20 Ogo 2015

Lagi Keluar PAS Sertai GHB Di Selangor, PAS Selangor Bakal Lumpuh...

18 lagi AJK PAS Shah Alam letak jawatan

Shah Alam: Selepas 183 ahli dan pimpinan PAS kawasan Kota Raja, Klang meletakkan jawatan di dalam parti itu petang semalam, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Shah Alam turut berbuat demikian beberapa jam kemudian.

Seramai 18 AJK PAS Shah Alam sesi 2015-2017 diketuai Yang Dipertuanya Azli Yusof mengumumkan peletakan jawatan mereka.

Selain itu AJK PAS kawasan, pemimpin PAS bagi Dewan Muslimat, Pemuda dan Himpunan Penyokong PAS turut mengumumkan tindakan sama.

Azli berkata, peletakan jawatan itu sudah dimaklumkan secara rasmi dalam Mesyuarat PAS Kawasan Shah Alam Kali Kelima sesi 2015-2017 yang berlangsung petang semalam.

"Selain saya, Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam turut berbuat demikian.

"Penyerahan tugas sudah dilakukan kepada Setiausaha PAS Kawasan Shah Alam dalam suasana penuh persefahaman dan kasih sayang," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, peletakan jawatan itu bukan bertujuan untuk melemahkan jentera PAS di Shah Alam tetapi kerana ingin bersama usaha perjuangan Islam melalui wadah yang lebih diyakini mereka.



Kami selaku Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam mengumumkan perletakan jawatan berkuatkuasa Rabu 19 Ogos 2015, bersama-sama dengan 18 orang lagi AJK PAS Kawasan Shah Alam sessi 2015-2017.

Selain itu, Ketua Muslimat, Timbalan Ketua Muslimat dan Naib Ketua Muslimat turut meletakkan jawatan bersama-sama 11 orang AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Shah Alam.

Keseluruhan AJK Dewan Himpunan Penyokong PAS, DHPP Kawasan Shah Alam juga meletakkan jawatan mereka.

Terdahulu, Ketua Pemuda, Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda telah meletakkan jawatan mereka bersama-sama dengan 10 orang AJK Dewan Pemuda PAS Shah Alam.

Perletakan jawatan-jawatan ini telah dimaklumkan secara rasmi di dalam Mesyuarat PAS Kawasan Shah Alam Kali Ke-5 sessi 2015-2017 yang berlangsung pada Selasa, 19 Ogos 2015, di mana penyerahan tugas telah dilakukan kepada Setiausaha PAS Kawasan Shah Alam dalam suasana penuh persefahaman dan kasih-sayang.

Perletakan jawatan ini bukan bertujuan untuk melemahkan jentera PAS di Shah Alam, tetapi kerana ingin bersama usaha perjuangan Islam melalui wadah yang lebih kami yakini.

Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua AJK PAS Kawasan dan Dewan-dewan, Ketua dan Setiausaha PAS Cawangan serta seluruh ahli-ahli PAS Kawasan Shah Alam yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang kami diamanahkan memimpin PAS Kawasan Shah Alam.

Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada PAS Kawasan Shah Alam di bawah kepimpinan yang baru nanti.

Mudah-mudahan semua akan terus istiqamah dengan perjuangan Islam.

Azli Bin Yusof
Yang Dipertua

Zulkifli Mohd Nani
Timbalan Yang Dipertua

Mohamad Jamil Abd Rahim
Naib Yang Dipertua

19 Ogos 2015 / 4 Zulkaedah 1436H



PAS Selangor bakal lumpuh – Mohd Sayuti Omar

Dari segi politik tindakan ahli Parlimen Kota Raja yang juga naib ketua PAS Kawasan itu Dr Mariah Mahmud mengumumkan keluar daripada PAS bersama beberapa ahli jawatankuasa PAS kawasan itu merupakan satu tindakan memberi bekas kepada PAS Selangor.

Mariah dan pimpinan PAS Kota Raja umum lepas jawatan.

