17 Jun 2015

[VIDEO] Parti Baharu: Profesional Pantau Kehendak & Sokongan Akar Umbi Terlebih Dahulu


Bekas pemimpin PAS dirai, Malaysia bakal saksikan muafakat politik baharu

Malaysia akan menyaksikan muafakat politik baharu tidak lama lagi selepas 18 pemimpin PAS yang disingkirkan dalam muktamar baru-baru ini melancarkan perhimpunan pertama mereka di Muar, Johor malam tadi.

Kumpulan dikenali G-18 itu bermesyuarat sesama mereka kira-kira jam 6 petang di sebuah hotel dan pada jam 9 hingga 12 malam, mereka berucap di hadapan kira-kira 3,000 penyokong, jumlah dianggap besar untuk satu ceramah politik di Johor.

Hampir semua mereka hadir kecuali Datuk Husam Musa yang tidak berapa sihat dan Dr Syed Azman Ahmad Nawawi yang berada di luar negara.

Antaranya, bekas timbalan presiden Mohamad Sabu, juga dikenali sebagai Mat Sabu, bekas naib presiden Salahudin Ayub, bekas ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar, bekas bendahari Asmuni Awi, bekas pengarah pilihan raya Dr Mohd Hatta Ramli, bekas ahli Jawatankuasa Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, Mohamed Hanipa Maidin, Khalid Samad, Datuk Kamarudin Jaffar, Zulkifli Mohamad Omar, serta ramai lagi.

Pengarah perhimpunan, Mazlan Aliman, merupakan satu-satunya anggota kumpulan progresif yang menang dalam pemilihan AJK PAS Pusat baru-baru ini. Mazlan melepaskan jawatan itu Isnin lepas.

Ketika berkumpul di Johor, pihak yang menang pula berhimpun di kubu mereka di Rusila, Marang. Namun begitu, ia tidak disertai Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berada di luar negara dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempunyai program tersendiri di Jengka, Pahang.

"Saya yakin muafakat politik kali ini akan bermula di selatan, dia akan naik ke utara. Johor menjadi tapak bermulanya perjuangan era baru di Malaysia ini," kata Mat Sabu, pemimpin yang paling senior di kalangan mereka yang kalah itu.

Pada sidang media selepas itu, Mat Sabu berkata, mereka akan melihat situasinya dahulu sebelum memutuskan langkah seterusnya sama ada menubuhkan parti baharu.

"Kita belum fikir parti baharu lagi, kita akan lihat sokongan rakyat dahulu kepada beberapa pilihan yang kita ada, sama ada parti baharu, kekal dalam parti lama, NGO atau sertai parti politik yang ada," katanya tidak mahu mengikat hala tuju perjuangan mereka.

Selepas Muar, mereka akan bergerak ke seluruh negara, Temerloh, Pahang akan menjadi destinasi kedua mereka pada 26 Jun ini.

Datuk Dr Mujahid Yusof ketika ditemui The Malaysian Insider di majlis itu yakin gerakan baharu tersebut melibatkan semua pihak yang mempunyai cita-cita sama bagi membela rakyat negara ini dan mengambil alih Putrajaya.

"Kita akan pastikan semua pihak berada dalam satu wadah untuk perjuangan ini," katanya.

Di samping kumpulan G-18 ini, pihak lain yang berminat menubuhkan parti politik baharu ialah Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang sebelum ini membuat keputusan mengambil inisiatif tersebut.

Di samping itu, Ikram Malaysia juga difahamkan menyatakan minat untuk bersama mereka, di samping Wadah, iaitu NGO yang menghimpunkan bekas pemimpin kanan Abim.

Jadual pimpinan G-18 penuh dengan pertemuan dengan pelbagai pihak yang berminat bersama mereka.

Ia akan bekerjasama dengan PKR dan DAP yang bersama dengan PAS sebelum ini dalam Pakatan Rakyat (PR) yang kini berkubur.

Mat Sabu sudah beberapa kali menegaskan akan terus bersama dengan parti dalam PR sebelum ia diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai tidak wujud lagi semalam.

Dalam ceramah pertama beliau di Kota Baru Ahad lepas selepas tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam PAS, Mat Sabu tegas menolak mereka yang mahu berbaik-baik dengan Umno.

