22 Mei 2015

[VIDEO PANAS] TPM: Tiada Syarikat Di Dunia Tanggung Beban Seperti 1MDB


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata tidak berpuashati dengan cara Datuk Seri Najib Razak menangani isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berucap di hadapan pimpinan tertinggi Umno, Muhyiddin bukan sahaja mahukan ahli Lembaga Pengarah syarikat itu dipecat, bahkan menggesa mereka disiasat polis.

“Saya bukan nak menunjukkan kehebatan saya atau nak menunjukan saya benci kepada pimpinan atau tak sebulu dengan presiden saya… tidak. Saya hormat. Sebagai manusia saya kena hormat.

“But this a real problem..bagaimana dalam tempoh yang begitu singkat sebuah syarikat yang ditaja menanggung beban sampai RM42 bilion.

“Saya beritahu perdana menteri..Sack all those guy Board of 1MDB..buang mereka.

“Saya nak sebut di sini supaya ahli parti faham..Pasal mereka yang menyebabkan perdana menteri terpaksa menanggung (beban),…tapi ( masih) tak buang lagi…,” ujarnya dalam nada kesal.

Ucapan itu dirakam dalam satu video yang dimuatnaik di Youtube oleh penulis blog yang juga bekas wartawan, Firdaus Abdullah.

Dalam video bertajuk ‘Luahan Hati Timbalan Presiden Umno-1MDB’ itu, Muhyiddin ditunjukkan berucap kepada pemimpin tertinggi Umno, termasuk naib presiden.

Antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pertemuan itu dipercayai berlangsung semasa sambutan ulangtahun Umno ke-68.

Dalam rakaman itu, Muhyiddin turut mengakui bahawa 1MDB membayar kadar faedah sehingga RM200 juta setiap bulan.

“Tak pernah saya terfikir mana-mana syarikat dalam dunia tanggung beban seperti berlaku di Malaysia. Buang lah CEO ini.. buang..

Dan bukan buang, panggil polis siasat. Ambil tindakan. Jadi rakyat tengok..Baru lah pimpinan kerajaan rasa bertanggungjawab.

“Ambil tindakan serius. Kalau tak buat begitu ini akan membebankan bawa kita jatuh ke bawah..,” ujarnya disambut sorakan pimpinan Umno yang hadir.

Muhyiddin dalam rakaman itu bagaimanapun menafikan plot untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dengan merujuk dakwaan pertemuan antara beliau dengan beberapa pimpinan Umno di Milan, Italy. -KD


Umno buru dalang dedah video Muhyiddin

Umno sedang menyiasat dalang di sebalik penyebaran rakaman ucapan timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan semua anggota lembaga pengarah 1MDB dipecat.

Setiausaha kerja parti itu Datuk Ab Rauf Yusoh memberitahu SuaraTV bahawa siasatan itu dikendalikan oleh Naib Presiden Umno Datuk Zahid Hamidi kerana penyebaran itu tidak harus berlaku.

“Saya difahamkan Datuk Zahid sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran rakaman tersebut bagi mencari dalang yang merakam dan menyebarkan ucapan tersebut.

“Menurut garis panduan yang ditetapkan program latihan seperti itu tidak boleh dibuat sebarang rakaman apatah lagi untuk menyebarkannya kepada umum,” beliau dilapor sebagai berkata.

Laman itu juga melaporkan bahawa ucapan itu tidak harus diraikan kerana program itu – dikenali sebagai KERIS 2314 – sepatutnya menjadi senjata BN untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum.

Semalam, ketika Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen, sebuah video dimuat naik di Internet.

Ia memaparkan ucapan Muhyiddin yang mahu semua lembaga pengarah 1MDB dipecat.

Beliau kemudian menjelaskan perkara itu cuma pandangannya dan bukan perkara baru.

Kenyataan itu dilihat memberi tamparan kepada Najib memandang 1MDB lahir hasil cetusan ilhamnya.

Program Umno diperketat

Sementara itu, portal pro-BN MyKMU melaporkan Zahid sebagai menjelaskan berkaitan rakaman yang dikatakan dibuat di Janda Baik, Pahang, itu.

