1 Jul 2015

Pegawai KIAS Yang Nik Amar Pecat Dapat Gantirugi RM200,000

Bekas Kadi Kelantan, Che Ibrahim Mohamed yang dipecat oleh anak syarikat kerajaan negeri Kelantan hari ini mendapat gantirugi sebanyak RM200,000, demikian keputusan di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur di dalam satu pendengaran kes di Kota Bharu pagi ini.

Di dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Che Ibrahim, beliau menyatakan:

" .....Tanpa pengakuan liabiliti, Pihak KIAS hendaklah membayar kepada Che Ibrahim Bin Mohamed sebanyak RM200,000.00 sebagai penyelesaian muktamad kpd kes ini dlm tempoh 14 hari dari keputusan mahkamah bersama satu testimonial dari pihak KIASl yang memperakukan bahawa Che Ibrahim Bin Mohamed, Timbalan Pendaftar KIAS yang telah berkhidmat di KIAS mulai 1 Januari 2000 hingga 1 Febuari 2014, sepanjang perkhidmatannya di KIAS, adalah seorang pegawai yang berkebolehan dalam menjalankan dan melaksanakan tugasan yang diamanahkan oleh pengurusan Kolej. Pihak KIAS mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas perkhidmatan beliau di sepanjang tempoh perkhidmatan tersebut."

Pada 1 Februari lalu, Che Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Pendaftar Kolej Islam Sultan Yahya Petra (KIAS), sebuah kolej yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Kelantan.

Surat pemecatan itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga KIAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.

Che Ibrahim adalah penyokong Husam yang keempat dipecat, dipercayai berikutan pertembungan antara Husam dengan kepimpinan baru kerajaan negeri Kelantan, terutama Mohamad Amar.

Sebelum Che Ibrahim, tiga penyokong Husam turut dipecat iaitu Asrul Afendi (Pegawai IT KGT Sdn Bhd yang juga pegawai akhbar Husam), Khir Zahri Abdul Ghani (Pengurus Tabung Tok Kenali) dan Fauzi Mohamad (Pengurus Besar PMBK Sawit) selain beberapa kakitangan kerajaan negeri serta anak syarikatnya.

Pada 6 Februari tahun lalu, Che Ibrahim bersama rakan-rakannya telah menyerahkan kembali cek pampasan tiga bulan gaji yang diberikan kepada beliau sebagai tanda penentangan ke atas pemecatan itu.

Di dalam kenyataan akhbarnya juga Che Ibrahim menyatakan beliau merasakan pemecatan itu telah menjejaskan nama baiknya, dan telah menyusahkan dirinya, serta telah menyebabkan wujudnya pandangan negatif masyarakat sekeliling terhadapnya dan juga keluarganya. Maka dengan sebab itu beliau akan berbincang dengan peguamnya untuk menfailkan satu saman sivil di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dalam masa yang terdekat.

Beliau juga mengumumkan bahawa beliau telah hilang kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin Pas yang dilantik untuk menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan hari ini dan juga pemimpin-pemimpin Pas peringkat Pusat dan beliau mengisytiharkan diri untuk bersama parti baharu yang akan ditubuhkan selepas hari raya ini sebagai wadah baru perjuangan Islam dalam politik Negara.

Sebelum dilantik menjadi Timbalan Pendaftar KIAS, Che Ibrahim pernah menjawat beberapa jawatan lain termasuk kadi, Setiausaha Majlis Syura Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) dan Setiausaha Jawatankuasa Pindaan Enakmen Mahkamah Syariah Kelantan (Jawatankuasa Penggubal Kanun Jenayah Syariah II).

Che Ibrahim adalah Ketua Pas Cawangan Kepala Jambatan, DUN Pasir Pekan, Tumpat dan Timbalan Pengerusi Pasma Negeri Kelantan, Jawatan-jawatan yang pernah disandang dalam Pas termasuklah 1. Ahli J/Kuasa Pas Kawasan Tumpat, Exco Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan, Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulama Pas Negeri Kelantan, Setiausaha Kerja Dewan Ulama Pas Negeri Kelantan, Timbalan Pengerusi, Unit Latihan Dan Perkaderan Pas Negeri Kelantan, Ahli Majlis Tindakan Dun Pasir Pekan, Setiausaha dan Pemangku Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Nilam Purbi (skrg Ketereh/Kubang Kerian) -GB

[VIDEO] Apa Yang Menyalak Sekiranya Bukan Anjing?


Hadi sebut menyalak, orang terjemah anjing

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohammad menegaskan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyebut langsung perkataan anjing dalam ucapannya sebaliknya hanya menggunakan perkataan menyalak.

"Yang diucapkan ialah menyalak tapi orang terus terjemahkan menyalak itu anjing.

"Sebenarnya bukan beliau kata anjing. Tidak disebut pun perkataan anjing," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan salah anggap itu perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari.

"Salah anggap itu biasa. Seperti kita memasak bubur lambuk dan letak banyak kacang tapi ada satu biji kacang itu busuk. Seluruh bubur itu dianggap rosak semua. Sedangkan hanya kerana sebiji kacang itu," katanya.