"Jangan siapa niat nak bantu Umno kekalkan Putrajaya, Abang Mat akan lawan habis-habisan kali ini... No, no, no," katanya disambut dengan takbir oleh orang ramai yang hadir.

Halangan terbesar mereka adalah bagaimana memujuk ahli PAS yang berjumlah satu juta orang itu menyertai mereka. –TMI


[BERGAMBAR] Deklarasi Bakri: "Perjuangan Baru Bermula" -updated


RibUan rakyat pelbagai kaum dari seluruh negara membanjiri majlis yang pada awalnya dinamakan "Himpunan Jasamu Dikenang" yang bertukar menjadi "Perjuangan BARU Bermula" yang diadakan malam tadi di Bakri, Muar, Johor.

Begitu ramai sekali bekas pimpinan PAS yang hadir terutama dari kumpulan profesional yang disingkirkan di dalam pemilihan di muktamar baru-baru ini hadir untuk berhimpun sekaligus menjadikan Bakri sebagai tapak awal dan saksi kepada pemulaan sebuah perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

Diantara yang memberikan ceramahnya pada malam tadi ialah Sdra Mazlan Aliman, Dr. Mohd Hatta Ramli, Khalid Samad, Suhaizan Kayat, Datuk Dr. Mujahid Yusuf, Hanipa Maidin, Dato Seri Nizar Jamaluddin, Dato Mahfuz Omar, Dr.Dzulkefly Ahmad, Dr. Siti Mariah, Salahuddin Ayub dan Mohamad Sabu.

Selain mereka, terdapat beberapa tokoh lain yang turut hadir termasuklah Dato Kamaruddin Jaafar, Dato Mohammad Taib, Asmuni Awi, YM Tengku Puji, Adly Zahari, Rosly Omar, Faiz Fadzil dan lain-lain.

Sekalipun diberikan masa cuma sekadar 5-6 minit untuk berucap namun ternyata kesemua penceramah tidak menghampakan hadirin. Masing-masing begitu bersemangat untuk memulihkan harapan Pakatan Rakyat di dalam meneruskan aagenda perjuangan bagi menumbangkan kerajaan UMNO BN di dalam pilihanraya yang akan datang.

Dpedas.fm telah membuat lintas lansung untuk program berkenaan malam tadi.

Rata-rata penceramah menyatakan bahawa melalui Pakatan Rakyat, kita akan tumbangkan kerajaan UMNO BN kerana telah terbukti didalam pilihanraya yang lalu bahawa sokongan rakyat kepada kerajaan UMNO BN telah terus merosot dan menurun dengan kewujudan Pakatan Rakyat.

Yang jelas, semangat pimpinan dari kalangan profesional ini tidak terjejas sedikit pun dengan penyingkiran mereka dari saf kepimpinan PAS baru-baru ini.

Mereka telah dikalahkan dengan perbuatan fitnah, cai, makian, cacian, boo segala jenis akhlak yang tidak islamik yang dilakukan oleh kalangan pro-ulama yang mana ia memeranjatkan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sendiri yang merasa kecewa dengan perbuatan dan tindakan melampau yang lansung tidak dibendung oleh para ulama PAS.

Yang menjadi perhatian dan wira pada malam tadi sepastinyalah sdra Mazlan Aliman, seorang pemimpin NGO ANAK yang telah sangguo melepaskan jawatan sekalipun menang sebagai AJK PAS Pusat demi untuk menyertai barisan rakan-rakannya dari kalangan profesional.

Rakyat yang hadir berulang-ulang kali menjerit dan meminta sebuah parti Islam yang baharu ditubuhkan segera di setiap kali penceramah berceramah, bagi menggantikan PAS yang dilihat sudah tidak lagi diyakini mampu untuk melawan kerajaan UMNO BN setelah semua jawatan diboloti oleh pro-ulama dan telah bertindak untuk mengeruhkan hubungan dengan rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat.

Apatah lagi dengan usul yang diluluskan tanpa bahas memutuskan kerjasama dengan DAP.

