18 Jul 2015

Ramai Calon PAS Bakal Kehilangan Deposit Selepas Tertubuhnya GHB...

Bukan Islam mana bakal bertanding untuk PAS, soal Mujahid

Bekas ketua biro perpaduan nasional PAS Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan keraguannya mengenai rancangan parti Islam itu untuk meletakkan calon bukan Islam bagi menentang DAP pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, sayap penyokong bukan Islam PAS tidak yakin mengenai kedudukan mereka dalam parti Islam itu berikutan terputusnya hubungan dengan DAP dan Pakatan Rakyat (PR).

"Siapakah calon-calon ini? Setahu saya, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga tidak pasti sama ada kewujudannya dalam parti terjamin.

"Dewan ini sekarang memikirkan kedudukannya dalam parti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pengarah pilihan raya baharu PAS, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini berkata mereka mungkin meletakkan calon bukan Islam di beberapa kerusi menentang DAP pada pilihan raya akan datang selepas putus hubungan dengan bekas sekutunya.

Beliau berkata, PAS akan memberi kuasa kepada sayap penyokong bukan Islam dan akan terdapat ramai calon bukan Islam diletakkan pada pilihan raya nanti.

Mujahid berkata, kewujudan DHPP itu sendiri adalah hasil usaha daripada pemimpin-pemimpin progresif, yang membawa sayap itu ke dalam struktur parti.

"Pemimpin-pemimpin progresif parti itulah yang menggalakkan dan mendesak interaksi antara masyarakat yang pelbagai. Sekarang kita keluar, siapa yang melakukan kerja-kerja tersebut?

"Inilah sebabnya mengapa DHPP berasa tidak selamat dengan kedudukan mereka," kata Mujahid, yang memainkan peranan penting dalam penubuhan sayap itu apabila beliau bertanggungjawab mengetuai biro perpaduan nasional PAS.


Pemimpin PAS dari puak progresif yang disingkirkan dalam pemilihan parti baru-baru ini, termasuk Mujahid, bekas timbalan presiden Mohamad Sabu, bekas naib presiden Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, dan bekas ahli jawatankuasa Dr Dzulkefly Ahmad, membentuk Gerakan Harapan Baru (GHB).

GHB yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada hari Isnin, diterajui oleh pengerusi sementara, Mohamad, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin PAS lain yang tewas.

Gerakan yang berkembang dengan sokongan kumpulan masyarakat awam dan badan bukan kerajaan (NGO), dilihat sebagai pelopor kepada parti Islam baharu yang akan menjadi alternatif kepada PAS.

Mujahid berkata DHPP pada pelbagai peringkat di beberapa negeri sudah menyuarakan minat mereka terhadap GHB.

"Hari ini kita mempunyai DHPP Tasek Gelugor di sini dengan kami. Mereka ingin tahu mengenai kita dengan lebih lanjut," katanya selepas mengumumkan jawatankuasa sementara GHB Pulau Pinang GHB di Butterworth semalam.

"Kita boleh berkongsi dengan mereka mengenai aspirasi pergerakan kita. Keputusan muktamad (sama ada untuk menyokong gerakan tersebut) terpulang kepada mereka," katanya.

ULASAN GB

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Kini beliau cuba mensabotaj Pakatan 2.0 dengan hendak meletakkan calon bukan Islam menentang DAP. Kita alu-alukan. Tetapi yang jelas dan nyata calon bukan Islam akan menemui kegagalan malah akan kehilangan depositnya.

Bukan Islam mana lagi yang hendak sokong PAS apabila PAS sendiri sudah berkerat arang berpatah rotan memutus hubungan dengan mereka?

Mustafa Ali terlupa bahawa Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam di dalam muktamar yang lepas menyatakan rasa terkejutnya melihat amalan fitnah memfitnah dan saling melabel yang berlaku dalam parti Islam itu.

Pada masa yang sama, beliau bertanya kepada PAS khususnya kumpulan ulama sama ada terdapat larangan dalam al-Quran yang menghalang seseorang melakukan amalan berkenaan.

"Saya tidak pasti sama dalam Islam, dalam al-Quran ada tidak larangan supaya jangan memffitnah dan jangan melabel orang lain. Kalau ada, kenapa ulama tidak mengawal ini berlaku dalam parti.

"Kenapa ulama tidak menegur gejala ini. Kalau label melabel ini ada dalam al-Quran, saya minta jasa baik ulama agar menunjukkan saya ayat mana dan terjemahannya.

Ulama PAS perlu jawab dulu persoalan yang dibangkitkan oleh DHPP di atas. Kini ramai DHPP yang menyatakan akan bersama GHB.

Selama ini ulamak membisu dengan pelbagai fitnah, cacian dan makian yang dilakukan oleh sesetengah pihak terhadap ahli kumpulan professional. Malah sesetengah ulamak termasuk presiden parti sendiri mengeluarkan kata-kata cacian seperti BROKER, BARUA & TOLOL.

DHPP sendiri telah mempersoalkan apakah di dalam Al-Quran tiada larangan seseorang itu tertutama pemimpinnya melakukan fitnah, cacian dan makian seperti itu? Apatah lagi cacian seperti ungkapa-ungkapa JEBON, Anwarinas, Liberal dan seumpamanya yang begitu mudah dihamburkan mengikut rentak dan tari syaitaniah?

Sekalipun kumpulan ulamak dikatakan telah menang besar di dalam pemilihan yang baru lalu, namun semua dapat menyaksikan kemenangan itu adalah hasil dari fitnah, cacian dan makian yang dilakukan ke atas kumpulan profesyenal. Ulamak PAS perlu bertanggungjawab dan perlu memikul beban dosa para penyokongnya yang melampaui batas itu.

Ada juga sesetengah pemimpin menyatakan bahawa kita tak perlu DAP lagi, kita ada NGO seperti DHPP. Kini DHPP pun meragui kredibiliti ulamak PAS. Tinggal siapa lagi di kalangan bukan-Islam yang menyokong PAS?


Tuh, memang PAS kini sedang sakit tenat. Lebih banyak kerusi yang PAS bertanding lebih ramai calon PAS yang akan kehilangan deposit, lebih-lebih lagi jika letak calon bukan-Islam berbanding jika calon bukan-Islam itu bertanding di atas tiket GHB.

Ingatlah berbelasan bekas AJK PAS Pusat yang disingkirkan, pengikut mereka dalam PAS bukan sekadar 20% seperti yang didakwa oleh sesetengah pemimpin!