Ia adalah permulaan tindakan ekoran rasa tidak puas hati kepada kepimpinan PAS yang baru dipilih pada muktamar beberapa bulan lalu. Walaupun tindakan Mariah dan beberapa yang lain tidak melumpuhkan PAS Selangor tetapi tindakan itu memberi moral yang buruk kepada PAS Selangor.

Tindakan dan keputusan Mariah dan yang lain-lain merupakan satu "hentakkan" yang kuat kepada PAS Selangor yang cuba mempamerkan mereka sebagai golongan agamawan, ad-Din.

Apa yang berlaku di Kota Raja hari ini adalah permulaan, dijangka lebih ramai lagi ahli PAS dan pemegang jawatan akan mengumumkan melepas jawatan. Tindakan Mariah itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi mereka yang lain untuk berbuat demikian.

Saya percaya tindakan itu menjadi momentum untuk diikuti PAS di beberapa kawan lain, termasuk juga Gombak yang dilihat kuat mendokong kepimpinan agamawan.

Apa lagi seperti mana jelasnya selepas beberapa orang wakil rakyat PAS akan mengambil tindakan sama, mengumum keluar PAS atau pun melepaskan jawatan yang dipegangnya. Tindakan seperti itu boleh menganggu stabiliti PAS dan menyebabkan rasa hormat kepada PAS dari kalangan orang ramai terhakis.

Sudah tentu berita perletakan jawatan ramai-ramai di Kota Raja itu menganggu konsentrasi orang ramai kepada PAS yang diharap menjadi parti pengganti Umno sebelum ini. Beberapa lagi tindakan sama diambil tokoh PPAS dalam GHB, akan menghakiskan kepercayaan umum kepada PAS.

Dari konteks lain, apa yang berlaku itu ia menggambarkan kegagalan pimpinan PAS Selangor membendung gegajala keluar parti beramai-ramai. Mungkin juga tindakan itu menjadi cepat apabila ada sesetengah pimpinan kecil PAS di Selangor lantang mengkritik golongan itu, GHB dengan tindakan mereka.

Tiada ada usaha untuk merapatkan saf atau mengemaskan barisan dalam PAS sejak muktamar dahulu di Selangor, sebaliknya kesan muktamar itu menjadi jurang perbezaan lebih luas. Paling mendukacitakan tidak ada usaha langsung daripada pimpinan tertinggi PAS sebalinya mereka hanya jaminan-jaminan bersifat sinikal bersifat sombong yang penyedap rasa sahaja.

Di Selangor sendiri tidak ada tokoh yang bersifat orang tua yang boleh mempersatukan PAS. Selepas ketiadaan Hassan Shukri, Selangor seakan-akan kekeringan pemimpin yang tulus dalam perjuangan. Walaupun satu masa PAS Selangor memiliki Adun Meru, Dr Rani Osman sebagai pesuruhjaya tetapi kehadirannya sekejap sahaja.

Walaupun Dr Rani tidak sehebat Hassan Shukeri tetapi penampilan dan semangat ukhwah yang dibentuknya sangat menarik dan ia mencerminkan PAS Selangor semasa bawah pimpinannya dapat mempersatukan semula keretakan yang dicaingkan Hassan Ali. Sayang Ibu Pejabat PAS tidak dapat melihat kelunakan dan semangat setia kawan yang ada kepada Dr Rani.

Melihat kepada sambutan terhadap GHB dan penubuhan parti baharu yang semakin hangat di Selangor tidak mustahil kalau PAS Selangor berada dalam keadaan sengit sebelah. Walaupun ada jaminan daripada seorang pemimpin PAS, kononnya apa yang berlaku di Selangor itu umpama gelora ombak dilautan dimana ia boleh ditenangkan, tetapi kerja untuk menenangkan ombak itu sesuatu yang melelahkan.

Politik bukan boleh diselesaikan atas kertas tetapi harus kena buat (praktis) dan turun ke bawah. Pemimpin yang seorang ini saya lihat lebih lunak bercakap atas kertas daripada turun menjajahi ke segenap ceruk dan lorong untuk membendung masalah dalam PAS.