“Sebagai pengerusi Biro Latihan Umno Malaysia saya telah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap punca rakaman dan penyebaran,” katanya yang juga menteri dalam negeri.

Zahid juga dilapor menjelaskan bahawa beliau meminta tindakan segera diambil kerana merosakkan imej program dirangka mereka.

Perkara lain turut dijelaskan, termasuk:

(1) Ia dilakukan oleh seorang timbalan ketua bahagian yang tidak sepatutnya hadir. Rakaman disebarkan di kalangan rakan-raknnya di bahagian dan dalam aplikasi mesej Telegram timbalan ketua Umno bahagian.

(2) Ucapan Muhyiddin di luar rangka kursus hadir atas kapasiti sebagai ketua Umno bahagian Pagoh.

(3) Mulai siri ke-12 program KERIS 2314, sekretariat tidak akan membenarkan telefon bimbit dan sebarang alat rakaman dibawa masuk ke dewan kursus.

(4) Sebelum ini dan selepas ini tidak akan ada ucapan perasmian atau penutupan selain daripada pihak sekretariat.
-mk


INI VIDEONYA


Mujahid: "Senang-senang Tuduh Orang Liberal, Anti-Ulama..."


Anak bekas presiden PAS bimbang jika Nik Abduh menang ketua Pemuda

Kemenangan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam persaingan ketua pemuda dibimbangi akan merencatkan agenda pembaharuan sayap itu, kata anak kepada bekas Presiden PAS Datuk Fadzil Noor.

Faiz Fadzil yang juga bertanding merebut jawatan ahli jawatankuasa Pemuda PAS Pusat dalam pemilihan parti kali ini bimbang kenyataan yang dikeluarkan Nik Abduh sebelum ini akan menghalang agenda pembaharuan parti.

“Saya risau kalau betul kenyataan dia semalam, dia kata hudud boleh buat di Kelantan tapi bukan di Malaysia.

“Saya risau kalau pemimpin macam ini, apa yang dia nak bawa? Kalau saya nak reform Pemuda, saya takut tak boleh nak reform sebab ketua pun tak tau apa nak buat,” katanya menerusi forum "Masa Depan PAS Pasca Muktamar" yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata, pembaharuan hanya dapat dilakukan kepada mereka yang bersedia untuk berubah dan disokong oleh pimpinan lain.

Nik Abduh sebelum ini sering kali mengkritik parti-parti komponen lain Pakatan Rakyat (PR) secara terbuka terutamanya DAP dalam isu hudud Kelantan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyelar golongan ustaz muda yang tidak hormat kepada pemimpin kanan dalam parti.

Katanya, golongan berkenaan dengan mudah menuduh kelompok dalam PAS sebagai liberal dan anti ulama sedangkan masih tidak memahami landskap perjuangan parti.

“Yang baru masuk PAS 2,3 hari, bercakap macam masuk PAS dah 20 tahun. Tak hormat dekat orang tua, orang lama. Macam la mereka dah kenal PAS lebih awal daripada kita.

“Tandatangan borang pun tak kering lagi ni, dah mencabar orang tak betul. Ini ustaz-ustaz muda ini yang balik dari Mesir. Tak hormat langsung ulama-ulama yang dah ada di sini.

“Senang kata dekat orang liberal, anti ulama. Apa ini? Baru balik 2,3 hari. Belajarlah dulu. Kami belajar dari bawah, bertatih daripada cawangan naik kepada kawasan dan negeri,” katanya yang turut menjadi panel dalam forum berkenaan.

Senada dengan Mujahid, Faiz berkata apa yang dibimbangkan adalah golongan ustaz muda yang akan membawa PAS ke jalan yang terpesong.

Katanya, insiden demonstrasi di depan Pejabat Agung PAS memberikan imej yang buruk kepada parti sekali gus memberi mesej yang salah terhadap agenda perjuangan parti.

“Yang kita bimbang ustaz muda bawa parti ke jalan terpesong. PAS boleh dibawa ke jalan terpesong menjadi ekstrem bila saya tengok beberapa orang buat demonstrasi di hadapan Pejabat Agung.