Malah ada ura-ura pimpinan PAS yang baru akan membawa PAS bersama UMNO apabila Presiden PAS membuat kenyataan "UMNO tidak seburuk Firaun." Ini diperkuatkan dengan kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharuddin Mat Isa yang menyatakan "inilah saat terbaik untuk PAS-UMNO bersatu," yang mana kenyataannya lansung tidak disanggah oleh mana-mana pemimpin PAS yang baru.


Harapan dan cita-cita rakyat itu nampaknya seperti bakal ditunaikan apabila bekas Timbalan presiden PAS, Hj. Mohamad Sabu di dalam ucapannya memberikan indikasi dengan kata-katanya:

"Kami akan mencari wadah, wadah itu sebagai kenderaan untuk membela Islam, rakyat dan menentang kezaliman." aru.

Pernyataan itu disambut dengan laungan takbir lebih 5,000 hadirin sebagai tanda bersetuju.

Sebelumnya Mohamad Sabu telah menyatakan kekesalannya apabila PAS terus ditipu oleh UMNO di dalam isu hudud yang setelah dua penggal parlimen bersidang, Private Bill masih gagal dibentang.

Akibat darinya juga, PAS telah berpecah, Pakatan Rakyat berantakan. Mangapakah kita terlalu bodoh untuk percaya kepada UMNO? Soalnya.

Pemimpin progresif PAS bakal tubuh parti, teruskan kerjasama DAP, PKR

Beberapa pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan lalu tetapi masih popular di peringkat nasional bakal menubuhkan parti baharu meneruskan kerjasama dengan DAP dan PKR. Ini dinyatakan secara terbuka tetapi juga secara "berkias" sebahagian mereka dalam satu majlis penghargaan dinamakan "Malam Jasamu Dikenang", di Muar, Johor malam tadi.

"Sampai masanya PAS baharu, nama tak tahu lagi, parti yang baharu yang akan memberikan wadah yang baharu buat rakyat Malaysia bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR) yang ada hari ini," kata bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di hadapan ribuan hadirin seluruh negara yang hadir.

"Kita amat yakin dengan sokongan rakyat yang bangun membuak-buak berkehendak wadah baharu yang dipimpin daripada gerakan baru. (Marilah) bersama kami yang sedar bahawa PAS perlu naik ke satu tahap yang lebih tinggi untuk menyelamatkan negara ini daripada ajaran sesat Umno-Barisan Nasional (BN).

"Tiada pilihan lain, berilah kami sokongan dengan 'wadah' yang baharu dan kami akan bersama-sama saudara menjatuhkan Umno BN," katanya disambut tepukan gemuruh.

Pengumuman bersejarah ini dibuat pada hari sama DAP mengumumkan PR tidak lagi wujud dan hanya akan bekerjasama dengan pihak yang mahu melihat pemerintahan Barisan Nasional (BN) berakhir.

Nizar tewas pada peringkat kawasan Kampar dalam pemilihan PAS lalu bersama beberapa personaliti lain yang popular di peringkat nasional, sebahagian besarnya ahli Parlimen kanan parti itu.

Kekalahan itu berlaku akibat pengaruh kuat kumpulan konservatif yang hampir menyapu bersih semua jawatan dalam Jawatankuasa PAS Pusat pada muktamar tahunan ke-61 parti itu baru-baru ini.

Seorang lagi bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin, pula membayangkan penubuhan parti baharu itu secara berkias.

Menurutnya, PAS kini dipimpin golongan "agamawan yang tindakannya tidak selari dengan keutamaan beragama" sekaligus "menguatkan prasangka terhadap Islam".

Menggunakan perkataan "wadah" yang turut digunakan beberapa pemimpin lain pada malam tadi, Hanipa berkata beliau kekal memperjuangkan sebuah parti Islam yang bertolak ansur dengan perbezaan dalam parti.

"Sebab itulah, sama ada melalui apa-apa 'wadah' sekalipun kita akan terus membawa Islam yang rahmatan lil alamin (rahmat kepada seluruh alam), Islam yang bersedia menerima dialog, Islam yang bersedia menerima apa-apa sahaja kritikan dan bersedia menjawab kritikan itu.

"Saya harap kita akan terus istiqamah dalam apa-apa sahaja 'wadah'.

"Yang penting kita mahu membentuk Malaysia baharu yang tidak melupakan agama tetapi boleh berbincang dan berdialog," kata ahli Parlimen Sepang itu dalam ucapannya.