Apa yang terjadi itu ialah, wujud kerana kedegilan dan ego pimpinan PAS. Mereka silap dalam membuat perhitungan dengan merendah-rendahkan keupayaan golongan GHB. Dengan tindakan Mariah dan beberapa pemimpin lain itu membuktikan mereka GHB, bukan bergurau untuk menjadi alternatif kepada Pas, tetapi ia sesuatu yang serius.

Mungkin golongan lama dalam PAS, mereka berusia 60 tahun ke atas serta anak-anak atau cucu cicit mereka yang obses kepada agama, tidak terliur kepada PAS, tetapi anak-anak muda yang bebas, berfikiran terbuka akan menyokong GHB. Indikator sejauh mana sambutan kepada GHB nanti ialah pada himpunan Bersih hujung bulan ini dan juga selepas terbentuknya parti dokongan mereka.

Satu sifat yang perlu disedari, anak muda dalam bermain politik mereka tidak sangat memikirkan soal prinsip dan asas perjuangan sesebuah parti, jauh sekali menghayati ideologi dan akidah, tetapi apa yang ada kepada mereka ialah trend semasa.

Mereka akan mengikut trend semasa. Kewujudan GHB atau parti baharu bagi mereka ada kesenimbungan harapan mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Kerja menumbangkan kerajaan bagi mereka adalah sebagai trend semasa yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Bertolak dari hakikat itu GHB bakal mendapat sambutan dan berada di hati anak-anak muda. Kekuatan sambutan ini bukan sahaja setakat di Pantai Barat, bahkan mungkin boleh merebakkan negeri-negeri di Pantai Timur juga, walaupun masa ini ia dilihat sebagai sukar. Yang perlu difikirkan pimpinan PAS, politik itu sesuatu yang hidup dan berkembangkan.

Langkah-langkah lebih ketat, tersusun dan berhemah adalah wajar dilakukan pimpinan baharu PAS kini untuk membendung atau pun menganjatkan perjalanan GHB.

Akhirnya syabas kepada Mariah atas keputusan yang dibuat. Apa dilakukan sikap terpuji dan berani sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Ketua Wanita GHB.

Nampaknya Dr Mariah bakal menjadi pimpinan wanita baharu menerusi parti baharu selepas beliau selama ini hanya berada di belakang Siti Zailah Mat Yusuf menjadi orang dibalik tabir jarang. msomelayu.blogspot.com








IKLAN BERBAYAR







[BERGAMBAR] Keluar PAS Beramai-ramai, Tahniah Kota Raja! [UPDATED]

Keluar PAS bukan bermakna keluar Islam, kata Siti Mariah

Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud menegaskan hari ini, tindakan individu yang keluar meninggalkan PAS bukan bererti mereka murtad atau terkeluar daripada agama Islam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai sumpah atau bai'ah yang dikatakan dibuat setiap ahli PAS sewaktu menyertai parti itu.

"Bai'ah itu adalah ikrar. Seperti juga di Parlimen. Kita ada nas dan ijtihad daripada alim ulama. Tetapi, na'uzubillah (minta dilindungi Allah), keluar daripada PAS bukan keluar Islam.

"Ia adalah penghijrahan dari satu pertubuhan kepada satu pertubuhan," katanya pada sidang media mengumumkan peletakan jawatan beliau bersama ahli parti lain dari PAS Kawasan Kota Raja.

Dr Siti Mariah bagaimanapun berkata, peletakan jawatan beramai-ramai oleh ahli dalam kawasan Parlimen Kota Raja itu bukanlah sesuatu yang dibanggakan.

"Kami lakukan ini untuk bersama dengan Pakatan Rakyat (PR) dalam memenangi Putrajaya," beliau menjelaskan.

Anggota PAS Kota Raja hari ini mengumumkan peletakan jawatan masing-masing di peringkat cawangan dan kawasan di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kota Raja di Klang.

Bekas yang di pertua PAS Kota Raja, Jaafar Samsudin berkata, 9 daripada 38 ketua cawangan di kawasan itu meletakkan jawatan mereka dalam parti itu hari ini.

"Kami menyahut saranan atau arahan pimpinan agar semua ahli yang hendak bergerak atas wadah baru perlu meletakkan jawatan.

