1 Jun 2015

Hanya Si "Tolol" Percaya Laporan Akhbar Mat Sabu Sindir Hadi


Mat Sabu bukan sindir Hadi, kata naib presiden PAS

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyarankan orang ramai memahami keseluruhan ucapan Mohamad Sabu pada satu ceramah di Tumpat malam Jumaat lalu sebelum membuat kesimpulan, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kelantangan ucapan timbalan presiden PAS itu mengenai kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan sesuatu yang berbentuk sindiran atau memperlekehkan kredibiliti presiden parti itu.

Menurut Salahuddin, Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu, dalam ucapannya itu meletakkan satu konteks yang mana apabila PAS bersama dengan gabungan politik, barulah parti itu dapat memperluaskan wilayah dan pengaruhnya.

"Apabila buat satu kesimpulan mengenai isu yang dibawa seseorang dalam ceramah, kita harus baca keseluruhan ucapan. Kadang-kadang kita bercakap untuk memberitahu tentang satu gambaran atau senario politik yang besar, dengan memberi satu contoh beberapa individu.

"Mohamad bercakap tentang PAS boleh luaskan wilayah apabila kita berada dalam kesepakatan politik," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut perkara itu,Salahuddin berkata, PAS boleh menawan Kelantan apabila PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada era 80-an, begitu juga dengan Terengganu apabila bersama Barisan Alternatif.

"Kemudian, sekarang ini PAS boleh menang di Johor dan kita ada kerusi di Pantai Barat, apabila bersama atas nama Pakatan Rakyat (PR)," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan, ucapan Mat Sabu itu bukan satu sindiran sekiranya seseorang itu membaca atau melihat keseluruhan ucapan itu.

Sebelum ini dilaporkan, Mat Sabu mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir tindakan presiden PAS itu yang mahu keluar PR.

"Pidatonya (Hadi) begitu hebat. Ceramahnya, kuliahnya, Rusila, kereta parking berbatu, jadi macam pekan sehari bila Tok Guru Hadi beri kuliah. Tapi bila pilihan raya umum, (tetap) tak boleh ambil Terengganu (daripada Barisan Nasional).

"(Sehinggalah pada) tahun 1999 kita berpakat dengan PKR, dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat," katanya pada ceramah isu semasa PAS di Tumpat, Kelantan Jumaat lalu.

Turut hadir pada ceramah itu ialah Ahmad Awang yang akan menentang Hadi bagi jawatan presiden pada pemilihan PAS nanti.

Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan membawa PAS keluar daripada PR jika DAP mencetuskan provokasi ke atas parti itu selepas tidak bersetuju dengan usaha parti Islam itu melaksanakan hudud di Kelantan. – TMI


Mat Sabu timbang saman Bernama, akhbar

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita nasional dan dua akhbar utama yang menyiarkan laporan mendakwa beliau menyindir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamad berkata ucapannya dalam ceramahnya di Tumpat Jumaat lalu "diputar belit" sehingga mencetuskan "keresahan ahli, memburukan imej beliau dan menjadi ketidakharmonian dalam parti."

Sinar Harian dan Utusan Malaysia menyiarkan laporan tersebut di muka depan semalam.

"Oleh itu saya akan berbincang dengan peguam. Kalau ada kes, tindakan undang-undang akan diambil.

"Tulisan (laporan) itu berniat jahat terhadap saya dan terhadap parti saya," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kuala Lumpur petang ini.

Kelmarin Bernama melaporkan krisis dua pucuk pimpinan utama PAS dilihat semakin meruncing menjelang pemilihan parti itu awal Jun ini, dengan Mohamad semakin lantang mengkritik kepimpinan Abdul Hadi.

Menurut laporan itu, beliau lebih dikenali Mat Sabu mempertikaikan kegagalan Hadi menawan Terengganu, selain menyindir Hadi yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut, beliau mencabar ketiga-tiga media itu mengeluarkan atau menyiarkan transkrip penuh ucapan yang didakwa menyindir Abdul Hadi.

"Ucapan saya tu orang dah dengar dah. Bukan benda baru. Saya berucap di konvensyen di Perak, (perkara) ini juga," katanya.