Bercakap dalam nada sama, bekas timbalan presiden Mohamad Sabu membayangkan gabungan baharu politik akan bermula tidak lama lagi.

Menurutnya, gelombang baharu itu akan bermula dari program mereka yang akan menyaksikan satu lagi program seumpamnya berlangsung di Pahang pada 26 Jun depan.

"Saya yakin muafakat politik kali ini, dia akan bermula di selatan, dia akan naik ke utara. Johor menjadi tapak bermulanya perjuangan era baharu di Malaysia ini," katanya disambut sorakan "Bila mahu bagi borang" dari sebahagian hadirin.

Mohamad yang tersenyum mendengar sorakan itu menjawab "Tunggulah", sambil disambut tepukan bergemuruh dari hadirin.

"Kami akan mencari wadah dan wadah itu sebagai vehicle (kenderaan) dan tujuannya kita membela rakyat, menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli pula mengiyakan sorakan orang ramai yang melaung "parti baru" sewaktu beliau berucap.

"Kalau bukan kerana rakyat kita tak akan ke mana-mana.

"Dengan suara yang ramai dari rakyat, sudah bermacam-macam bunyi kita dengar tadi, apa tadi contohnya?

"(Dijawab hadirin: Parti baru!). Lebih kurang begitulah ya.

"Kita akan melangkah ke depan, kerana pembinaan negara tak akan berhenti hanya kerana kami tidak lagi dalam jawatankuasa pusat," katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa pula menyatakan komitmen beliau meneruskan intipati semangat PR.

"Kita tak perlu bersedih kalau nama Pakatan Rakyat sudah berkubur kerana nama lain akan muncul tetapi yang penting perjuangan harus diteruskan,' katanya.
-TMI


DAP lebih faham muktamar berbanding PAS, kata Khalid Samad

Bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad membidas sikap berdolak-dalik kepimpinan tertinggi PAS selepas meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 baru-baru ini. Menurut ahli Parlimen Shah Alam itu, beliau tertanya-tanya di mana logiknya usul itu yang kini diletakkan di bahu Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat untuk diputuskan.

Katanya, kedua-dua badan itu hadir pada muktamar lalu dan tidak membangkang usul itu diluluskan tanpa perbahasan.

"Dalam muktamar itu Majlis Syura Ulama ada atau tiada? AJK PAS Pusat ada atau tidak ada?

"Kalau dalam muktamar mereka luluskan usul itu, takkan keluar muktamar dia nak tolak usul itu.

"Dengan sendirinya apabila muktamar luluskan maknanya Majlis Syura Ulama luluskan, AJK PAS Pusat luluskan, Dewan Ulama PAS Pusat luluskan, Dewan Muslimat Pusat luluskan, Dewan Pemuda Pusat luluskan.

"Seluruh perwakilan daripada seluruh negara, lulus dah.

"Dah itu apa nak kata? Takkanlah pimpinan tidak faham proses muktamar ini?" katanya sewaktu berucap pada majlis "Malam Jasamu Dikenang" di Muar, Johor, malam tadi.

Katanya, tindakan DAP menerima usul itu dan mengumumkan pembubaran Pakatan Rakyat memberi gambaran parti itu lebih memahami PAS daripada PAS sendiri.

"DAP pun lebih faham. DAP kata dah bubar dah tak ada apa-apa dah," katanya.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), badan pembuat keputusan tertinggi parti itu, memutuskan menerima usul muktamar PAS itu mengenai hubungan kerjasama antara mereka.

Beliau juga mengumumkan pembubaran PR ekoran penerimaan usul itu oleh DAP selaku salah satu daripada 3 parti dalam PR.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerjasama antara PKR, PAS dan DAP perlu segera disemak semula bagi memperkukuhkan kembali gabungan parti di dalam PR.

Dalam kenyataannya, ketua pembangkang itu mengakui wujud masalah dalaman PR yang memerlukan perhatian segera pemimpin tertinggi supaya ia ditangani secara bijaksana.

PKR dijangka mengumumkan pendirian mereka tentang status PR hari ini.