"Dengan rasa penuh tanggungjawab kami merasakan peletakan ini adalah untuk memudahkan ahli jawatankuasa (AJK) yang masih bersama PAS dapat menjalankan tugas atau aktiviti di Kawasan Kota Raja," katanya.

Dr Siti Mariah, yang meletak jawatan sebagai naib yang dipertua PAS Kota Raja berkata, tindakan beliau bukan satu pengkhianatan kepada rakyat.

"Saya tidak khianati amanah rakyat. Saya masih dalam perjuangan Islam. Tetapi, pendekatan politik kami sudah berbeza," katanya.

Pada majlis hari ini, lebih 30 orang pimpinan dan AJK kawasan serta cawangan, termasuk 22 ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), menyuarakan sokongan mereka terhadap peletakan jawatan berkenaan.

Dua lagi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor dijangka akan mengambil tindakan sama dalam masa terdekat.

Mereka ialah Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib.

Seramai 183 ahli yang memegang jawatan dalam PAS Kota Raja meletakkan jawatan selain 227 ahli PAS Kapar dan 3 PAS Klang hari ini. -TMI


Peletakan jawatan beramai landa PAS S'gor


Kira-kira 400 ahli dan pemimpin PAS dari tiga kawasan PAS di Selangor hari ini mengumum meletak jawatan sama ada dalam parti atau jawatan yang mereka sandang, sementara menunggu untuk berpindah menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ia termasuk 183 ahli dari kawasan Kota Raja, 227 ahli kawasan Kapar dan tiga orang dari kawasan Klang.

Naib Ketua PAS Kawasan Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah itu bagi mengelak berlaku keadaan tidak menentu melanda PAS sebaik sahaja GHB menjadi sebuah parti politik dan lebih ramai ahli PAS keluar dan menyertainya.

Di Kota Raja, ketua kawasannya Jaafar Samsuddin dan timbalan ketua, Norhalim Sirome dan Siti Mariah mengumumkan peletakan jawatan mereka dalam satu sidang akhbar.

Ketua sembilan cawangan PAS dalam kawasan Kota Raja juga turut melepaskan jawatan masing-masing dalam parti itu.

Turut menyertai mereka ialah ahli jawatankuasa (AJK) kawasan Kapar, Razak Abdul Rashid dan AJK PAS kawasan Klang, Abdul Rashih Abdul Latiff.

GHB berkata peletakan jawatan beramai-ramai hari ini itu adalah sebagai permulaan di Selangor - mulai hari ini sehingga akhir bulan ini.

Penyelaras GHB Selangor, Izham Hashim mendakwa kawasan Shah Alam dan Kelana Jaya akan melakukan perkara yang sama, masing-masing esok dan dua hari kemudiannya.

Bagaimanapun, mereka yang meletak jawatan itu akan kekal sebagai ahli parti sehingga GHB rasmi menjadi sebuah parti politik.

Mereka kemudiannya akan menyertai entiti baru itu, yang secara automatik, menyebabkan keahlian PAS mereka terbatal, kata Izham.
-mk



GHB Selangor jangka ahli PAS keluar parti secara beramai-ramai

SHAH ALAM: PAS akan mengalami kelopongan besar dalam jumlah keahliannya apabila Gerakan Harapan Baru (GHB) Selangor dilancarkan akhir bulan.

Penyelaras GHB Selangor Ir Izham Hashim berkata pelancaran itu akan mencetuskan ahli PAS keluar beramai-ramai menyertai pergerakan baru itu.

“Anda akan terperanjat melihat pada hari pelancaran, jumlah cawangan dan bahagian PAS yang akan bubar,” katanya di sidang akhbar pelancaran GHB Selangor, hari ini.

ADUN Hulu Klang, Saari Sungib dan Morid, Hasnul Baharuddin turut hadir sidang akhbar diadakan di sebuah hotel di sini.

Kedua-dua ADUN itu digantung oleh PAS selama setahun berikutan krisis Menteri Besar Selangor tahun lalu.

Izham yang juga ketua PAS Kelana Jaya berkata, keseluruhan cawangan PAS Selangor akan menyertai GHB Selangor secara besar-besaran.

Katanya, bahagian GHB dalam kesemua 22 kawasan Parlimen Selangor sudah ditubuhkan.

