presiden.

Jika ada mana-mana pemimpin atau ahli PAS yang mempertikaikan keputusan Ustaz Ahmad Awang menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden maka ternyata suara-suara itulah yang bertentangan dengan Perlembagaan PAS dan sepatutnya dikenakan tindakan disiplin.