-TMI




Berikut ialah video montaj yang disediakan oleh penganjur himpunan






Iskandar Samad Dah Kecut, Sekarang Baru Nak Gesa Kukuhkan PR


Adun PAS Selangor gesa kukuhkan Pakatan Rakyat

Pertemuan Ahli-Ahli Dewan Negeri PAS dari Selangor hari ini menggesa agar usaha-usaha dilakukan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat. Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata ia selaras dengan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 lalu yang menegaskan bahawa PAS komited terhadap Pakatan Rakyat.

"Di dalam satu pertemuan di Shah Alam, kami bersetuju agar semua pihak mesti berusaha untuk memulihkan hubungan di dalam pakatan tersebut.

"Walaupun terdapat banyak cabaran tetapi kami yakin ketiga-tiga parti berupaya menangani sebarang masalah yang timbul dengan bijaksana melalui perundingan," ujarnya dalam satu kenyataan.

PAS negeri juga, ujar beliau menggesa agar hubungan di peringkat akar umbi dijalin dan diperkukuhkan.

"Negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai krisis dan rakyat semakin tertekan akibat kos sara hidup yang meningkat," katanya yang juga exco kerajaan negeri.

Tambahnya, Pakatan Rakyat merupakan sinar harapan bagi rakyat dan keyakinan yang telah diberikan oleh mereka selama ini tidak seharusnya disia-siakan.

Di Selangor, ujar beliau rakyat telah dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik menerusi dasar bersama Pakatan Rakyat yang menitikberatkan ketelusan, memerangi rasuah, peluang ekonomi yang adil, kediaman mampu milik dan polisi-polisi baru yang lain.

Menurutnya, usaha-usaha di negeri itu di bawah kepimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali perlu diteruskan agar Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor terus kukuh demi kebajikan dan masa depan rakyat.

"Semoga kecemerlangan Pakatan Rakyat di Selangor akan menjadi contoh dan pendorong kepada seluruh rakyat Malaysia membuat keputusan untuk menamatkan keangkuhan Barisan Nasional," ujarnya yang juga Naib Presiden PAS. -HD


ULASAN GB

Sekarang baru Iskandar Samad, Pesuruhjaya PAS Selangor menggesa untuk kukuhkan Pakatan Rakyat.

Dahulu seamasa dua ADUN bertindak untuk mengukuhkan PR, mereka berdua dikutuk, dicaci dan dihina dengan begitu teruk sekali sehinggalah kedua-dua ADUN berkenaan digantung keahliannya.

Kedua-dua ADUN itu dikatakan mendahului Presiden dan MSU di dalam menyokong PKR. Jika demikian halnya sehingga mereka berdua digantung keahlian, tidakkah tindakan Iskandar juga mendahului MSU dan PAS Pusat yang belum bersidang untuk memutuskan mengenai usul Dewan Ulama berkenaan? Dan tidakkan Iskandar juga boleh dikenakan dengan tindakan disiplin yang sama dengan kedua-dua ADUN berkenaan dengan berasaskan prinsip keadilan kerana telah wujud "precedence"?

Kini apabila DAP sudah menyatakan PR tidak wujud lagi, dan apabila Azmin menyatakan PKR menghormati keputusan Muktamar PAS yang memutuskan kerjasama dengan DAP, baru kedengaran suara sumbang Iskandar untuk mengukuhkan PR.

Beliau tahu dengan kenyataan DAP tersebut, kerajaan PR akan digantikan dengan yang baharu. Seandainya mesyuarat PKR malam ini memutuskan untuk bersama dengan DAP di dalam kemelut yang berlaku, maka tersingkirlah PAS dari kerajaan negeri Selangor, yang membawa erti hilanglah semua jawatan-jawatan termasuk exco-exco dari PAS. 5,000 kakitangan dari kalangan ahli PAS yang dilantik dengan jawatan politik di negeri tersebut juga akan tamat.

Semasa muktamar baru-baru ini sewaktu Dewan Ulama membuat usul memutuskan kerjasama dengan DAP, tiada seorang pun perwakilan membantah. Malah usul itu telah diluluskan tanpa bahas.

Jika Iskandar jujur mempertahankan PR, mengapa beliau tidak bangun untuk membantah usul berkenaan?

Kini baru tercengang-cengang apabila terpelesok ke dalam jerat yang dipasang oleh kumpulan sendiri!