“Ini budaya samseng. Kalau kamu handal sangat, ada prinsip, buatlah demonstrasi di depan PWTC. Kenapa depan pejabat agung? Depan pejabat sendiri, melalak dalam rumah sendiri,” katanya.

Pada Februari lalu, sekumpulan Pemuda dan Ulama PAS dipimpin Ketua Pemuda PAS Kuantan Noorzazilafadli Ibrahim dan disertai Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik berdemonstrasi di pintu masuk Pejabat Agung PAS.

Mereka menaikkan kertas pemidang menuduh ketua pengarah pilihan raya PAS Dr Hatta Ramli sebagai dalang konspirasi menggulingkan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut dituduh ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat Aiman Athirah al-Jundi.

Dalam memorandum yang disampaikan, mereka mendakwa lebih separuh daripada AJK PAS tidak menyokong Hadi. -TMI.


ULASAN GB

Begitulah juga dengan Tuan Presiden PAS, senang-senang tuduh orang broker, barua dan tolol....

Sungguh terdesak sangat dan sungguh pelahap sangat untuk berkuasa kumpulan pro-UG ni....

Kesemua tuduhan seperti liberal, anti-ulama, broker, barua, tolol, jebon akan kembali kepada si penuduhnya.... kerana demikialah hukum kebenaran dan keadilan berjalan...

Menjelang Muktamar: PAS Semakin Hilang Arah & Perspektif (?)


Ber’muktamar’lah demi Malaysia – Syukri Razab

PAS selalu hadir sebagai talian hayat kepada kekecewaan rakyat. Sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim disumbat ke dalam penjara dalam kes Liwat I, PAS dikemudi presidennya yang luar biasa sewaktu itu menjadi nahkoda memikul kemarahan rakyat. Kemarahan rakyat terhadap rejim Tun Dr Mahathir Mohamad dilorongkan dalam bentuk perjuangan yang tersusun.

Malah bukan lagi rahsia kewujudan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini adalah hasil kerja tangan Almarhum Tuan Guru Fadzil Noor yang menjadi presiden PAS ketika itu. Di waktu ramai kalut mencari haluan baru selepas hilang percaya terhadap Barisan Nasional khususnya Umno, maka beliau mengolah Keadilan sebagai platform baru bagi menghimpunkan rasa tidak puas hati terhadap rejim zalim.

Ritma semakin sumbang

Namun sejak akhir-akhir ini ritma politik PAS tampak sumbang. PAS yang suatu ketika dahulu menjadi sandaran perubahan, tak lagi membangkitkan keghairahan rakyat dalam perlawanan menentang rejim BN. Tamsilannya, dalam isu seperti krisis politik Selangor dan Hudud, PAS dilihat mengasing diri bahkan semakin merapat dengan Umno.

Bagi saya, krisis yang berlaku dalam PAS hari ini bukan sekadar tergantung kepada kegagalan PAS mengurus isu, tetapi persoalan lebih besar yang perlu ditekuni ialah mengapa kegagalan itu berlaku. Mengapa PAS yang suatu ketika dahulu menjadi jalan keluar kepada kebuntuan politik, tapi hari ini sering menjadi faktor yang menyulitkan keadaan. PAS seperti hilang perpektif menyebabkan berlakunya masalah-masalah internal dan eksternal yang gagal diurus.

PAS seperti hilang perspektif

Samaada isu hudud, krisis politik Selangor atau isu-isu lain saya kira hanyalah ranting kepada punca kelemahan yang tidak diubat dalam PAS. PAS seperti, samada lupa, atau kehilangan perspektif. Bagaimana saya boleh katakan sedemikian?. Lihat sahaja bagaimana kepimpinan PAS tidak lagi tampil dengan idea-idea baru seperti yang pernah berlaku dahulu. Dokumen Negara Berkebajikan kini senyap, hilang entah ke mana.