Pada masa yang sama, beliau memuji kehebatan, ketokohan serta akhlak pemimpin PAS termasuk bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Nor dan bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sehingga berjaya memukau kehadiran rakyat menerusi kuliah dan ceramah.

Kalau nak sindir, sindir semua

Bagaimanapun, katanya, apabila tiba beberapa pilihan raya umum sebelum ini, kedua-dua mereka gagal menguasai Kedah dan Kelantan sehingga PAS membentuk dan bekerjasama politik.

Menurutnya lagi, Nik Aziz berjaya menguasai Kelantan selepas berpakat secara politik dengan Semangat 46 dan menang pilihan raya umum 1990 selepas Umno berpecah.

Katanya, dalam pilihanraya umum pada 1978, 1982 dan 1986 PAS gagal menguasai Kelantan.

Begitu juga, kata Mohamad, di Kedah PAS berjaya menguasai negeri melalui Datuk Seri Azizan Abdul Razak selepas mengadakan persefahaman politik pada 2008 ditambah pula dengan pengundi bukan Islam sedia mengundi PAS.

Sebelum itu, katanya, PAS hanya berjaya menguasai tiga kerusi pada pilihan raya umum 1986.

"Kalau saya nak menyindir, saya sindir (termasuk) Datuk Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz (sama). Itulah baru sindiran.

"Ertinya saya nak tekankan berbelas kali dalam ucapan saya, iaitu PAS tidak boleh bersendirian untuk tawan negeri. Inilah pokok ucapan saya (di muktamar)," katanya.
-mk




ULASAN GB

Hanya si "tolol" yang membuat kesimpulan dan yang percaya bahawa Mat Sabu menyindir Haji Hadi tidak kiralah si "tolol" itu dalam PAS atau di luar PAS.

Dari ucapan mat Sabu jelas bahawa beliau hanya melakukan perbandingan ucapan Haji Hadi semasa PAS berada dengan PR dengan sewaktu belum wujud PR. Itu saja.

Tetapi telah dimanipulasikan oleh BERNAMA dan akhbar untuk menggambarkan kononnya Mat Sabu menyindir Haji Hadi untuk mencalarkan imej Mat Sabu dan menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya. Sama seperti kes Mat Indera satu ketika dulu.

Kita menyokong penuh Mat Sabu untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas BERNAMA dan para akhbar yang melaporkan berita fitnah tersebut.

Pilih Ahmad Awang Untuk Kukuhkan PAS Dan Pakatan Rakyat


Nizar: Pilih Ahmad Awang demi kukuh PAS, Pakatan

Presiden dan barisan kepimpinan yang baru perlu diwujudkan di dalam PAS bagi memastikan parti itu terus kukuh bersama Pakatan, bekas menteri besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Nizar berkata beliau hanya mahukan parti itu dipimpin oleh individu yang tidak memperkecilkan rakan pimpinan dalam Pakatan demi menjaga keharmonian parti.

"Selepas muktamar apa yang saya mahu ialah muka presiden yang baru dan Pakatan akan kukuh seperti asal pada 2008 yang mana persefahaman pemimpin Pakatan jauh lebih akrab dan tidak keluarkan kenyataan yang memperkecilkan rakan pimpinan Pakatan.

"Presiden perlu baru, perlu juga pimpinan yang baru yang campuran bersama ulama. PAS perlu dipimpin oleh ulama dan siapa ulama itu? Dia ialah Ustaz Ahmad Awang.

"Dia (Hadi) boleh cakap Arab, dia (Ahmad) juga boleh bercakap dalam bahasa Arab, dia (Ahmad) boleh bercakap dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, dia (Hadi) tidak boleh.

"Kita perlukan kepimpinan yang dihormati parti dan negara kita. Dan dengan kepimpinan baru yang raikan Pakatan ia akan menghilangkan khurafat yang mengatakan hanya Umno boleh pimpin orang Melayu," kata Nizar.

Beliau berkata demikian dalam forum 'Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun 2015' di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Turut hadir sebagai ahli panel dalam forum itu ialah calon Presiden Ahmad Awang dan bekas menteri besar Selangoor Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Nizar berkata, walaupun beliau tewas untuk mengekalkan jawatan yang dipertua PAS Kawasan Kampar, namun beliau tetap bertanding mempertahankan kerusi ahli jawatankuasa PAS Pusat pada pemilihan kali ini.