Ucapan Abdul Hadi di Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin menarik perhatian apabila beliau dilaporkan menggelar golongan yang menentang hudud sebagai anjing.

Namun Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu dalam ucapan selama satu jam setengah itu, Abdul Hadi telah memetik sebuah syair Arab sebagai kiasan.

Dalam syair itu menyebut biarlah serigala menyalak, tetapi kabilah akan teruskan perjalanan. Biasanya masyarakat Arab yang pergi berjalan di padang pasir akan berdepan dengan anjing atau serigala yang menyalak.

“Syair itu membawa maksud agar kabilah tidak takut dengan anjing dan serigala dan teruskan perjalanan. Jadi ia sebagai kiasan atau kata-kata semangat kepada kita agar jangat cepat menyerah dalam perjuangan walaupun ada banyak cabaran,”
katanya.

Beliau berharap tidak ada lagi pihak yang salah faham terhadap ucapan tersebut.

“Saya harap semua faham, ucapan ini bukan mengejek atau gelar sesiapa sebagai anjing.

“Ceramah Abdul Hadi berlangsung satu jam setengah, jadi tak boleh kita ambil satu patah perkataan saja lalu perbesarkannya. Sebab bidalan itu perlu dilihat konteks kiasan,” katanya. -SH

ULASAN GB

Terlajak perahu boleh berpatah balik, terlajah kata buruk padahnya. Itu pepatah Melayu, terang dan jelas.

Setelah membawa syair Arab tentang "biarlah serigala menyalak, tetapi kabilah akan teruskan perjalanan", kini masih-masing cuba mempertahankan Presiden PAS.

GB sudah mengulas sebelum ini. Petikan:

Apabila anda mengungkapkan perkataan ANJING MENYALAK, maka sebenarnya perkataan itu akan kembali kepada diri anda sendiri.

Sebelum ini pun Haji Hadi kerapa menutur perkataan-perkataan yang buruk seperti BARUA, TOLOL dan seumpamanya. Misalnya perkataan BARUA... tiba-tiba BARUA menimpanya - beliau diheret ke kandang orang salah di dalam satu kes saman fitnah pil kuda dan walaupun beliau bebas dari tuduhan itu tetapi Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan "kata-kata yang disebut Abdul Hadi dalam ucapannya pada malam berkenaan adalah sebagai kata-kata yang berunsur fitnah". Dengan automatik jatuh maruahnya kerana telah diisytiharkan "seorang yang mengeluarkan perkataan yang berunsur fitnah". Itulah hukum kebenaran dan keadilan yang berjalan... BARUA menimpa sipenuturnya.

Begitulah juga dengan penutur-penutur JEBON, MUNAFIK HARAKI, SYAITAN, BABI dan sebagainya.... usah bimbang ia akan kembali menimpa si penuturnya... kerana demikianlah hukum kebenaran dan keadilan (sunatullah) berjalan .. dan Allah berjanji sunnatullah itu tidak berubah .

Sedangkan di dalam Al-quran telah jelas:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. -terjemahan Al-Hujurat:11

Dah terbiasa menggunakan kata-kata kesat, akhirnya tertimpa diri sendiri.

Anehnya ada yang cuba mempertahankan sehingga Ketua Ulamak PAS terus menafikan yang Haji Hadi ada menyebut anjing. Katanya "Yang diucapkan ialah menyalak tapi orang terus terjemahkan menyalak itu anjing.". Habis tu, jika benar tak sebut anjing binatang apa pula yang menyalak? Kucing, stong, lembu, harimau?

Petikan kata-kata asal ucapan Haji Hadi:

“Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak,”

Melawan hukum Tuhan? Habis tu, bagaimana pula kata-kata Ketua Ulama Sedunia, Syeikh Yusof Al-Qardhawi ini:

“dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, [barulah] kita laksanakan [hukum] hudud”.




Sekarang apabila Yusof Al-Qardhawi sendiri yang menyatakan bahawa "dasar perlaksanaan hudud ialah tidak dilaksanakan hudud melainkan kita telah melaksanakan seperti yang telah saya katakan ajaran-ajaran Islam yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tatasulia, dan nilai-nilai murni... kita bangunkan masyarakat Islam (terlebih dahulu), apakah kata-kata Yusof Al-Qardhawi itu ditafsirkan sebagai "salakan" oleh Haji Hadi?

Jika Haji Hadi dan "ulama-ulama" yang menguasai PAS sekarang ini terus juga ingin mempertahankan syairnya itu, maka tidaklah salah jika ada yang menggunakan syair yang sama untuk menyatakan bahawa "biarlah anjing dna serigala menyalak, kabilah berjalan terus, (iaitu) parti baharu akan terus ditubuhkan...." seperti kata TITM, "ia sebagai kiasan atau kata-kata semangat kepada kita agar jangat cepat menyerah dalam perjuangan (menubuhkan parti baharu -tambahan GB) walaupun ada banyak cabaran!"

Menyalaklah lagi kecuali terkena kepada diri sendiri!