Saya kira, tema Negara Berkebajikan itu merupakan terjemahan bagi memudahkan masyarakat memahami paradigma Islamisasi yang tersisip kemas dalam agenda perjuangan PAS. Inilah gagasan besar yang mendorong terbentuknya kerjasama-kerjasama politik. Gagasan yang seterusnya menyonsong tema PAS for All, lahirnya Dewan Himpunan Penyokong PAS, dan wujudnya Dokumen Negara Berkebajikan. Gagasan ini menuntut PAS menggarap segenap sinergi untuk membersihkan politik negara daripada terus dikotorkan rejim BN.

PAS dengan tema PAS For All berjaya memimpin gagasan ini sehingga seluruh masyarakat berkongsi paradigma yang sama. Sehinggakan mana-mana perhimpunan aman akan terasa lesu tanpa kehadiran tokoh-tokoh PAS, bersama mobilisasi ahli PAS yang ramai.

Maka seperti sudah tradisi, presiden PAS semestinya dilihat sebagai seorang tokoh yang hebat, dan dianggap presiden kepada semua. Mungkin atas dasar inilah semua orang sentiasa meletakkan harapan yang tinggi terhadap presiden PAS.

Tetapi hari ini ceriteranya berbeza. Sebenarnya ramai mengharapkan suara presiden PAS lebih garang berbanding pemimpin lain dalam menentang undang-undang zalim yang diluluskan kerajaan BN. Banyak juga pihak yang mengharapkan presiden PAS memimpin protes besar-besaran menentang cukai zalim GST, seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor memimpin kebangkitan rakyat dalam arus reformasi. Tetapi presiden PAS seolah-olah terkepung dalam kumpulan tertentu dan tidak lagi menjadi presiden untuk semua.

Keretakan ukhwah dibiar berlarutan

Lihat juga bagaimana pergeseran ukhuwah yang berlaku dalam kalangan kepimpinan dan ahli PAS sehingga jelas kelihatan blok-blok perpecahan. Sangat menghairankan bagaimana keretakan ini boleh dibiar berlarutan tanpa ada langkah penyelesaian yang konklusif. Saya tidak bercakap soal khilaf yang biasa-biasa, yang semestinya menjadi lumrah mana-mana organisasi.

Tetapi perbezaan yang diakibatkan dikotomi "ulama vs bukan ulama' yang seterusnya menatijahkan wujudnya laman-laman sosial pengadu domba, sikap label-melabel sesama pimpinan, bahkan sehingga berlaku kejadian yang tidak terjangkau dek akal walaupun ada pihak yang menganggapnya provokasi pihak ke tiga.

Saya mencari-cari juga jika ada seruan atau nasihat presiden PAS kepada semua ahli PAS agar kembali merapatkan saf perjuangan berikutan silaturrahim yang semakin terungkai dewasa ini. Jika ada pun, bukan daripada presiden PAS. Tetapi daripada Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man yang menasihatkan agar semua ahli PAS tidak percaya kepada laman sosial pengadu domba.

Apa juga matlamat yang ingin dicapai suatu organisasi mestilah bermula dengan kesatuan seluruh organisasi. Apatah lagi PAS merupakan gerakan yang meletakkan Islam sebagai matlamat, maka "wahdah" atau kesatuan ahli gerakan merupakan perkara fundamental yang tidak boleh diabaikan. Memetik pesan Ibnu Taimiyyah “Berpegang teguh kepada tali Allah dan tidak berpecah adalah salah satu perkara yang paling penting dalam Islam”.

Saya sering terfikir, apakah yang menghalang untuk presiden PAS menjadi orang tengah dan membuat pertemuan mahabbah bagi menyatukan semula perbezaan yang wujud?. Apakah yang menyebabkan terlalu susah untuk presiden PAS menjadi orang tengah dan membuat ijtimak (perhimpunan) bagi menyelesaikan kekeliruan dalam semangat kekeluargaan?.

Cukuplah perhimpunan-perhimpunan yang dianjurkan blok tertentu yang dijadikan medan untuk menghentam blok lain. Jika dahulu, Ijtimak dan Usrah akan menjadi medan pertemuan ahli PAS dalam semangat kekeluargaan. Tetapi hari ini Ijtimak dan Usrah menjadi prakarsa untuk satu kelompok men"syaitan’kan kelompok yang lain.