Beliau turut mendakwa, semasa pemilihan PAS kali ini, beliau teruk difitnah "orang dalam parti" berbanding yang pernah dilakukan oleh Umno semasa pilihan raya umum lalu. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan individu terbabit.

Nafi tolak ulama

Katanya, fitnah yang dilemparkan bahawa beliau menolak kepimpinan ulama tidak benar sama sekali memandangkan segala kritikan yang diberi kepada kepimpinan PAS demi sayangkan parti.

"Adakah betul kumpulan profesional nak gulingkan ulama sedangkan saya beranggapan kalau tiada ulama (Majlis Syura) untuk tangani masalah yang di bawa Umno, dah lama PAS merudum.

"Ulama sebenarnya yang menyelamatkan parti kerana mereka ada ilmu yang boleh menyelamatkan parti. Tiba-tiba saya hari ini dituduh anti ulama dan nak jatuhkan presiden.

"Sedangkan kalau di dalam mesyuarat, kalau saya beri kritikan itu bermakna saya sayangkan orang tersebut tetapi saya lebih sayangkan parti.

"Saya beri pandangan dan kritikan kerana saya nak mereka membangun, bukankah itu peradaban dalam Islam. Semasa dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Allahyarham Datuk Nik Aziz (Nik Mat), saya beri kritikan yang sama dan mereka raikan pandangan mana-mana ahli PAS.

"Hari ini pandangan dalam PAS, kalau kritik presiden, ini lah orang yang sokong bawa rebah," kata ADUN Changkat Jering itu lagi.

Susulan kenyataan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang yang dilapor memberi kata dua kepada perwakilan dan bebas memilih pemimpin sama ada yang mengikut telunjuk DAP atau sebaliknya, Nizar mempersoalkan sama ada perwakilan mahukan presiden yang didakwanya menjadi boneka DAP atau Umno.

Menurut Nizar, dalam situasi banyak pihak mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat pihak dalam PAS yang mengeluarkan kenyataan supaya mengekalkan ahli parlimen Pekan itu sebagai ketua negara.

"Umno sekarang dalam keadaaan paling lemah apabila Tun Mahathir Mohamad, (timbalan perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan adik najib turut menghentam (Najib), tetapi ada pihak pula yang kata kekalkan Najib.

"Kalau macam itu saya boleh kata, nak jadi presiden yang jadi boneka DAP atau boneka Umno?" soal Nizar yang mendapat tepukan daripada hadirin. -mk

Ahmad Awang berazam satukan PAS kembali


Calon presiden Ahmad Awang akan memberikan fokus kepada penyatuan ahli parti yang berpecah teruk sekarang sekiranya beliau terpilih memenangi kerusi itu dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 minggu ini.

Ini kerana, beliau berpendapat, isu ini, terutama perpecahan antara golongan konservatif dan profesional, tidak diuruskan dengan baik oleh presiden PAS sekarang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ia perkara yang tidak wajar berlaku dalam satu jemaah Islam dan saya akan lakukan islah (pembaikan) ke atasnya," kata bekas pesuruhjaya PAS Perak itu dalam wawancaranya dengan The Malaysian Insider.

Ahmad, yang juga bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia, akan menentang Hadi pada muktamar bermula 4 hingga 6 Jun ini di Kuala Selangor.

Berikut petikan wawancara beliau dengan The Malaysian Insider (TMI).

TMI: Mengapa anda terima pertandingan?

Ahmad: Saya rasa ia kehendak pihak akar umbi di pelbagai peringkat dalam PAS, melalui pencalonan yang diberikan, dan melayakkan saya untuk bertanding. Ke mana saja saya pergi dan berjumpa mereka, mereka merayu agar saya jangan menolak pencalonan itu.

Daripada 179 kawasan PAS, 115 sahaja yang membuat pencalonan untuk presiden (Hadi), manakala 82 lagi tidak membuatnya. Saya mendapat 7 pencalonan manakala Datuk Husam Musa, 8. Jadi, bagi saya, peluang ada di situ.