“Bahagian dalam negeri lain juga sudah ditubuhkan dengan Johor memiliki jumlah terbesar ahli PAS menyertai GHB, diikuti oleh Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor,” kata Izham.

Beliau menambah, beberapa wakil rakyat PAS Selangor dengan ‘rahsia’ menyatakan minat untuk menganggotai GHB.

“Kami tidak paksa mereka. Mereka secara sukarela membuat perpindahan itu. Mereka boleh menentukan sendiri pilihan terbaik untuk kerjaya politik mereka,” tambahnya.

Terdapat 13 wakil rakyat PAS di Selangor tidak termasuk Saari dan Hasnul.

Dalam lain hal, Izham berkata GHB mungkin bertanding menentang PAS di Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tindakan ini dilakukan jika wujud keperluan besar untuk melakukannya dan hanya selepas ia dibincang secara terperinci dengan rakan parti komponen lain.

“Kami akan lakukan jika rakan kami, DAP dan PKR, bersetuju dan akan tidak mengambil tindakan itu jika tiada keperluan bertanding menentang PAS,” tambahnya.



MENGAPA KITA PERLUKAN WADAH BARU KPD PERJUANGAN POLITIK ISLAM DI MSIA???

Perjuangan politik Msia walau apapun dasar yg ingin dikemukakan mesti digerakkan melalui sebuah parti politik yg sah sbg alat perjuangannya. Kalau kita boleh berbeza aliran dlm perbahasan ilmu kalam/aqidah, kita boleh beramal dlm feqah dgn macam2 mazhab, kita boleh bergerak dlm medan dakwah dlm pertubuhan dan badan dakwah yg berlainan, mengapa dlm politik kita tidak boleh berjuang melalui berbagai parti?

Apa yg penting ialah perjuangan yg kita nak tegakkan, wadah hanyalah sbg alat dan strateji perjuangan. Setiap hukum atau keputusan terdahulu boleh berubah dgn berubahnya suasana dan masa sebagaimana kaedah fiqah:

تغير الاحكام بتغير الاحوال والازمان
" Hukum boleh berubah dgn berubahnya suasana dan masa"

Keperluan kpd wadah baru sbg alat dan strateji terkini politik Islam di Msia adalah diasaskan kpd perkembangan2 berikut:

1. Kegagalan Bersepakat Atas Dua Ijtihad Politik Yg Berbeza2.

Slps dianugerah kemenangan luar jangka dlm PRU 2008 melalui kerjasama politik Barisan Alternatif (BA) antara pakatan Pas dan PKR + DAP sehingga berjaya menguasai 5 negeri (Kelantan, P Pinang, Selangor, Perak dan Kedah) dan menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen, Pemimpin atasan Pas telah keliru antara keperluan meneruskan pakatan pembangkang yg tidak seimbang di segi komposisi kaum atau mewujudkan kerjasama politik dgn UMNO atas kepentingan melayu Islam.

Ekoran ijtihad politik yg berbeza ini, berlakulah usaha2 utk menubuh kerajaan campuran antara Pas dan UMNO di Perak dan Selangor kerana ada beberapa pemimpin utama Pas tidak boleh menerima sebuah kerajaan yg memerintah dgn kedudukan jumlah kerusi melayu islam yg minoriti berbanding bangsa lain yg bukan Islam. Semangat ini jugalah yg telah menggagalkan projek 16 sept yg digerakkan oleh DSAI kerana adanya desakan yg berterusan dari beberapa orang pemimpin Pas dgn "fatwanya" haram menjatuhkan sebuah kerajaan yg majoritinya Islam, dan diganti dgn sebuah kerajaan yg akan dikuasai oleh majoriti bukan Islam.

Isu ini tidak berbangkit dlm penubuhan kerajaan PR di Kelantan, P Pinang dan Kedah kerana situasi perbezaan komposisi kaum bukan islam tidak wujud.

Ketika kemuncak krisis MB Selangor thn 2014, sekali lagi hasrat ini dicetuskan melalui usaha memujuk Azmin Ali dan rakan-rakannya melompat ke Pas utk menubuhkan kerajaan majoriti melayu Islam melalui gabungan Pas + umno + TSKI + azmin ali dan kawan2nya.