Krisis ukhwah yang berlaku dalam PAS ini perlukan penyelesaian tuntas, bukannya langkah-langkah picisan yang hanya mengheret masalah menjadi lebih parah.

Tahalluf siyasi tidak bernilai lagi untuk PAS

Jika dahulu, di celah persepsi kurang enak ahli PAS terhadap DAP yang dianggap menentang hukum Hudud, maka di celah itu jugalah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengunjungi mendiang Karpal Singh dan menyambut hari lahir Pengerusi DAP Kebangsaan itu di rumah beliau di Jelutong, Pulau Penang. Lantas mendiamkan mulut-mulut yang cuba menggugat kesatuan Pakatan Rakyat. Sedangkan umum mengetahui betapa konsistennya pendirian kedua-dua tokoh ini yang berbeza dalam isu hudud.

Terus terang saya katakan, terkadang kita juga jelek melihat sikap DAP yang sangat keras terhadap PAS. Dengan meminjam istilah yang digunakan Setiausaha Agung PAS, ramai juga pemimpin DAP yang mulutnya "ceret beret". Tetapi saya tidak berminat langsung untuk menghujahkan bagaimana sepatutnya DAP.

Tetapi saya sebagai anak muda yang mengikuti dengan rapat perkembangan PAS, lebih berminat untuk berbincang mengenai bagaimana sepatutnya PAS? Seperti kata ahli falsafah barat Alexander Meiklejohn, “Kita tidak boleh menentukan apa yang orang lain akan cakap, tapi kita sangat boleh menentukan apa yang ingin kita cakapkan”.

Silakan untuk berbeza pandangan. Bahkan perbezaan itu menampakkan betapa suburkan ruang demokrasi dalam PR. Tetapi yang lebih penting ialah, apa tindakan selepas perbezaan? Saya yakin, inilah perspektif Nik Aziz yang membuatkan beliau mempamerkan uslub yang sangat lunak sesama rakan PR. Bak kata seorang penulis Indonesia, "kita bukan kalah, tetapi mengakomodasi pihak lain untuk sebuah kejayaan yang paripurna”.

Saya ternanti-nanti pertemuan mahabbah antara presiden PAS dengan pemimpin komponen PR yang lain. Tidak apalah kalau presiden PAS tidak dapat memberi komitmen terhadap mesyuarat pimpinan PR atas faktor masa dan kesihatan, tetapi saya pasti ada masa-masa lain yang boleh digunakan untuk presiden PAS mendampingi rakan-rakan pimpinan PKR dan DAP. Pertemuan yang akan memperlihatkan perspektif presiden PAS yang mahu melaksanakan cita-cita perubahan, disamping konsisten dengan cita-cita hudud.

Tetapi, pertemuan untuk mendamaikan PR juga masih tidak berlaku. Mungkin kali ini, Lim Kit Siang yang perlu menziarahi presiden PAS, dan menyambut hari lahir presiden PAS di Pondok beliau di Rusila, Terengganu.

Ber’muktamar’lah untuk seluruh rakyat Malaysia Apa juga yang terhasil daripada Muktamar PAS kali ini diharap akan membawa kesan yang positif khususnya kepada PAS dan seluruh rakyat Malaysia. Terpikul di atas jemala kepimpinan PAS bukan sekadar harapan ahli PAS, tetapi harapan seluruh rakyat Malaysia yang mengimpikan perubahan berlaku di Malaysia.

Sekiranya PAS kuat, itu bermakna PR akan terus kuat. Rakyat hampir hilang semangat untuk meneruskan agenda reformasi politik Malaysia apabila melihat PR terus tenggelam dalam kemelut. Moga Muktamar PAS ke 61 ini akan menjadi wasilah untuk memulihkan semula semangat rakyat yang kian hilang ini.

Sekian, terima kasih

Tulisan diatas dibuat dalam keadaan saya amat menghormati presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai seorang tokoh ulama yang sangat besar jasanya kepada perkembangan Islam di Malaysia. Apa juga yang dicetuskan dalam tulisan ini hanyalah sebagai ikhtisar atau idea ringkas yang terbuka untuk dikritik balas.