TMI: Apakah masih ada harapan untuk PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) selepas apa yang berlaku dalam PAS dan selepas muktamar nanti? Atau lebih baik PAS bersama Umno?

Ahmad: Cakap-cakap para pemimpin yang ada nampaknya bersama dengan PR, tetapi tindakan dan perbuatan, ke arah tidak bersama lagi. Multaqa Ulama di Kedah beberapa tahun lalu juga menjelaskan usaha untuk mengkaji hubungan ini. Ia boleh dilihat melalui perbahasannya. Cuma tidak menyerang PR secara langsung tetapi menyerang pemimpin PAS yang mahu bersama PR.

Kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) dijadikan alasan untuk mengaitkan kononnya sesetengah pemimpin tidak wala' (taat) kepada pemimpin parti, tetapi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebenarnya, jika kita sokong Anwar, bermakna kita sokong PAS, kerana PAS berada dalam PR.

Jadi, PAS dan PR ini bergantung kepada siapa yang memimpin PAS selepas ini.

TMI: Bagaimana hubungan dengan Umno?

Ahmad: Kita, PAS dan saya, secara peribadi bersama dengan Umno sebelum ini. Umno bersetuju untuk berdakwah apabila kita bersama mereka. Maka, lahirlah Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dan terbentuknya Pusat Islam, dan saya menjadi pengarah dakwahnya.

Namun selepas itu, PAS ditendang daripada Umno dan kemudiannya saya ditendang daripada Pusat Islam dan ditukar ke Kementerian Pelajaran atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Ia berlaku apabila saya bersetuju yang mangsa tragedi Memali adalah syahid, sebagaimana dikatakan pemimpin PAS ketika itu.

Sepanjang pengalaman ini, saya kenal Umno dan tidak akan bersama dengan Umno lagi.

TMI: Apa pandangan anda mengenai sikap penentangan DAP terhadap hudud?

Ahmad: Memang kita tahu DAP dari awal tak pernah sokong hudud. Karpal Singh pernah berkata 'langkah mayat saya dulu untuk laksana hudud'. Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah jumlah Karpal mengenainya walaupun dia tahu sikap Karpal. Yang pasti, boleh berbincang mengenainya. Ia tidak menggugat PR selagi ada perbincangan.

Tetapi, ia berjaya menggugat PR apabila Datuk Seri Jamil Khir Baharom (menteri di Jabatan Perdana Menteri) berkata di Dewan Rakyat, kerajaan pusat sedia membantu Kelantan melaksanakan hudud, lalu terbentuknya Jawatankuasa Teknikal mengenainya.

Apabila ia dibangkitkan DAP, PAS bersetuju berbincang mengenainya sebelum dibawa ke Dewan Rakyat. Tetapi nampaknya bukan saja kepada DAP, kepada Jawatankuasa PAS Pusat juga, ia tidak ditunjuk dan diajak berbincang apabila rang undang-undang persendirian hendak dibentangkan.

Bagi saya, DAP menentang kerana mereka tidak diberi ruang mendengar apa yang PAS nak bawa. Kalau diterangkan yang hanya (melibatkan) Akta 355 yang sudah ada dalam Perlembagaan, ia tidak menjadi seteruk ini. Tetapi kerana tidak dibincangkan, jadilah macam ini.

Lagipun, kalau BN yang berkata menyokongnya, membawanya ke Parlimen, ia lebih baik kerana DAP boleh memberikan alasan kepada penyokongnya yang ia bukan dibawa PAS, tetapi Umno.

Perkara ini timbul kerana PAS percaya sangat kepada Umno. DAP lihat ini sebagai permainan politik. DAP juga pelajari hal ini dengan membaca buku Yusof Qardhawi. Tetapi bagi sesetengah pemimpin PAS, ia tidak baik. Walaupun bagi saya, ia baik, kerana DAP mula mempelajari Islam.

TMI: Apa pandangan anda tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ekonomi dan Islam yang progresif dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia?

Ahmad: Apa yang berlaku kepada 1MDB menambahkan lagi bobroknya pentadbiran negara di bawah presiden Umno, khasnya yang ada sekarang.

Saya secara peribadi terlibat dalam pembinaan Putrajaya ketika menjadi panel penasihat syariah RHB Bank. RHB diberikan amanah untuk menguruskan pengeluaran bon kerajaan bagi membina Putrajaya dan kami kena kaji hal ini.