2. Serangan berterusan keatas PR

Setelah kecewa kerana kegagalan kumpulan ini meneruskan agenda politik melayu Islamnya melalui penubuhan kerajaan campuran umno - pas di Selangor dan Perak, maka serangan telah mula dihalakan kepada siapa saja pemimpin atau penyokong Pas yg mendokong PR. Berbagai strateji dan usaha telah dilakukan utk menyingkirkan pemimpin Pas yg pro PR dan meretakkan hubungan Pas dgn PKR dan Dap.

Siapa saja yg mendokong semangat PR akan dilabel sbg anwarinas dan kuda tunggangan Dap sehinggalah bila DSAI dipenjarakan, tidak ada riak simpati dan kesedihan atas nasib yg menimpa DSAI. Langkah Kajang dan isu pemecatan TSKI sbg MB Selangor dijadikan pisau yg tajam utk mencarik robekkan ikatan PR dan dalaman Pas sendiri.

Selepas ketiadaan DSAI, serangan dihalakan pula kepada Dap dgn gelaran dan label yg tidak tergamak utk ditulis. Kesediaan Dap membantu mangsa banjir di Kelantan bukan disambut dgn ucapan terima kasih atau penghargaan, sebaliknya disalut dgn pelbagai nesta dan fitnah.

Kemuncak kpd serangan utk menghancurkan PR ini ialah melalui usul tergempar Dewan Ulama Pas Pusat utk memutuskan huhungan dgn Dap dan mengundang reaksi balas dari DAP dgn pengisytiharan PR sudah tidak lagi wujud. Usul ini wpun telah diluluskan sebulat suara dlm Dewan Ulama, sepatutnya ia dibahas samada utk diterima atau ditolak dlm Muktamar Agung, tapi atas kehendak beberapa kerat pimpinan atasan Pas, usul yg sepatutnya dikemukakan utk dibahas, telah dipaksa utk diterima tanpa bahas.

.......bersambung

Oleh Che Ibrahim Mohamed
(penulis adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah, Gerakan Harapan Baru Kelantan)


ULASAN GB

Tahniah kepada mereka yang meletakkan jawatan dan keluar PAS secara beramai-ramai di Kota Raja, khususnya Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud.

Ia adalah satu tindakan yang benar dan tepat. Parlimen Kota Raja merupakan kerusi parlimen yang PAS menang dengan majoriti tertinggi, 29,792 undi. Pecahan pengundi mengikut kaum: 46% Melayu, 38% India dan 16% Cina.

Justeru itu, kemenangan besar PAS di Kota Raja BUKAN disebabkan kerana mereka mengundi PAS semata-mata tetapi pengundi di Kota Raja mengundi di atas dasar Pakatan Rakyat.

Justeru itu untuk tidak mengkhianati pengundi Kota Raja apabila berlaku krisis dalam PAS, sewajarnya ahli parlimen Kota Raja meninggalkan PAS untuk bersama dengan GHB yang menjadi komponen kepada Pakatan 2.0 nanti.

Apatah lagi GHB adalah sebuah parti yang berdasarkan Islam juga, cuma dengan pendekatan yang berbeza iaitu inclusiveness, berbanding dengan PAS yang mutakhir ini kelihatan sudah menjadi parti exclusive hanya untuk para "ulama".

Semuga tindakan ahli-ahli PAS yang mengambil tindakan untuk meninggalkan parti itu dilimpahi rahmat dan keberkatan dari Allah swt dan seterusnya meneruskan perjuangan mereka di dalam parti Islam yang baharu di Malaysia ini dengan memegang teguh amanah rakyat dan istiqamah dengan perjuangan Islam, bukan mengkhianati amanah rakyat dan bukan istiqamah dengan PAS yang telah terpesong dari perjuangan Islam. Semuga selepas ini lebih ramai yang akan meninggalkan PAS di seluruh negara untuk bersama -sama dengan GHB.

"Biar anjing dan serigala menyalak, kabilah GHB berjalan berjalan terus"!!!





IKLAN BERBAYAR