Isu penyelewengan ini memang teruk dari dulu lagi, cuma bertambah sekarang. Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini berada di kemuncaknya selepas teruk sekian lama.

Tan Sri Aziz Abdul Rahman yang pernah menjadi pemimpin MAS pernah berkata, beliau meninggalkan MAS dengan harta dan aset yang banyak, tetapi apa berlaku kepada MAS sekarang?

Bagi saya, kegagalan paling besar Najib ialah kegagalan memisahkan dirinya dengan pelaksana dasar, sedangkan dia pembuat dasar. Konsep pemisahan kuasa dalam pentadbiran itu dilanggar. Itulah yang berlaku dalam kes 1MDB. Dia perdana menteri, dia menteri kewangan dan dia pengerusi 1MDB.

TMI: Apa peranan ulama dalam masyarakat moden dan parti politik?

Ahmad: Bagi saya, ulama kena jadi pakar rujuk umat. Antaranya membuat kajian ilmiah supaya orang Islam, dan ahli PAS khasnya, berpolitik dengan betul dan memahami konsep politik Islam.

Misalnya bila bertahaluf dengan DAP, kita kena sokong calon DAP walaupun siapa rakan tahaluf itu, kerana itulah prinsipnya. Bukan kita kena campur semua. Pendek kata, kajian hukum fikah politik, kena buat.

Yang kedua, ulama perlu membuat kajian mendalam bagaimana melaksanakan konsep atau pendekatan ulama yang profesional dan profesional yang ulama. Ulama kena kaji untuk mengintegrasikan semua ini agar mereka tidak senang dipecahkan macam sekarang.

TMI: Apa yang anda boleh tawarkan yang tidak ada pada presiden PAS sekarang?

Ahmad: Yang saya tawarkan ialah menyatukan semua kelompok ahli PAS yang sedang berpecah sekarang. Ini perkara yang tidak wajar berlaku dalam satu jemaaah Islam, dan saya akan lakukan islah (pembaikan) ke atasnya yang dia (Hadi) tidak hendak tawarkan.

Saya juga akan usahakan agar orang Melayu dan Islam yang berada dan bergantung kepada Umno berpaling dan bergantung kepada PAS. Bagi saya, PAS belum berupaya menarik mereka selama ini.

Saya juga akan berusaha agar pemimpin PAS diterima sebagai pemimpin PR dan memasukkan banyak parti lagi ke dalam PR bukan setakat tiga sahaja, kerana dengan cara itu kita boleh kukuhkan PR dan tumbangkan BN.

TMI: Hudud sebahagian kecil syariah saja dan perlu kajian mendalam sebelum dilaksanakan. Boleh anda jelaskan?

Ahmad: Solat ini wajib bagi umat Islam, tetapi ada syarat untuk solat. Begitu juga hudud wajib, tetapi bagaimana ia hendak dilaksanakan? Perlu ada syarat-syaratnya. Hudud juga bukan keutamaan dalam Islam kerana berdasarkan fikah, ia terletak terkemudian berbanding dengan yang lain.

Fikah Islam disusun dengan memulakan ibadat dan ibadat yang utama pula solat. Selepas itu barulah muamalah dan selepas itu barulah undang-undang jenayah yang termasuk dalamnya hudud itu. Jadi kita perlu dahulukan yang dahulu dan kemudiankan yang kemudian.

Solat diutamakan dalam Islam kerana perlu dilaksanakan di mana saja kerana ia adalah asas untuk mendidik manusia mematuhi perintah Allah. Bila kita sudah terdidik dan patuh dengan Allah, apa yang diperintah oleh Allah semuanya akan mudah.
-TMI


UG Bertelagah, TITM Serang DAP, PAS Selangor Kata Tak Ada Isu Dgn DAP


Isu yang dibesarkan'

KLANG - Tekanan DAP terhadap Pas menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-61 nanti cuma isu yang diperbesarkan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tidak ada isu tekanan DAP terhadap Pas sebagaimana yang digembar-gemburkan.

“Saya rasa ia cuma satu isu yang diperbesarkan sahaja. Saya kira tak ada apa isunya,” katanya selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Guru dan Penyampaian Anugerah Hari Kualiti Pendidikan 2015 Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), semalam.

Bercakap mengenai muktamar, Ahmad Yunus berkata, ia adalah jalan penyelesaian ke atas perkara-perkara yang didebatkan.

Katanya, keputusan akan dicapai selepas penggulungan dilakukan walaupun senarionya pelbagai.

“Ia macam tradisi yang biasa berlaku. Saya rasa ahli-ahli pun dah dewasa berkaitan dengan isu yang berlaku.

“Saya harap muktamar pada kali ini akan berakhir dengan baik. Macam carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga,” katanya. -SH


DAP banyak campur tangan urusan Pas

SHAH ALAM – Terlalu banyak campur tangan pimpinan DAP dalam pentadbiran Pas membuatkan seolah-olah wujud kumpulan dalam Pas yang suka mengikut nasihat DAP.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun DAP merupakan rakan komponen dalam PR, tetapi parti itu tidak sepatutnya mencampuri urusan dalam Pas.

“Seperti sekarang, pimpinan DAP seolah-olah cuba campur tangan dalam pemilihan Pas yang akan berlangsung Jun ini. Antaranya ialah DAP sering menyebut mengenai keperluan untuk Pas menukar kepimpinan.

“Apabila ada kenyataan daripada DAP, ia seolah-olah mencerminkan wujud situasi begitu (golongan yang menyokong DAP). Sepatutnya tiada orang luar yang menentukan hala tuju Pas,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin bahawa wujud dua golongan dalam Pas, iaitu yang menyokong DAP dan golongan yang setia mempertahankan dasar Pas.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, segala kritikan dan campur tangan DAP tidak akan menjejaskan dasar parti Islam itu.

“DAP pernah menyatakan tidak menerima kepimpinan Abdul Hadi, tetapi masih kerjasama dengan Pas. Ini sesuatu yang pelik.

“DAP tidak perlu tunggu sehingga selepas muktamar ini untuk melihat dasar dan polisi Pas. Ini kerana, bagi kita, terutamanya golongan ulama dalam Pas, sama ada sebelum atau selepas muktamar, perjuangan kita tetap sama dan tidak berubah,” katanya.
-SH


ULASAN GB

Benci sangat dengan DAP... keluar lah Pakatan Rakyat.. apa tunggu lagi? Tapi tak mahu...

Haji Hadi sampai beri katadua kepada perwakilan, pilih dirinya atau calon yang ikut telunjuk DAP.

Dan beberapa pemimpin termasuk Tuan Ibrahim Tuan Man (calon Timbalan Presiden) menyokong kenyataan Haji Hadi seperti laporan di atas kononnya DAP cuba campurtangan dalam pemilihan PAS.

Kenyataan Haji Hadi dan Tuan Ibrahim itu sebennarnya menyusahkan kumpulan mereka di Selangor yang kini membentuk kerajaan dengan PKR dan DAP di Selangor. Itu sebab exco Selangor dari PAS, Mohd Yunus Hairi membuat kenyataan "tekanan DAP terhadap Pas itu cuma isu yang diperbesarkan."

Dan kebanyakan ADUN-ADUN PAS Selanor tahu kemenangan mereka dulu adalah kerana sokongan kaum Cina yang rata-rata penyokong DAP. Serangan terhadap DAP akan meenyebabkan kedudukan mereka tergugat terutama yang dah jadi exco-exco. Kini kerusi exco-exco PAS bergegar, masing-masing dah kecut akan tertanggal semua. Mereka boleh kehilangan jawatan jika PAS keluar atau dikeluarkan dari Pakatan Rakyat. Malah ramai yang akan kecundang dalam pilihanraya jika PAS terus mengambil sikap bermusuh dengan DAP. Haji hadi dan TITM tak kasihan dan tak bersimpati pun dengan mereka.

Haji Hadi lansung tak memikirkan negeri-negeri yang multi-racial. Yang dilihat hanya Terengganu, dimana kaum Cina tidak ramai. Begitu jua Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding di Jengka.... dimana kaum Cina boleh dibilang dengan jari.

Terus bermusuhan dengan DAP, berakirlah riwayat PAS Selangor...